Tulisan: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: blog saifulislam.com, “Kesalahan Menggugurkan Selawat dan Salam dalam Pengucapan dan Penulisan”.
Pendahuluan

Petikan daripada tulisan akhuna Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di blognya, saifulislam.com. Jazahullahu khairan. Semoga bermanfaat buat umat yang mencintai dan menyayangi Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa 'ala alihi wa sahbihi wa sallam.
Abu Anas telah membuat catatan tentang kelebihan selawat dan memahami maknanya dalam artikel “Selawat ke atas Nabi SAW: Kelebihan dan Lafaz yang Sahih”.
Selawat kepada Baginda SAW
Kita disyariatkan untuk berselawat kepada Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam ketika bersolat dalam bacaan tasyahud, juga ketika berucap, berdoa dan beristighfar. Demikian juga selepas azan, ketika masuk dan keluar masjid dan ketika Baginda disebut dalam situasi-situasi yang lain.
Ibn as-Salah dalam al-Muqaddimah
Ibn as-Salah menyebut dalam jenis yang ke-25, “Penulisan Hadis, Kaedah Penulisan serta Tuntutan-tuntutannya”. Beliau berkata:
Kesembilan: Hendaklah seseorang itu memelihara penulisan selawat dan salam ke atas Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam setiap kali menyebut Baginda. Janganlah dia jemu melakukannya secara berulang-ulang kerana ia adalah manfaat agung yang segera diperoleh oleh mereka yang mempelajari dan menulis hadis. Sesiapa yang cuai melaksanakannya, dia telah terhalang daripada kurniaan yang besar.
Ibn as-Salah juga menegaskan pentingnya memuji Allah ketika menyebut nama-Nya, seperti 'Azza wa Jalla, Tabaraka wa Ta'ala dan yang seumpamanya.
Katanya: “Hendaklah dijauhi dua kecacatan dalam hal ini: (i) menulisnya secara singkatan dengan satu atau dua huruf dan yang seumpamanya; atau (ii) menulisnya secara tidak lengkap, seperti menulis selawat sallallahu 'alaihi sahaja dan meninggalkan wa sallam.”
Ibn as-Salah membawakan riwayat daripada Hamzah al-Kinani rahimahullah (meninggal dunia 357H). Beliau berkata: “Pernah ketika aku menulis hadis, apabila aku menulis ‘Nabi’, aku ikuti dengan sallallahu 'alaihi tanpa menulis wa sallam. Lalu aku melihat Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dalam mimpiku dan Baginda berkata kepadaku: ‘Mengapakah engkau tidak menyempurnakan selawat ke atasku?’ Sejak itu aku tidak pernah lagi menulis sallallahu 'alaihi melainkan aku sempurnakannya dengan wa sallam.”
Ibn as-Salah juga berkata: “Tidak disukai (makruh) meringkaskan sebutan selawat kepada 'alaihis salam sahaja.” Wallahu a'lam.
Al-'Allamah as-Sakhawi
Al-'Allamah as-Sakhawi rahimahullah menyebut dalam kitabnya Fath al-Mughith Syarh Alfiyyah al-Hadith li al-'Iraqi: “Hindarilah, wahai penulis, membuat simbol atau singkatan bagi selawat dan salam ke atas Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam dalam tulisanmu dengan meringkaskannya kepada dua huruf dan yang seumpamanya, kerana ia cacat bentuknya, sebagaimana yang dilakukan oleh al-Katati serta orang-orang yang jahil dalam kalangan orang 'ajam pada kebanyakan keadaan dan dalam kalangan pelajar awam. Mereka menggantikan sallallahu 'alaihi wa sallam dengan (ص) atau (صم) atau (صلعم). Perbuatan itu mengurangkan ganjaran kerana cacatnya cara penulisan dan menyalahi apa yang lebih utama.”
Al-Imam as-Suyuti
Al-Imam as-Suyuti rahimahullah turut menyebut perkara yang sama dalam kitabnya Tadrib ar-Rawi fi Syarh Taqrib an-Nawawi. Katanya: “Tidak disukai (makruh) meringkaskan sebutan selawat dan salam di sini dan di setiap tempat yang disyariatkan padanya selawat, sebagaimana yang terdapat dalam Syarh Sahih Muslim dan lain-lainnya, kerana firman Allah: ‘Berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan yang sepenuhnya’ (Surah al-Ahzab: 56).” Sehingga katanya: “Dan tidak disukai menggunakan simbol untuk selawat dan salam dalam penulisan dengan menulis satu atau dua huruf seperti (صلعم); bahkan hendaklah ditulis kedua-duanya dengan lengkap dan sempurna.”
Ini ialah terjemahan saya terhadap pendapat-pendapat ulama muktabar yang dinukilkan oleh Syeikh Ibn Baz dalam Majmu' Fatawa beliau. Kelemahan dalam terjemahan ialah kelemahan saya dan terbuka kepada penambahbaikan dan pembetulan.
Sebahagian penerbit dalam pasaran industri buku kita menggugurkan SEMUA selawat dan memadai dengan meletakkan galakan berselawat dalam satu pesanan di awal naskhah…
Untuk meneruskan bacaan tulisan Ustaz Hasrizal, sila ke saifulislam.com.
Penutup
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab: 56)
Hasrizal @ 43000 BSP
Bacaan berkaitan
Rujukan
3 sumber-
Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 56.
Quran.com -
Hasrizal Abdul Jamil, "Kesalahan Menggugurkan Selawat dan Salam dalam Pengucapan dan Penulisan", saifulislam.com.
saifulislam.com -
Ibn as-Salah, Ma'rifat Anwa' 'Ulum al-Hadith (al-Muqaddimah), jenis ke-25: Kitabat al-Hadith wa Kaifiyyat Dabtih, perkara kesembilan.
Maktabah Syamilah
