Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akidah

Golongan yang Mempersendakan Agama: Apakah Sikap Kita?

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 10 Februari 2006 · 8 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Dalam catatan ringkas ini, insya-Allah sama-sama kita ikuti kisah “Madrasah al-Istihza’”, iaitu golongan yang mempersendakan para ulama dan para pendakwah serta ajaran dakwah Islamiah yang dibawa mereka. Madrasah ini diasaskan oleh golongan munafiqin untuk menentang perjuangan Islam pada zaman Rasulullah SAW dan diteruskan oleh golongan sekular atau modenis pada zaman sekarang.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah melalui dan merasai kepahitan tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan oleh golongan tersebut. Mereka cuba menghitamkan sirah Rasulullah SAW dan menjatuhkan martabat Baginda, sekali gus menjauhkan manusia daripada dakwah dan jihad yang dibawanya. Mereka menyakiti Baginda sebagaimana orang kafir Quraisy menyakiti Baginda dengan mengeluarkan Baginda dari kampung halamannya sehingga Baginda terpaksa meninggalkan harta benda dan rumah tangganya.

Kisah ‘Umair bin Sa‘d dan al-Julas

Di Madinah, Baginda SAW sentiasa berada di masjid bersama para sahabat. Baginda mengajar, mendidik dan mentarbiah mereka yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat: tua dan muda, miskin dan kaya. Dalam kalangan para sahabat itu terdapat seorang kanak-kanak yang, walaupun masih kecil, jiwanya telah dipenuhi kalimah tauhid dan keimanan yang teguh. Beliau ialah ‘Umair bin Sa‘d radhiallahu ‘anhu.

Pada suatu hari, ‘Umair pergi ke rumah bapa tirinya (suami ibunya) yang telah memeliharanya sejak kecil, seorang tua yang berumur lebih enam puluh tahun tetapi dirinya penuh dengan sifat munafik. Walaupun begitu dia sentiasa bersolat bersama orang lain di masjid, bahkan berpuasa dan mengerjakan umrah. Dia seorang yang mendustakan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Namanya al-Julas bin Suwaid.

Semasa berada di rumah al-Julas, ‘Umair menceritakan apa yang dipelajarinya daripada Rasulullah SAW. Katanya: “Wahai pak cik! Kami telah mendengar Rasulullah SAW menceritakan tentang kedahsyatan hari Kiamat, sehingga kami terasa seolah-olah hari Kiamat itu sedang berlaku di hadapan mata kami.” Setelah mendengar kata-kata ‘Umair, al-Julas lantas mencelah: “Wahai ‘Umair! Demi Allah! Kalaulah Muhammad itu benar, maka kami lebih bodoh daripada keldai!”

Serta-merta berubah air muka ‘Umair dan gementar tubuhnya kerana terlalu marah. Beliau terus membantah: “Pak cik! Demi Allah! Engkaulah orang yang paling aku sayangi dengan sepenuh hati sebelum ini, tetapi demi Allah, sekarang engkaulah orang yang paling aku benci.” Kemudian ‘Umair berkata lagi: “Aku sekarang berada di persimpangan dua jalan. Sama ada aku mendiamkan sahaja kata-katamu ini, maka aku telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya atau aku melaporkannya kepada Rasulullah SAW dan terserahlah apa yang akan berlaku selepas ini.”

Setelah mendengar bantahan ‘Umair, al-Julas terus mengejeknya: “‘Umair! Engkau budak yang masih mentah. Orang tidak akan percaya apa yang engkau cakap. Pergilah beritahu apa yang engkau suka.”

Dengan segera ‘Umair keluar menghadap Rasulullah SAW dan melaporkannya: “Wahai Rasulullah! Al-Julas telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya aku berlepas diri daripadanya kepada Allah dan kepadamu.” Rasulullah SAW bertanya: “Apakah yang diucapkannya, wahai ‘Umair?” Jawabnya: “Kalaulah Muhammad itu benar, maka kami lebih bodoh daripada keldai.”

Rasulullah SAW tidak terus membuat keputusan memandangkan kedudukan al-Julas dalam kalangan sahabat. Baginda memanggil beberapa orang sahabat dan bermesyuarat dengan mereka. Sebahagian sahabat berkata: “‘Umair budak yang masih mentah. Jangan tuan percaya cakapnya. Dia tidak tahu apa yang dicakapkannya, sedangkan al-Julas seorang tua yang baik dan sentiasa bersolat bersama kami.”

