Tulisan: Allahyarham Dato’ Yusoff Zaky Yaakob (Kata Pendahuluan) dan Dr. Wahbah az-Zuhaili (saringan daripada al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh). Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: buku Mengenal Hukum Hudud (Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, cet. 1, 1992), ditaip semula oleh pelajar KIAS dan disunting oleh Nik Muhammad Zulhanif Nik Yaacob.
Sepatah Kata Abu Anas Madani
Syariah Islam adalah suatu perundangan yang Allah SWT syariatkan ke atas hamba-Nya untuk menjaga kemaslahatan dan kebaikan buat mereka.
Kalau dibiarkan manusia memikirkan sendiri maslahah mereka, tentulah pemikiran mereka tidak sampai ke tahap yang sepatutnya.
Sebagai suatu usaha kami untuk menyampaikan kebaikan dan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang perkara ini, khasnya pada zaman yang ada orang mempersendakan hukum Allah khasnya hudud, maka diharapkan usaha ini ada manfaatnya.
Di bawah ini kami petik tulisan Allahyarham Dato’ Yusoff Zaky Yaakob dalam muqaddimah buku Mengenal Hukum Hudud yang ditulisnya pada tahun 1992 ketika Kerajaan Kelantan mengemukakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) di DUN Kelantan.
Buku ini diterbitkan oleh: Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (Cet. 1, 1992).
Akhukum, AAM. PSD, 27 Muharam 1435H – 01/12/2013.
Kata Pendahuluan
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله صلى الله عليه وعلى آله وصحبه وسلم تسليما كثيرا
﴿وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا﴾
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, mempunyai hak membuat pilihan sendiri dalam urusan mereka apabila Allah dan Rasul-Nya telah membuat sesuatu keputusan. Sesiapa yang tidak mematuhi hukum Allah dan Rasul-Nya, bererti dia telah terjerumus ke dalam kesesatan yang amat nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

Buku ini lahir tepat pada waktunya, ketika isu hukum hudud menjadi topik perbincangan hangat di kalangan orang Islam sendiri dan menerima reaksi yang berbelah bagi daripada pelbagai sektor penduduk Malaysia.
Buku ini dilahirkan dengan tujuan memberi gambaran asas tentang hukum hudud yang dipertikaikan itu supaya ia dapat difahami dengan penjelasan yang betul, mudah dan terlepas daripada sebarang sentimen politik dan semangat perkauman yang buta, agar isu yang besar ini dapat difikir dan diteliti dengan penuh tanggungjawab oleh setiap pihak yang berminat untuk mencampuri isu ini, terutama bahagian umat Muslim yang menerima Allah SWT sebagai Tuhan dan menerima Muhammad Rasulullah SAW sebagai pemimpin mereka yang ulung di sepanjang zaman.
Menurut prinsip keimanan dan akidah Islamiah, setiap Muslim dan Muslimah wajib mempertahan dan membela agamanya; dan konsep membela agama tidak hanya terbatas dalam erti kata mengamal dan mempertahankan peraturan-peraturan ibadat, peraturan nikah cerai dan peraturan muamalah sahaja, malah merangkumi usaha mempertahankan konsep-konsep pemerintahan, pentadbiran dan kehakiman yang telah digariskan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan antaranya ialah hukum hudud yang dipertikaikan sekarang ini.
Sehubungan dengan ini, mana-mana Muslim dan Muslimah yang tidak sanggup mempertahankan kesucian hukum hudud atau merasa keberatan untuk menganggap hukum hudud sebagai hukum-hukum Allah Taala yang wajib dipatuhi atau bertindak liar dengan mempertikaikan hukum hudud atau mempersenda-sendakan hukum hudud atau menyifatkan hukum hudud sebagai undang-undang barbarik, kejam dan tidak berperikemanusiaan, maka bererti dia tidak sanggup menjunjung hukum Allah SWT dan secara terbuka menentang al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW; dan setiap mereka yang tergolong dalam kategori orang-orang yang menentang al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW secara langsung adalah tergolong dalam kumpulan manusia yang menentang Allah dan Rasul-Nya.
Untuk menyelamatkan ramai orang Islam daripada keruntuhan iman dan kemusnahan akidah mereka yang suci kerana terlibat secara sedar atau tanpa sedar dalam kegiatan mempertikaikan hukum hudud yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW itu, maka terpaksa dilakukan dengan segera usaha melahirkan sebuah buku khusus mengenai hukum hudud dengan tujuan membentangkan keterangan hukum-hukum itu supaya ramai orang Islam mendapat gambaran tentang hukum hudud yang sebenar dan tidak terus terkeliru dan tertipu dengan gambaran-gambaran khayalan yang melulu hingga hukum hudud dipandang sebagai ancaman-ancaman dan undang-undang buas yang menakutkan dan mengerikan, sedangkan hukum hudud yang diturunkan Allah SWT itu suci dan bersih daripada segala gambaran yang melulu, dusta dan menghinakan itu.
Semua pihak yang ikhlas sedar bahawa pelaksanaan hukum hudud yang diperkatakan sekarang ini masih dalam peringkat perancangan persiapan. Tiada siapa yang sanggup mendakwa bahawa hukum hudud boleh dilaksanakan sekarang juga dengan menggunakan kitab-kitab feqah yang ditulis pada abad-abad yang lampau tanpa memerlukan penapisan dan semakan yang rapi atau tanpa memerlukan usaha-usaha kemas kini atau tanpa memerlukan perubahan-perubahan yang wajar dalam struktur kehakiman dan pentadbiran undang-undang negara.
Pendek kata, persiapan itu adalah satu perkara dan kesahihan hukum hudud sebagai undang-undang daripada syariat Allah Taala yang wajib didaulatkan oleh umat Islam yang mempunyai kuasa membentuk kerajaan dan menggubal undang-undang adalah satu perkara yang lain, yang tidak boleh dikelirukan dengan isu persiapan yang juga turut menjadi kewajipan.
Apa yang penting wujud pada peringkat sekarang ialah keinsafan dan keazaman untuk menegakkan hukum hudud. Apabila keinsafan dan keazaman yang ikhlas wujud, maka pelaksanaan hukum hudud lambat laun akan muncul di alam realiti. Dalam perjuangan di peringkat persiapan, setiap Muslimin dan Muslimat berkewajipan memberi sumbangan dan sokongan tanpa mengira parti dan menjauhkan diri daripada membuat komen-komen negatif atau memalu gendang-gendang sumbang yang membayangkan ke arah keraguan.
Hukum hudud merupakan sebahagian daripada kanun jenayah Islam dan kanun jenayah Islam merupakan sebahagian daripada syariat Allah SWT yang wajib dijunjung, diamal dan dipertahankan oleh setiap Muslimin dan Muslimat.
Pelaksanaan kanun jenayah Islam pada zaman Rasulullah SAW telah dilakukan pada zaman Madinah, ketika Islam berjaya menegakkan negara Islam yang berdaulat, yang mempunyai kuasa untuk menegakkan undang-undang dan peraturan-peraturan. Oleh sebab itulah setiap masyarakat Islam di mana-mana negeri, dalam mana-mana generasi dan zaman sekalipun, wajib mendaulatkan kanun jenayah Islam apabila mereka berkuasa membentuk kerajaan dan menggubal undang-undang negeri, kerana pelaksanaan kanun jenayah Islam merupakan perkembangan kemuncak bagi dakwah Islam, di samping ia merupakan keperluan asasi bagi mengawal kesejahteraan umat.
Keutuhan sebuah negara Islam dipertahankan oleh dua kekuatan, iaitu kekuatan keimanan dan takwa yang tertanam dalam hati rakyat jelatanya dan kekuatan undang-undang yang menjadi teras kekuatan lahiriah negara itu.
Takwa dan undang-undang merupakan dua kekuatan berkembar negara Islam yang tidak boleh dipisahkan. Sebarang usaha untuk memisahkan dua kekuatan itu akan memusnahkan identiti sesebuah negara Islam. Memang diakui bahawa hukum hudud atau kanun jenayah Islam umumnya yang diwarisi umat Islam pada hari ini belum dilengkapkan dengan teknik-teknik dan kaedah-kaedah pelaksanaan undang-undang yang moden seperti undang-undang ‘penal code’ yang ada pada hari ini, kerana beberapa sebab sejarah dan politik.
Antaranya, yang pertama, kesuburan dan perkembangan kanun jenayah Islam telah terbantut sejak negara-negara Islam memasuki era kelemahan dan kejatuhan, ketika kanun jenayah Islam dari segi amalan tidak lagi berfungsi dalam masyarakat-masyarakat Islam; oleh kerana itu ia tidak mendapat kesempatan untuk terus berinteraksi dengan realiti kehidupan manusia hingga ke zaman moden.
Kedua, kerana ia ditulis pada abad-abad yang silam berlandaskan realiti kehidupan umat Islam pada zaman silam. Akan tetapi walaupun begitu, ia tetap kekal dengan ciri-ciri semula jadinya yang sanggup mengikuti perkembangan zaman dan perubahan kehidupan manusia, dengan lunas-lunas dan kaedah-kaedahnya yang universal (sejagat) yang dapat dipakai pada semua zaman dan tempat.
Jika kepakaran teknikal ahli perundangan pada zaman ini bergabung dengan kepakaran ilmiah Islamiah ahli perundangan Islam yang telah lama wujud di negara kita dan negara-negara Islam yang lain, sudah tentu kanun jenayah Islam dapat diletakkan dalam satu acuan baharu yang dapat mencerminkan dinamisme (kehadapan) dan realismenya yang utuh untuk menghadapi kehendak realiti kehidupan moden.
Buku ini adalah hasil saringan bebas daripada sebuah buku perundangan Islam yang besar, yang paling mutakhir dan sedang mendapat populariti yang tinggi dan meluas di dunia Islam, iaitu buku:
الفقه الإسلامي وأدلته
(Kefahaman Perundangan Islam dan Dalil-dalilnya), hasil karangan ulama Islam semasa yang terkemuka, Doktor Wahbah az-Zuhaili rahimahullah (meninggal dunia pada 2015).
Bahagian yang dimasukkan dalam buku yang kecil ini ialah bahagian hukum hudud mengenai jenayah-jenayah zina, qazaf (membuat tuduhan zina ke atas orang lain), mencuri, merompak dan minum arak sahaja, dengan tujuan agar buku ini tidak menjadi tebal dan cukup untuk mengenal garis-garis besar hukum hudud dengan beberapa perinciannya yang penting.
Setiap pembaca yang menatap buku ini dengan hati nurani yang terbuka dan dengan kesedaran seorang mukmin yang mempunyai hubungan yang peka dengan Allah dan Rasul-Nya akan melihat dan menginsafi bahawa hukum hudud itu adalah undang-undang yang diaturkan oleh kebijaksanaan Allah SWT yang mengetahui tabiat hati dan naluri manusia yang diciptakan-Nya. Ia bukannya undang-undang yang digaris secara sewenang-wenangnya yang hanya sesuai dengan zaman unta dan masyarakat padang pasir yang bersahaja; malah selanjutnya dia akan memperoleh keyakinan bahawa hanya hukum hudud ciptaan Allah sahaja yang mampu menyelamatkan tamadun manusia daripada keruntuhan akhlak dan kemusnahan sosial akibat kebebasan perlakuan jenayah seks, jenayah mencuri dan merompak, jenayah membunuh, menceroboh dan merosakkan.
Masyarakat Amerika yang membangga-banggakan dirinya sebagai negara yang terkuat dan mempunyai tamadun yang paling tinggi dan sebagai satu-satunya negara yang layak menjadi polis dan hakim dunia, dapat dijadikan contoh yang amat jelas bagaimana ketamadunan negara itu sedang dicemari keruntuhan akhlak dan perlakuan jenayah yang berleluasa hingga ketamadunannya tidak lagi mencerminkan konsep tamadun dalam erti kata yang murni dan sebenar.
Gaya perundangan jenayah Barat kebelakangan ini menjurus ke arah kaedah bersimpati dengan penjenayah dan meringankan hukuman terhadap mereka. Hasil yang paling jelas daripada kaedah ini ialah penghapusan hukuman bunuh atau ‘capital punishment’, memandang ringan kepada jenayah zina dan jenayah minum arak dan mengenakan hukuman yang menggalakkan ke atas pencuri-pencuri dan perompak-perompak. Akibat trend perundangan yang lembut inilah penjenayah-penjenayah yang keji itu berkembang begitu pesat dan subur, mengakibatkan penderitaan-penderitaan yang amat berat kepada masyarakat di seluruh dunia dan menyebabkan rancangan pembesaran penjara-penjara sama penting dengan pembesaran kolej-kolej.
Daripada penjelasan buku yang kecil ini, setiap pembaca dapat melihat bahawa pelaksanaan hukum hudud dari awal hingga akhirnya diikat dengan pelbagai syarat yang ketat dan boleh digugurkan dengan pelbagai keraguan. Malah dalam kes rejam yang paling berat sekalipun, orang yang dihukum masih mempunyai kelonggaran untuk melarikan diri semasa menjalani hukuman (iaitu apabila kesalahan disabitkan dengan pengakuannya sendiri, sebagaimana dalam kisah Ma‘iz r.a.) dan dalam sesetengah kes hudud yang lain, hukuman hudud gugur sekiranya penjenayah bertaubat sebelum dia ditangkap (Surah al-Ma’idah: 34).
Ciri-ciri hukum hudud yang menarik ini membayangkan bahawa matlamat hukum hudud adalah semata-mata untuk mewujudkan kesan pencegahan yang mendera dan memeritkan demi melindungi kesejahteraan masyarakat, bukannya untuk membinasakan penjenayah. Di samping itu, konsep hukuman dan balasan dalam Islam bukan semuanya diselesaikan di dunia ini, malah seluruh insan akan dibicarakan kembali dalam pengadilan terakhir di hadapan Allah SWT pada hari akhirat. Oleh sebab itulah dalam hukum hudud terdapat lorong-lorong yang selamat untuk memberi peluang kepada pesalah itu menginsafi diri di dunia atau bertaubat sebelum menghadapi pengadilan di akhirat buat kali terakhir.
Dengan syarat-syarat yang ketat dan faedah-faedah keraguan (benefit of doubt) yang luas yang diperuntukkan di dalamnya, hukum hudud tidak boleh disifatkan sebagai undang-undang mandatori yang mutlak seperti Akta Dadah Berbahaya yang dilaksanakan di negeri ini. Malah perselisihan pendapat di antara ahli-ahli perundangan Islam dalam mentafsirkan sesetengah peruntukan di dalam hukum hudud telah menjadikan hukum hudud suatu undang-undang yang banyak memberi ruang kepada pertimbangan dan ijtihad para hakim untuk membuat keputusan yang berhemat.
Ia jauh berbeza daripada undang-undang dadah berbahaya ciptaan manusia yang tidak memberi ruang-ruang pertimbangan perikemanusiaan yang logik, yang dapat memberi kepuasan dan ketenangan kepada hati nurani yang merasa bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap setiap nyawa yang dihukum oleh mereka.
Pelaksanaan hukum hudud, sebagaimana yang dapat diperhatikan daripada penjelasan buku ini, lebih mendalam dan lebih serius dalam mendukung aspek rahmat dan belas kasihan yang tidak terdapat di dalam undang-undang dadah berbahaya ciptaan manusia, yang tidak sanggup membezakan secara berperikemanusiaan di antara pengedar-pengedar dadah yang sebenar dengan pengambil-pengambil upah yang miskin, jahil dan tidak berdaya, juga di antara pengedar-pengedar dadah yang sebenar dengan orang-orang yang bernasib malang yang terjebak dalam deeming provision atau dalam definisi pemilikan dadah mengikut undang-undang dadah.
Kata-kata setengah hakim di akhir perbicaraan kes dadah berbahaya yang berbunyi: “Saya tidak mempunyai pilihan selain daripada menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kamu” merupakan suatu pernyataan yang mengungkapkan kebuntuan dan kekecewaan hati nurani yang peka untuk menemui jalan-jalan rahmat dan belas kasihan.
[Nota penyunting: Kata Pendahuluan ini ditulis pada tahun 1992. Hukuman mati mandatori di Malaysia, termasuk bagi kesalahan mengedar dadah, telah dimansuhkan melalui Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023; mahkamah kini mempunyai budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.]
Saya percaya setiap pembaca yang meneliti syarat-syarat pelaksanaan hukum hudud dengan sedar dan insaf dari awal hingga akhir akan membuat kesimpulan yang spontan bahawa hukum hudud, walaupun bersifat mandatori, amat sukar dilaksanakan melainkan ke atas penjenayah-penjenayah yang amat jahat dan benar-benar wajar dihukum atau penjenayah yang amat jujur dan amat tinggi keinsafan dan takwanya hingga sanggup meminta hukuman dijalankan ke atasnya walaupun diberi isyarat oleh hakim supaya tidak membuat pengakuan seperti itu.
Di samping itu, pelaksanaan hukum hudud tidak seharusnya membimbangkan orang-orang bukan Islam, kerana hukum hudud bertujuan mewujudkan suasana aman yang sebenar kepada semua penduduk negara tanpa mengira kaum dan bangsa. Mereka tidak seharusnya merasa takut kepada hukum hudud selama mereka menaruh kebencian dan bersikap menentang perlakuan jenayah-jenayah hudud yang keji itu atau selama mereka tidak bercita-cita untuk melibatkan diri di dalam jenayah-jenayah yang jahat itu.
Atau selama mereka tidak rela kedai-kedai mereka dicuri atau selama mereka tidak rela melihat isteri dan anak-anak gadis mereka dilarikan dan dirogol dengan kejam atau selama mereka bercita-cita untuk tidur nyenyak dalam suasana aman dan selesa tanpa memasang pada pintu-pintu rumah mereka pelbagai penggera yang canggih dan tanpa memasang kunci yang berlapis-lapis seolah-olah penjara-penjara kecil di tengah bandar.
Cara pelaksanaan hukuman rejam, hukuman sebat, hukuman potong tangan dan hukuman bunuh yang dijalankan di hadapan mata satu perhimpunan ramai akan membuat para penjenayah yang menjalani hukuman itu benar-benar merasakan bahawa mereka sedang dihukum oleh orang ramai. Di sinilah letaknya faktor-faktor keberkesanan hukum hudud yang dapat melahirkan kesan-kesan pencegahan yang berkesan, sehingga membuat setiap orang yang bercita-cita untuk melakukan jenayah-jenayah hudud yang keji itu terpaksa berfikir sedalam-dalamnya sebelum melangkah ke alam jenayah itu.
Sebelum mengakhiri kata pendahuluan ini, adalah wajar ditekankan sekali lagi bahawa kewajipan mempertahankan hukum hudud dari segi ilmiah dan kaedah pelaksanaannya bukan sahaja menjadi kewajipan cerdik pandai Islam yang tergolong dalam istilah alim ulama seperti yang ditanggapi selama ini, malah ia menjadi kewajipan semua pengamal undang-undang yang beragama Islam di seluruh negeri ini, yang terdiri daripada hakim-hakim dan peguam-peguam yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dan pengendalian undang-undang negara.
Selaku seorang Muslim yang bertuhankan Allah SWT dan mahir dalam perundangan negara, mereka berkewajipan mempelajari dan mengkaji selok-belok hukum hudud bersama para ulama dan membuat perakuan-perakuan yang membuka jalan ke arah pelaksanaan hukuman hudud yang diturunkan oleh Allah Taala. Mereka tidak wajar berselindung di sebalik lalang dengan alasan yang dangkal bahawa tugas mereka hanya menafsirkan undang-undang, bukan menggubal undang-undang, kerana dalam realiti Islamnya, mereka adalah hakim-hakim dan peguam-peguam yang beragama Islam yang bertanggungjawab mengamal dan mengembangkan undang-undang Islam mengikut saranan-saranan yang berada dalam keupayaan mereka selaku ahli undang-undang.
Sikap reda dan berpuas hati dengan undang-undang ciptaan manusia yang diambil dari Barat atau sebagainya adalah bertentangan dengan akidah Islamiah yang dianut oleh mereka. Begitu juga sikap tidak peduli atau memandang remeh kepada undang-undang ciptaan Allah SWT akan meletakkan mereka dalam barisan orang-orang yang tidak menghormati dan menjunjung tinggi undang-undang Allah SWT, iaitu satu barisan yang bertenggek di tepi jurang kemusnahan akidah dan keruntuhan iman.
Sebenarnya, kepakaran teknikal dan pengalaman yang luas para hakim dan peguam beragama Islam itu dapat memberi sumbangan pelaksanaan yang amat bermakna dalam penyusunan kanun jenayah Islam umumnya dan undang-undang hudud khususnya, pada zaman kebangkitan umat Islam yang ingin kembali kepada sistem hidup Islam setelah gagal dengan undang-undang ciplak ciptaan manusia yang semata-mata berlandaskan kepentingan-kepentingan keduniaan.
Di samping itu, pengalaman kerajaan Arab Saudi serta kerajaan Sudan dan juga percubaan kerajaan Pakistan dapat dijadikan panduan yang amat berguna dan membina dalam usaha mengemas kini teknikaliti pelaksanaan undang-undang hudud dalam dunia yang serba maju dan moden ini. Kita yakin dengan usaha yang sedemikian rupa daripada para alim ulama yang berganding bahu dengan para hakim dan para peguam yang beragama Islam, negara ini lambat laun akan dapat menikmati naungan di bawah undang-undang Islam yang adil dan aman.
Kembali kepada Undang-Undang Allah
Semakin jauh kita mengkaji perundangan Islam dan kitab-kitab yang disusun oleh ahli perundangan Islam, semakin kuat kepercayaan kita terhadap kemantapan syariat Islam dalam mengatur urusan kehidupan masyarakat, juga terhadap kebaikan pemikiran Islam, kebijaksanaan ahli-ahli perundangan Islam dan keagungan perundangan Islam. Ini kerana hukum-hukumnya bukan sahaja dilandaskan di atas dalil-dalil naqli daripada al-Quran dan as-Sunnah, malah ia menembusi begitu jauh ke dalam jiwa dan akal manusia untuk mendapatkan dalil yang menguat dan menyokongnya sehingga ke masa kini, iaitu dalil yang menyokongnya dari aspek pelaksanaan yang praktikal dan menyumbangkan kekuatan kepadanya untuk kembali berfungsi semula dalam mengatur dan mengendalikan hubungan-hubungan sosial, hubungan-hubungan dagang dan hubungan dua hala yang berlangsung setiap hari di antara individu-individu, juga dalam mengembalikan hubungan antarabangsa.
Tujuan memilih dan mengambil undang-undang Islam ialah untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam yang kukuh, terhormat, bersih, aman dan tenteram, yang tiada ruang untuk ditawarkan kehinaan atau menyerah kalah kepada musuh; masyarakat yang tidak memberi tempat kepada perlakuan jenayah dan kegiatan-kegiatan yang tidak menentu; masyarakat yang tidak memberi pertimbangan kepada kelakuan-kelakuan pelik dan menyeleweng, perbuatan yang korup atau mungkar dan maksiat. Ia bertindak ke arah itu secepat mungkin mengikut prinsip-prinsip Islam, terutama prinsip memberi perlindungan (tutupan) kepada perbuatan jenayah yang tertutup atau dilakukan secara tidak terbuka dan prinsip menolak dan mengenepikan hukum-hukum hudud, bukan hukum takzir, apabila terdapat keraguan.
Di antara faktor yang benar-benar menarik kita kepada undang-undang Islam ialah umat Muslimin pada zaman kita telah pun mencuba segala barangan import dalam bentuk undang-undang dan peraturan, idea-idea dan budaya-budaya serta pelbagai ilmu pengetahuan yang bersifat materialistik yang sempit atau kebendaan semata-mata. Tetapi akhirnya golongan yang insaf dan sedar telah kembali ke pangkuan Islam setelah sistem import itu gagal memajukan individu dan masyarakat dan setelah terbuka tembelangnya yang selama ini ditutup dengan lapisan cat tamadun yang palsu. Daripada tamadun palsu inilah kita telah mengambil sesuatu yang rendah serta tidak bermutu dan meninggalkan intan atau sesuatu yang berguna, lalu kita tegakkan kehidupan umat Islam mengikut sistem-sistem dan budaya-budaya import itu yang telah mengakibatkan kerosakan kepada nurani dan fikiran mereka.
Di samping menanamkan keraguan dan sikap tidak yakin kepada diri sendiri, menggoncang nilai, sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang murni, akhirnya sistem itu gagal kecuali mengekalkan kita menjadi satu umat yang lemah yang bergantung pada orang lain, satu umat yang tidak diketahui identitinya atau satu umat yang tidak mempunyai keperibadian yang tersendiri, sama ada keperibadian Islam atau keperibadian Arab, sama ada keperibadian Timur atau Barat.
Dengan dorongan yang kuat daripada pemikiran yang sedar atau tidak sedar, masyarakat Islam menjurus ke arah Islam sebagai jalan keluar atau jalan selamat. Tetapi malangnya orang-orang Islam hanya menumpukan kegiatan mereka dalam bidang ibadat sahaja, menyebabkan sistem hidup mereka berada di suatu sudut dan kegiatan ibadat mereka berada di sudut yang lain. Mereka berada dalam keadaan dua jalan yang terumbang-ambing dan bertentangan antara satu sama lain; mereka berada dalam keadaan bingung dan bosan; mereka berada dalam keadaan serba salah yang baharu, walaupun tidak seburuk berpisah terus daripada Islam.
Tiada jalan lain yang dapat menyelamatkan umat Islam daripada keadaan dua jalan yang terumbang-ambing itu selain daripada pelaksanaan syariat Allah SWT secara menyeluruh dalam semua bidang muamalah, jenayah, hudud dan lainnya, serta mengubah undang-undang ciptaan manusia. Sehubungan dengan ini, sinar harapan telah kelihatan apabila langkah-langkah yang positif sedang menjurus ke arah menegakkan kembali undang-undang syariat di negeri-negeri Arab dan di negeri-negeri Islam untuk membersihkan masyarakat daripada keruntuhan akhlak dan penyelewengan, menegakkan keperibadian sendiri dan mengendalikan segala urusan kehidupan masyarakat mengikut pemikiran Islam, baik dalam bidang politik ataupun sosioekonomi mahupun dalam bidang ketenteraan; juga untuk menghancurkan segala belenggu kehinaan, membasmi segala bentuk pencerobohan dan pencabulan, memerangi segala jenis eksploitasi, di samping menghidupkan kepercayaan kepada diri sendiri dan menyatukan umat Islam di bawah panji-panji al-Quran dan sunah Rasulullah SAW dan mengambil manfaat daripada kajian-kajian perundangan syariah yang tidak terkeluar daripada dua sumber tersebut.
Kini orang-orang Islam telah sedar bahawa satu-satunya jalan untuk mencapai kemuliaan, menolak pencerobohan musuh dan membebaskan bumi Islam dan hak-haknya yang telah dirampas itu ialah bersatu padu di bawah panji-panji jihad untuk menegakkan agama Allah SWT, sama seperti perpaduan dan penggemblengan kekuatan yang telah dilakukan oleh musuh terhadap kita. Mereka telah memerangi kita di bawah lambang ideologi kebangsaan dan perkauman mereka yang keji.
Mengenal hukum-hukum akad, peraturan-peraturan jihad yang digariskan dalam perundangan Islam, hukum-hukum hudud dan jenayah, sistem kehakiman Islam yang adil dan prinsip-prinsip undang-undang Islam merupakan satu cabang daripada pokok besar yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi ahli-ahli undang-undang dan kehakiman di dunia ini.
Tetapi yang amat menyedihkan ialah wujudnya sesetengah golongan orang Islam yang jahil tentang kajian perundangan Islam yang subur itu, yang menyifatkan kajian itu sebagai longgokan undang-undang yang tidak tersusun, kerana didorong oleh perasaan kasih mereka kepada Barat, kerana ditekan oleh perasaan rendah diri dan tidak percaya kepada diri sendiri dan kerana jahil tentang tuntutan-tuntutan kehidupan dalam pelbagai bentuk andaian dan kemungkinan yang wujud dalam proses pelaksanaan undang-undang yang ada sekarang ini.
Mereka merasa senang dan selesa dengan hidangan undang-undang ciptaan Barat dan lebih bangga menyebut pendapat Tuan Fulan dan Mr. Fulan daripada menyebut pendapat tokoh-tokoh ulama Islam yang besar yang telah berjaya mengeluarkan pendapat-pendapat, konsep-konsep dan hasil-hasil karya yang menjadi idaman para pembesar, alim ulama, ahli-ahli falsafah dan para cendekiawan.
Kepada generasi umat Islam pada zaman ini kita menyeru: marilah kita kembali kepada perundangan Islam yang kaya dan subur ini, marilah kita menghayati mata airnya yang nyaman dan menceduk undang-undang yang sesuai dengan zaman kini. Semoga Allah SWT memberi taufik kepada kita untuk memilih undang-undang-Nya yang mudah dan selesa; semoga Allah mengurniakan keyakinan yang kukuh, pemikiran yang matang dan perasaan yang peka untuk memilih peraturan-peraturan yang baik, juga untuk mengesan kebenaran dan mencegah kebatilan dari akar umbinya.
Di sinilah kita mengetahui bahawa perjuangan menegakkan panji-panji Islam memerlukan usaha menyiapkan satu tapak yang kukuh untuknya dalam bentuk mewujudkan realiti yang praktikal bagi perundangan Islam, pemikiran Islam dan dakwah Islam yang bersifat membina, kerana dakwah Islam bukannya kenyataan bersifat sentimen yang berkobar-kobar atau suatu kerangka kosong yang tidak mempunyai isi dan metodologi. Usaha mewujudkan tapak yang kukuh itu bertujuan untuk menjamin kesinambungan dakwah agar ia tidak dapat digugat oleh pukulan ribut taufan yang kencang atau oleh angkara tipu daya musuh.
Dalam pengajian perundangan Islam daripada semua alirannya, terdapat bukti yang kukuh bahawa undang-undang Islam sesuai untuk dilaksanakan pada setiap zaman. Ia merupakan satu jalan yang betul untuk merealisasikan syakhsiah Islamiah yang padu, kerana Islam berfungsi sebagai faktor yang membina dan menyatupadukan, bukannya faktor yang memecahbelahkan sebagaimana yang dilihat oleh pemikir-pemikir yang dangkal fahamannya. Perselisihan pendapat dalam kalangan ahli-ahli perundangan Islam hanya berlaku dalam isu-isu kecil atau isu-isu ijtihadiyyah sahaja, bukan dalam persoalan-persoalan prinsip dan tujuan.
Oleh sebab itulah dirasakan amat perlu agar pengajian perundangan Islam itu dibentangkan dengan gaya penjelasan yang mudah dengan berlandaskan dalil-dalil yang sahih untuk menimbang tara dan membandingkan pendapat-pendapat perundangan, di samping memudahkan jalan untuk mentarjih (menguatkan) atau memilih pendapat-pendapat yang lebih baik dan sesuai dengan aliran zaman.
Inilah perkara yang saya ingin lakukan dalam buku ini melalui usaha-usaha yang bersungguh-sungguh (Allah SWT sahaja yang mengetahuinya) untuk menjelaskan setiap pendapat perundangan dan mengetahui hukum setiap masalah yang terdapat dalam kitab-kitab feqah yang lama, dengan harapan dapat memberi manfaat yang sebaik-baiknya.
Hukum Hudud
Hudud adalah kata jamak daripada “al-hadd” yang bermakna “kawalan” atau “cegahan”. Daripada asal kata yang sama, penjaga atau pengawal pintu dipanggil haddad kerana dia mengawal dan mencegah seseorang daripada memasukinya. Hukuman-hukuman dinamakan sebagai hukum-hukum hudud kerana ia berfungsi mencegah orang ramai daripada melakukan jenayah-jenayah yang dikenakan hukum hudud. Istilah hududullah bererti perlakuan-perlakuan yang diharamkan dan dicegah oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT:
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا
“Itulah batas-batas larangan Allah, oleh itu janganlah kamu mendekatinya.” (Surah al-Baqarah: 187)
Istilah hududullah juga bererti “ketentuan-ketentuan yang telah ditetapkan Allah” yang tidak boleh dilampaui oleh seseorang.
Firman Allah SWT:
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا
“Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan Allah, oleh itu janganlah kamu melanggarnya.” (Surah al-Baqarah: 229)
Hudud mengikut pengertian syarak yang diguna pakai mazhab Hanafi ialah hukuman-hukuman yang ditentukan dan diwajibkan Allah SWT sebagai hak Allah Taala. Hukum-hukum takzir tidak ditentukan oleh Allah (malah diserahkan kepada budi bicara pemerintah). Hukum qisas (balasan bunuh) juga tidak dinamakan hudud walaupun ia merupakan suatu hukuman yang telah ditentukan Allah SWT, kerana hukum qisas merupakan hak manusia, bukannya hak Allah; kerana itu hukum qisas boleh dimaafkan dan dicari perdamaian. Namun semua hukuman itu dinamakan hudud kerana ia mencegah perlakuan jenayah seperti itu daripada berlaku.
Maksud hukum hudud disifatkan sebagai hak Allah SWT ialah kerana hukum hudud diperundangkan dengan tujuan melindungi maruah, keturunan, harta benda, akal dan nyawa daripada gangguan dan pencerobohan. Sesetengah hukum hudud seperti hukuman zina dan minum arak adalah hak Allah Taala semata-mata, dengan erti ia adalah hak masyarakat. Sesetengah hukum hudud yang lain seperti hudud qazaf (membuat tuduhan zina terhadap orang lain) merupakan hak Allah dan hak manusia, iaitu satu hukum yang hak peribadinya berkongsi dengan hak umum.
Hukum hudud mengikut istilah kebanyakan ulama yang bukan daripada aliran Hanafi ialah hukuman yang ditentukan oleh syarak, sama ada ia hak Allah SWT atau hak manusia.
Jenis-Jenis Hukum Hudud
Jenis-jenis hukum hudud ialah hudud kerana berzina, hudud kerana membuat tuduhan zina, hudud kerana mencuri, hudud kerana merompak, hudud kerana meminum arak dan sebagainya. Mengikut mazhab Imam Abu Hanifah, hukum hudud itu lima:
- Hudud kerana mencuri.
- Hudud kerana berzina.
- Hudud kerana minum arak.
- Hudud kerana mabuk.
- Hudud kerana tuduhan zina.
Hukuman hudud kerana merompak termasuk di bawah hukum mencuri dengan pengertian yang lebih luas. Kemudian ditambah dua hukum yang lain mengikut mazhab-mazhab selain mazhab Hanafi, iaitu hudud kerana qisas dan hudud kerana murtad. Jadi, hukum hudud mengikut mazhab-mazhab ini adalah tujuh, dengan alasan bahawa hukum hudud itu adalah hukuman yang ditetapkan oleh Allah SWT yang perlu diikuti dan tidak boleh diingkari seseorang dan juga dengan alasan bahawa hukum hudud mengikut pendapat yang sahih meliputi hukuman kerana memelihara hak Allah dan hukuman kerana memelihara hak-hak manusia, antaranya ialah hak qisas.
Berdasarkan penjelasan ini, kita mempunyai dua istilah mengenai hukum hudud.
Pertama
Istilah mengikut mazhab Hanafi yang masyhur, iaitu mengkhususkan hukum hudud kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang bertujuan melindungi kepentingan masyarakat, iaitu lima jenis hukuman yang telah diterangkan sebelum ini, dengan memasukkan hudud merompak ke dalam hudud mencuri dan dengan membezakan hukuman hudud kerana meminum arak yang diperbuat daripada anggur dengan hukuman hudud kerana minum minuman memabukkan yang diperbuat daripada bahan selain anggur, seperti minuman yang diperbuat daripada beras belanda (barli), madu, cuka dan sebagainya.
Kedua
Istilah kebanyakan ahli perundangan yang bukan daripada mazhab Hanafi, iaitu perkataan hukum hudud diistilahkan kepada setiap hukuman yang telah ditetapkan Allah SWT, sama ada hukuman itu bertujuan melindungi hak Allah Taala atau hak individu-individu. Hukuman-hukuman itu sebanyak tujuh jenis, termasuk hukuman qisas dan hukuman murtad. Saya akan menyentuh tujuh jenis hukuman ini dengan menjelaskan bahawa jenayah-jenayah hudud berjumlah lapan jenis, iaitu berzina, membuat tuduhan zina, minum minuman yang memabukkan, mencuri, merompak (hirabah), menderhaka atau memberontak terhadap pemerintah (al-baghy), murtad dan membunuh dengan sengaja yang dikenakan hukuman qisas. Semua hukuman ini dikira sebagai hukuman-hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Ujar al-Mawardi: Perbuatan-perbuatan jenayah ialah perbuatan yang terlarang di sisi syarak, yang dicegah oleh Allah dengan hukum hudud atau hukum takzir.

Hikmah Diperundangkan Hukum Hudud
Hikmah dan tujuan diadakan hukum hudud atau hukuman-hukuman ialah untuk mencegah dan menahan manusia daripada melakukan jenayah-jenayah itu dan untuk melindungi masyarakat daripada kerosakan serta membersihkannya daripada sebarang perlakuan jenayah.
Ujar Ibnu Taimiyyah rahimahullahu Ta‘ala:
Antara rahmat Allah SWT ialah Dia mengenakan hukuman terhadap perlakuan jenayah yang berlaku di antara sesama manusia yang melibatkan nyawa, tubuh badan, maruah dan kehormatan serta harta benda, iaitu perlakuan jenayah membunuh, mencederakan, membuat tuduhan zina dan mencuri. Allah SWT telah mengatur kaedah-kaedah untuk mencegah jenayah-jenayah itu dengan undang-undang yang amat halus dan kukuh dan menguatkuasakannya dengan sebaik-baik cara yang dapat mencapai maksud pencegahan itu tanpa melampaui batas yang wajar diterima oleh seorang penjenayah.
Oleh sebab itu, Allah SWT tidak mensyariatkan hukuman potong lidah atau bunuh ke atas pembohong, tidak pula mengenakan hukuman memotong kemaluan ke atas mereka yang berzina atau mengenakan hukuman bunuh ke atas pencuri. Malah Allah SWT mengenakan hukuman yang sesuai dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya Yang Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang, Maha Lemah Lembut, Maha Pemurah dan Maha Adil, dengan tujuan menghapuskan jenayah yang mendatangkan bala dan malapetaka serta membasmi keinginan untuk melakukan kezaliman dan pencerobohan, agar setiap orang berpuas hati dengan limpah kurnia dan rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya dan tidak tamak untuk merampas hak-hak orang lain.
Hukum Hudud Kejam?
Adakah hukuman potong tangan itu suatu hukuman yang kejam?
Pelaksanaan hukuman potong tangan merupakan satu cara pencegahan yang sesuai dengan penjenayah yang mengancam masyarakat. Ia merupakan hukuman yang memberi rahmat dan keamanan kepada orang ramai umumnya. Dalam Memorandum Penjelasan Undang-Undang Hudud bagi jenayah mencuri dan merompak, bilangan 148 tahun 1972, yang dikeluarkan di Libya, terdapat kenyataan berikut:
Sesetengah golongan yang ragu dan was-was dengan senang hati menyifatkan hukuman potong tangan (dalam jenayah mencuri dan merompak) sebagai hukuman yang tidak sesuai dengan tamadun dan kemajuan serta menuduh hukuman itu sebagai kejam dan bengis. Mereka sebenarnya menumpukan pandangan hanya kepada aspek kekerasan hukuman, tetapi berpura-pura lupa kepada kekejaman jenayah itu dan kepada kesan-kesannya yang buruk terhadap masyarakat. Mereka pura-pura menangis kerana tangan si pencuri yang berdosa itu dipotong, tetapi mereka tidak merasa takut kepada jenayah mencuri dan pelbagai kesan sampingannya yang buruk.
