Muqaddimah
Solat merupakan perkara utama dalam hidup setiap Muslim. Solat adalah rukun Islam yang kedua selepas dua kalimah syahadah dan ia menjadi dalil terhadap kebenaran dan kesahihan iktikad. Solat juga menjadi bukti kejujuran terhadap apa yang telah diyakini oleh hati.
Solat dari segi syarak bererti: perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam.
Dalil tentang wajibnya solat terdapat di dalam al-Quran, hadis dan ijmak ulama.
Daripada al-Quran terdapat banyak sekali ayat tentangnya, antaranya firman Allah SWT:
Maksudnya: "Maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu kepada (agama) Allah. Dialah Pelindung kamu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong." [Surah al-Hajj: 78]
Manakala daripada hadis Rasulullah SAW:
«بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ»
Maksudnya: "Islam itu dibina di atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan." [HR al-Bukhari, no. 8 dan Muslim, no. 16]
Daripada ijmak ulama: seluruh ulama telah bersepakat tentang kewajipan solat, bahawa ia adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima yang tidak diterima Islam seseorang tanpanya. [Lihat majalah Hadzihi Sabili, bil. 5, 1403H, hlm. 276]
Solat Berjemaah
Di antara kesempurnaan solat ialah menunaikannya secara berjemaah sebagaimana amalan Rasulullah SAW. Baginda SAW sentiasa menunaikan solat secara berjemaah, hatta ketika peperangan dan musafir, apatah lagi dalam keadaan biasa dan tidak bermusafir.
Antara hikmah pensyariatan solat berjemaah
Keagungan Islam akan bangkit di atas dasar perkenalan sesama Muslim, persaudaraan dan tolong-menolong sesama mereka untuk menyatakan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.
Tidak ada lapangan yang lebih baik untuk menyempurnakan perkenalan serta persaudaraan mereka selain masjid, tempat orang-orang Islam bertemu sesama mereka untuk mendirikan solat secara berjemaah lima kali sehari.
Walaupun kepentingan dan kemaslahatan dunia boleh memecahbelahkan mereka dan mencetuskan hasad dengki sesama mereka, pertemuan secara berterusan dalam solat berjemaah merupakan suatu formula yang boleh memecahkan tembok yang membeza dan memisahkan mereka, serta menghilangkan hasad dengki dan segala penyakit daripada hati mereka.
Ini akan berlaku sekiranya mereka benar-benar beriman kepada Allah, bukannya menjadi orang munafik yang menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah dengan solat, ibadat dan pergi ke masjid. [al-Fiqh al-Manhaji, 1/178]
Solat berjemaah juga merupakan satu manifestasi kasih sayang, penyatuan dan peraturan di antara orang Islam. Apabila orang Islam dari seluruh dunia menghadap kiblat yang satu ketika solat, mereka akan merasai penyatuan dan persamaan serta melupakan perbezaan di antara mereka. Ini kerana mereka semua adalah hamba Allah; Tuhan mereka satu, kiblat mereka satu dan agama mereka satu. Tiada perbezaan di antara yang kaya dengan yang miskin, yang tinggi dengan yang rendah kedudukannya.
Orang Islam memastikan arah yang betul ketika menghadap kiblat dan tidak boleh cuai atau tersasar. Ini mendidik mereka untuk bersifat adil dalam segenap aspek kehidupan dan meletakkan semua perkara di tempatnya yang sebenar.
Daripada Abu Mas'ud al-Ansari r.a. katanya: "Rasulullah SAW menyentuh bahu-bahu kami ketika hendak mendirikan solat sambil bersabda: 'Luruskanlah (saf) dan jangan berselisih (bengkang-bengkok), nescaya hati-hati kamu akan berselisih. Hendaklah yang berada dekat denganku orang yang matang dan berakal di kalangan kamu, kemudian orang yang sesudah mereka, kemudian orang yang sesudah mereka.'" Abu Mas'ud r.a. berkata: "Kamu pada hari ini lebih kuat berselisih." [HR Muslim, no. 432]
Dalam hadis ini Rasulullah SAW memberi amaran bahawa saf solat yang bengkang-bengkok akan membawa kepada perpecahan dalaman, iaitu perpecahan hati.
Kata ulama: apabila hati tidak bersatu, perpaduan tidak akan wujud. Seterusnya ia membawa kepada perselisihan dan pertelingkahan dalam masyarakat.
Daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Luruskan saf-saf kamu, samakan kedudukan antara bahu-bahu kamu, penuhkan ruang-ruang kosong (dalam saf), berlemah lembutlah dengan tangan saudara-saudara kamu (ketika meluruskan dan merapatkan saf) dan jangan biarkan ruang-ruang kosong untuk syaitan. Sesiapa yang menyambung saf, Allah akan menyambungnya (dengan rahmat-Nya); dan sesiapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskannya." [HR Abu Dawud, no. 666; sahih]
Solat juga mendidik seseorang tentang kepentingan menjaga dan menghargai masa. Ia mengajarnya cara membahagikan dan menyusun masa. Dengan sendirinya dia akan menjadi seorang yang menepati masa dan teratur dalam setiap urusannya. Apabila dia menunaikan solat secara berjemaah, dia wajib mengikut imam ketika berdiri, rukuk dan sujud; dia akan belajar erti kepatuhan, penyerahan, disiplin dan keteraturan. [Lihat Dr. Abdullah Muhammad ath-Thayyar, ash-Shalah, hlm. 24–25]
Kata Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani rahimahullah: "Dan demikian lagi setengah daripada orang yang memeliharakan akan sembahyang dan mendirikan baginya, ia mengekalkan dan menyungguhkan atas mengerjakan dia dengan berjemaah, kerana bahawasanya orang yang sembahyang berjemaah itu lebih atas sembahyang seorang dirinya dengan dua puluh tujuh darjat, seperti yang disebut dalam hadis. [HR al-Bukhari, no. 645] Maka orang yang memudahkan dengan laba (keuntungan) agama dan akhirat ini, pada hal tiada payah pada menghasilkan dia dan tiada penat mencapaikan dia, maka adalah orang itu orang yang memudahkan agamanya dan orang yang tiada menghiraukan dia. Dan lagi kerana kata setengah ulama: Ia (solat jemaah) fardu kifayah, diperangi akan orang yang meninggalkan dia." [Munyat al-Mushalli, hlm. 20]
Antara faedah solat berjemaah
Solat berjemaah mempunyai faedah yang banyak dan kemaslahatan yang besar, antaranya:
- Allah SWT telah mensyariatkan umat ini berkumpul pada waktu-waktu tertentu: (a) harian, iaitu solat lima waktu; (b) mingguan, iaitu solat Jumaat; dan (c) tahunan, iaitu solat hari raya.
- Perhimpunan ini merupakan ibadat kepada Allah SWT secara jamaie.
- Untuk ta'aruf, iaitu saling kenal-mengenali sesama Islam.
- Menzahirkan syiar Islam yang besar melalui ibadat solat secara berjemaah; kerana itulah jika di mana-mana penempatan masjidnya tidak ramai ahli jemaah, ia menunjukkan penduduknya tidak kuat beragama.
- Menzahirkan kemuliaan dan keagungan Islam itu sendiri.
- Mengajar orang-orang jahil tentang amalan solat.
- Seorang Muslim yang berada dalam saf yang sempurna akan merasakan seolah-olah dia berada dalam saf jihad fi sabilillah. [Shalat al-Mukmin, 1/422]
Hukum Solat Berjemaah
Terdapat beberapa pendapat ulama mengenai hukum solat berjemaah:
- Sunat muakkad – mazhab Hanafi dan Maliki.
- Fardu ain/wajib (bukan syarat sah solat) – mazhab Hanbali.
- Fardu kifayah – pendapat mazhab Syafie.
Penjelasan ringkasnya:
1. Para ulama yang mengatakannya sunat mengemukakan dalil daripada beberapa hadis, antaranya sabda Rasulullah SAW: "Solat berjemaah itu melebihi solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat." [HR al-Bukhari, no. 645 dan Muslim, no. 650, daripada Ibn Umar r.a.]
Kata mereka: hadis ini menjelaskan bahawa solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian, maka afdal ialah kelebihan, bukan wajib.
2. Para ulama yang mengatakan solat berjemaah itu fardu ain/wajib menggunakan dalil:
i. Sabda Rasulullah SAW: "Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam kedua-dua solat itu, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dengan merangkak. Sesungguhnya aku berkeinginan untuk memerintahkan solat didirikan, lalu aku menyuruh seorang lelaki mengimami orang ramai, kemudian aku pergi bersama beberapa orang lelaki yang membawa ikatan kayu api kepada orang-orang yang tidak menghadiri solat, lalu aku bakar rumah-rumah mereka." [HR al-Bukhari, no. 644 dan 657 serta Muslim, no. 651, daripada Abu Hurairah r.a.]
Hadis ini menunjukkan solat berjemaah wajib ke atas setiap lelaki yang mampu (fardu ain). Sekiranya solat berjemaah itu sunat, tentulah Rasulullah SAW tidak memberi amaran untuk membakar rumah mereka.
ii. Ibn Ummi Maktum berkata: "Wahai Rasulullah, saya seorang yang buta dan rumah saya jauh dari masjid dan penunjuk jalan saya tidak serasi dengan saya. Adakah keringanan untuk saya bersolat di rumah?" Rasulullah SAW bertanya: "Adakah engkau mendengar azan?" Dia menjawab: "Ya." Baginda bersabda: "Aku tidak mendapati keringanan untukmu." [HR Abu Dawud, no. 552; sahih]
Rasulullah SAW tidak memberi kelonggaran kepada orang buta untuk meninggalkannya; maka orang yang celik tentulah lebih lagi.
3. Fardu kifayah. Jika penduduk sesebuah kampung atau negeri enggan mengerjakan solat berjemaah, pemerintah hendaklah memerangi mereka.
Dalil mazhab ini ialah sabda Rasulullah SAW: "Tidaklah tiga orang yang berada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak didirikan solat berjemaah di kalangan mereka melainkan syaitan telah menguasai mereka. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang terpencil (bersendirian)." [HR Abu Dawud, no. 547, daripada Abu ad-Darda' r.a.; hasan]
Hadis ini menunjukkan solat berjemaah adalah fardu kifayah ke atas umat ini. [Lihat Syeikh Hasan Ayyub, Fiqh al-'Ibadat, hlm. 238–247]
Sebab-sebab Dibenarkan Meninggalkan Solat Berjemaah
Keuzuran yang dibenarkan oleh syarak terbahagi kepada dua bahagian:
a) Keuzuran umum, seperti hujan lebat, angin kencang atau jalan yang terlalu becak dan licin.
Abdullah bin Umar r.a. telah melaungkan azan pada suatu malam yang sejuk dan berangin, kemudian beliau berkata: "Solatlah di tempat tinggal kamu." Kemudian beliau menyambung: "Rasulullah SAW menyuruh muazin, apabila malam terlalu sejuk atau hujan, supaya berkata: Solatlah di tempat tinggal kamu." [HR al-Bukhari, no. 632 dan Muslim, no. 697]
Kita sedia maklum bahawa keuzuran ini jarang berlaku pada hari ini melainkan di kampung pedalaman. Apatah lagi bagi negeri yang banyak hujan, ia merupakan suatu kebiasaan, bukan keuzuran.
b) Keuzuran khas, seperti sakit, terlalu lapar dan dahaga, takut kepada orang yang akan melakukan kezaliman ke atas diri dan hartanya, ketika menahan hadas (mahu membuang air besar atau kecil) atau seorang yang berhutang takut keluar berjemaah kerana bimbang diekori oleh pemberi hutang sedangkan dia tidak mempunyai wang untuk membayarnya. Juga seseorang yang baru memakan makanan yang berbau busuk atau berpakaian kotor yang boleh mengganggu orang lain dengan baunya.
Semua keadaan ini dianggap keuzuran syarak yang mengizinkan seseorang tidak menghadiri solat berjemaah. [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/178–179]
Kesimpulan
Solat berjemaah di masjid merupakan satu syiar Islam yang agung, sama ada ia dikira sebagai sunat muakkad, fardu kifayah atau fardu ain. Para ulama Islam telah sepakat bahawa menunaikan solat lima waktu di masjid adalah ketaatan yang dituntut dan pendekatan diri kepada Allah SWT yang sangat besar.
Kerana itulah terdapat banyak sekali hadis yang menyebut tentang fadilat dan kepentingan solat berjemaah serta larangan meninggalkannya. Di antaranya hadis-hadis yang telah disebut di atas tadi:
- Gandaan 27 darjat pahala solat berjemaah.
- Rasulullah SAW berkeinginan membakar rumah orang yang tidak menghadiri solat berjemaah.
- Seorang sahabat r.a. yang buta meminta keuzuran daripada Rasulullah SAW untuk tidak pergi ke masjid, tetapi tidak dibenarkan oleh Baginda SAW.
- Syaitan akan menguasai kumpulan tiga orang ke atas yang tidak mendirikan solat berjemaah.
- Meninggalkan solat berjemaah adalah salah satu tanda orang munafik. Kata Abdullah bin Mas'ud r.a.: "Kami dapati tidak ada orang yang tidak hadir solat berjemaah melainkan seorang munafik yang telah diketahui kemunafikannya atau orang yang sakit. Sesungguhnya ada orang sakit yang dipimpin oleh dua orang sehingga sampai ke tempat solat." Katanya lagi: "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengajar kami jalan-jalan petunjuk dan di antara jalan petunjuk itu ialah solat di masjid yang dilaungkan azan padanya." [HR Muslim, no. 654]
- Tidak dibenarkan orang yang telah berada di dalam masjid keluar daripadanya selepas azan. Daripada Abu asy-Sya'tsa': "Kami sedang duduk di masjid bersama Abu Hurairah r.a., lalu muazin pun melaungkan azan. Tiba-tiba seorang lelaki bangun lalu berjalan keluar dari masjid. Abu Hurairah memerhatikannya hingga dia keluar dari masjid, lalu berkata: Adapun orang ini, dia telah menderhakai Abu al-Qasim (Rasulullah SAW)." [HR Muslim, no. 655]
Abu Hurairah r.a. menganggap perbuatan tersebut sebagai menderhakai Rasulullah SAW kerana meninggalkan solat berjemaah.
Kata ulama: sekiranya seseorang keluar kerana keuzuran seperti hendak berwuduk, menunaikan hajat atau menunaikan solat berjemaah di masjid lain, maka ia tidak termasuk dalam larangan tersebut.
Jika sedemikian sekali Rasulullah SAW telah memperingatkan tentang kelebihan solat berjemaah dan memberi amaran tentang keburukan meninggalkannya, maka kita sebagai umatnya yang mukmin tidak patut sama sekali meninggalkan amalan sunnah yang begitu mulia dan penuh manfaat duniawi dan ukhrawi ini dengan sewenang-wenangnya tanpa keuzuran dan rukhsah yang dibenarkan syarak.
Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan Allah agar dipermudahkan untuk melakukan kebajikan dan kebaikan, segala amal ibadat kita diterima-Nya dan kita mati di jalan yang diredai-Nya. Amin.
Akhukum, Abdul Basit Abdul Rahman (Abu Anas Madani). Pondok Sungai Durian, 22 Syawal 1430H / 11 Oktober 2009M.
Rujukan
18 sumber-
Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 78.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 8.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 16.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 432.
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 666.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 645.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 650.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 657.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 644.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 651.
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 552.
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 547.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 632.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 697.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 654.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 655.
Sunnah.com -
Syeikh Hasan Ayyub, Fiqh al-'Ibadat, hlm. 238–247.
-
Mustafa al-Khin dkk., al-Fiqh al-Manhaji 'ala Madzhab al-Imam asy-Syafi'i, 1/178–179.
