Tulisan: penulis blog Mufakkir Islami. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: blog Mufakkir Islami (Julai 2010), memetik keputusan Panel Kajian Akidah, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (1996).
حسبي ربي جل الله ما في قلبي غير الله
Berkenaan persoalan Zikir Munajat, penulis menurunkan di sini keputusan Panel Kajian Akidah, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (kini JAKIM) kali ke-7/1996 yang bermesyuarat pada 24 dan 25 Ogos 1996. Mesyuarat telah memutuskan bahawa zikir berkenaan mengandungi kalimah-kalimah yang bertentangan dengan konsep Islam, antaranya mengenai konsep Nur Muhammad. Mesyuarat bersetuju agar zikir berkenaan tidak diamalkan dan tidak disiarkan di media massa.
Perubahan Yang Diputuskan
Oleh yang demikian, mesyuarat bersetuju supaya rangkap zikir berkenaan diubah suai seperti berikut:
Ulasan
Penulis berpandangan bahawa Panel Akidah berpendapat terdapat nas ma’thur yang lebih baik untuk diamalkan berbanding ucapan yang ada dalam Zikir Munajat. Oleh kerana itu, “hasbi rabbi…” ditukar kepada “hasbiyallah…”, kerana “hasbiyallah…” ialah zikir yang dianjurkan oleh al-Quran dalam surah at-Taubah ayat 129:
فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَقُلْ حَسْبِىَ ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ ٱلْعَرْشِ ٱلْعَظِيمِ
Maksudnya: “Kemudian jika mereka berpaling (ingkar), maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah, tiada Tuhan melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.”
Ucapan “Nur Muhammad sallallah” juga didapati tidak jelas kerana menisbahkan selawat kepada “nur”, bukan kepada Nabi. Ia dibimbangi mengandungi unsur doktrin Nur Muhammad yang menyeleweng daripada akidah Islam. Oleh itu, ia ditukar kepada “Nabi Muhammad sallallah”.
Manakala ucapan “laisa laha min dunillahi kasyifah” juga meragukan kerana tidak diketahui apa yang dimaksudkan dengan ucapan itu dalam zikir tersebut. Sedangkan “laisa laha min dunillahi kasyifah” ialah ayat al-Quran dalam surah an-Najm ayat 58:
لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ ٱللَّهِ كَاشِفَةٌ
Para mufasir menjelaskan bahawa ayat ini membicarakan hari kiamat yang telah hampir (ayat 57), iaitu: “Tiada sesiapa selain Allah yang dapat menyatakan (bila berlakunya) atau menghindarkannya.”
Bagaimanapun, keputusan Panel Akidah JAKIM ini bukanlah keputusan fatwa yang mengikat mana-mana pihak, tetapi nasihat dan penjelasan kepada masyarakat awam berkenaan zikir tersebut. Wallahu a‘lam.
