Catatan Rehlah Haji Tahun 1431H – 2010M (2)

Isi Kandungan

Pendahuluan

Ini adalah catatan Rehlah Haji Tahun 1431 hijrah siri kedua.

Ahad 8 Zulhijjah (Yaum al-Tarwiyah)

Dinamakan “Hari Tarwiyah” kerana pada hari ini, para jemaah haji menyediakan air untuk kegunaan mereka di Arafah dan Mina selama tempoh mereka mengerjakan haji.

Amalan hari ini bagi jemaah haji:

Bagi orang yang melakukan haji tamattu’ (melakukan umrah sewaktu datang ke Makkah), hendaklah berihram (berniat) melakukan haji pada hari ini. Kemudian keluar menuju ke Mina sebagaimana Baginda SAW dan para sahabat melakukannya. Baginda berada di Mina melakukan solat Zohor, Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh secara qasar dan tidak dijamakkan.

Pada pagi hari Tarwiyah, jemaah haji Asia Tenggara, termasuk Malaysia, akan dibawa terus ke Arafah, tidak dibawa ke Mina, dengan alasan takut tak sampai ke Arafah dan terlepas wukuf, menyebabkan jemaah tidak dapat haji. Namun, ada juga beberapa kumpulan jemaah yang bertindak sendiri dan menuju ke Mina pada hari Tarwiyah. Alhamdulillah, mereka selamat sampai ke Arafah pada pagi Isnin dan berwukuf dengan sempurna.

Alasan ini sudah lama digunakan, jadi dengan pembesaran kawasan Mina dan jalan yang telah tersusun, ditambah lagi dengan adanya keretapi yang mula beroperasi di Masya’ir (Mina, Muzdalifah, dan Arafah) pada tahun 1431H ini, maka amatlah diharapkan agar pihak berkuasa yang menguruskan jemaah haji Malaysia berfikir dan berunding dengan pihak Muassasah Asia Tenggara untuk menyediakan kemudahan pergerakan jemaah ke Mina, kemudian ke Arafah, sebagaimana yang dilakukan oleh Muassasah negara lain. Sama-samalah kita berdoa agar sunnah ini dapat dihidupkan secepat mungkin.

Untuk maklumat pembaca, sekarang ini projek keretapi ataupun monorel yang menghubungkan Makkah, Arafah dan Mina telah siap dan dapat digunakan pada musim haji 1431H, namun penggunaannya terhad kepada hujjaj dalam negeri sahaja.

Jemaah Ash-Har mula bergerak ke Arafah jam 12.30 tengahari, waktu Zohor di Makkah. Sampai di Arafah, jemaah dibawa masuk ke kawasan yang dikhaskan oleh Maktab (81) kepada syarikat Ash-Har, solat Zohor dan makan bekalan yang dibawa…

Masuk waktu Maghrib, jemaah diarah untuk melakukan solat jama’ tamam (7 rakaat; Maghrib 3 dan Isya’ 4 rakaat). Pihak Maktab / Tabung Haji telah menyediakan mikrofon besar yang boleh didengari oleh semua jemaah Maktab 81 (bilangannya 2400 orang). Kemudian, Dato’ Daud Che Ngah (Andalusia Travel) memulakan program dengan memberikan kuliah, diikuti oleh ustaz lain. Setelah kuliah mereka tamat, Abu Anas berucap sekejap kepada para jemaah Ash-Har di khemah.

Alhamdulillah, muafakat antara 7 buah Travel dalam Maktab 81 (Andalusia, Ash-Har, Harom Fast, KSB, Hidayah, Lintas, Misbah) berjaya. Tiada gangguan zikir secara kuat pada malam Arafah. Walaupun ada juga ustaz jemputan (Indon) yang dibawa oleh sebuah syarikat dalam maktab ini berzikir kuat di sebelah khemah kami, namun tidak mengganggu jemaah lain.

Biasanya pada malam Arafah, ustaz-ustaz pakej swasta yang dibawa khas oleh syarikat masing-masing akan berzikir dengan kuatnya, menggunakan mikrofon dengan suara lantang. Ada yang bermula seawal jam 1 pagi dan ada yang selepasnya. Sedangkan arahan pihak Tabung Haji yang telah dikeluarkan melalui perbincangan dengan semua pihak pakej ini: “Tidak dibenarkan untuk mengadakan majlis zikir dan qiyamullail beramai-ramai secara kuat kerana ini boleh menggangu jemaah haji lain yang ingin tidur atau berehat untuk menghadapi hari Wukuf keesokan harinya termasuk yang mungkin yang sedang beribadat dan bermunajat secara bersendirian sebagaimana yang dianjurkan.”

Tetapi apa yang menyedihkan, walaupun perkara ini tidak berlaku dalam Maktab kami, tetapi masih ada sebahagian ahli zikir munajat yang tidak menghiraukan arahan dan meneruskan program mereka tanpa mengambil kira perasaan orang lain dan melanggar hak kejiranan yang sepatutnya dijaga dan dihormati.

Isnin 9 Zulhijjah 1431H (Yaum Arafah): Wukuf

Tibalah fajar pagi hari Arafah, suatu hari yang telah disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan ramai hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai daripada hari Arafah. Allah SWT hampir dengan hamba-Nya dan berbangga-bangga dengan mereka kepada para malaikat dengan berfirman: “Apa yang mereka mahu?” [HR Muslim No. 1348]

Fajar pagi yang tenang ini, dengan udaranya yang sejuk dan dingin, para jemaah haji menunaikan solat Subuh secara berjamaah di khemah masing-masing.

Selesai solat, ada yang membaca ma’thurat (zikir pagi) dan mendengar kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Suhaimi dari Harom Fast Travel di Surau Maktab yang dapat didengar oleh semua jemaah. Mereka juga menikmati hidangan sarapan pagi secara ringkas yang disediakan oleh pihak muassasah.

Waktu dhuha juga disambut dengan solat sunat dhuha, bacaan al-Quran dan pelbagai ibadat sunat yang lain. Kuliah dhuha disampaikan dengan panjang lebarnya oleh Ustaz Dato’ Daud Che Ngah (Andalusia Travel).

Nama Abu Anas telah dicadangkan oleh pihak Tabung Haji sebagai Khatib Maktab 81 (setelah beberapa kali mesyuarat penyelarasan dan persetujuan antara Travel telah dicapai). Pengumuman juga telah dibuat. Jemaah Ash-Har jam 10 pagi telah mengambil tempat di surau untuk mendengar khutbah, namun anak bulan tidak nampak. Tiba-tiba datang seorang ustaz yang bertugas dengan TH memberitahu khutbah hari ini akan disampaikan oleh beliau atas arahan orang atas, semua maktab khutbah mesti dibaca oleh guru agama yang dibawa oleh Tabung Haji. Katanya, bagi Abu Anas, tidak menjadi masalah walaupun terpaksa menapak ke Janadariah (Pejabat Besar TH) yang terletak agak jauh dari tempat kami duduk untuk penyelarasan khutbah.

Zikir Arafah

Selepas solat Zohor dan Asar, para jemaah mula berzikir, ada yang dipimpin oleh para syeikh dan ada yang secara bersendirian. Antara zikir yang agak masyhur di kalangan sebahagian para ustaz kita adalah zikir: “Hasbi Rabbi JallalLah, ma fi qalbi ghairul-Lah…” dan ia seolah-olah menjadi zikir rasmi pada hari Arafah.

Sedangkan zikir ini tidak diketahui sumbernya dan kelebihannya serta ertinya pula menunjukkan pengakuan membersihkan diri “…Tiada di dalam hatiku selain Allah” – benarkah pengakuan ini?

Sebaliknya, zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW tidak begitu popular. Sabda Rasulullah SAW:
“Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah, dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah:
لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.”
“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian, dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu.”

Maka harapan kita ialah agar zikir ini diperkenalkan dan diajar secara bersungguh-sungguh kepada para jemaah haji, dengan bacaan, makna, dan kelebihannya secara menyeluruh.

Waktu Paling Berharga

Waktu wukuf yang afdhalnya ialah bermula selepas solat Zohor hari Arafah sehingga tenggelam matahari (Maghrib), namun bagi mereka yang terlewat sampai ke Arafah masih boleh melakukan wukuf hingga terbit fajar (Subuh) hari raya.

Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW, selepas solat Zohor terus berwukuf, duduk di atas untanya, menghadap ke arah kiblat mengangkat kedua tangannya berdoa dengan khusyuk sehinggakan apabila terlepas tali unta daripada tangannya, Baginda mengambilnya dengan sebelah tangannya sahaja, dan tangan yang sebelah lagi terus diangkat berdoa.

Ini bermakna waktu afdhal untuk berdoa pada hari wukuf itu cuma lima jam setengah atau 330 minit sahaja. Tetapi malangnya masih terdapat jemaah haji kita yang tidak mendapat kesedaran dan motivasi yang cukup tentang kelebihan dan fadhilat hari yang amat istimewa ini! Mereka masih sanggup melalui saat yang bertuah ini dengan hanya berbual-bual kosong, tidur, bahkan ada yang masih tergamak merokok. Orang lain mencari haji mabrur, dia pula membuat haji Malboro!

Semoga Allah kurniakan kita dengan haji mabrur. Pada petang Hari Arafah itu, ana minta supaya jemaah bermunajat bersungguh-sungguh kepada Allah, dengan tangisan penuh syahdu agar diampunkan dosa dan diterima haji yang dilakukan serta memohon kesejahteraan untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan yang berpesan agar berdoa untuk mereka. Mintalah kebaikan di dunia dan di akhirat…

Ke Muzdalifah

Apabila tiba waktu Maghrib, jemaah haji akan dibawa ke Muzdalifah dengan bas yang disediakan mengikut giliran masing-masing. Setiap maktab akan disediakan beberapa buah bas (shuttle bus) yang akan memunggah jemaah haji ke Muzdalifah yang jaraknya lebih kurang 8 km, mengambil masa 10-15 minit sahaja melalui jalan khas yang dipanggil “Jalan Taraddudiyyah”, jalan ini khas untuk jemaah haji Asia Tenggara.

Alhamdulillah, kami tiba di Muzdalifah jam 8.30 malam. Sewaktu di Muzdalifah, jemaah haji mula mengutip anak-anak batu untuk melontar. Batu yang dikutip seharusnya hanya sebesar ruas jari kelingking atau kacang fol dan jangan melebihi daripada saiz ini sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah SAW: “Janganlah kamu melampau/melebihi,” ketika menunjukkan saiz batu untuk melontar. Baginda juga tidak mensyaratkan agar batu itu dikutip di Muzdalifah, tetapi boleh saja di mana-mana.

Perhatian: Diusahakan supaya tidak membawa lampu suluh setiap seorang. Memadailah sebuah untuk satu keluarga atau kumpulan sebagai bekalan untuk kecemasan. Selepas jam 12 tengah malam, jemaah haji Malaysia mula diangkut keluar dari Muzdalifah menuju ke Mina. Bagi jemaah yang bersama pakej, mereka akan diundi kumpulan mana yang akan bertolak dulu dengan shuttle bus. Jadi terpulang pada nasib dan bersabarlah menunggu giliran masing-masing. Ada yang terpaksa menunggu sehingga Subuh, bagi mereka ini Alhamdulillah, dapat mabit (bermalam) penuh di Muzdalifah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Kesedaran seperti ini perlu diajar kepada jemaah, barulah mereka akan tenang apabila terkena giliran yang terakhir (selepas Subuh).

Jemaah Ash-Har keluar Muzdalifah jam 3 pagi ke Mina..

Hari Raya 10 Zulhijjah (Yaum ‘Eidil Adha)

Bagi kumpulan yang sampai awal (sebelum Subuh), mereka akan dibawa terus untuk melontar, manakala mereka yang sampai hampir Subuh atau selepasnya harus menunggu sehingga selepas Asar nanti. Jemaah Ash-Har keluar ke Jamarat selepas solat Asar…

Selepas melontar dan balik ke khemah, suasana dalam khemah nampak ceria dan terang dengan kepala haji-haji yang licin. Alhamdulillah mereka menyambut tawaran Rasulullah SAW yang mendoakan agar Allah SWT memberi rahmat kepada orang yang bercukur kepalanya sebanyak tiga kali, kemudian setelah dirayu kali keempat barulah Rasulullah SAW mendoakan rahmat untuk mereka yang hanya bergunting sahaja.

Tetapi masih ada juga yang tidak ingin merebut ganjaran pahala yang ditawarkan ini, yang entah bila lagi akan hadir dalam hidup mereka, masih enggan untuk mengugurkan seluruh rambut mereka di Mina yang berokah ini, lebih sayangkan rambut daripada mengikut sunnah Rasulullah SAW! Rambut yang dicukur akan tumbuh semula, insya’Allah, tetapi peluang untuk menjadi orang yang termasuk dalam doa Rasulullah SAW yang diulang sebanyak tiga kali ini, tiada siapa yang dapat menjamin peluang ini akan berulang sekali lagi dalam hidupnya.

Alhamdulillah, jemaah haji yang bersama saya ramai yang licin kecuali beberapa orang. Sedih juga hati ini, dalam sejarah membimbing jemaah Ash-Har inilah tahun yang paling ramai jemaah tidak mahu bercukur. Semoga Allah memberinya peluang lagi untuk menerima ganjaran doa Rasulullah SAW sebagaimana rakan jemaahnya yang lain, insya’Allah.

Mina 1431H

Di Mina, kebanyakan jemaah haji Malaysia diletakkan di perkhemahan Mu’aisim yang jaraknya hampir 3 km daripada Jamarat (tempat melontar). Rombongan kami ditempatkan di Maktab 81, Perkhemahan Asia Tenggara. Kebanyakan jemaah haji Malaysia ditempatkan di sekitar ini kecuali mereka yang membayar mahal (pakej VIP), ditempatkan dekat dengan Jamarat.

Kami yang tinggal di perkhemahan ini, disediakan makanan secara bungkus sebanyak tiga kali sehari, nasi kering tanpa kuah (mungkin untuk mengurangkan keperluan kepada bilik air). Ramai jemaah membawa bekalan serunding dll. sebagai lauk tambahan. Makanan yang paling popular lima hari ni ialah Indomie, orang yang tak makan maggi mi di Malaysia pun terpaksa makan di sini…

Lanjutan di Mina

Lelaki dan perempuan di khemah yang berasingan, diberikan tilam kecil sebuah seorang (nak dapat tilam, Ash-Har kena bayar tambahan kepada Muassasah) seelok-elok muat badan, seperti liang-lahad, sebagai peringatan kepada kematian.

Hujan Lebat di Mina – Makkah

Pada hari Nafar Awwal (12 Zulhijjah), tahun ini, waktu Asar hujan lebat turun di Makkah dan Mina. Waktu itu kami berada di dalam khemah hendak menunaikan solat Asar. Hujan turun dengan lebatnya… banyak juga selipar hanyut, dan ada khemah jiran kami yang dimasuki air.

Hari Ke Tiga Belas

Semua jemaah haji pulang ke Makkah. Pelbagai pengalaman dirasai oleh jemaah haji, ada bas ditahan oleh polis trafik yang bertugas, maka mereka terpaksa turun bas dan berjalan jauh sambil menarik bag pakaian menuju ke hotel.

14 Zulhijjah

Abu Anas tawaf pada pagi 14 Zulhijjah.

Tawaf pada pagi 14 Zulhijjah, mula jam 6.10 am, selesai jam 7.20 am, setelah selesai solat sunat tawaf dan minum air zamzam, pergi ke Mas’aa (tempat Saie) selesai semua jam 8.30 pagi. ربنا تقبل منا إنك أنت السميع العليم

Ceramah “Muhasabah Selepas Haji”

Setelah berehat beberapa hari, kami mula mengadakan ceramah “Muhasabah Selepas Haji” dan lain-lain tajuk yang dipilih. Jemaah pula kembali mula aktif melakukan umrah semula, berulang-ulang kali.

Jika ditanya kepada ana tentang masalah ini, susah untuk dijawab, kerana ia tidak menjadi amalan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda yang selepasnya juga. Namun permintaan Ummul Mukminin Aisyah RA untuk melakukan umrah selepas haji tidak dilarang oleh Rasulullah SAW, maka ini menjadi asas hukum bahawa ianya boleh dilakukan, wallahu a’lam.

Abu Anas, Makkah: 19 Zulhijjah 1431H.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *