Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, klik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Skrol ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Klik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
← Surah Taha · Nota 12/15

Surah Taha: Ayat 71-76

Fir'aun Murka Ahli Sihir, Mereka Iklan Beriman Kepada Allah S.W.T, Tidak Hiraukan Ugutan Fir'aun

Fir'aun Murka Ahli Sihir, Mereka Iklan Beriman Kepada Allah S.W.T & Tidak Hiraukan Ugutan Fir'aun

Live Kuliah Pagi Rabu 21/10/2026 - 10 J. Ula 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Taha (12) Ayat [71-76]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Taha dengan ayat 71 sehingga ayat 76 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Fir'aun murka kepada ahli sihir yang telah berpaling tadah darinya!
  3. Ini kerana mereka iklankan telah beriman kepada Allah s.w.t, Tuhan Musa & Harun.

Ahli sihir menyebut bahawa mereka beriman dengan Tuhan Harun & Musa kerana pada waktu itu orang tak kenal Tuhan melainkan Fir'aun yang mengaku Tuhan.

Maka disebut Tuhan Harun & Musa agar jelas Tuhan itu bukan Fir'aun yang mengaku Tuhan.

4. Juga penjelasan kenapa disebut Tuhan Harun dulu sedangkan dalam ayat-ayat lain sebelum ini disebut Tuhan Musa dulu.

Kata ulama':

  1. disebut Tuhan Harun dulu kerana dia lebih tua daripada Musa.
  2. agar jelas juga Tuhan itu bukan Fir'aun jika sebut Tuhan Musa kerana Musa pernah dipelihara oleh Fir'aun, Jika sebut Rabbu Musa di sini boleh jadi keliru dengan Fir'aun juga!
  3. agar susunan rima hujung ayat-ayat itu sama & seragam.

5. Walaupun Fir'aun murka, para ahli sihir yang telah beriman tidak hiraukan ugutan Fir'aun – mereka tetap teguh di atas iman yang telah masuk ke dalam jiwa mereka!

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ayat 71 قَالَ آمَنتُمْ لَهُ قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ ۖ إِنَّهُ لَكَبِيرُكُمُ الَّذِي عَلَّمَكُمُ السِّحْرَ ۖ فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِي جُذُوعِ النَّخْلِ وَلَتَعْلَمُنَّ أَيُّنَا أَشَدُّ عَذَابًا وَأَبْقَىٰ ‎﴿٧١﴾‏ {Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal".}

  1. Apabila ahli sihir mengaku beriman Fir'aun amat murka dan memarahi mereka kerana beriman kepada Allah dan mengakui kenabian Musa sebelum mendapat keizinannya!

    Murka kerana mereka menderhakainya!

    *Ini menunjukkan pentingnya mendapat keizinan dari tuan atau boss sebelum membuat keputusan – jika tidak huru-hara.

  2. Fir'aun kemudian spin tukar cerita dengan menuduh Musa adalah ketua para ahli sihir itu yang mengajar mereka.

    Dia juga menuduh Musa & ahli sihir telah membuat konspirasi untuk menjatuhkannya & merampas kuasa pemerintahan Mesir!

    *Ini supaya khalayak umum yang mendengarnya akan percaya kepada kenyataannya dan menuduh Musa juga!

  3. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

    {Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya).} [Al-A’raaf: 123].

  4. Fir'aun lalu menjatuhkan hukuman yang sangat kejam & buruk ke atas ahli sihir yang beriman itu & bersumpah:

    1. aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang,
    2. dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar;
  5. Nota [886] Berselang: yakni tangan kanan dengan kaki kiri atau tangan kiri dengan kaki kanan.

Nota [887] Maksudnya: sesudah itu tiap-tiap seorang akan dipalang pada batang pohon tamar.

*Ini untuk menunjukkan dahsyatnya hukuman sebagai amaran kepada yang lain juga agar jangan berani-berani beriman kepada Musa!

  1. Kemudian Fir'aun mengugut lagi dengan berkata: {… sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal".}
  2. Nota [888] “Kita” di sini, Fir’aun maksudnya dirinya dan Nabi Musa.

Yakni kamu akan mengetahui sesudah aku menyeksa kamu, azab akulah yang berat atau azab yang dijanjikan oleh Musa jika kamu tidak beriman kepadanya?

8. Sedangkan Nabi Musa tidak pernah mengazab sesiapapun atas dunia ini – Baginda hanya memberi amaran tentang azab Allah di Akhirat kelak jika mereka tidak beriman kepada Allah! Musa tiada kuasapun pada waktu itu.

Ayat 72 قَالُوا لَن نُّؤْثِرَكَ عَلَىٰ مَا جَاءَنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالَّذِي فَطَرَنَا ۖ فَاقْضِ مَا أَنتَ قَاضٍ ۖ إِنَّمَا تَقْضِي هَٰذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا ‎﴿٧٢﴾‏ {Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.}

  1. Ahli sihir yang beriman menjawab dengan penuh keyakinan yang teguh:

    1. Kami tidak akan utamakan kamu untuk tolak kebenaran, kami tidak akan ikut kamu lagi untuk mendapatkan kedudukan & jawatan atau untuk menyelamatkan diri kami daripada azabmu!
    2. kami tidak akan mengutamakanmu daripada Tuhan yang sebenar yang telah mencipta kita semua.
    3. kami telah melihat mukjizat-mukjizat yang terang nyata yang telah datang kepada kami – yang kami yakin akan kebenarannya & tidak akan menolaknya!
  2. Nota [889] Yakni mukjizat-mukjizat yang dibawa oleh Nabi Musa a.s, yang membuktikan kebenarannya.
  3. Ahli sihir berkata lagi dengan penuh keimanan: {… Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.}
  4. Sedikit perbincangan tentang apakah Fir'aun benar-benar menjalankan hukuman yang diancamnya kepada ahli sihir itu?

    al-Quran tidak menyebutnya.

  5. Kata Ibnu 'Atiyah ulama' tafsir berbeza pendapat tentang nasib ahli sihir ini:
    1. Pendapat pertama mengatakan memang Fir'aun lakukan hukuman yang dijanjikannya iaitu memotong tangan kanan dengan kaki kiri atau tangan kiri dengan kaki kanan & sesudah itu tiap-tiap seorang akan dipalang pada batang pohon tamar.

      Antara ulama' tafsir yang menyokong pendapat ini ialah Ibnu Kathir  berdasarkan zahir ayat al-Quran & juga berdasarkan tafsir Ibnu Abbas r.a yang mengatakan:

      كَانُوا فِي أَوَّلِ النَّهَارِ سَحَرَةً، وَفِي آخِرِ النَّهَارِ شُهَدَاءَ بَرَرَةً

      “Mereka di awal siang (pagi hari) adalah ahli sihir, namun di akhir siang (petang hari) mereka telah menjadi para syuhada yang berbakti.”

    2. pendapat kedua mengatakan Fir'aun tidak bunuh mereka!

Ini pendapat Syeikh asy-Syanqiti : Fir'aun tidak boleh membunuh mereka kerana Allah telah berjanji untuk menjaga Nabi Musa & Harun dan para pengikutnya dari kalangan ahli sihir kerana iman yang telah sebati dalam hati mereka.

Dalilnya sebagaimana firman Allah ini:

{Allah berfirman: "Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun) dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang".} [Al-Qasas: 35].

DDAAM kata wallahu a'lam.

Syeikh Ibnu Atiyah juga hanya membawa dua pendapat ini saja & dia juga tidak mentarjihkannya!

Ayat 73 نَّا آمَنَّا بِرَبِّنَا لِيَغْفِرَ لَنَا خَطَايَانَا وَمَا أَكْرَهْتَنَا عَلَيْهِ مِنَ السِّحْرِ ۗ وَاللَّهُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ ‎﴿٧٣﴾‏ {"Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.}

  1. Para ahli sihir terus mengiklankan keimanan mereka yang jitu dengan berkata lagi:

    1. Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami,
    2. kami berdoa supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya.
    3. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya!
  2. Ahli sihir menyatakan penyesalan mereka minta Allah ampunkan dosa-dosa mereka & mengatakan mereka terpaksa melakukan perlawanan dengan Nabi Musa itu!
  3. Ulama' kata ayat ini menyatakan pada awalnya memang mereka tidak mahu tetapi dipaksa oleh Fir'aun sebagai titah di raja – siapa berani lawan Fir'aun yang zalim itukan!
  4. Tetapi mereka terpaksa datang juga – ini sebagai sebab untuk menjadikan mereka beriman kepada Nabi Musa a.s.
  5. Tentang hujung ayat ini: {… Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.} – ulama' khilaf samada ini masih kata-kata ahli sihir kepada Fir'aun atau firman Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w tentang tauhid – ayat ini ayat dakwah.

