Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Hukum Rokok dan Kaitannya dengan Kualiti Iman

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 1 Ogos 2010 · 15 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Kertas kerja: Kaitan Merokok dengan Kualiti Iman Umat Islam (USM).

Ramadan dan perubahan

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: {Bulan Ramadan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil).} [Al-Baqarah: 185]

Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan bulan Ramadan bulan yang mulia berbanding bulan-bulan lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya:

  • Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadan.
  • Syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَيُنَادِي مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ، وَذَلِكَ كُلُّ لَيْلَةٍ)) [رواه الترمذي]

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda: “Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, syaitan-syaitan dan jin-jin yang derhaka dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup dan tidak dibuka satu pun, pintu-pintu syurga dibuka dan tidak ditutup satu pun dan ada penyeru yang menyeru: ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, marilah! Wahai orang yang mahukan kejahatan, berhentilah!’ Dan bagi Allah ada hamba-hamba yang dibebaskan daripada neraka dan itu berlaku setiap malam.” [Riwayat at-Tirmizi, no. 682 dan Ibn Majah, no. 1642]

Para ulama berbeza pendapat tentang maksud syaitan dibelenggu. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Halimi bahawa maksud dibelenggu ialah syaitan tidak dapat menimbulkan fitnah kepada umat Islam sebagaimana di luar bulan Ramadan, kerana umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang melemahkan syahwat, serta sibuk membaca al-Quran dan berzikir.

Syeikh ‘Athiyyah Saqr menyebut bahawa beberapa ulama yang mensyarahkan hadis ini menyatakan maksud dibelenggu ialah syaitan tidak dapat menguasai orang yang benar-benar berpuasa dengan puasa yang sebenar, iaitu yang meraikan setiap adabnya, termasuk memelihara lidah, pandangan dan semua anggota daripada maksiat, sebagai memenuhi sabda Nabi SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan dengannya, maka Allah tidak berhajat kepada perbuatannya meninggalkan makanan dan minumannya.” [Riwayat al-Bukhari, no. 1903]

Sebahagian ulama lain pula berpendapat maksud syaitan dibelenggu ialah sebahagian syaitan yang degil dan melampau sahaja, adapun selain mereka tidak dibelenggu. Inilah yang dinyatakan dalam hadis: “Dibelenggu padanya (Ramadan) syaitan-syaitan yang degil (maradah).” [Riwayat an-Nasa’i] Maka belenggu syaitan itu bermaksud melemahkan syaitan dalam menyesatkan umat Islam dan menghiasi syahwat mereka.

  • Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.
  • Terdapat pada bulan ini Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak merebut peluang untuk berbuat kebaikan dan beramal padanya, dia telah terlepas segala kebaikan.
  • Pada setiap malam Ramadan ada hamba-hamba Allah yang dibebaskan daripada api neraka.

Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ، قَالَ اللَّهُ: إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya; satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda hingga 700 kali ganda. Allah berfirman: ‘Kecuali puasa, sesungguhnya ia untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya. Dia meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.’ Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.” [Riwayat Muslim, no. 1151, daripada Abu Hurairah]

Sabda Rasulullah SAW:

((مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ))

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala), diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu.” [Riwayat al-Bukhari, no. 38 dan Muslim, no. 760]

  • Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah.
  • Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.
  • Orang-orang yang berpuasa mendapat keampunan pada malam terakhir bulan Ramadan.

Nota (penyunting): Kelebihan “syurga dihias setiap hari”, “malaikat memohon keampunan sehingga berbuka” dan “keampunan pada malam terakhir Ramadan” berasal daripada hadis riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah (“Umatku diberi lima perkara pada bulan Ramadan …”) yang sanadnya sangat lemah (dhaif jiddan menurut al-Albani). Kelebihan lain di atas (syaitan dibelenggu, pintu syurga dibuka, bau mulut orang berpuasa dan pembebasan daripada neraka) sabit dalam hadis-hadis yang sahih.

Kulit buku Haramkah Rokok? Hukum dan Penyelesaiannya oleh Zulkifli Mohamad al-Bakri
Bacaan lanjut: Haramkah Rokok? Hukum dan Penyelesaiannya, Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani. Kaedah berpuasa juga digunakan oleh para doktor untuk merawat sebahagian penyakit seperti masalah berat badan berlebihan. Dari segi rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih kesabaran, memahami erti kefakiran dan sebagainya.

