Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Hukum Menyentuh Perempuan: Adakah Membatalkan Wuduk?

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 19 Jun 2007 · 6 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Mukadimah

Bersalam atau menyentuh perempuan ajnabi (bukan mahram, iaitu bukan keluarga terdekat yang haram dinikahi dan bukan isteri) dengan sengaja adalah perbuatan yang haram. Demikian juga perempuan menyentuh lelaki ajnabi. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لَأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya: “Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu dicucuk dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya.” [Riwayat ath-Thabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir, 20/211–212, daripada Ma‘qil bin Yasar; disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘, no. 5045 dan as-Silsilah as-Sahihah, no. 226.]

Persoalan

Masalah yang akan dibincangkan ialah apabila tersentuh perempuan ajnabi secara tidak sengaja atau menyentuh isteri sendiri: adakah batal wuduk atau tidak?

Terdapat beberapa pandangan ulama dalam permasalahan ini. Ibn al-Munzir menyebut dalam kitabnya al-Ausath lima pendapat, tetapi yang masyhur ialah tiga.

Pendapat pertama: batal secara mutlak

Pertemuan atau sentuhan antara kulit lelaki dengan perempuan ajnabi (yang sah dinikahi) atau isteri membatalkan wuduk, sama ada dengan syahwat atau tidak, sengaja atau tidak. Tetapi tidak batal jika berlapik walaupun dengan sesuatu yang nipis.

Ini ialah pandangan Ibn Mas‘ud dan Ibn ‘Umar r.a., mazhab Syafie, az-Zuhri, ‘Atha’ bin as-Sa’ib, al-Auza‘i dan lain-lain.

Dalil-dalil

Firman Allah: [أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ] Maksudnya: “… atau jika kamu menyentuh perempuan.” [An-Nisa’: 43]

Mereka berhujah bahawa yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah al-lams, iaitu sentuhan dan hakikat sentuhan dari segi bahasa ialah menyentuh dengan tangan. Juga telah sabit bahawa Ibn ‘Umar menafsirkan ayat ini sedemikian. Kata Ibn ‘Umar:

قُبْلَةُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ وَجَسُّهَا بِيَدِهِ مِنَ الْمُلَامَسَةِ، فَمَنْ قَبَّلَ امْرَأَتَهُ أَوْ جَسَّهَا بِيَدِهِ فَعَلَيْهِ الْوُضُوءُ

Maksudnya: “Kucupan seorang lelaki kepada isterinya dan sentuhannya dengan tangan termasuk ‘mulamasah’. Maka sesiapa yang mengucup isterinya atau menyentuhnya dengan tangan, wajib ke atasnya berwuduk.” [Riwayat Imam Malik dalam al-Muwaththa’]

Maka Imam asy-Syafie menyatakan bahawa sesiapa yang menyentuh dengan tangannya perempuan yang sah dinikahinya, terbatal wuduknya dengan sebab itu. [Al-Umm, 1/63] Adapun hadis-hadis yang digunakan oleh pendapat kedua dan ketiga (di bawah), mazhab Syafie mentafsirkannya sama ada sentuhan itu berlapik ataupun khusus bagi Rasulullah SAW sahaja.

Pendapat kedua: tidak batal sama sekali

Tidak batal wuduk dengan menyentuh perempuan, sama ada dengan syahwat atau tidak. Ini ialah pendapat Ibn ‘Abbas dan ‘Ali bin Abi Talib r.a. yang mentafsirkan firman Allah Ta‘ala:

[أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ] Maksudnya: “… atau jika kamu menyentuh perempuan.” [An-Nisa’: 43]

Menurut mereka, al-lams di situ bermaksud bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuhan seperti pendapat pertama. Ini juga pendapat yang diriwayatkan daripada Thawus, al-Hasan, ‘Atha’ bin Abi Rabah dan Sufyan ath-Thauri. Mazhab Hanafi serta satu riwayat daripada Imam Ahmad juga berpendapat bahawa menyentuh, walaupun dengan syahwat, tidak membatalkan wuduk kecuali dengan berjimak.

