Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akhlak & Adab

Ziarah Orang Sakit: Tuntutan & Adab

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 10 Mac 2011 · 6 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Motivasi Pesakit

Firman Allah SWT, maksudnya: {Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.} [al-Mulk: 1–2]

Tulisan ringkas ini membincangkan beberapa ayat dan hadis yang menyebut tentang kedudukan sakit dan adab-adab menghadapinya, serta adab ketika menziarahi orang sakit.

Makna Sakit (al-Maradh, المرض)

Menurut Kamus Dewan: menderita sesuatu (demam, pening dan lain-lain) yang menyebabkan tubuh atau bahagiannya tidak segar, tidak sihat atau uzur.

Sakit bukan sahaja menimpa tubuh badan; ia juga boleh menimpa agama (ad-din).

Kesabaran Pesakit dan Mengharapkan Pahala Daripada Allah SWT

Para pesakit hendaklah sentiasa bersabar serta mengharapkan pahala yang dijanjikan Allah SWT kepada mereka yang bersabar. Firman Allah SWT, maksudnya: {Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.} [az-Zumar: 10]

Daripada Suhaib RA, Rasulullah SAW bersabda:

((عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ)) [صحيح مسلم: 2999]

Maksudnya: “Menakjubkan sekali keadaan orang yang beriman; semua urusannya baik dan perkara itu tidak berlaku kecuali bagi orang mukmin. Jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka sabar itu baik baginya.” [HR Muslim: 2999]

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA dan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa keletihan, sakit, kebimbangan, dukacita, kesakitan atau kesedihan, walaupun hanya tercucuk duri, melainkan Allah menghapuskan dengannya sebahagian daripada kesalahannya.” [HR al-Bukhari: 5641–5642, Muslim: 2573]

Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Tiada seorang Muslim yang ditimpa kesakitan atau yang selainnya, melainkan Allah menggugurkan dosa-dosanya sebagaimana pokok menggugurkan daunnya.” [HR al-Bukhari: 5647, Muslim: 2571]

Daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba-Nya, Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia. Dan apabila Allah menghendaki keburukan bagi seorang hamba-Nya, Dia menangguhkan (hukuman) dosanya sehingga Dia membalasnya pada hari kiamat.” [HR at-Tirmizi: 2396, “Hadis hasan”; Sahih al-Jami‘ as-Saghir: 308]

Daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya besarnya pahala bergantung kepada besarnya ujian. Apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang reda, baginya keredaan (Allah) dan sesiapa yang marah, baginya kemurkaan (Allah).” [HR at-Tirmizi: 2396, Ibnu Majah: 4031, “Hadis hasan”; as-Silsilah as-Sahihah: 146]

Memohon Kemaafan dan Afiat (Kesejahteraan)

Orang Muslim sentiasa memohon kemaafan dan afiat (kesejahteraan) di dunia dan di akhirat; mereka tidak meminta bala.

Abbas bin Abdul Muttalib RA berkata: “Wahai Rasulullah, ajarkanlah saya sesuatu untuk saya pohon kepada Allah SWT.” Baginda bersabda: “Pohonlah kepada Allah afiat (kesejahteraan).” Beberapa hari kemudian aku datang lagi kepada Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah, ajarkanlah saya sesuatu untuk saya pohon kepada Allah.” Baginda bersabda kepadaku: “Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah, pohonlah kepada Allah afiat (kesejahteraan) di dunia dan di akhirat.” [HR at-Tirmizi: 3514, “Hadis sahih”; as-Silsilah as-Sahihah: 1523]

Abdullah bin Umar RA berkata, antara doa Rasulullah SAW ialah:

((اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ)) [مسلم: 2739]

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada lenyapnya nikmat yang telah Engkau kurniakan, daripada berubahnya afiat (kesihatan) yang Engkau kurniakan, daripada bencana-Mu yang datang secara tiba-tiba dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.” [HR Muslim: 2739]

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW memohon perlindungan (dengan Allah) daripada ujian yang berat, ditimpa kecelakaan, qada’ yang buruk dan kegembiraan musuh atas musibah yang menimpa. [HR al-Bukhari: 6347, Muslim: 2707]

Bersungguh-sungguh Beribadat Pada Waktu Sihat

Bersungguh-sungguhlah melakukan ibadat pada waktu sihat agar mendapat pahala yang sempurna ketika lemah dan sakit.

Daripada Abu Musa al-Asy‘ari RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir, dituliskan baginya (pahala) seperti apa yang biasa diamalkannya ketika bermukim dan sihat.” [HR al-Bukhari: 2996]

Kelebihan Menziarahi Orang Sakit

Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mengeratkan lagi hubungan ukhuwah sesama Muslim dan silaturahim sesama keluarga.

Amalan ziarah sesama Islam dituntut pada bila-bila masa, bukan hanya pada masa sakit. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis-hadis di bawah:

Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima perkara: menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, dia sentiasa berada dalam khurfah syurga sehingga dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah khurfah syurga itu?” Baginda bersabda: “Buah-buahan syurga yang dipetik.” [HR Muslim: 2568]

Daripada Ali RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang Muslim pun yang menziarahi saudara Muslimnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat berselawat (mendoakan rahmat) untuknya sehingga ke petang. Jika dia menziarahinya pada waktu petang, 70,000 malaikat berselawat untuknya sehingga ke pagi dan baginya kebun buah-buahan di syurga.” [HR at-Tirmizi: 969, katanya: hasan]

Adab-adab Ziarah

Antara adab menziarahi pesakit ialah:

  1. Berniat menziarahi orang sakit sebagai mengikut sunnah Rasulullah SAW.
  2. Memberi nasihat agar bersabar dan tabah menghadapi ujian.
  3. Bertanyakan tentang ibadatnya, solat dan lain-lain. Sekiranya dia tidak mampu, ajarkanlah atau tanyakan kepada orang yang lebih tahu.
  4. Menyampaikan ucapan yang baik agar dapat menghiburkan hati pesakit dan menguatkan jiwanya.
  5. Memendekkan dan menjarakkan waktu ziarah; jangan terlalu lama dan terlalu kerap menziarahinya (kecuali pesakit itu menghendaki sebaliknya).
  6. Mendoakan pesakit agar lekas sembuh.

