Pendahuluan
Alhamdulillah, segala puji dan syukur saya rafakkan kepada Allah, Penguasa alam semesta ini, yang telah memberikan kepada kita nikmat hidayah dan taufik ke jalan yang diredai-Nya.
Iaitu jalan dan petunjuk yang dibawa oleh Nabi SAW yang digelar “Rahmatan lil ‘alamin”. Semua jalan menuju ke syurga tertutup melainkan jalannya. Bagindalah pemilik syafaat al-‘uzma pada hari kiamat kelak.
Rentetan daripada banyaknya perkara atau fenomena dalam masyarakat kita yang dibuat secara perhimpunan mega atas nama cinta Nabi SAW, yang belum pernah dibuat seperti itu oleh para ulama atau tuan-tuan guru kita di pondok atau di masjid, masyarakat tertanya-tanya tentang perkara tersebut seolah-olah ia suatu perkara yang disepakati (ijmak) oleh para ulama tentang kebaikannya.
Ada yang disebut “Madad” atau “Ya Hanana”, lalu masyarakat awam melaungkannya tanpa mengetahui apa maksud dan maknanya. Mereka ikut rentak lagu yang merdu diiringi paluan dan gemerincing alatan, yang memang menjadi kebiasaan naluri manusia yang sukakan kemerduan dan bunyian yang mengasyikkan.
Untuk menyatakan kepada masyarakat bahawa perkara ini ada bantahannya dan ada perbincangannya dalam kalangan para ulama Islam Ahli Sunnah wal Jamaah, maka ana kongsikan di Facebook satu penjelasan atau pandangan sebahagian ulama seperti di bawah ini (yang sememangnya sudah tersebar di internet; di zaman globalisasi ini ilmu dan maklumat sukar untuk disembunyikan).
Pencerahan (status Facebook Dr. Abu Anas Madani, 16 Ogos 2014)
Petikan pandangan di bawah ini ada rujukannya. Sekiranya anda ada pandangan lain, boleh berbincang secara baik dan ilmiah berdasarkan fakta yang sahih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Telah tersebar qasidah yang berbunyi:
“Al-Madad, al-Madad, al-Madad ya Rasulallah”, yang diterjemahkan: “Pertolonganmu, pertolonganmu, pertolonganmu, ya Rasulullah.”
Apa maksud madad?
Dari segi bahasa, madad (مَدَد, jamak: أَمْدَاد) bermaksud bantuan atau pertolongan (عَوْن). Kata yang seakar dengannya, imdad (إِمْدَاد), bermaksud memberi bantuan, sokongan atau bekalan.
Sebahagian orang melaungkan qasidah ini tanpa niat memohon pertolongan Rasulullah SAW dan kita berharap inilah yang diyakini kebanyakan mereka yang membaca qasidah itu. Akan tetapi, terdapat sebahagian mereka yang benar-benar meyakini bahawa boleh meminta tolong daripada Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda kerana mereka berpegang bahawa Nabi SAW masih hidup di alam kubur dan mampu mendoakan umatnya sebagaimana ketika baginda masih hidup.
Di sini, blog al-Kahfi membawakan kepada pembaca fatwa-fatwa para ilmuwan Islam berkaitan hal ini:
Fatwa Islamweb.net no. 230005
Tajuk: (Hukum berkata “Madad ya Rasulullah” tanpa niat memohon pertolongan)
Soalan:
ما حكم قول: مدد يا رسول الله، دون قصد الاستغاثة أو طلب العون؟ وما حكم من قالها جاهلا معناها؟
Apakah hukum berkata “Madad ya Rasulullah” tanpa niat memohon pertolongan? Apa pula hukumnya orang yang berkata demikian kerana tidak faham maksudnya?
Jawapan:
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه، أما بعد: فإن طلب المدد من الأموات عموما، إنما هو دعاء لغير الله تعالى، وهو شرك. وانظر الفتوى رقم: 41011 وما أحيل عليها. وإن كان القائل لا يقصد الاستغاثة، ولا طلب العون، فماذا يقصد إذن؟!
Memohon pertolongan daripada orang yang telah mati secara umumnya ialah doa kepada selain Allah dan ia syirik. Seandainya orang yang berkata itu tidak bermaksud memohon pertolongan, lalu apakah tujuannya yang sebenar?
وعموما فمن قال ذلك وهو يجهل معناه، أو يجهل حكمه، فإنه يعذر بجهله حتى تقام عليه الحجة؛ كما سبق في الفتوى رقم: 172957
Umumnya, sesiapa yang menyebut perkataan itu dalam keadaan jahil tentang maksudnya atau jahil tentang hukumnya, dia diberikan keuzuran kerana kejahilannya sehingga ditegakkan hujah kepadanya.
Fatwa Islamweb.net no. 41011
ما حكم من يقول: مدد يا رسول الله، أدركني يا رسول الله، يا رسول الله ادع لنا، ويعتقدون أن رسول الله حي يزورهم؟
Apakah hukum orang yang berkata: “Bantulah kami ya Rasulullah, selamatkanlah aku ya Rasulullah, ya Rasulullah doakanlah kami” dan beriktikad bahawa Rasulullah SAW masih hidup dan menziarahi mereka?
Jawapan:
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه أما بعد: فإن قول القائل “يا رسول الله، وأدركني يا رسول الله” هو من الدعاء الصريح لغير الله، وذلك كفر مخرج من الملة، فالله تعالى شرع لعباده أن يعبدوه ولا يشركوا به شيئا، فلا يدعى إلا الله، ولا ينذر إلا لله، ولا يستغاث بغير الله، ولا يركع ولا يسجد إلا له… والدعاء والاستغاثة من أشرف العبادات، لاشتمالها على الذل والخضوع
Sesungguhnya perkataan “Ya Rasulullah, selamatkanlah aku ya Rasulullah” merupakan doa yang jelas kepada selain Allah dan ia kekufuran yang mengeluarkan daripada agama. Allah mensyariatkan kepada hamba-hamba-Nya untuk menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Tidak dipohon doa kecuali kepada Allah, tidak dilakukan nazar kecuali kerana Allah, tidak dipohon pertolongan (istighasah) kepada selain Allah dan tidak rukuk dan sujud melainkan kepada-Nya. Doa dan istighasah merupakan semulia-mulia ibadat kerana ia merangkumi sifat merendah diri dan tunduk.
روى أحمد والترمذي وأبو داود وابن ماجه من حديث النعمان بن بشير أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: الدعاء هو العبادة. وقرأ: وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ [غافر:60]. وانظر المزيد في الفتوى رقم: 27752.
Imam Ahmad, at-Tirmizi, Abu Dawud dan Ibn Majah meriwayatkan hadis an-Nu‘man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Doa itu ialah ibadat.” Kemudian baginda membaca: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghafir: 60)
وأما عن حياة رسول الله صلى الله عليه وسلم فإنه حي عند الله حياة لا كالحياة الدنيوية، فالله تعالى إذ اصطفى طائفة من خلقه بأن صيرهم بعد الموت أحياء عنده، كما قال تعالى: وَلا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتاً بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ [آل عمران:169]. فرسول الله صلى الله عليه وسلم أولى بالاصطفاء، لأنه أفضل خلق الله،
Adapun kehidupan Rasulullah SAW, baginda hidup di sisi Allah dengan kehidupan yang tidak seperti kehidupan di dunia. Allah telah memilih sekelompok daripada makhluk-Nya dengan menjadikan mereka hidup di sisi-Nya selepas kematian mereka, sebagaimana firman-Nya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Surah Ali ‘Imran: 169)
Maka Rasulullah SAW lebih utama untuk terpilih kerana baginda ialah makhluk Allah yang paling afdal.
ولكن حياته لا تعني أنه يزور الناس في أماكنهم أو يحضر جلساتهم وأذكارهم ويدعو لهم، إذ لو جاز أن يفعل شيئا من ذلك، لفعله مع صحابته وخلفائه وهم أفضل أمته وأعز الخلق عليه. والله أعلم.
Tetapi kehidupan baginda tidak bermaksud baginda menziarahi manusia di tempat mereka atau menghadiri majlis dan zikir mereka lalu berdoa untuk mereka. Seandainya baginda boleh melakukan hal ini, nescaya baginda akan melakukannya bersama sahabat-sahabat dan khalifah-khalifahnya, kerana merekalah umatnya yang paling utama dan paling dikasihinya. Wallahu a‘lam.
Tamat petikan.
Komentar Team ASWJ-RG
Ekoran itu tersebarlah satu artikel bertajuk “Hukum Mengucapkan Madad Ya Rasulullah: Pencerahan Buat Abu Anas Madani” pada 17 Ogos 2014 oleh Team ASWJ-RG:
“Artikel pada kali ini kami merespons status Facebook Abu Anas Madani yang boleh dikira sebagai berbahaya kepada masyarakat kerana boleh menjerumuskan kepada budaya takfir-mentakfir…”
Respons awal daripada Dr. Abu Anas Madani:
Alhamdulillah. Petikan pandangan ulama dalam isu madad telah diulas oleh para ustaz dengan hujah mereka yang tersendiri (boleh dibaca dalam blog dan Facebook mereka). Terima kasih kepada mereka yang membincangkannya secara ilmiah dan akademik.
Dan di sini ana menegaskan bahawa ana tidak mensyirikkan dan mengkafirkan sesiapa. Bukan manhaj dan cara ana berdakwah untuk mengkafirkan orang Islam. Itu pandangan fatwa yang dinukilkan. Kalau ada pencerahan, kemukakanlah; masyarakat boleh menilainya dengan baik, insya-Allah. (AAM, 17 Ogos 2014)
Respons Abu Anas Madani
Di bawah ini respons AAM kepada artikel tersebut.
Penjelasan pertama: isu takfir
Ulasan ana tentang isu takfir (suka atau berani mengkafirkan orang yang tidak sependapat dengannya).
Budaya ini telah menular dalam kalangan masyarakat Malaysia ekoran ada beberapa orang pendakwah yang sangat berani dan boros mengeluarkan perkataan kafir, bahkan berani menuduh orang perseorangan (takfir mu‘ayyan) dengan menyebut namanya secara sarih: “si fulan kafir” atau “murtad”. Wal‘iyazubillah.
Maka dengan rasa cemas dan bimbang terhadap budaya yang dahsyat ini, ana telah menulis tazkirah atau peringatan kepada pendakwah dan masyarakat agar berhati-hati dengan golongan ini. Lihat: Jangan Mudah Melemparkan Tuduhan Jahat dan Melabel Para Pendakwah.
Jadi, kalau penulis artikel meluahkan rasa kebimbangannya dalam isu takfir ini, maka saya berseru agar kita bersama-sama membanteras kelompok tersebut.
Penjelasan kedua: isu madad atau istighasah (meminta pertolongan daripada orang yang telah mati)
Penulis artikel telah menyebut: “Dr. Abu Anas mengatakan…”. Itu bukan kata-kata saya; itu petikan daripada sumber yang dikongsikan.
Penulis dalam artikelnya telah menyebut banyak hujah atau dalil yang menunjukkan keharusan beristighasah dengan orang mati.
Ulasan:
Pertama: hujah yang dikemukakan ada yang sahih, namun cara pengambilan dalil (wajh al-istidlal) daripadanya masih memerlukan pencerahan:
- Peristiwa tersebut berlaku semasa hayat Nabi SAW, bukan selepas kewafatan baginda.
- Berbeza antara berdoa kepada Allah dengan menggunakan “jah” (kedudukan) Nabi SAW dengan terus meminta kepada Nabi SAW selepas kewafatan baginda.
- Tidak boleh disamakan taraf Nabi SAW dengan taraf manusia lain, sama ada orang yang diberi taraf wali dan sebagainya.
Kedua: atau dalil yang dibawa oleh para ulama yang membenarkannya tidak kuat (daif) dan menjadi pertikaian para ulama hadis atau memang palsu (maudhu‘).
Maka dalil atau sandaran tersebut memerlukan pencerahan lagi untuk mencerahkan masyarakat dalam isu ini.
Di bawah ini ana kemukakan contoh satu dalil yang menjadi rebutan antara pendokong dan penentang: kisah ad-Darir (lelaki buta) yang bertawassul.
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ حُنَيْفٍ، أَنَّ رَجُلًا ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَنِي، قَالَ: «إِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ وَإِنْ شِئْتَ صَبَرْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ»، قَالَ: فَادْعُهْ، قَالَ: فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ: «اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ، إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لِيَ، اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ».
‘Uthman bin Hunaif r.a. meriwayatkan bahawa seorang lelaki buta datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkan aku.” Baginda menjawab: “Jika engkau mahu, aku akan doakan; dan jika engkau mahu bersabar, itu lebih baik bagimu.” Lelaki itu menjawab: “Doakanlah.” Lalu Nabi SAW menyuruhnya berwuduk dan memperelok wuduknya, kemudian berdoa dengan doa ini:
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan nabi-Mu, Muhammad, Nabi pembawa rahmat. Sesungguhnya aku menghadap kepada Tuhanku denganmu (wahai Muhammad) untuk hajatku ini agar ia ditunaikan. Ya Allah, terimalah syafaatnya untuk diriku.” (Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Da‘awat, no. 3578; kata at-Tirmizi: hasan sahih gharib)
Hadis ini menjadi hujah kepada sebahagian ilmuwan Islam yang membenarkan bertawassul dengan Nabi SAW hatta selepas kewafatan baginda.
Pendapat ini dibantah oleh ulama lain. Mereka berhujah bahawa hadis ini menunjukkan tawassul dengan doa orang soleh. Ini berdasarkan perkataan lelaki itu kepada Nabi SAW: “Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkan aku.”
Hadis ini menunjukkan lelaki itu dan Nabi SAW kedua-duanya berdoa kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan doa lelaki itu: “Ya Allah, terimalah syafaatnya untuk diriku.”
Hadis di bawah menjadi hujah penguat bahawa tawassul hanya dengan orang yang masih hidup.
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، فَقَالَ: «اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَسْقِينَا، وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا»، قَالَ: فَيُسْقَوْنَ.
Anas r.a. meriwayatkan bahawa Umar al-Khattab r.a., apabila berlaku kemarau, memohon hujan dengan bertawassul melalui al-‘Abbas bin ‘Abdul Muttalib. Beliau berkata: “Ya Allah, sesungguhnya dahulu kami bertawassul kepada-Mu dengan Nabi kami SAW lalu Engkau turunkan hujan kepada kami dan sesungguhnya kini kami bertawassul kepada-Mu dengan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Maka hujan pun turun. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Istisqa’, no. 1010; juga Kitab Fada’il as-Sahabah, no. 3710)
Berdasarkan hadis ini, jika dibenarkan bertawassul dengan Nabi SAW selepas kewafatan baginda, kenapa Saidina Umar perlu bertawassul dengan al-‘Abbas r.a.?
Petikan perbincangan 1
Pusat Fatwa Islamweb di bawah seliaan Dr. Abdullah al-Faqih merumuskan dalam salah satu fatwanya:
والتوسل بذات النبي صلى الله عليه وسلم، أو بجاهه، أو بحقه، مختلف فيه بين العلماء: فذهب أكثر الفقهاء من المالكية، والشافعية، والحنابلة إلى جوازه، واحتجوا بأحاديث لا يصلح شيء منها للاحتجاج، إذ هي بين الضعيف والموضوع، كما احتجوا أيضاً بعمومات من القرآن، وبأحاديث صحيحة، لكنها ليست نصاً على ما ذهبوا إليه من جواز التوسل المذكور.
Tawassul dengan zat Nabi SAW, dengan kedudukannya atau dengan haknya merupakan perkara yang diperselisihkan oleh ulama.
Pendapat pertama: kebanyakan fuqaha mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali membenarkannya. (Hujah mereka telah disebut panjang lebar dalam artikel pencerahan tersebut.)
Menurut fatwa itu, mereka berhujah dengan hadis-hadis yang tidak dapat dijadikan hujah, kerana hadis-hadis itu sama ada lemah atau palsu. Mereka juga berhujah dengan keumuman ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih, tetapi semuanya bukan nas yang jelas membenarkan tawassul yang disebutkan.
أما من ذهب إلى المنع من هذا النوع من التوسل فحجته أنه لم يرد نص صحيح صريح يبيحه، وأن جاه النبي صلى الله عليه وسلم ومنزلته ليست من عمل الإنسان، والله تعالى يقول: ﴿وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى﴾ [النجم:39] ومن أدلتهم أيضاً على منعه أنه وسيلة إلى الاستغاثة بغير الله تعالى، واعتقاد نفعه وضره، وهذا مفض إلى الشرك، ووسيلة إليه، بالإضافة إلى أن هذا لم يكن من هدي النبي صلى الله عليه وسلم، ولا من عمل الصحابة، ولا التابعين بعده. والراجح عندنا هو القول الأخير لقوة أدلة القائلين به، ولكون التوسل من باب الدعاء، والدعاء عبادة، والعبادة توقيفية. والله أعلم.
Pendapat kedua: para ulama yang melarang tawassul sebegini berhujah bahawa tiada satu dalil yang sahih dan jelas menunjukkan ia dibenarkan. Kedudukan Nabi SAW bukanlah hasil amalan insan (yang berdoa), sedangkan Allah berfirman: “Dan bahawa tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya.” (Surah an-Najm: 39)
Antara hujah mereka juga, ia merupakan jalan (wasilah) kepada meminta pertolongan selain Allah dan beriktikad bahawa Nabi SAW yang memberi manfaat dan mudarat. Ini akan membawa dan menjadi jalan kepada syirik. Tambahan pula, ia bukan daripada petunjuk Nabi SAW, bukan juga amalan para sahabat dan bukan juga amalan para tabiin selepas mereka.
Jadi pendapat yang kuat di sisi kami (panel fatwa laman tersebut) ialah pendapat yang kedua (yang melarang) kerana kekuatan dalil-dalil mereka dan kerana tawassul itu termasuk dalam bab doa, doa ialah ibadat dan ibadat itu tauqifi (hanya dilakukan apabila ada dalil). Tamat petikan.
Kesimpulannya
Perlu difahami, yang menjadi khilaf para ulama ialah berdoa kepada Allah dengan lafaz tawassul seperti: “Ya Allah, dengan kemuliaan Nabi-Mu, aku memohon kepada-Mu.”
Akan tetapi, jika seseorang berdoa: “Ya Rasulullah, bantulah aku”, ini merupakan perkara yang berbeza!
Jadi, “al-Madad ya Rasulullah”: tawassul dengan Rasulullah SAW atau meminta tolong kepada Rasulullah SAW?
Sebahagian pihak yang mempertahankan lirik qasidah “al-Madad ya Rasulullah” menyatakan bahawa mereka bukan berdoa kepada Rasulullah SAW, sebaliknya mereka berdoa kepada Allah sambil bertawassul dengan Rasulullah SAW.
Jika benar ia tawassul dengan Rasulullah SAW, kenapa lafaznya “al-Madad ya Rasulullah”? Kenapa bukan “al-Madad ya Allah”?
Maka perbincangan ini memerlukan pencerahan yang lebih terperinci lagi.
Petikan perbincangan 2
Pandangan di atas mungkin agak keras cara rumusannya. Di bawah ini pula petikan pandangan Syeikh Dr. Yusuf bin Abdullah al-Qaradawi, Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, yang juga tokoh ulama semasa yang membawa pendekatan wasati atau sederhana:
Tawassul yang menimbulkan perselisihan ulama
Tawassul yang menimbulkan perselisihan dalam kalangan ulama dan perbahasan hebat antara golongan yang mengharuskannya dengan golongan yang melarangnya ialah bertawassul kepada Allah SWT dengan zat Nabi SAW atau dengan salah seorang nabi, malaikat atau orang soleh.
Ia dilakukan dengan cara bertawassul dengan “jah” Nabi (pangkat dan kedudukan Nabi SAW di sisi Allah SWT), hak atau kedudukannya di sisi Allah SWT, agar diperkenankan doa dan permintaan orang yang bertawassul.
Terdapat dalam kalangan tokoh generasi salaf dan khalaf yang mengharuskannya jika berkaitan dengan Nabi SAW sahaja, tetapi tidak mengharuskannya jika melibatkan selain baginda, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad dan lain-lain.
Antara mereka ada juga yang mengharuskan bertawassul dengan seluruh para nabi dan orang-orang soleh.
Hujah mereka ialah hadis ‘Uthman bin Hunaif berkaitan kisah seorang lelaki buta yang bertawassul dengan Nabi SAW, lalu Allah SWT mengembalikan semula penglihatannya.
Mereka juga berhujah dengan logik akal, iaitu syafaat orang-orang yang dekat dengan raja, sultan atau umara diterima dan diperkenankan kerana mereka menjadi orang tengah yang membawa pengaduan rakyat jelata kepada raja. Ada yang mengatakan: “Kalau tidak kerana orang tengah, sudah tentu perkara yang dipohon tidak tercapai.”
Kemungkinan orang yang membezakan antara bertawassul dengan Nabi dan dengan orang-orang soleh yang bukan nabi melihat Nabi SAW berbeza dengan orang lain kerana baginda wafat dalam keadaan diredai Allah SWT dan merupakan ahli syurga. Manakala tidak ada seorang pun yang lain dapat dipastikan benar-benar meninggal dunia di atas landasan iman dan menjadi ahli syurga secara pasti, kecuali orang-orang yang diberi berita gembira oleh Rasulullah SAW sebagai ahli syurga.
Al-Qaradawi berpendapat bahawa mengqiaskan yang ghaib dengan yang nyata atau mengqiaskan Allah ‘Azza wa Jalla dengan makhluk, raja-raja atau sultan, merupakan qias yang tidak dapat diterima. Ini kerana, sebagaimana yang diyakini umat Islam, terdapat perbezaan yang besar dan ketara antara dua perkara yang dibandingkan itu. Pada pintu perkenan Allah SWT tidak ada sebarang penjaga dan tidak ada orang tengah antara-Nya dengan makhluk-Nya.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah: 186)
Dalam kesimpulannya, Syeikh menegaskan bahawa khilaf dalam masalah ini jelas. Sila rujuk bab at-Tawassul dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jilid 14.
Namun Syeikh secara peribadi lebih cenderung untuk tidak bertawassul dengan zat Nabi SAW dan orang soleh yang lain kerana beberapa sebab:
- Dalil-dalil yang menegah bertawassul dengan zat Nabi dan zat orang-orang soleh lebih kuat menurut neraca ilmu, lebih-lebih lagi pintu Allah sentiasa terbuka kepada setiap makhluk-Nya.
- Keharusan bertawassul kadang-kadang membuka jalan pintas ke arah berdoa kepada selain Allah SWT dan memohon pertolongan daripadanya dan ramai orang mencampuradukkan kedua-dua perkara tersebut. Menutup pintu tersebut kepada orang awam lebih utama, terutamanya yang melibatkan tauhid dan syirik.