Pelbagai lagi kesalahan dilakukan kerana jenayah mencuri. Pelbagai pencerobohan dilakukan ke atas orang perseorangan dan banyak kecederaan parah dialami oleh orang-orang yang tidak berdosa kerana jenayah mencuri. Berapa banyak harta benda dan harta kekayaan telah diragut dan dirampas dan berapa ramai orang yang hidup tanpa rumah tangga kerana harta mereka dicuri dan sumber rezeki mereka terputus akibat dicerobohi pencuri. Tetapi semua akibat ini tidak pernah difikirkan oleh orang-orang yang merasa belas kasihan kepada tangan-tangan yang hanya sedikit yang dipotong untuk menjamin keamanan dan ketenteraman orang ramai.
Apakah mereka tidak menyoal diri sendiri, manakah yang lebih selesa kepada masyarakat: memotong satu dua tangan setahun yang dapat menghapuskan jenayah mencuri dan mungkin selepas itu tiada lagi tangan yang dipotong dan orang ramai dapat hidup aman dengan harta benda dan nyawa mereka terjamin selamat; atau pencuri itu hanya dihukum penjara dan kerja berat untuk sementara atau selama-lamanya bagi jenayah mencuri sahaja? Di kebanyakan negeri di dunia, puluhan ribu kes jenayah kecurian berlaku setiap tahun.
Jenayah mencuri tidak pernah putus, malah kian bertambah dari semasa ke semasa, kian beragam dan kian merebak. Kita masih mendengar berita bank-bank yang dirompak dengan nekad, kereta api yang disamun di siang hari dan gudang-gudang yang dirompak. Jenayah mencuri harta benda sering dilakukan serentak dengan jenayah mencederakan, membunuh dan merogol mangsa. Kes-kes seperti ini berlaku tidak terhingga banyaknya dan tidak dapat dicegah walaupun telah digunakan pelbagai ilmu, kepandaian dan kuasa pihak tertentu.
Perlakuan jenayah-jenayah yang serius tidak dapat dicegah melainkan dengan mengenakan hukuman-hukuman berat yang berkesan. Sesuatu hukuman itu tidak dapat berfungsi sebagai hukuman jika ia bersifat lembut dan lemah. Hukuman yang berjaya ialah hukuman yang dapat menumpaskan jenayah, bukannya hukuman yang memberi kemenangan kepada jenayah.
Yang anehnya, ahli-ahli perundangan ciptaan manusia tidak memandang hukuman bunuh yang dikenakan ke atas sesetengah jenayah yang lain sebagai hukuman yang berat, sedangkan hukuman itu jauh lebih berat daripada hukuman potong tangan yang dikenakan ke atas jenayah mencuri dan merompak. Konsep hukuman yang sebenar harus dilihat dari aspek kesesuaian dan keberkesanannya dalam membanteras setiap jenayah.
Satu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan ialah hukuman memotong tangan pencuri adalah jauh lebih baik daripada membiarkan jenayah itu bermaharajalela di dalam masyarakat dan mengancam keamanan dan ketenteraman yang membawa kepada pelbagai kemungkaran dan jenayah yang lain.
Sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat Islam selepas melaksanakan hukum hudud telah berada dalam keadaan aman dan tenteram pada keselamatan harta benda, maruah, kehormatan dan sistem pemerintahannya, sehingga pernah penjenayah sendiri datang menyerahkan dirinya supaya dijalankan hukuman ke atasnya kerana ingin membersihkan dirinya dan menebus dosanya.
Negeri Hijaz dan seluruh Semenanjung Tanah Arab pada zaman yang lampau merupakan gelanggang yang aktif bagi jenayah mencuri dan menyamun yang ganas. Mereka melakukan jenayah itu sehingga ke atas rombongan jemaah haji lelaki dan perempuan yang ingin berkunjung ke Baitullah. Hanya sebilangan kecil sahaja daripada mereka yang selamat pulang ke negeri mereka.
Tetapi apabila kerajaan Saudi menjalankan hukum hudud terhadap dua jenayah itu, negeri itu terus aman; jenayah mencuri berhenti dan geng-geng penyamun terus hilang sehingga negeri itu menjadi contoh negeri aman yang mengagumkan, dengan terhapusnya perlakuan jenayah mencuri dan menyamun, walaupun jumlah penjenayah yang dipotong tangan itu sangat kecil dan tidak setanding dengan jumlah mangsa yang tidak berdosa yang terkorban dalam satu serbuan oleh pihak penjenayah. Menurut rekod yang dinukilkan, jumlah pencuri yang dikenakan hukuman potong tangan hanya enam belas orang sahaja dalam masa dua puluh empat tahun.
Bertitik tolak daripada keterangan yang lalu, ternyatalah bahawa kekerasan yang bercirikan hukuman potong tangan itu sebenarnya merupakan suatu rahmat yang menyeluruh kepada masyarakat kerana terselamat daripada keganasan jenayah kecurian dan rompakan serta kesan-kesannya yang amat buruk. Tindakan memotong tangan dan kaki sebilangan penjenayah yang amat kecil yang melanggar perintah Allah SWT itu adalah lebih selesa daripada membiarkan jenayah itu bertindak secara berleluasa terhadap ribuan mangsa yang tidak berdosa, menyebabkan jiwa, tubuh dan harta kekayaan mereka terkorban. Malah kekerasan hukuman hudud merupakan rahmat kepada mereka yang terlintas di hati untuk melakukan jenayah itu; mereka terpaksa membatalkan angan-angan itu apabila terbayangkan kekerasan hukuman yang akan diterima nanti.
Kekerasan hukuman akan menghalangnya daripada terjerumus ke dalam gaung jenayah. Hukuman itu merupakan satu kekerasan dalam suatu skop yang tertentu sahaja, tetapi ia membawa rahmat yang luas kepada seluruh masyarakat. Inilah yang sejajar dengan syariat Islam selaku syariat yang berlandaskan rahmat dan belas kasihan.
Bukankah Allah telah menyatakan dalam firman-Nya:
كَتَبَ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ
“Dia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat.” (Surah al-An‘am: 12)
Bukankah Allah Taala menyifatkan diri-Nya dengan ar-Rahman dan ar-Rahim, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, yang kita sebut pada setiap waktu?
Sementara Rasulullah SAW pula bersabda:
الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ
“Orang-orang yang bersifat belas kasihan akan dirahmati oleh ar-Rahman (Allah Yang Maha Pemurah).” (Riwayat Abu Dawud no. 4941 dan at-Tirmizi no. 1924; kata at-Tirmizi: hasan sahih)
Malah kita diperintah untuk menunjukkan sikap belas kasihan kepada haiwan. Jika beginilah sifat syariat Islam, tentulah hukum-hukumnya dalam kanun hudud tidak boleh disifatkan sebagai kejam dan berat, malah hukuman-hukuman itu merupakan rahmat kepada seluruh orang ramai.
Melihat kesan hukuman hudud ke atas suatu golongan penjenayah yang kecil sahaja tanpa melihat kesannya yang baik ke atas masyarakat secara keseluruhan merupakan satu pandangan yang terbalik dan songsang. Malah pandangan itu lebih hampir kepada pandangan yang berkepentingan dan diragui kejujurannya, kerana yang seharusnya menjadi asas pandangan ialah kepentingan masyarakat, bukan kepentingan penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahan mereka tanpa sebarang keraguan yang dapat mengenepikan hukuman itu.
Walaupun demikian, janganlah dilupakan bahawa Islam amat berhati-hati agar hukuman hudud tidak dilaksanakan kecuali setelah perlakuan jenayah itu disabitkan dengan yakin. Sehubungan dengan ini, Islam telah menetapkan prosedur-prosedur untuk membuktikan jenayah dan mengenepikan hukuman hudud apabila terdapat keraguan-keraguan yang munasabah. Langkah-langkah ini bertujuan untuk mengehadkan pelaksanaan hukuman hudud kepada kes-kes yang tertentu sahaja, agar tercapai keberkesanannya dalam mencegah perlakuan jenayah dan mengenakan kawalan yang maksimum ke atasnya.
Malah pelaksanaan sesetengah hukum hudud seperti hukuman sebat, mengikut prinsip-prinsip syarak, lebih disukai oleh sesetengah penjenayah daripada dikenakan hukuman penjara selama beberapa waktu, sama ada panjang atau pendek. Hukuman rejam pula merupakan hukuman bunuh secara terbuka yang amat memeritkan. Ia merupakan hukuman masyarakat ke atas mereka yang sanggup mencabul maruah dan kehormatan.

Perbezaan antara Kanun Hudud dan Kanun Takzir
Ciri-ciri perbezaan antara keduanya ialah:
1. Hukum hudud dan qisas telah ditetapkan oleh Allah SWT dari awal lagi bagi jenayah-jenayah yang tertentu dan hakim tidak boleh menggunakan budi bicaranya dalam menilai hukuman-hukuman itu mengikut keadaan penjenayah atau mengikut suasana berlakunya jenayah itu. Adapun hukuman-hukuman takzir (keseksaan), ia terserah kepada budi bicara hakim; dia boleh menimbang dan memilih hukuman yang sesuai mengikut keadaan penjenayah, keperibadian dan kesalahan-kesalahannya yang telah lepas, mengikut keberkesanan atau kesesuaian hukuman itu dengannya, juga mengikut keadaan suasana perlakuan jenayah itu dan kesannya kepada masyarakat.
Walaupun demikian, kuasa membuat pertimbangan dan penilaian yang diberikan kepada hakim itu terikat dengan peraturan-peraturan yang ketat, terutama dalam aspek memilih hukuman-hukuman keseksaan yang sesuai dengan perlakuan kesalahan yang termasuk dalam perbuatan maksiat. Untuk maksud itu, seorang hakim disyaratkan mempunyai pengetahuan hukum yang mencapai tahap mujtahid mengikut mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali. Di sini ternyatalah bahawa kuasa yang diberikan kepada hakim itu bukan kuasa mutlak yang tidak terikat dengan mana-mana peraturan sehingga pihak tertuduh tidak mendapat jaminan keadilan.
2. Hukum hudud wajib dilaksanakan oleh pemerintah, begitu juga hukuman qisas jika tidak dimaafkan oleh wali darah. Hukuman-hukuman hudud tidak boleh dimaafkan, dibebaskan, disyafaatkan dan digugurkan dengan sebarang alasan dan sebab. Tetapi dalam hukuman takzir terdapat ruang perselisihan pendapat di antara tokoh perundangan Islam. Mengikut pendapat tokoh-tokoh perundangan Islam yang besar, iaitu Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad, hukuman takzir wajib dilaksanakan oleh pemerintah sama seperti hukuman hudud, tetapi boleh dimaafkan jika pemerintah berpendapat kemaafan itu boleh mendatangkan kebaikan atau melihat penjenayah itu boleh menjadi baik dengan cara-cara lain selain mengenakan hukuman keseksaan, seperti celaan atau sebagainya.
Sementara Imam asy-Syafie berpendapat bahawa hukuman takzir tidak diwajibkan ke atas pemerintah untuk melaksanakannya. Dia diberi kebebasan melaksanakannya atau tidak melaksanakannya, kerana hukuman takzir adalah hukuman yang tidak ditentukan oleh syarak. Ia sama seperti hukuman pukulan yang dilakukan oleh seorang bapa, guru atau suami.
Punca perbezaan pendapat ini ialah kerana hukuman-hukuman takzir melibatkan perkara-perkara yang sesetengahnya merupakan hak Allah SWT, seperti menghina sahabat-sahabat Rasulullah SAW atau menghina al-Quran dan sebagainya dan sesetengahnya merupakan hak individu yang boleh dimaafkan, seperti perbuatan memukul atau memaki seseorang dan sebagainya.
3. Hukuman takzir sesuai dengan prinsip umum yang menetapkan perlunya perbezaan hukuman kerana perbezaan jenayah, sedangkan hukum hudud sama sahaja. Ia tidak berbeza kerana besar kecilnya perlakuan jenayah; ia sama sahaja di antara kesalahan mencuri satu dinar dengan kesalahan mencuri seribu dinar dan di antara peminum arak yang minum sedikit dengan yang meminum arak dengan banyak.
Dalam Bab Ketiga pula, pengarang mula menjelaskan satu per satu tentang hukum hudud secara ringkas. Sila baca bukunya; di Kelantan ia boleh didapati di kedai buku Syarikat Ja‘far Rawas, Kota Bharu.
[Perhatian: Kerja menaip dan menyusun semula dilakukan oleh pelajar KIAS, Ijazah Usuluddin Tahun 2, Fasal 4, sesi 2012/2013, iaitu Abdul Lathif bin Abdul Ghani, Mohammad Izzul Afiq bin Adizi, Mohd Rafie bin Hashim, Mr Asree Yusoh, Mr Saipin Wamingsalaeh, Mr Yahaya Semaeng dan Ahmad Rizuan bin Samsudin. Disunting oleh Nik Muhammad Zulhanif Nik Yaacob. Jazahumullahu khairan.]
Maklumat tambahan: sila baca Majalah Dian Bil. 11.

Rujukan
9 sumber-
Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 36.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 187.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 229.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 34.
Quran.com -
Sunan Ibn Majah, no. 2554 (kisah Ma'iz r.a.: «Mengapa tidak kamu biarkan dia?»).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-An'am (6): 12.
Quran.com -
Sunan Abi Dawud, no. 4941; Jami' at-Tirmizi, no. 1924 (riwayat 'Abdullah bin 'Amr r.a.); at-Tirmizi: hasan sahih.
Sunnah.com -
Wahbah az-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, bab al-Hudud (sumber saringan buku Mengenal Hukum Hudud).
-
Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Malaysia), berkuat kuasa 4 Julai 2023.
mondaq.com
