Pendahuluan
Firman Allah SWT:
﴿كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ﴾
Maksudnya: "Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus." [Surah al-Baqarah: 213]
Penjelasan
Al-Hafiz Ibn Kathir rahimahullah telah membawakan riwayat Ibn Abbas r.a. ketika menafsirkan ayat ini. Kata Abdullah bin Abbas: "Jarak antara Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s. ialah sepuluh kurun. Semua manusia pada waktu itu berpegang dengan syariat yang hak, kemudian mereka berselisih kerana masalah yang dipegang mengikut pendapat masing-masing. Maka Allah mengutuskan para nabi sebagai mubasysyirin (pemberi khabar gembira) dan mundzirin (pemberi peringatan). Rasul yang pertama diutuskan selepas Nabi Adam ialah Nabi Nuh a.s." [Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/237]
Punca kekufuran mereka ialah terlalu memuja orang soleh di kalangan mereka (al-ghuluw fi hubb ash-shalihin) dan inilah permulaan berlakunya syirik di atas muka bumi ini. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran:
﴿وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا﴾
Maksudnya: "Dan mereka berkata: Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd dan jangan pula Suwa', Yaghuth, Ya'uq dan Nasr (nama-nama berhala)." [Surah Nuh: 23]
Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Lima berhala tersebut (Wadd, Suwa', Yaghuth, Ya'uq dan Nasr) ialah nama orang-orang soleh di kalangan kaum Nabi Nuh a.s. Apabila mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kepada kaum mereka agar membuat patung-patung yang menyerupai orang-orang soleh tadi, kemudian diletakkan di majlis tempat mereka biasa duduk semasa hayatnya dan menamakan patung itu dengan nama tuan asalnya. Maka mereka pun melakukannya, tetapi patung itu belum disembah. Apabila golongan yang membuat patung tadi telah meninggal dunia dan ilmu telah dilupakan, barulah patung-patung itu disembah." [HR al-Bukhari, no. 4920]
Imam Ibn Kathir juga menyebut kisah ini sedemikian. Riwayat lain ada menceritakan bahawa tujuan para pengikut itu mengukir patung pada awalnya ialah kerana mereka takut pegangan agama mereka menjadi lemah, lalu mereka mengukir patung-patung syeikh tersebut untuk mengingati kembali ajaran dan amalannya. Apabila mereka melihat patung syeikh mereka, akan bertambah kuat semangat untuk beribadat. Pada peringkat awalnya mereka tidak menyembahnya, tetapi setelah berlalunya masa yang lama, mereka mula membesarkan dan menghormatinya dengan sepenuh hati mereka.
Waktu yang panjang berlalu dan orang-orang alim di kalangan mereka telah meninggal dunia, maka syaitan membisikkan lagi: "Sesungguhnya orang-orang soleh sebelum kamu tidak mengukir patung-patung syeikh mereka melainkan untuk meminta syafaat (pertolongan) melaluinya kepada Allah." Maka bermulalah sejarah penyembahan berhala, tuhan-tuhan yang lain selain Allah SWT.
Lalu selepas itu Allah SWT mengutus Nabi Nuh a.s. untuk mengembalikan mereka kepada agama datuk mereka, Nabi Adam a.s. Semasa berlakunya taufan pada zaman Nabi Nuh a.s., kesemua patung yang disembah tersebut telah ditenggelamkan ke dalam perut bumi. Mereka yang diselamatkan Allah SWT daripada taufan tersebut meneruskan hidup di atas muka bumi dengan agama yang benar selama beberapa waktu.
Mengubah Ajaran Nabi Ibrahim
Manakala orang yang mula-mula mengubah perjalanan agama yang diajar oleh Nabi Ibrahim a.s. ialah 'Amr bin Luhai, ketua suku Khuza'ah. Menurut riwayat ahli sejarah, beliau seorang tukang tilik yang bersahabat dengan jin. Melalui petunjuk jin itu, beliau telah mengeluarkan berhala-berhala yang tertanam di dalam tanah di pantai Jeddah. Kemudian beliau menyeru bangsa Arab pada musim haji supaya menyembah berhala dan meninggalkan ajaran Nabi Ibrahim a.s.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.:
«رَأَيْتُ عَمْرَو بْنَ عَامِرِ بْنِ لُحَيٍّ الْخُزَاعِيَّ يَجُرُّ قُصْبَهُ فِي النَّارِ، وَكَانَ أَوَّلَ مَنْ سَيَّبَ السَّوَائِبَ»
Maksudnya: "Aku melihat 'Amr bin 'Amir bin Luhai al-Khuza'i menyeret ususnya di dalam neraka. Dialah orang pertama yang memulakan amalan sa'ibah (melepaskan haiwan ternakan secara bebas sebagai nazar untuk berhala)." [HR al-Bukhari, no. 3521 dan Muslim, no. 2856]
Ini kerana dialah orang yang mula-mula mengubah perjalanan agama Nabi Ismail a.s. dengan penyembahan berhala.
Bahaya Pemujaan
Demikianlah bahayanya apabila berlaku pemujaan di dalam masyarakat, sama ada memuja harta benda, pangkat dan sebagainya. Begitu juga dengan perbuatan memuja pemimpin lebih daripada yang sepatutnya. Perkara tersebut akhirnya akan membawa kemusnahan dan bala bencana kepada umat dan masyarakat sebagaimana yang berlaku ke atas kaum Nabi Nuh a.s. dahulu.
Allah SWT telah memberi amaran kepada Ahli Kitab dengan firman-Nya:
﴿يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ﴾
Maksudnya: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu (dengan membesarkan Nabi Isa sehingga menganggapnya sebagai anak tuhan) dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya al-Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimah-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam dan (dengan tiupan) roh daripada-Nya." [Surah an-Nisa': 171]
Kerana itulah Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya, sebagaimana riwayat Sayyidina Umar al-Khattab r.a.:
«لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا: عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ»
Maksudnya: "Janganlah kamu memujaku secara melampau (sehingga mengangkatku melebihi kedudukan seorang nabi dan rasul kepada darjat ketuhanan, seperti mengetahui perkara ghaib dan sebagainya) sebagaimana kaum Nasrani memuja Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya." [HR al-Bukhari, no. 3445]
Demikianlah amaran dan tegahan Rasulullah SAW terhadap perbuatan memuja dan memuji manusia lebih daripada sepatutnya dengan membuat pelbagai gelaran dan anggapan. Ini akhirnya boleh merosakkan diri orang yang dipuja-puji itu sendiri.
Marilah kita sama-sama merenung kembali perjalanan dan landasan yang kita lalui dalam urusan agama kita (iktikad). Semoga semua amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT. Akhirnya, sama-samalah kita perhatikan firman Allah SWT yang menggariskan bentuk ajaran atau dakwah yang dibawa oleh semua nabi dan rasul a.s.:
﴿وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ﴾
Maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (dengan perintah): Sembahlah Allah dan jauhilah thaghut." [Surah an-Nahl: 36]
Perkataan thaghut membawa banyak erti dan maksudnya sebagaimana yang dihuraikan oleh para ulama Islam ialah umum untuk semua yang disembah dan dipuja selain Allah SWT (syaitan, manusia, jin, patung dan sebagainya).
Asas kepada Thaghut
Di antara asas atau tonggak thaghut ialah:
- Syaitan yang menyeru untuk beribadat kepada tuhan selain Allah SWT.
- Pemerintah zalim yang mengubah hukum yang diturunkan oleh Allah.
- Golongan yang menjalankan hukum perundangan selain hukum yang diturunkan oleh Allah SWT.
- Orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara ghaib dan tersembunyi yang hanya diketahui oleh Allah SWT.
- Golongan yang disembah selain Allah SWT (syaitan, manusia, jin, patung dan sebagainya) sedangkan ia suka serta reda dengan perbuatan yang dilakukan terhadapnya itu.
Inilah di antara tafsir atau makna thaghut yang dimaksudkan dalam ayat tersebut. Demikianlah betapa pentingnya peranan para rasul a.s. untuk mengembalikan manusia supaya taat dan tunduk kepada Allah sahaja.
Penutup
Kita juga mestilah menolak semua jenis thaghut, kerana inilah syarat untuk menjadi seorang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul serta berada di atas landasan agama Islam yang diredai Allah SWT. Firman Allah SWT:
﴿فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ﴾
Maksudnya: "…Sesiapa yang kufur (mengingkari dan menolak) thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." [Surah al-Baqarah: 256]
Wassalam.
Akhukum, Abu Anas Madani. Pondok Sungai Durian. Dikemas kini pada 6 Safar 1433H / 31 Disember 2011.
Rujukan
10 sumber-
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 213.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Nuh (71): 23.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 4920.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 3521.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 2856.
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah an-Nisa' (4): 171.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 3445.
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah an-Nahl (16): 36.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 256.
Quran.com -
Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, tafsir Surah al-Baqarah: 213.
