CATATAN REHLAH KE CHINA 2011 (2)

ATURCARA PERJALANAN.

Hari Pertama: Sabtu 2/4/11:

Rombongan berkumpul di Airport Sultan Ismail Petra, Kota Bharu. Flight MH1397 ke KLIA pada jam 4.45pm, dengan segala barang-barang ditimbang terus ke Beijing.

Dalam perjalanan KB-KL, ana duduk sebelah al-Fadhil Tuan Guru Hj Husin Ibrahim (dikenali dengan panggilan “Abe Aji”) Pondok Lubuk Tapah. Beliau menceritkan gurunya menerima ijazah satu doa musafir di atas unta dalam perjalanan Madinah-Makkah, beliau pula menerima daripada gurunya di  atas bas dalam perjalanan ke Madinah, Dia ijazahkan doa kepada Abu Anas Madani di atas Kapal Terbang ini. Demikian sifat para ulama’ suka nasihat-menasihati dan memberikan ilmunya tidak kira tempat dan masa.

Setelah sampai di KLIA, ahli rombongan solat asar, minum petang dan bersiap-siap. Pada jam 8.30pm check-in untuk penerbangan ke Beijing dengan Air China yang dijadualkan berlepas pada jam 10.40pm. Tetapi kami menerima berita kurang baik, bahawa flight telah delay, dan dijangka berlepas pada jam 12.10 tengah malam. Tunggu punya tunggu, kami diberi kupon untuk makan malam dan berita terkini dijangka terbang jam 5.00am.

Ada di antara kami yang mengeluh kerana tidak sempat solat subuh dengan sempurna sebelum terbang. Mungkin berkat doa-doa tuan guru yang ada, apabila kami bangun untuk bersiap pada jam 3.00am, kami dikhabarkan bahawa flight akan berlepas pada jam 8.00am. Alhamdulillah maka bersolat tahajjudlah rombongan kami di musalla airport pagi itu.

Apabila terpaksa berkubu hampir 12 jam di KLIA, memang menguji kesabaran, maka sesiapa yang menghadapi situasi ini, banyakkanlah berdoa kerana doa musafir antara doa yang mustajab.

3/4/11:Ahad: Beijing.

Alhamdulillah pada jam 9.00 pagi Ahad, 3/4/2011 kami selamat berlepas ke Beijing dengan penerbangan Air China CA972. Penerbangan ini memakan masa 6 jam. Tidak terdapat perbezaan waktu (jam) antara Malaysia dan China.

Selamat sampai di Beijing pada  jam 3.02pm. Turun dari kapal terbang, kami mendapati orang ramai beratur panjang, kami pun turut beratur, rupa-rupanya Syarikat Air China memberi pampasan kepada para penumpang disebabkan kelewatan penerbangan semalam. Setiap seorang mendapat 1000 Yuan (RM500 lebih kurang). Ini satu rezeki yang tidak disangka, tetapi kami telah terlepas beberapa program yang telah diatur pada hari ini.

Setelah selesai mengambil beg-beg, kami terus mengadakan solat zohor dan asar jama’ secara berjemaah, di tengah-tengah dewan aiport tersebut dan mendapat perhatian ramai.

Kami disambut oleh wakil Halal Tour, (travel agent yang akan menguruskan semua perjalanan kami di Beijing) seorang berbangsa Cina yang bernama Lina Fan. Beliau boleh berbahasa Melayu setelah belajar bahasa ini selama 8 bulan di Universiti Beijing. Kami mendapati beliau lebih fasih berbahasa Melayu daripada sebahagian bangsa Cina yang lahir di Malaysia ini.

Dengan menaiki bas kami dibawa makan tengahari ke sebuah restoran halal. Al-Mat'am Al-Islami

Untuk maklumat pembaca, restoran halal di sana bercampur untuk yang halal dan haram, Cuma diasingkan tempat makan, bagi muslim boleh dicami dengan tulisan ‘Halal’ dan ayat-ayat al-Quran.

Maka tidak peliklah kelihatan almari-almari yang dipenuhi oleh botol-botol arak. Bila ditanya kenapa? pengusahanya mengatakan jika tiada alcohol, orang bukan Islam tidak akan mengunjungi restoran mereka, untuk mengharapakan cuma pelanggan Islam adalah tidak mencukupi untuk perniagaan mereka. Begitu juga pakaian para pelayannya. tidak dapat dicami Islam atau tidak, sama dan lebih kurang dengan restoran orang Islam di Malaysia aje..

Kemudian kami terus dibawa melawat medan Olimpik Beijing (Olympic Park). Sukan Olimpik telah diadakan di China pada tahun 2008, sebuah stadium yang terkenal dengan gelaran “Stadium Sarang Burung” kerana keunikan bentuknya telah dibina dan menjadi perhatian dunia. Ramai sekali orang ramai yang berjalan-jalan kaki sambil mengambil gambar, cuaca pula sangat sejuk dengan angin yang agak kuat.

Hampir jam 10.00pm kami check-in di Beijing Chang- Feng Hotel. Ana ditempatkan di bilik 1213 bersama seorang tokoh ulama’ yang masyhur di Kelantan iaitu Ustaz Haji Abdul Halim bin Derani, dari Pondok Pasir Tumbuh. Teman sebilik ini akan bersama sepanjang rehlah ini sehingga balik nanti. Kami hanya dapat melakukan solat jemaah di celah lorong antara bilik hotel, ini kerana tiada kemudahan musalla disediakan.

Isnin, 4/4/11.

Selepas solat Subuh dan tazkirah oleh ustaz Haji Husin berserta ijazah tiga buah doa pula (masih di celah lorong bilik). Kami dibawa keluar futur ke sebuah Halal Restoran.

Kemudian ke Tian An Men Square dan seterusnya melawat Forbidden City, kami dimaklumkan bahawa lawatan akan dilakukan secara ‘berjalan kaki’  dan memakan masa lebih kurang 2.30-3 jam!!

Tian An Men Square yang terkenal sebagai Medan Berdarah kerana berlakunya demonstrasi pelajar yang menentang pemerintah Rejim Komunis pada tahun 1989, yang mendapat liputan seluruh dunia. Pengorbanan para pelajar yang terbunuh ini berbalas dengan kejatuhan rejim Komunis.

Ianya sebuah medan yang sangat luas dengan keluasan 44 hektar Di hujung medan ini terdapat Memorial Hall untuk Presiden Mao Zedong yang dibina pada tahun 1976. Di dalamnya terdapat keranda Kristal yang mengandungi mayat mendiang. (Kami tidak masuk ke dalam Hall ini, sekadar bergambar di luar bangunannya sahaja). Kota Larangan

Kami terus berjalan melepasi Memorial Hall ini dan tiba di pintu pagar utama Forbidden City. Untuk memasukinya tiket berbayar dikenakan. Kami terlupa pula untuk menanyakan kepada pemandu kami yang membayar kesemua tiket tersebut.

Kota yang sangat luas dan komplek ini di bina pada tahun 1406M dan siap pada 1420M, pada zaman Dinasti Ming. 24 orang Maharaja Dinasti Ming sempat mendudukinya, dan 10 orang daripada Dinasti Qing yang selepasnya. Luasnya 70 hektar (iaitu dapat memuatkan lebih kurang 100 buah padang bola; mengikut kata pemandu pelancong kami). Terdapat 9000 buah bilik, dan diandaikan jika seorang bayi yang baru lahir tidur di setiap bilik yang berlainan pada setiap malam, ianya akan habis apabila ia berumur hampir 25 tahun!!

Forbidden City ini telah diwartakan sebagai salah satu “World Cultural Heritage Site”.

Ini adalah satu lambang keangkuhan manusia yang memerintah, kita lihat walaupun semewah dan sekuat mana pun mereka, di manakah mereka sekarang? Tiada yang kekal kecuali Allah SWT, sebagai seorang yang beriman inilah pengajaran yang harus kita ingat dan pegang. Hanya iman dan takwa sahaja sebagai bekal yang boleh membantu kita di akhirat nanti.

Selesai lawatan yang  memenatkan kaki ini, kami dibawa makan tengahari ke Restoran Halal, kemudian ke Masjid Niujie.

Masjid Niujie [مسجد نيوجيه] ialah masjid tertua di Beijing, China. Ia pertama kali dibina pada 996M dan dibina semula dan juga dibesarkan di bawah Maharaja Qing Kangxi (1622-1722M).Masjid Niujie di Beijing

Masjid ini terletak di Niujie, Daerah Xuanwu Beijing, pusat ibadat untuk 10,000 umat Islam yang menetap di kawasan itu dan ia merupakan yang terbesar dan tertua di Beijing. NiuJie merupakan kawasan terbesar diduduki oleh umat Islam di Beijing.

Masjid Niujie meliputi suatu kawasan lebih kurang 6000 meter persegi. Masjid ini merupakan campuran budaya Islam dan Cina. Dari luar, gaya seni binanya menunjukkan pengaruh Cina sementara bahagian dalamnya mempunyai kebanyakannya hiasan Islam. Masjid ini yang dibina dari kayu balak ini juga merupakan tempat simpanan kepada beberapa relik dan batu bersurat kebudayaan penting seperti batu bersurat berdiri yang tertulis suatu titah seorang maharaja pada 1694M di zaman Dinasti Qing. [http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Niujie].

Waktu solat di masjid ini telah ditetapkan. Pada hari kami bersolat di situ, mengikut takwim, waktu zohor masuk pada jam 12.18 tengahari. Tetapi waktu solat didirikan telah ditetapkan pada jam 1.30 tghari. Imam-imamnya masuk secara serentak dan tertib, terus duduk di saf depan. Azan pula hanya dilaungkan di tepi tangga tanpa alat pembesar suara. Para makmun juga amat berdisiplin dan memenuhi saf di depan.

Masjid ini juga menyediakan kerusi dan meja (seperti meja dan bangku sekolah) untuk orang-orang tua yang tidak berupaya. Mereka solat sambil duduk di atas kerusi, kemudian apabila ingin sujud, mereka bangun lalu sujud di atas meja! Hanya di masjid ini yang kami jumpa fenomena sebegini sepanjang lawatan kami ke masjid-masjid.

Di belakang masjid terdapat dua buah kubur kepunyaan ulama’ yang menjadi guru di masjid ini pada sekitar tahun 1270M. Seorangnya dari Bukhara dan seorang lagi dari Qazwin, Parsi.

Selepas solat kami dibawa ke souvenir shops, yang menjadi tempat yang wajib dilawati oleh Agensi Pelancongan di sini.

Terdapat lima atau enam tempat yang dipaksa untuk pergi iaitu dua buah kedai jade, dua buah kedai ubat tradisional Cina, satu kedai sutera dan sebuah kedai pasu buyung/ tempayan. Ana rasa semua orang Malaysia yang datang melalui agensi pelancongan akan “melalui” kedai-kedai yang sama ini. Mengikut statistik yang dikeluarkan, sektor pelancongan di Beijing memungut pendapatan lebih kurang 5 billion pada tahun lepas (2010M).

Pada hari ini  kami dibawa ke;

1) Kedai Kain Sutera. Dapatlah kami melihat proses membuat sutera, bermula daripada kepompong dan ulat-ulatnya. Kepomponglah yang dijadikan benang sutera dan dibuat kain. Tahi ulat pula dijadikan isi bantal. Mengikut penjual yang mengempen kami untuk membeli kain cadar daripada sutera, ramai orang Malaysia yang membelinya. Ingatan saya untuk semua muslimin, kaum lelaki adalah haram untuk menggunakan sutera walaupun sebagai alas/cadar atau selimut, apatah lagi dijadikan pakaian. Bagi kaum perempuan tiada masalah, maka beringatlah dalam hal cadar ini, kerana penggunanya biasa lelaki dan perempuan.

2) Kedai Ubat Tradisional. Di sini kami disuruh merendam kaki dalam air ubat sambil diurut. Mereka ketawa apabila kami meminta agar semua tukang urut kami lelaki, Alhamdulillah permintaan ini dipenuhi. Proses ini percuma lagi. Tetapi ketika ini datanglah tabibnya membaca tapak tangan untuk melihat penyakit yang dihidapi, kemudian memberi nama-nama ubat yang harus dibeli daripadanya. Semuanya banyak dan bernilai beribu-ribu Yuan, Ana sendiri dicadangkan untuk membeli ubat sehingga 2400 Yuan. Ada juga yang sampai 8000 Yuan. Ada juga di antara ahli rombongan kami yang membeli sebahagian daripada ubat-ubat yang dijual. Jadi berhati-hatilah jika anda dibawa ke kedai sebegini.

3) Pusat Jade 1. Kami kemudiannya di bawa ke sebuah kedai Jade. Salah seorang penjualnya merupakan seorang Cina yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia. Beliau menceritakan kami tentang proses dan cara membuat jade ini. Setibanya kami di kedai, penyambut tetamunya ketawa apabila melihat ahli rombongan kami yang terdiri daripada lelaki semuanya. Ini bererti perangkap mereka tidak akan berapa mengena hari ini. Tetapi ada juga ahli rombongan kami yang membeli serba sedikit.

Kami kemudian dibawa ke bazar biasa (yang memang sesuai dan patut untuk membeli souvenir). Barang-barang yang dijual sebenarnya berharga murah, tetapi harga yang dibuka terlalu tinggi, contohnya jika diletakkan 500 Yuan, kita perlu menawarnya sehingga 50 Yuan sahaja, kemudian naiklah sehingga ke harga yang disepakati. Penjual-penjual ini boleh berbahasa Inggeris, bahkan kebanyakan penjaja di tepi jalan boleh membilang dalam bahasa Malaysia. Lebih kurang penjual Bangla dan Takaroni di Makkah-Madinah

Dari pengalaman ana, jika berjumpa penjaja ini, adalah patut untuk membeli barang-barang souvenir seperti beg dan lain-lain kerana harganya murah, dan apabila kita keluar dari Beijing, tidak ada lagi penjaja jalanan sebegini.

Selesai shoping kami di bawa restoran halal lain pula. Selepas makan malam kami balik berehat ke hotel….

Kedai ditutup Jam 6pm.

Untuk maklumat; Kebanyakan kedai-kedai di China ditutup pada jam 6 petang, kecuali kedai yang besar, seperti supermarket dibuka sehingga jam 9 malam. Tidak kelihatan pula pasar malam atau apa-apa perniagaan yang menjalankan operasinya pada waktu malam.

Alangkah baiknya jika di tempat kita juga kedai beroperasi setakat jam 6 petang, tidak ada lagi pasar malam. Waktu yang ada kita imarahkan rumah-rumah Allah dengan ibadat dan pengisian ilmu. Kalau mereka boleh mengapa kita tak boleh? Pada pengamatan ana –secara peribadi- adanya pasar malam dikampung/bandar banyak menganggu ketenangan malam untuk beribadat dan mencari ilmu.. anak-anak muda pula mengambil kesempatan untuk keluar rumah kononnya untuk membeli keperluan… semoga seruan ini ada telinga yang mendengarnya…!!

Selasa, 5/4/2011.

