Tulisan: Majlis Fatwa, Penyelidikan dan Kajian Islam Jordan, terjemahan Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perlis. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: keputusan bilangan 164 (2/2011), Dairah al-Ifta’ al-‘Am, Jordan; terjemahan disiarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis (dikemas kini 8 Mei 2012).

Hukum demonstrasi
- Majlis Fatwa, Penyelidikan dan Kajian Islam, Jordan
- Keputusan bilangan 164 (2/2011)
- Tarikh: 5 Rabiulakhir 1432H bersamaan 10 Mac 2011
- Terjemahan: Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perlis; telah disemak dan diperakui oleh S.S. Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat Baginda. Wa ba‘d:
Majlis Fatwa, Penyelidikan dan Kajian Islam dalam pertemuan kelima (5) yang diadakan pada hari Khamis, 5 Rabiulakhir 1432H bersamaan 10 Mac 2011, menegaskan kewajipan beriltizam dengan syariat Allah, menyeru agar bersama-sama memerangi kerosakan, keperluan mencari penyelesaian melalui dialog dan berusaha ke arah pembaikan menyeluruh dalam pelbagai lapangan kehidupan, sebagai merealisasikan firman Allah ‘Azza wa Jalla:
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Maksudnya: “Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya aku kembali.” (Hud: 88)
Majlis juga menegaskan keperluan berdakwah kepada Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik.
Sebagai menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan kepada Jabatan Fatwa Umum (دائرة الإفتاء العام) berkaitan hukum agama tentang beberapa demonstrasi, piket dan selainnya yang berlaku kebelakangan ini;
dan melihat kepada kepelbagaian jenis piket dan demonstrasi yang diadakan, pelbagai slogan yang dilaungkan, pelbagai motif, pelbagai bendera yang dikibarkan serta akibat dan kesan yang akan berlaku, maka Majlis Fatwa meletakkan himpunan garis ketetapan sebagai panduan yang digali daripada مقاصد الشريعة الإسلامية وكلياتها (maqasid dan prinsip-prinsip umum syariat Islam). Garis-garis ketetapan tersebut adalah seperti berikut:
- Pertama: Tiada lagi cara lain untuk menyatakan pandangan yang dapat digunakan, seperti dialog yang harmoni dan nasihat-menasihati antara pemimpin masyarakat dengan pembuat dasar.
- Kedua: Ia tidak membawa kepada pertumpahan darah, kehilangan nyawa dan serangan ke atas jiwa.
- Ketiga: Ia tidak menyebabkan mudarat yang lebih besar berbanding manfaat yang diharapkan daripadanya.
- Keempat: Tidak berlaku di dalamnya atau akibat penganjurannya, pengabaian terhadap kemaslahatan negara dan penduduknya.
- Kelima: Tiada di dalamnya serangan terhadap pusat dan institusi yang mempunyai kepentingan umum dan khusus.
- Keenam: Ia tidak dieksploitasi oleh pihak-pihak yang mempunyai matlamat lain yang boleh membawa kepada kekacauan dalam masyarakat.
- Ketujuh: Ia tidak membawa kepada tercetusnya hasutan fitnah dalam kalangan anggota masyarakat yang satu, menggugat keamanan negara, mencetuskan keganasan serta persengketaan kaum dan bangsa dan menyebabkan perpecahan negara Islam.
- Kelapan: Tidak berlaku di dalamnya perkara yang menyalahi syarak seperti percampuran lelaki dan perempuan yang tidak diizinkan dan seumpamanya.
- Kesembilan: Ia tidak menimbulkan rasa takut dalam kalangan orang ramai akibat serangan terhadap harta benda, rumah dan kenderaan mereka, berleluasanya kecurian dan pencerobohan kehormatan rumah dan keluarga mereka.
Majlis Fatwa meletakkan garis-garis ketetapan syarak ini bertujuan menyeru ulama umat Islam, melalui persidangan mereka, agar memberi bimbingan dan pembaikan dan agar mereka mengutamakan kemaslahatan tertinggi umat dan negara Islam, sambil memohon kepada Tuhan Yang Maha Pelindung ‘Azza wa Jalla agar memelihara negara kita dalam keadaan aman dan tenteram serta menjauhkannya daripada fitnah yang zahir dan yang tersembunyi, demikian juga semua negara umat Islam. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong. – Tamat terjemahan fatwa.
Rujukan
2 sumber-
Al-Quran, Surah Hud (11): 88.
Quran.com -
Majlis al-Ifta' wa al-Buhuth wa ad-Dirasat al-Islamiyyah, Jordan, keputusan no. 164 (2/2011), 10 Mac 2011: Hukum demonstrasi.
aliftaa.jo
