Wawancara bersama Dr. Abu Anas Madani.
Soalan Pertama: Dalil Hukum Mendengar Lagu
Manusia memerlukan hiburan dalam kehidupan seharian. Namun dalam memilih hiburan yang ada pada hari ini, manusia kerap kali terjerumus ke dalam perkara-perkara yang haram. Hal ini termasuklah dalam memilih lagu-lagu nasyid. Apakah dalil-dalil yang menyebut tentang hukum mendengar lagu dalam Islam?
Jawapan:
Islam merupakan agama yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Tidak ada satu pun ajaran Islam yang bertentangan atau tidak sesuai untuk dijadikan amalan dalam kehidupan kita.
Manusia sebagai makhluk yang dianugerahkan Allah SWT dengan naluri kejiwaan dan perasaan sememangnya memerlukan sesuatu yang boleh memberi ketenangan, kerehatan minda dan keseronokan. Sehubungan dengan itu, hiburan melalui nyanyian telah menjadi salah satu medan atau platform yang paling popular untuk memenuhi tuntutan tersebut.
Islam sama sekali tidak mengharamkan hiburan, kerana ia merupakan salah satu keperluan dalam diri manusia. Namun persoalannya, apakah bentuk nyanyian atau muzik yang menepati syariat Islam pada masa kini?
Mendengar lagu nasyid tanpa diiringi alat muzik adalah dibenarkan, sebagaimana jelas daripada nas-nas yang menunjukkan keharusannya. Telah sabit (sahih) bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat mendengar nasyid dan syair ketika bermusafir dan ketika berada di Madinah, ketika bekerja dan juga waktu rehat, sama ada secara perseorangan seperti nasyid Hassan, ‘Amir bin al-Akwa‘, Anjasyah dan Bilal r.a., mahupun secara beramai-ramai sebagaimana yang dikhabarkan oleh Anas r.a. dalam peristiwa menggali parit (Khandaq).
Adapun mendengar lagu (nyanyian) yang diiringi alat-alat muzik, ulama berbeza pendapat tentangnya.
Pendapat Pertama: Haram
Jumhur (majoriti) ulama silam – termasuk ulama-ulama mazhab Syafie – mengharamkannya, dikecualikan duf (rebana/kompang). Antara dalil mereka:
- Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu ‘Amir atau Abu Malik al-Asy‘ari r.a.: “Akan ada dalam kalangan umatku kaum-kaum yang menghalalkan zina, sutera, arak dan alat-alat muzik.” (Riwayat al-Bukhari, no. 5590.) Ini adalah mukjizat Rasulullah SAW; memang ramai sungguh orang yang menyukainya.
- Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya akan ada manusia dalam kalangan umatku yang meminum arak dengan menamakannya dengan nama lain; dimainkan alat-alat muzik dan penyanyi-penyanyi wanita di atas kepala mereka…” (Riwayat Ibn Majah, no. 4020 daripada Abu Malik al-Asy‘ari r.a.; dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani.) Hadis di atas menyentuh alat-alat muzik secara umum.
- Hadis yang secara khusus menyebut alat muzik tertentu: daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As r.a. bahawa “Rasulullah SAW melarang arak, judi, al-kubah (sejenis gendang) dan al-ghubaira’ (tuak jagung/gandum) dan Baginda bersabda: Setiap yang memabukkan adalah haram.” (Riwayat Abu Dawud, no. 3685 dan Ahmad; dinilai sahih oleh al-Albani.) Dalam lafaz yang lain: “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas umatku arak, judi, al-mizr (tuak gandum), al-kubah (gendang) dan al-qinnin (sejenis alat muzik bertali).” (Riwayat Ahmad)
- Selain dalil-dalil di atas, realiti juga menunjukkan bahawa banyak menggunakan dan mendengar alat-alat bunyian (muzik) telah menjadi adat dan kebiasaan orang-orang fasik (yang suka melakukan maksiat dan tidak menjaga agama).
Pendapat Kedua: Harus Dengan Syarat
Namun sebahagian ulama mengharuskan alat-alat bunyian atau muzik dalam sebarang bentuk dan bunyi selagi ia tidak bercampur dengan perlakuan-perlakuan yang haram, seperti minum arak, percampuran lelaki dan wanita, nyanyian yang bercanggah dengan agama (seperti memuja wanita dan yang membangkitkan syahwat) dan selagi tidak melalaikan ibadah dan tanggungjawab.