Keluar dari hotel, kami dibawa futur ke sebuah restoran halal. Dalam perjalanan ke Great Wall kami dibawa pula singgah ke dua buah kedai lagi yang “diwajibkan”;

1) Pusat Jade yang lebih besar daripada kelmarin. Di dalamnya terdapat juga kedai kain, cadar yang siap dengan tulisan iklan Bahasa Melayu. Mengikut maklumat, pada tahun lepas terdapat lebih daripada 10,000 pelancong Malaysia yang melawat Beijing.

2) Pusat Rawatan Tradisional 2. Dimulai dengan syarahan pasal enam jenis ubat-ubatan, hampir satu jam (dalam bahasa Melayu Indon). Penceramahnya siap membakar tangan dengan besi panas untuk tunjuk ubatnya kuat, malangnya tak seorangpun membeli ubatnya, kerana nampak sangat dia terlampau dan tak lojik. Syarahannya pula terlalu panjang dan meleret, sedangkan hati kami sudah tidak sabar lagi untuk ke Great Wall. Tembok Besar Yg Bersejarah

Akhirnya hampir waktu tengahari baru dapat melawat ke Great Wall of China iaitu pada 11.30am, Sedangkan pada jam 1.00pm kami sudah diarahkan supaya turun. Kami mendaki mengikut kemampuan masing-masing, ada yang sehingga ke stesen pertama, ada juga yang mencuba sehingga ke stesen kedua, tetapi menjadi mabuk dan pening. Dinasihatkan kepada sesiapa yang tidak bersedia dari segi stamina dan fizikal, cukuplah sekadar di kakinya atau stesen pertama dan  bergambar di sekitarnya sahaja.

Di kaki Great Wall ini juga ana berjumpa dengan satu benda pelik; iaitu beribu ibu kunci (mangga) telah dikuncikan di satu tali khas yang terdapat di situ. Rupanya ini tanda cinta, biasanya sepasang kekasih akan datang bersama, selepas menguncikan mangga di tali itu, mereka akan mencampakkan anak kunci ke bawah. Bila ana bertanya, mereka berkata: Love…love!

Inilah bida’ah di kaki GW…

Setelah penat meronda-ronda dan mendaki setakat yang mampu dan bergambar disetiap sudut, maka pada jam 1.30pm kami mula menaiki bas dan turun dari GW dan dibawa ghada’ ke sebuah restoran yang terletak dikilang tempat membuat pasu/gogok/tempayan besar.

Di tingkat atasnya restoran umum dan halal, serta ada musalla khas. alhamdulillah selepas ghada’ kami pun terus menunaikan solat zuhur & asar jama’ secara berjamaah.

Jam 3.30pm bertolak ke Airport Beijing..

Alhamdulillah lagi, di airport ada sebuah Restoran Halal,  jadi dapatlah kami makan malam di situ dengan hidangan “mee mangkuk besar”. Kemudian pada 8.10pm kami bertolak dengan Air China CA1277 ke Lanzhou, penerbangan mengambil masa selama 2.30 jam dari Beijing. Entah apa nama airport  yang kami tiba tu, semuanya ditulis dengan tulisan Cina, Nampak gah juga negara ni, tempat yang begitu penting pun tidak menggunakan bahasa Inggeris.

Setibanya di bandar Lanzhou,  ibu negeri wilayah Gansu, kami disambut oleh dua orang saudara Muslim Cina tempatan iaitu  saudara Daud, seorang tokoh usahawan Islam yang berjaya disini dan Prof  Osman, seorang pensyarah universiti. Kami dibawa dengan bas ke Gansu Nongken Hotel. Perjalanan dari airport ke hotel di bandar agak jauh, iaitu selama 1jam. Setelah sampai kami terus check-in, udaranya sangat sejuk lalu kami yang kepenatan seharian berjalan terus berehat, alhmdulillah.

Abu Anas, SD 13/4/2011.

Lihat Gambar di: http://www.facebook.com/album.php?id=124946954198614&aid=70856

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *