Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akidah

Kenali & Jauhi Ajaran Sesat Di Malaysia

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 14 November 2013 · 40 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Pelajar subjek Nuzum, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), ringkasan risalah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: risalah MAIK «Memerangi Ajaran Sesat» (September 1987).

Pengantar

اَلحَمْدُ لِلهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ

Memandangkan banyaknya ajaran sesat yang timbul dalam masyarakat dengan pelbagai jenis ajaran dan kefahaman, yang kemuncaknya mengaku menjadi tuhan, maka ana telah mengambil inisiatif meminta beberapa orang pelajar subjek Nuzum di KIAS (jazahumullahu khaira) meringkaskan risalah yang dikeluarkan oleh MAIK dengan tajuk «Memerangi Ajaran Sesat» yang diterbitkan pada bulan September 1987 untuk menjadi bacaan, panduan dan rujukan kepada masyarakat agar terhindar daripada ajaran sesat tersebut.

Akhukum, AAM, Hari Asyura 1435H

Ajaran sesat muncul dalam masyarakat Islam hasil daripada perancangan rapi yang ditaja oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan merosakkan agama Islam dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam menerusi perbezaan dan percanggahan fahaman.

Di negara kita, ajaran sesat memang telah dikesan sejak dahulu lagi dan pengaruhnya meresap masuk ke dalam masyarakat Islam menerusi gerakan batiniah atau yang bertopengkan nama tarikat-tarikat sufiah yang dikenali dalam kalangan masyarakat negara ini. Ajaran tersebut lazimnya bergerak secara berkumpulan dan diketuai oleh guru atau pembawa ajaran itu yang dianggap mursyid serta kononnya mempunyai martabat yang tinggi pada pandangan pengikut-pengikutnya. Guru itu sendiri adakalanya menggunakan ilmu batiniah untuk meyakinkan pengikut-pengikutnya seperti menunjukkan kekebalannya, mengeluarkan air dari jari, boleh merawat penyakit ganjil dan sebagainya.

Ada juga yang mendakwa boleh menghilangkan diri (ghaib) daripada pandangan orang ramai, pergi ke suatu tempat dalam sekelip mata, mikraj ke langit beberapa kali, pergi bertemu Rasulullah SAW untuk menerima ajarannya, tidak pernah tidur semenjak sekian lama, tahu niat hati orang lain terutama pengikut-pengikutnya dan lain-lain lagi. Tujuannya berbuat demikian adalah untuk menarik kepercayaan orang ramai supaya menjadi pengikutnya.

Di Kelantan, kebanyakan ajaran sesat diseludup masuk dari luar seperti dari negara jiran. Ajaran tersebut bergerak secara sulit dengan mempengaruhi mereka yang jahil tentang ilmu agama. Selalunya taktik yang digunakan untuk mempengaruhi pengikut ialah dengan mengemukakan pertanyaan-pertanyaan untuk memerangkap, kemudian membiarkan orang itu dalam keadaan tertanya-tanya untuk beberapa ketika, misalnya:

  1. Kenapa Allah SWT memfardukan sembahyang Zohor empat rakaat, tidak tiga atau dua?
  2. Apa maksud «Ba» pada awal ayat Bismillahirrahmanirrahim?
  3. Apa Muhammad awal dan Muhammad akhir?
  4. Nama Allah yang diketahui umum ialah 99, apakah nama Allah yang ke-100?
  5. Apa makna Alif, Dal, Mim pada nama Adam atau Mim, Ha, Mim, Dal pada nama Muhammad?

Pertanyaan yang direka-reka itu menimbulkan rasa ingin tahu dalam hati orang yang dipengaruhi itu kerana sebelum itu mereka belum pernah mendengarnya daripada mulut guru-guru agama atau alim ulama. Untuk mengetahui jawapannya, seseorang itu mestilah memenuhi syarat tertentu seperti berikrar tidak akan mendedahkan rahsia pengajaran yang dianggap «isi» itu, mematuhi semua cakap dan arahan guru tanpa membantah dan lain-lain syarat lagi termasuk meminum air jampi. Keengganan mematuhi syarat-syarat yang diberikan itu menyebabkan seseorang itu dianggap tidak layak menerima ilmu yang disifatkan sebagai inti segala agama. Begitulah cara yang selalu dilakukan oleh pembawa ajaran sesat supaya ajarannya tidak bocor ke pengetahuan orang ramai yang dikira bukan ahlinya.

Pengajaran biasanya dibuat di rumah pengikut atau di surau (balaisah) kepunyaan kumpulan mereka sendiri, bukan di masjid sebagaimana yang lazim dilakukan oleh guru-guru agama. Di sana mereka berkumpul dan mengadakan majlis zikir, manakala pengajaran cuma diselit-selitkan sahaja atau diadakan pada waktu-waktu tertentu setelah berpuas hati bahawa dalam majlis tersebut tidak ada orang luar yang cuba menyamar untuk mencari rahsia. Jika dalam majlis tersebut ada orang yang tidak dikenali atau disyaki, maka pelajaran langsung tidak akan diadakan, bahkan majlis tersebut bersurai begitu sahaja.

Pengajaran khusus yang disampaikan kepada individu tertentu tidak boleh dimaklumkan kepada orang lain tanpa izin guru, hatta sesama pengikutnya sendiri. Alasannya ialah kerana darjat seseorang itu tidak sama dan mereka tidak semuanya layak menerima ajaran yang kononnya «isi» itu kecuali mereka yang sesuai sahaja mengikut penilaian guru mereka sendiri. Pengajaran hanya disampaikan secara lisan tanpa berpandukan kitab-kitab tertentu. Jika ada pun, buku tersebut ditulis sendiri oleh guru berkenaan dan penggunaannya amat terbatas supaya tidak jatuh ke tangan orang lain.

Guru ajaran sesat menggunakan pelbagai muslihat untuk menundukkan pengikutnya supaya patuh kepada segala arahan dan kehendaknya. Kesetiaan pengikutnya diukur dengan pengorbanan yang dicurahkan terhadap guru. Semakin banyak pengorbanan yang diberikan kepada guru, semakin tinggilah pula penghormatan guru terhadap pengikut berkenaan dan semakin rapatlah hubungan mereka. Sebaliknya, semakin sedikit pengorbanan yang diberikan, semakin rendah dan jauhlah hubungan antara guru dengan pengikut. Oleh itu tidak hairanlah jika terdapat guru ajaran sesat yang memiliki kesenangan serta kemudahan yang diperlukannya, kerana semua itu diperoleh hasil pengorbanan pengikut setianya. Bagi mereka, syafaat guru merupakan suatu ganjaran yang amat diharapkan.

Di samping berusaha membentuk jiwa pengikut-pengikut supaya kasih dan taksub terhadap ajaran yang dianuti, pembawa-pembawa ajaran sesat tidak lupa mempengaruhi mereka supaya bersikap benci terhadap sesiapa jua yang cuba menentang kegiatan mereka termasuk guru-guru agama, alim ulama, undang-undang, pihak berkuasa agama dan lain-lain. Kononnya usaha suci mereka itu ditekan dan dihalang oleh golongan yang tidak mahu kepada kebenaran. Segala hujah yang dibawa oleh guru ajaran sesat untuk menegakkan kepalsuannya itu diterima oleh para pengikutnya tanpa berfikir lagi. Dari sinilah lahirnya rasa simpati terhadap diri guru mereka yang dianggap tidak bersalah itu.

Keadaan ini menimbulkan sikap memberontak dalam diri pengikut-pengikut ajaran sesat terhadap pihak berkuasa dan alim ulama, lantas mereka mengambil sikap memulaukan segala program keagamaan yang ditaja oleh orang lain yang bukan daripada golongan mereka seperti kuliah-kuliah agama, perayaan agama, sembahyang Jumaat, sembahyang berjemaah di masjid atau surau, majlis perkahwinan dan sebagainya. Sama ada disedari atau tidak, kumpulan penganut ajaran sesat itu telah menggugat perpaduan masyarakat dan menjejaskan keharmonian hidup akibat perbezaan pegangan ajaran agama antara mereka dengan orang ramai. Pernah terjadi krisis rumah tangga apabila salah seorang daripada pasangan suami isteri enggan menyertai kumpulan tersebut. Demikianlah kesan yang wujud dalam masyarakat akibat pengaruh ajaran sesat yang berbahaya itu.

Tidak syak lagi, gerakan ajaran sesat itu jika dibiarkan membiak akan mencetuskan suasana yang menggugat keselamatan negara seperti yang berlaku di Batu Pahat, Johor pada 16 Oktober 1980. Dalam peristiwa itu, ramai yang terkorban dan cedera apabila kumpulan ajaran sesat yang dipimpin oleh Mohd Nasir Ismail, yang mengaku sebagai Imam Mahdi, menyerang balai polis Batu Pahat. Motif serangan itu kononnya semata-mata untuk menunjukkan kekuatan mereka sebagai pejuang kebenaran, kerana terpengaruh dengan dakwaan ketua mereka bahawa orang yang beramal dengan ajaran itu akan menjadi kebal. Peristiwa seperti itu tidak mustahil akan berlaku lagi jika masyarakat mengambil sikap tidak peduli terhadap gerakan ajaran sesat yang berlaku di kawasan mereka.

Kulit buku Ajaran Sesat: Gerakan Sulit Wujudiah-Batiniyah di Malaysia karya Abdulfatah Haron Ibrahim, edisi ke-5
Bacaan lanjut: Ajaran Sesat: Gerakan Sulit Wujudiah-Batiniyah di Malaysia (Abdulfatah Haron Ibrahim, edisi ke-5).

Sejarah Perkembangan Ajaran Sesat di Kelantan

Semenjak dahulu lagi umat Islam di negeri Kelantan dilanda ajaran sesat yang kebanyakannya dibawa masuk dari luar Kelantan. Sekitar tahun 50-an, 60-an dan 70-an muncul ajaran yang digelar ilmu isi, ajaran Tok Janggut (seorang guru ajaran salah yang digelar demikian; bukan pejuang Tok Janggut, Haji Hassan bin Munas, yang gugur dalam Kebangkitan Pasir Puteh 1915), amalan Subud, ajaran Haji Ibrahim Tok Gedong dari selatan Thailand, Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya, ajaran Hassan Anak Rimau (Hassan bin Yaakub) dan lain-lain lagi termasuk ajaran Tajalli yang dibawa oleh Haji Ahmad Laksamana bin Omar dan ajaran Mat Nor Kua Supa (Muhammad Nor bin Seman).

Kelahiran ajaran tersebut secara tidak langsung menjadi kayu pengukur yang dapat menentukan tahap kelemahan seseorang muslim, sejauh mana kemampuannya menilai antara ajaran yang hak dengan yang batil. Apa yang nyata, segelintir masyarakat daripada pelbagai peringkat telah terkeliru lalu menerima ajaran dan pegangan sesat dengan menganggapnya sebahagian daripada ajaran Islam, kerana jahil tentang hakikat sebenar ajaran Islam.

Sebagai contoh, mereka yang terperangkap dalam gerakan ajaran sesat dapat menerima konsep pengajaran yang bercanggah dengan syarak seperti:

  1. Sembahyang hanya memadai dengan niat sahaja tanpa perlu dikerjakan seperti yang disuruh oleh syarak, sehingga ia boleh dilakukan sambil berjalan, sambil makan, sambil bekerja dan sebagainya.
  2. Manusia keseluruhannya daripada Allah SWT dan akan kembali menjadi Allah, seolah-olah mereka adalah satu juzuk daripada zat Allah, bukannya makhluk ciptaan Allah. Pegangan seperti ini menyerupai fahaman sesetengah agama Timur (seperti fahaman penyatuan diri dengan Tuhan dalam Hindu Vedanta) yang mendakwa kononnya jiwa manusia yang suci akan kembali bersebati dalam zat Tuhannya.
  3. Mengerjakan haji di Makkah hanya sunat, bukan wajib, sebagaimana dakwaan Hassan Anak Rimau. Dakwaan itu terang-terangan bertentangan dengan rukun Islam yang kelima yang tidak pernah dipertikaikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini, kecuali mereka yang menyeleweng dan terpengaruh dengan ajaran sesat.

Percanggahan-percanggahan yang amat keterlaluan dengan syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sudah jelas membuktikan bahawa ajaran tersebut sengaja direka oleh musuh-musuh Islam dengan tujuan memesongkan ajaran Islam yang sebenar. Itulah sebabnya pembawa ajaran sesat tidak mempunyai kitab-kitab rujukan tertentu yang diakui sebagai sandaran kepada butir-butir pengajarannya. Ada juga yang mendakwa bahawa ajarannya berlandaskan kitab-kitab tasawuf karangan ulama tasawuf yang terkenal, tetapi akibat kelemahan dirinya memahami isi kandungan kitab-kitab tersebut, berlakulah penyelewengan. Hal itu banyak terjadi kepada mereka yang cuba memahami ilmu tersebut padahal mereka tidak mempunyai asas pengetahuan yang cukup untuk mencapai ilmu yang tinggi dan rumit itu, apatah lagi jika usaha tersebut dilakukan secara sendiri tanpa bimbingan guru yang mursyid.

Ciri-ciri Ajaran Salah dan Mengenal Pasti Kesalahan-kesalahannya

Agama Islam ialah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, yang memberikan kepada manusia bimbingan, pegangan, amalan-amalan serta hukum-hakam, sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadis Jibril yang menentukan ruang lingkupnya sebagai «Iman», «Islam» dan «Ihsan». Ia kemudiannya dihuraikan dengan terperinci oleh para ulama sebagai merangkumi segi-segi akidah, syariah serta ajaran dan amalan rohaniah yang dipanggil tasawuf. Ia kemudiannya berkembang menjadi ilmu-ilmu asasi Islam yang berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, serta melahirkan pelbagai huraian dalam kalangan Ahli Sunnah tentang fahaman, amalan dan nilai-nilai Islam yang menyeluruh itu.

Ditakdirkan, oleh kerana beberapa faktor sejarah dan kemanusiaan, timbullah penyelewengan-penyelewengan yang melibatkan bidang-bidang «Iman», «Islam» dan «Ihsan» tadi dengan dakwaan ilmu kebatinan atau kerohanian yang tulen, padahal sebenarnya ia sesat serta menyesatkan.

Aliran-aliran yang sesat dan menyesatkan itu, yang terkeluar daripada ajaran Islam sebenar dan terdapat di seluruh Nusantara ini, berasal daripada aliran-aliran di kawasan-kawasan pusat sejarah umat ini sendiri.

Di Malaysia juga timbul ajaran-ajaran sesat itu, termasuk di negeri Kelantan.

Antara aliran atau ajaran sesat yang akan dibicarakan di sini ialah aliran Hassan Anak Rimau, aliran Tajalli Haji Ahmad Laksamana dan ajaran Muhammad Nor Kua Supa.

Takrif Ajaran Sesat

Mungkin bermanfaat jika ditakrifkan terlebih dahulu apa yang kita maksudkan dengan ajaran sesat itu.

Secara umumnya, ajaran salah atau ajaran sesat itu boleh ditakrifkan sebagai mana-mana ajaran, pegangan atau amalan serta keyakinan yang dianuti atau diamalkan oleh seseorang Islam ataupun orang bukan Islam, yang mendakwa kononnya ia berdasarkan ajaran Islam atau tidak berlawanan dengan pegangan dan amalan Islam, sedangkan pegangan, keyakinan, fahaman serta amalan itu berlawanan dengan akidah dan syariah Islamiah sebagaimana yang dihuraikan oleh imam-imam dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Takrif yang umum ini mudah-mudahan boleh membantu dalam menentukan sama ada mana-mana ajaran, fahaman atau amalan itu sesat atau salah atau sebaliknya, di sisi ajaran dan amalan Islam yang sebenar.

Nampaknya pengertian ajaran sesat sebagaimana yang terdapat dalam Undang-Undang Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1966 (Enakmen Bil. 2 Tahun 1966), seksyen 69 juga boleh termasuk dalam pengertian umum ini, iaitu: «Barang siapa mengajar, menghurai di mana-mana sahaja sesuatu ajaran atau menjalankan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak atau mana-mana fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis» (maka itu dikira sebagai ajaran salah atau sesat).

Berdasarkan neraca akidah dan syariat itulah, maka boleh ditentukan sesuatu ajaran itu sesat atau salah, ataupun sebaliknya.

Beberapa Kesimpulan tentang Ajaran Sesat

Insya-Allah, dalam bab ini akan dijelaskan beberapa perkara asas berkenaan ajaran-ajaran sesat yang telah dibicarakan sebelum ini, sebagaimana dalam perenggan-perenggan berikut.

  1. Ajaran sesat atau salah ialah mana-mana ajaran atau pegangan serta amalan dan keyakinan yang dianuti atau diamalkan oleh seseorang Islam ataupun bukan Islam, yang didakwa berdasarkan ajaran Islam, sedangkan pegangan, keyakinan, fahaman serta amalan itu berlawanan dengan akidah dan syariah Islamiah sebagaimana yang dihuraikan oleh imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah. Berdasarkan neraca akidah dan syariah itulah maka boleh ditentukan sesuatu ajaran itu sesat atau salah, ataupun sebaliknya.
  2. Ajaran sesat atau salah itu muncul dalam masyarakat Islam mungkin hasil daripada perancangan musuh-musuh Islam yang bertujuan merosakkan Islam dan menimbulkan perpecahan serta kesesatan dalam masyarakat Islam, termasuk masyarakat Islam di negeri Kelantan ini.
  3. Ajaran-ajaran sesat itu tersebar di bawah nama gerakan kebatinan atau tarikat sufiah, padahal ajarannya berlawanan dengan ajaran sufiah yang sebenar dan ajaran kebatinan hakiki yang ada dalam Islam.
  4. Guru-guru atau pembawa ajaran sesat itu biasanya dianggap oleh para muridnya sebagai seorang mursyid dan ada yang mendapat penghormatan daripada pengikutnya dengan cara menunjukkan kekebalan, kemampuan merawat penyakit-penyakit yang ganjil, kemampuan mengghaibkan diri dan sebagainya.
  5. Antara kaedah mengajar yang menjerat murid-muridnya, para guru itu memulakan pengajian secara tidak formal dengan mengemukakan soalan-soalan yang pelik untuk menunjukkan kelebihan-kelebihannya dalam kefahaman agama, misalnya ditanyakan:

    • Kenapakah sembahyang Asar itu empat rakaat, tidak tiga atau dua?
    • Apakah maksud «ba» pada awal «Bismillah»?
    • Apakah Muhammad awal dan apakah Muhammad akhir?
    • Apakah nama Allah yang keseratus?
    • Apakah makna huruf-huruf alif-dal-mim pada nama Adam?
    • Apakah makna huruf-huruf mim-ha-mim-dal pada nama Muhammad? Demikianlah seterusnya.
  6. Pertanyaan-pertanyaan itu menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan murid yang tidak pernah mendengar persoalan-persoalan itu daripada orang biasa, lalu dia terperangkap dan akhirnya menjadi pengikut yang setia, lalu diajarkan «ilmu isi» itu.
  7. Murid-murid dikehendaki mematuhi arahan guru tanpa boleh membantah dan mereka dikehendaki meminum air jampi.
  8. Pengajaran ilmu sesat atau salah itu tidak dilakukan di tempat-tempat terbuka seperti masjid atau madrasah yang digunakan umum, bahkan di rumah-rumah para pengikutnya atau di madrasah khas yang dibina oleh pengikut-pengikut ilmu itu.
  9. Ajaran «ilmu isi» itu disampaikan pada lewat malam apabila sudah dipastikan tidak ada orang yang tidak diingini berada dalam majlis itu. Jika ada orang yang tidak diingini, maka perbincangan dengan guru hanya berkisar tentang hal-hal biasa sahaja.
  10. Sesuatu rahsia «ilmu isi» yang disampaikan kepada seseorang murid tidak boleh disampaikan kepada orang lain, kerana dikatakan bahawa martabat seseorang itu adalah miliknya masing-masing dan tidak sama.
  11. Pengajaran «ilmu isi» itu disampaikan secara lisan, bukan melalui kitab-kitab yang terkenal. Kitab-kitab terkenal hanya disebut sahaja untuk menimbulkan kepercayaan dalam kalangan mereka yang hadir.
  12. Murid-murid dididik untuk menjadi taksub kepada gurunya dan menunjukkan kasih yang teramat sangat kepada gurunya dengan pelbagai cara, sehingga murid-murid sanggup mengorbankan harta untuk kepentingan guru. Semakin banyak harta yang dikorbankan, semakin dekat murid dengan guru itu dan semakin terjamin kedudukan rohaninya.
  13. Para alim ulama, guru-guru serta ustaz-ustaz yang menentang aliran sesat mereka dikatakan sebagai orang yang «tidak sampai» kepada ilmu hakikat yang sebenar. Para alim ulama dianggap sebagai penentang ilmu yang hak, bahkan ada ketikanya alim ulama dihalalkan darahnya oleh golongan sedemikian.
  14. Gerakan sedemikian menimbulkan kerosakan rumah tangga, ketegangan dalam masyarakat serta perpecahan. Bahkan ada yang menyebabkan pembunuhan sebagaimana yang berlaku di Batu Pahat, Johor pada 16 Oktober 1980, kalaulah laporan tentang peristiwa itu benar.
  15. Antara unsur-unsur umum ajaran sesat itu ialah:
  • Pengajaran dilakukan secara rahsia, tidak terbuka.
  • Pegangan tentang ketuhanan berlawanan dengan pegangan Ahli Sunnah. Contohnya diajarkan bahawa tujuan manusia beribadat dan beramal adalah untuk menjadi tuhan semula, semuanya tuhan: Dia Tuhan, aku tuhan. Ini berlawanan dengan ajaran yang sebenar, iaitu Allah SWT ialah Tuhan yang menjadikan dan manusia ialah makhluk yang dijadikan.
  • Kenyataan tentang hukum syarak berlawanan dengan al-Quran dan hadis, misalnya sembahyang boleh dilakukan dengan niat sahaja, haji ke Makkah tidak wajib, zakat adalah hukum rekaan pemerintah dan bersekedudukan dengan wanita ajnabi tidak haram jika diizinkan. Semua ini berlawanan dengan nas-nas syarak.
  • Sikap dan tindakan guru ilmu sesat ini menunjukkan penentangan terhadap ilmu-ilmu Islam yang diakui dan ulama yang muktabar.
  • Huraian dan tafsiran ayat-ayat al-Quran dan hadis tidak berdasarkan kaedah-kaedah ilmu yang diakui, tetapi berdasarkan andaian atau agakan hawa nafsu si guru itu.
  • Perkara-perkara yang diajar bercampur aduk dengan khurafat dan ilmu kebatinan yang karut, yang membawa kepada kesesatan dan kekufuran.
  • Pengajaran yang diserapkan itu menimbulkan ketaksuban kepada guru dan kumpulan tertentu sehingga mereka menganggap hanya mereka sahaja yang benar di dunia ini dan orang lain semuanya salah.

Unsur-unsur di atas, apabila ada pada mana-mana kumpulan di bawah nama apa sahaja, menunjukkan bahawa kumpulan berkenaan ialah kumpulan yang mengajar ilmu sesat atau ilmu salah yang mesti dijauhi.

16. Ajaran Hassan Anak Rimau dari Bukit Mas, Tanah Merah, Kelantan

Hassan Anak Rimau (Hassan bin Yaakub), yang kumpulannya juga dikenali sebagai Ilmu Isi, Ratib Kuat Tok Ayah Hassan dan Tarekat Zikrullah, telah difatwakan oleh Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebagai penganut dan penyebar ajaran salah yang boleh membawa kepada kufur. Antara ajarannya ialah:

(a) Diri kita adalah Tuhan, Allah. Apabila seorang muridnya melihat wajahnya dalam cermin, kata Tok Hassan, «Itulah Tuhan.»

Sudah tentu ini ajaran yang kufur, kerana manusia adalah makhluk yang dijadikan, bukan Tuhan. Bagaimanakah makhluk yang lemah boleh menjadi Tuhan yang menjadikan? Ini adalah mustahil.

(b) Hassan Anak Rimau mengaku telah mikraj sehingga sampai ke sebelah sana Sidratul Muntaha dan apabila ditanya tentang Tuhan, jawabnya, Tuhan ialah kita sendiri.

Ini juga mustahil, sebab manusia adalah makhluk yang dijadikan. Tentang mikraj itu pula mustahil, sebab hanya Nabi SAW sahaja yang mikraj.

(c) Hassan Anak Rimau menyatakan kita tidak perlu beriman kepada Nabi Muhammad SAW sebab baginda sama seperti kita juga, bahkan kita boleh melebihinya.

Pegangan ini terkeluar daripada agama Islam, kerana kita wajib beriman kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang jelas daripada ayat al-Quran yang bermaksud: «Muhammad ialah Rasul Allah» (Surah al-Fath: 29). Adapun persamaan kita dengan nabi hanyalah dalam hal makan minum dan sebagainya, bukan dalam hal pangkat kenabian dan sifat maksum (tidak melakukan dosa). Mustahil kita boleh melebihi Nabi SAW, sebab pangkat tertinggi itu dikurniakan oleh Allah SWT kepada baginda.

(d) Dia mengajarkan bahawa zikir lebih utama daripada sembahyang lima waktu dan seseorang yang mendapat zauq, ilham dan kasyaf akan gugur sembahyang lima waktu dengan sendirinya, tidak wajib lagi ke atasnya.

Sembahyang ialah tiang agama sebagaimana yang jelas daripada hadis Nabi SAW: «Pokok segala urusan ialah Islam dan tiangnya ialah solat» (riwayat at-Tirmizi, no. 2616, katanya: hasan sahih) dan ia juga «kepala ibadat». Bagaimanakah zikir menjadi lebih afdal daripadanya? Sembahyang adalah wajib, sedangkan zikir (selain yang diwajibkan dalam solat) adalah sunat; bagaimanakah zikir lebih afdal daripadanya? Orang yang meninggalkan sembahyang boleh dijatuhkan hukuman bunuh apabila cukup syarat-syaratnya menurut jumhur ulama (Mazhab Hanafi berpendapat dia dipenjara sehingga bertaubat), sedangkan orang yang tidak berzikir tidak boleh dihukum bunuh. Bagaimanakah dikatakan zikir lebih afdal daripada sembahyang?

Lagipun, kalau seseorang mendapat kasyaf yang sebenar, iaitu dibukakan oleh Allah Taala tabir alam ghaib dan dia mengalami zauq, iaitu merasai kelazatan dalam ibadat dan dia mendapat ilham, iaitu mendapat kefahaman yang benar, tentulah dia lebih kuat dan bersungguh-sungguh menunaikan solat. Bagaimanakah dikatakan dia tidak perlu solat?

(e) Dia mengajarkan bahawa anak muridnya sahaja yang masuk syurga, orang lain hanya seperti babi.

Syurga dikurniakan oleh Allah dengan rahmat-Nya kepada mereka yang beriman dan beramal soleh; mustahil syurga menjadi milik anak-anak muridnya. Bahkan anak-anak murid Hassan yang tidak mengikut syariat dan sunnah serta beriktikad zindik itu bukan penghuni syurga, bahkan mungkin sebaliknya, na‘uzubillahi min zalik.

(f) Tok Hassan mengaku anak kunci syurga berada di tangannya.

Pengakuan itu mustahil, sebab anak kunci syurga tidak ada di tangan makhluk, bahkan di tangan Allah SWT sahaja. Allahlah yang memasukkan makhluk ke dalam syurga atau sebaliknya. Nabi Muhammad SAW yang begitu tinggi martabatnya pun tidak memegang anak kunci syurga, apatah lagi Tok Hassan yang tidak mengikut syariat dan tidak beriman kepada Allah Azza wa Jalla dengan keimanan yang sebenar sebagaimana yang diajarkan oleh imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah.

(g) Hassan Anak Rimau mengajarkan bahawa solat Jumaat tidak wajib dan dia sendiri bersolat jarang-jarang, itu pun di hadapan orang sahaja.

Memang Hassan tidak percaya kepada hukum syariat termasuk kewajipan sembahyang Jumaat. Ajaran demikian membawa kepada kekufuran, sebab wajibnya sembahyang Jumaat tetap dengan nas al-Quran (Surah al-Jumu‘ah: 9), hadis dan ijmak ulama umat ini.

(h) Ada berita menyatakan bahawa Tok Hassan tidak pandai sembahyang jenazah.

Kalaulah sembahyang wajib lima waktu, hukum syariat serta sembahyang Jumaat tidak diambil berat olehnya, maka munasabah sekali dia tidak mengambil berat tentang sembahyang jenazah sehingga tidak tahu melakukannya.

(i) Tok Hassan mendakwa dia mikraj tujuh kali dan duduk «catak» (bertinggung) di atas Arasy.

Dakwaan demikian membawa kepada kekufuran, kerana mikraj ialah keistimewaan Nabi SAW sahaja dan tiada seorang pun selain baginda yang mikraj. Arasy pula tidak boleh dihubungkan dengan makhluk sedemikian; ia dihubungkan dengan Allah.

(j) Tok Hassan mengajarkan bahawa dalam diri Adam ada nur a‘zam dan kerana kita keturunan Adam, maka kita juga mempunyai nur a‘zam yang menyebabkan malaikat sujud kepada Adam. Kerana kita ada nur itu, maka kita Tuhan: dia Tuhan, kita Tuhan, semua Tuhan.

Ini ajaran zindik, sebab yang dimasukkan ke dalam diri Adam AS ialah roh ciptaan Tuhan, iaitu makhluk, bukan Tuhan. Kalau dikatakan Tuhan ada dalam diri kita, bermakna Tuhan bertempat dan ini mustahil. Sesiapa yang percaya Tuhan berada dalam dirinya, bertempat dalam dirinya, maka terkeluarlah dia daripada agama Islam. Na‘uzubillahi min zalik.

(k) Tok Hassan mengajarkan bahawa hukum syariat seperti wajib sembahyang, puasa dan zakat adalah ciptaan pemerintah, tidak ada kena-mengena dengan Tuhan (oleh itu tidak wajib ditaati).

Ini fahaman yang silap dan karut, membawa kepada kekufuran. Hukum-hukum itu semuanya wajib dengan nas al-Quran, hadis dan ijmak atau persepakatan ulama umat ini. Tok Hassan yang jahil dan tidak mengerti nas serta sejarah sahaja yang mengatakan demikian.

(l) Dia ada mengajarkan bahawa al-Quran yang ada ini bukan yang sebenar; al-Quran yang sebenar adalah lain.

Al-Quran yang ada sekarang ini jelas al-Quran yang sebenar sebagaimana yang terbukti dalam sejarahnya dari awal lagi dan sebagaimana yang jelas daripada nas al-Quran (Surah al-Hijr: 9), hadis dan ijmak. Tok Hassan yang jahil tentang semua perkara ini telah mengatakan sedemikian.

(m) Dia mengajarkan bahawa hari kiamat tidak akan berlaku, sebab Tuhan tidak bodoh hendak membinasakan alam ini selepas menjadikannya.

Kiamat wajib berlaku berdasarkan nas al-Quran, hadis dan ijmak. Bahkan dari segi ilmu fizik moden pun disebut bahawa pada suatu masa alam ini mesti akan binasa. Tok Hassan seorang yang jahil murakkab, iaitu jahil dan tidak mengerti bahawa dirinya jahil, padahal dia ingin berbicara tentang perkara seperti ini, lalu dia menyesatkan orang lain.

(n) Dia juga dilaporkan mengajar bahawa dunia dan akhirat ialah diri kita sendiri: dunia ialah anggota kita yang zahir dan akhirat ialah anggota kita yang batin dalam tubuh kita.

Ini juga pegangan yang sesat dan menyesatkan, sebab dunia dan akhirat jelas ada dan ini jelas dengan pengalaman, nas al-Quran, hadis dan ijmak. Adapun ungkapan bahawa pada diri kita ini ada alam zahir dan alam ghaib, itu hanyalah perumpamaan untuk tujuan pengajaran tertentu.

(o) Dia juga mengatakan bahawa para ulama tidak mengajarkan ilmunya itu kerana mereka hendak menipu orang ramai, padahal mereka mengamalkannya untuk diri mereka sendiri.

Sebenarnya ini tuduhan yang tidak beralasan langsung. Para ulama tidak mengajarkan ilmu seperti yang diajarkan oleh Tok Hassan kerana ilmunya itu ilmu yang sesat dan zindik, yang membawa kepada kekafiran. Yang sebenarnya menipu manusia ialah Tok Hassan yang mengajarkan ilmu dengan cara yang berlawanan dengan al-Quran, sunnah, ijmak serta pengalaman yang diakui dalam kalangan ahlinya.

17. Ajaran Haji Ahmad Laksamana bin Omar di Kelantan

Ajaran Tajalli atau Ilmu Hakikat Insan Haji Ahmad Laksamana bin Omar (Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian), termasuk bukunya «Tajalli» dan «Hakikat Insan», telah difatwakan sebagai ajaran salah oleh Jemaah Ulama MAIK dan kemudiannya juga oleh negeri-negeri lain seperti Selangor, Melaka dan Pulau Pinang. Antara ajarannya kepada murid-muridnya ialah:

(a) Matlamat mengaji ilmu hakikat ialah untuk menjadi Allah.

Jelas kita ini manusia dan oleh itu kita makhluk yang dijadikan oleh Tuhan. Yang menjadikan kita ialah Tuhan. Bagaimana pula makhluk boleh menjadi Tuhan? Tentang ilmu hakikat, ilmu itu ialah ilmu yang menghuraikan hakikat perhubungan antara hamba dengan Tuhan dan bagaimana caranya hendak mencapai martabat yang tinggi di sisi Tuhan. Tidak ada ulama hakikat yang mengatakan bahawa tujuan ilmu hakikat diajarkan ialah untuk membawa manusia menjadi Tuhan. Itu ajaran zindik.

(b) Dia mengajarkan, «Diriku ini ialah Allah dan kepadanya kena balik (kembali) menjadi Allah semula.»

Sebagaimana yang dikatakan di atas, kita ialah makhluk, bukan Tuhan; kita dijadikan, bukan menjadikan. Bagaimana makhluk menjadi Tuhan? Jangankan dari segi agama, dari segi logik pun fikiran demikian tidak munasabah. Satu perkara lagi, di manakah sifat-sifat Allah SWT yang ada pada kita? Sifat Qidam? Baqa’? Wahdaniyyah? Sudah tentu tidak ada, kerana kita hanyalah makhluk.

(c) Dia mengajarkan, «Diri kita adalah diri Tuhan.»

Kata-kata ini juga bercanggah dengan akidah Islamiah dan tidak munasabah pada akal, kecuali bagi orang yang gila.

(d) Dia dilaporkan telah mengajar, «Selagi kita takut jadi kafir, selama itu kita tidak berjumpa dengan Islam.»

Kata-kata ini berlawanan dengan al-Quran, sunnah dan ijmak, kerana kita diajarkan oleh nas-nas supaya mengelakkan diri daripada kekufuran pada pegangan, perbuatan dan percakapan. Dengan mengelakkan diri daripada kekufuran itu, maka selamatlah Islam kita. Sebaliknya, jika kita bersama kekufuran, sama ada dalam percakapan, perbuatan atau pegangan, maka kita menjadi kafir. Na‘uzubillahi min zalik.

(e) Dia dilaporkan mengajar, «Tanpa Muhammad, (maka) wajib Tuhan tak ada.»

Nabi Muhammad SAW ialah hamba yang dijadikan oleh Tuhan dan oleh itu baginda makhluk yang diadakan selepas tiada. Sebelum adanya Muhammad SAW, Allah SWT sedia ada. Bagaimana dikatakan bahawa tanpa Muhammad, Allah tidak ada? Ini kata-kata zindik yang juga tidak logik langsung pada fikiran yang waras. Kata-katanya sedap didengar di sisi nafsu tetapi karut dan sesat.

(f) Dia dilaporkan berkata, «Kalau kita tidak menjadi Tuhan, maka wajib tak kenal Tuhan.»

Ini kata-kata yang sesat dan menyesatkan. Pertama, mustahil kita «menjadi» Tuhan, sebab Tuhan adalah Tuhan bukan dengan «menjadi». Kedua, tidak ada nas dalam Islam yang menyatakan bahawa kaedah mengenal Tuhan ialah dengan «menjadi» Tuhan. Kaedah itu bukan kaedah, tetapi suatu kesesatan yang nyata dan kata-kata yang zindik. Mengenal Tuhan ialah dengan mengenal sifat-sifat-Nya serta hukum-hukum-Nya dan membersihkan hati daripada sifat-sifat keji; apabila hati bersih, Allah SWT mengurniakan makrifat itu kepada seseorang.

(g) Dia mengajarkan, «Muhammad itu adalah kita.»

Ajaran ini menyesatkan, kerana Muhammad SAW ialah nabi dan rasul, kekasih Tuhan, sedangkan kita bukan nabi dan rasul, tetapi orang biasa yang wajib mengikut nabi dan rasul itu. Jadi Muhammad SAW ialah Muhammad dan kita ialah kita. Di manakah alasan yang membolehkan seseorang berkata, «Muhammad adalah kita»?

(h) Dia mengajarkan bahawa ejaan «Islam» (alif-sin-lam-mim) bermaksud: alif: Allah; sin: salam (sejahtera); lam-alif: syahadah tauhid, la ilaha illallah; dan mim: syahadah rasul, Muhammadur Rasulullah.

Ini huraian yang tidak berdasarkan nas dan tidak ada dalil yang membolehkan seseorang menghuraikan maksudnya sedemikian.

(i) Dia mengajarkan bahawa hakikat sembahyang ialah berdiri menyaksikan hakikat diri sendiri untuk menyaksikan pada diri bahawa tidak nyata pada diri melainkan Allah (diri yang batin) dan Muhammad (diri yang zahir).

Ini huraian tentang hakikat sembahyang yang sesat dan menyesatkan. Kita ialah hamba yang berdiri di hadrat Allah; bagaimanakah kita menyaksikan Allah Taala pada diri? Allah ialah Allah dan kita ialah kita. Kita bermunajat kepada Allah SWT, bukan menyaksikan Allah pada diri. Muhammad SAW pula ialah rasul kita dan kita bukan Muhammad SAW.

(j) Diajarkan olehnya bahawa rukun sembahyang yang tiga belas itu diambil sempena sendi-sendi besar manusia.

Ini huraian tentang rukun sembahyang yang tidak mempunyai dalil dan sandaran langsung. Dari manakah didapati huraian seperti ini? Demikian juga ajarannya yang mengatakan bahawa Allah mengisyaratkan sembahyang Zohor, Muhammad mengisyaratkan sembahyang Asar dan seterusnya; semua ini tidak bersandarkan nas-nas yang nyata dan oleh itu ia tertolak. Semua ini berpunca daripada khayalannya sendiri.

18. Ajaran Muhammad Nor Kua Supa, Paloh Rawa, Machang, Kelantan

Antara ajaran sesat yang hampir serupa ialah apa yang disampaikan oleh Muhammad Nor bin Seman yang digelar Mat Nor Kua Supa, Paloh Rawa, Machang, Kelantan. Jemaah Ulama MAIK telah memfatwakan bahawa ajaran dan akidahnya berlawanan dengan dasar akidah serta ajaran sebenar agama Islam dan amalan zikirnya juga salah. Antara ajarannya ialah seperti berikut:

(a) Katanya, «Tuhan ada dalam diri kita.»

Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, ini kenyataan zindik yang menjadikan seseorang kafir, sebab yang ada dalam diri kita ialah makhluk ciptaan Allah SWT, iaitu roh, bukan Tuhan, sebab Tuhan tidak bertempat.

(b) Dia juga mengajarkan, «Kita kena fanakan diri kita, yang bererti kita kena tinggalkan syarak, kerana kita sudah sampai ke alam baqa’, maka syariat tidak berguna lagi.»

Fana diri sebagaimana yang dihuraikan oleh para arifin ialah apabila seseorang yang ikhlas beramal sampai kepada satu peringkat yang dia merasakan bahawa yang sebenar-benarnya ada hanyalah Allah, sehingga dia merasakan dirinya sendiri tidak ada. Itulah fana diri. Ia bukan bermakna meninggalkan syarak, bahkan orang yang mencapai pengalaman ini ialah orang yang beramal dengan syarak dengan sesempurna mungkin. Mana boleh dikatakan bahawa fana diri bererti meninggalkan syarak? Apa maksud «sampai ke alam baqa’» sedangkan orangnya belum mati? Kalau sudah mati, barulah syarak tidak diamalkan lagi kerana kematian. Tetapi ini orang yang masih hidup! Nabi Muhammad SAW yang sampai mikraj ke alam sana, apabila pulang ke dunia tetap beramal dengan syarak; siapakah yang lebih tinggi berbanding Nabi Muhammad SAW? Ini ajaran zindik yang menjadikan seseorang terkeluar daripada agama Islam.

(c) Dia mengajarkan, «Tidak boleh diceraikan perkataan la ilaha illallah dengan (atau daripada) Muhammadur Rasulullah; kalau diceraikan, (nescaya orang berkenaan) menjadi kafir.»

Kalau maksudnya ialah jika seseorang mengucap syahadah sekerat sahaja dengan mengatakan la ilaha illallah sahaja maka syahadahnya (untuk masuk Islam) tidak sah, itu betul. Atau maksudnya jika seseorang percaya kepada la ilaha illallah sahaja tetapi tidak percaya kepada Muhammadur Rasulullah maka dia kafir, itu juga benar. Tetapi kalau maksudnya jika seseorang bertahlil la ilaha illallah sahaja tanpa menyambungnya dengan Muhammadur Rasulullah maka dia menjadi kafir, itu tidak betul; yang sebenarnya, adalah baik dari segi adab tahlil jika seseorang mengucapkan la ilaha illallah Muhammadur Rasulullah. Seperkara lagi, kalau maksudnya seseorang yang menerima al-Quran sahaja dan menolak hadis Nabi SAW menjadi kafir, ini benar. Wallahu a‘lam.

Kulit majalah al-Ustaz isu 17 bertajuk Menyingkap Topeng Syiah
Bacaan lanjut: majalah al-Ustaz isu 17, «Menyingkap Topeng Syiah».

19. Ajaran dan Amalan Syiah Imamiah

Antara ajaran dan amalan yang sedang merebak yang menjejaskan keimanan dan amalan seseorang ialah ajaran dan amalan Syiah Imamiah. Antara ajaran mereka ialah seperti berikut:

(a) Mereka percaya imam mereka yang dua belas orang itu maksum dan melepasi darjat para rasul dan malaikat muqarrabin, sebagaimana yang ada dalam kitab mereka, al-Kafi dan al-Hukumah al-Islamiyyah oleh Khomeini.

Menurut ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, yang maksum hanyalah para nabi dan rasul AS. Pegangan bahawa imam dua belas itu melepasi nabi dan rasul ialah pegangan yang sesat dan menyesatkan.

(b) Mereka percaya bahawa imam dua belas mempunyai kekuasaan ke atas semua zarah alam ini, iaitu semua atom terletak di bawah kekuasaan mereka, kerana mereka dikatakan mempunyai khilafah takwiniyyah atau kuasa khilafah ke atas seluruh alam.

Pegangan sedemikian juga batil dan tidak mempunyai asas dalam nas-nas yang diakui. Pegangan ini memberi faham bahawa imam-imam mereka mempunyai kekuasaan seperti tuhan. Ini boleh membawa kepada kesyirikan. Pegangan ini merosakkan keimanan seseorang, na‘uzubillahi min zalik.

(c) Diajarkan dalam kitab al-Kafi, yang berkedudukan seperti Sahih al-Bukhari di sisi kita, bahawa para imam mereka yang dua belas itu mengetahui semua ilmu malaikat, ilmu para nabi dan rasul serta ilmu semua manusia dan mereka paling mengetahui perkara yang mendatangkan maslahat kepada manusia; mereka tidak silap dan tidak lupa.

Jelas sekali sifat-sifat sedemikian menyerupakan mereka dengan sifat Maha Mengetahui yang hanya ada pada Allah SWT. Pegangan demikian merupakan pegangan syirik dan hendaklah ditolak.

(d) Dalam kitab al-Kafi mereka juga menyebut bahawa imam mereka yang dua belas itu boleh memilih tarikh kematian mereka sendiri.

Jelas sekali pegangan demikian bertentangan dengan al-Quran, sebab dinyatakan dalam ayat yang bermaksud: «Apabila datang ajal mereka, mereka tidak dapat melewatkannya walau sesaat pun dan tidak dapat pula menyegerakannya» (Surah al-A‘raf: 34; Surah an-Nahl: 61). Bagaimanakah dikatakan mereka boleh menentukan tarikh kematian mereka sendiri sedangkan ajal maut di tangan Allah Azza wa Jalla?

(e) Dalam al-Kafi juga disebut bahawa mereka mempunyai Mushaf Fatimah yang tiga kali ganda lebih besar daripada al-Quran yang biasa ini. Disebut pula oleh ulama mereka, Mirza Husain an-Nuri at-Tabarsi (dalam kitab Fasl al-Khitab), bahawa antara surah yang tidak ada dalam al-Quran biasa ialah «Surah al-Wilayah».

Al-Quran yang dipanggil Mushaf Uthmani yang ada pada kita sekarang ialah al-Quran yang diterima daripada Nabi SAW dan tidak ada al-Quran lain lagi yang diterima daripada baginda. Ini jelas dinyatakan dalam kitab-kitab berkenaan perkara ini seperti al-Itqan oleh as-Suyuti. Pegangan bahawa ada al-Quran lain ialah pegangan sebahagian Syiah Imamiah yang tidak mempunyai nas yang diakui sebagai buktinya.

(f) Dalam Kasyf al-Asrar karangan Khomeini disebutkan bahawa selepas wafat Nabi SAW para sahabat menjadi murtad melainkan beberapa orang sahaja seperti Ali, Salman, Miqdad dan Abu Zar (semoga Allah meredai mereka semua).

Pegangan Khomeini yang berpegang kepada Syiah Imamiah ini tidak berasas. Tidak ada ayat al-Quran dan hadis yang menyebut tentang murtadnya para sahabat selepas kewafatan baginda SAW. Ini pegangan sesetengah orang Syiah Imamiah yang tidak berdasarkan nas-nas yang diakui.

(g) Syiah Imamiah juga menuduh para sahabat sebagai fasik, itu sekurang-kurangnya atau tidak mengetahui agama, sebagaimana yang jelas daripada kitab as-Sab‘ah min as-Salaf. Antara yang dikatakan fasik ialah Abu Bakar, Umar, Uthman, Aisyah, Hafsah dan Muawiyah (semoga Allah meredai mereka semua), serta Yazid bin Muawiyah.

Tidak syak lagi bahawa pegangan sedemikian berlawanan dengan al-Quran, hadis dan pendapat ulama Ahli Sunnah yang berpendapat bahawa semua sahabat adalah adil. Perbezaan pendapat antara mereka adalah ijtihad masing-masing. Pegangan Syiah itu adalah pegangan yang sesat dan menyesatkan.

(h) Mereka percaya bahawa al-Mahdi, imam mereka yang kedua belas, yang bernama Muhammad bin Hasan al-Askari, akan muncul pada akhir zaman dan memerintah dunia dengan adil.

Pegangan sedemikian tidak berasaskan nas-nas yang boleh diterima. Memang kedatangan al-Mahdi berdasarkan riwayat yang dari segi maknanya mutawatir, akan tetapi al-Mahdi itu namanya Muhammad bin Abdullah, sebagaimana yang ditegaskan dalam beberapa hadis yang kuat riwayatnya, antaranya: «namanya menyamai namaku dan nama bapanya menyamai nama bapaku» (riwayat Abu Dawud, no. 4282). Bagaimanakah seseorang yang telah hilang lebih seribu tahun lalu muncul kembali menjadi al-Mahdi? Ini pegangan yang tidak munasabah.

(i) Mereka menuduh al-Bukhari ada memuatkan hadis-hadis yang mengandungi pegangan kufur, misalnya yang menyebut bahawa di akhirat kelak Allah akan menyingkap betis-Nya untuk dilihat oleh sekalian makhluk.

Sebenarnya ini timbul kerana salah faham mereka atau sengaja disalahfahamkan. Maksud hadis tersebut ialah saat itu begitu mengejutkan sehingga diumpamakan dengan keadaan yang menyebabkan orang-orang perempuan menyingsing kain dari betis mereka sambil berlari-lari untuk menyelamatkan diri, ataupun maksudnya ialah Allah «bertajalli» setakat yang dikehendaki-Nya, sebagaimana yang diisyaratkan dalam Tafsir al-Baidawi umpamanya. Bukanlah bermakna bahawa golongan Ahli Sunnah percaya bahawa Allah mempunyai betis seperti makhluk yang disingkap-Nya pada hari kiamat.

Nota khilaf: Hadis ini sahih (Sahih al-Bukhari, no. 4919 dan 7439, riwayat Abu Sa‘id al-Khudri r.a.) dan berkait dengan Surah al-Qalam: 42. Ibn ‘Abbas r.a. mentafsirkan ayat itu dengan kedahsyatan hari kiamat dan sebahagian ulama (seperti al-Baidawi) mentakwilkannya. Sebahagian ulama Ahli Sunnah yang lain pula menetapkan lafaz hadis itu sebagai sifat Allah sebagaimana yang datang dalam nas tanpa takyif (menggambarkan bagaimana) dan tanpa tasybih (menyerupakan dengan makhluk). Kedua-dua pendekatan sepakat menafikan penyerupaan Allah dengan makhluk.

(j) Mereka berpegang bahawa pemerintahan yang sah hanyalah pemerintahan yang direstui oleh imam mereka; semua yang lain tidak sah dan mesti digulingkan. Oleh itu mereka mengeksport revolusi ala Iran ke mana-mana. Bahkan mereka menganggap kerajaan Khulafa’ ar-Rasyidin tidak sah; yang sah hanya kerajaan Ali bin Abi Talib.

Pegangan sedemikian tidak disokong oleh nas-nas yang boleh dipegang. Kerajaan Islam di bawah Khulafa’ ar-Rasyidin adalah sah, termasuk kerajaan Ali. Demikian juga sah kerajaan khalifah-khalifah Umayyah dan Abbasiyyah serta pemerintahan-pemerintahan kemudiannya seperti yang ada di Istanbul dan lain-lain. Pegangan Syiah Imamiah sedemikian membawa implikasi yang berbahaya dari segi keselamatan negeri-negeri tempat mereka berada, bukan sahaja implikasi buruk dari segi agama Islam.

(k) Golongan Syiah Imamiah mengamalkan kahwin mutaah dan menganggapnya halal.

Menurut ajaran syariat Ahli Sunnah, kahwin mutaah, iaitu nikah dengan menentukan tempohnya, tanpa wali, adalah tidak sah dan haram serta membawa kepada zina. Pengharamannya thabit dalam hadis (antaranya Sahih Muslim, no. 1406) dan disepakati oleh mazhab yang empat sebagaimana yang jelas dalam kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba‘ah antaranya.

20. Ajaran Abdul Manan Harun

Ajaran sesat cara baharu yang disebarkan oleh seseorang yang menamakan dirinya «Abdul Manan Harun» ialah ajaran sesat yang berbahaya. Dia termasuk perintis gerakan anti hadis di Malaysia sekitar tahun 1985 bersama Kassim Ahmad dan Othman Ali; buku-buku golongan anti hadis kemudiannya diharamkan, antaranya melalui fatwa Kelantan yang diwartakan pada 6 Jun 1996. Antara ajarannya ialah:

(a) Dia merayu kepada mereka yang mengaku umat Islam supaya membuang «tuhan-tuhan» seperti Syafie, Hanbali, Ghazali, Hanafi, Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Dawud serta «tuhan-tuhan» lain yang dipertuhankan oleh manusia, dengan kembali kepada Allah SWT dan mengikut kitab-Nya, al-Quran (tanpa menyebut sunnah Nabi SAW).

Jelas pengarang risalah ini tidak percaya kepada sunnah, sebab dia menyuruh orang Islam kembali kepada al-Quran sahaja. Ini berlawanan dengan al-Quran sendiri, sebab al-Quran menyebut bahawa Nabi SAW diutus untuk menyampaikan kepada manusia apa yang diwahyukan kepada baginda dan menghuraikannya kepada manusia (Surah an-Nahl: 44).

Imam-imam dan ulama yang disebut oleh pengarang risalah itu bukan disembah sebagai tuhan, oleh itu mereka tidak boleh dikatakan «tuhan-tuhan» kerana mereka bukan sembahan. Mereka dihormati kerana ilmu dan perjalanan mereka adalah benar sebagaimana yang dibuktikan oleh sejarah. Kalau kita tidak mengikut mereka yang benar, siapa lagi yang akan kita ikut? Adakah mengikut mereka yang benar dilarang oleh al-Quran? Tidak, bahkan al-Quran menyuruhnya dalam ayat yang bermaksud: «Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui» (Surah an-Nahl: 43; Surah al-Anbiya’: 7). Atas dasar inilah mereka diikuti, bukan disembah sebagai Tuhan. Pengarang ini seorang yang jahil yang tidak tahu membezakan antara Tuhan dengan yang bukan Tuhan.

(b) Antara ajaran sesat pengarang ini, katanya, «Bukankah mereka yang menganut agama Ahli Sunnah wal Jamaah telah mencari petunjuk daripada mereka… dan ini menjadikan mereka Tuhan?»

Agama yang dipegang oleh umat Islam ialah agama Islam, bukan agama Sunnah wal Jamaah. Ahli Sunnah wal Jamaah itu ialah mazhabnya, iaitu mazhab yang hak berpandukan ajaran Rasul dan sunnahnya serta ajaran para sahabat yang diasuh oleh baginda SAW. Petunjuk yang dicari adalah daripada Allah, bukan daripada manusia, sebab manusia tidak boleh memberi petunjuk. Yang manusia boleh lakukan hanyalah menyampaikan ilmu; yang memberi petunjuk hanyalah Allah SWT. Kita umat Islam membaca kitab-kitab ulama untuk mendapatkan huraian tentang al-Quran dan as-Sunnah, sebab mereka ahli ilmu. Orang Islam tidak menjadikan ulama sebagai sembahan. Itu kekeliruan pengarang ini sendiri.

(c) Kata pengarang yang sesat ini dalam risalahnya antara lain: «Bukankah hukum-hukum syarak atau undang-undang syariat sekarang bercanggah dengan al-Quran dan dikarang serta ditulis oleh tuhan-tuhan jenis manusia yang dinamakan taghut?»

Hukum-hukum Islam yang ada dalam kitab-kitab fiqh itu ialah karangan para ulama yang ahli dalam ilmu syariat. Mereka mengarang kitab-kitab itu untuk membantu manusia memahami hukum-hukum Allah SWT, bimbang manusia disesatkan oleh penulis-penulis jahil seperti pengarang risalah ini. Mereka bukan tuhan-tuhan yang disembah. Kitab-kitab mereka diterima oleh umat Islam kerana kandungannya benar dan tidak menyeleweng. Bagaimanakah mereka dipanggil taghut oleh pengarang ini? Yang sebenarnya taghut ialah pengarang risalah ini, bukan para ulama itu.

Pengarang risalah yang jahil ini hendaklah mengetahui bahawa ulama yang menyeleweng dalam huraian-huraian mereka, kitab-kitab mereka tidak digunakan oleh umat Islam sebagai panduan. Aliran mereka telah pupus ditelan zaman.

(d) Pengarang risalah itu juga menulis, «…mereka mengaku mereka Islam dengan hanya mengucap dua kalimah syahadah, ‘Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu Rasulullah.’…» Katanya, «Adakah dalam lafaz ini mereka membuat pengakuan ‘Aku Islam kepada Allah’, (walhal) Allah telah mengajar kita bagaimana hendak melafazkan cara untuk menjadi Islam…»

Nampaknya pengarang ini tidak bersetuju bahawa cara memeluk Islam ialah dengan mengucap dua kalimah syahadah. Dia mahu syahadah itu berbunyi «Aku Islam kepada Allah», bukan dengan membaca syahadah yang biasa dipakai itu. Ini ajaran yang sesat dan menyesatkan, kafir dan mengkafirkan orang yang berpegang kepadanya. Cara memeluk Islam dengan mengucap syahadah itu berdasarkan as-Sunnah yang sekuat-kuatnya dalam riwayat al-Bukhari (no. 25), Muslim (no. 22) dan lainnya dan itulah yang diterima sejak awal lagi. Fahaman pengarang ini nampaknya diperoleh daripada bacaannya terhadap terjemahan al-Quran yang ada padanya. Sebab itulah katanya Allah Taala mengajarkan cara memeluk Islam itu dengan menyebut ayat yang bermaksud «Aku Islam kepada Allah», sedangkan maksud ayat itu sebenarnya ialah «Aku tunduk kepada Allah (dalam agama Islam)». Sebenarnya ayat itu bukan menunjukkan cara memeluk Islam, tetapi menunjukkan bahawa nabi pada zaman dahulu telah menundukkan dirinya kepada Allah SWT dalam agama yang sebenar. Ia berbentuk cerita dan khabar, bukan cara memeluk agama Islam. Tetapi oleh kerana pengarang ini jahil dan tidak mahu mengaji, dia menyangka itulah cara «syahadah» yang diajarkan oleh Allah, yang berlainan daripada apa yang diamalkan oleh ulama.

(e) Dia menyatakan bahawa mereka yang menyaksikan bahawa Muhammad adalah Rasulullah SAW ialah orang-orang munafik. Katanya: «Mereka tergolong daripada (sepatutnya: ke dalam) orang-orang munafik kerana sentiasa naik saksi bahawa Muhammad itu Rasulullah SAW (6:31) seolah-olah Allah SWT tidak tahu Muhammad itu rasul-Nya dan sambil menggunakan lafaz-lafaz ini untuk menyesatkan manusia (63:2).»

Jelas sekali pengarang ini tidak mempelajari tafsir al-Quran daripada sumber-sumbernya yang sebenar. Golongan munafik yang menyatakan Muhammad Rasulullah (Surah al-Munafiqun: 1–2) ialah mereka yang tidak Islam pada hakikatnya, yang berpura-pura berkata Muhammad pesuruh Allah sedangkan mereka tidak percaya kepadanya. Ertinya, yang dituju oleh ayat itu ialah orang munafik yang berpura-pura Islam, yang menggunakan syahadah itu untuk menyesatkan orang lain dan mencari kepentingan. Ayat ini bukan melarang manusia mengucap syahadah, kerana mengucap syahadah memang disuruh sebagaimana yang jelas dalam hadis-hadis sahih.

Pengarang yang jahil ini sesat dan menyesatkan orang lain.

(f) Dia juga mengatakan, «Taghut-taghut muktabar mereka telah mengubah cara solat yang diajarkan oleh Allah (17:110). Bukankah ini jelas mereka mempertuhankan Syafie, Hanbali, al-Ghazali, Hanafi, Bukhari, Muslim… dan yang lain-lain sebagai tuhan mereka?»

Jelas sekali pengarang ini tidak peduli kepada nas-nas yang menjadi pegangan ulama dalam mempelajari dan memahami Islam. Berkenaan sembahyang, jelas ia berdasarkan bimbingan Nabi SAW sendiri sebagaimana yang diterangkan dalam Kitab as-Solah dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan sebagainya, yang merupakan catatan sejarah yang tidak boleh dipersoalkan lagi kesahihannya. Pengarang ini mahu kita memahami sembahyang mengikut apa yang disebut dalam al-Quran atau terjemahan al-Quran sahaja. Ini sesat dan menyesatkan, kafir dan mengkafirkan. Tentang sembahyang, tidak perlu timbul persoalan lagi, sebab ia berdasarkan nas-nas al-Quran, sunnah dan ijmak.

Itulah yang muktamad. Pengarang risalah yang jahil ini tidak boleh mengubah semua itu. Dan sebagaimana yang telah dijelaskan, tidak ada sesiapa dalam kalangan Ahli Sunnah yang menyembah imam-imam sebagaimana yang diisyaratkan oleh pengarang jahil ini. Hanya Allah sahaja yang menyelamatkan kita daripada fitnah-fitnah dajal akhir zaman ini. Wallahu a‘lam.

Kulit buku Allah antara Tasawuf dengan Akidah karya Abdulfatah Haron Ibrahim
Bacaan lanjut: Allah antara Tasawuf dengan Akidah (Abdulfatah Haron Ibrahim).

Beberapa Langkah yang Perlu Diambil

Setiap mukalaf dan ahli masyarakat Islam hendaklah mengambil langkah-langkah untuk menyelamatkan dirinya daripada cengkaman atau pengaruh ilmu-ilmu sesat yang sedang merebak dalam masyarakat Islam kita sekarang ini, sebagaimana setiap orang juga perlu menyelamatkan dirinya daripada terpengaruh dengan agama-agama selain Islam, sebab hanya agama Islam sahaja yang diterima oleh Allah SWT. Antara langkah-langkah itu ialah sebagaimana yang disebut dalam perenggan-perenggan berikut.

Pertama, setiap mukalaf hendaklah diberi pendidikan Islam yang memadai dalam bidang akidah, syariah dan akhlak demi membentuk peribadi Islam yang baik, yang membolehkannya mengelakkan diri daripada akidah dan amalan-amalan yang sesat. Pelaksanaan pendidikan sedemikian, sekurang-kurangnya pada paras asas, menjadi tanggungjawab semua pihak, terutama keluarga, pusat-pusat pendidikan yang mengajarkan ilmu-ilmu bukan syariah dan seterusnya. Pelajaran Islam itu boleh dijayakan juga di masjid-masjid, madrasah-madrasah, musala-musala dan seterusnya, sehinggalah di tempat-tempat kerja termasuk kilang-kilang dan bengkel-bengkel.

Kedua, sebagai penekanan khusus, ibu bapa hendaklah mengambil berat tentang pendidikan agama sedemikian bagi anak-anak mereka, baik lelaki mahupun perempuan dan hendaklah mereka mengambil berat tentang kawalan yang sewajarnya ke atas gerak-geri anak-anak supaya tidak menyeleweng dari segi akidah dan amalan.

Ketiga, pihak-pihak yang berwajib, sama ada badan-badan agama yang tidak rasmi mahupun pihak berkuasa, hendaklah mengambil langkah-langkah sepatutnya supaya kesilapan-kesilapan dalam pegangan dan amalan itu dihebahkan agar difahami oleh masyarakat Islam dan langkah-langkah yang berkesan hendaklah diambil oleh semua pihak supaya ilmu-ilmu sesat itu tidak berkembang dan dijauhi oleh ahli masyarakat.

Keempat, pemuka-pemuka ilmu sesat itu hendaklah dikenakan tindakan yang tegas mengikut lunas-lunas syariat Islam yang sebenar, termasuk hukuman yang menahan mereka sehingga mereka bertaubat, ataupun apabila sabit kesalahannya, dikenakan hukuman yang lebih berat lagi. Ini boleh dilakukan, insya-Allah, dengan adanya kerjasama semua pihak. Perlu diperhatikan bahawa penyebaran ilmu sesat ini lebih berbahaya daripada dadah yang ditakuti itu, sebab jika dadah membinasakan jasad manusia, ajaran sesat pula membinasakan zat insaniah itu sendiri hingga ke alam yang kekal abadi.

Kelima, antara lainnya, adab-adab bermuamalah dengan ahli zindik dan ahli bidaah yang sesat, seperti kaum yang tidak mengambil berat tentang hukum syarak atau kaum yang mengajarkan bahawa kita ini tuhan, hendaklah disebarkan supaya orang ramai mengerti adab-adab itu dan beramal dengannya.

Antara adab itu ialah apa yang diterangkan oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali, semoga Allah merahmatinya, dalam kitab Ihya’ ‘Ulum ad-Din (juz II, hlm. 166–167). Katanya:

«Kedua: ahli bidaah (yang sesat, seperti tidak memakai syarak atau mengajar manusia menjadi tuhan dan sebagainya) yang menyeru (orang lain) kepada bidaahnya. Jika bidaahnya itu sedemikian rupa sehingga dia menjadi kafir kerananya, maka keadaannya lebih berat daripada kafir zimmi, kerana dia tidak diakui (kedudukannya) dengan membayar jizyah dan tidak dilonggarkan layanan terhadapnya dengan akad zimmah.

Jika bidaahnya itu bidaah yang tidak menjadikannya kafir, maka kedudukannya antara dia dengan Allah tentulah lebih ringan daripada kedudukan orang kafir, tetapi dari segi mengingkarinya, dia lebih berat daripada orang kafir, kerana kejahatan orang kafir itu tidak melimpah (kepada orang Islam). Orang Islam beriktikad bahawa orang itu kafir, maka mereka tidak peduli akan kata-katanya, kerana dia tidak mengaku dirinya beragama Islam dan berpegang kepada akidah yang hak.

Adapun ahli bidaah (walaupun bidaahnya tidak menjadikannya kafir, lebih-lebih lagi jika bidaahnya kufur) yang menyeru kepada bidaahnya dan mendakwa seruannya itu hak, maka dia menjadi sebab kesesatan orang ramai dan kejahatannya melimpah kepada orang lain. Maka dianjurkan menzahirkan kemarahan terhadapnya, memusuhinya, memutuskan hubungan dengannya, menghina dan merendahkannya kerana bidaahnya itu dan menjauhkan orang ramai daripadanya adalah lebih utama.

Jika dia memberi salam kepada seseorang di tempat sunyi, maka tidak mengapa menjawab salamnya (jika bidaahnya tidak membawa kepada kekufuran). Tetapi jika engkau mengetahui bahawa berpaling daripadanya dan tidak menjawab salamnya akan menjadikannya merasa buruk bidaahnya dan memberi kesan dalam mendorongnya meninggalkan bidaah itu, maka tidak menjawab salam itu lebih utama. Hal ini kerana menjawab salam, walaupun hukumnya wajib, boleh gugur dengan adanya tujuan yang paling kecil yang mengandungi maslahat, sehingga ia gugur apabila seseorang berada di bilik mandi atau sedang membuang hajat; dan tujuan menjauhkan dirinya daripada bidaah itu lebih penting daripada tujuan-tujuan ini.

Jika (ahli bidaah itu) berada dalam satu kumpulan, maka tidak menjawab salamnya lebih utama untuk menjauhkan orang lain daripadanya dan untuk menunjukkan keburukan bidaah itu pada pandangan mereka. Demikian juga lebih utama berhenti daripada berbuat baik dan memberi pertolongan kepadanya, terutama dalam perkara yang dilihat oleh orang ramai…

Ketiga: ahli bidaah yang awam (yang tidak berdakwah kepada bidaahnya), yang tidak mampu menyeru manusia kepada bidaahnya dan tidak dibimbangi diikuti oleh orang lain. Keadaannya lebih ringan (daripada orang di atas tadi). Maka (dalam hal orang yang sedemikian) dia tidak sepatutnya dihadapi dengan kekasaran dan penghinaan, bahkan hendaklah dilayan dengan lemah lembut dan diberi nasihat, kerana hati orang awam cepat berubah. Jika nasihat tidak mendatangkan faedah dan berpaling daripadanya dapat menunjukkan keburukan bidaah itu pada pandangannya, maka berpaling daripadanya lebih baik. Jika diketahui bahawa itu pun tidak memberi kesan kerana tabiatnya yang sudah keras dan pegangannya sudah mendalam dalam jiwanya, maka berpaling daripadanya lebih utama, kerana bidaah itu apabila tidak ditunjukkan keburukannya dengan bersungguh-sungguh akan merebak dalam kalangan orang ramai dan kerosakannya menjadi merata.»

Inilah antara nasihat yang diberikan oleh Imam al-Ghazali yang arif ini tentang cara kita berhadapan dengan golongan bidaah yang sesat atau yang membawa kepada kekafiran, yang ada dalam masyarakat kita. Kalaulah sikap ini diamalkan, maka ajaran sesat tidak akan berkembang dalam masyarakat Islam dan ia akan terhapus dengan izin Allah SWT.

Kulit buku Sunnah dan Bidaah dalam Amalan Orang Melayu karya Jawiah Dakir dan Wan Awang Wan Ali
Bacaan lanjut: Sunnah dan Bidaah dalam Amalan Orang Melayu (Jawiah Dakir dan Wan Awang Wan Ali).

Hendaklah nasihat sedemikian difahami dan adab-adab yang disarankan ini dijadikan pegangan dan amalan yang berkesan. Insya-Allah kita akan mendapat pertolongan daripada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Wallahu a‘lam.

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، وَالْحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

Kulit buku Khurafat Alam Melayu karya Adil Akhyar
Bacaan lanjut: Khurafat Alam Melayu (Adil Akhyar).

AAM, pagi Hari Asyura 1435H bersamaan 14 November 2013, Pondok Sungai Durian.

Rujukan

31 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Fath (48): 29.

    Quran.com
  2. Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Iman, no. 2616 (riwayat Mu'az bin Jabal r.a.); kata at-Tirmizi: hasan sahih.

    ad-Durar as-Saniyyah
  3. Al-Quran, Surah al-Jumu'ah (62): 9.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah al-Hijr (15): 9.

    Quran.com
  5. Al-Quran, Surah al-A'raf (7): 34; Surah an-Nahl (16): 61.

    Quran.com
  6. Sunan Abi Dawud, Kitab al-Mahdi, no. 4282 (riwayat Abdullah bin Mas'ud r.a.).

    ad-Durar as-Saniyyah
  7. Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, no. 4919 dan Kitab at-Tauhid, no. 7439 (riwayat Abu Sa'id al-Khudri r.a.).

    Sunnah.com
  8. Al-Quran, Surah al-Qalam (68): 42.

    Quran.com
  9. Sahih Muslim, Kitab an-Nikah, no. 1406 (riwayat Sabrah al-Juhani r.a.).

    Sunnah.com
  10. Al-Quran, Surah an-Nahl (16): 44.

    Quran.com
  11. Al-Quran, Surah an-Nahl (16): 43; Surah al-Anbiya' (21): 7.

    Quran.com
  12. Sahih al-Bukhari, no. 25 dan Sahih Muslim, no. 22 (riwayat Ibn 'Umar r.a.).

    Sunnah.com
  13. Al-Quran, Surah al-Munafiqun (63): 1–2.

    Quran.com
  14. Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 8 (Hadis Jibril, riwayat 'Umar r.a.).

    Sunnah.com
  15. IslamQA, fatwa no. 21500: تحريف القرآن عند الرافضة.

    islamqa.info
  16. Wikipedia: Batu Pahat District (bahagian sejarah: serangan Balai Polis Batu Pahat, 16 Oktober 1980).

    en.wikipedia.org
  17. Twentytwo13: «Survivor of 1980 Batu Pahat Police Station attack recalls the day he nearly died».

    twentytwo13.my
  18. Pejabat Mufti Negeri Kelantan: «Fatwa Mengenai Ajaran Salah (Haji Ahmad Laksamana, Hasan bin Yaacub dan Mohamad Nor bin Seman)», No. Rujukan MUI. (Kn.) 43/78/Bhg. 2, di bawah seksyen 14(3) Undang-Undang Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1966 (Enakmen Bil. 2 Tahun 1966). Arkib Wayback 5 Jan 2026.

    web.archive.org
  19. JAKIM e-SMAF: «Ajaran Hasan Anak Rimau», Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI, 1983. Arkib Wayback 6 Jul 2022.

    web.archive.org
  20. Abdul Ghani bin Muhamad & Nik Yusri bin Musa, «Perkembangan Tasawuf dan Tarekat di Negeri Kelantan», Rabbanica (KIAS) 5(2), Nov 2024, hlm. 295–296 (memetik Nawi @ Mohd Nawi Ismail, «Ajaran Sesat Hasan Anak Rimau: Satu Sorotan», Jurnal Penyelidikan Islam 23, 2010).

    ejournals.kias.edu.my
  21. JAKIM e-SMAF: «Ajaran Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana (Hakikat Insan)», Melaka, 2001, diwartakan. Arkib Wayback 30 Jun 2022.

    web.archive.org
  22. JAKIM e-SMAF: «Fatwa Mengenai Ajaran Tok Husin Janggut/Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana», Pulau Pinang, keputusan 7 Jan 2010, diwartakan 29 Apr 2010 (No. Warta 239). Arkib Wayback 12 Ogos 2022.

    web.archive.org
  23. JAKIM e-SMAF: «Tarekat Naqsyabandiah Khalidiah Kadirun Yahya», Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI, 1981. Arkib Wayback 8 Mac 2020.

    web.archive.org
  24. Siti Zubaidah Ismail, «Menangani Ajaran Sesat di Kalangan Umat Islam: Perspektif Undang-Undang dan Pentadbiran», Jurnal Syariah 18(2), 2010, hlm. 249–250 dan 262.

    mjs.um.edu.my
  25. Pejabat Mufti Negeri Kelantan: «Fatwa Tentang Kumpulan Anti Hadis», keputusan Jemaah Ulama 25 Nov 1995, diwartakan 6 Jun 1996 (Jil. 49, No. 404, P.U. Kn. 1/G). Arkib Wayback 4 Jan 2026.

    web.archive.org
  26. «Kesilapan Penafsiran Ayat-Ayat al-Quran oleh Golongan Anti Hadis di Malaysia: Kajian terhadap Kassim Ahmad», Jurnal Pengajian Islam (KUIS) bil. 13, isu I, 2020, hlm. 1–15; juga «Gerakan Anti-Hadis di Media Elektronik: Kassim Ahmad», JOIRC 6(11), 2023, hlm. 42–50.

    jpi.uis.edu.my
  27. The Malaysian Insider (via Yahoo News), «Batu Pahat, home ground for radicals?», 19 Dis 2015.

    sg.news.yahoo.com
  28. Wikipedia Bahasa Melayu: «Balai Polis Batu Pahat» dan «Mohd Nasir Ismail».

    ms.wikipedia.org
  29. Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Panel Penyelidik, «Memerangi Ajaran Sesat», Kota Bharu: Majlis Ugama Islam Kelantan, 1987, 86 hlm. (rekod Google Books).

    books.google.com
  30. Nailah binti Ismail, «Al-Hawa dalam Penyelewengan Akidah: Kajian di Kelantan» (Al-Hawa in Perversion of Belief: A Study in Kelantan), tesis, Universiti Malaya, 2011, hlm. 143 (ProQuest Dissertations & Theses no. 30595920).

    search.proquest.com
  31. Asfarina Zubir & Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, «Faktor Sambutan Masyarakat Islam terhadap Kelas Takmir Akidah di Masjid Negeri Kelantan», Malaysian Journal for Islamic Studies 2, 2018, hlm. 67–68.

    journal.unisza.edu.my

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akidah Tidak Tepat Istilah: “Manusia Khalifah Allah Di Muka Bumi” 14 Apr 2026 Akidah 10 Perkara Yang Membatalkan Islam 29 Okt 2025 Akidah Pengertian Tawassul & Jenis Tawassul Yang Dibenarkan (Tanpa Khilaf) 28 Okt 2025 Akidah Kepanasan Api Neraka 69 Kali Ganda Api Dunia 13 Okt 2025