Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akidah

Keajaiban Kayu Kokka

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 1 Januari 2006 · 12 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Abu Abd Rahman al-Madini. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: catatan musim haji 1426H.

Kokka yang ajaib

“Adik, kat mana saya nak beli tasbih Kokka?”
“Ustaz, ada orang pesan kat saya kayu Kokka. Kat sini murah tak?”
“Aku dah beli dah, berkilat engkau… wangi lagi.”

Ungkapan-ungkapan begini amat sinonim bagi pengunjung Tanah Haram pada musim haji dan umrah. Para jemaah haji dan umrah yang datang dari jauh dengan membawa panji tauhid dalam talbiah mereka kadangkala turut terpukau dengan karut-marut serta khurafat yang datang bersama kayu Kokka.

(Lihat juga tulisan Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman berkenaan Kokka.)

Apakah kayu Kokka yang mencuri perhatian ramai kini?

Kononnya kayu Kokka merupakan kayu yang paling tinggi mutunya antara semua kayu di atas muka bumi dan hanya terdapat di negara tertentu seperti Turki dan Mesir. Ia telah digunakan sejak zaman nabi-nabi lagi. Bahan asas bahtera Nabi Nuh ialah kayu Kokka, tongkat Nabi Musa dan Nabi Syuaib juga diambil daripada kayu Kokka!

Kini Kokka menjadi buruan orang ramai di Malaysia. Ia boleh didapati di kedai-kedai yang menjual buku agama, minyak atar dan kaset agama dalam pelbagai bentuk seperti loket, mata cincin, cincin belah rotan, untaian tasbih ataupun butiran tasbih, bahkan krim dan minyak.

Antara khasiat dan keajaiban yang dihebah-hebahkan ialah ia boleh menjadi penawar, penyembuh dan pelindung. Lebih melampau daripada itu, terdapat kisah-kisah pelik dan ajaib yang terang-terang merupakan cerita yang direka-reka bagi melariskan barangan, ataupun mainan serta tipu daya syaitan yang berbentuk khayalan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyesatkan orang beriman serta melalaikan mereka daripada bergantung serta bermohon kepada Allah.

Dalil bahawa ia tipu daya syaitan ialah satu athar (riwayat) daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa beliau memotong pintalan tali yang telah dijampi yang dipakai oleh isterinya. Lalu isterinya berkata, “Mataku sakit; apabila aku mengenakan jampi, aku berasa lega dan jika aku meninggalkannya, sakitku menyeksa.” Ibnu Mas’ud menjawab, “Sebenarnya ini kerja syaitan. Jika engkau mengingkarinya, ia menyakitimu dan jika engkau menurutinya, ia membiarkanmu.” [Lihat Sunan Ibn Majah, no. 3530 dan Sunan Abi Dawud, no. 3883.]

Persoalan yang kita bincangkan ini melibatkan kepercayaan dalam soal agama. Perkara agama mestilah berpaksikan dalil yang sahih untuk diamalkan. Dalil dalam perkara agama mestilah daripada al-Quran, hadis yang sahih dan hasan serta ijmak. Jika tidak, amalan hanya akan menjadi sia-sia dan mungkin mengundang dosa sahaja.

Justeru, kita wajib percaya bahawa Nabi Nuh AS membina bahtera kerana ia disebut oleh al-Quran dan hadis. Kedua-duanya ialah asas yang sahih. Namun tidak pula disebut dalam kedua-duanya bahawa bahtera itu daripada Kokka! Jadi bagaimanakah dapat kita mengetahui bahawa ia daripada Kokka?

Sumber cerita Israiliyyat (jikalau ada) hanyalah khabar dan bukanlah hujah yang membolehkan kita memakai Kokka untuk berlindung daripada bala, musuh atau makhluk halus sebagaimana terdapat dalam kisah ajaib kayu Kokka.

Seterusnya, kalaulah benar kayu Kokka ialah bahan bahtera Nabi Nuh, siapakah yang pernah melihat bahtera tersebut ataupun menjumpainya? Ataupun sekurang-kurangnya serpihan bahtera baginda untuk kita katakan sebagai sumber arkeologi.

