Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah (JAKIM)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 28 April 2011 · 11 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah, laman rasmi JAKIM (islam.gov.my).

Pendahuluan

بسم الله الرحمن الرحيم

Kelihatan pelbagai iklan peraduan atau pesta memancing yang menjanjikan hadiah lumayan diletakkan di tepi jalan. Kita tidak tahu sama ada pihak penganjur telah merujuk kepada pejabat agama di tempat masing-masing sebelum menganjurkan pesta tersebut. Untuk membantu umat Islam memahami isu ini, ana petik di sini garis panduan yang dikeluarkan oleh JAKIM, agar umat Islam mendapat ilmu dan maklumat tentang perkara ini.

Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah (JAKIM)

1. Tujuan

Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah ini disediakan untuk memberi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan peraduan yang menawarkan hadiah sebagai ganjaran, sama ada agensi kerajaan dan swasta, syarikat telekomunikasi, media cetak dan elektronik, pengendali konsep peraduan, penaja, orang awam serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam peraduan tersebut.

2. Pendahuluan

2.1 Dengan kemajuan arus perdana, urus niaga jual beli telah mula diperluas dengan pelbagai teknologi moden termasuk melalui SMS. Bukan sekadar itu, promosi produk jualan juga semakin berkembang pesat melalui instrumen semasa, termasuk penganjuran peraduan kontemporari oleh pelbagai pihak yang telah menjadi begitu popular dan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

2.2 Namun begitu, penganjuran peraduan kontemporari yang kebiasaannya menawarkan hadiah, contohnya peraduan melalui SMS, telah menimbulkan pelbagai polemik dan persoalan khususnya daripada aspek hukum syarak. Justeru garis panduan ini diterbitkan untuk merungkai segala permasalahan dan kekeliruan, sekali gus memastikan seluruh penganjuran peraduan berasaskan hadiah bertepatan dengan prinsip muamalat Islam yang berasaskan aspek ketelusan dan keadilan.

2.3 Garis panduan ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Mesyuarat Panel Kajian Syariah, JAKIM.

3. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-64 yang bersidang pada 27 Julai 2004 telah memutuskan:

“Peraduan kuiz melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan seumpamanya mengandungi unsur-unsur eksploitasi, kesamaran (tidak jelas), pertaruhan dan nasib yang tergolong dalam pengertian judi. Oleh itu, hukum peraduan kuiz tersebut adalah haram di sisi syarak.”

4. Kriteria yang mesti dielakkan dalam penganjuran peraduan berasaskan hadiah

4.1 Eksploitasi

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, “eksploitasi” bermaksud perbuatan atau tindakan mempergunakan sesuatu (orang dan lain-lain) untuk kepentingan (keuntungan dan sebagainya) diri sendiri. (Kamus Dewan)

Eksploitasi bermaksud menuntut (meminta) hasil daripada sesuatu yang dimiliki oleh pemilik. (Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah)

Eksploitasi juga bermaksud use selfishly and unfairly for one’s own advantage or profit. (Oxford Dictionary)

Dalam konteks peraduan, peserta mengharapkan hadiah lumayan yang ditawarkan, manakala pihak penganjur mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tertentu dan mengaut keuntungan di atas keghairahan orang ramai yang menyertainya. Perbuatan tersebut adalah suatu bentuk eksploitasi yang tidak diharuskan oleh Islam.

4.2 Kesamaran

Dalam konteks peraduan yang menawarkan hadiah, maksud “kesamaran” ialah sesuatu perkara yang kurang jelas keadaannya. (Kamus Dewan)

Kesamaran (gharar) juga ditakrifkan sebagai bahaya, tipu helah dan mendedahkan diri kepada kebinasaan diri dan hartanya. Al-Jurjani pula mentakrifkannya sebagai sesuatu yang tidak diketahui akibatnya, sama ada berlaku atau sebaliknya. (Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah)

Kesamaran juga dimaksudkan dengan look or sound different from normal; give false appearance. (Oxford Dictionary)

Dr. Yusuf al-Qaradawi menjelaskan pendirian Islam terhadap perbuatan yang samar-samar atau syubhah. Beliau menyatakan bahawa Islam memberikan satu garis panduan yang disebut sebagai sikap berhati-hati kerana takut terlibat dalam perbuatan haram. Melalui sifat ini seseorang Muslim dituntut menjauhkan diri daripada sesuatu masalah yang masih samar-samar, sehingga dengan cara itu dia tidak melakukan perbuatan yang haram.

Perbuatan seperti ini termasuk dalam sadd adz-dzara’i‘ (menutup pintu kejahatan). Ia juga merupakan salah satu pendidikan untuk orang Islam memandang lebih jauh serta menyelidik tentang kehidupan dan manusia itu sendiri. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas. Di antara kedua-duanya ada beberapa perkara yang samar (syubhat) yang tidak diketahui oleh ramai orang, sama ada ia termasuk perkara yang halal atau yang haram. Maka sesiapa yang menjauhinya untuk membersihkan agama dan kehormatannya, dia akan selamat. Sesiapa yang melakukan sedikit daripadanya hampir-hampir dia akan jatuh ke dalam yang haram, sebagaimana orang yang menggembala kambing di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir dia akan jatuh ke dalamnya. Ingatlah bahawa setiap raja mempunyai kawasan larangan. Ingatlah bahawa kawasan larangan Allah ialah semua yang diharamkan-Nya.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 52, Muslim, no. 1599 dan at-Tirmizi, no. 1205; lafaz ini lafaz at-Tirmizi.) (Dr. Yusuf al-Qaradawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 37)

Dalam konteks peraduan kontemporari ini, penganjur mengenakan caj bayaran dengan pelbagai istilah seperti wang pertaruhan, wang penyertaan, yuran pertandingan dan sebagainya.

Penganjur juga menyediakan syarat peraduan yang kurang telus serta mengelirukan. Ini menyebabkan peserta bergantung kepada nasib di samping menyimpan angan-angan untuk memperoleh hadiah yang lumayan. Kesamaran yang berlaku dalam peraduan seumpama ini boleh menyebabkan orang ramai terlibat dalam perjudian tanpa mereka sedari.

4.3 Pertaruhan

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, “pertaruhan” bermaksud wang dan lain-lain yang dipasang dalam perjudian. (Kamus Dewan)

Pertaruhan juga bermaksud money etc risked or gambled on the unknown result of a future event. (Oxford Dictionary)

Judi dari sudut bahasa bermaksud pertaruhan yang menggunakan anak panah. Ibn Hajar al-Makki mentakrifkan perjudian sebagai al-qimar dalam apa jua bentuk. Manakala al-Mahalli menjelaskan bahawa bentuk perjudian ialah sesuatu yang diragukan sama ada untung atau rugi. (Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah)

Peraduan kontemporari, contohnya melalui SMS, ialah suatu permainan yang melalaikan dan boleh dikategorikan seperti permainan an-nard (permainan dadu tradisi masyarakat Arab yang mengandungi unsur perjudian dan pertaruhan).

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi (Fatawa Mu‘asirah), para fuqaha mengharamkan permainan ini berdasarkan dalil al-Quran dan hadis serta bentuk permainan tersebut yang mengandungi unsur judi yang diharamkan. Mereka merujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” [Al-Ma’idah: 90]

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang bermain an-nard, sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” [Riwayat Abu Daud, no. 4938]

Dalam konteks peraduan, unsur perjudian wujud kerana ia mengandungi unsur pertaruhan: setiap peserta dikenakan caj bayaran dengan pelbagai istilah yang mengaburi mata peserta sebagai syarat untuk menyertai peraduan tersebut. Bayaran inilah yang dinamakan pertaruhan.

4.4 Nasib

“Nasib” bermaksud melakukan sesuatu dengan harapan mendapat keuntungan; bertaruh. (Kamus Dewan)

Nasib juga bermaksud chance, esp thought of as a force that brings good or bad fortune. (Oxford Dictionary)

Perbuatan peserta yang membayar caj peraduan dengan harapan mendapat keuntungan atau habuan hadiah ketika menyertai sebarang peraduan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak tidak diharuskan oleh Islam. Ia sama dengan perbuatan mempertaruhkan wang lalu bergantung harapan kepada nasib untuk mendapat keuntungan yang lebih banyak.

Perbuatan bergantung kepada nasib ini bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 90 di atas.

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, ada segelintir penganjur peraduan meletakkan kaedah penentuan pemenang berdasarkan peserta yang berjaya menjawab soalan dengan tepat dan paling pantas. Kaedah pemilihan pemenang seumpama ini tidak patuh syariah kerana peserta yang menjawab soalan dengan tepat masih tiada jaminan untuk dipilih sebagai pemenang, kerana terpaksa bergantung kepada nasib semata-mata untuk menjadi peserta yang terpantas menjawab soalan.

4.5 Pembaziran

“Pembaziran” bermaksud perbuatan membazirkan (wang, masa, tenaga dan sebagainya). (Kamus Dewan)

Pembaziran juga dapat diertikan sebagai membelanjakan harta di luar tujuannya. Sesetengah ahli fiqh mentakrifkan pembaziran sebagai tiada ihsan dalam pengurusan harta dan membelanjakan harta bukan pada tempat yang sepatutnya. Membelanjakan harta pada jalan kebaikan bukanlah pembaziran dan membelanjakan harta untuk makanan juga tidak termasuk dalam kategori pembaziran. (Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah)

Pembaziran juga dimaksudkan dengan not thinking of the consequences or of danger; rash or impulsive. (Oxford Dictionary)

Islam melarang umatnya mensia-siakan harta atau wang pada tempat yang tidak wajar dan tidak diharuskan oleh Allah SWT. Ini bermakna walaupun sedikit yang kita belanjakan, jika bukan pada tempat yang wajar, ia tetap dikira membazir. Banyak atau sedikit semata-mata bukanlah ukuran membazir atau tidaknya sesuatu perbelanjaan. Perbuatan membazir sangat dilarang dalam Islam, malah ia dianggap bukan perbuatan seorang Muslim. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” [Al-Isra’: 27]

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, ramai peserta menghabiskan wang semata-mata untuk meraih hadiah yang ditawarkan. Walau bagaimanapun hanya sebilangan kecil peserta yang akan memperoleh hadiah, manakala sebahagian besar akan mengalami kerugian serta kehilangan wang dalam pertaruhan. Mereka telah membazirkan masa, wang dan tenaga semata-mata untuk mendapatkan hadiah yang belum pasti diperoleh.

5. Panduan kepada peserta

5.1 Sebelum menyertai sebarang peraduan yang berasaskan hadiah, peserta haruslah meneliti dan memahami perkara-perkara berikut:

  1. Bentuk dan operasi peraduan.
  2. Terma dan syarat peraduan dengan jelas.
  3. Memastikan peraduan yang disertai tidak mengandungi unsur yang bercanggah dengan hukum syarak seperti perjudian, pembaziran, eksploitasi, keraguan dan kerugian kepada peserta.
  4. Memastikan caj yang dikenakan terhadap mereka sama seperti caj biasa sebelum peraduan berlangsung, jika peraduan tersebut melibatkan perbualan telefon dan kaedah SMS.
  5. Peraduan yang disertai bermanfaat dan tidak mengandungi unsur hiburan yang melampau, aktiviti yang melalaikan dan seumpamanya.
  6. Peserta hendaklah merujuk kepada pihak berkuasa yang berautoriti sekiranya terdapat keraguan mengenai sesuatu peraduan, terutamanya dari sudut hukum syarak dan perundangan negara.
  7. Peserta dinasihatkan agar tidak terlalu taksub dan fanatik kepada sesuatu peraduan sehingga meninggalkan tugasan wajib.

6. Panduan kepada penganjur

6.1 Yuran pendaftaran dan caj tambahan

  1. Penganjur tidak boleh mengenakan apa-apa caj atau yuran kepada peserta sebagai bayaran pendaftaran untuk menyertai peraduan yang dianjurkan, bagi mengelakkan wujudnya unsur perjudian dan pertaruhan.
  2. Tiada sebarang caj tambahan boleh dikenakan kepada peserta peraduan, contohnya caj kos pengurusan, caj ke atas setiap set soalan peraduan dan seumpamanya.
  3. Jika peraduan dianjurkan melalui telefon dan seumpamanya, pihak penganjur tidak boleh menaikkan caj perbualan telefon dan SMS daripada caj semasa bagi mengelakkan wujudnya unsur perjudian.

6.2 Terma dan syarat peraduan yang jelas

  1. Penganjur mestilah menyatakan tujuan, syarat penyertaan, ganjaran hadiah, kaedah pemilihan pemenang, tempoh masa dan seumpamanya dengan tepat, jelas dan terperinci dalam terma dan syarat peraduan.
  2. Sekiranya peraduan tersebut melibatkan penjualan produk dan seumpamanya, perkara tersebut perlu diperincikan dengan jelas dalam terma dan syarat.
  3. Terma dan syarat juga mestilah adil, tidak mengandungi unsur penipuan ataupun helah, tidak berat sebelah sama ada di pihak penganjur mahupun pelanggan dan tidak bercanggah dengan syarak.
  4. Terma dan syarat mestilah dapat diakses sepenuhnya oleh pelanggan dengan jelas, sama ada melalui iklan di media cetak, media elektronik atau seumpamanya.
  5. Terma dan syarat mestilah jelas, mudah difahami serta tidak mengelirukan masyarakat awam.

6.3 Promosi dan iklan

  1. Maklumat penting dalam terma dan syarat, iaitu syarat penyertaan, bentuk operasi peraduan, ganjaran hadiah, syarat pemenang dan seumpamanya, mestilah dinyatakan sepenuhnya dengan jelas dan mudah difahami oleh masyarakat awam.
  2. Jika peraduan tersebut melibatkan sebarang penjualan barangan atau produk, promosi penjualan barangan atau produk tersebut mestilah lebih difokuskan berbanding promosi peraduan.
  3. Iklan dan promosi dalam media cetak dan elektronik mestilah:
    • menggambarkan sepenuhnya promosi peraduan tersebut;
    • tidak mengandungi unsur eksploitasi seperti mengeksploitasi wanita dan seumpamanya sebagai daya tarikan; dan
    • tidak mengandungi unsur provokasi, paksaan serta mengelirukan peserta.

