Tulisan: Himpunan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan fatwa negeri (portal e-Fatwa JAKIM) serta penjelasan daripada laman Darul Kautsar. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: e-fatwa.gov.my dan darulkautsar.net.
Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-48 yang bersidang pada 3 April 2000 telah membincangkan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani. Muzakarah telah memutuskan:
- Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Pengamal ajaran ini hendaklah segera bertaubat.
- Semua negeri dikehendaki memfatwakan dan mewartakan bahawa Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim diharamkan dan tidak boleh diamalkan oleh umat Islam kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
(Keputusan ini turut disiarkan dalam bahasa Inggeris di portal e-Fatwa dengan maksud yang sama.)
Fatwa negeri
Wilayah Persekutuan
Tajuk: Tariqat Naqsyabandiah Al-‘Aliyyah Pimpinan Syeikh Nazim (Akidah)
Tarikh keputusan: 20 November 2002
Keputusan: Tariqat Naqsyabandiah Al-‘Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Pengamal ajaran ini dikehendaki segera bertaubat.
Status pewartaan: Diwartakan pada 12 Disember 2002
Nombor rujukan: PMWP/100/20; PN(PU²)530/III
Akta/Enakmen: Seksyen 34, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.
Kedah
Negeri Kedah juga mempunyai fatwa berkenaan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah (disiarkan di portal e-Fatwa).
Penjelasan dan landasan fatwa
Penjelasan berikut dipetik daripada laman Darul Kautsar, berjudul Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani (Ajaran Tariqat Sesat dan Telah Diharamkan oleh JAKIM), yang memetik keputusan Muzakarah Kali Ke-48 (3 April 2000) di atas.
Ciri-ciri kesesatan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani
1. Kekuatan wali
Petikan daripada laman web tariqat Naqsyabandiah:
“Terdapat 40 awliya Allah yang tersembunyi di antara Muzdalifah dan Mina. Mereka membantu sesiapa yang dalam kesusahan. 313 berada di Madinah. Di Mekah terletak kerusi kerohanian Yang Dipertuanya (gabenor) di sebelah Hajarul Aswad. Beliau berada di situ untuk menyaksikan siapa yang mencium batu tersebut.
Yang Dipertua gabenor Mekah itu mengarahkan wali-wali Allah yang lain membuat apa yang dikehendakinya. 124,000 awliya Allah menunaikan haji setiap tahun. Tanpa kehadiran mereka, haji manusia lain tidak lengkap. Imam Mahdi (as) juga harus hadir setiap tahun menunaikan haji. Dan Jabal Rahmah di Arafah merupakan tempat Imam Mahdi akan muncul pada masa akan datang.
Sahabat kita Hanim ialah seorang yang suka merendahkan diri dan juga pemurah. Hanim tidak peduli tentang kekayaan, tentang berapa kekayaan yang beliau ada. Beliau sentiasa memberi tanpa mengira. Beliau telah banyak berkorban untuk Allah, Rasul (saw) dan awliya Allah. Sifat beliau jarang didapati pada masa kini. Semasa pengebumian beliau, terlalu ramai para wali Allah dan malaikat yang menghadiri upacara itu. Sekarang ini beliau berada di satu tempat di mana Allah sentiasa melihatnya.
Tidak seorang pun akan memahami apa yang Allah telah kurniakan kepada Hjh. Hanim. Ramai akan menyesal atas kesalahan mereka terhadap beliau, sama ada melalui prasangka atau perbuatan. Ramai akan memerlukan pertolongan beliau di akhirat kelak. Hanim telah pergi sebagai seorang syahidah.
Wa minallahi taufiq. Bi hurmati habib bi hurmati surah Fatihah.”
2. Kuasa mutlak khalifah
“Khalifah mentadbir wilayah-wilayahnya. Dia mempunyai kuasa untuk melakukan apa yang dimahu. Apa yang dia lakukan dipersetujui oleh masyaikh rantaian keemasan… Kemuliaan xxxxxxxx ialah dia seorang khalifah dan semua orang harus menerima apa yang telah dia tentukan…”
— Sheikh Muhammad Sheikh Nazim
3. Khutbah sesat menyentuh konsep waktu, suluk, hakikat dan sebagainya
“Audhubillah-hi-minash-syaitan-nir-rajeem. Bismillah-hir-rahman-nir-rahim. Nawaitul arbaa, nawaitul iqtiqaf, nawaitul uzlah, nawaitul ri’adah, lillahita’ala hilaluyul azim. Ati’ullah, wa ati’u rasul, wa ulul amri minkum.
Allah perintah kita taat kepada Dia dan Rasul-Nya (saw) dan sesiapa yang taat kepada Rasul (saw), dia taat kepada Allah. Setiap keadaan/saat ialah keadaan/saat yang baru dan setiap sesi ialah sesi yang baru. Keadaan/saat hanyalah sekadar keadaan/saat, tetapi apabila keadaan/saat dikumpul, ia menjadi waktu. Ia mengeluarkan waktu yang telah berlalu. Oleh yang demikian, waktu (mengikut kefahaman kita) ialah sesuatu yang mempunyai waktu lepas, waktu sekarang dan waktu akan datang.
Terdapat tiga dimensi di dalam waktu (begitu juga alam ini): waktu lampau, waktu sekarang dan waktu akan datang. Apabila kita mati, waktu berakhir. Tetapi bagi Allah, tidak ada zon waktu. Waktu sebenarnya dihasilkan oleh pergerakan bumi mengelilingi matahari. Disebabkan oleh pergerakan atau orbit ini, maka terdapatlah siang dan malam — semuanya untuk membolehkan kita mengetahui waktu, yang pada hakikatnya memberi petanda kepada kita bahawa ajal akan datang.
Apabila Sheikh Abdullah Daghestani (qs) diperintah untuk bersuluk, masa atau waktu baginya tidak ada makna. Di dalam suluk, seseorang itu mungkin tidak akan kembali ke dunia lagi. Semasa lima tahun bersuluk, beliau hanya hidup dengan tujuh biji zaitun dan sekeping roti sehari sahaja. Apabila awliya Allah memasuki suluk, mereka sedar bahawa waktu berfoya-foya sudah tamat; yang ada hanyalah bekerja keras.
Sheikh Abdullah (qs) berusia 18 tahun apabila beliau mulai bersuluk. Amalan yang dilakukan semasa bersuluk ialah membaca Quran dan berzikir. Awliya Allah, apabila mengerjakan ibadat tersebut, sentiasa mahu memanjangkan waktu tersebut (bagi kita manusia awam, kita mahu memanjangkan waktu untuk memenuhi nafsu kita). Bagi mereka waktu bukanlah sesuatu yang perlu dihitung. Mereka sentiasa berada di ‘waktu sekarang’. Oleh yang demikian, kita perlu selalu merenungi dalaman kita dan pasti kita akan menjumpai ‘rumah’ kita.
Di dalam renungan dalaman, kita akan menemui hakikat, iaitu dimensi kerohanian yang tidak ada batasan waktu. Dan di dalam dalaman ini kita akan jumpa ‘rumah’ kita. Di dalam kalbu manusia terletaknya ‘rumah’ Allah. Maka carilah hakikat tersebut di dalam diri kita. Ia terdapat dalam diri kita.
Terdapat enam jenis hakikat — hakikat jazbah, hakikat tawajuh dan sebagainya — kesemuanya terdapat di dalam diri kita. Tetapi kesemuanya itu hanya boleh diberi kepada mereka yang boleh dipercayai. Mereka ini tidak mudah dinodai oleh perasaan bongkak, megah dan sebagainya. Mereka dapat bertahan dengan segala bentuk dugaan dan sentiasa memuji Allah dalam segala keadaan.
Allah sentiasa memberi kita keadaan/saat yang baik. Jadilah seorang yang sentiasa bersyukur. Selalu berpegang kepada keadaan/saat tersebut.
Dunia yang kita tahu ini akan berakhir. Sesetengah kita akan pergi dahulu sebelum berakhirnya dunia ini. Oleh yang demikian, kenapa kita sering mengejar dunia (yang dicipta)? Kejarlah Sang Pencipta. Di alam hadrat ilahi, waktu tidak ada erti — kita akan dengar bunyi-bunyian seperti ombak di lautan atau ngauman harimau. Jadilah seperti ikan di dalam lautan.
Ini adalah nasihat untuk malam ini yang datang daripada Maulana Sheikh Nazim (qs). Saya berniat untuk memberi suhbah daripada nota-nota Sh. Abdullah (qs), tetapi mereka telah mengubah cadangan saya.
Jangan dengar kepada diri yang menyuruh mencintai dunia ini. Dengarlah kepada roh yang menyuruh mencintai akhirat. Carilah benda-benda yang kekal. Makanlah makanan kerohanian — ia tidak akan habis, ia suci dan bersih.
Moga Allah merahmati kita semua malam ini dan kita tujukan segala kebaikan pada malam ini kepada sahabat kita Hanim. Moga Allah mencucuri roh beliau dengan rahmat-Nya. Roh Hanim bersama kita pada malam ini. Beliau gembira di mana beliau berada sekarang.
Moga kita disambut oleh para awliya Allah apabila kita meninggalkan dunia ini. Moga Allah merahmati Maulana Sh. Abdullah (qs) dan Maulana Sh. Nazim (qs). Allah panjangkan usia Maulana Sh. Nazim (qs). Wa minallahi taufiq. Bi hurmati habib bi hurmati surah Fatihah.”
4. Mengagungkan kubur (berdoa kepada kubur, mencium kubur dan menghiasi kubur)
(Tulisan asal disertakan gambar maqam-maqam mahaguru tarekat Naqsyabandi di Bukhara; dari kiri: maqam Syeikh Muhammad Baha’uddin Syah Naqsyaband, Syeikh Muhammad Baba as-Samasi, Syeikh Amir Kulal dan ‘Arif ar-Riwakri.)
5. Khutbah sesat menggunakan hadis rekaan tentang cerita seorang “wali” Allah
Kisah ini tentang seorang yang kononnya bersuluk hanya pada bulan Rejab dan bermaksiat pada bulan-bulan lain. Di sini Nabi SAW, malaikat Jibril dan Saidina Abu Bakar dihina, perlakuan maksiat digalakkan dan suatu doa didakwa berkuasa menjadikan seseorang wali! (Dipetik daripada laman web tariqat Naqsyabandiah.)
“Satu ketika di zaman Nabi SAW, terdapat seorang perompak jalanan yang terkenal. Setiap selepas tengah malam, dia akan menangkap dan merompak sesiapa sahaja yang ditemuinya berjalan berseorangan. Kadang-kala, dia akan memukul dan membunuh orang yang dirompaknya. Selepas merompak, dia terus pulang ke rumah. Tidak ada seorang pun yang mampu menangkap lelaki tersebut. Disebabkan kekejamannya, Nabi SAW telah berkata dengan perasaan marah tentang lelaki tersebut: ‘Orang itu jahat; jika dia meninggal, aku tidak akan menyembahyangkan dan mengebumikannya di tanah perkuburan orang Muslim.’
Selepas beberapa tahun, lelaki tersebut meninggal dunia. Dia mempunyai seorang anak perempuan. Malangnya, anak perempuannya tidak menemui seorang pun yang boleh membantunya menguruskan jenazah ayahnya. Disebabkan Nabi SAW pernah mencela perbuatan ayahnya — tidak akan menyembahyangkan dan mengebumikannya di tanah perkuburan orang Muslim — budak-budak nakal telah membawa jenazah tersebut melalui jalan Madinah dan membuangnya ke dalam sebuah perigi kosong lagi kering. Sebaik sahaja jenazah itu dibuang, Allah telah berfirman kepada Nabi Muhammad SAW, ‘Ya Habibi ya Muhammad! Wahai kekasih-Ku, hari ini seorang daripada wali-Ku telah meninggal dunia. Kamu mesti pergi dan memandikannya, mengafankannya, menyembahyangkannya serta mengebumikannya.’