Rasulullah SAW diam, belum membenarkan laporan tersebut. Maka menangislah ‘Umair teresak-esak, menggigil tubuhnya, lalu mengangkat mukanya ke langit, mengharapkan bantuan dari langit setelah tiada lagi tempat mengadu di bumi. Beliau mengharapkan tasdiq (pembenaran) dan penyaksian daripada Yang Maha Mengetahui segala perkara ghaib dan tersembunyi. Beliau berdoa: “Ya Allah! Sekiranya apa yang aku sampaikan ini benar, maka benarkanlah. Sekiranya apa yang aku sampaikan ini dusta, maka dustakanlah.”

Belum sempat Rasulullah SAW meninggalkan majlisnya dan keluar dari masjid, Jibril ‘alaihissalam datang membawa pengakuan pembenaran laporan ‘Umair bin Sa‘d melalui firman Allah SWT yang dapat kita baca hingga hari ini, yang bermaksud:

“Mereka (orang-orang munafik) bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu), padahal sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kufur dan menjadi kafir sesudah Islam dan mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak dapat capai (percubaan membunuh Rasulullah SAW) …” [At-Taubah: 74]

Rasulullah SAW terus memanggil al-Julas dan bertanya tentang apa yang diucapkannya. Al-Julas dengan mudah bersumpah bahawa dia tidak berkata apa-apa terhadap Rasulullah SAW. Baginda SAW terus membacakan ayat yang diturunkan itu dan bersabda: “Sesungguhnya engkau, wahai al-Julas, telah kafir! Maka bertaubatlah sekarang, kerana firman Allah (yang bermaksud): ‘… Maka jika mereka bertaubat, itulah yang lebih baik bagi mereka …’” [At-Taubah: 74]. Riwayat menyebut al-Julas kemudian mengakui kesalahannya dan bertaubat dan baik taubatnya.

Kemudian Rasulullah SAW memanggil ‘Umair bin Sa‘d dan mengucapkan “Marhaban” serta menggembirakannya kerana laporannya mendapat pembenaran dari atas tujuh petala langit. [As-Suyuti, Tafsir ad-Durr al-Manthur, 3/463–464]

Demikianlah kisah ‘Umair r.a. dengan golongan munafiqin yang sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan kedudukan para pendakwah dan alim ulama.

Kisah munafik dalam perjalanan ke Tabuk

Sekarang kita ikuti satu lagi peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW tentang golongan yang mempersendakan Rasulullah SAW, agama Islam dan para sahabat.

Al-Hafiz Ibn Kathir meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar r.a. serta dua orang tabi‘in, Muhammad bin Ka‘b dan Zaid bin Aslam, bahawa seorang munafik berkata ketika keluar berperang ke Tabuk: “Kami tidak pernah melihat golongan seperti para qurra’ kita ini (maksudnya Rasulullah SAW dan para sahabat). Mereka paling gemar mengisi perut, paling pembohong lidahnya dan paling pengecut ketika berdepan dengan musuh.”

Seorang sahabat bernama ‘Auf bin Malik terus membantah: “Engkau berdusta! Engkau seorang munafik. Aku akan melaporkan kepada Rasulullah SAW apa yang engkau katakan.”

Kemudian datanglah munafik tadi menghadap Rasulullah SAW ketika Baginda berada di atas untanya untuk berangkat. Dia cuba memujuk Baginda, kononnya apa yang diucapkannya hanyalah cakap kosong dan gurauan untuk menghilangkan rasa bosan dalam perjalanan. Rasulullah SAW terus berjalan tanpa menghiraukan rayuannya. Dia terus bergantung pada tali unta Baginda sehingga terheret di atas batu. Rasulullah SAW hanya menjawab dengan ayat al-Quran yang telah diturunkan, yang bermaksud:

“Patutkah nama Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu memperolok-olokkan? Tidak usahlah kamu meminta maaf, kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman.” [At-Taubah: 65–66. Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/351]

Pengajaran

Antara pengajaran dan iktibar yang dapat diambil daripada kisah-kisah di atas:

  1. Para pemuda hendaklah bersikap tegas, berani serta prihatin terhadap isu-isu semasa yang timbul dalam soal akidah dan syariat Islam. Kita hendaklah mengambil tindakan sedaya mampu untuk mempertahankan kesucian dan kemurnian akidah dan syariat Islam daripada dipermain-mainkan oleh golongan yang bersikap seperti al-Julas dan yang seumpamanya. Begitu juga terhadap semua golongan yang mempersendakan undang-undang Islam dengan dakwaan bahawa ia tidak sesuai, lapuk, ketinggalan zaman, zalim, tidak adil, primitif dan lain-lain. Kita tidak boleh berdiam diri atau sekadar menjadi penonton kepada apa yang berlaku di hadapan kita.
  2. Kita hendaklah sedar bahawa dalam masyarakat Islam, bahkan di dalam masjid umat Islam, ada golongan munafik yang zahirnya Islam tetapi diri mereka penuh dengan dusta dan ingkar akan perintah Allah dan Rasul-Nya. Tujuan golongan ini ialah menghancurkan Islam dari dalam. Mereka memainkan peranan menjatuhkan para ulama, pendakwah dan orang soleh, sebagaimana anjing menjilat air dengan lidahnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi musuh daripada kalangan orang yang berdosa. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai pemberi petunjuk dan penolong.” [Al-Furqan: 31]
  3. Orang yang beristiqamah di jalan Allah SWT, yang patuh kepada perintah-Nya, daripada kalangan pendukung perjuangan Islam, para ulama dan pendakwah, dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan gelaran buruk seperti pelampau agama (al-mutatarrif), terpesong dan sesat, ekstrem (al-mutasyaddid), golongan yang gopoh dan bermacam-macam lagi istilah, label dan ungkapan penghinaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Alangkah besarnya perkataan yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan sesuatu melainkan dusta semata-mata.” [Al-Kahf: 5] Tujuan mereka berbuat demikian ialah menjatuhkan kredibiliti para ulama, pendakwah dan pendukung dakwah Islamiah, kerana merekalah sebenarnya pembela Islam.
  4. Golongan munafiqin juga berusaha menyempitkan dan menggagalkan peranan para ulama serta cuba memisahkan mereka daripada menjalankan tugas sebenar sebagai pewaris para nabi. Kononnya ulama hanya layak duduk di masjid dan surau sahaja. Bahkan lebih dahsyat lagi, mereka mengatakan bahawa kemunduran yang melanda umat Islam disebabkan oleh para ulamanya.
  5. Ada perbuatan atau kelakuan tersebut yang tidak diampunkan kecuali pelakunya benar-benar bertaubat dan menyesal. Segala amalan baik orang yang mempermain-mainkan agama gugur kerana dengan perbuatan itu dia menjadi kafir (wal-‘iyazu billah), sebagaimana dijelaskan oleh ayat yang diturunkan untuk membela ‘Umair bin Sa‘d dan sikap Rasulullah SAW terhadap munafik yang bergantung pada tali unta Baginda.

Akhirnya, sama-samalah kita renungkan: golongan manakah yang baik dan perlu diikuti serta dicontohi? Golongan yang mendakwa membawa kemajuan dengan pelbagai slogan dan propaganda, tetapi di sebaliknya penuh tipu daya? Atau golongan yang bercita-cita melihat keagungan Islam dengan akidah dan syariatnya kembali berdaulat di muka bumi Allah SWT, iaitu pengikut ‘Umair bin Sa‘d r.a., yang wajib diikuti dan dicontohi?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Patutkah Kami jadikan orang-orang Islam sama seperti orang-orang yang berdosa? Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu membuat keputusan?” [Al-Qalam: 35–36]

Wasallallahu ‘ala Sayyidina Muhammad. Akhukum fil Islam, Abdul Basit Abdul Rahman (Abu Anas Madani), 11 Muharam 1427H.

Rujukan

8 sumber
  1. Al-Quran, Surah at-Taubah (9): 74.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah at-Taubah (9): 65–66.

    Quran.com
  3. Al-Quran, Surah al-Furqan (25): 31.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah al-Kahf (18): 5.

    Quran.com
  5. Al-Quran, Surah al-Qalam (68): 35–36.

    Quran.com
  6. As-Suyuti, ad-Durr al-Manthur, 3/463–464 (tafsiran at-Taubah: 74).

  7. Ibn 'Abd al-Barr, al-Isti'ab fi Ma'rifah al-Ashab, biografi 'Umair bin Sa'd al-Ansari.

    tarajm.com
  8. Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, tafsiran at-Taubah: 65–66.

    Quran.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akidah Tidak Tepat Istilah: “Manusia Khalifah Allah Di Muka Bumi” 14 Apr 2026 Akidah 10 Perkara Yang Membatalkan Islam 29 Okt 2025 Akidah Pengertian Tawassul & Jenis Tawassul Yang Dibenarkan (Tanpa Khilaf) 28 Okt 2025 Akidah Kepanasan Api Neraka 69 Kali Ganda Api Dunia 13 Okt 2025