Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Al-Furqan · Nota 6/13

Surah Al-Furqan: Ayat 30-34

Rasulullah SAW Mengadu Umatnya Meninggalkan Quran, Golongan Kafir Menimbulkan Syubhat Quran Turun Berperingkat & Hukuman ke Atas Mereka di Akhirat.

Muqaddimah

  1. Dalam siri sebelum ini diceritakan tentang pelbagai kritikan kaum kafir musyrikin terhadap al-Quran dan terhadap Rasulullah SAW yang menyebabkan sempit dada Baginda SAW.
  2. Dalam ayat siri ini Rasulullah SAW mengadu kepada Allah SWT tentang umatnya yang meninggal dan meminggirkan al-Quran. Sama ada yang kafir dengan menolak dan tidak beriman terus atau; yang beriman tetapi meminggir dan tidak beramal dengannya.
  3. Mereka juga menghina al-Quran dengan menimbulkan keraguan kenapa ia diturunkan secara berperingkat? Hujjah ini diajar oleh ahli kitab terdahulu.
  4. Mereka juga mengatakan Rasulullah SAW sebagai seorang penyair, yakni untuk mengatakan al-Quran itu bukan wahyu dari Allah SWT tetapi syair rekaan Baginda SAW sebagai penyair yang petah dan ahli bahasa.
  5. Akhirnya Allah SWT menjawab segala hujjah mereka ini dan menenangkan hati Rasulullah SAW serta disebutkan hukuman ke atas mereka di akhirat nanti.

Ayat 30 وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَـٰرَبِّ إِنَّ قَوْمِى ٱتَّخَذُوا۟ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ مَهْجُورًا {Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”.} (Al-Furqan 25:30)

  1. Rasulullah SAW mengadu kepada Tuhannya di dunia ini bahawa kaumnya telah menolak untuk beramal dengan al-Quran.
  2. Ulama’ kata maksud meninggalkan/tidak memakai al-Quran ialah:
    1. Tidak mahu mendengarnya lansung.
    2. Jika dengar tidak fikir/tadabbur dengannya.
    3. Mereka tidak beriman dengannya.
    4. Tidak mahu beramal dengannya.
  3. Ibnu Kathir pula menjelaskan maksud meninggalkan al-Quran ialah:
    1. Apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, mereka membuat hingar-bingar kerana tidak mahu mendengarnya.
    2. Tidak cuba belajar dan hafaznya.
    3. Tidak beriman dengannya.
    4. Meninggalkan tadabbur, tidak cuba fikir dan memahaminya.
    5. Tidak beramal dengannya, tidak ikut suruhan dan tinggal perintahnya.
    6. Tinggalkannya terus, dengar dan sibuk dengan yang lain seperti lagu dan nasyid-nasyid.
  4. Kita yang beriman ini jangan sampai termasuk walaupun dalam salah satu ciri-ciri ini terutamanya dari segi tadabbur dan tinggal beramal dengan al-Quran.

Ayat 31 وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا مِّنَ ٱلْمُجْرِمِينَ ۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ هَادِيًا وَنَصِيرًا {Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).} (Al-Furqan 25:31)

  1. Selepas mendengar aduan ini Allah SWT tenangkan hati Rasulullah SAW agar sabar, tenang dan tidak goyah.
  2. Ini kerana Baginda bukan orang pertama yang menghadapi masalah ini, para rasul dan nabi-nabi sebelum ini pun menghadapi masalah ini. Bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah dan menentang.
  3. Allah SWT juga memberi semangat dengan mengatakan; {Cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).}
  4. Musuh-musuh dakwah para nabi ini sama ada akan cuba menyekat dakwah itu dari sampai kepada orang ramai dengan pelbagai cara, rancangan jahat dan tuduhan yang mereka buat.
  5. Atau mereka akan memukul atau membunuh terus para nabi dan rasul itu!
  6. Maka cukuplah dengan janji pertolongan dari Allah SWT untuk menolong mengalahkan para penentang dan musuh Islam itu, teruskan menjalankan dakwah yang benar dan haq, dengan uslub yang dapat diterima.