- “Manhaj, pendekatan atau jalan dakwah yang saya pilih dalam pengajaran, dakwah dan fatwa ialah: jika masih boleh mengajak masyarakat beribadat kepada Allah dengan melakukan perkara yang disepakati oleh ulama, tidak wajar sama sekali memberi penekanan kepada perkara-perkara yang masih diperselisihkan oleh mereka, kerana tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.” (Lihat: Fusul fi al-‘Aqidah, hlm. 261–266, Maktabah Wahbah, 2005)
Bacaan berkaitan: Pengertian Tawassul & Jenis Tawassul yang Dibenarkan Tanpa Khilaf.
Penjelasan tentang syafaat Rasulullah SAW
Ana telah menjelaskannya dalam syarah kitab Anak Kunci Syurga (Siri 09): Syafaat Nabi SAW, syarat mendapat syafaat dan cara meraihnya. Sila lihat: Tonton video di YouTube.
Semoga Allah menjadikan kita semua termasuk dalam golongan orang yang layak menerima syafaat.
Penjelasan ketiga: sadd az-zara’i‘
Sadd az-zara’i‘ bermaksud membendung perkara yang asalnya harus tetapi boleh membawa kepada keburukan.
Contohnya fenomena yang baharu dibawa ke dalam masyarakat kita dengan niat yang baik, tetapi dengan kefahaman yang tidak mantap dan tanpa kawalan ilmu, maka dibimbangi lama-kelamaan ia akan menjadi fenomena yang merosakkan.
Penjelasan keempat: keluar daripada khilaf
Kata ulama: “Keluar daripada perkara khilaf itu lebih baik.”

Kalau dalam amalan kita ada yang sahih, sabit daripada Rasulullah SAW dan para sahabat, yang tidak dipertikaikan oleh sesiapa, mengapa kita hendak mencari amalan atau perbuatan yang begitu berat pertikaian dan khilafnya?
Alhamdulillah, syariat Islam sangat agung. Rasulullah SAW wafat setelah menyempurnakan tugas menyampaikan risalah Islam.
Akhir kata, semoga kita semua, para pendakwah dan mereka yang berilmu, dapat menyampaikan dan membimbing masyarakat dengan ilmu dan amalan yang sahih dan betul daripada syariat Islam, berteraskan ajaran al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih. Bukan mengajar mereka dengan pelbagai ajaran dan pendapat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya lalu menjadikan mereka semakin jauh dari landasan syariat yang suci.
Jauhkan diri daripada suka menjatuhkan hukum kafir atau murtad atau meletakkan label yang buruk terhadap orang yang berbeza pandangan dengan kita.

Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita ke jalan yang diredai-Nya. Wallahu a‘lam.

وصلى الله على نبينا وقدوتنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.
Akhukum, Abu Anas Madani, 24 Syawal 1435H / 20 Ogos 2014.
Bacaan berkaitan
Rujukan
9 sumber-
Islamweb, Fatwa no. 230005: حكم قول: مدد يا رسول الله، دون قصد الاستغاثة.
IslamWeb -
Islamweb, Fatwa no. 41011: ماهية حياة رسول الله بعد موته (15 Syawal 1424H).
IslamWeb -
Sunan Abi Dawud, no. 1479; Jami' at-Tirmizi, no. 2969; Sunan Ibn Majah, no. 3828 (riwayat an-Nu'man bin Basyir r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah Ghafir (40): 60; Surah Ali 'Imran (3): 169; Surah an-Najm (53): 39; Surah al-Baqarah (2): 186.
Quran.com -
Jami' at-Tirmizi, Kitab ad-Da'awat, no. 3578 (riwayat 'Uthman bin Hunaif r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Istisqa', no. 1010; Kitab Fada'il as-Sahabah, no. 3710 (riwayat Anas r.a.).
Sunnah.com -
Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, entri at-Tawassul, jilid 14.
Maktabah Syamilah -
Sahih Muslim, no. 770 (riwayat 'Aisyah r.a.).
Sunnah.com -
Jami' at-Tirmizi, no. 2406; Musnad Ahmad 4/148 (riwayat 'Uqbah bin 'Amir r.a.) — as-Silsilah as-Sahihah, no. 888.
Sunnah.com