Fatwa semasa: hukum merokok menjurus kepada haram

Fatwa semasa mengenai hukum merokok yang dikeluarkan oleh beberapa mufti dan ulama:

  1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya haram kerana terdapat kemudaratan padanya.
  2. Ulama semasa seperti Dr. ‘Abd al-Jalil Syalabi mengatakan merokok haram kerana ia boleh memudaratkan kesihatan masyarakat.
  3. Dr. Zakaria al-Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Lajnah Fatwa al-Azhar) menyatakan bahawa pendapat yang kuat ialah merokok haram.
  4. Syeikh ‘Abd al-Halim Mahmud dalam kitabnya berfatwa merokok makruh jika tidak memudaratkan kesihatan dan haram jika memudaratkan kesihatan.
  5. Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, menetapkan merokok haram jika mendatangkan mafsadah kepada kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi nafkah dan makruh jika mafsadah itu tidak ketara atau tidak mengurangkan nafkah keluarga.
  6. Ulama terkenal masa kini, Dr. Yusuf al-Qaradawi, juga memfatwakan bahawa merokok HARAM di sisi agama.
  7. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 memutuskan bahawa amalan merokok hukumnya haram menurut pandangan Islam.
  8. Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 menyebut bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok haram bagi mana-mana orang Islam.
  9. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau, merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.
  10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok haram berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa merokok boleh mendatangkan mudarat.
  11. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-37 bahawa amalan merokok hukumnya haram. [Harakahdaily]

Melihat kepada senarai ini, merokok sudah difatwakan haram oleh majlis ulama Malaysia sebelum tahun 2000, tetapi entah mengapa fatwa ini hanya diwartakan beberapa tahun kemudian. Mungkin untuk memberi peluang kepada syarikat rokok bersedia menangani kesan fatwa ini. Namun yang jelas, sama ada diwartakan atau tidak, bilangan perokok terus meningkat.

Sejarah rokok dan tembakau

Poster amaran kesihatan: rokok penyebab kanser leher, paru-paru, mulut, kelahiran pramatang, keguguran dan gangren

Apabila menyebut rokok, ia tidak lepas daripada perbincangan tentang tembakau. Berdasarkan maklumat, tembakau tidak dikenali (di dunia Islam) melainkan pada awal kurun ke-11 Hijrah. Kerana itu, ulama sebelum zaman itu tidak memperkatakan hukum rokok.

Mengikut sesetengah pihak, amalan merokok berasal dari Amerika dan merebak ke Eropah pada kurun ke-16 Masihi. [Ifadah al-Ikhwan bi Adillah Tahrim Syurb ad-Dukhan, hlm. 9]

Pada awalnya, merokok dianggap salah satu amalan perubatan. Pada kurun ke-19, amalan merokok sudah tersebar di seluruh dunia, termasuk dunia umat Islam ketika itu. [Ifadah al-Ikhwan, hlm. 11]

Setelah amalan merokok tersebar, didapati ia banyak membawa kerosakan dan menjejaskan kesihatan, terutama kesihatan otak, jantung, penglihatan dan sebagainya.

Lebih teruk lagi, kesihatan yang terjejas bukan sekadar dalam kalangan perokok, tetapi turut menimpa mereka yang tidak merokok.

Perkara ini diakui oleh sebilangan besar doktor di dunia, sehingga kemudaratan merokok boleh dianggap sesuatu yang “disepakati” dalam kalangan doktor. Ekoran kesan buruk rokok kepada manusia, ulama mula berijtihad menyatakan hukum rokok.

Hukum rokok adalah haram

Seperti dinyatakan di atas, boleh dikatakan seluruh doktor di dunia telah “bersepakat” bahawa merokok memudaratkan kesihatan. Maka dengan itu ditetapkan hukum bahawa merokok haram dengan beberapa alasan.

Antara sebab pengharaman rokok:

a. Ada kaitan dengan arak

Berdasarkan satu kajian, sebelum rokok dibuat, tembakau diperam dengan perahan anggur atau perahan epal. Dalam keadaan ini, perahan anggur dan epal itu sebenarnya mempunyai ciri-ciri arak. [Ifadah al-Ikhwan, hlm. 50]

Dalam keadaan inilah dapat dikatakan bahawa rokok berasal daripada tembakau yang diperam bersama perahan arak yang diharamkan oleh Allah SWT. Firman Allah:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ}

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Al-Ma’idah: 90)

b. Rokok membunuh

Sememangnya diketahui bahawa rokok antara alat yang membunuh manusia secara perlahan-lahan. Semuanya berpunca daripada kemudaratan di sebalik merokok. Memudaratkan diri sendiri diharamkan oleh Allah. Firman Allah:

{وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ}

Maksudnya: {Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik.} (Al-Baqarah: 195)

Rokok bukan sahaja memudaratkan perokok, bahkan turut memudaratkan orang yang tidak merokok. Keadaan ini haram di sisi Islam berdasarkan firman Allah:

{وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا}

Maksudnya: {Dan janganlah kamu membunuh diri kamu (atau sesama sendiri). Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.} (An-Nisa’: 29)

Dan sabda Nabi SAW:

{لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ}

Maksudnya: “Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain.” [Al-Muwaththa’, 2/745, no. 1429; juga riwayat Ibn Majah, no. 2340–2341]

c. Rokok perkara yang buruk

Firman Allah:

{الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ}

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mengikut Rasul (Muhammad SAW), Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (nama dan sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka melakukan perkara-perkara yang baik, melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji, menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Al-A‘raf: 157)

Dalam firman ini Allah menyatakan dengan jelas bahawa Dia menghalalkan kepada manusia segala perkara yang baik dan mengharamkan perkara yang buruk. Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menghuraikan maksud thayyibat dan khaba’its dengan beberapa pendapat ulama, katanya:

فكل ما أحل الله تعالى من المآكل فهو طيب نافع في البدن والدين، وكل ما حرمه فهو خبيث ضار في البدن والدين

Maksudnya: “Setiap makanan yang Allah halalkan adalah baik dan bermanfaat kepada badan dan agama dan setiap yang Allah haramkan adalah buruk serta memudaratkan badan dan agama.” [Tafsir Ibn Kathir, 2/255]

Rokok tidak memberi manfaat kepada agama dan badan; sebaliknya rokok memberi keburukan dan mudarat kepada badan dan agama. Maka berdasarkan firman Allah ini, jelaslah rokok haram.

d. Merokok satu pembaziran

Dengan menghisap rokok, tiada kebaikan yang diperoleh melainkan keseronokan yang tidak berfaedah, di samping memudaratkan kesihatan. Maka menghisap rokok menyebabkan perokok melakukan pembaziran yang diharamkan oleh Allah SWT. Firman Allah:

{إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا}

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Isra’: 27)

Keharaman membazir tidak dikhususkan kepada sesiapa pun, sama ada kaya atau miskin.

Ibn Mas‘ud dan Ibn ‘Abbas mentakrifkan membazir sebagai:

التبذير الإنفاق في غير حق

Maksudnya: “Membazir ialah membelanjakan harta bukan pada jalan yang benar.”

Mujahid pula berkata:

لو أنفق إنسان ماله كله في الحق لم يكن مبذرًا، ولو أنفق مدًّا في غير حقه كان تبذيرًا

Maksudnya: “Kalau seseorang membelanjakan seluruh hartanya pada jalan yang benar, dia bukan pembazir. Kalau dia membelanjakan satu cupak bukan pada jalan yang benar, itu dikira membazir.”

Adapun Qatadah berkata:

التبذير النفقة في معصية الله تعالى، وفي غير الحق، وفي الفساد

Maksudnya: “Membazir ialah berbelanja pada maksiat kepada Allah, bukan pada jalan yang benar dan untuk kerosakan.” [Tafsir Ibn Kathir, 3/37]

Ketiga-tiga takrif ini bersesuaian dengan merokok. Maka jelaslah bahawa rokok haram.

e. Rokok menghasilkan bau busuk

Bawang dilarang oleh Rasulullah SAW (bagi yang hendak ke masjid) sehingga ulama menyatakan makruh memakannya disebabkan baunya yang busuk, berdasarkan hadis:

عن ابن عُمَرَ رضي الله عنهما أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم قال في غَزْوَةِ خَيْبَرَ: مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ - يَعْنِي الثُّومَ - فَلَا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا

Maksudnya: “Daripada Ibn ‘Umar, bahawa Nabi SAW bersabda dalam Perang Khaibar: Sesiapa yang memakan daripada pokok ini, iaitu bawang putih, maka janganlah dia mendekati masjid kami.” [Sahih al-Bukhari, no. 853 (no. 815 dalam edisi al-Bugha)]

Dalam hadis ini Nabi SAW melarang (orang yang memakan bawang daripada menghampiri masjid) kerana baunya. Maka berdasarkan qiyas aulawi, lebih-lebih lagilah larangan terhadap menghisap rokok yang baunya lebih busuk daripada bau bawang. [Petikan daripada blog al-Bakistani]

Rajah bahan kimia berbahaya dalam sebatang rokok seperti nikotina, arsenik, karbon monoksida dan ammonia

Langkah-langkah untuk berhenti merokok

Secara mudah, kita boleh melihat kesan merokok dari dua aspek. Aspek pertama, ia jelas membazir, apatah lagi dengan harga rokok yang mahal sekarang. Membazir adalah kerja syaitan dan setiap pembaziran jelas hukumnya haram. Aspek kedua, merokok jelas merosakkan anggota tubuh, iaitu paru-paru. Allah menjadikan tubuh badan kita dengan begitu elok dan setiap kita hendaklah menjaga tubuh badan agar sentiasa sihat. Merokok merosakkan paru-paru, maka jelaslah hukumnya haram.

Walaupun hukum merokok jelas haram, ramai yang mempersendakan hukum Allah. Ada yang tergamak mempersendakan hukum ini dan berhujah dengan pelbagai dalil bahawa merokok tidak haram. Masya-Allah. Begitulah syaitan menjadikan perbuatan buruk mereka dipandang baik oleh golongan ini, seperti yang banyak kali Allah sebutkan dalam al-Quran. Begitu juga golongan yang tidak memakai tudung: mereka memandang diri mereka lebih mulia, moden dan berpendidikan berbanding mereka yang memakai tudung dan tudung labuh.

Bagi perokok, selalunya mereka memandang diri mereka lebih macho, segak dan bergaya dengan tabiat merokok. Bagi golongan ini, tidak merokok sesuai bagi golongan yang mundur, pondan, antisosial dan lemah. Begitulah tipu daya syaitan yang memperdaya golongan perokok, yang sebenarnya bodoh dan sangat lemah sehingga mudah ditipu dan dipermainkan oleh syaitan.

Susah sangatkah untuk berhenti merokok? Sebenarnya ia boleh jadi senang atau susah dan ia bergantung kepada usaha perokok itu sendiri. Pada bulan puasa, hampir semua perokok tiada masalah untuk tidak merokok pada siang hari kerana mereka sudah menetapkan niat dan bertekad untuk berhenti pada waktu siang. Allah memudahkan proses seterusnya setelah manusia berniat dan bertekad. Namun perokok tidak berniat dan bertekad untuk berhenti merokok pada waktu malam. Itulah sebabnya Allah membiarkan perokok terus merokok pada waktu malam, kerana itulah sebenarnya kehendak dan tekad perokok.

Sekiranya perokok berniat dan bertekad untuk berhenti terus, dengan menggunakan model bulan puasa ia adalah proses yang mudah jika dia mahu menjadikannya mudah. Ramai yang dinasihati, alhamdulillah, berjaya berhenti merokok dengan mudah kerana mereka menjadikannya mudah.

Nasihat berhenti merokok

Bagi memudahkan proses berhenti merokok, ikutilah nasihat berikut:

