Tulisan: Syeikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: kitab ar-Rahiq al-Makhtum, bab al-Isra’ wa al-Mi‘raj.
Pendahuluan
سُبْحَٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya mendapat berkat dengan diutuskan para nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Al-Isra’: 1)
Peristiwa ini merupakan suatu mukjizat dan kemuliaan bagi Nabi SAW. Oleh yang demikian, banyak kitab yang ditulis mengenainya, namun banyak juga buku yang mencampuradukkan maklumat yang benar dan sahih dengan maklumat yang daif atau palsu.
Untuk menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat, pihak Dartaibah.com telah memilih kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Syeikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah sebagai rujukan dalam memahami dan menghayati peristiwa bersejarah bagi umat ini. Insya-Allah, dalam siri yang lain kami akan memilih kitab lain pula sebagai bahan bacaan dan rujukan umum.
Doakan semoga usaha yang sedikit ini diberkati oleh Allah ‘Azza wa Jalla.
Akhukum, Abu Anas Madani, 6 Rejab 1434H.

Petikan Kitab ar-Rahiq al-Makhtum
Dalam tempoh dakwah Rasulullah SAW yang terus bergerak dan mencapai kejayaan di samping penindasan-penindasan, ketika sayup-sayup kemenangan sudah kedengaran, berlakulah peristiwa Isra’ dan Mi‘raj.
Tarikh Peristiwa
Terdapat khilaf tentang masa berlakunya peristiwa bersejarah ini. Antara pendapat-pendapat tersebut ialah:
- At-Tabari menentukan ia berlaku pada tahun Baginda SAW diutuskan sebagai rasul.
- An-Nawawi dan al-Qurtubi mentarjihkan ia berlaku pada tahun kelima selepas kebangkitan Baginda SAW.
- Al-‘Allamah al-Mansurfuri menetapkannya pada malam 27 Rejab tahun kesepuluh kenabian.
- Pendapat lain mengatakan enam belas bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Ramadan tahun kedua belas kenabian.
- Ada pendapat mengatakan setahun dua bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Muharam tahun ketiga belas kenabian.
- Satu lagi pendapat menyebut setahun sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiulawal tahun ketiga belas kenabian.
Tiga pendapat yang pertama ditolak kerana Saidatina Khadijah r.a. wafat pada bulan Ramadan tahun kesepuluh kenabian dan kewafatan beliau berlaku sebelum solat lima waktu difardukan. Tiada khilaf bahawa solat lima waktu difardukan pada malam Isra’ dan Mi‘raj.
Manakala bagi tiga pendapat yang terakhir, saya sendiri tidak dapat mentarjihkan yang mana satu pun. Namun gaya bahasa surah al-Isra’ menunjukkan bahawa Isra’ itu berlaku pada masa-masa terakhir sebelum hijrah.

Ringkasan Peristiwa Menurut Hadis Sahih
Para imam hadis meriwayatkan huraian lanjut mengenai peristiwa ini; di sini kami memuatkan ringkasannya. Ibnu al-Qayyim berkata:
Rasulullah SAW telah diisra’kan dengan jasadnya dari Masjidil Haram ke Baitulmaqdis dengan menunggang Buraq, ditemani oleh Jibril a.s. Rasulullah SAW singgah di Baitulmaqdis dan mengimami solat para nabi a.s. yang terdahulu dan Buraq ditambat di pintu masjid.
Setelah itu, Rasulullah SAW dimi‘rajkan pada malam yang sama dari Baitulmaqdis ke langit dunia. Jibril meminta supaya pintu langit dibuka, lalu dibukakan. Di sana Rasulullah SAW melihat Adam a.s., bapa sekalian manusia. Baginda memberi salam kepadanya, lalu Adam menjawab salam, mengalu-alukan Baginda dan memperakui kenabian Baginda. Allah SWT memperlihatkan kepada Baginda roh-roh orang yang berbahagia di sebelah kanan Adam dan roh-roh orang yang celaka di sebelah kirinya.
Kemudian Baginda SAW dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s. meminta supaya pintu langit dibuka. Setelah dibuka, didapati di sana Nabi Yahya bin Zakariya dan Nabi ‘Isa bin Maryam a.s. Baginda memberi salam kepada mereka, lalu mereka menjawab salam, mengalu-alukan Baginda dan memperakui kenabian Muhammad SAW.
Setelah itu, Jibril a.s. membawa Rasulullah SAW ke langit ketiga. Di sana mereka bertemu Nabi Yusuf a.s. Setelah salam diberi dan dijawab, Baginda SAW dialu-alukan dan diperakui kenabiannya.
Seterusnya Rasulullah SAW dibawa ke langit keempat. Di sana mereka berjumpa Nabi Idris a.s. Rasulullah memberi salam kepadanya dan beliau menjawabnya. Baginda SAW dialu-alukan dan diperakui kenabiannya.
Selepas itu, Baginda SAW dibawa ke langit kelima. Di sana Baginda SAW bertemu Nabi Harun bin ‘Imran a.s. Baginda SAW memberi salam lalu dijawab, dialu-alukan dan diperakui kenabiannya.
Kemudian Baginda SAW dimi‘rajkan ke langit keenam. Di sana Baginda SAW bertemu Musa bin ‘Imran a.s. Baginda SAW memberi salam lalu dijawab, dialu-alukan dan diperakui kenabiannya. Ketika Rasulullah SAW hendak berlalu, Musa menangis. Lalu ditanya kepada Musa a.s.: “Apakah yang membuatmu menangis?” Jawab Musa a.s.: “Aku menangis kerana seorang pemuda yang diutuskan selepasku, umatnya yang memasuki syurga lebih ramai daripada umatku.”
Seterusnya Rasulullah SAW dimi‘rajkan ke langit ketujuh. Di sana Baginda SAW menemui Ibrahim a.s. Setelah salam diberi dan dijawab, Baginda SAW dialu-alukan dan diperakui kenabiannya. Sesudah itu, Baginda SAW dinaikkan ke Sidratul Muntaha dan diperlihatkan al-Bait al-Ma‘mur.
Akhirnya, Baginda SAW dimi‘rajkan ke hadrat Allah al-Jabbar Jalla Jalaluh. Baginda SAW didekatkan sehingga jaraknya sekadar dua hujung busur panah atau lebih dekat lagi. Lalu Allah mewahyukan kepada hamba-Nya apa yang diwahyukan dan memfardukan ke atas Baginda SAW lima puluh waktu solat. Baginda SAW pun turun dan di pertengahan jalan Baginda SAW melalui Musa bin ‘Imran a.s. yang bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Dengan apa engkau diperintahkan?”
Jawab Baginda SAW: “Aku difardukan lima puluh waktu solat.”
Kata Musa a.s.: “Umatmu tidak akan mampu. Kembalilah kepada Tuhanmu dan pohonlah keringanan untuk umatmu.”
Baginda SAW berpaling kepada Jibril a.s. seolah-olah meminta pandangannya, lalu Jibril a.s. memberi isyarat bersetuju jika Baginda mahu. Jibril a.s. pun membawa Baginda naik semula ke hadrat Allah Rabbul Jalil, lalu Allah SWT mengurangkan sepuluh waktu. Kemudian Baginda SAW turun dan sekali lagi Baginda SAW melalui Musa a.s. lalu menceritakan apa yang berlaku.
Musa a.s. sekali lagi menasihati: “Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah agar dikurangkan lagi.” Demikianlah Rasulullah SAW berulang-alik antara Allah Rabbul Jalil dan Musa a.s., sehingga Allah SWT mengurangkannya menjadi lima waktu solat sahaja. Musa a.s. masih menyuruh Baginda kembali meminta keringanan, tetapi Rasulullah SAW bersabda: “Aku sudah malu kepada Tuhanku. Aku reda dan menerima (perintah-Nya).” Setelah Baginda berlalu, terdengar seruan: “Aku telah menguatkuasakan fardu-Ku dan meringankan (beban) hamba-hamba-Ku.”
Isu Melihat Allah
Ibnu al-Qayyim turut mengemukakan khilaf tentang penglihatan Rasulullah SAW terhadap Tuhannya, kemudian beliau membawakan perbincangan Ibnu Taimiyah tentang tajuk ini. Kesimpulan kajian tersebut: penglihatan Rasulullah SAW dengan mata kepala tidak sabit sama sekali dan pendapat ini tidak pernah dikatakan oleh seorang sahabat pun. Adapun apa yang dinukilkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a., iaitu Baginda melihat-Nya secara mutlak dan melihat-Nya dengan hati, maka riwayat pertama tidak menafikan riwayat kedua.
Seterusnya beliau menyebut lagi tentang firman Allah SWT dalam surah an-Najm (ayat 8):
ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّىٰ
Maksudnya: “Kemudian ia mendekat, lalu ia turun lebih dekat lagi.”
Pendekatan dalam ayat ini bukan pendekatan yang disebut dalam kisah Isra’ dan Mi‘raj. Yang disebut dalam surah an-Najm ialah Jibril a.s. yang mendekat dan menghampiri, sebagaimana ditegaskan oleh ‘Aisyah dan Ibnu Mas‘ud r.a. dan susunan ayatnya juga menunjukkan demikian. Manakala pendekatan dalam hadis Isra’ dinisbahkan dengan terang kepada Tuhan Rabbul Jalil. Maka tiada pertentangan. Yang disebut dalam surah an-Najm ialah Baginda melihatnya sekali lagi di Sidratul Muntaha dan yang dilihat itu ialah Jibril a.s.; Nabi SAW melihatnya dalam rupa asalnya dua kali, sekali di bumi dan kali kedua di Sidratul Muntaha. Wallahu a‘lam.
Antara Perkara Yang Disaksikan
Peristiwa pembedahan dada Rasulullah SAW juga berlaku pada kali ini.
Dalam peristiwa Isra’ dan Mi‘raj ini, Baginda SAW menyaksikan pelbagai perkara:
Dipersembahkan kepada Baginda SAW susu dan arak, lalu Baginda SAW memilih susu. Maka dikatakan kepada Baginda SAW: “Engkau telah diberi petunjuk kepada fitrah – atau engkau telah menepati fitrah. Sekiranya engkau mengambil arak, nescaya sesatlah umatmu.”
Baginda melihat empat sungai di dalam syurga: dua sungai zahir dan dua sungai batin. Dua sungai zahir ialah Nil dan Furat. Maksudnya, risalah yang dibawa Baginda akan bertapak di lembah-lembah subur Nil dan Furat dan penduduknya akan menjadi pendukung Islam dari generasi ke generasi; bukanlah bererti airnya mengalir dari syurga.
Baginda SAW juga melihat Malik, penjaga neraka, yang tidak pernah tersenyum dan tiada sedikit pun tanda mesra pada wajahnya. Baginda SAW juga melihat syurga dan neraka.
Baginda menyaksikan pemakan harta anak yatim secara zalim; bibir mereka seperti bibir unta, dilontarkan ke dalam mulut mereka ketulan-ketulan api neraka seperti batu-batu besar, lalu keluar melalui dubur mereka.
Baginda menyaksikan pemakan riba dengan perut yang besar sehingga mereka tidak berupaya bergerak dari tempat mereka dan pengikut Firaun melalui mereka ketika dibawa ke neraka lalu memijak-mijak mereka.
Baginda melihat penzina-penzina; di hadapan mereka diletakkan daging yang elok lagi segar di samping daging yang buruk lagi busuk, namun mereka memilih memakan yang busuk dan meninggalkan yang segar. Baginda SAW juga menyaksikan wanita-wanita yang menisbahkan kepada suami mereka anak yang bukan daripada suami mereka; mereka digantung pada payudara-payudara mereka.
Baginda SAW juga melihat kafilah unta penduduk Makkah ketika pergi dan pulang. Baginda SAW menunjukkan kepada mereka seekor unta mereka yang hilang dan Baginda SAW meminum air dari bekas mereka yang bertutup ketika mereka sedang tidur, kemudian menutupnya kembali. Kejadian ini menjadi bukti kebenaran peristiwa Isra’ dan Mi‘raj yang diceritakan oleh Rasulullah SAW.
Ibnu al-Qayyim berkata: Setelah Rasulullah SAW berada dalam kalangan kaumnya pada pagi hari dan menceritakan kepada mereka tanda-tanda agung (al-ayat al-kubra) yang Allah perlihatkan kepada Baginda, semakin keraslah pendustaan kaum Quraisy, semakin bengis mereka menyakiti Baginda dan mereka semakin melampau. Mereka meminta Rasulullah SAW menggambarkan Baitulmaqdis, lalu Allah memperlihatkan Baitulmaqdis kepada Baginda sehingga terbentang di hadapan mata Baginda. Rasulullah SAW pun menceritakan segala tandanya kepada mereka sehingga mereka tidak mampu menyangkalnya. Baginda SAW juga menceritakan tentang kafilah unta mereka semasa Baginda pergi dan pulang, menyebut waktu ketibaannya dan menyifatkan unta yang mendahului kafilah itu. Semuanya benar seperti yang Baginda ceritakan, namun mereka semakin angkuh dan ingkar; sesungguhnya orang-orang yang zalim itu enggan melainkan kekufuran.
Abu Bakar r.a. digelar as-Siddiq kerana beliau membenarkan peristiwa Isra’ dan Mi‘raj ketika ramai manusia mendustakannya.
Hikmah dan Pengajaran
{…agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami} (al-Isra’: 1).
Inilah sunnatullah terhadap para nabi-Nya, sebagaimana penegasan Allah tentang Ibrahim a.s.:
وَكَذَٰلِكَ نُرِىٓ إِبْرَٰهِيمَ مَلَكُوتَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ ٱلْمُوقِنِينَ
“Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah ia daripada orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.” (Al-An‘am: 75)
Dan firman Allah SWT kepada Musa a.s.:
لِنُرِيَكَ مِنْ ءَايَٰتِنَا ٱلْكُبْرَى
“(Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.” (Taha: 23)
Tujuan perjalanan ini dijelaskan dengan firman-Nya: “…dan supaya menjadilah ia daripada orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin” (al-An‘am: 75).
Setelah ilmu para nabi berdiri di atas penyaksian tanda-tanda agung (al-ayat al-kubra) tersebut, mereka memperoleh ‘ain al-yaqin (keyakinan melalui penyaksian) yang tidak dapat dinilai kadarnya, kerana khabar tidak sama dengan penyaksian mata. Hasilnya, mereka mampu menanggung beban dakwah yang tidak mampu ditanggung oleh orang lain dan seluruh kekuatan dunia di mata mereka hanya seperti sayap nyamuk. Kerana itu, mereka tidak menghiraukan segala pancaroba dan ancaman terhadap mereka.
Adapun hikmah dan rahsia perjalanan agung ini secara terperinci merupakan bahasan kitab-kitab hikmah syariat. Namun ada beberapa fakta ringkas yang terpancar daripada perjalanan mulia ini, yang membekalkan siraman subur kepada sirah Rasulullah SAW, yang saya kira patut dirakamkan sebahagiannya di sini.
Pembaca mendapati bahawa dalam surah al-Isra’, Allah SWT menceritakan kisah Isra’ hanya dalam satu ayat, kemudian Allah SWT mendedahkan keburukan Yahudi dan jenayah-jenayah mereka, lalu memperingatkan bahawa al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang paling lurus. Mungkin pembaca menyangka tiada kaitan antara ayat-ayat ini. Hakikatnya tidak demikian. Dengan susunan ini, Allah SWT mengisyaratkan bahawa Isra’ berlaku ke Baitulmaqdis kerana kaum Yahudi akan dilucutkan daripada kepimpinan umat manusia, lantaran kesalahan dan jenayah-jenayah yang mereka lakukan sehingga tiada lagi peluang bagi mereka untuk terus menyandang tugas itu. Allah SWT akan memindahkan tugas itu kepada Rasul-Nya SAW dan menghimpunkan kedua-dua pusat dakwah Ibrahim a.s. di tangan Baginda.
Memang sudah tiba masanya kepimpinan rohani berpindah daripada satu umat kepada umat yang lain: daripada umat yang sejarahnya penuh dengan penipuan, pengkhianatan, dosa dan permusuhan, kepada umat yang melimpah dengan kebaikan, yang rasulnya terus menerima wahyu al-Quran yang membimbing ke arah jalan yang paling lurus. Tetapi bagaimana pemindahan ini boleh berlaku sedangkan Rasul-Nya masih diburu di bukit-bukau Makkah?
Persoalan ini menyingkap persoalan lain pula, iaitu bahawa satu tahap dakwah Islam hampir berakhir dan lengkap dan akan bermula satu tahap lain yang amat berbeza daripada yang pertama. Kerana itu kita melihat sesetengah ayat mengandungi peringatan yang keras dan ancaman yang berat kepada kaum musyrikin:
وَإِذَآ أَرَدْنَآ أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا۟ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا ٱلْقَوْلُ فَدَمَّرْنَٰهَا تَدْمِيرًا وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنَ ٱلْقُرُونِ مِنۢ بَعْدِ نُوحٍ ۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرًۢا بَصِيرًا
“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan dalam kalangan mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan dosa-dosa hamba-Nya.” (Al-Isra’: 16–17)
Di samping ayat-ayat ini, terdapat ayat-ayat lain yang menerangkan kepada kaum muslimin asas dan tonggak tamadun serta prinsip-prinsip yang menjadi dasar masyarakat Islam, seolah-olah mereka telah bermastautin di sebuah bumi dan menguasai seluruh urusannya, membentuk satu kesatuan yang kemas sebagai paksi masyarakat. Ini isyarat bahawa Rasulullah SAW akan memperoleh tempat perlindungan dan keamanan, tempat urusan Baginda bertapak dan menjadi markas penyebaran dakwah Baginda. Inilah antara rahsia perjalanan yang mulia lagi berkat itu. Pembicaraan ini ada kaitan dengan topik kajian kami, maka kami membicarakannya di sini. Atas dasar itu juga, kami berpandangan bahawa Isra’ berlaku sebelum Baiah ‘Aqabah yang pertama atau antara dua Baiah ‘Aqabah. Wallahu a‘lam.
Bacaan berkaitan
Rujukan
6 sumber-
Al-Quran, Surah al-Isra' (17): 1.
Quran.com -
Safiyyurrahman al-Mubarakfuri, ar-Rahiq al-Makhtum, bab al-Isra' wa al-Mi'raj.
Maktabah Syamilah -
Al-Quran, Surah an-Najm (53): 8.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-An'am (6): 75.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Taha (20): 23.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Isra' (17): 16–17.
Quran.com
