Tulisan: Ummu Anas Madani. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani.
Pendahuluan
Dajjal ialah suatu fitnah yang cukup berat bagi orang yang akan bertemu dengannya. Kerana itulah Rasulullah SAW telah mengajar kita agar sentiasa berdoa pada akhir solat dengan doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, aku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah al-Masih ad-Dajjal.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW telah berwasiat dalam hadisnya agar kita memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada fitnah Dajjal pada akhir tahiyat setiap kali menunaikan solat. Dajjal yang ditakuti itu akan muncul pada akhir zaman sebagai salah satu daripada tanda-tanda kiamat yang besar. Pada waktu itu ramai manusia yang tidak beriman atau yang goyah imannya di atas dunia ini akan menjadi pengikutnya dan mempercayai bahawa dia ialah tuhan.
Penerangan
Menurut Rasulullah SAW juga, Dajjal buta sebelah matanya tetapi mempunyai kuasa-kuasa luar biasa yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Dia boleh mendengar dengan telinganya apa yang diucapkan di hujung dunia sana, boleh melihat dengan matanya yang sebelah itu apa yang berlaku di dunia ini, boleh menjelajah dunia dalam masa beberapa hari sahaja, boleh mengeluarkan khazanah seperti emas dan perak dari perut bumi dengan mudah, boleh menurunkan hujan dan menumbuhkan tanam-tanaman serta boleh mematikan dan menghidupkan kembali orang yang telah mati. [Lihat: Nihayah al-‘Alam, hlm. 249]1
Daripada Huzaifah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
الدَّجَّالُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُسْرَى، جُفَالُ الشَّعَرِ، مَعَهُ جَنَّةٌ وَنَارٌ، فَنَارُهُ جَنَّةٌ، وَجَنَّتُهُ نَارٌ
“Dajjal itu buta mata kirinya, lebat rambutnya dan dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurga dan syurganya pula ialah neraka.” (Hadis riwayat Muslim)
Maka sesiapa yang lemah imannya akan percaya bahawa dia ialah tuhan yang sebenar lalu sujud patuh mengikut perintahnya. Sebaliknya, orang yang kuat imannya akan dapat membaca tulisan di dahinya: ‘kaf, fa, ra’, iaitu kafir; mereka yakin bahawa ia hanyalah satu penipuan untuk menguji keimanan manusia.
Daripada Qatadah, beliau mendengar daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak ada seorang nabi pun melainkan dia telah memperingatkan umatnya terhadap si pendusta yang buta sebelah mata. Ketahuilah bahawa Dajjal itu buta sebelah matanya sedangkan Tuhan kamu tidak buta sebelah mata; di antara kedua-dua matanya tertulis ‘kaf’, ‘fa’, ‘ra’.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Walaupun Dajjal yang sebenar dengan segala macam fitnah yang dibawanya akan muncul pada akhir zaman ketika hampirnya kiamat, Rasulullah SAW telah mengajar umatnya agar beramal dengan doa tersebut. Mungkin kerana sebelum itu akan ada fitnah-fitnah yang serupa dengannya – semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua daripadanya – walaupun lebih kecil berbanding fitnah Dajjal yang hakiki.
Dajjal Moden

Kali ini kita akan melihat perspektif tentang Dajjal moden melalui perbincangan antara Syeikh Ibnu Bulaihid – yang menjadi tumpuan orang-orang Badwi di Najd dan penduduk sekitarnya yang mahu belajar dan mendengar ilmu daripadanya – dengan seorang penulis yang terkenal di Arab Saudi, iaitu Muhammad Asad yang berasal dari Austria.
Beliau datang ke Arab Saudi pada zaman pemerintahan al-Malik ‘Abdul ‘Aziz dan merupakan sahabat Almarhum yang sangat dihormatinya. Beliau mencatatkan perbincangan tersebut dalam bukunya yang masyhur, The Road to Mecca (Jalan ke Makkah).
Buku ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Arab dengan judul at-Tariq ila al-Islam. Dengan pengalamannya sebagai orang Barat (Western man) yang bukan Muslim sebelum itu, beliau mengibaratkan huraian Dajjal yang disebutkan dalam hadis itu sebagai satu huraian yang menepati kemajuan teknologi dunia moden hari ini (sebelum datangnya Dajjal akhir zaman yang hakiki), iaitu tentang kehidupan manusia hari ini yang telah luput maruahnya serta hilang segala pertimbangan dan kaitan dengan asal usul kejadiannya.

Katanya: “Tidakkah huraian Dajjal dalam hadis Rasulullah tadi begitu jelas sebagai satu gambaran yang tepat tentang kemajuan teknologi moden hari ini?”
- Ia bermata satu, iaitu hanya melihat kepada satu aspek kehidupan sahaja, iaitu kemajuan atau perkembangan material (material progress); ia tidak peduli akan perkembangan rohani (spiritual side).
- Dengan bantuan mesin dan alat-alat ciptaan yang canggih, manusia boleh melihat dan mendengar tanpa batasan melebihi kemampuan semula jadinya, juga boleh merentas jarak atau sempadan yang tidak terhad dalam masa yang singkat. Ini terbukti dengan ciptaan telefon, kapal terbang, jet, satelit, Internet dan sebagainya.
- Kemajuan sains juga boleh mengadakan hujan tiruan, menumbuhkan tanaman dengan cepat dan mengeluarkan khazanah-khazanah yang tidak disangka dari perut bumi seperti emas, perak, bijih dan minyak dari dasar laut tanpa apa-apa kesukaran.
- Teknologi perubatan pula boleh menyembuhkan orang sakit tenat yang seolah-olah telah mati, manakala peperangan dengan alat-alat canggih yang dicipta melalui sains moden (contohnya bom nuklear) boleh memusnahkan banyak nyawa manusia dalam masa yang singkat sahaja.
Kemajuan dan kecanggihan material ini sungguh memukau dan berkuasa sehinggakan orang yang tidak beriman atau lemah imannya akan mempercayai itulah tuhan dalam bentuknya. Inilah yang dikatakan bertuhankan wang, emas dan kehidupan semata-mata untuk mengejar kepuasan nafsu kebendaan. Mereka bukan menyedari dan menginsafi bahawa kemajuan tamadun (civilization) manusia serta perkembangan teknologi dan sains itu ialah anugerah daripada Tuhan; sebaliknya semakin ramai manusia dalam kejahilan mereka mula menganggap itulah hala tuju akhir mereka dan sesuatu yang wajar diburu dan dipuja.
Tetapi mereka yang sedar akan Penciptanya dan tujuan kewujudannya di dunia ini akan bertambah kuat imannya. Sesungguhnya mengikut Dajjal bererti menafikan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Kesedaran tentang erti Dajjal inilah juga antara sebab yang membawa Muhammad Asad – dan ramai manusia lain – kepada Islam, ad-Din yang hakiki. Bagi beliau dan bagi mereka yang celik, kehidupan kafir Barat telah menjadi satu dunia kehidupan Dajjal yang memukau dan menyesatkan.
Kemajuan ini tidak mampu lagi mengadakan keseimbangan antara keperluan fizikal manusia, kehidupan masyarakat dan keinginan rohaninya. Etika keagamaan langsung tidak penting dalam kamus hidupnya, bahkan hanya dianggap sebagai muzik latar yang menenangkan: boleh menemani tetapi tidak sekali-kali mempengaruhi kehidupan ‘sebenar’ mereka.
Setelah kehilangan segala pedoman agama, mereka tidak mendapat faedah dari segi moral daripada cahaya ilmu pengetahuan yang dicurahkan oleh kemajuan sains mereka yang agung itu.
Ayat al-Quran ini sangat sesuai untuk menghuraikan keadaan mereka:
مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لَا يُبْصِرُونَ صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ
Maksudnya: “Perumpamaan mereka seperti orang yang menyalakan api; maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Baqarah, 2: 17–18)
Kebutaan dalam keangkuhan inilah yang meyakinkan mereka bahawa hanya kemajuan tamadun merekalah yang akan membawa cahaya dan kebahagiaan dalam kehidupan di dunia ini. Mereka menyebarkan slogan materialistik “Western way of life”, iaitu satu kepercayaan bahawa semua masalah kehidupan manusia di dunia ini boleh diselesaikan di kilang-kilang, makmal-makmal dan dengan perangkaan statistik semata-mata.
Wanita dan Dajjal
Rasulullah SAW juga memberitahu bahawa pada akhir zaman nanti kaum wanitalah yang paling ramai keluar mengikut Dajjal. Baginda SAW bersabda:
يَنْزِلُ الدَّجَّالُ فِي هَذِهِ السَّبَخَةِ بِمَرِّقَنَاةَ، فَيَكُونُ أَكْثَرَ مَنْ يَخْرُجُ إِلَيْهِ النِّسَاءُ، حَتَّى إِنَّ الرَّجُلَ لَيَرْجِعُ إِلَى حَمِيمِهِ وَإِلَى أُمِّهِ وَابْنَتِهِ وَأُخْتِهِ وَعَمَّتِهِ فَيُوثِقُهَا رِبَاطًا مَخَافَةَ أَنْ تَخْرُجَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Dajjal akan turun di tanah bergaram ini, di Marriqanah. Yang paling ramai keluar kepadanya ialah kaum wanita, sehinggakan seorang lelaki akan pulang kepada isteri, ibu, anak perempuan, saudara perempuan dan ibu saudaranya lalu mengikat mereka kerana bimbang mereka keluar kepada Dajjal.” (Hadis riwayat Ahmad; sanadnya disahihkan oleh Ahmad Syakir)2
Akhir zaman itu telah tiba sekarang. Ini sekali lagi bertepatan dengan fenomena manusia hari ini, di mana kaum wanita tidak lagi lekat di rumah tetapi turut keluar dengan pelbagai tugas dan tujuan, sama ada yang harus atau tidak. Tidak dapat dinafikan bahawa keluarnya wanita dari rumah hari ini lebih banyak menjurus kepada kesan negatif daripada yang positif.
Di tengah perpecahan dan keruntuhan dunia Islam sekarang ini, kita dapat menyaksikan betapa banyaknya kuasa yang hendak menarik dan sekali gus mengeluarkan wanita daripada agama dan syariat Nabinya ke jalan yang amat jauh daripada jalan yang diredai Allah. Antaranya ialah lantangnya seruan kepada kebebasan wanita.

Lalu keluarlah kaum wanita yang kononnya disokong oleh mereka yang berfikiran liberal, menuntut dan memperjuangkan sesuatu yang di luar fitrah dan tabii kejadian mereka. Para penyeru kebebasan wanita mutakhir ini bertambah lantang dan berani, berusaha sedaya upaya menodai kehormatan dan kedudukan wanita yang telah diangkat oleh Islam.
Semua ini pada umumnya bertujuan menyeret wanita supaya mempunyai kedudukan yang setaraf dengan kaum lelaki, agar wanita meninggalkan serta menanggalkan hijab (pakaian dan tudung) muslimahnya, agar wanita bekerja dalam sektor-sektor pekerjaan yang dahulunya khusus untuk kaum lelaki dan agar wanita berhias secantik mungkin supaya bertambah ayu, seksi, feminin dan menawan ketika keluar dari rumahnya.
Para pejuang kebebasan wanita ini mahu agar wanita disamakan dengan kaum lelaki dalam segala bidang kehidupan, baik dalam pendidikan, pekerjaan, ekonomi mahupun pemerintahan.
Sedangkan hak wanita sudah amat sempurna dalam Islam. Islam memberikan kebebasan kepada wanita dalam bidang pendidikan, perkahwinan, pekerjaan, politik dan kemasyarakatan. Panduan umum al-Quran dan as-Sunnah tentang kedudukan wanita adalah sama dengan lelaki dari segi kemanusiaannya, iaitu kedua-duanya mempunyai hak dan kewajipan yang sama dalam melaksanakan tugas-tugas agama, sebagaimana firman Allah Taala:
Maksudnya: “Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada satu jiwa.” (Surah an-Nisa’, 4: 1)
Hak-hak ini semua tidak terdapat dalam fahaman mereka yang menamakan dirinya “fahaman moden” yang menyeru kepada ‘kebebasan wanita’ itu. Bahkan sebaliknya, mereka mengatakan bahawa Islam menghilangkan hak-hak wanita dan memenjarakannya di dalam rumah.
Apakah kerana Islam tidak menjadikan wanita sebagai “barangan murah” yang dapat dinikmati oleh setiap pandangan mata dan menjadi pemuas nafsu mereka yang rosak moralnya? Inikah kebebasan yang mereka perjuangkan? Dan inikah hak yang mereka tuntut?
Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW:
مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ
“Tidaklah aku tinggalkan selepasku satu fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki daripada (fitnah) kaum wanita.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maka dengan itu Dajjal moden telah muncul untuk menguasai nafsu manusia. Manusia sudah mula melangkah dan bertindak sendiri merealisasikan segala tanda yang disebut oleh Rasulullah SAW itu.
Sekali lagi, marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhkan dan diselamatkan daripada fitnah Dajjal ini, sama ada yang nyata (iaitu Dajjal yang hakiki) atau dalam apa-apa bentuk penjelmaannya sekalipun. Sesungguhnya ia satu fitnah yang amat dahsyat! Amin.
Wallahu a‘lam.
Ummu Anas Madani, Madinah, September 1999.
Nota kaki
- Nota penyunting: dalam hadis-hadis sahih, antara yang disebut tentang Dajjal ialah dia berada di bumi selama empat puluh hari (sehari seperti setahun, sehari seperti sebulan, sehari seperti seminggu dan hari-hari lain seperti hari biasa), memerintah langit lalu turun hujan dan bumi lalu tumbuh tanaman serta khazanah bumi mengikutinya (riwayat Muslim daripada an-Nawwas bin Sam‘an). Dia juga membunuh seorang lelaki lalu menghidupkannya semula (riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Sa‘id al-Khudri). Sifat “mendengar apa yang diucapkan di hujung dunia” tidak ditemui dalam hadis sahih; ia lebih tepat difahami sebagai gambaran popular.
- Nota penyunting: Musnad Ahmad, no. 5353 (daripada Ibnu ‘Umar r.a.). Sebahagian ulama hadis seperti Syeikh al-Albani (Qissah al-Masih ad-Dajjal, hlm. 88) menilainya daif kerana Muhammad bin Ishaq dalam sanadnya meriwayatkan secara ‘an‘anah sedangkan beliau seorang mudallis.
Rujukan
11 sumber-
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jana'iz, no. 1377 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Masajid, no. 588 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Fitan, no. 2934 (riwayat Huzaifah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, no. 7131; Sahih Muslim, no. 2933 (riwayat Anas bin Malik r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Fitan, no. 2937 (riwayat an-Nawwas bin Sam'an r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 7132; Sahih Muslim, no. 2938 (riwayat Abu Sa'id al-Khudri r.a.).
Sunnah.com -
Musnad Ahmad, no. 5353 (riwayat Ibnu 'Umar r.a.); dinilai daif oleh al-Albani (Qissah al-Masih ad-Dajjal, hlm. 88) kerana 'an'anah Ibnu Ishaq.
islamqa.info -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 17–18.
Quran.com -
Al-Quran, Surah an-Nisa' (4): 1.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab an-Nikah, no. 5096; Sahih Muslim, no. 2740 (riwayat Usamah bin Zaid r.a.).
Sunnah.com -
The Road to Mecca (Muhammad Asad, 1954) — maklumat buku.
en.wikipedia.org