  1. Elakkan ucapan negatif seperti “susahlah nak berhenti merokok” atau “lecehlah”, kerana setiap ucapan kita boleh menjadi doa. Apabila kita mengucapkan kata-kata negatif, dikhuatiri Allah memperkenankannya lalu menjadikan jalan untuk berhenti merokok sukar. Sebaik-baiknya jangan berkata apa-apa yang negatif apabila hendak berhenti merokok.
  2. Gantilah ucapan itu dengan ucapan yang positif dan doa seperti “Ya Allah, permudahkanlah usahaku untuk berhenti merokok buat selama-lamanya.” Sebutlah selalu, sama ada dengan lidah atau dalam hati.
  3. Solat sunat taubat dua rakaat dengan bertaubat sepenuhnya daripada perbuatan merokok yang lalu dan memohon keampunan Allah.
  4. Solat sunat hajat dengan doa yang bersungguh-sungguh agar Allah mempermudahkan segala urusan berkaitan hajat untuk berhenti merokok buat selama-lamanya.
  5. Kesalilah perbuatan merokok yang lalu kerana ini sebahagian daripada tanda taubat. Seterusnya teruskan tekad untuk berhenti selama-lamanya. Pandang hinalah perbuatan merokok anda yang lalu.
  6. Jauhkan diri daripada rakan-rakan yang merokok, kerana mereka tidak akan reda dengan usaha anda berhenti merokok dan akan mengajak anda kembali merokok. Asap rokok mereka juga amat menyukarkan, terutama pada peringkat awal berhenti merokok.

Akhir sekali, nasihat kepada perokok: berhentilah melakukan dosa menghisap rokok. Berhenti merokok sebenarnya proses yang sangat mudah sekiranya perokok mahu menjadikannya mudah dan akan menjadi sangat sukar jika perokok itu lemah, gembira dengan tabiat merokok dan tiada niat serta tekad untuk berhenti.

Berhentilah merokok kerana perokok bakal mewariskan tabiat ini kepada anak-anak dan keturunan. Ia juga menunjukkan lemahnya iman seseorang kerana tidak mampu menghayati ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW, sedangkan larangan dan kesan merokok bertentangan dengan hukum dan ajaran Islam.

Ambillah peluang dengan kedatangan Ramadan yang penuh keberkatan, keampunan dan rahmat ini untuk memulakan azam baharu dan hidup baharu yang lebih sihat dan bersih dari sudut dunia dan akhirat, insya-Allah. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih; di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. [Petikan daripada blog emjayjb, multiply.com]

Rokok dan iman

Syariat Islam diturunkan oleh Allah untuk memberikan kebaikan dan kemaslahatan kepada manusia. Objektif atau maqasid hukum Islam ialah menjaga kepentingan dan keperluan manusia di dunia dan akhirat. Syariat Islam dibina di atas asas membawa kebaikan dan menolak keburukan (jalb al-masalih wa dar’ al-mafasid – جلب المصالح ودرء المفاسد).

Kata Ibn al-Qayyim rahimahullah:

إِنَّ الشَّرِيعَةَ مَبْنَاهَا وَأَسَاسُهَا عَلَى الْحِكَمِ وَمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْمَعَاشِ وَالْمَعَادِ، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّهَا، وَرَحْمَةٌ كُلُّهَا، وَمَصَالِحُ كُلُّهَا، وَحِكْمَةٌ كُلُّهَا؛ فَكُلُّ مَسْأَلَةٍ خَرَجَتْ عَنِ الْعَدْلِ إِلَى الْجَوْرِ، وَعَنِ الرَّحْمَةِ إِلَى ضِدِّهَا، وَعَنِ الْمَصْلَحَةِ إِلَى الْمَفْسَدَةِ، وَعَنِ الْحِكْمَةِ إِلَى الْعَبَثِ؛ فَلَيْسَتْ مِنَ الشَّرِيعَةِ وَإِنْ أُدْخِلَتْ فِيهَا بِالتَّأْوِيلِ

“Syariat Islam dibina di atas asas hikmah dan kemaslahatan hamba di dunia dan akhirat. Syariat itu seluruhnya adil, seluruhnya rahmat, seluruhnya maslahah dan seluruhnya hikmah. Maka setiap perkara yang keluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada lawannya, daripada maslahah kepada mafsadah dan daripada hikmah kepada perbuatan sia-sia, bukanlah daripada syariat walaupun dimasukkan ke dalamnya melalui takwil.” [Ibn al-Qayyim, I‘lam al-Muwaqqi‘in]

Maslahah yang menjadi tujuan syariat ini merangkumi lima perkara: hifz ad-din (agama), hifz an-nafs (nyawa), hifz al-‘aql (akal), hifz an-nasl (keturunan, termasuk maruah) dan hifz al-mal (harta).

Dalilnya firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَى أَنْ لَا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلَادَهُنَّ وَلَا يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: {Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk berbaiah kepadamu, bahawa mereka tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak mereka, tidak akan melakukan dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan menderhakaimu dalam perkara yang baik, maka terimalah baiah mereka dan mohonkanlah keampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.} [Al-Mumtahanah: 12]

Maka setiap perkara yang memelihara dan menyelamatkan lima perkara ini amat dituntut dan disebut maslahah, manakala setiap yang menghilangkan pemeliharaan dan kesejahteraannya disebut mafsadah (kerosakan).

Pemeliharaan lima perkara ini merupakan aspek yang sangat penting dalam penentuan syariat Islam. Ini menunjukkan bahawa penjagaannya merupakan cara dan alat untuk mencapai tujuan terpenting dalam kehidupan manusia, iaitu mengabdikan diri yang sebenar kepada Allah SWT semata-mata.

Maka jelaslah bahawa merokok bercanggah dengan ajaran Islam dan maqasid asy-syari‘ah, iaitu menjaga lima perkara: agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Kesimpulannya, merokok merosakkan kesemua lima perkara ini kerana ia:

  1. Menjejaskan akal dan mental.
  2. Membahayakan kesihatan fizikal.
  3. Membahayakan keselamatan diri dan orang lain.
  4. Membahayakan keturunan.
  5. Mengganggu orang lain.
  6. Menimbulkan akhlak buruk.
  7. Mensia-siakan waktu hidup.
  8. Bercanggah dengan maruah keislaman.
  9. Membazirkan harta (wang).
  10. Menimbulkan permusuhan sesama manusia.

Penutup

Perokok seolah-olah sengaja menempah maut. Pada kotak-kotak rokok tertulis amaran tentang bahaya merokok, tetapi manusia tetap juga menghisapnya. Merokok ibarat membunuh diri sendiri, tiada manfaatnya. Usaha kerajaan melaksanakan kempen “Tak Nak” sudah baik, cuma ia perlu ditambah lagi: bukan sekadar tak nak merokok, tetapi haram merokok!

Setiap dosa, walaupun dosa kecil, jika dilakukan berulang kali (berterusan) boleh menjadikan pelakunya fasik. Dosa ini mengundang pelbagai musibah dan kesulitan hidup di dunia dan di akhirat perokok akan mendapat balasan setimpal dengan dosa-dosanya.

Daripada perbahasan ini jelaslah kepada kita bahawa rokok sesuatu yang haram, apatah lagi rokok-rokok tersebut banyak memberi sokongan ekonomi kepada Israel yang sedang menyerang umat Islam. Akal yang rasional akan menolak rokok kerana ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada akal fikiran, tubuh badan, diri sendiri, keluarga, orang ramai dan masyarakat, bahkan kepada iman dan agama! Sekian.

وصلى الله وسلم على خير خلقه محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Bacaan berkaitan

Rujukan

15 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 185.

    Quran.com
  2. Sunan at-Tirmizi, no. 682; Sunan Ibn Majah, no. 1642 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, Kitab ash-Shaum, no. 1903.

    Sunnah.com
  4. Sahih Muslim, Kitab ash-Shiyam, no. 1151.

    Sunnah.com
  5. Sahih al-Bukhari, no. 38; Sahih Muslim, no. 760.

    Sunnah.com
  6. Musnad Ahmad (riwayat Abu Hurairah r.a.): 'Umatku diberi lima perkara pada bulan Ramadan'; dhaif jiddan menurut al-Albani.

    ad-Durar as-Saniyyah
  7. Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 90.

    Quran.com
  8. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 195.

    Quran.com
  9. Al-Quran, Surah an-Nisa' (4): 29.

    Quran.com
  10. Sunan Ibn Majah, no. 2340–2341; al-Muwaththa', Kitab al-Aqdhiyah (2/745).

    Sunnah.com
  11. Al-Quran, Surah al-A'raf (7): 157.

    Quran.com
  12. Al-Quran, Surah al-Isra' (17): 27.

    Quran.com
  13. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adzan, no. 853 (riwayat Ibn 'Umar r.a.).

    Sunnah.com
  14. Al-Quran, Surah al-Mumtahanah (60): 12.

    Quran.com
  15. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-37, 23 Mac 1995: Hukum merokok.

    e-fatwa.gov.my

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026