Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Batas-Batas Aurat Dalam Islam (Bahagian 2)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 15 Januari 2013 · 9 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Pendahuluan

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد

Poster panduan pemakaian menutup aurat bagi lelaki dan perempuan: wanita bertudung labuh dan berstoking, lelaki berpakaian longgar menutup pusat hingga lutut

Aurat dari segi bahasa ialah keaiban.

Manakala dari segi istilah syarak, aurat ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup.

Jadi, aurat bermaksud bahagian-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.

Aurat Ketika Bersendirian

  1. Jumhur ulama, iaitu mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali, berpendapat: “Sebagaimana dilarang seorang mukalaf (orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika darurat atau terpaksa dibuka seperti ketika qada hajat atau ketika mandi. Ketika darurat diharuskan membukanya.”
  2. Sementara ulama mazhab Maliki berpendapat: “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya, hanya makruh, kecuali ketika darurat kerana ketika darurat diharuskan membukanya.”1
Poster tiga lelaki berseluar paras pertengahan betis dengan hadis Ibn Umar riwayat Muslim tentang menaikkan kain hingga pertengahan betis

Batas-Batas Aurat Lelaki

Rasulullah s.a.w. bersabda:

عن أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ((لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ)) [صحيح مسلم]

Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut, demikian juga wanita dilarang berbuat demikian.” (HR Muslim, no. 338)

Perbezaan Pendapat Batas Aurat Lelaki

Ulama mempunyai pelbagai pendapat tentang had atau batas aurat lelaki ini:

1. Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat: “Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat hingga lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya kecuali isterinya. Selain isterinya, diharamkan melihat aurat di antara pusat hingga lututnya.”

Isteri boleh (harus) melihat aurat suami kecuali kemaluan kerana melihat kemaluan masing-masing adalah makruh.

2. Imam Malik dan Imam asy-Syafi‘i berpendapat aurat lelaki ada dua keadaan:

  1. Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja.
  2. Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya ialah seluruh tubuh badannya.

[Rujuk kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba‘ah, jilid 1, bab Mabhath Sitr al-‘Aurah.]

Batas Aurat Wanita dengan Lelaki

Jumhur ulama berpendapat bahawa aurat perempuan kepada lelaki yang bukan mahramnya ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tapak tangannya.2 Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam Surah an-Nur ayat 31, al-Ahzab ayat 53 dan ayat 59 serta riwayat beberapa buah hadis.

Firman Allah s.w.t.:

﴿وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ﴾

Maksudnya: “Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya; dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung mereka hingga menutupi dada.” (Surah an-Nur 24: 31)

Firman Allah s.w.t.:

﴿يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا﴾ الأحزاب (59)

Maksudnya: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian: hendaklah mereka menghulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah) lalu mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzab 33: 59)

Firman Allah lagi:

﴿وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ ۚ ذَٰلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ﴾ الأحزاب (53)

Yang bermaksud: “Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluan kepada mereka (isteri-isteri Nabi s.a.w.), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian adalah lebih menyucikan hati kamu dan hati mereka …” (Surah al-Ahzab 33: 53)

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Syihab, daripada ‘Urwah, daripada Aisyah r.anha katanya:

“Semoga Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang awal; tatkala Allah menurunkan ayat ‘dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung mereka hingga menutupi dada’ (an-Nur: 31), mereka terus mengoyak kain selendang mereka lalu bertudung dengannya.” (HR al-Bukhari, no. 4758; lihat juga Tafsir Ibn Kathir, juz 3, hlm. 284)

Abu Dawud meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.anha bahawa pada suatu hari kakaknya, Asma’ binti Abu Bakar, datang menghadap Rasulullah s.a.w. dengan berpakaian nipis (jarang). Melihat keadaan itu, Rasulullah s.a.w. terus berpaling muka dan bersabda: “Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), tidak patut dilihat daripadanya kecuali ini dan ini” (Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan kepada muka dan kedua-dua tapak tangannya). (HR Abu Dawud, no. 4104)3

Batas Aurat Wanita Menurut Ulama Mazhab

Antara batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh syariat menurut pendapat dan fatwa mazhab ialah:

  1. Di hadapan lelaki bukan mahramnya, auratnya ialah seluruh tubuh. Maksudnya semua, termasuk rambutnya, mukanya, kedua-dua tapak tangannya zahir dan batin dan juga kedua-dua tapak kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Wanita itu aurat.” (HR at-Tirmizi, no. 1173, katanya: hasan sahih gharib; dan al-Bazzar)4
  2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auratnya adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhlak ketika berhadapan dengan lelaki mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup tubuhnya selain pusat hingga lutut agar tidak menimbulkan ghairah lelaki walaupun dia mahram baginya. Lebih-lebih lagi jika ditakuti timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.5
  3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah akhlaknya, aurat wanita itu ialah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja, iaitu kepala, muka, leher, dua tangan hingga ke siku dan dua kakinya. Selain itu diharamkan membukanya.5
  4. Aurat wanita sahaya (hamba) kepada lelaki yang mahram dengannya dan sesama perempuan ialah dari pusat hingga lutut. Dengan lelaki bukan mahram (ajnabi), auratnya ialah seluruh tubuh badan.

Perbezaan Pendapat Batas Aurat Wanita

Penjelasan ulama tentang batas aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram):

1. Mazhab Syafi‘i: ada dua qaul.

a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Inilah qaul yang paling sahih dalam mazhab Syafi‘i.

b) Qaul kedua: Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah, maka ketika itu wajib menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah ialah apa yang zahir pada dirinya yang jika dilihat boleh membangkitkan nafsu syahwat.

2. Mazhab Hanbali: ada dua qaul.

a) Qaul pertama: Semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.

b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tetapi jika mendedahkannya boleh mendatangkan fitnah, maka wajib juga menutupnya.

3. Mazhab Hanafi: ada dua qaul.

a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ialah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkannya boleh mendatangkan fitnah, maka wajib juga menutupnya.

b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka, dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan dan dua tapak kaki.

4. Mazhab Maliki: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ialah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkannya boleh mendatangkan fitnah, maka wajib juga menutupnya.

Siapakah Golongan Mahram bagi Wanita?

Carta salasilah keluarga “Dengan siapa saya wajib berhijab dan haram bersalam?” bagi wanita, membezakan mahram kekal dengan lelaki bukan mahram
  1. Bapa sendiri (bapa kandung).
  2. Bapa suami (bapa mentua).
  3. Anak lelaki.
  4. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal dunia), tetapi bukan anak bekas isteri suaminya dengan suami lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
  5. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).
  6. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara).
  7. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara).
  8. Kanak-kanak lelaki bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumaiyiz).
  9. Anak lelaki susuan.
  10. Bapa susuan.
  11. Saudara susuan.
  12. Bapa saudara susuan, datuk susuan hingga ke atas dan anak saudara susuan hingga ke bawah.
  13. Menantu lelaki.

Termasuk juga dalam golongan mahram ialah datuk hingga ke atas, cucu lelaki hingga ke bawah, bapa saudara (sebelah bapa dan ibu) dan suami ibu (bapa tiri) setelah dia bersama ibu tersebut.6

Carta salasilah keluarga “Dengan siapa saya haram bersalam dan bercampur?” bagi lelaki, membezakan mahram kekal dengan perempuan bukan mahram

Bolehkah Lelaki Bukan Mahram Melihat Aurat Wanita?

Dibolehkan dalam beberapa keadaan:

  1. Ketika hendak meminang. Kadar sempadan aurat yang boleh dilihat ialah muka dan kedua-dua tapak tangan sahaja.
  2. Ketika berjual beli.
  3. Doktor atau tabib yang bertujuan mengubati.
  4. Ketika hendak menjadi saksi.
  5. Ketika mengajar.

Kesalahan yang Selalu Dilakukan oleh Muslimah

Beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh ramai muslimah sama ada mereka sedar atau tidak:

  1. Berpakaian ketat dan menampakkan beberapa bahagian anggota tubuh.
  2. Menyerupai pakaian lelaki seperti berseluar panjang dan berkemeja.
  3. Menyerupai pakaian wanita-wanita kafir seperti fesyen-fesyen terkini yang jelas bercanggah dengan cara berpakaian muslimah.
  4. Tidak menutup sebahagian anggota tubuh. Ada yang nampak telinganya, lehernya, rambutnya, lengannya, kakinya dan sebagainya.
  5. Pakaian tersebut penuh dengan perhiasan.
  6. Kainnya nipis sehingga tubuh boleh dilihat walaupun kain tersebut menutup auratnya.
  7. Pakaian yang dipakai mempunyai ciri-ciri kemasyhuran, glamor dan nilai-nilai kesombongan orang yang memakainya.

Mudah-mudahan dengan tersenarainya beberapa hal di atas, kita mendoakan agar saudara-saudara muslimah kita semua dapat berubah dan mengambil tindakan untuk memperbetulkannya. Bukan mereka semua sengaja mahu melanggar, tetapi kadang-kadang akibat salah faham dan pengaruh sekeliling, mereka keliru dan jauh daripada petunjuk agama.

Cara Betul Berpakaian Muslimah

Pakaian muslimah yang betul dan tepat dengan kehendak syariat Islam ialah:

  1. Menutup semua bahagian tubuh melainkan muka dan tapak tangan.
  2. Pakaian tersebut tidak mempunyai ciri-ciri perhiasan yang boleh menarik perhatian.
  3. Kainnya mestilah tebal, tidak tembus cahaya dan tidak menampakkan anggota tubuh.
  4. Mestilah longgar (tidak ketat) supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.
  5. Tidak berwangi-wangian.
  6. Tidak menyerupai pakaian lelaki.
  7. Tidak menyerupai pakaian wanita kafir.
  8. Pakaian tersebut mestilah tidak melambangkan kemasyhuran atau kesombongan.

Lihat perbincangan tentang aurat wanita, garis panduan pakaian muslimah dan pakaian solat wanita di Memelihara Aurat: Lambang Peribadi Muslimah (Bahagian 1).

Akhukum, Abu Anas Madani, 15 Januari 2013.

Nota kaki

  1. Nisbah dibetulkan: teks asal menyandarkan pendapat “makruh” kepada mazhab Maliki dan Syafi‘i. Pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i (al-Minhaj oleh an-Nawawi: “al-asah wajib”) ialah wajib menutup aurat ketika bersendirian kecuali kerana hajat, sama seperti mazhab Hanafi dan Hanbali. Yang berpendapat sunat menutupnya (makruh mendedahkan) ialah mazhab Maliki.
  2. Teks asal menyebut “para ulama bersepakat”. Hakikatnya ia pendapat jumhur dan bukan ijmak, kerana terdapat qaul dalam mazhab Syafi‘i dan Hanbali bahawa muka dan tapak tangan juga aurat di hadapan lelaki ajnabi, sebagaimana dihuraikan di bawah. Pendapat penulis (muka dan tapak tangan bukan aurat) dikekalkan.
  3. Abu Dawud sendiri menyatakan hadis ini mursal kerana perawinya, Khalid bin Duraik, tidak pernah bertemu Aisyah r.a.; sanadnya juga melalui Sa‘id bin Basyir yang dinilai lemah. Namun ia mempunyai beberapa riwayat sokongan (syawahid), lalu al-Albani menilainya hasan dengan himpunan jalan-jalannya, manakala sebahagian ulama hadis lain kekal menilainya lemah. Lihat juga Bahagian 1.
  4. Lafaz penuh riwayat at-Tirmizi: “Wanita itu aurat; apabila dia keluar, syaitan akan memerhatikannya.” Hadis ini dijadikan hujah oleh ulama yang berpendapat seluruh tubuh wanita termasuk muka adalah aurat (qaul yang paling sahih dalam mazhab Syafi‘i dan riwayat yang masyhur dalam mazhab Hanbali), manakala jumhur memahaminya bersama pengecualian muka dan tapak tangan dalam an-Nur: 31.
  5. Butiran 2 dan 3 ialah pendapat mazhab Syafi‘i. Mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat aurat wanita di hadapan lelaki mahramnya ialah seluruh badan kecuali apa yang biasa zahir (muka, kepala, leher, tangan dan kaki). Tentang wanita kafir pula, mazhab Hanbali tidak membezakannya dengan wanita Muslimah (aurat di hadapannya antara pusat dan lutut), manakala sebahagian ulama Hanafi dan Maliki menyamakannya dengan lelaki ajnabi. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, entri “‘Aurah”.)
  6. Ditambah oleh penyunting. Senarai asal mengikut susunan an-Nur: 31 dan an-Nisa’: 23, tetapi tidak menyebut datuk, cucu, bapa saudara dan bapa tiri yang turut menjadi mahram berdasarkan an-Nisa’: 23 dan ijmak ulama. Kanak-kanak (butiran 8) bukan mahram tetapi dikecualikan oleh an-Nur: 31 selagi belum mengerti tentang aurat wanita.

Siri ini: Bahagian 1 (tulisan Ummu Afif) · Bahagian 2 (tulisan Dato’ Dr. Abu Anas Madani)

Sebelum: Memelihara Aurat: Lambang Peribadi Muslimah (Bahagian 1)

Rujukan

9 sumber
  1. Sahih Muslim, Kitab al-Haid, no. 338 (riwayat Abu Sa‘id al-Khudri r.a.).

    Sunnah.com
  2. Al-Quran, Surah an-Nur (24): 31.

    Quran.com
  3. Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 59.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 53.

    Quran.com
  5. Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, no. 4758 (riwayat Aisyah r.anha).

    Sunnah.com
  6. Sunan Abi Dawud, Kitab al-Libas, no. 4104 — Abu Dawud: mursal (Khalid bin Duraik tidak bertemu Aisyah); al-Albani: hasan dengan syawahid.

    ad-Durar as-Saniyyah
  7. Jami‘ at-Tirmizi, Kitab ar-Rada‘, no. 1173 (riwayat Ibn Mas‘ud r.a.) — kata at-Tirmizi: hasan sahih gharib.

    Sunnah.com
  8. Al-Quran, Surah an-Nisa’ (4): 23.

    Quran.com
  9. Kedudukan mazhab tentang menutup aurat ketika bersendirian (Hanafi, Syafi‘i, Hanbali: wajib; Maliki: sunat) — rumusan fiqh perbandingan.

    fiqh.islamonline.net

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026