Antara mereka (menurut nukilan para pendukung pendapat ini) ialah sahabat Nabi SAW ‘Abdullah bin Ja‘far dan ‘Abdullah bin az-Zubair, Imam Malik, Tawus, Sa‘d bin Ibrahim az-Zuhri (seorang tabiin), ‘Abd al-‘Aziz bin Salamah al-Majisyun, Imam Abu Bakar Ibn al-‘Arabi, Imam Ibn Hazm dan lain-lain. (Nota: nisbah pendapat ini kepada Imam Malik dipertikaikan; riwayat yang masyhur daripada beliau ialah celaan terhadap nyanyian.)
Hujah mereka ialah tidak ada dalil yang benar-benar jelas dan nyata menyebut pengharaman alat-alat bunyian atau muzik tersebut.
Jika ada sekalipun, umpamanya hadis riwayat Imam al-Bukhari di atas (yang dikemukakan oleh jumhur tadi), ia kerana bercampur dengan arak, zina dan sebagainya yang jelas dilarang, bukan semata-mata kerana alat bunyian atau muzik. Maka jika alat-alat bunyian atau muzik itu bebas daripada unsur-unsur haram tersebut, ia kembali kepada hukum asalnya, iaitu harus. Menurut mereka, walaupun banyak hadis dikemukakan oleh ulama yang melarang alat-alat bunyian, hadis-hadis tersebut tidak sunyi daripada kecacatan; ia berlegar antara daif dan maudhuk (palsu) dan tidak harus dijadikan hujah, terutama untuk mengharamkan sesuatu, kerana telah disepakati ulama bahawa pengharaman mesti berdasarkan dalil yang sahih. Sebagai contoh, hadis riwayat Abu Dawud di atas: dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama al-Walid bin ‘Abdah yang dikatakan majhul (tidak dikenali). Berkata Imam Ibn Hazm: “Tidak ada sebarang hadis sahih yang mengharamkan nyanyian dan alat-alat bunyian. Semuanya maudhuk (palsu).”
Ramai ulama semasa cenderung kepada pandangan kedua ini, iaitu muzik adalah harus selagi tidak bercampur dengan perkara-perkara haram dan tidak melalaikan daripada ibadah dan tanggungjawab. Begitu juga hukum nyanyian yang hari ini tidak dapat dipisahkan daripada muzik. Antara mereka ialah Dr. Yusuf al-Qaradawi (rujuk kitab beliau al-Halal wa al-Haram fi al-Islam), Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Mufti Mesir ketika itu, Dr. ‘Ali Jum‘ah (lihat himpunan fatwanya, al-Kalim at-Tayyib: Fatawa ‘Asriyyah, hlm. 452).
Perhatian
Sebagai penuntut ilmu yang cintakan kebenaran, kita tidak sepatutnya berdiam diri apabila hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dipertikaikan kesahihannya, sedangkan ramai ulama tampil menjelaskan keraguan itu serta mempertahankan kesahihannya.
Demikian juga apa yang diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat mempunyai hamba yang bermain alat muzik; riwayat tersebut adalah batil.
Soalan Kedua: Penentu Hukum Lagu atau Nasyid
Apakah pula yang menjadi penentu kepada hukum lagu ataupun nasyid? Adakah pada liriknya, rentaknya ataupun situasi penyampaiannya?
Jawapan:
Ketiga-tiganya sekali: lagu, lirik dan situasi.
Sebagaimana yang disebutkan tadi, tidak ada ulama yang mengharuskan nyanyian secara mutlak. Keharusan nyanyian adalah bersyarat. Secara ringkas, syarat-syarat utama yang ditetapkan ulama bagi nyanyian yang diharuskan ialah:
- Apa yang diperkatakan dalam nyanyian itu (lirik atau senikatanya) hendaklah menepati ajaran Islam dan adab-adab Islam.
- Cara nyanyian itu dipersembahkan juga penting diperhatikan. Adakalanya senikata lagu tidak bercanggah dengan Islam, tetapi gaya penyanyi mempersembahkannya menimbulkan ghairah orang yang melihat atau membangkitkan nafsu mereka – seperti penyanyi perempuan yang tidak menutup aurat dan bersuara menggoda. Nyanyian sebegitu diharamkan walaupun senikatanya baik.
- Tidak berlebihan hingga melalaikan daripada kewajipan hidup yang sebenar dan lebih utama, seperti mengabaikan solat dan tugas seharian lantaran mengikuti program atau konsert yang dianjurkan.
Soalan Ketiga: Garis Panduan Alat Muzik
Kita melihat terdapat banyak khilaf mengenai garis panduan alat muzik yang diberikan oleh ilmuwan Islam. Ada yang mengatakan gitar dibolehkan. Bagaimana pula dengan penggunaan biola, piano dan dram? Apakah garis panduan bagi alat muzik yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam Islam?
Jawapan:
Terdapat hadis-hadis yang menyebut beberapa jenis alat yang diharamkan, seperti hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad di atas.
Menurut mazhab Syafie: “Diharamkan menggunakan dan mendengar alat-alat bunyian yang menjadi syiar peminum arak, seperti gambus (‘ud), tanbur, sonji (iaitu dua piring tembaga yang dilagakan untuk menghasilkan bunyi), serunai dan sebagainya, serta al-kubah (gendang panjang yang ramping di tengahnya). Setiap alat muzik bertali adalah haram. Diharuskan duf untuk majlis perkahwinan, berkhatan dan sebagainya. Nyanyian tanpa alat bunyian hukumnya makruh dan jika disertai alat-alat bunyian yang haram, hukumnya haram.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, Kitab asy-Syahadat.) Dalam mazhab Syafie, gendang selain al-kubah tidak termasuk dalam larangan ini.
Walaupun ada ulama yang mengharuskan penggunaan alat-alat muzik, meninggalkannya adalah lebih selamat.
Soalan Keempat: Penasyid di Majlis Anugerah Muzik
Merujuk kepada pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi, penggunaan alat muzik dibolehkan bagi tujuan berdakwah. Di negara kita pula, nasyid sekarang sudah dijadikan satu industri; para penasyid diletakkan sebaris dengan para penyanyi lain serta diberikan anugerah dalam majlis-majlis yang turut dipenuhi dengan persembahan yang tiada khilaf tentang keharamannya, seperti Majlis Anugerah Industri Muzik dan lain-lain. Adakah alasan berdakwah kepada para artis boleh diterima apabila para penasyid kita dituntut menghadiri majlis-majlis seperti ini?
Jawapan:
Menghadiri majlis sedemikian menjadikan kita mengiktiraf perbuatan tersebut, sedangkan telah ada larangan daripada meramaikan golongan yang tidak baik. Terdapat juga larangan menyerupai orang kafir atau fasik, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 4031) daripada Ibnu ‘Umar r.a. dengan sanad yang hasan:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai (gaya dan tingkah laku) sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka.”
Alasan hendak berdakwah: apakah bukti kejayaan orang yang telah melakukannya? Sebaliknya yang ada ialah penasyid pula yang terikut-ikut dengan pakaian dan gaya mereka.
Soalan Kelima: Hala Tuju Irama Nasyid
Dalam industri nasyid sekarang, kita melihat irama nasyid kebanyakannya diketengahkan dengan nada yang mendayu-dayu ataupun terlalu rancak seperti irama rap dan hip hop. Ini sangat berbeza dengan tujuan nasyid zaman awal Islam yang menjadi peniup semangat jihad. Apa komen Dr.? Bagaimanakah kita dapat mengembalikan nasyid kepada tujuannya yang asal?
Jawapan:
Memang nasyid kontemporari hari ini sudah hilang arah…
Perkembangan seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Bukan sahaja dari aspek penerimaan masyarakat melalui jualan album, malah kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan tentang hala tuju dan masa depan nasyid di negara kita.
Suatu masa dahulu, nasyid dilihat sebagai satu bentuk seni yang mempunyai identiti tersendiri. Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen Timur Tengah dan Nusantara, menghasilkan kombinasi yang indah serta menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana lagu-lagu Islam di Turki, negara Arab dan Pakistan memakai pakaian budaya tempatan, begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai identiti dan membentuk caranya yang tersendiri.
Selepas menempuh perjalanan masa, unsur-unsur asing mula menyerap masuk ke dalam irama nasyid Malaysia. Jika dahulu kebanyakan nasyid menampilkan rentak, lirik dan persembahan yang dekat dengan persekitaran Melayu, kini unsur-unsur yang lazimnya dikaitkan dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan “nasyid kontemporari” yang bernada reggae, blues, hip hop dan rock.
Hujahnya ialah ingin mencari kelainan.
Perubahan sedemikian rupa berlaku atas beberapa faktor, antaranya desakan untuk menghasilkan kelainan. Setiap album nasyid yang mahu dipertaruhkan di pasaran perlu berhempas pulas memikirkan elemen baharu dan unik demi menarik perhatian pendengar, seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian jualan album yang memberangsangkan.
Untuk mencapai matlamat tersebut, senikata yang diucapkan menjadi janggal dengan iramanya, contohnya apabila menyebut asma’ Allah dan sifat-Nya atau Rasulullah SAW dan selawat ke atas Baginda, demikian juga zikir. Semua ini kadangkala menyakitkan telinga orang yang beriman kerana bimbang berlaku kesalahan dari sudut akidah.
Selain itu, nasyid telah menjadi terlalu komersial…
Soalan Keenam: Wanita dan Nasyid
Tidak kurang juga kita melihat wanita Islam semakin menonjolkan diri dalam bidang nasyid di khalayak ramai. Adakah ia dibenarkan dalam Islam hanya dengan memakai pakaian yang menutup aurat? Bagaimanakah sebenarnya kedudukan suara wanita dalam Islam?
Jawapan:
Pakaian sebahagian ahli nasyid, bahkan penceramah wanita, tidak memenuhi etika berpakaian. Oleh itu, pakaian artis, khususnya wanita, perlu diberi nafas baharu. Islam menerima perkembangan fesyen dan perhiasan asalkan tidak melanggar batasan syarak. Imej yang seksi dan menggoda tidak mencerminkan anutan agama Islam dan budaya ketimuran. Soal aurat dalam Islam tiada kompromi; bagi mengharuskan nyanyian, persembahan atau ceramah, kewajipan menutup aurat amat penting. Begitu juga persembahan dan pergaulan antara artis lelaki dan wanita perlu ada batasan. Sebarang bentuk sentuhan, pelukan dan geselan perlu dielakkan.
Aspek persekitaran juga menjadi kayu pengukur bagi mengharuskan sesuatu persembahan atau konsert. Kedudukan penonton yang diasingkan antara lelaki, wanita dan yang berkeluarga adalah sangat baik dan bertepatan dengan budaya Islam.
Ini dapat membantu mengelakkan berlakunya sebarang bentuk maksiat serta pergaulan bebas sewaktu konsert berlangsung. Keadaan bersesak-sesak dan melompat menari antara lelaki dan wanita adalah salah di sisi agama.
Kesesuaian waktu dan kemudahan tempat juga penting supaya penonton tidak mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap tiang agama.
Berkaitan hukum nyanyian bersama wanita, Islam telah meletakkan disiplin yang jelas tanpa sebarang bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap kaum wanita. Bagi mengelakkan fitnah berupa pandangan bersyahwat daripada kaum lelaki serta memperagakan tubuh badan dan mengalun-alunkan suara (sebagaimana lazimnya penyanyi) daripada kaum wanita, Islam melarang dan tidak membenarkan lelaki berduet bersama wanita dalam persembahan nyanyian. Ia bersalahan dengan adab Islam yang disebut dalam al-Quran al-Karim, iaitu firman Allah SWT:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…” (An-Nur: 30–31)
Dan sabda Nabi SAW: “Wahai ‘Ali! Janganlah kamu iringi pandangan (yang pertama) dengan pandangan (yang kedua). Sesungguhnya bagi kamu pandangan yang pertama, tetapi tidak bagi kamu pandangan yang kedua.” (Riwayat Abu Dawud, no. 2149 dan at-Tirmizi, no. 2777)
Nyanyian yang dipersembahkan oleh wanita di khalayak ramai ialah perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam. Al-Quran al-Karim menyatakan arahan Allah SWT:
يَٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِٱلْقَوْلِ فَيَطْمَعَ ٱلَّذِى فِى قَلْبِهِۦ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Maksudnya: “…Maka janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya…” (Al-Ahzab: 32)
Wanita hanya dibenarkan mempersembahkan nyanyian atau nasyid dalam kalangan mereka sahaja dan tidak boleh di hadapan khalayak lelaki. (Lihat juga artikel Bolehkah Wanita Berdakwah Dengan Nasyid?)
Soalan Ketujuh: Nasyid Sebagai Alat Dakwah
Dengan perkembangan nasyid yang begitu pesat sekarang, sejauh mana Dr. melihat nasyid dapat memberi kesan dalam berdakwah kepada golongan muda, ataupun mencetuskan kesedaran dan keinsafan serta dijadikan alternatif hiburan kepada golongan ini?
Jawapan:
Nasyid sebagai alat, bukan matlamat…
Jika nasyid didefinisikan sebagai jalan dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah gambaran seorang dai terhadap apa yang dia sendiri fahami tentang mesej agamanya.
Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya.
Sama ada nasyid tradisional mahupun kontemporari dengan gaya rap dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid sebagai medium dakwah.
Nasyid adalah wasilah, maka ia tidak sesuai di semua tempat dan waktu. Bagi golongan yang sentiasa hidup dengan alunan muzik, kita kemukakan nasyid sebagai alternatif atau badil kepada muzik kegemaran mereka.
Tetapi bagi muda-mudi atau pelajar aliran agama, rasanya tidak perlu kita terikut-ikut dengan rentak golongan ini, lebih-lebih lagi pelajar aliran tahfiz. Tumpuan kepada hafazan dan kajian mendalam tentang hukum-hakam menjadi keutamaan bagi seorang dai yang akan memimpin masyarakat – dengan izin Allah – pada masa hadapan.
Kata ‘Abdullah bin Mas‘ud r.a.:
الْغِنَاءُ يُنْبِتُ النِّفَاقَ فِي الْقَلْبِ كَمَا يُنْبِتُ الْمَاءُ الْبَقْلَ
Maksudnya: “Nyanyian itu menumbuhkan sifat munafik dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayur-sayuran.” (Riwayat al-Baihaqi sebagai kata-kata Ibnu Mas‘ud.)
Ramai golongan muda mendengar lagu dari pagi hingga malam, tetapi tidak ramai yang menghabiskan masanya dengan al-Quran. Ini kadangkala membuatkan kita terfikir tentang ayat yang dijadikan hujah oleh ulama yang tidak membenarkan nyanyian.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan ada antara manusia yang membeli lahwal-hadith (cerita-cerita dan perkara hiburan yang melalaikan) untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah tanpa sebarang ilmu pengetahuan dan dia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itulah yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (Luqman: 6)
Menurut ‘Abdullah bin Mas‘ud r.a., maksud lahwal-hadith dalam ayat di atas ialah nyanyian. Berkata Imam al-Hasan al-Basri: ayat di atas diturunkan berkenaan nyanyian dan alat-alat bunyian. Ada ulama yang berpendapat lahwal-hadith itu ialah penyanyi-penyanyi daripada kalangan jariah (hamba perempuan).
Penutup
Semoga perbincangan kita ini membuka pandangan untuk mengkaji dan berfikir tentang hukum Islam mengenai hiburan, bukan hanya berselindung di sebalik beberapa nama ulama besar untuk menghalalkan apa yang dipersetujui nafsu, tanpa mengambil kira pandangan lain yang bertentangan serta sandaran dalil-dalilnya.
Sekian. Abu Anas, Sungai Durian, 1.50 pagi, 22 Safar 1430H.
Rujukan
Rujukan
10 sumber-
Sahih al-Bukhari, no. 5590 (Abu 'Amir atau Abu Malik al-Asy'ari r.a.).
Sunnah.com -
Sunan Ibn Majah, no. 4020 (Abu Malik al-Asy'ari r.a.); disahihkan al-Albani.
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 3685; Musnad Ahmad, no. 6478 ('Abdullah bin 'Amr r.a.); disahihkan al-Albani.
Sunnah.com -
Hasyiah al-Jamal 'ala Syarh al-Manhaj (4/47), dinukil dalam Islamqa no. 268880.
islamqa.info -
Sunan Abi Dawud, no. 4031 (Ibn 'Umar r.a.).
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 2149; Jami' at-Tirmizi, no. 2777 (Buraidah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah an-Nur (24): 30–31.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 32.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Luqman (31): 6.
Quran.com -
Al-Baihaqi, as-Sunan al-Kubra, Kitab asy-Syahadat (athar Ibn Mas'ud r.a.).
ad-Durar as-Saniyyah