6.4 Sistem peraduan yang jelas

6.4.1 Matlamat peraduan

  1. Peraduan yang dianjurkan mestilah mempunyai matlamat yang bermanfaat, membina daya intelektual, memupuk sikap positif dan seumpamanya.
  2. Tidak dijadikan helah untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.
  3. Tidak melalaikan sehingga menyebabkan peserta meninggalkan kewajipan seharian.

6.4.2 Bentuk soalan peraduan

Soalan-soalan peraduan mestilah:

  • bermanfaat, ilmiah dan benar-benar menguji kepintaran;
  • tidak tertumpu kepada perkara yang tidak membina minda serta melalaikan;
  • tidak mengelirukan; dan
  • tidak bercanggah dengan syariat Islam.

6.4.3 Kaedah pemilihan pemenang

  1. Setiap penyertaan mestilah disemak dan dihakimi dengan adil, telus, amanah dan tidak berat sebelah.
  2. Pemenang peraduan tidak boleh ditentukan dengan kaedah cabutan rambang (lucky draw) yang bersandarkan faktor nasib sahaja, contohnya pemenang ditentukan melalui cabutan tanpa disemak terlebih dahulu keseluruhan borang jawapan yang diserahkan peserta.
  3. Sekiranya terdapat lebih daripada satu penyertaan yang menjawab semua soalan objektif dengan betul dan mempunyai markah yang sama, peserta hendaklah diberi soalan subjektif, contohnya menulis cogan kata dan seumpamanya. Hakim mestilah mengadili soalan subjektif tersebut dengan adil sebelum menentukan pemenang.

6.4.4 Tempoh masa peraduan

Jika peraduan tersebut mempunyai had masa penganjuran dan menjawab soalan, ia perlulah dimaklumkan kepada peserta sebelum peraduan bermula.

6.4.5 Ganjaran dan hadiah

  1. Hadiah peraduan yang disediakan oleh pihak penganjur mestilah daripada sumber yang halal.
  2. Hadiah peraduan tidak boleh diambil daripada kumpulan wang peserta, sama ada melalui yuran penyertaan, caj dan seumpamanya.
  3. Sumber dana hadiah tidak boleh diambil daripada hasil caj perkhidmatan yang dikenakan untuk SMS dan seumpamanya.
  4. Hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur mestilah bernilai, bermanfaat dan memenuhi spesifikasi yang dinyatakan dalam terma dan syarat peraduan.
  5. Hadiah peraduan hendaklah disediakan terlebih dahulu sebelum sesuatu peraduan dijalankan bagi mengelakkan timbulnya sebarang unsur penipuan.
  6. Tempoh penyerahan hadiah kepada peserta mestilah ditetapkan dan dinyatakan dengan jelas dalam terma dan syarat peraduan.

7. Kesimpulan

Garis panduan yang diterbitkan ini diharap dapat memberikan panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran peraduan yang menawarkan hadiah sebagai ganjaran. Semoga usaha ini dapat memastikan keseluruhan operasi peraduan mematuhi prinsip-prinsip syariah.

Rujukan garis panduan

  1. Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, Wizarah al-Auqaf wa asy-Syu’un al-Islamiyyah, jilid 3, 4, 31 dan 39, cetakan pertama, 2000, Kuwait.
  2. Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, Dr. Yusuf al-Qaradawi, cetakan ke-15, 1994, al-Maktab al-Islami, Beirut.
  3. Fatawa Mu‘asirah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 2, 1991, Dar Uli an-Nuha, Beirut.
  4. Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, Kuala Lumpur.
  5. Oxford Advanced Learner’s Dictionary, A.S. Hornby, edisi keempat, 1989, Oxford University Press.

Akhukum, Abu Anas Madani. 28 April 2011.

Rujukan

7 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 90.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah al-Isra' (17): 27.

    Quran.com
  3. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, no. 52 (riwayat an-Nu'man bin Basyir r.a.).

    Sunnah.com
  4. Sahih Muslim, Kitab al-Musaqah, no. 1599.

    Sunnah.com
  5. Sunan at-Tirmizi, no. 1205.

    Sunnah.com
  6. Sunan Abu Daud, Kitab al-Adab, no. 4938 (riwayat Abu Musa r.a.).

    Sunnah.com
  7. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-64, 27 Julai 2004: Hukum Peraduan Kuiz Melalui SMS.

    e-fatwa.gov.my

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026