Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akidah

Isu Titian Sirat

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 1 Januari 2011 · 4 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Mohd Aizam Mas’od (Abu Haseef). Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: blog Mufakkir Islami (mufakkir-islami.blogspot.com), Januari 2011.

Pendahuluan

Penulis ditanya tentang kedudukan titian sirat di akhirat kelak. Adakah ia benar-benar wujud seperti yang kita imani selama ini? Penulis mendapat aduan bahawa ketika ini tersebar pandangan yang mengatakan titian sirat itu hanyalah simbolik dan tidak wujud secara hakikatnya.

Dalam menentukan perkara-perkara ghaib (sam‘iyyat), seharusnya kita tawaqquf (berhenti) setakat apa yang didapati melalui nas-nas syarak, di samping mengikut kefahaman salafussoleh. Oleh itu, penulis dengan penuh rendah diri tidak sekali-kali akan berijtihad dan menganggap pendapat sendiri lebih benar berbanding apa yang telah dijelaskan oleh para imam dan ulama terdahulu.

Dalam hal ini, penulis mengajak diri sendiri dan para asatizah untuk melihat beberapa pandangan imam dan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah berkenaan kedudukan titian sirat.

Pandangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah

Imam al-Ghazali (wafat 505H)

“Adapun titian sirat, ia juga benar dan mengimaninya wajib kerana ia sesuatu yang mungkin. Ia ibarat sebuah jambatan yang terbentang di atas neraka Jahannam yang dilalui oleh seluruh makhluk. Apabila mereka sampai di atasnya, dikatakan kepada malaikat: ‘Hentikan mereka, sesungguhnya mereka akan disoal.’ Jika dikatakan: Bagaimana mungkin demikian, sedangkan telah diriwayatkan ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, maka bagaimana mungkin seseorang melaluinya?

Kita menjawab: Jika soalan ini terbit daripada orang yang mengingkari qudrat Allah SWT, maka perbahasan dengannya ialah dalam menetapkan keumuman qudrat-Nya dan perbahasan itu telah selesai. Jika ia timbul daripada orang yang menerima qudrat-Nya, maka berjalan di atas sirat ini tidaklah lebih menghairankan daripada berjalan di udara. Allah SWT mampu menciptakan kemampuan untuk itu, iaitu Dia mampu menciptakan bagi seseorang kemampuan berjalan di udara tanpa menciptakan pada dirinya jatuh ke bawah dan tanpa tergelincir di udara. Oleh itu, jika Dia berkuasa melakukan ini di udara, maka sirat itu dalam apa jua keadaan lebih kukuh daripada udara.”

(Al-Ghazali, Abu Hamid (1993), al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, Lubnan: Dar wa Maktabat al-Hilal, hlm. 240)

Di tempat lain Imam al-Ghazali juga mengatakan:

“Dan hendaklah beriman bahawa titian sirat itu benar. Ia jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih tajam daripada pedang dan lebih halus daripada rambut. Ia menggelincirkan kaki-kaki orang kafir dengan ketentuan Allah SWT lalu menjerumuskan mereka ke dalam neraka, manakala ia menetapkan kaki-kaki orang mukmin dengan rahmat Allah lalu mereka diiring ke syurga.”

(Al-Ghazali, Abu Hamid (1985), Qawa‘id al-‘Aqa’id, Lubnan: ‘Alam al-Kutub, hlm. 66; Ibn ‘Asakir ad-Dimasyqi (1404H), Tabyin Kazib al-Muftari, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, hlm. 305)

Al-Ghaznawi al-Hanafi (wafat 593H)

“Titian sirat itu benar. Ia jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang. Seluruh manusia melalui titian sirat. Laluan mereka ialah dengan berdiri di sekitar neraka, kemudian melalui titian sirat mengikut kadar amal perbuatan mereka.”

(Al-Ghaznawi, Ahmad bin Muhammad (1998), Kitab Usul ad-Din, Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, hlm. 238–239)

At-Taftazani (wafat 791H)

“Dan antaranya ialah titian sirat. Ia jambatan yang memanjang di atas perut neraka Jahannam yang dilalui oleh generasi terdahulu dan terkemudian. Ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang berdasarkan apa yang terdapat dalam hadis sahih.

Ia diingkari oleh al-Qadi ‘Abd al-Jabbar dan ramai dalam kalangan Muktazilah dengan dakwaan bahawa ia tidak mungkin diseberangi dan jika mampu sekalipun, padanya ada penyeksaan, sedangkan tiada azab ke atas golongan mukmin dan orang soleh pada hari kiamat. (Pandangan Muktazilah ini) dijawab bahawa kemungkinan menyeberanginya adalah jelas, seperti berjalan di atas air dan terbang di udara, walaupun ia menyalahi adat. Kemudian Allah SWT memudahkan jalan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, sebagaimana dalam hadis bahawa sebahagian mereka menyeberang seperti kilat menyambar, sebahagiannya seperti angin kencang, sebahagiannya seperti kuda…”

(At-Taftazani, Sa‘d ad-Din Mas‘ud bin ‘Umar (1981), Syarh al-Maqasid fi ‘Ilm al-Kalam, Pakistan: Dar al-Ma‘arif an-Nu‘maniyyah, j. 2, hlm. 223)

Ibn Taimiyyah (wafat 728H)

“Dan titian sirat itu terbentang di atas perut neraka Jahannam. Ia jambatan yang terletak antara syurga dan neraka, dilalui oleh manusia mengikut kadar amal perbuatan mereka. Sebahagian mereka melaluinya seperti sekelip mata, sebahagian mereka seperti kilat…”

(Ibn Taimiyyah, Ahmad bin ‘Abd al-Halim (1412H), al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, Riyadh: Idarat al-Buhuth wa al-Ifta’, hlm. 33)

Kesimpulan

Berdasarkan pandangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah, titian sirat ialah satu hakikat yang wujud dan wajib diimani. Ia jambatan di atas neraka Jahannam yang akan dilalui oleh seluruh manusia pada hari kiamat mengikut kadar amalan mereka, sebagaimana yang sabit dalam hadis-hadis sahih (antaranya Sahih al-Bukhari, no. 7439 dan Sahih Muslim, no. 183). Pendapat yang menolak kewujudannya secara hakikat bertentangan dengan nas-nas syarak serta penjelasan para ulama muktabar.

Wallahu a‘lam.

Rujukan

4 sumber
  1. Mohd Aizam Mas'od (Abu Haseef), 'Isu Titian Sirath', blog Mufakkir Islami (2011).

    mufakkir-islami.blogspot.com
  2. Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tauhid, no. 7439; Sahih Muslim, no. 183 (riwayat Abu Sa'id al-Khudri r.a.).

    Sunnah.com
  3. Al-Quran, Surah as-Saffat (37): 24.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah Maryam (19): 71–72.

    Quran.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akidah Tidak Tepat Istilah: “Manusia Khalifah Allah Di Muka Bumi” 14 Apr 2026 Akidah 10 Perkara Yang Membatalkan Islam 29 Okt 2025 Akidah Pengertian Tawassul & Jenis Tawassul Yang Dibenarkan (Tanpa Khilaf) 28 Okt 2025 Akidah Kepanasan Api Neraka 69 Kali Ganda Api Dunia 13 Okt 2025