Makna Selawat
Perkataan selawat berasal daripada bahasa Arab (الصلوات), diambil daripada perkataan solat (الصلاة) yang bererti doa atau pujian.
- Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat.
- Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.
- Selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan pujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.
Makna selawat daripada Allah Ta'ala kepada hamba-Nya ialah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemuliaan dan keberkatan daripada-Nya. [Lihat Zad al-Masir, 6/398]
Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik daripada Allah Ta'ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana firman-Nya:
﴿هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلَائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا﴾
"Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman." [Surah al-Ahzab: 43]
Hukum Berselawat
Para ulama telah sepakat menetapkan bahawa hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib secara keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijmak) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapa bilangannya. Antara pendapat mereka:
- Wajib berselawat dalam solat.
- Ketika membaca tasyahud (tahiyat).
- Ketika membaca tasyahud kedua (tahiyat akhir).
- Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau gelaran kerasulan dan kenabian Baginda SAW.
Arahan Membaca Selawat
Dalam perintah-perintah ibadat yang lain, Allah SWT terus menyuruh hamba-Nya melakukannya. Tetapi dalam perintah berselawat, sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Ahzab ayat 56 di bawah, Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti para malaikat, kemudian dianjurkan kepada orang-orang beriman untuk mengamalkannya. Ini bermakna membaca selawat itu sangat utama.
Kelebihan Selawat
Daripada Anas bin Malik radhiallahu 'anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ»
"Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali, digugurkan daripadanya sepuluh kesalahan (dosa) dan diangkat baginya sepuluh darjat." [HR an-Nasa'i, no. 1297 dan Ahmad; sahih]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.
Sabda Nabi SAW:
«الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ»
Maksudnya: "Orang yang bakhil ialah orang yang apabila namaku disebut di sisinya, dia tidak berselawat ke atasku." [HR at-Tirmizi, no. 3546; kata at-Tirmizi: hasan sahih gharib]
Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang Muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama mengatakan: "Sesiapa yang mencintai sesuatu, dia akan kerap menyebutnya."
Selawat Paling Afdal
Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan merupakan salah satu tanda kecintaan kepada Nabi SAW, sekali gus menjadi faktor utama untuk mencapai syafaat Nabi SAW pada hari kiamat kelak. Perintah kepada umat Islam untuk berselawat kepada Nabi SAW datang setelah Allah Ta'ala memberitahu bahawa Dia berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, sebagaimana firman-Nya:
﴿إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا﴾
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan." [Surah al-Ahzab: 56]
Ayat di atas tidak menjelaskan satu bentuk lafaz selawat tertentu untuk dibaca apabila seorang Muslim hendak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa orang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang cara atau kaifiat berselawat ke atas Baginda SAW, lalu Baginda mengajarkannya kepada mereka.
Antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari (no. 3370 dan 6357) daripada Ka'ab bin 'Ujrah r.a. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang cara berselawat kepada Baginda. Baginda menjawab: "Katakanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ"
Inilah antara kaifiat berselawat yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada para sahabat r.a. sebagai jawapan kepada pertanyaan mereka. Maka adalah logik untuk dikatakan bahawa lafaz ini ialah lafaz yang paling afdal dalam berselawat.
Al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah mengatakan:
"Pengajaran Nabi SAW kepada para sahabat r.a. tentang kaifiat (membaca selawat) ini setelah mereka bertanya tentangnya menjadi dalil bahawa itulah lafaz selawat yang paling utama, kerana Baginda SAW tidak memilih untuk dirinya melainkan yang paling mulia dan paling sempurna." [Fath al-Bari, 11/66]
Menurut kitab Mestika Hadis (1/259): "Dan yang seafdal-afdalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat. Ini kerana para ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan selawat yang seafdal-afdalnya, tidak dihukum terlepas daripada kewajipan menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat itu."
Maka adalah lebih baik lafaz selawat inilah yang diamalkan ketika berselawat kepada Nabi SAW, bukan lafaz-lafaz selawat susunan seseorang, meskipun tidak dilarang menyusun teks selawat sendiri. Selawat-selawat selain yang diajarkan oleh Nabi SAW kadang-kadang tidak terlepas daripada kekeliruan, sama ada dalam pemilihan bahasa, mahupun – dan ini yang paling parah – kesalahan dalam akidah.
Lafaz Selawat yang Sahih
Lafaz selawat yang paling ringkas yang bertepatan dengan dalil-dalil yang sahih ialah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
"Ya Allah, berselawatlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya." [HR an-Nasa'i, no. 1292, daripada Zaid bin Kharijah r.a.; sahih]
Kemudian terdapat lapan riwayat yang sahih, iaitu:
1. Daripada Ka'ab bin 'Ujrah r.a.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
"Ya Allah, berselawatlah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim; sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim; sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia." [HR al-Bukhari dan Muslim]
2. Daripada Abu Humaid as-Sa'idi r.a.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
"Ya Allah, berselawatlah kepada Muhammad, isteri-isteri dan keturunannya sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, isteri-isteri dan keturunannya sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim; sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia." [HR al-Bukhari dan Muslim]
3. Daripada Abu Mas'ud al-Ansari r.a.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
"Ya Allah, berselawatlah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim di sekalian alam; sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia." [HR Muslim]
4. Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin 'Amr al-Ansari r.a. (jalan kedua)
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
"Ya Allah, berselawatlah kepada Muhammad, nabi yang ummi dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang ummi, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim; sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia." [HR Abu Dawud, no. 981; sahih]
5. Daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ
"Ya Allah, berselawatlah kepada Muhammad, hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim." [HR al-Bukhari]
6. Daripada seorang lelaki sahabat Nabi SAW
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
"Ya Allah, berselawatlah kepada Muhammad, ahli baitnya, isteri-isterinya dan keturunannya sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim; sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad, ahli baitnya, isteri-isterinya dan keturunannya sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim; sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia." [HR Ahmad; sahih]
7. Daripada Abu Hurairah r.a.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ وَبَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
"Ya Allah, berselawatlah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim; sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia." [HR ath-Thahawi dalam Musykil al-Athar, 3/75 dan an-Nasa'i dalam 'Amal al-Yaum wa al-Lailah, no. 47; sahih]
8. Daripada Thalhah bin 'Ubaidillah r.a.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
"Ya Allah, berselawatlah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim; sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim; sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia." [HR Ahmad dan an-Nasa'i; sahih]
Waktu Afdal Berselawat
Antara masa yang paling afdal dituntut berselawat ialah:
- Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
- Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa selepas azan.
- Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
- Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
- Di akhir qunut dalam solat.
- Di dalam solat jenazah.
- Ketika masuk dan keluar dari masjid.
- Setiap waktu pagi dan petang.
- Pada malam Jumaat.
- Sepanjang hari Jumaat.
- Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.
Demikianlah perbincangan ringkas tentang lafaz selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang dapat dikumpulkan berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih, sebagai panduan untuk beramal dengan sunnah dan selawat yang mempunyai sanad yang benar dan sahih daripada Nabi SAW. Wallahu a'lam.
Akhukum, Abu Anas Madani. Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan. 10 Rabiulawal 1434H / 22 Januari 2013M.
Bacaan berkaitan
Rujukan
13 sumber-
Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 43.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 56.
Quran.com -
Sunan an-Nasa'i, no. 1297.
Sunnah.com -
Jami' at-Tirmizi, no. 3546.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 3370.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 6357.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 406.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 3369.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 405.
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 981.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 6358.
Sunnah.com -
Sunan an-Nasa'i, no. 1292.
Sunnah.com -
Ibn Hajar, Fath al-Bari, Kitab ad-Da'awat, bab ash-Shalah 'ala an-Nabi SAW.