Dalil-dalil

  1. Ummul Mukminin ‘Aisyah r.a. berkata:

    «كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ، فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ، فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا، وَالْبُيُوتُ يَوْمَئِذٍ لَيْسَ فِيهَا مَصَابِيحُ»

    Maksudnya: “Aku tidur di hadapan Rasulullah SAW (yang sedang bersolat) dan kedua-dua kakiku di arah kiblatnya. Apabila Baginda sujud, Baginda menyentuhku (dengan tangannya), lalu aku menarik kedua-dua kakiku. Apabila Baginda bangun, aku melunjurkannya semula.” Kata ‘Aisyah lagi: “Dan rumah-rumah pada masa itu tidak berlampu.” [Riwayat al-Bukhari, no. 382]

  2. Begitu juga sebaliknya: jika perempuan menyentuh kulit lelaki, tidak batal wuduknya, sebagaimana riwayat daripada ‘Aisyah r.a.:

    فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنَ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ، فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ

    Maksudnya: “Pada suatu malam aku kehilangan Rasulullah SAW dari tempat tidur, lalu aku mencari Baginda (dengan tanganku). Tiba-tiba tanganku tersentuh kedua-dua tapak kaki Baginda ketika Baginda berada di tempat sujudnya.” [Riwayat Muslim, no. 486]

  3. ‘Aisyah r.a. juga meriwayatkan:

    إِنْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيُصَلِّي وَإِنِّي لَمُعْتَرِضَةٌ بَيْنَ يَدَيْهِ اعْتِرَاضَ الْجِنَازَةِ، حَتَّى إِذَا أَرَادَ أَنْ يُوتِرَ مَسَّنِي بِرِجْلِهِ

    Maksudnya: “Rasulullah SAW bersolat sedangkan aku berbaring melintang di hadapannya seperti jenazah. Apabila Baginda hendak bersolat witir, Baginda menyentuhku dengan kakinya.” [Riwayat Ahmad, 6/260 dan an-Nasa’i, no. 166. Sahih.]

  4. ‘Aisyah r.a. juga meriwayatkan:

    «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبَّلَ بَعْضَ نِسَائِهِ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ وَلَمْ يَتَوَضَّأْ»

    Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW mencium salah seorang isteri Baginda, kemudian keluar menunaikan solat tanpa berwuduk.” [Riwayat Ahmad, no. 25766 dan Abu Daud, no. 179. Sebahagian ulama (seperti al-Albani) mensahihkan hadis ini, tetapi ramai juga yang mendhaifkannya.]

Para ulama ketika menghuraikan hadis ini berkata: “Ini juga dalil bahawa menyentuh perempuan tidak membatalkan wuduk, kerana mencium termasuk menyentuh, sedangkan Nabi Muhammad SAW tidak memperbaharui wuduknya akibat perbuatan itu. Inilah fahaman yang dipegang oleh Ibn ‘Abbas r.a.”

Kekuatan dalil mereka ialah kerana pada asalnya bersentuhan tidak membatalkan wuduk dan tidak terdapat dalil yang sahih dan jelas bagi mereka yang mendakwa ada perbezaan antara sentuhan dengan syahwat dan sentuhan tanpa syahwat.

Pendapat ketiga: batal jika dengan syahwat

Bersyarat, iaitu terbatal wuduk jika menyentuh dengan syahwat, tetapi tidak terbatal jika tanpa syahwat.

Ini ialah pendapat mazhab Hanbali, mazhab Maliki dan para fuqaha penduduk Madinah.

Dalil-dalil

Pendapat ini juga berdasarkan hadis-hadis Ummul Mukminin ‘Aisyah r.a. di atas. Jelas bagi mereka bahawa semata-mata menyentuh (tanpa syahwat) tidak membatalkan wuduk.

Perkataan “ghamazani” dan “massani birijlihi” dimaklumi sebagai sentuhan tanpa keinginan syahwat. Kerana itulah riwayat ini dijadikan dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk.

Pengarang kitab al-Mughni (1/256) berkata: “Sesungguhnya semata-mata menyentuh tidak menjadikan seseorang berhadas. Yang menjadikan seseorang berhadas ialah keluarnya mazi atau mani, iaitu apabila timbul keinginan syahwat.”

Kesimpulan

Perbandingan antara mazhab ini menunjukkan bahawa hanya mazhab Syafie yang agak berat dalam masalah ini, iaitu semata-mata bersentuhan (sama ada sengaja atau tidak) membatalkan wuduk. Sedangkan imam-imam mazhab lain lebih ringan dan terbuka. Mazhab Hanafi berpendapat maksud bersentuh ialah bersetubuh, manakala Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat sentuhan yang membatalkan wuduk ialah yang disertai keinginan syahwat.