Hendaklah kita mendoakannya dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar dia cepat sembuh dan bersabar menghadapi kesakitan:

((أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا))

“Hilangkanlah penyakit ini, wahai Tuhan sekalian manusia. Sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan; tiada kesembuhan melainkan kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

لَا بَأْسَ، طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

“Tidak mengapa, (semoga penyakit ini) penyuci (dosamu), insya-Allah.” [HR al-Bukhari]

Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang Muslim yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali, melainkan dia disembuhkan daripada penyakit itu:

أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ

Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkanmu.” (Tujuh kali) [HR at-Tirmizi dan Abu Daud]

Doa (ruqyah) Jibril kepada Nabi SAW ketika baginda sakit:

بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ…

“Dengan nama Allah aku meruqyahmu, daripada segala sesuatu yang menyakitimu…” [HR Muslim: 2186; juga Ibnu Majah]

  1. Bacaan dan perbuatan apabila tubuh terasa sakit.

    Letakkan tangan di tempat yang sakit, kemudian baca بِسْمِ اللَّهِ (“Bismillah”) tiga kali dan baca tujuh kali:

    أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

    “Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya daripada kejahatan apa yang aku rasai dan apa yang aku bimbangi.” [HR Muslim: 2202]

  2. Jika ditakdirkan pesakit itu berada dalam kecemasan, tenat atau sedang nazak, maka doakanlah:

    اللَّهُمَّ أَعِنْهُ عَلَى سَكَرَاتِ الْمَوْتِ

    “Ya Allah, bantulah dia menghadapi sakaratulmaut.” (Doa ini disesuaikan daripada doa Nabi SAW untuk diri baginda: “Ya Allah, bantulah aku menghadapi sakaratulmaut”, riwayat at-Tirmizi no. 978; sanadnya dinilai lemah oleh al-Albani. Namun maknanya baik dan harus didoakan.)

  3. Mengajarkan (talqin) orang yang sedang nazak kalimah La ilaha illallah.

“Sesiapa yang akhir ucapannya لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah), dia akan masuk syurga.” [HR Abu Daud no. 3116; dinilai sahih oleh al-Albani]

Penutup

Semoga risalah ringkas ini dapat membantu muslimin dan muslimat dalam menghidupkan sunnah Rasulullah SAW ketika menziarahi orang sakit atau menghadapi kesakitan. Sekian.

Akhukum, Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, 10 Mac 2011.

Rujukan

20 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Mulk (67): 1–2.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah az-Zumar (39): 10.

    Quran.com
  3. Sahih Muslim, no. 2999.

    Sunnah.com
  4. Sahih al-Bukhari, no. 5641–5642; Sahih Muslim, no. 2573.

    Sunnah.com
  5. Sahih al-Bukhari, no. 5647; Sahih Muslim, no. 2571.

    Sunnah.com
  6. Sunan at-Tirmizi, no. 2396; Sunan Ibn Majah, no. 4031.

    Sunnah.com
  7. Sunan at-Tirmizi, no. 3514.

    Sunnah.com
  8. Sahih Muslim, no. 2739.

    Sunnah.com
  9. Sahih al-Bukhari, no. 6347; Sahih Muslim, no. 2707.

    Sunnah.com
  10. Sahih al-Bukhari, no. 2996.

    Sunnah.com
  11. Sahih al-Bukhari, no. 1240; Sahih Muslim, no. 2162.

    Sunnah.com
  12. Sahih Muslim, no. 2568 (riwayat Thauban r.a.).

    Sunnah.com
  13. Sunan at-Tirmizi, no. 969 (riwayat ‘Ali r.a.).

    Sunnah.com
  14. Sahih al-Bukhari, no. 5743; Sahih Muslim, no. 2191.

    Sunnah.com
  15. Sahih al-Bukhari, no. 3616.

    Sunnah.com
  16. Sunan at-Tirmizi, no. 2083; Sunan Abi Daud, no. 3106.

    Sunnah.com
  17. Sahih Muslim, no. 2186 (riwayat Abu Sa‘id r.a.).

    Sunnah.com
  18. Sahih Muslim, no. 2202 (riwayat ‘Uthman bin Abi al-‘As r.a.).

    Sunnah.com
  19. Sunan at-Tirmizi, no. 978 (riwayat ‘Aisyah r.a.).

    Sunnah.com
  20. Sunan Abi Daud, no. 3116 (riwayat Mu‘adh r.a.).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akhlak & Adab Definisi Jiran Tetangga & Kewajipan Berjiran Dalam Islam 21 Jun 2026 Akhlak & Adab Kenali Tufaili “Lalat Hijau” Yang Datang Ke Kenduri Tanpa Jemputan 10 Jun 2026 Akhlak & Adab Adab Jemputan: Jangan Datang Tanpa Diundang & Hormati Hak Tuan Rumah 6 Apr 2026 Akhlak & Adab Adab Menjemput Tetamu & Cerminan Rumah Tangga Bahagia 21 Jan 2026