Ayat 74 إِنَّهُ مَن يَأْتِ رَبَّهُ مُجْرِمًا فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيَىٰ ‎﴿٧٤﴾ {"Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.}

  1. Ahli sihir yang beriman terus berdakwah & memberi tazkirah kepada Fir'aun bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan bersalah iaitu tidak beriman akan mendapat balasan buruk di Akhirat kelak! Iaitu akan disiksa di dalam neraka Jahannam.
  2. Nota [890] Dalam ayat ini dan ayat-ayat yang berikutnya, ahli-ahli sihir yang telah beriman itu menegaskan kepada Fir’aun balasan buruk yang akan menimpa orang yang kafir pada hari akhirat kelak dan balasan baik yang akan didapati oleh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

    *Ini adalah pendapat pertama – kata-kata ahli sihir kepada Fir'aun yang disokong oleh Ibnu Jarir, at-Tabari, Ibnu Kathir dan lain-lain ulama'.

  3. Nota [891] Yakni mati dalam keadaan bersalah.
  4. Nota [892] Yakni ia menderita azab seksanya dan tidak hidup di situ dengan kehidupan yang senang.
  5. Terdapat pendapat kedua yang mengatakan ini adalah firman Allah kepada Rasulullah s.a.w untuk menenangkan hati & menguatkan semangat Baginda s.a.w- iaitu ayat ke arah tauhid!

    *Pendapat ini disokong oleh al-Wahidi, Ibnu Asyur dan lain-lain ulama'.

  6. Mereka yang memilih pendapat kedua berhujjah: Macamana itu kata-kata ahli sihir – bila mereka sempat belajar tauhid dari nabi Musa untuk berceramah menasihati Fir'aun pula?
  7. Mereka yang mengatakan ini adalah kata-kata ahli sihir berhujjah:
    1. Kata al-Qurtubi: Bahawa boleh jadi ahli sihir telah mendengar tentang tauhid dari Nabi Musa atau dari bani Israil ketika mereka mereka di kampung mereka atau mereka dari kalangan ahli keluarga Fir'aun yang beriman secara senyap.
    2. mungkin Allah telah memberi ilham kepada mereka ahli sihir itu setelah beriman untuk bercakap tentang tauhid berdakwah kepada Fir'aun.

Wallahu a'lam!

8. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

{Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa) dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.} [Faatir: 36].

  1. Yakni keadaan ahli neraka itu hidup dalam siksaan seolah akan mati siksaan azabnya tetapi mereka tidak akan mati lagi di dalam neraka!
  2. Hadis qudsi – daripada sahabat Abu Sa'id al-Khudri RA, di mana Rasulullah S.A.W bersabda mengenai nasib orang beriman (ahli tauhid) yang dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa-dosa mereka:

أَمَّا أَهْلُ النَّارِ الَّذِينَ هُمْ أَهْلُهَا، فَإِنَّهُمْ لَا يَمُوتُونَ فِيهَا وَلَا يَحْيَوْنَ، وَلَكِنْ نَاسٌ أَصَابَتْهُمُ النَّارُ بِذُنُوبِهِمْ - أَوْ قَالَ: بِخَطَايَاهُمْ - فَأَمَاتَهُمْ إِمَاتَةً حَتَّى إِذَا كَانُوا فَحْمًا، أُذِنَ فِي الشَّفَاعَةِ

فَجِيءَ بِهِمْ ضَبَائِرَ ضَبَائِرَ فَبُثُّوا عَلَى أَنْهَارِ الْجَنَّةِ فَقِيلَ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ أَفِيضُوا عَلَيْهِمْ فَيَنْبُتُونَ نَبَاتَ الْحِبَّةِ تَكُونُ فِي حَمِيلِ السَّيْلِ ‏" ‏

“Adapun penghuni neraka yang merupakan penghuni asalnya (orang kafir), mereka tidak mati dan tidak pula hidup di dalamnya.

Akan tetapi, ada manusia yang disentuh api neraka disebabkan dosa-dosa mereka (atau kesalahan mereka), lalu Allah mematikan mereka dengan sebenar-benar mati.

Apabila mereka telah menjadi arang, barulah diizinkan untuk memberi syafaat kepada mereka.

Maka mereka dibawa dalam keadaan berkumpulan lalu disebarkan di sungai-sungai syurga. Seterusnya dikatakan: 'Wahai ahli syurga, curahkanlah air kepada mereka!'

Lalu mereka tumbuh seumpama tumbuhnya benih di tepi aliran air sungai." (Sahih Muslim, No. 185)

*Tetapi jangan sesekali kita kata tak mengapalah buat dosa pun hanya masuk neraka sekejap saja – na’uzubillah- kita minta perlindungan dengan Allah dari disentuh api neraka walaupun sesaat!

Ayat 75 وَمَن يَأْتِهِ مُؤْمِنًا قَدْ عَمِلَ الصَّالِحَاتِ فَأُولَٰئِكَ لَهُمُ الدَّرَجَاتُ الْعُلَىٰ ‎﴿٧٥﴾ {"Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya:}

  1. Kemudian Allah berfirman lagi – samada kata-kata ahli sihir kepada Fir'aun atau firman Allah kepada Rasulullah s.a.w:

    1. sesiapa yang datang kepada Allah dalam keadaan beriman,
    2. serta dia telah mengerjakan amal-amal yang soleh,
    3. maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya iaitu syurga!
  2. Yakni balasan bagi orang yang beriman & beramal soleh akan mendapat balasan syurga yang tinggi darjatnya!

Ayat 76 جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَاءُ مَن تَزَكَّىٰ ‎﴿٧٦﴾‏ {"(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat".}

  1. Allah menyatakan sifat syurga itu pula:

    1. Syurga-syurga yang kekal,
    2. yang mengalir padanya beberapa sungai,
    3. mereka penghuninya pula kekal di dalamnya;
  2. Itulah syurga sebagai balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat.

Ya Allah jadikan kami dari ahli syurga-Mu!

Penutup & Faedah

  1. Ayat 71- {Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu?

    Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu.} – apabila melihat para ahli sihir telah beriman – Fir'aun terus marah kerana mereka tidak menunggu izinnya dulu.

    Untuk menutup malunya di hadapan orang ramai – Fir'aun terus spin tukar isu pula mengatakan patutpun ahli sihir cepat ikut Nabi Musa – rupanya mereka telah berpakat dari awal kerana Nabi Musa adalah guru utama yang mengajar mereka sihir!

    Fir'aun menunjukkan keangkuhannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi dengan tukar isu mengatakan Nabi Musa adalah ketua ahli sihir yang telah lama merancang untuk merampas kuasanya, menjatuhkan Fir'aun dan mengeluarkan kaumnya dari bumi Mesir!

    Beginilah keadaan yang berlaku sebagaimana kata-kata netizen hari ini: Mereka telah lama merancang kita saja yang tak sedar!

    Ayat Fir'aun beribu tahun dulu digunakan semula oleh netizen hari ini.

    Watak Fir'aun sentiasa ada pada setiap zaman, cuma bertukar nama saja!

    Kerana itulah kisah Fir'aun & Nabi Musa ini banyak sekali Allah ulang dalam al-Quran.

    Sebagaimana Abu Jahal pernah dipanggil sebagai Fir'aun umat ini!

  2. Ayat 71- {Firaun berkata: … Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar;…}

    Fir'aun amat murka dan bersumpah untuk menjatuhkan hukuman ke atas ahli sihir yang beriman.

    Fir'aun memberi amaran dengan bersumpah dengan namanya sendiri bahawa dia akan menjatuhkan hukuman yang dahsyat ke atas mereka yang beriman itu.

    Hukuman itu penuh penghinaan – Fir'aun kata dia akan memotong tangan dan kaki mereka dengan bersilang dan akan memalang mayat mereka pada batang-batang pohon tamar!

    Ini adalah satu ancaman kepada para ahli sihir itu supaya mereka tarik balik keimanan mereka dan juga sebagai amaran kepada orang lain agar jangan berani-berani beriman kepada Tuhan Musa seperti mereka itu juga!

    Ini adalah amaran keras dan ancaman kepada ahli sihir supaya mereka berpaling semula & tinggalkan Nabi Musa a.s.

  3. Ayat 72- {Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata,…} – ini jawapan para ahli sihir yang beriman terhadap ancaman & ugutan Fir'aun tadi!

    Tetapi ahli sihir tidak peduli – iman mereka tidak goyah & keyakinan mereka tidak goyah berganjak sedikitpun!

    Mereka dengan tegas mengatakan tidak akan sesekali mengutamakan yakni memilih Fir'aun daripada kebenaran yang telah datang kepada mereka melalui mukjizat-mukjizat nabi Musa yang jelas lagi nyata!

    Bahkan mereka cabar pula Fir'aun untuk lakukan, laksanakan hukuman yang diugutnya itu – mereka tidak takut sedikitpun!

    Kata ulama': Ini dalil bahawa kita sebagai orang yang berakal kena berfikir kena timbangkan apakah perbuatan kita ini ada nilainya di Akhirat kelak, apakah ia mulia di sisi Allah atau apakah ia memberi kebaikan atas dunia saja sekejap tetapi akan bawa kecelakaan bagi kita di Akhirat kelak!

    Sebagaimana yang kita bincangkan tadi – ada ulama' seperti Ibnu Kathir  menyokong pandangan bahawa Fir'aun memang melakukan hukuman itu berdasarkan kepada athar dari Ibnu Abbas r.a yang mengatakan bahawa mereka itu ahli sihir pada waktu paginya dan menjadi para syuhada’ pada waktu petangnya!

    Ada juga ulama' kata mereka tidak dibunuh oleh Fir'aun kerana Allah telah janjikan kemenangan kepada mereka!

    Kata DDAAM: Wallahu a'lam kerana Allah tak sebut & jelaskan.

    Mereka sanggup lawan Fir'aun kerana telah masuk ke dalam hati mereka iman & iman juga telah membatalkan segala dosa-doa mereka yang lalu!

  4. Ayat 73- {"Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.} – ahli sihir berkata mereka berharap agar Allah menghapuskan dosa-dosa mereka!

    Kata ulama': Iman itu menghapuskan dosa apatah lagi jika mereka diuji makinlah dosa itu akan dihapuskan!

    Inilah kelebihan para ahli sihir itu yang pada paginya masih kufur tetapi pada waktu petangnya beriman kepada Allah & mereka menjadi orang yang diberi keampunan oleh Allah s.w.t!

    Perbincangan: Apakah maksudnya mereka telah dipaksa oleh Fir'aun?

    Sedangkan dalam ayat lain mereka bukan macam-macam dipaksa bahkan mereka seolah sukarela melakukannya:

    {فَأَجْمِعُوا۟ كَيْدَكُمْ ثُمَّ ٱئْتُوا۟ صَفًّا ۚ وَقَدْ أَفْلَحَ ٱلْيَوْمَ مَنِ ٱسْتَعْلَىٰ ٦٤}

    "Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini". [Taha: 64].

    Jawapannya kata ulama': Mereka ini pada awalnya berada di kampung masing-masing lalu dikumpulkan oleh Fir'aun dan dipaksa untuk datang berlawan dengan nabi Musa di bandar.

    Tetapi apabila mereka datang untuk berlawan mereka telah bersedia & bersetuju untuk berlawan sihir dengan Nabi Musa a.s. kerana mengharapkan ganjaran dan balasan besar yang dijanjikan Fir'aun.

    Ada juga yang kata Fir'aun in memaksa ahli sihir ini mengajar anak-anak menjadi ahli sihir sedangkan mereka tak mahu!

    Jadi analisa ulama'nya: Pada awalnya mereka terpaksa tetapi pada akhirnya sukarela dek nakkan habuan yang dijanjikan Fir'aun!

  5. Tiga ayat terakhir ini – iaitu Ayat 74, Ayat 75 dan Ayat 76:

Samada ia kata-kata nasihat peringatan ahli sihir yang beriman kepada Fir'aun atau firman Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w untuk menguatkan semangat Baginda:

Ia menunjukkan bahawa betapa pentingnya bagi para pendakwah untuk menyampaikan dakwahnya bila-bila masa saja apabila ada peluang & ruang untuk memberi tazkirah dan peringatan kepada masyarakat.

Maka muhasabah untuk para pendakwah; Jangan diam, kena ambil peluang jangan lepaskannya begitu saja sehingga seolah kita turut setuju dengan kemungkaran & maksiat yang berlaku di depan mata atau di dalam majlis yang kita hadiri!

Bila diberi peluang pegang mic dalam satu masjlis yang ada kemungkaran atau perbuatan yang tak selari dengan Syari'ah; jangan baca doa saja – tetapi beri ceramah dan bagi nasihat peringatan, teguran tentang apa yang tak kena & tak patuh dengan Syari'ah!

Seperti para ahli sihir yang mengambil peluang berdakwah & menyampaikan tazkirah kepada Fir'aun walaupun diancam diugut oleh Fir'aun!

Begitulah Fir'aun pada awalnya guna hujjah & fakta; tetapi apabila kalah hujjah terus guna akta & segala enakmen yang ada!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir secara ringkas hari ini semoga mendapat manfaatnya!

Wallahu a’lam.

Tandakan selesai dibaca Simpan nota

Daftar percuma untuk menyimpan nota dan menjejak bacaan.

Kongsi nota ini

Sebarkan ilmu kepada keluarga dan sahabat.

WhatsApp Telegram

Ada soalan tentang ayat ini?

Hantar kepada Dr. Abu Anas — jawapan terpilih disiarkan.

Tanya Dr. Abu Anas