Ayat 32 وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ ٱلْقُرْءَانُ جُمْلَةً وَٰحِدَةً ۚ كَذَٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِۦ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلْنَـٰهُ تَرْتِيلًا {Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?” Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.} (Al-Furqan 25:32)

  1. Dalam ayat ini ada pula syubhat keraguan yang ditimbulkan oleh puak kafir untuk menolak dakwah Rasulullah SAW.
  2. Mereka membuat keraguan pula dengan: {Berkata: “Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?}
  3. Bagi menolak dalih dan syubhat mereka itu, Allah SWT menerangkan bahawa sebabnya Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur ialah supaya mudah di hafaz dan difahami oleh Rasulullah SAW.
  4. Juga untuk menetapkan hati Baginda lalu akan dapat menyampaikannya dengan sebaik-baiknya.
  5. Allah SWT juga menyatakan semua ayat al-Quran yang diturunkan itu difahami dengan jelas oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda.

Ayat 33 وَلَا يَأْتُونَكَ بِمَثَلٍ إِلَّا جِئْنَـٰكَ بِٱلْحَقِّ وَأَحْسَنَ تَفْسِيرًا {Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu).} (Al-Furqan 25:33)

  1. Allah SWT menjawab dengan hujjah yang tepat satu persatu tohmahan dan keraguan yang mereka kaum kafir timbulkan terhadap Rasulullah SAW dan al-Quran. Yakni Allah SWT batalkan semua hujjah dan keraguan yang mereka timbulkan.

Ayat 34 ٱلَّذِينَ يُحْشَرُونَ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ إِلَىٰ جَهَنَّمَ أُو۟لَـٰٓئِكَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضَلُّ سَبِيلًا {Orang-orang yang akan diseret beramai-ramai ke neraka Jahannam (dengan tertiarap) atas mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya.} (Al-Furqan 25:34)

  1. Maka orang kafir yang menolak kebenaran ini di akhirat esok akan mendapat balasan azab yang amat pedih.
  2. Mereka akan diseret beramai-ramai ke neraka Jahannam dengan tertiarap atas mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya. Na’uzubillah.
  3. Hadis sahabat bertanya tentang berjalan dengan muka ini.

Penutup & Faedah

  1. Allah SWT gambarkan kisah orang yang meninggalkan al-Quran sebagai satu ingatan kepada orang mukmin untuk sentiasa duduk dengan al-Quran. Baca, fahami dan beramal dengannya! Bahkan orang kafir terbuka hati untuk memeluk Islam kerana dia mengkaji al-Quran!
  2. Rasulullah SAW mengadu kepada Allah SWT bahawa orang kafir itu meninggalkan al-Quran, yakni menolak dan tidak beriman dengannya. Manakala bagi orang beriman pula meninggalkan al-Quran itu maksudnya tidak beramal dengannya.
  3. Betapa banyakkah negara yang mengaku negara Islam tetapi masih mengamalkan undang-undang yang ditinggalkan oleh para penjajah kafir yang sudah pergi berpuluh tahun. Tidak berani dan enggan mendirikan undang-undang Syariah Islam.
  4. Pantun yang sering dibaca oleh Allahyarham TG Hj Abdul Rahman RHM:
    Melukut di tepi gantang;
    Buka sanggul cari kutu,
    Orang takut hilang perasaan;
    Tunggul kayu disangka hantu!
  5. Allah SWT menurunkan perundangan dan Syariah ini secara berperingkat dan mengikut munasabah keadaan. Tetapi bukanlah sehingga menjadi dayus dan terpinggir.

Wallahu a’lam.

Teks al-Quran dalam kotak ayat: Tanzil Project (Rasm Uthmani).

Tandakan selesai dibaca Simpan nota

Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas