Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Amalan-Amalan Di Bulan Ramadan

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 5 September 2007 · 13 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Pendahuluan

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita dalam kalangan orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil).” [Al-Baqarah: 185]

Ramadan datang lagi dan ia pasti akan berlalu meninggalkan kita. Itulah sunnatullah ke atas makhluk-Nya; tiada yang kekal kecuali Allah, Pencipta Yang Maha Berkuasa.

Risalah ini ditulis sebagai satu tazkirah tentang beberapa kelebihan bulan Ramadan serta amalan yang sepatutnya mengisi sepanjang bulan yang mulia ini.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak menyedari kelebihannya dan tidak mengetahui bagaimana para ulama serta orang-orang soleh terdahulu (salafus soleh) menyambut bulan yang mulia ini.

Semoga ia menjadi panduan dan pembangkit semangat untuk beramal dengan sebaik-baiknya.

Kelebihan dan Keistimewaan

Allah SWT telah menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan yang mulia berbanding bulan-bulan lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya:

  1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi.
  2. Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.1
  3. Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadan.1
  4. Syaitan-syaitan dibelenggu pada bulan Ramadan.
  5. Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.
  6. Pada bulan ini terdapat Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk berbuat kebaikan dan beramal padanya, maka dia telah terlepas segala kebaikannya.
  7. Orang-orang yang berpuasa diampunkan pada malam terakhir bulan Ramadan.1
  8. Pada setiap malam Ramadan, Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka.

Amalan-Amalan

Antara amalan wajib dan amalan sunat yang sangat digalakkan pada bulan Ramadan ialah:

Berpuasa

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ، قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: إِلاَّ الصَّوْمَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ. [مسلم: 1151]

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya; satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda hingga 700 kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya ia untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya. Dia meninggalkan syahwatnya dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.” [HR Muslim, no. 1151, daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu]

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. [متفق عليه]

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala), diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” [HR al-Bukhari, no. 38 dan Muslim, no. 760]

Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani. Kaedah berpuasa juga digunakan oleh para doktor untuk merawat sebahagian penyakit seperti masalah kegemukan. Dari sudut rohani, ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih kesabaran, memahami erti kefakiran dan sebagainya.

Ramadan dan Membaca Al-Quran

Fatimah az-Zahra’ radhiyallahu ‘anha menceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW memberitahunya bahawa Jibril bertadarus al-Quran bersama Baginda sekali setiap tahun (pada bulan Ramadan) dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak dua kali. [HR al-Bukhari, no. 3624 dan Muslim, no. 2450]

Ulama salaf bersungguh-sungguh memperbanyak bacaan al-Quran pada bulan Ramadan.

Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh tiga malam, sebahagian mereka setiap minggu dan sebahagian mereka sepuluh hari sekali. Mereka membaca al-Quran pada bulan Ramadan di dalam solat dan juga di luar solat.

An-Nakha‘i rahimahullah mengkhatamkan al-Quran dua hari sekali pada sepuluh hari terakhir.

Qatadah rahimahullah pula kebiasaannya mengkhatamkan al-Quran sekali seminggu, tetapi apabila tiba Ramadan beliau mengkhatamkannya setiap tiga hari dan setiap malam pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Imam asy-Syafi‘i rahimahullah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali pada bulan Ramadan dan beliau membacanya di luar solat.

Apabila masuk bulan Ramadan, Imam az-Zuhri rahimahullah berkata: “Sesungguhnya ia bulan membaca al-Quran dan memberi makan.”

‘Abd ar-Razzaq rahimahullah berkata: “Sufyan ath-Thauri, apabila masuk bulan Ramadan, beliau meninggalkan semua ibadah (sunat yang lain) dan menumpukan perhatiannya kepada membaca al-Quran.”

Ibnu Rajab rahimahullah berkata: “Larangan mengkhatamkan al-Quran kurang daripada tiga hari ialah bagi mereka yang menjadikannya amalan biasa yang berterusan. Adapun pada waktu-waktu yang mempunyai keutamaan seperti bulan Ramadan, khususnya malam-malam yang dijangka Lailatul Qadar atau ketika berada di tempat-tempat yang mempunyai kelebihan seperti Makkah bagi orang luar yang memasukinya, maka disunatkan memperbanyak bacaan al-Quran sebagai merebut peluang masa dan tempat.” Ini ialah pendapat Imam Ahmad, Ishaq dan imam-imam yang lain. [Lata’if al-Ma‘arif]

Qiyamullail

Seorang mukmin pada bulan Ramadan berhadapan dengan dua jihad dalam dirinya: pertama, jihad pada siang hari dengan berpuasa dan kedua, jihad pada malam hari dengan qiyamullail. Sesiapa yang berjaya melaksanakan kedua-dua jihad ini dengan menunaikan hak-haknya secara sabar dan sempurna, maka ganjarannya amat besar tidak terhingga.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Sesiapa yang bangun (solat malam) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala), diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” [HR al-Bukhari, no. 37 dan Muslim, no. 759]

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pemurah ialah mereka yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang-orang yang menghabiskan malam dengan sujud dan berdiri kerana Tuhan mereka.” [Al-Furqan: 63–64]

Qiyamullail ialah kebiasaan Nabi SAW dan para sahabat yang tidak pernah mereka tinggalkan. Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha pernah berkata: “Jangan engkau tinggalkan qiyamullail. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya dan apabila Baginda sakit atau lesu, Baginda solat sambil duduk.” [HR Abu Dawud, no. 1307]

‘Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu bersolat malam sebanyak yang dikehendaki Allah; apabila sampai pertengahan malam, beliau mengejutkan ahli keluarganya untuk bersolat sambil berkata: “Solat, solat!” Lalu beliau membaca ayat al-Quran ini, maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik itu bagi orang yang bertakwa.” [Taha: 132] [Riwayat Malik dalam al-Muwatta’]

As-Sa’ib bin Yazid berkata: “Dahulu qari (imam) membaca beratus-ratus ayat sehingga kami bertongkat kerana terlalu lama berdiri dan mereka tidak selesai solat kecuali ketika hampir fajar.” [Riwayat Malik dalam al-Muwatta’]

Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat tarawih bersama imam supaya namanya tertulis dalam kalangan orang yang berqiyam.

Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam ke-23 sehingga satu pertiga malam dan pada malam ke-25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda SAW: “Alangkah baiknya jika tuan menyempurnakan baki malam kami ini dengan solat sunat.” Maka Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya sesiapa yang berdiri (solat) bersama imam sehingga imam selesai, dituliskan baginya pahala qiyam semalaman.” [HR at-Tirmizi, no. 806; kata at-Tirmizi: hasan sahih]

Imam Ahmad rahimahullah mengamalkan hadis ini; beliau bersolat bersama imam dan tidak beredar sehinggalah imam selesai.

Sebahagian ulama salaf berkata: “Sesiapa yang bangun solat separuh malam bersama imam, seolah-olah dia telah bangun solat sepanjang malam.”

Bersedekah

Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata: “Rasulullah SAW ialah manusia yang paling pemurah dan Baginda menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan… dan Baginda SAW lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.” [HR al-Bukhari, no. 6 dan Muslim, no. 2308]

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.

Sabda Nabi SAW, maksudnya: “Peliharalah diri kamu daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar.” [HR al-Bukhari, no. 1417 dan Muslim, no. 1016]

Ibnu Rajab menukilkan kata-kata Imam asy-Syafi‘i: “Aku suka seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadan kerana mengikut jejak Rasulullah SAW dan kerana pada ketika itu manusia berhajat kepada bantuan untuk keperluan mereka, sebab ramai yang sibuk dengan puasa dan solat daripada pekerjaan masing-masing.”

Rasulullah SAW pernah ditanya: “Apakah sedekah yang paling afdal?” Baginda bersabda, maksudnya: “Sedekah pada bulan Ramadan.” [HR at-Tirmizi, no. 663; sanadnya dhaif]

Sedekah mempunyai banyak cara dan cabang:

Memberi Makan

Firman Allah SWT, maksudnya: “Dan mereka memberi makan, walaupun mereka menyukainya, kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan. (Sambil berkata:) Sesungguhnya kami memberi makan kepadamu hanyalah kerana mengharapkan keredaan Allah; kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula ucapan terima kasih. Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (pada hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Maka Tuhan memelihara mereka daripada kesusahan hari itu dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan Dia membalas mereka kerana kesabaran mereka dengan syurga dan (pakaian) sutera.” [Al-Insan: 8–12]

Para ulama salaf sangat menitikberatkan amalan memberi makan dan mendahulukannya daripada banyak ibadat lain, sama ada dengan memberi makan orang yang kelaparan atau menjamu sahabat-sahabat yang soleh; ia tidak disyaratkan hanya kepada orang fakir.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga ada bilik-bilik yang bahagian luarnya kelihatan dari dalam dan bahagian dalamnya kelihatan dari luar.” Lalu seorang Arab badwi bangun dan bertanya: “Untuk siapakah bilik-bilik itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Bagi mereka yang baik tutur katanya, memberi makan, sentiasa berpuasa dan bersolat kerana Allah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur.” [HR at-Tirmizi, no. 1984; dinilai hasan oleh al-Albani]

Ramai ulama salaf (antaranya al-Hasan al-Basri dan Ibnu al-Mubarak rahimahumallah) memberi makan sahabat-sahabat mereka sedangkan mereka sendiri berpuasa. Mereka duduk melayani dan berkhidmat kepada orang yang makan serta memenuhi keperluan mereka.

Hammad bin Abi Sulaiman rahimahullah menyediakan juadah berbuka puasa untuk 500 orang pada bulan Ramadan dan beliau memberi setiap orang daripada mereka 100 dirham selepas Hari Raya.

Abu as-Sawwar al-‘Adawi rahimahullah berkata: “Beberapa orang lelaki daripada Bani ‘Adi bersolat di masjid ini; tidak seorang pun daripada mereka pernah berbuka puasa sendirian. Jika ada orang yang makan bersamanya, dia makan bersamanya; jika tidak, dia membawa makanannya ke masjid lalu makan bersama-sama orang ramai.”

Ibadat memberi makan menjadi asas kepada banyak ibadat lain, seperti rasa kasih sayang terhadap sahabat yang diberi makan; dan ini menjadi salah satu sebab untuk masuk syurga, kerana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak beriman sehingga kamu saling mengasihi.” [HR Muslim, no. 54]

Ia juga akan melahirkan majlis orang-orang soleh yang mengharapkan pahala dengan bekerjasama di atas ketaatan, yang dikuatkan dengan makanan yang disedekahkan tadi.

Memberi Makan (Berbuka) Orang yang Berpuasa

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan (untuk berbuka) kepada orang yang berpuasa, dia mendapat pahala seperti pahala orang itu tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” [HR at-Tirmizi, no. 807; kata at-Tirmizi: hasan sahih]

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Wahai manusia! Sebarkanlah salam, berilah makan dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu masuk syurga dengan sejahtera.” [HR Ahmad dan at-Tirmizi, no. 2485; sahih]

Semua ini menunjukkan bahawa menghimpunkan puasa dan sedekah lebih berkesan untuk menghapuskan dosa dan kesilapan serta menghalang daripada neraka Jahanam, lebih-lebih lagi jika disertakan dengan qiyamullail.

Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Puasa ialah perisai, sedekah memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api dan begitu juga solat seseorang pada tengah malam.” [HR Ahmad, at-Tirmizi, no. 2616 dan Ibnu Majah, no. 3973; kata at-Tirmizi: hasan sahih]

Menjaga Percakapan

Menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak berhajat kepada perbuatannya meninggalkan makanan dan minumannya.” [HR al-Bukhari, no. 1903]

Hadis tersebut menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada pembohongan serta kata-kata yang sia-sia dan tidak berfaedah sebagaimana seseorang menahan diri daripada makan dan minum. Sekiranya dia tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka berkuranganlah pahalanya dan dia terdedah kepada kemurkaan Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu berpuasa pada suatu hari, janganlah dia berkata keji (rafath) dan janganlah dia bertengkar. Sekiranya seseorang mencaci atau memeranginya, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!” [HR al-Bukhari, no. 1904 dan Muslim, no. 1151]

Sayyidina ‘Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu berkata: “Sesungguhnya puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makanan dan minuman, tetapi juga daripada dusta, kebatilan dan perkara yang sia-sia.” [Riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf]

Mujahid berkata: “Dua perkara yang sesiapa memeliharanya, selamatlah puasanya: ghibah (mengumpat) dan dusta.” Abu al-‘Aliyah pula berkata: “Orang yang berpuasa sentiasa berada dalam ibadat selagi dia tidak mengumpat.”

Rahsia di sebalik larangan-larangan ini, khususnya ketika berpuasa, ialah mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus tidak akan sempurna kecuali setelah meninggalkan perkara-perkara yang haram. Ia seumpama orang yang meninggalkan perkara fardu untuk melakukan perkara sunat. Apakah natijahnya? Puasanya tetap sah menurut pendapat majoriti ulama dan dia tidak perlu menggantikannya, kerana sesuatu amalan hanya terbatal dengan melakukan perkara-perkara khusus yang membatalkannya; cuma pahalanya berkurang. Wallahu a‘lam.

Doa, Zikir dan Istighfar

Semua hari Ramadan ialah waktu yang mulia, maka ambillah kesempatan ini dengan memperbanyak zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:

  • Ketika hampir waktu berbuka. Nabi SAW menyebutkan tiga golongan yang doanya tidak ditolak, antaranya orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. [HR at-Tirmizi, no. 3598 dan Ibnu Majah, no. 1752; at-Tirmizi menilainya hasan, manakala sebahagian ahli hadis melemahkan lafaz ini; maknanya disokong oleh riwayat al-Baihaqi “Tiga doa yang mustajab: doa orang yang berpuasa…” yang dinilai sahih oleh al-Albani]
  • Pada sepertiga malam yang akhir ketika Allah SWT berfirman: “Adakah sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku perkenankan? Adakah sesiapa yang memohon keampunan daripada-Ku, maka Aku ampunkan?” [HR al-Bukhari, no. 1145 dan Muslim, no. 758]
  • Memohon keampunan Allah pada waktu sahur. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan pada waktu sahur mereka memohon keampunan.” [Az-Zariyat: 18]

Jangan kita lupa juga ganjaran-ganjaran yang besar bagi orang yang berzikir. Banyak nas al-Quran dan hadis Nabi SAW yang sahih menjelaskannya.

Umrah pada Bulan Ramadan

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Umrah pada bulan Ramadan menyamai satu haji.” Dalam riwayat lain: “Menyamai haji bersamaku.” [HR al-Bukhari, no. 1782 dan 1863 dan Muslim, no. 1256]

Beriktikaf

Antara kelebihan khusus sepuluh hari terakhir Ramadan ialah digalakkan beriktikaf padanya.

Lailatul Qadar

Pada bulan Ramadan yang berkat ini, Allah SWT menghadiahkan kepada hamba-hamba-Nya satu malam yang sangat berkat, iaitu Lailatul Qadar.

(Kedua-dua kelebihan ini, iktikaf dan Lailatul Qadar, dijelaskan dalam risalah kedua. Lihat juga Koleksi Risalah Ramadan dan Syawal.)

Penutup

Sabda Rasulullah SAW ketika menaiki mimbar di Madinah, maksudnya: “Amat malang orang yang berkesempatan melalui Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya.” [HR Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi; juga at-Tirmizi, no. 3545 dengan lafaz yang hampir sama]

Oleh itu, tidak sepatutnya seorang Muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan berazam memperuntukkan waktu kita dengan amal ibadat bagi merebut ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufik dan hidayah; semoga Ramadan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas, dituliskan nama kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat keampunan dan selamat daripada azab neraka. Amin.

Nota

  1. Perkara 2, 3 dan 7 dalam senarai kelebihan berasal daripada hadis Abu Hurairah “Umatku diberi lima perkara pada bulan Ramadan…” riwayat Ahmad, al-Bazzar dan lain-lain, yang dinilai sangat lemah (dhaif jiddan) oleh al-Albani (Dha‘if at-Targhib, no. 586). Dalam riwayat Ahmad, yang memohon keampunan bagi orang berpuasa ialah ikan-ikan (al-hitan), manakala dalam riwayat lain disebut malaikat. Perkara-perkara lain dalam senarai itu sabit dalam hadis-hadis sahih (al-Bukhari, no. 1899 dan 1904; Muslim, no. 1079 dan 1151; at-Tirmizi, no. 682).

Rujukan

  • Ibnu Rajab, Lata’if al-Ma‘arif.
  • Dr. Salman al-‘Audah, Majalis Ramadaniyyah.
  • Hal as-Salaf fi Ramadan, Dar al-Watan, Riyadh.
  • Risalah Syahr Ramadan, Dar al-Watan.
  • Ust. Khafiz bin Abdul Basir, Risalah Ramadan, PPM Madinah, 2005.

Akhukum, Abu Anas Madani, Kelantan, 23 Syaaban 1428H / 5 September 2007.

Bacaan berkaitan

Rujukan

29 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 185.

    Quran.com
  2. Sahih Muslim, no. 1151 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, no. 38; Sahih Muslim, no. 760.

    Sunnah.com
  4. Sahih al-Bukhari, no. 1899; Sahih Muslim, no. 1079.

    Sunnah.com
  5. Sunan at-Tirmizi, no. 682.

    Sunnah.com
  6. Ad-Durar as-Saniyyah: hadis 'أعطيت أمتي خمس خصال في رمضان' (Ahmad, al-Bazzar); al-Albani, Dha'if at-Targhib 586: dhaif jiddan.

    ad-Durar as-Saniyyah
  7. Sahih al-Bukhari, no. 3624; Sahih Muslim, no. 2450.

    Sunnah.com
  8. Sahih al-Bukhari, no. 37; Sahih Muslim, no. 759.

    Sunnah.com
  9. Al-Quran, Surah al-Furqan (25): 63–64.

    Quran.com
  10. Sunan Abi Dawud, no. 1307.

    Sunnah.com
  11. Al-Quran, Surah Taha (20): 132.

    Quran.com
  12. Sunan at-Tirmizi, no. 806 (riwayat Abu Dzar r.a.).

    Sunnah.com
  13. Sahih al-Bukhari, no. 6; Sahih Muslim, no. 2308.

    Sunnah.com
  14. Sahih al-Bukhari, no. 1417; Sahih Muslim, no. 1016.

    Sunnah.com
  15. Sunan at-Tirmizi, no. 663 (dhaif).

    Sunnah.com
  16. Al-Quran, Surah al-Insan (76): 8–12.

    Quran.com
  17. Sunan at-Tirmizi, no. 1984 (riwayat 'Ali r.a.).

    Sunnah.com
  18. Sahih Muslim, no. 54.

    Sunnah.com
  19. Sunan at-Tirmizi, no. 807.

    Sunnah.com
  20. Sunan at-Tirmizi, no. 2485.

    Sunnah.com
  21. Sunan at-Tirmizi, no. 2616.

    Sunnah.com
  22. Sahih al-Bukhari, no. 1903.

    Sunnah.com
  23. Sahih al-Bukhari, no. 1904.

    Sunnah.com
  24. Musannaf Ibn Abi Syaibah (athar 'Umar al-Khattab), dibincangkan di HadithAnswers.

    hadithanswers.com
  25. Sunan at-Tirmizi, no. 3598.

    Sunnah.com
  26. Sahih al-Bukhari, no. 1145; Sahih Muslim, no. 758.

    Sunnah.com
  27. Al-Quran, Surah az-Zariyat (51): 18.

    Quran.com
  28. Sahih al-Bukhari, no. 1782 dan 1863; Sahih Muslim, no. 1256.

    Sunnah.com
  29. Sunan at-Tirmizi, no. 3545.

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026