Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akidah

10 Perkara Yang Membatalkan Islam

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 29 Oktober 2025 · 4 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Pendahuluan

Wahai saudara Muslim,

Ketahuilah bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh membatalkan keislaman seseorang. Antara yang paling banyak berlaku ialah sepuluh perkara utama yang disenaraikan oleh Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab dalam risalah Nawāqiḍ al-Islām. Maka, lindungilah diri kita daripada terjerumus ke dalamnya.

Syirik kepada Allah SWT

Maksud: Mempersekutukan Allah dalam ibadah.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka Allah mengharamkan Syurga baginya dan tempat tinggalnya ialah Neraka; tiadalah bagi orang-orang zalim itu sebarang penolong.”
— (Surah al-Māidah, ayat 72)

Contoh perbuatan syirik:

  • Meminta doa atau pertolongan daripada orang yang telah meninggal dunia.
  • Bernazar atau menyembelih korban untuk selain Allah.

Menjadikan Perantara Antara Diri & Allah

Sesiapa yang menjadikan sesuatu perantara antara dirinya dan Allah — meminta doa, syafaat atau menyerahkan pergantungan (tawakkal) sepenuhnya kepada perantara itu — maka ia telah kafir menurut ijmak ulama.

Tidak Mengkafirkan Orang Musyrik

Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang musyrik atau ragu terhadap kekufuran mereka atau menganggap agama mereka benar, maka dia sendiri telah kafir.

Meyakini Ada Hukum Yang Lebih Baik Daripada Syariat Nabi SAW

Sesiapa yang berkeyakinan bahawa petunjuk atau hukum selain daripada hukum Rasulullah SAW lebih sempurna atau lebih sesuai untuk zaman kini, maka dia telah kafir.

Contoh:

  • Menganggap undang-undang ciptaan manusia lebih baik daripada syariat Islam.
  • Menganggap hukum Islam tidak sesuai pada abad ke-21.
  • Menuduh Islam sebagai punca kemunduran umat.
  • Menolak pelaksanaan hukum hudud seperti potong tangan pencuri atau rejam penzina muhsan.
  • Menghalalkan undang-undang selain daripada syariat Allah dalam urusan muamalat atau jenayah.

Prinsip ijmak:
Sesiapa yang menghalalkan perkara yang jelas haram seperti zina, arak, riba atau menolak hukum Allah, maka dia kafir menurut kesepakatan ulama.

Membenci Syariat Yang Dibawa oleh Rasulullah SAW

Sesiapa yang membenci sesuatu daripada ajaran Rasulullah SAW walaupun dia mengamalkannya, maka dia telah kafir.

Firman Allah SWT:

“Yang demikian itu kerana mereka benci terhadap apa yang diturunkan oleh Allah, maka Allah menghapuskan segala amal perbuatan mereka.”
— (Surah Muhammad, ayat 9)

Mempersendakan Ajaran Agama

Sesiapa yang memperolok-olokkan Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya atau ajaran agama, maka dia telah kafir.

Firman Allah SWT:

“Adakah terhadap Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu memperolok-olokkan? Janganlah kamu meminta maaf, sesungguhnya kamu telah kafir setelah beriman.”
— (Surah at-Taubah, ayat 65–66)

Melakukan Sihir

Antara bentuk sihir ialah:

  • Sarf (guna-guna): mengubah kecintaan suami terhadap isteri menjadi benci.
  • ‘Atf (pengasih): menjadikan seseorang mencintai sesuatu dengan bantuan syaitan.

Firman Allah SWT:

“Sedangkan kedua-dua malaikat itu tidak mengajarkan sihir kepada sesiapa pun sebelum berkata: Sesungguhnya kami hanyalah ujian bagimu, maka janganlah engkau kufur.”
— (Surah al-Baqarah, ayat 102)

Menolong Musyrikin Untuk Memusuhi Umat Islam

Sesiapa yang membantu orang kafir atau musyrik dalam memerangi umat Islam adalah kafir.

Firman Allah SWT:

“Sesiapa di antara kamu mengambil mereka (Yahudi dan Nasrani) sebagai pemimpin, maka sesungguhnya dia termasuk dalam golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.”
— (Surah al-Māidah, ayat 51)

Menganggap Ada Individu Yang Tidak Wajib Ikut Syariat Nabi SAW

Sesiapa yang berkeyakinan bahawa ada individu yang dikecualikan daripada mengikuti syariat Nabi Muhammad SAW, maka dia telah kafir.

Firman Allah SWT:

“Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi.”
— (Surah Āli ‘Imrān, ayat 85)

Berpaling Daripada Ajaran Islam

Sesiapa yang berpaling daripada agama Allah — tidak mempelajarinya, tidak mengamalkannya atau mengabaikan kewajipan sebagai Muslim — maka dia tergolong dalam golongan yang zalim.

Firman Allah SWT:

“Tiada yang lebih zalim daripada orang yang telah diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya. Sesungguhnya Kami akan membalas orang-orang yang berdosa.”
— (Surah as-Sajdah, ayat 22)

“Dan orang-orang kafir berpaling daripada perkara yang diperingatkan kepada mereka.”
— (Surah al-Ahqaf, ayat 3)

Penutup

Dalam perkara-perkara yang membatalkan Islam ini, hukumnya sama sama ada dilakukan secara serius atau bergurau, dilakukan sengaja atau kerana takut, kecuali jika dipaksa di bawah ancaman nyawa.

Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada perbuatan yang membawa kemurkaan dan azab-Nya yang amat pedih.

Rujukan

8 sumber
  1. Muhammad bin 'Abd al-Wahhab, Nawaqid al-Islam — teks dimuatkan di laman rasmi Syeikh 'Abd al-'Aziz bin Baz.

    Laman Syeikh Ibn Baz
  2. 'Abd ar-Rahman al-Barrak, Syarh Nawaqid al-Islam, hlm. 33 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  3. 'Abd ar-Rahman al-Barrak, Syarh Nawaqid al-Islam, hlm. 42 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  4. 'Abd ar-Rahman al-Barrak, Syarh Nawaqid al-Islam, hlm. 44 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  5. Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 72.

    Quran.com
  6. Al-Quran, Surah Muhammad (47): 9.

    Quran.com
  7. Al-Quran, Surah at-Taubah (9): 65–66.

    Quran.com
  8. Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 51; Surah Ali 'Imran (3): 85; Surah as-Sajdah (32): 22.

    Quran.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akidah Tidak Tepat Istilah: “Manusia Khalifah Allah Di Muka Bumi” 14 Apr 2026 Akidah Pengertian Tawassul & Jenis Tawassul Yang Dibenarkan (Tanpa Khilaf) 28 Okt 2025 Akidah Kepanasan Api Neraka 69 Kali Ganda Api Dunia 13 Okt 2025 Khutbah Khutbah: Pengajaran Daripada Peristiwa Hijrah Rasulullah ﷺ 23 Jun 2026