Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akidah

Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 1 Januari 2008 · 15 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: buku “Fahaman & Ideologi Umat Islam” (PTS Islamika, 2008).

Pendahuluan

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, Terengganu mengenai mazhab, pegangan dan akidah dunia Islam, iaitu syarah kitab Lahirnya Beberapa Firqah di Kalangan Umat Islam. Kuliah itu kemudiannya dibukukan dengan judul “Fahaman & Ideologi Umat Islam” (PTS Islamika, 2008).

Di bawah ini ialah petikan kuliah Jumaat 13 Oktober hingga 10 November 2006 mengenai Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Ahlus Sunnah wal Jamaah

Mereka ialah golongan yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka. Generasi paling awal dan utama dalam kalangan mereka ialah para sahabat, kemudian diikuti oleh para tabiin dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka. Generasi pertama dalam kalangan mereka dikenali dengan nama Salaf. Mereka berpandukan al-Quran dan sunnah tanpa menghuraikan kenyataan yang samar (mutasyabihat) dan menyerahkan maksudnya kepada Allah. Ini berpandukan firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 7:

Maksudnya: “Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu ialah ayat-ayat muhkamat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat muhkamat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat mutasyabihat (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang mutasyabihat kerana mempunyai tujuan menimbulkan fitnah dan mencari takwilnya. Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: ‘Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami.’ Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 7)

Pada zaman awal, mereka tidak banyak berhujah menggunakan logik kerana mereka bersikap menerima tanpa perlu banyak berhujah tentang apa sahaja yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah serta oleh para sarjana Islam daripada kalangan sahabat dan tabiin.

Mereka terdiri daripada pelbagai bidang kegiatan. Ada yang bergiat mendalami ilmu agama dalam pelbagai bidang seperti akidah yang berkaitan dengan beriman kepada Allah, perkara kenabian dan risalah serta rukun-rukun iman yang lain; mendalami ilmu al-Quran dan sunnah, ilmu fikah dan akhlak. Ada pula yang memberi perhatian khusus dengan merekodkan sanad, iaitu turutan penyampai yang dipercayai daripada Nabi Muhammad SAW bagi menjamin keselamatannya daripada kepalsuan. Ada yang mendalami ilmu qiraat. Ada yang sibuk dengan perkara membersihkan hati dan jalan untuk menghampirkan diri kepada Allah yang dikenali sebagai golongan tasawuf. Ada yang menghabiskan umur berjihad di medan perang mempertahankan Islam dan memerangi musuh-musuhnya. Ada yang sibuk dengan ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu (tatabahasa), saraf, balaghah, sastera dan sebagainya yang menjadi alat penting untuk mempelajari agama dalam bahasanya. Dan ada pula yang sibuk dengan urusan-urusan lain tetapi mereka ialah pengikut setia Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Dalam perkara pemerintahan, mereka bersepakat menegaskan wajibnya melantik khalifah untuk memimpin umat dan melaksanakan hukum Allah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa hayat baginda. Mereka juga berpendapat khalifah itu daripada kalangan Quraisy kerana golongan itu paling kuat dan berpengaruh pada masa itu. Khalifah itu mesti menerima baiah, iaitu ikrar setia dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan Rasul-Nya. Ikrar setia ini dilafazkan oleh umat Islam atau wakil mereka yang dinamakan Ahlul Halli wal ‘Aqdi. Mereka berpendapat mesyuarat dianjurkan dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan hadis. Jadi, khalifah, Ahlul Halli wal ‘Aqdi dan mereka yang mengendalikan urusan negara itu mesti adil dan bebas daripada pengaruh peribadi dalam mengendalikan urusan negara. Rujukan yang menjadi ukuran adil itu ialah Kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Mengenai para sahabat, mereka menjunjung tinggi kesemuanya dan mengakui keempat-empat Khulafa’ ar-Rasyidin ialah orang yang paling layak pada zaman masing-masing. Mereka memohon supaya Allah mengampuni para sahabat dalam pertelingkahan dan peperangan yang berlaku dalam kalangan mereka. Ini kerana jasa mereka besar dalam menegakkan kalimah Allah walaupun di antara mereka sudah tentu ada yang tersalah dalam pertelingkahan itu. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam al-Quran, Surah al-Hasyr, ayat 10:

Maksudnya: “Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan-Mu dan Maha Penyayang.’” (Surah al-Hasyr, 59: 10)

Generasi pertama ini tidak menamakan diri mereka dengan nama fahaman tertentu. Ini kerana umat Islam pada masa itu bersatu dari segi hidupnya dan para sahabat yang masih hidup menjadi tumpuan untuk bertanya masalah. Amalan ini juga berlaku pada zaman para tabiin. Mereka bukan sahaja tidak mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat, sebaliknya menyandarkan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Nabi Muhammad SAW tanpa sebarang tokok tambah dan tanpa menghuraikannya secara meleret-leret.

Kesemua imam mazhab yang terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, asy-Syafi‘i, Ahmad bin Hanbal, Sufyan ath-Thauri dan lain-lain berpegang dengan aliran salaf ini.

Al-Asya‘irah

Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan dalam kalangan saudara-saudara baharu mengenai agama. Antara topik yang terpenting ialah masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir pelbagai fahaman yang berpandukan logik. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Walau apa pun yang berlaku, Allah berjanji memelihara agama-Nya dengan melahirkan sarjana yang mempertahankan akidah yang tulen. Antara sarjana itu ialah Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari.

Abu al-Hasan al-Asy‘ari dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Beliau pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya, Abu ‘Ali al-Jubba’i. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya mengenai kehidupan selepas mati. Selepas perdebatan itu, Abu al-Hasan al-Asy‘ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Abu al-Hasan al-Asy‘ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahlus Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat untuk mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang dikenali sebagai Asya‘irah, iaitu golongan pengikut fahaman Abu al-Hasan al-Asy‘ari.

Antara teori Abu al-Hasan al-Asy‘ari ialah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci, iaitu:1

  1. Ada (wujud)
  2. Sedia (qidam)
  3. Kekal (baqa’)
  4. Berlawanan dengan sesuatu yang baharu (mukhalafatuhu lil-hawadith)
  5. Berdiri dengan sendirinya (qiyamuhu binafsihi)
  6. Esa (wahdaniyyah)
  7. Berkuasa (qudrah)
  8. Berkehendak (iradah)
  9. Mengetahui (‘ilm)
  10. Hidup (hayah)
  11. Mendengar (sama‘)
  12. Melihat (basar)
  13. Berkata-kata (kalam)

Beliau juga menghuraikan perkara taklid, iaitu mengambil pendapat orang lain tanpa mengetahui hujah yang menguatkannya, dalam perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat itu. Beliau turut menghuraikan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepercayaan kepada rukun-rukun iman.

Aliran Asya‘irah ini berkembang dengan pesat di Iraq. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al-Ayyubi, di Syam dengan sokongan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Muhammad bin Tumart, di Turki dengan sokongan kerajaan Uthmaniyyah dan di daerah-daerah yang lain. Ideologi ini juga didukung oleh sarjana-sarjana daripada kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali. Antara mereka ialah al-Isfara’ini, al-Qaffal, al-Jurjani dan lain-lain hingga sekarang.

Pembaharuan yang dibawa oleh Abu al-Hasan al-Asy‘ari ialah mengemukakan hujah logik yang disertakan dengan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah untuk menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah kerajaan Abbasiyyah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, malah kerajaan-kerajaan yang ditubuhkan kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar dalam mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya‘irah. Di samping itu, lahir tokoh sarjana Islam yang menyambung aliran fahaman ini seperti Abu ‘Abdillah bin Mujahid, Abu al-Hasan al-Bahili, Abu Bakar bin at-Tayyib al-Baqillani, Abu Bakar bin Furak, Abu Ishaq al-Isfara’ini, Abu Muhammad al-Juwaini, Abu al-Muzaffar al-Isfara’ini, Imam al-Haramain al-Juwaini, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan Imam Fakhruddin ar-Razi.

Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari juga meninggalkan beberapa buku karangannya yang masih ada hingga zaman sekarang, antaranya al-Ibanah ‘an Usul ad-Diyanah. Dalam buku ini, beliau menyokong dengan tegas Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara dan didera oleh kerajaan Abbasiyyah yang menyokong Muktazilah pada zamannya. Begitu juga dalam buku al-Luma‘ fi ar-Radd ‘ala Ahl az-Zaigh wa al-Bida‘, beliau mengemukakan hujah logik dan teks. Buku Maqalat al-Islamiyyin mendedahkan fahaman-fahaman yang timbul dalam ilmu kalam dan menjadi rujukan penting dalam pengajian fahaman-fahaman akidah. Buku Istihsan al-Khaud fi ‘Ilm al-Kalam pula ialah risalah kecil untuk menolak hujah mereka yang mengharamkan ilmu kalam.

Walaupun ada dalam kalangan sarjana Islam, terutamanya daripada mazhab Hanbali, yang menyanggah beberapa hujah dan kaedah yang dibawa oleh Abu al-Hasan al-Asy‘ari, ia tidak menafikan jasanya mempertahankan fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah. Fahaman beliau berjaya mematahkan hujah-hujah Muktazilah yang terpesong jauh, iaitu dalam membicarakan al-Quran sebagai kalam Allah yang kekal, isu melihat Allah pada hari kiamat, perkara yang berhubung dengan qada’ dan qadar dan lain-lain. Beliau juga menjadi golongan pertama yang menggunakan nama Ahlus Sunnah wal Jamaah di tengah-tengah kelahiran pelbagai fahaman pada zamannya.

Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari meninggal dunia pada tahun 324 Hijrah dengan meninggalkan pusaka ilmu yang terdiri daripada buku-buku karangan beliau serta murid-murid yang meneruskan perjuangannya. Akhirnya, beliau meninggalkan aliran pengajian akidah yang dianuti oleh sebahagian besar umat Islam hari ini dalam menghadapi cabaran-cabaran baharu yang tidak ada pada zamannya. Seterusnya, aliran ini memerlukan pembaharuan lagi dalam mengemukakan hujah-hujah kontemporari untuk mempertahankan akidah yang sebenar.

Al-Maturidiyyah

Di sebelah timur negara Islam, iaitu di daerah Maturid, wilayah Samarqand, lahir sarjana Islam yang bernama Muhammad bin Muhammad bin Mahmud, Abu Mansur al-Maturidi. Beliau wafat pada tahun 333 Hijrah.2 Beliau membawa aliran akidah dalam fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah untuk menghadapi beberapa penyelewengan pada zamannya. Beliau ialah sarjana Islam dalam mazhab Hanafi.

Beliau muncul di Asia Tengah ketika masyarakat Islam dilanda aliran ideologi yang menyeleweng daripada akidah yang sebenar. Antaranya mazhab Muktazilah, Mujassimah, Muhammad bin Karram as-Sijistani (pemimpin fahaman Karramiyyah), Qaramitah yang dipimpin oleh Hamdan bin al-Asy‘ath (Hamdan Qarmat), Jahm bin Safwan (pemimpin fahaman Jahmiyyah) dan ahli tasawuf Husain bin Mansur al-Hallaj. Imam Abu Mansur al-Maturidi memainkan peranan yang besar dalam menghadapi penyelewengan-penyelewengan yang dibawa oleh mereka.

Walaupun beliau hidup sezaman dengan Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari, beliau mempunyai teknik berhujah dan huraian yang berbeza. Para sarjana Islam menyatakan Imam Abu Mansur al-Maturidi lebih cenderung kepada pendapat Imam Abu Hanifah dalam perkara akidah. Ini kerana beliau merujuk risalah-risalah dan buku-buku yang dinisbahkan kepada Imam Abu Hanifah seperti al-Fiqh al-Akbar, al-Fiqh al-Absat, al-‘Alim wa al-Muta‘allim dan sebagainya.

Terdapat beberapa perselisihan antara Abu Mansur al-Maturidi dengan Abu al-Hasan al-Asy‘ari. Antaranya dalam isu makrifatullah (mengenal Allah): Abu al-Hasan menyatakan ia wajib berdasarkan sumber agama (syarak), tetapi Abu Mansur berkata ia wajib juga berpandukan akal. Dalam isu sifat-sifat Allah, Abu Mansur menambah sifat ma‘nawiyyah, iaitu sifat yang menjadi penguat kepada sifat ma‘ani, beserta sifat-sifat ma‘ani.3 Fahaman Maturidiyyah mewajibkan hukum akal beserta syarak sehingga beliau berselisih dengan sebahagian sarjana fikah dan hadis. Terdapat lagi huraian-huraiannya berhubung qada’ dan qadar dan lain-lain yang berbeza dengan huraian fahaman Asya‘irah.

Abu Mansur al-Maturidi meninggalkan pusaka ilmu yang banyak selain membela fahaman Ahlus Sunnah dalam menghadapi pelbagai fahaman yang menyeleweng. Pusaka ilmunya ialah murid-murid yang ramai dan pengikut-pengikut yang meneruskan ajarannya. Antara murid-muridnya ialah Abu Ahmad al-‘Iyadi, Abu al-Qasim al-Hakim as-Samarqandi, Abu al-Hasan ar-Rustughfani, ‘Abdul Karim bin Musa al-Bazdawi, Abu ‘Ismah, Abu al-Laith al-Bukhari dan lain-lain. Antara pengikut yang meneruskan alirannya ialah Sadr al-Islam Abu al-Yusr Muhammad bin Muhammad bin ‘Abdul Karim al-Bazdawi dan Maimun bin Muhammad an-Nasafi (Abu al-Mu‘in) yang dianggap tokoh sarjana terbesar dalam fahaman ini selepas Abu Mansur. Ada kalanya sebahagian mereka dianggap sebagai kumpulan kecil sebagaimana asy-Syahrastani dalam fahaman Asya‘irah. Antara mereka lagi ialah Najmuddin Abu Hafs ‘Umar an-Nasafi, Nuruddin Ahmad bin Mahmud as-Sabuni, al-Kamal bin al-Humam (sarjana terbilang dalam mazhab Hanafi) dan lain-lain lagi.

Buku-buku yang dikarang oleh Abu Mansur al-Maturidi termasuklah al-Jadal dan Ma’khadh asy-Syara’i‘; kedua-dua buku ini membincangkan usul fikah. Buku-buku dalam ilmu ketuhanan antaranya at-Tauhid, al-Maqalat, ar-Radd ‘ala al-Qaramitah, Bayan Wahm al-Mu‘tazilah, ar-Radd ‘ala al-Imamah li Ba‘d ar-Rawafid dan banyak lagi. Apa yang mendukacitakan, kebanyakan buku itu hilang begitu sahaja. Buku yang masih tersimpan ialah Kitab at-Tauhid dan tafsirnya Ta’wilat Ahl as-Sunnah.4

Abu Mansur al-Maturidi juga, seperti Abu al-Hasan al-Asy‘ari, membawa pembaharuan dalam pengajian akidah. Beliau memasukkan hujah-hujah logik akal ketika menghadapi perkembangan fahaman baharu yang timbul pada zamannya. Pada zaman para sahabat dan generasi awal tabiin, termasuk imam-imam mujtahid yang pertama, mereka lebih bergantung kepada hujah-hujah teks daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW sahaja.

Salafiyyah

Selepas lahir pelbagai teori mengenai akidah, lahir pula fahaman-fahaman yang bukan sahaja berhujah dengan logik tetapi juga menggunakan falsafah. Maka lahirlah dalam masyarakat Islam orang-orang yang mahu supaya umat kembali kepada sumber asal sahaja. Mereka muncul kemudian, iaitu pada kurun ketujuh Hijrah. Sebenarnya, mereka daripada aliran Imam Ahmad bin Hanbal dan teori itu dihidupkan semula. Tokoh yang terkemuka ialah Imam Ibnu Taimiyyah. Beliau dan pengikut-pengikutnya menentang keras golongan yang cuba menghuraikan ayat-ayat mutasyabihat. Golongan ini mahu supaya ayat-ayat mutasyabihat tidak dihuraikan. Mereka hanya menyebut sifat-sifat Allah berpandukan teks-teks yang jelas dalam al-Quran dan hadis. Antara ayat-ayat mutasyabihat itu seperti nuzul (turun), istiwa’ (bersemayam), ad-dahik (ketawa) dan lain-lain, dengan tidak menyamakan Allah dengan makhluk. Selain itu, mereka membangkitkan kembali isu amalan masyarakat dengan huraian-huraian yang panjang mengenai perkara-perkara yang membawa kepada syirik seperti kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam perkara tawassul (memohon dengan perantaraan), ziarah kubur dan sebagainya.

Mereka juga tegas menentang penggunaan ilmu logik sehingga golongan salaf yang baharu ini bergeser dengan fahaman Asya‘irah dan Maturidiyyah yang menjadikan ilmu logik sebahagian daripada perbincangan akidah. Golongan salaf ini menolak huraian ayat-ayat mutasyabihat yang dilakukan oleh Asya‘irah dan Maturidiyyah. Ibnu Taimiyyah yang hidup pada kurun ketujuh Hijrah menjadi tokoh terkemuka dengan mengemukakan hujah-hujah melalui buku-buku karangannya.

Oleh kerana aliran ini dibawa oleh Imam Ahmad bin Hanbal, mereka hanya meneruskan aliran yang dibawa oleh Imam Ahmad. Beliau mahu perbincangan dan pengajian akidah dikembalikan seperti pada zaman Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan tabiin. Walaupun begitu, ada cabaran baharu yang tidak ada pada zaman mereka dan kadang-kadang hujah logik dan falsafah perlu digunakan untuk menolak hujah golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariyyah dan sebagainya.

Wahhabiyyah

Fahaman Wahhabi yang tersebar di Arab Saudi dan beberapa daerah dalam dunia Islam dipelopori oleh pemimpinnya, Syeikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab. Ia ialah kesinambungan daripada aliran salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyyah. Syeikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab mendapat kekuatan apabila beliau bergabung dengan keluarga Ibnu Sa‘ud. Akhirnya, mereka berjaya mengambil alih kuasa di Semenanjung Arab dan membentuk kerajaan beraja Arab Saudi.

Fahaman Wahhabi dengan tegas mengemukakan dua prinsip yang penting, iaitu tauhid yang bersih daripada sebarang syirik dan menghalang sebarang bentuk bidaah (ajaran baharu). Halal dan haram diambil terus daripada sumber al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Sebarang perkataan sarjana Islam perlu dikaji semula, lalu mereka membuka kembali ruang mengeluarkan hukum dengan luas. Mereka menentang ziarah kubur wali-wali dan menganggap amalan ini membawa kepada syirik. Namun, hukumnya berbeza apabila menziarahi kubur dengan tujuan mengambil pengajaran dan mengingati hari akhirat, bukan dengan tujuan berdoa kepada si mati atau bertawassul melalui orang yang sudah mati. Semasa mereka menguasai Makkah dan Madinah, mereka bertindak merobohkan bangunan-bangunan yang didirikan di atas kubur para sahabat dan tabiin serta tempat-tempat bersejarah yang dipuja secara melulu.

Mereka menentang perayaan seperti maulid (sambutan hari lahir) dan sebagainya yang tidak ada pada zaman Nabi Muhammad SAW dan mengemukakan beberapa pendapat yang lebih keras daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Taimiyyah. Fahaman ini disokong oleh gerakan Syeikh Muhammad ‘Abduh di Mesir, Syeikh ‘Abdul Hamid bin Badis di Algeria, Syeikh Ahmad di Punjab, India dan beberapa tempat lagi dalam dunia Islam.

Kesimpulan

Kesemua mereka yang disebut di atas ialah daripada golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Walaupun terdapat pertelingkahan dan perselisihan yang keras dan tajam antara satu sama lain, pertelingkahan itu tidak tersasar daripada dasar-dasar akidah. Walau bagaimanapun, ia boleh membawa kesan-kesan buruk dalam hubungan sesama umat Islam. Perselisihan pendapat dan pentafsiran itu ialah perbezaan fahaman dalam mentafsirkan teks yang sama dan kadang-kadang kerana perbezaan masa dan tempat serta cabaran yang dihadapi dan keperluan hujah untuk menghadapi cabaran luaran.

Kemudahan sumber-sumber rujukan dan perhubungan yang ada pada zaman ini sepatutnya menghidupkan semula persefahaman sesama aliran. Pada masa yang sama, masa tidak dihabiskan dengan pertelingkahan sesama sendiri tetapi lebih tertumpu kepada menghadapi masalah pokok yang melanda umat Islam dan menentang musuh yang sebenar.

Nota kaki

  1. Nota penyunting: Imam al-Asy‘ari mengisbatkan sifat-sifat Allah yang disebut dalam al-Quran dan sunnah. Susunan sifat dua puluh (termasuk 13 sifat di atas) dalam bentuk senarai dan pembahagian nafsiyyah, salbiyyah, ma‘ani dan ma‘nawiyyah dikemaskan oleh ulama Asya‘irah terkemudian, antaranya Imam Muhammad bin Yusuf as-Sanusi (w. 895H) dalam Umm al-Barahin.
  2. Teks asal menyebut “lahir pada tahun 332 Hijrah”. Tahun yang masyhur dalam sumber biografi ialah tahun wafat beliau, iaitu 333 Hijrah (944 Masihi); tahun lahirnya tidak diketahui dengan pasti (dianggarkan sekitar pertengahan kurun ketiga Hijrah) kerana beliau sezaman dengan al-Asy‘ari (w. 324H).
  3. Nota penyunting: perbezaan yang lebih masyhur dalam kitab-kitab akidah ialah al-Maturidiyyah menambah sifat at-takwin (mengadakan) sebagai sifat azali yang tersendiri, manakala al-Asya‘irah mengembalikannya kepada sifat qudrah dan iradah (lihat Syarh al-‘Aqa’id an-Nasafiyyah oleh at-Taftazani).
  4. Teks asal menyebut buku yang masih tersimpan ialah at-Tauhid dan al-Maqalat. Karya beliau yang masyhur masih wujud dan sudah dicetak ialah Kitab at-Tauhid dan tafsir Ta’wilat Ahl as-Sunnah (Ta’wilat al-Qur’an); kewujudan naskhah al-Maqalat tidak dapat disahkan.

Rujukan

3 sumber
  1. Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 7.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah al-Hasyr (59): 10.

    Quran.com
  3. Abdul Hadi Awang, Fahaman & Ideologi Umat Islam (Batu Caves: PTS Islamika, 2008) — rekod katalog perpustakaan UniSZA.

    cendekia.unisza.edu.my

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akidah Tidak Tepat Istilah: “Manusia Khalifah Allah Di Muka Bumi” 14 Apr 2026 Akidah 10 Perkara Yang Membatalkan Islam 29 Okt 2025 Akidah Pengertian Tawassul & Jenis Tawassul Yang Dibenarkan (Tanpa Khilaf) 28 Okt 2025 Akidah Kepanasan Api Neraka 69 Kali Ganda Api Dunia 13 Okt 2025