Menurut sesetengah pendapat, bahtera Nabi Nuh dibina daripada kayu sanubar (pine) dan inilah nas Taurat. [Lihat al-Bidayah wa an-Nihayah oleh Ibn Kathir (1/124). Dalam Taurat (Kitab Kejadian 6:14), kayu itu disebut sebagai gopher wood; sebahagian penafsir Bible menyatakannya sebagai pokok sipres (cypress).]

Begitulah halnya dengan tongkat Nabi Musa dan Nabi Syuaib AS. Bahkan Imam Abdur Razzaq telah menukilkan dalam tafsirnya bahawa al-Kalbi (seorang perawi yang daif) berkata, “Tongkat Nabi Musa diperbuat daripada kayu ausaj” [sejenis pokok berduri; buahnya bulat dan hitam menyerupai batu akik. Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 600]. Begitu juga disebut oleh Imam at-Tabari daripada Imam Qatadah. [Lihat Tafsir Abdur Razzaq as-San‘ani (3/91) dan Tafsir at-Tabari (20/17).]

Jelaslah bahawa riwayat Israiliyyat (riwayat yang dibawa oleh ahli kitab) sendiri tidak menyebut perihal Kokka. Jadi dari mana datangnya cerita Kokka?!

Kenapakah Nabi Sulaiman AS tidak disebut bersama? Adakah kerana tongkat baginda telah dimakan anai-anai (serangga perosak mungkin tidak dapat mendekati Kokka), ataupun baginda tidak tahu tentang kayu Kokka? Mustahil!

Saya tertarik dengan hujah ringkas seorang jemaah haji yang pintar ketika mengulas risalah khasiat Kokka yang banyak tersebar, yang menyebut “dengan izin Allah, seperti yang berlaku di negeri Syam, para askar telah memakainya dan tubuh mereka menjadi kebal…”. Ujarnya: “Kalaulah Kokka ni macam yang disebut-sebut, kenapa Nabi Muhammad SAW tak pakai kayu Kokka semasa berperang di Uhud? Kan senang musuh terus cabut!”

Tiada siapa yang pernah menjumpai bahtera dan tongkat tersebut, namun ramai yang “tahu” ia diperbuat daripada kayu Kokka. Inilah sebenarnya keajaiban Kokka.

Mensyukuri nikmat iman

Iman ialah nikmat Allah yang agung yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang Dia kehendaki. Memeliharanya ialah kewajipan yang sangat penting memandangkan nilainya amat tinggi, bahkan tidak ternilai. Ia mudah terhakis daripada hati mukmin sekiranya dia melakukan dosa, sama ada besar mahupun kecil. Ia satu-satunya barang dagangan insan apabila dia dihadapkan kepada Allah pada hari kiamat.

Oleh itu, janganlah sampai barang dagangan kita tergadai di dunia lagi dengan melakukan syirik. Sesungguhnya syirik menafikan iman dan menghapuskannya. Ketahuilah bahawa pintu-pintu syirik kadangkala amat halus dan sukar dilihat mata kasar, sehingga disebut bahawa ia lebih tersembunyi daripada langkah semut hitam yang merayap di atas batu hitam pada malam yang amat gelap.

Mengetahui perkara-perkara yang boleh membawa kepada kesyirikan ialah penyebab yang boleh menyelamatkan kita daripada bahaya syirik. Justeru, kita hendaklah bersyukur dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat iman serta memberikan kita ilmu yang mampu menjadi benteng pemelihara iman.

Syirik dalam “Kokka”

Syirik di sisi syariat Islam bermaksud meletakkan sesuatu yang merupakan hak-hak khusus Allah atau sebahagian daripada hak-hak tersebut pada yang selain Allah; iaitu menyekutukan Allah dengan yang lain pada hak-hak yang khusus bagi-Nya.

