Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Al-Baqarah · Nota 47/97

Surah Al-Baqarah: Ayat 154-157

Kelebihan Mati Syahid, Allah Uji Hamba-Nya & Fadhilat Orang Sabar.

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 154 sehingga ayat 157 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu, yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kelebihan mati syahid, fi-sabilillah.
  3. Allah uji hamba-Nya dengan kesusahan & kesenangan.
    Untuk melihat siapakah yang berjaya.
  4. Orang yang berjaya ialah orang yang sabar & bagi sabar fadhilat yang besar.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 154 {DAN JANGANLAH KAMU MENGATAKAN (BAHAWA) SESIAPA YANG TERBUNUH DALAM PERJUANGAN MEMBELA AGAMA ALLAH ITU: ORANG-ORANG MATI; BAHKAN MEREKA ITU ORANG-ORANG YANG HIDUP (DENGAN KEADAAN HIDUP YANG ISTIMEWA), TETAPI KAMU TIDAK DAPAT MENYEDARINYA.} (AL-BAQARAH 2:154)

  1. Nota: Menurut undang-undang peraturan Allah SWT:
    1. Segala pekerjaan yang besar seperti dakwah & penyebaran kepada agama Islam, tidak akan berjaya kecuali dengan kesungguhan & kesabaran dalam usaha menjalankan pekerjaan tersebut.
      Serta tabah menghadapi sebarang rintangan & dugaan, maka sesiapa yang tetap teguh serta sabar bermakna dia telah menurut peraturan undang-undang Allah & akhirnya dia akan berjaya!
    2. Solat pula ialah tiang agama & rohnya ialah khusyuknya hati orang yang mengerjakannya kepada Allah.
    3. Ini memberi sebesar-besar pertolongan & semangat yang teguh untuk menghadapi sebarang perkara yang menyulitkan.
      Rasulullah SAW sebagaimana yang tersebut dalam hadis apabila mengalami suatu kesulitan, Baginda terus mengerjakan solat.
  2. Ayat ini adalah seolah munasabah dengan ayat yang sebelumnya – di mana ayat 153, Allah suruh sabar & solat.
    Manakala dalam ayat 154 ini Allah cerita & nyatakan tentang kelebihan & fadhilat yang besar bagi orang yang mati syahid fi-sabilillah. Maka jika nak mati syahid, nak tetap pendirian kena bermula dengan pemantapan jiwa dengan aqidah yang murni, jaga solat dengan sempurna & kena ada sifat sabar.
  3. Ayat ini lebih lengkap apabila digabungkan dengan firman Allah SWT:
    {Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.} (Ali-‘Imran 3:169-171)

    Maksudnya {بَلْ أَحْيَآءٌۭ} ialah mereka hidup di sisi Tuhan mereka: Iaitu mereka hidup di alam barzakh & menikmati hidup dalam syurga.

  4. Bagaimana kita lihat hadis riwayat Abdullah bin Mas’ud r.a:
    Beliau ditanya tentang makna {بَلْ أَحْيَآءٌۭ} ialah mereka hidup di sisi Tuhan mereka:
    قَالَ: سَأَلْنَا عَبْدَ اللهِ عَنْ هَذِهِ الْآيَةِ: {وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ} [آل عمران: 169] قَالَ: أَمَا إِنَّا قَدْ سَأَلْنَا عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ: أَرْوَاحُهُمْ فِي جَوْفِ طَيْرٍ خُضْرٍ، لَهَا قَنَادِيلُ مُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ، تَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ، ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ، فَاطَّلَعَ إِلَيْهِمْ رَبُّهُمُ اطِّلَاعَةً، فَقَالَ: هَلْ تَشْتَهُونَ شَيْئًا؟ قَالُوا: أَيَّ شَيْءٍ نَشْتَهِي وَنَحْنُ نَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شِئْنَا، فَفَعَلَ ذَلِكَ بِهِمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَلَمَّا رَأَوْا أَنَّهُمْ لَنْ يُتْرَكُوا مِنْ أَنْ يُسْأَلُوا، قَالُوا: يَا رَبِّ، نُرِيدُ أَنْ تَرُدَّ أَرْوَاحَنَا فِي أَجْسَادِنَا حَتَّى نُقْتَلَ فِي سَبِيلِكَ مَرَّةً أُخْرَى، فَلَمَّا رَأَى أَنْ لَيْسَ لَهُمْ حَاجَةٌ تُرِكُوا
    Maksudnya: “Kami bertanya kepada Abdullah tentang ayat ini: وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
    Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh (gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”. [Ali Imran:169]
    Dia menjawab: Adapun kami telah bertanya tentang hal ini (kepada Nabi SAW), lalu Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya roh-roh para syuhada’ itu ada di dalam rongga burung hijau. Baginya ada pelita-pelita yang tergantung di ‘Arasy. Mereka bebas keluar dari syurga sebagaimana yang mereka mahu, kemudian mereka (roh-roh orang yang syahid) kembali semula menuju ke arah pelita-pelita itu. Kemudian Allah melihat kepada mereka dengan jelas, lalu Dia bertanya: “Apakah kamu inginkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Apalagi yang kami inginkan sedangkan kami bebas keluar masuk dari syurga dengan semahu-mahu kami?”Allah bertanya kepada lagi kepada mereka sebanyak tiga kali.Apabila mereka melihat bahawasanya mereka tidak dibiarkan daripada meminta sesuatu, mereka berkata, “Wahai Tuhan kami! kami ingin Engkau pulangkan semula roh-roh kami ke dalam jasad-jasad kami sehingga kami syahid di jalan-Mu sekali lagi. Maka tatkala Dia melihat bahawasanya mereka tidak mempunyai keinginan lagi, maka mereka ditinggalkan”.
    [Riwayat Muslim (1887)]

    Yakni mereka minta untuk hidup semula kerana mahu berjihad & mati syahid sekali lagi. Tetapi Allah menolaknya kerana apabila seseorang itu telah mati, rohnya tidak akan kembali lagi ke dunia, yakni tidak mungkin untuk dia hidup kembali.
    Kamu tidak perlu hidup semula tetapi Aku akan turunkan ayat ini agar semua orang mengetahui akan kelebihan mati syahid ini!

Ayat 155 {DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI AKAN MENGUJI KAMU DENGAN SEDIKIT PERASAAN TAKUT (KEPADA MUSUH) DAN (DENGAN MERASAI) KELAPARAN DAN (DENGAN BERLAKUNYA) KEKURANGAN DARI HARTA BENDA DAN JIWA SERTA HASIL TANAMAN. DAN BERILAH KHABAR GEMBIRA KEPADA ORANG-ORANG YANG SABAR:} (AL-BAQARAH 2:155)

  1. Allah menyatakan manusia itu akan sentiasa diuji dalam hidupnya samada dengan:
    1. Perasaan takut (kepada musuh)
    2. Dan dengan merasai kelaparan,
    3. Dan dengan berlakunya kehilangan dari harta benda dan jiwa atau hasil tanaman.
  2. Yakni Allah SWT akan menguji orang Islam dengan berbagai ujian seperti ketakutan, kelaparan, hilang sebahagian atau seluruh harta, jiwa (mati) dalam peperangan atau biasa dan buah-buahan (bahan makanan).
  3. Bagi orang yang sabar menghadapi semua ujian & musibah ini, jika dia sabar, tenang redha melalui semua ini; Allah suruh beri khabar gembira kepada mereka dengan jaminan pahala yang besar!
    Bagaimanakah sifat & keadaan orang yang sabar ini? Kita lihat ayat seterusnya.

Ayat 156 {(IAITU) ORANG-ORANG YANG APABILA MEREKA DITIMPA OLEH SESUATU KESUSAHAN, MEREKA BERKATA: “SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH KEPUNYAAN ALLAH DAN KEPADA ALLAH JUALAH KAMI KEMBALI.”} (AL-BAQARAH 2:156)

  1. Mereka ini apabila ditimpa kesusahan atau hilang sesuatu yang disayangi, mereka akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” {إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ}
  1. Apakah maksudnya ganti yang lebih baik ini? Kata ulama’ ia sama ada:
    1. Ganti sungguh antara orang dengan orang – seperti suami atau isteri yang lain.
    2. Ganti orang yang hilang dengan benda lain samada: Dengan kesenangan hidup, harta atau khidmat dari anak-anak dan seumpamanya.
    3. Yang pastinya ialah pahala yang besar di sisi Allah iaitu syurga!
      Ya Allah jadikan kami daripada golongan orang yang sabar dan berilah kepada kami pahala dalam ujian kami!

Ayat 157 {MEREKA ITU IALAH ORANG-ORANG YANG DILIMPAHI DENGAN BERBAGAI-BAGAI KEBAIKAN DARI TUHAN MEREKA SERTA RAHMATNYA; DAN MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG DAPAT PETUNJUK HIDAYAHNYA.} (AL-BAQARAH 2:157)

  1. Orang-orang yang sabar, yang menerima khabar gembira dari Allah; mereka sabar dengan jiwa & perbuatannya, itulah yang mendapat pelbagai keberkatan dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka.
  2. Mereka juga akan mendapat banyak kelebihan seperti petunjuk, pimpin ke jalan yang benar, Allah beri taufiq kepada mereka untuk beramal dengan apa yang Allah anugerahkan kepada mereka!
  3. Marilah kita jadi orang yang sabar, semoga kita mendapat hidayah pimpinan Allah, dapat beramal dengan al-Quran & Sunnah, mati dalam husnul-khatimah & layak ke syurga-Nya, AMIN.
  4. Kita ini kadang-kadang banyak khayal daripada berfikir, jika khayal hanyutlah kita, dok fikir nak jadi orang kaya, berkuasa dan lain-lain.
    Seperti watak dalam cerita Melayu yang masyhur suka berkhayal:
    Angan-angan Mat Jenin.
    Semoga Allah selamatkan kita dari segala sifat buruk ini!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 154- {Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.}

    Jangan kamu sangka orang yang mati syahid pada jalan Allah itu telah mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan penuh nikmat.
    Ayat ini dikembarkan ayat ini:
    {Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;} (A-li’Imraan 3:169)

    Dalam ayat ini Allah ajar & nyatakan kepada kita fadhilat kelebihan orang yang mati syahid.
    Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk mati syahid, tetapi memerlukan kepada SOP Syari’ah & syaratnya yang tertentu.
    Maka sesiapa yang menjual dirinya untuk Allah & agama Allah, berjuang & berkorban dengan niat syahid menegakkan agama Allah maka merekalah orang yang bahagia yang diberi kelebihan oleh Allah SWT.
    Ya Allah kurniakan kami syahid dengan niat menegakkan agama!
    Dari Sahl bin Hunaif RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang benar-benar minta mati syahid kepada Allah Taala, maka Allah akan menyampaikannya ke tingkatan orang orang yang mati syahid walaupun dia meninggal di atas tempat tidurnya.” (HR Muslim)
    Tetapi hanya pahala syahid sahaja – tetap tidak sama dengan orang terkorban syahid sungguh di medan jihad, jenazahnya tetap kena dimandi, kafan & disolatkan.
    Mayat para syuhada’ jihad pula tidak akan dibasuh, tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan bahkan ditanam dengan pakaian & darahnya itu kerana mereka akan dibangkitkan di akhirat kelak dalam keadaan begitu.
    Hal ini berdasarkan hadis daripada Jabir RA bahawasanya Nabi SAW bersabda:
    كَانَ يَجْمَعُ بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ مِنْ قَتْلَى أُحُدٍ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ يَقُولُ ‏”‏ أَيُّهُمَا أَكْثَرُ أَخْذًا لِلْقُرْآنِ ‏”‏ ‏.‏ فَإِذَا أُشِيرَ إِلَى أَحَدِهِمَا قَدَّمَهُ فِي اللَّحْدِ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَنَا شَهِيدٌ عَلَى هَؤُلاَءِ ‏”‏‏ وَأَمَرَ بِدَفْنِهِمْ فِي دِمَائِهِمْ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِمْ وَلَمْ يُغَسَّلُوا
    Maksudnya: “Nabi SAW pernah menghimpunkan dua lelaki dari mereka yang telah dibunuh di (peperangan) Uhud seraya baginda bertanya kepada mereka siapakah antara mereka yang mempelajari lebih banyak Al-Qur’an? Dan ketika salah seorang dari mereka ditunjuk, baginda mengarahkannya agar diletakkannya di lahad (kubur) terlebih dahulu. Baginda bersabda: “Aku saksi ke atas mereka.” Maka baginda memerintahkan supaya mereka dikebumikan dengan darah mereka, tidak boleh disolatkan dan mereka tidak boleh dimandikan”. [HR al-Bukhari (1347)].

    Ini kerana mereka akan dibangkitkan di akhirat dalam keadaan dia mati itu sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Bungkuslah jasad mereka (syuhada’) sekalian dengan darah-darahnya juga. Sesungguhnya mereka akan datang di hari kiamat dengan berdarah-darah, warnanya warna darah namun baunya seharum kesturi.” (HR An-Nasai dan Ahmad).

    Ya Allah jadikanlah kami dari kalangan syuhada’.

  2. Ayat 154- {Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu:}

    Allah kata pada jalan Allah, maka untuk mendapat kelebihan ini wajib ikhlas niat untuk berjihad pada jalan Allah.
    Hadis tentang 3 orang yang dihisab & tidak ikhlas niat mereka:
    Abu Hurairah r.a berkata:
    سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا ، قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا ؟ قَالَ : قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ ، قَالَ : كَذَبْتَ ، وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ ، فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ ،
    Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Beliau akan dibawa dan Allah menunjukkan kepadanya nikmat-nikmat Nya dan lelaki itu mengakuinya. Lalu Allah bertanya: Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab: Aku telah berperang di jalan Mu sehingga aku mati syahid. Allah menjawab: Engkau bohong! Sebaliknya engkau berperang agar engkau dipanggil pahlawan! Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka.

    وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا ، قَالَ : فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا ؟ ، قَالَ : تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ ، قَالَ : كَذَبْتَ ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ ، فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ ،

    (kemudian giliran) seorang lelaki yang mempelajari ilmu, mengajarkan ia dan membaca al-Quran. Dia dibawa dan Allah menunjukkan nikmatNya kepada lelaki itu dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya: Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab: Aku telah mempelajari ilmu, mengajarkan ilmu dan membaca al-Quran kerana Mu. Allah menjawab: Engkau bohong! Sebaliknya engkau menuntut ilmu untuk dipanggil orang alim dan engkau membaca al-Quran untuk dipanggil Qari’. Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka.

    وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا ، قَالَ : فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا ؟ ، قَالَ : مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ ، قَالَ : كَذَبْتَ ، وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ ، فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ “
    (kemudian giliran) seorang lelaki yang Allah telah meluaskan kepadanya harta dan dia memberikan hartanya kesemuanya kepada orang yang berhak. Dia dibawa dan Allah menunjukkan nikmatNya kepada lelaki itu dan dia pun mengakuinya.
    Allah bertanya: Apa yang telah engkau lakukan dengannya?
    Lelaki itu menjawab: Tidak aku tinggalkan sedikit pun jalan yang mana Engkau suka untuk harta dibelanjakan padanya melainkan aku membelanjakan harta aku pada jalan itu untuk Mu. Allah menjawab: Engkau bohong! Sebaliknya engkau melakukan hal itu untuk dipanggil dermawan. Engkau telah mendapat gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.
    [Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, hadis no. 1905]

    Inilah yang kita bimbang hari ini, amal ibadat sedikit tetapi tayangnya banyak!
    Sekarang ini amat payah untuk mencari orang benar-benar ikhlas berjuang kerana Allah!
    Kerana pahala ini besar, janji Allah itu amat tinggi; orang yang yakin dengan janji Allah ini akan menganggap nyawanya murah, jasadnya murah untuk Allah SWT, mereka tidak takut untuk meninggalkan anak-isteri, harta benda semata-mata untuk mengejar janji Allah itu!

    Bukan penakut seperti kita

  3. Ayat 155- {Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu…}

    Ujian ini sangat penting dalam hidup kerana Allah nak lihat siapakah yang betul-betul sabar; orang yang sabar dia tidak akan lari dalam perjuangan.
    Susah senang tetap di situ!
    Orang tak sabar dia akan mudah lompat sana sini!
    Kita pun jangan mudah tunjuk yang kita tidak sabar!
    Ada kesusahan sikit terus mengadu di tempat yang tidak sepatutnya – terutama di media sosial!
    Berkelahi dengan suami/isteri sikit, habis satu dunia tau! Inilah orang yang buka aib hidup sendiri & menunjukkan kita dk sabar.
    Dunia ini adalah tempat ujian, ujian itu samada dengan kesusahan atau kesenangan, bahkan ujian senang lebih susah & mencabar daripada ujian susah.
    Biasa orang akan tewas apabila mendapat kesenangan & akan koyak, lupa diri, bila dapat kuasa tergadai segala prinsip perjuangan selama ini!

    Firman Allah SWT:
    {Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.} (Al-Anbiyaa’ 21:35)
    Kita minta agar Allah jangan uji kita yang berat – sekadar yang boleh dihadapi oleh iman kita & supaya kita lulus dalam ujian dengan sabarnya & teguh iman tidak lari dari perjuangan!

  4. Ayat 156- {(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”}

    Orang sabar apabila ditimpa ujian dia tidak lari & melatah dan tidak lupa Sunnah.
    Bahkan dia akan ikut Sunnah Nabi SAW, bersabar & lidahnya terus menyebut nama Allah, membaca doa-doa yang diajar oleh Baginda SAW.
    Kata ulama’ salaf: Tanda iman kamu ialah perkataan awal/pertama yang keluar dari mulut kamu apabila ditimpa musibah kesusahan!
    Apakah yang kamu sebut – berdoa sebut nama Allah atau meraung marah-marah & menyumpah.

  5. Ayat 157- {Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.}
    Dalam ayat ini Allah nyatakan kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang sabar; doa, rahmat & hidayah petunjuk dari Tuhannya.
    Apabila kita diuji oleh Allah SWT, kita ingatkan balasan, pulangan yang kita akan dapat jika sabar, kita ingat nikmat yang disediakan Allah di sebalik musibah itu, serta kita kembali semula iman dengan Qadha’ & Qadar!
    Buku Rukun Iman, antara yang menarik ialah beriman dengan Qadha’ & Qadar: dartaibah.com
    Inilah yang kita nak kerana bagi orang sabar akan dapat tiga kebaikan dari Allah:
    1. Akan dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Allah,
    2. Serta rahmat-Nya;
    3. Dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya – Allah pimpin hati kita ke jalan yang diredhai-Nya!

Semoga kita termasuk dalam golongan yang sabar & sentiasa diredhai Allah SWT!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Tandakan selesai dibaca Simpan nota

Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas