Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Sirah & Tokoh

Tarikh Israk dan Mikraj

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 29 Mei 2012 · 4 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Pendahuluan

Israk dan Mikraj adalah dua mukjizat yang berlaku kepada Nabi SAW dengan yakin dan tidak syak lagi.

Israk dan Mikraj adalah satu peristiwa khusus yang benar-benar berlaku pada diri Rasulullah SAW sahaja. Kebenarannya telah disaksikan oleh al-Quran, al-Hadis dan kenyataan sejarah.

Firman Allah Taala:

﴿سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ﴾

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." [Surah al-Isra': 1]

Apa yang dibincangkan di sini ialah bilakah tarikh berlakunya peristiwa besar ini.

Pandangan Ulama

Di bawah ini dinukilkan beberapa pandangan ulama tentang tarikh ini.

a. Petikan daripada buku Israk dan Mikraj Menurut Keterangan al-Quran dan Hadis (hlm. 15–16)

Kulit buku Israk dan Mikraj Menurut Keterangan Al-Qur'an dan Hadis karya Dr. Ismail Lutfi
Israk dan Mikraj Menurut Keterangan al-Quran dan Hadis, karya Dr. Ismail Lutfi.

"Ramai ulama Islam berpendapat bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku satu tahun sebelum hijrah, iaitu pada tahun kedua belas kenabian.

1. Sebaik-baik riwayat mengenai berlakunya Israk dan Mikraj ialah pada bulan Rabiulawal, di mana Ibn Abbas dan Jabir r.a. kedua-duanya berkata:

وُلِدَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَامَ الْفِيلِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ الثَّانِيَ عَشَرَ مِنْ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ، وَفِيهِ بُعِثَ، وَفِيهِ عُرِجَ بِهِ إِلَى السَّمَاءِ، وَفِيهِ هَاجَرَ، وَفِيهِ مَاتَ

Maksudnya: "Rasulullah SAW diputerakan pada Tahun Gajah, hari Isnin, dua belas Rabiulawal. Pada hari itu Baginda dibangkitkan menjadi Rasul, pada hari itu Baginda dinaikkan ke langit (Mikraj), pada hari itu Baginda berhijrah dan pada hari itu Baginda wafat." [Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Mushannaf dan al-Jauraqani dalam al-Abathil. Lihat Tarikh Maulid an-Nabi SAW tulisan ath-Tharhuni]

Itulah pendapat kebanyakan ulama muhaqqiqin, seperti az-Zuhri dan itulah pendapat yang rajih. Wallahu a'lam.

[Nota penyunting: Riwayat Ibn Abbas dan Jabir di atas dinilai oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa an-Nihayah sebagai sanad yang terputus (munqathi') dan al-Jauraqani memuatkannya dalam kitabnya tentang hadis-hadis batil. Nisbah pendapat ini kepada az-Zuhri juga perlu diperhalusi, kerana menurut nukilan Ibn Hajar di bawah, az-Zuhri berpendapat Israk berlaku lima tahun sebelum hijrah.]

2. Pendapat yang masyhur di kalangan orang ramai, walaupun tidak sahih sanadnya bahkan dianggap dusta oleh sesetengah ulama hadis, ialah Israk dan Mikraj berlaku pada malam dua puluh tujuh (27) bulan Rejab. [Lihat al-Bidayah wa an-Nihayah, 3/109 dan Fath al-Bari]

Berkata Ibn Kathir (wafat 774H): "Adapun sangkaan sesetengah orang bahawa peristiwa Israk berlaku pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, iaitu malam yang dikenali sebagai malam ar-Ragha'ib yang direka padanya solat ar-Ragha'ib yang masyhur itu, pendapat itu tidak ada asal dan dalil baginya." [Lihat al-Bidayah wa an-Nihayah, 3/109]

Solat ar-Ragha'ib ini adalah bidaah yang sangat keji dan diingkari oleh ulama Islam seperti Imam an-Nawawi (wafat 676H) dan as-Suyuti. [Lihat Syarh Shahih Muslim, 8/20 dan al-Amr bi al-Ittiba' wa an-Nahy 'an al-Ibtida', hlm. 167]

3. Berkata Abu Syamah (wafat 665H) dan Ibn Hajar al-'Asqalani (wafat 852H): "Sesetengah tukang cerita menyebut bahawa Israk berlaku pada bulan Rejab. Pendapat ini adalah dusta." [al-Ba'ith 'ala Inkar al-Bida' wa al-Hawadith, hlm. 71 dan Tabyin al-'Ajab bima Warada fi Fadhl Rajab, hlm. 11]"

b. Daripada kitab ar-Rahiq al-Makhtum

Kulit buku Perjalanan Hidup Rasul Yang Agung Muhammad, terjemahan ar-Rahiq al-Makhtum karya Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri
Edisi terjemahan ar-Rahiq al-Makhtum karya Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri.

"Dalam tempoh dakwah Rasulullah SAW yang terus bergerak dan mencapai kejayaan di samping penindasan-penindasan, ketika kemenangan sayup-sayup sudah mula kelihatan, berlakulah peristiwa Israk dan Mikraj.

Terdapat khilaf dalam menentukan masa berlakunya peristiwa bersejarah ini. Di antara pendapat-pendapat itu ialah:

  1. Ath-Thabari menentukan ia berlaku pada tahun Baginda dibangkitkan menjadi rasul.
  2. An-Nawawi dan al-Qurtubi mentarjihkan ia berlaku pada tahun kelima kenabian.
  3. Al-'Allamah al-Manshurfuri menetapkannya pada malam ke-27 Rejab, tahun kesepuluh kenabian.
  4. Pendapat lain mengatakan enam belas bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Ramadan tahun kedua belas kenabian.
  5. Ada pendapat mengatakan setahun dua bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Muharam tahun ketiga belas kenabian.
  6. Satu lagi pendapat menyebut ia berlaku setahun sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiulawal tahun ketiga belas kenabian.

Tiga pendapat yang awal (1, 2 dan 3 di atas) ditolak, kerana Sayyidatina Khadijah r.a. telah wafat pada bulan Ramadan tahun kesepuluh kenabian, sebelum solat lima waktu difardukan dan tiada khilaf bahawa solat difardukan pada malam berlakunya Israk dan Mikraj itu.

Manakala tiga pendapat terakhir (4, 5 dan 6 di atas), saya sendiri (Syeikh al-Mubarakfuri) tidak dapat mentarjihkan mana-mana satu pun. Namun gaya bahasa Surah al-Isra' menunjukkan Israk itu berlaku pada masa-masa terakhir sebelum hijrah."

c. Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan lebih daripada sepuluh pendapat ulama tentang penentuan tarikh ini

Ringkasnya, Ibn Hajar menyebut bahawa majoriti ulama berpendapat Mikraj berlaku selepas kenabian, kemudian mereka berselisih tentang masanya kepada lebih daripada sepuluh pendapat: setahun sebelum hijrah (Ibn Sa'd dan inilah yang dipastikan oleh an-Nawawi), lapan bulan, enam bulan, sebelas bulan, setahun dua bulan, setahun tiga bulan, setahun lima bulan, lapan belas bulan, tiga tahun dan lima tahun sebelum hijrah (dinukil daripada az-Zuhri). Beliau juga menolak dakwaan Ibn Hazm bahawa telah berlaku ijmak tentangnya.

فتح الباري لابن حجر – كتاب مناقب الأنصار، باب المعراج (المكتبة الشاملة، ج 11 / ص 215):

وَقَدِ اخْتُلِفَ فِي وَقْتِ الْمِعْرَاجِ، فَقِيلَ: كَانَ قَبْلَ الْمَبْعَثِ، وَهُوَ شَاذٌّ إِلَّا إِنْ حُمِلَ عَلَى أَنَّهُ وَقَعَ حِينَئِذٍ فِي الْمَنَامِ كَمَا تَقَدَّمَ. وَذَهَبَ الْأَكْثَرُ إِلَى أَنَّهُ كَانَ بَعْدَ الْمَبْعَثِ. ثُمَّ اخْتَلَفُوا: فَقِيلَ قَبْلَ الْهِجْرَةِ بِسَنَةٍ، قَالَهُ ابْنُ سَعْدٍ وَغَيْرُهُ، وَبِهِ جَزَمَ النَّوَوِيُّ، وَبَالَغَ ابْنُ حَزْمٍ فَنَقَلَ الْإِجْمَاعَ فِيهِ، وَهُوَ مَرْدُودٌ؛ فَإِنَّ فِي ذَلِكَ اخْتِلَافًا كَثِيرًا يَزِيدُ عَلَى عَشَرَةِ أَقْوَالٍ. مِنْهَا مَا حَكَاهُ ابْنُ الْجَوْزِيِّ أَنَّهُ كَانَ قَبْلَهَا بِثَمَانِيَةِ أَشْهُرٍ، وَقِيلَ بِسِتَّةِ أَشْهُرٍ، وَحَكَى هَذَا الثَّانِيَ أَبُو الرَّبِيعِ بْنُ سَالِمٍ، وَحَكَى ابْنُ حَزْمٍ مُقْتَضَى الَّذِي قَبْلَهُ لِأَنَّهُ قَالَ: كَانَ فِي رَجَبٍ سَنَةَ اثْنَتَيْ عَشْرَةَ مِنَ النُّبُوَّةِ. وَقِيلَ بِأَحَدَ عَشَرَ شَهْرًا، جَزَمَ بِهِ إِبْرَاهِيمُ الْحَرْبِيُّ حَيْثُ قَالَ: كَانَ فِي رَبِيعٍ الْآخِرِ قَبْلَ الْهِجْرَةِ بِسَنَةٍ، وَرَجَّحَهُ ابْنُ الْمُنَيِّرِ فِي شَرْحِ السِّيرَةِ لِابْنِ عَبْدِ الْبَرِّ. وَقِيلَ قَبْلَ الْهِجْرَةِ بِسَنَةٍ وَشَهْرَيْنِ، حَكَاهُ ابْنُ عَبْدِ الْبَرِّ. وَقِيلَ قَبْلَهَا بِسَنَةٍ وَثَلَاثَةِ أَشْهُرٍ، حَكَاهُ ابْنُ فَارِسٍ. وَقِيلَ بِسَنَةٍ وَخَمْسَةِ أَشْهُرٍ، قَالَهُ السُّدِّيُّ وَأَخْرَجَهُ مِنْ طَرِيقِهِ الطَّبَرِيُّ وَالْبَيْهَقِيُّ، فَعَلَى هَذَا كَانَ فِي شَوَّالٍ، أَوْ فِي رَمَضَانَ عَلَى إِلْغَاءِ الْكَسْرَيْنِ مِنْهُ وَمِنْ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ، وَبِهِ جَزَمَ الْوَاقِدِيُّ، وَعَلَى ظَاهِرِهِ يَنْطَبِقُ مَا ذَكَرَهُ ابْنُ قُتَيْبَةَ وَحَكَاهُ ابْنُ عَبْدِ الْبَرِّ أَنَّهُ كَانَ قَبْلَهَا بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ شَهْرًا، وَعِنْدَ ابْنِ سَعْدٍ عَنِ ابْنِ أَبِي سَبْرَةَ أَنَّهُ كَانَ فِي رَمَضَانَ قَبْلَ الْهِجْرَةِ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ شَهْرًا. وَقِيلَ كَانَ فِي رَجَبٍ، حَكَاهُ ابْنُ عَبْدِ الْبَرِّ وَجَزَمَ بِهِ النَّوَوِيُّ فِي الرَّوْضَةِ. وَقِيلَ قَبْلَ الْهِجْرَةِ بِثَلَاثِ سِنِينَ، حَكَاهُ ابْنُ الْأَثِيرِ. وَحَكَى عِيَاضٌ وَتَبِعَهُ الْقُرْطُبِيُّ وَالنَّوَوِيُّ عَنِ الزُّهْرِيِّ أَنَّهُ كَانَ قَبْلَ الْهِجْرَةِ بِخَمْسِ سِنِينَ، وَرَجَّحَهُ عِيَاضٌ وَمَنْ تَبِعَهُ، وَاحْتَجَّ بِأَنَّهُ لَا خِلَافَ أَنَّ خَدِيجَةَ صَلَّتْ مَعَهُ بَعْدَ فَرْضِ الصَّلَاةِ، وَلَا خِلَافَ أَنَّهَا تُوُفِّيَتْ قَبْلَ الْهِجْرَةِ إِمَّا بِثَلَاثٍ أَوْ نَحْوِهَا وَإِمَّا بِخَمْسٍ، وَلَا خِلَافَ أَنَّ فَرْضَ الصَّلَاةِ كَانَ لَيْلَةَ الْإِسْرَاءِ.

Akhukum, Abu Anas Madani. Pondok Sungai Durian, 8 Rejab 1433H.

Bacaan berkaitan

Rujukan

7 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Isra' (17): 1.

    Quran.com
  2. Ibn Abi Syaibah, al-Mushannaf; al-Jauraqani, al-Abathil wa al-Manakir — athar Jabir dan Ibn Abbas tentang 12 Rabiulawal.

  3. Ibn Kathir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 3/109.

  4. An-Nawawi, Syarh Shahih Muslim, 8/20.

  5. Abu Syamah, al-Ba'ith 'ala Inkar al-Bida' wa al-Hawadith, hlm. 71; Ibn Hajar, Tabyin al-'Ajab bima Warada fi Fadhl Rajab, hlm. 11.

  6. Shafiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri, ar-Rahiq al-Makhtum, bab al-Isra' wa al-Mi'raj.

  7. Ibn Hajar, Fath al-Bari, Kitab Manaqib al-Ansar, bab al-Mi'raj (Maktabah Syamilah 11/215).

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Sirah & Tokoh Kenali Imam Abu Mansur Al-Maturidi Rahimahullah 25 Nov 2025 Sirah & Tokoh Kenali Imam Ad-Darimi Rahimahullah – Pengumpul Sunnah Nabi ﷺ 25 Nov 2025 Sirah & Tokoh Keislaman ‘Umar RA: Doa Nabi, Dentuman Hidayah & Gelaran al-Fārūq 26 Okt 2025 Sirah & Tokoh Kisah Taubat Ikrimah bin Abu Jahal RA 29 Sep 2025