Nabi SAW terkejut; sepanjang hidupnya dia telah mencela lelaki tersebut. Sekarang apabila lelaki tersebut meninggal dunia, Allah memberitahu baginda bahawa lelaki tersebut sebenarnya wali-Nya. Bagaimana dia boleh menjadi wali? Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang dapat mencampuri urusan pengetahuan Allah, walaupun Nabi SAW. Jika Allah mahu menjadikan seorang perompak sebagai wali-Nya, tidak boleh sama sekali kita bertanya ‘Kenapa?’ Kita mesti menerimanya. Oleh sebab itu, mengikut ajaran sufi dan ajaran di dalam tarekat Naqsyabandi, kita mesti melihat orang di sekeliling kita lebih baik daripada kita. Kita tidak tahu jika Allah akan menaikkan maqam seseorang kepada maqam yang lebih tinggi daripada maqam kita; siapa tahu? Tidak ada seorang pun yang akan tahu, oleh yang demikian janganlah kita mencampuri urusan-Nya. Jangan memandang rendah kepada orang lain jika kita merasakan kita lebih baik daripada mereka. Kita tidak tahu sama ada orang tersebut, pada pandangan Allah, wali ataupun tidak. Siapa yang tahu? Oleh yang demikian, kita perlu memandang tinggi kepada orang lain, menghormati mereka dan sentiasa merendahkan diri sendiri. Jangan sama sekali menunjukkan ego dan sentiasalah berpuas hati.
Allah berkata kepada Nabi SAW, ‘Ya Rasulullah, pergi dapatkan dia dan bersihkan dia.’ Dengan serta-merta, Nabi SAW memanggil Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan berkata, ‘Wahai Abu Bakar, kita perlu pergi dan dapatkan lelaki tersebut.’ Abu Bakar berkata, ‘Ya Rasulullah, kamu pernah berkata yang kamu tidak akan mengebumikan lelaki tersebut di tanah perkuburan orang Islam; dia bukan seorang Muslim!’ Nabi SAW berkata, ‘Tidak, tinggalkan persoalan Muslim. Allah memberitahuku hari ini yang lelaki tersebut seorang wali!’
Apa yang telah dilakukan oleh perompak tersebut sepanjang hidupnya sehingga dia boleh menjadi seorang wali? Sepanjang hidupnya, dia telah membunuh, merompak dan mencuri. Nabi SAW pergi ke perigi tersebut, mengambil mayat lelaki tersebut dengan tangan baginda sendiri dan membawanya pulang ke rumahnya bersama sahabat-sahabatnya. Kemudian, baginda membersihkannya, memandikannya, mengafankannya, menyembahyangkannya dan seterusnya membawa jenazah lelaki tersebut dari Masjid Nabi SAW ke Jannatul Baqi‘. Jarak perjalanan dari masjid ke Jannatul Baqi‘ ialah 15 minit berjalan kaki. Namun begitu, Nabi SAW mengambil masa lebih daripada dua jam untuk sampai dari tempat yang pertama ke tempat yang kedua. Semua sahabat baginda berasa hairan melihat cara Rasulullah SAW berjalan. Dengan tangan baginda sendiri baginda telah membersihkan lelaki tersebut, memandikannya dan menyembahyangkannya. Semasa baginda membawa jenazah tersebut ke tanah perkuburan, baginda berjalan menggunakan jari kakinya (secara menjengket). Lantas sahabat-sahabat baginda bertanya, ‘Wahai Rasulullah, kenapakah engkau berjalan sedemikian?’ Baginda menjawab, ‘Allah telah memerintahkan semua wali dari timur dan barat, semua malaikat dari tujuh syurga dan semua kerohanian hadir mengiringi jenazah ini. Mereka terlalu ramai dan memenuhi jalan dan aku tidak mempunyai tempat untuk meletakkan kakiku. Sepanjang hidupku, tidak pernah aku terkejut seperti hari ini.’
Selepas mengebumikan lelaki tersebut, Nabi SAW tidak bercakap dengan sesiapa pun; sebaliknya baginda terus pulang ke rumah dengan badan yang terketar-ketar. Baginda duduk dengan Saidina Abu Bakar dan bertanya kepada diri baginda tentang apa yang telah dilakukan oleh wali tersebut; menjadi perompak sepanjang hidupnya tetapi mendapat pengiktirafan yang cukup tinggi daripada Allah. Saidina Abu Bakar berkata, ‘Wahai Rasulullah, aku berasa malu untuk bertanyakan tentang apa yang telah aku saksikan hari ini; ia sesuatu yang menghairankan.’ Kemudian, Nabi SAW menjawab, ‘Wahai Abu Bakar, aku lebih terkejut daripada kamu dan aku sedang menunggu kedatangan Jibril (as) untuk memberitahuku apa yang telah berlaku.’
Apabila Jibril (as) datang, Nabi SAW berkata, ‘Wahai Jibril, apakah yang sebenarnya berlaku?’ Jibril (as) menjawab, ‘Wahai Nabi SAW, janganlah engkau bertanya kepadaku. Aku juga hairan sepertimu. Oleh sebab itu, jangan berasa hairan kerana Allah boleh lakukan apa sahaja yang orang lain tidak dapat lakukan dan Dia menyuruh kamu bertanya kepada anak lelaki tersebut tentang apa yang telah dilakukannya semasa hayatnya.’
Dengan serta-merta dan ditemani oleh Saidina Abu Bakar, Nabi SAW sendiri pergi ke rumah perompak tersebut. Nabi SAW dengan rendah diri meletakkan kuasa dan statusnya sebagai manusia paling sempurna yang dicintai Allah, pergi ke rumah perompak tersebut untuk bertanyakan apa yang telah dilakukan oleh ayahnya semasa hayatnya: ‘Wahai anakku, ceritakan kepadaku bagaimanakah kehidupan ayahmu.’ Anak perempuan lelaki tersebut berkata, ‘Wahai Rasulullah, aku begitu malu dengan apa yang akan aku ceritakan kepada kamu. Ayahku seorang pembunuh, seorang pembunuh. Aku tidak pernah melihat dia melakukan sebarang kebaikan. Dia merompak dan mencuri siang dan malam kecuali dalam satu bulan. Apabila bulan tersebut tiba, dia akan berkata: Bulan ini bulan Tuhanku, kerana ayahku pernah mendengar engkau berkata, Rejab bulan Allah, Syaaban bulan Nabi SAW dan Ramadan bulan umat Muhammad.’ Kemudian ayahku berkata lagi, ‘Aku tidak kisah dengan bulan Nabi SAW atau bulan umat Muhammad, kecuali bulan Tuhanku. Oleh sebab itu aku akan duduk di dalam bilikku bersendirian dan bersuluk sepanjang bulan ini.’
Nabi SAW bertanya kepada anak perempuan itu lagi, ‘Apakah jenis suluk yang dia lakukan?’ Dia menjawab, ‘Wahai Rasulullah, satu hari ketika ayahku sedang berjalan mencari seseorang untuk dirompak, dia bertemu dengan seorang lelaki tua berumur 70–80 tahun. Lantas ayahku memukulnya sehingga pengsan, kemudian merompaknya. Dia menemui sehelai kertas kecil yang tergulung pada orang tua tersebut. Dia membukanya dan mendapati di dalamnya ada satu doa. Ayahku amat gembira dengan doa tersebut. Setiap tahun, apabila datang bulan Rejab, bulan Allah, ayahku akan duduk bersendirian dan membaca doa tersebut siang dan malam, menangis dan membaca, kecuali keluar untuk makan dan membersihkan diri. Apabila bulan Rejab berakhir, dia akan bangun dan berkata, bulan Allah telah tamat, sekarang untuk menggembirakan diriku aku akan kembali merompak dan mencuri untuk 11 bulan yang akan datang.’
Doa (Doa Awliya’ Abbas) yang digunakan oleh lelaki tersebut sangat penting dan kita dinasihatkan membacanya tiga kali sehari pada bulan Rejab. Maulana Sh. Nazim berkata doa ini mencuci semua dosa dan menjadikan kamu putih seperti bayi yang baru dilahirkan. Doa ini amat terkenal dalam ajaran sufi. Apabila Nabi SAW meminta anak perempuan lelaki tersebut memberikan doa itu kepadanya, baginda terus mencium kertas doa tersebut dan menyapunya pada badan baginda. Jangan tinggalkan doa ini dan amalkannya apabila bulan ini datang; teruskan membacanya dan Allah akan memberi kepada kita, insya-Allah. Bergantung kepada niat masing-masing.
Allah telah berkata kepada Nabi SAW, ‘Wahai Nabi yang Kucintai, orang itu telah datang dan memohon keampunan daripada-Ku dalam bulan yang sangat berharga. Oleh sebab dia berkorban sekurang-kurangnya satu bulan dalam setahun untuk-Ku, Aku ampunkan semua kesalahannya dan Aku tukarkan semua dosanya kepada ganjaran. Kerana dia mempunyai terlalu banyak dosa, sekarang dia mempunyai banyak ganjaran dan dia kini menjadi wali besar.’ Kerana satu doa, Allah jadikan seseorang yang tidak pernah beribadat sepanjang hidupnya seorang wali.”
Faktor-faktor yang menyebabkan seseorang terjebak dengan ajaran sesat
Kebanyakan ajaran tariqat ini datang daripada sumber-sumber ajaran Syiah dan amalan-amalan mereka bukannya datang daripada sumber yang boleh dipercayai seperti al-Quran dan as-Sunnah yang tulen.
Terlebih dahulu elok kiranya kita kemukakan sebab-sebab yang membawa kepada kesesatan dan penyelewengan akidah. Antara yang dapat dipastikan daripada al-Quran adalah seperti berikut:
- Taklid buta. Sebagaimana maksud firman Allah: “Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya dan Allah perintahkan kami mengerjakannya. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?” (Surah al-A‘raf: 28)
- Tidak mempunyai konsep yang betul tentang sifat-sifat Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: “Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya. Mereka menjawab dengan berkata: Wahai Soleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharap dalam kalangan kami (untuk memimpin kami); patutkah engkau melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami? Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu yang merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya.” (Surah Hud: 61–62)
- Lupa kepada ayat-ayat Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.” (Surah Taha: 126)
- Memilih pimpinan syaitan dengan meninggalkan pimpinan Tuhan. Firman Allah yang bermaksud: “Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayat petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufik untuk beriman dan beramal soleh) dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayat.” (Surah al-A‘raf: 30)
- Keadaan diri tidak terkawal dengan akidah yang betul. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayat petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 105)
- Tidak menyedari bahawa kesesatan itu merugikan diri sendiri. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayat petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayat petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu.” (Surah Yunus: 108)
- Mengikut prasangka, andaian dan panduan akal yang tidak berpandukan ilmu yang sebenar. Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktikad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.” (Surah Yunus: 36)
- Tidak menggunakan akal dan pancaindera yang diberikan oleh Allah SWT dalam mencari kebenaran. Firman Allah yang bermaksud: “Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat.” (Surah al-A‘raf: 79; lihat juga Surah al-Isra’: 72)
- Degil dan keras kepala terhadap kebenaran. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan kaumnya) berlaku sombong takbur (enggan menerimanya) dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa. Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata. (Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya.” (Surah Yunus: 75–77)
- Derhaka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW dengan membuat pilihan sendiri tentang urusannya setelah Allah SWT dan Rasulullah SAW menetapkan untuknya suatu ketetapan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)
- Menurut hawa nafsu walaupun mengetahui tentang ayat-ayat Tuhan. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya).” (Surah al-Qasas: 50)
- Tidak mengikut petunjuk daripada Tuhan. Allah berfirman: “Turunlah kamu berdua dari syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara.” (Surah Taha: 123)
- Terpedaya oleh godaan syaitan. Allah berfirman: “Dan sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?” (Surah Yasin: 62)
- Orang-orang yang sesat dan banyak dosa. Firman Allah dalam Surah asy-Syu‘ara’.