Antara hak Allah ialah hak mencipta, mentadbir dan memberi rezeki. Oleh yang demikian, orang yang berkata, “Rezeki saya di tangan si fulan,” (dengan iktikad bahawa si fulan itulah pemberi rezeki) telah melakukan syirik kerana dia telah meletakkan hak Allah, iaitu memberi rezeki, pada selain Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bertanyalah (wahai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu): Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? (Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: Allah! Oleh itu, katakanlah: (Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?” (Surah Yunus: 31)

Antara hak Allah yang lain ialah sifat-Nya, perbuatan-Nya serta nama-Nya. Semuanya khusus bagi Allah dan tidak boleh disamakan dengan makhluk. Maka kita tidak boleh mengatakan Allah mempunyai tangan seperti tangan kita atau Allah melihat sebagaimana penglihatan makhluk, ataupun menamakan anak dengan nama Allah. Semua yang di atas ialah kufur dan syirik yang mesti dijauhi.

Firman Allah yang bermaksud: “Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah asy-Syura: 11)

Syirik yang berlaku dalam penggunaan Kokka dan seumpamanya seperti tangkal, pendinding dan tulang duyung ialah syirik dalam ibadat. Ibadat ialah hak Allah yang khusus bagi-Nya.

Mungkin orang yang menggunakan Kokka akan berkata, “Saya tak sembah selain Allah! Saya sembahyang lima waktu, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji… semuanya kerana Allah. Bagaimana dengan hanya memakai kayu Kokka, kamu kata saya telah melakukan syirik? Ini tuduhan yang berat!”

Seorang Muslim perlu memahami dan mengetahui bahawa skop ibadat tidak hanya meliputi rukun Islam yang lima sahaja. Bahkan amalan ibadat merangkumi amalan lisan seperti syahadah dan zikir, amalan zahir seperti rukun Islam yang lain serta amalan anggota lain seperti tolong-menolong dan berpakaian. Yang paling hebat dan agung ialah amalan hati, contohnya ikhlas, khusyuk, takut, berharap dan tawakal. Semua ini ialah ibadat yang menjadi hak Allah secara mutlak dan kita diharamkan menyekutukan Allah padanya.

Di manakah syiriknya?

Secara amnya, orang yang memakai tasbih Kokka, cincin Kokka atau apa-apa sahaja yang seumpamanya (dengan anggapan bahawa benda-benda tersebut mempunyai keupayaan tertentu — nota penyunting) telah melakukan syirik dalam tawakal. Tawakal bermaksud bergantung kepada Allah di samping melakukan sebab yang menyampaikan kepada tujuan. Allah sahajalah yang mampu memberi manfaat dan menolak bencana, bukannya kayu, tangkal atau sebarang jampi serapah yang menyalahi syarak dan sunnah Rasulullah SAW.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang menggantungkan sesuatu (dengan tujuan berlindung daripada bencana atau memohon manfaat), dia akan diserahkan kepada benda itu.” [Lihat Sunan at-Tirmizi, no. 2072.]

Dalam hadis yang lain, baginda bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang menggantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah melakukan syirik.” [Lihat Musnad Imam Ahmad (4/156, no. 17422).]

Syirik yang dilakukan oleh pengguna Kokka, tangkal dan seumpamanya ada beberapa peringkat. Ia bergantung pada sejauh mana pergantungan pemakai terhadap benda-benda ini.

Peringkat pertama

Sekiranya dia beriktikad bahawa benda-benda ini mempunyai kuasa yang mampu memberi manfaat atau menolak bencana dengan sendirinya, maka dia telah terjerumus ke jurang syirik besar yang membatalkan iman dan syahadah. Perbuatannya juga telah membatalkan seluruh amalan baik yang telah dilakukan, kerana dia telah bertawakal kepada selain Allah. Lebih teruk daripada itu, dia bertawakal pada benda yang langsung tidak mampu memberinya manfaat mahupun menolak sebarang bencana, baik secara logik akal, apatah lagi di sisi syarak yang telah menafikannya dari awal lagi.

Peringkat kedua

Sekiranya dia beriktikad bahawa Allah sahajalah yang mampu memberi manfaat dan menolak bala bencana, namun dia menggunakan benda-benda ini sebagai sebab atau alat untuk mendatangkan manfaat daripada Allah dan menolak bala — sebagaimana orang sakit memakan ubat sebagai penyebab untuk sembuh atau pemburu menggunakan senapang untuk membunuh — sesungguhnya dia telah tergelincir ke dalam lembah syirik kecil. Ini kerana dia telah mereka-reka perkara dalam agama yang tidak diizinkan oleh Allah di samping mendakwa bahawa Allah menyukai perkara yang dilakukannya. [Lihat Fath al-Majid, hlm. 104.]

Terdapat perbezaan antara Kokka dan seumpamanya dengan ubat dan senapang. Sebab dan akibat ubat dan senapang adalah zahir, sementara sebab dan akibat Kokka tidak zahir. Kalau seseorang berkata, “Bawalah senapang ini, musuh akan takut,” kata-katanya diterima akal. Inilah maksud zahir, lantas ia dibenarkan. Namun kalau disebut, “Jika anda membawa tasbih ini, musuh akan takut,” orang yang berkata tadi mestilah membawa dalil lain bagi menyokong dakwaannya kerana sebabnya tidak zahir.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain bahawa Rasulullah SAW terlihat seorang lelaki yang memakai gelang daripada tembaga di tangannya. Lalu baginda bertanya, “Apakah ini?” Lelaki itu menjawab, “Penangkal wahinah” [sejenis penyakit pada lengan]. Baginda lantas bersabda, “Tanggalkannya! Sesungguhnya ia tidak menambahkan apa-apa kepada kamu melainkan kelemahan. Sesungguhnya sekiranya kamu mati dalam keadaan masih memakainya, nescaya kamu tidak akan berjaya selama-lamanya.” [Diriwayatkan oleh Imam Ahmad (4/445, no. 20000) dan Ibn Majah (no. 3531). Sebahagian ulama menilai sanadnya tidak mengapa (la ba’sa bih), namun ramai pengkaji hadis mendaifkannya kerana al-Hasan al-Basri tidak mendengar hadis daripada ‘Imran bin Husain. Maknanya disokong oleh hadis-hadis sahih tentang tangkal di atas.]

Syirik kecil tidak bererti dosa kecil. Bahkan sebesar-besar dosa selepas syirik besar ialah syirik kecil, kerana ia boleh membawa kepada syirik besar.

Kafarah bagi orang yang melakukan syirik kecil ialah bertaubat dengan taubat nasuha. Taubat sahajalah yang mampu menyucikan dosa syirik. Walaupun telah melakukan syirik, pelaku syirik kecil tidak akan kekal di dalam neraka. Setelah dosanya dibersihkan dengan azab dan seksa yang amat pedih, dia akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga.

Berhubung pemakaian kayu Kokka atau seumpamanya dengan tujuan saja-saja seperti untuk bergaya, perkara ini mesti ditinggalkan. Ini kerana ia perbuatan ahli bidaah dan kita dilarang menyerupai mereka, kerana peniruan gaya hidup menunjukkan keredaan dan kesukaan kita pada perkara tersebut. Apatah lagi para pelajar agama dan para hujjaj (haji dan hajah) yang menjadi teladan di tanah air.

Dalam sebuah hadis daripada Ruwaifi‘ bin Thabit RA bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang maksudnya: “Wahai Ruwaifi‘, mudah-mudahan engkau akan hidup lama selepasku. Maka khabarkanlah kepada manusia bahawa sesiapa yang mengikat janggutnya atau mengalungkan tali busur (pada haiwannya bagi menolak ‘ain) atau beristinjak dengan tahi binatang atau tulang, maka sesungguhnya Muhammad SAW berlepas diri daripadanya.” [Lihat Musnad Imam Ahmad (4/108–109); Sunan Abi Dawud, no. 36; Sunan an-Nasa’i, no. 5067.]

Sebab larangan mengikat janggut ialah kerana ia perbuatan orang Majusi. Ia merupakan simbol serta gaya hidup mereka dan kini ia dipopularkan oleh trend muzik global seperti hip hop dan alternatif. Rasulullah SAW melarang daripada meniru mereka dan berlepas diri daripada orang yang meniru mereka walaupun dia tidak memasuki agama Majusi. [Lihat Fath al-Majid, hlm. 152.]

Contoh yang lain ialah serban. Hukum asal memakai serban ialah harus, bahkan ada yang mengatakan sunat. Namun jika ia dililit seperti lilitan penganut agama Sikh, hukumnya menjadi haram kerana menyamai perkara yang menjadi simbol mereka. Begitu juga jika dipakai seperti gaya kumpulan sufi penyembah kubur yang banyak di India. Ia simbol ahli bidaah yang tidak harus ditiru walaupun dengan tujuan saja-saja.

Menurut ulama salaf, tiada suatu bidaah pun yang dilakukan melainkan suatu sunnah (yang setara dengannya) telah dimatikan. [Kata-kata Hassan bin ‘Atiyyah, diriwayatkan oleh ad-Darimi dalam Muqaddimah Sunannya.]

Tanyakanlah pemakai kayu Kokka, adakah dia mengamalkan zikir pagi dan petang seperti sunnah Nabi SAW sebagai pelindung setiap hari? Adakah dia tahu doa yang Nabi SAW baca untuk melindungi cucu baginda, Hasan dan Husain, daripada terkena ‘ain dan syaitan, ataupun dia hanya menggolekkan butir Kokka pada dahi anaknya sahaja? Adakah dia mengamalkan doa sebelum tidur yang boleh menjauhkannya daripada sihir, ataupun dia hanya meletakkan butir Kokka di bawah bantal? Lihatlah sunnah Nabi SAW yang ditinggalkan akibat bidaah Kokka!

Untuk bersikap insaf, saya akui kemungkinan Kokka mengandungi zat dan khasiat perubatan (meskipun belum pernah dibuktikan secara klinikal) untuk mengubati sesetengah penyakit. Mungkin! Namun pegangan karut seperti penangkal, pelemah musuh, penenang anak menangis, penghalau hantu dan sihir amatlah tidak dapat diterima.

Akhir kata, saya memohon taufik daripada Allah Taala buat kita semua, moga-moga kita selamat daripada fitnah dan ujian-Nya.

Ingatlah, tawakal atau pergantungan ialah bentuk ibadat yang sangat hebat dan tinggi darjatnya. Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa antara golongan yang masuk syurga tanpa hisab dan tanpa azab ialah mereka yang hanya bertawakal kepada Tuhan mereka. Wallahu a‘lam.

Oleh: Abu Abd Rahman al-Madini. (Musim Haji 1426H)

Bacaan berkaitan

Rujukan

10 sumber
  1. Sunan Ibn Majah, Kitab at-Tibb, no. 3530; Sunan Abi Dawud, Kitab at-Tibb, no. 3883 (Zainab, isteri Ibn Mas'ud r.a.).

    Sunnah.com
  2. Kitab Kejadian (Genesis) 6:14.

    biblegateway.com
  3. Al-Quran, Surah Yunus (10): 31.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah asy-Syura (42): 11.

    Quran.com
  5. Sunan at-Tirmizi, Kitab at-Tibb, no. 2072 (riwayat 'Abdullah bin 'Ukaim); juga Musnad Ahmad.

    Sunnah.com
  6. Musnad Ahmad (4/156), no. 17422 (riwayat 'Uqbah bin 'Amir r.a.); dinilai sahih oleh al-Albani.

    hadeethenc.com
  7. Musnad Ahmad (4/445), no. 20000; Sunan Ibn Majah, no. 3531 (riwayat 'Imran bin Husain r.a.).

    Sunnah.com
  8. Sunan Abi Dawud, Kitab at-Taharah, no. 36; Sunan an-Nasa'i, no. 5067; Musnad Ahmad (4/108–109) (riwayat Ruwaifi' bin Thabit r.a.).

    Sunnah.com
  9. Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya', no. 3371 (riwayat Ibn 'Abbas r.a.).

    Sunnah.com
  10. Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tibb, no. 5705; Sahih Muslim, no. 220.

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akidah Tidak Tepat Istilah: “Manusia Khalifah Allah Di Muka Bumi” 14 Apr 2026 Akidah 10 Perkara Yang Membatalkan Islam 29 Okt 2025 Akidah Pengertian Tawassul & Jenis Tawassul Yang Dibenarkan (Tanpa Khilaf) 28 Okt 2025 Akidah Kepanasan Api Neraka 69 Kali Ganda Api Dunia 13 Okt 2025