Maka pendapat yang rajih (kuat) ialah tidak batal wuduk dengan sebab semata-mata menyentuh perempuan. Dalam hal sentuhan tanpa syahwat, inilah pendapat jumhur (Hanafi, Maliki dan Hanbali) dan inilah tafsiran ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a. (Turjuman al-Quran dan Hibr al-Ummah) serta ‘Ali bin Abi Talib r.a. terhadap firman Allah Ta‘ala “au lamastum”: al-lams itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuhan. [Lihat Tafsir Ibn Kathir]

Adapun dakwaan bahawa sentuhan antara Rasulullah SAW dengan ‘Aisyah berlapik atau khusus bagi Rasulullah sahaja, ramai ulama berpendapat dakwaan tersebut tidak mempunyai dalil yang jelas atau bukti yang menunjukkan sentuhan itu berlapik.

Kata ulama: “Hukum yang amat perlu diketahui oleh umat pasti dijelaskan oleh Rasulullah SAW, walaupun secara umum, kemudian dinukilkan oleh generasi umat ini. Dengan itu diketahui bahawa tidak wajib berwuduk kerana bersentuhan dengan perempuan … kerana seseorang itu sentiasa tersentuh isterinya, dengan syahwat atau tidak dan tidak ada pula riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah SAW menyuruh berwuduk kerananya. Al-Quran pula tidak menunjukkan maksud sedemikian, bahkan yang dikehendaki dengan mulamasah ialah jimak.” [At-Tarjih, hlm. 73–74]

Namun bagi orang yang menyentuh dengan syahwat, lebih baik baginya memperbaharui wuduk, sebagaimana disarankan oleh sebahagian ulama.

Nota khilaf (penyunting): Dalam mazhab Syafie yang menjadi pegangan rasmi di Malaysia, bersentuhan kulit lelaki dan perempuan ajnabi (termasuk isteri) tanpa lapik membatalkan wuduk kedua-duanya walaupun tanpa syahwat dan tanpa sengaja, berdasarkan zahir an-Nisa’: 43 dan tafsiran Ibn Mas‘ud dan Ibn ‘Umar (an-Nawawi, al-Majmu‘, 2/26–38). Pendapat penulis di atas dikekalkan sebagai pendapat yang dirajihkannya berdasarkan dalil-dalil yang dibentangkan; bagi yang mahu keluar daripada khilaf, memperbaharui wuduk adalah lebih berhati-hati.

Video

Penjelasan terperinci boleh didengar dalam video: AAM [Al-Mu‘in 09]: Batal Wuduk Bersentuh antara Lelaki dan Wanita – Kenali Mahram Anda.

Wallahu a‘lam. Akhukum, Abu Anas Madani. Sungai Durian, 19 Jun 2007.

Rujukan

  • An-Nawawi, al-Majmu‘, 2/26–38.
  • Al-Qaradawi, Fiqh ath-Thaharah, hlm. 179–183.
  • Dr. Salman al-‘Audah, Syarh Bulugh al-Maram, 2/821–827.
  • Al-Bassam, Taudhih al-Ahkam, 1/231–232.
  • Dr. Muhammad ‘Umar Bazmul, at-Tarjih fi Masa’il ath-Thaharah wa ash-Shalah.

Rujukan

9 sumber
  1. Ath-Thabarani, al-Mu'jam al-Kabir, 20/211–212, no. 486–487 (riwayat Ma'qil bin Yasar r.a.); al-Albani, Sahih al-Jami' no. 5045 dan as-Silsilah as-Sahihah no. 226.

    ad-Durar as-Saniyyah
  2. Al-Quran, Surah an-Nisa' (4): 43.

    Quran.com
  3. Malik, al-Muwaththa', Kitab ath-Thaharah, bab al-wudhu' min qublah ar-rajul imra'atahu (athar Ibn 'Umar).

  4. Sahih al-Bukhari, Kitab ash-Shalah, no. 382 (riwayat 'Aisyah r.a.).

    Sunnah.com
  5. Sahih Muslim, Kitab ash-Shalah, no. 486 (riwayat 'Aisyah r.a.).

    Sunnah.com
  6. Sunan an-Nasa'i, Kitab ath-Thaharah, no. 166; Musnad Ahmad 6/260; sahih.

    Sunnah.com
  7. Sunan Abu Daud, no. 179; Musnad Ahmad no. 25766 (riwayat 'Aisyah r.a.); diperselisihkan kesahihannya.

    Sunnah.com
  8. Ibn Qudamah, al-Mughni, 1/256.

  9. An-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, 2/26–38.

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026