(xv) Melampaui batas dan tetap ragu walaupun sudah datang keterangan-keterangan yang nyata. Allah berfirman: “… Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang melampaui batas lagi yang ragu-ragu.” (Surah Ghafir/al-Mu’min: 34)
(xvi) Menjadikan orang-orang yang sesat sebagai penolong dan pembantu. Allah berfirman: “Aku tidak memanggil mereka menyaksikan atau membantu-Ku menciptakan langit dan bumi dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.” (Surah al-Kahfi: 51)
Cara penyelesaian
Antara cara penyelesaian yang boleh diketengahkan adalah seperti berikut:
- Kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.
- Mengadakan peruntukan undang-undang yang mencukupi untuk membendung dan menghalang ajaran-ajaran sesat ini, sesuai dengan ajaran Islam itu sendiri.
- Melahirkan para pendakwah dan guru-guru agama yang benar-benar peka dalam persoalan penyelewengan akidah khususnya dan penyelewengan daripada ajaran Islam, serta melatih mereka dengan cara-cara mengatasi masalah ini.
- Memperkenalkan Islam yang syumul merangkumi segala aspek kehidupan manusia di samping mempraktikkannya.
- Memberikan ajaran Islam yang mencukupi dan tahan lasak dalam menghadapi segala bentuk ancaman yang mungkin menggugat akidah mereka.
- Menghapuskan segala bentuk maksiat dan kemungkaran atau sekurang-kurangnya berusaha menguranginya secepat mungkin, bukan dengan memperbanyakkan pula tempat-tempat maksiat dan membiarkan kemungkaran terus bermaharajalela.
- Menggunakan media massa seluas-luasnya dalam usaha pengajaran Islam yang benar-benar bersih dan tulen kepada masyarakat.
- Sentiasa berusaha mengenal pasti penyelewengan akidah yang berlaku dalam masyarakat, kemudian bertindak secepat mungkin sebelum ia berakar umbi.
- Sentiasa memohon pertolongan dan menaruh pengharapan kepada Allah SWT sebagai penolong dan pembela dalam usaha membasmi penyelewengan akidah dan ajaran-ajaran sesat.
Nota penyunting: perkembangan selepas artikel ini
Untuk makluman pembaca, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-117 (2020) kemudiannya membenarkan tarekat ini diamalkan oleh pengikutnya dengan syarat amalannya tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak menimbulkan konflik dan kekeliruan tentang agama serta tidak bertentangan dengan uruf setempat. Keputusan ini mendapat perkenan Majlis Raja-Raja pada 4 Januari 2021, namun pelaksanaannya tertakluk kepada pihak berkuasa agama setiap negeri. Sebahagian negeri mengekalkan pengharamannya; contohnya Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis (14–15 September 2022) memutuskan bahawa ajaran Syeikh Nazim al-Haqqani mengandungi unsur penyelewengan, khurafat dan tahyul serta tidak boleh diamalkan oleh umat Islam. Pembaca dinasihatkan merujuk fatwa terkini negeri masing-masing.
Rujukan
17 sumber-
Al-Quran, Surah al-A'raf (7): 28.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Hud (11): 61–62.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Taha (20): 126.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-A'raf (7): 30.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 105.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Yunus (10): 108.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Yunus (10): 36.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-A'raf (7): 79 dan Surah al-Isra' (17): 72.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Yunus (10): 75–77.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 36.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Qasas (28): 50.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Taha (20): 123.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Yasin (36): 62.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Ghafir (40): 34.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Kahf (18): 51.
Quran.com -
Utusan Malaysia (April 2022), 'JMKNNS sahkan tarekat berdaftar di Negeri Sembilan': keputusan Muzakarah MKI Kali Ke-117 (2020), perkenan Majlis Raja-Raja 4 Januari 2021.
utusan.com.my -
Pejabat Mufti Negeri Perlis, fatwa tentang ajaran dan pegangan Syeikh Nazim al-Haqqani (14–15 September 2022).
Jabatan Mufti Perlis
