Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Memelihara Aurat: Lambang Peribadi Muslimah (Bahagian 1)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 13 Januari 2013 · 18 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Ummu Afif. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani.

Pendahuluan

Lakaran seorang muslimah bertudung labuh dengan tulisan “Ku menutup aurat kerana diriku begitu berharga!”

Antara syiar terpenting yang dapat membezakan seorang wanita Islam dengan wanita bukan Islam ialah dari segi disiplin pakaian yang menepati kehendak dan piawaian syariat. Disiplin berpakaian ini lebih kerap disebut sebagai kewajipan menutup aurat kerana secara asasnya Islam tidak menetapkan jenis pakaian yang perlu dipakai tetapi menetapkan bahagian mana yang wajib ditutup bersama beberapa kriteria asas. Hal ini bersesuaian dengan ciri-ciri syariat Islam itu sendiri yang bersifat thabat dan murunah: tetap dalam menjaga prinsip-prinsip asas dan anjal jika melibatkan permasalahan cabang dan kaedah pendekatan. Ia tegas dari segi prinsip wajib memakai tudung kepala dan menutup aurat mengikut batas yang telah ditentukan. Namun dari segi jenis pakaiannya, ia masih fleksibel dan boleh disesuaikan selama mana ia memenuhi garis panduan atau ciri-ciri menutup aurat.

Justeru itu kita melihat agama Islam boleh tersebar ke segenap pelosok dunia dan para wanita Islam daripada pelbagai bangsa dapat menyesuaikan pakaian mereka yang sedia ada dengan identiti seorang wanita Islam yang bertudung dan menutup aurat.

Sebagaimana yang sedia maklum, perintah supaya menutup aurat dan menyembunyikan perhiasan tubuh badan wanita daripada pandangan lelaki yang bukan mahram merupakan satu perintah Allah yang disebutkan secara jelas di dalam al-Quran al-Karim. Ayat ke-31 Surah an-Nur menyebut yang bermaksud:

“… Dan janganlah mereka (golongan mukminah) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau anak-anak saudara lelaki mereka atau anak-anak saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau hamba-hamba mereka atau orang-orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki supaya diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka …” (Surah an-Nur 24: 31)

Wajah seorang wanita bertudung hitam menunduk, di sebelahnya kata-kata hikmah tentang perhiasan takwa, kalung kesucian dan gelang qanaah

Perbahasan tentang perhiasan yang disebutkan di dalam ayat ini begitu panjang dibincangkan oleh para ulama. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut bahawa para muslimah dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan seperti perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan kepala (rambut dan sanggul), perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh diperlihatkan kepada lelaki melainkan suami dan mahram sahaja. Golongan muslimah hanya boleh membuka muka dan kedua-dua tapak tangan yang memang diberikan kelonggaran oleh syarak untuk didedahkan.

Pemahaman ini diperkuatkan lagi oleh hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa kakaknya Asma’ binti Abu Bakar r.a. pernah masuk menemui Nabi s.a.w. dengan berpakaian nipis sehingga nampak kulitnya, lalu Rasulullah s.a.w. memalingkan wajahnya lalu bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah didatangi haid (mencapai usia baligh), tidak patut dilihat daripadanya melainkan ini dan ini” — sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya. (HR Abu Dawud, no. 4104)1

Justeru itu, para ulama telah menetapkan beberapa garis panduan untuk memastikan bahawa ciri-ciri pakaian muslimah itu bukan sahaja menutup kulit di bahagian badan yang menjadi auratnya tetapi juga menepati konsep menutup aurat bagi mencapai objektif yang dikehendaki oleh syariat.

Tujuh Garis Panduan Pakaian Muslimah di Hadapan Bukan Mahram

Pertama: Pakaian yang menutupi keseluruhan tubuh badan melainkan muka dan tapak tangan.

Ini berdasarkan dalil-dalil yang telah disebutkan.

Kedua: Pakaian tersebut bukanlah perhiasan yang melampau atau bertabarruj sehingga menarik perhatian.

Bertabarruj boleh difahami secara umum sebagai memperlihatkan kecantikan wanita sama ada di bahagian muka atau lain-lain perhiasan pada pakaian dan bahagian tubuh badan. Ini termasuk solekan yang tebal selain bedak, celak dan inai yang biasa dipakai oleh wanita.

Ketiga: Pakaian tersebut tidak terlalu nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau membayangkan anggota tubuh.

Keempat: Pakaian tersebut hendaklah longgar, tidak ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh dan tidak menampakkan tempat-tempat fitnah yang mengundang syahwat.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah aku lihat keduanya … (salah satunya ialah) perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya, kepala mereka seperti bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (HR Muslim, no. 2128)

Kelima: Tidak memakai wangian yang harumnya boleh dihidu oleh lelaki ajnabi.

Nabi s.a.w. telah mengingatkan kaum wanita dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Setiap mata (yang memandang dengan syahwat) itu berzina; dan seorang wanita apabila memakai wangian lalu melintasi satu majlis (lelaki), maka dia begini dan begini, iaitu penzina.” (HR at-Tirmizi, no. 2786, katanya: hasan sahih; Abu Dawud, no. 4173 dan an-Nasa’i, no. 5126 dengan lafaz yang hampir sama)

Keenam: Tidak menyerupai pakaian lelaki.

Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki (HR al-Bukhari, no. 5885). Baginda juga bersabda: “Bukan daripada golongan kami wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai wanita.” (Musnad Ahmad, no. 6875; dalam sanadnya ada seorang perawi yang tidak dinamakan tetapi maknanya dikuatkan oleh hadis al-Bukhari tadi)

Ketujuh: Tidak dipakai untuk tujuan kemasyhuran, glamor atau menunjuk-nunjuk.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memakai pakaian kemasyhuran, Allah akan memakaikannya pada hari kiamat pakaian yang seumpamanya, kemudian dinyalakan api padanya.” (HR Abu Dawud, no. 4029 dan Ibn Majah, no. 3607; dinilai hasan oleh al-Albani)

Pakaian kemasyhuran tidak hanya tertumpu kepada pakaian yang cantik bergemerlapan sahaja tetapi juga pakaian yang sengaja diburuk-burukkan dengan tujuan supaya orang ramai mengatakannya seorang yang zuhud.

Tujuan Wanita Diperintah Memelihara Aurat

Sudah tentu tujuan utama menunaikan perintah menutup aurat ialah sebagai satu manifestasi pengabdian kita kepada Allah yang mesti ditaati perintah-Nya. Seandainya tempat-tempat kerja mempunyai etika pakaian tersendiri yang mesti dipatuhi oleh pekerja, maka dunia ini yang merupakan tempat kita beramal juga mempunyai etika pemakaiannya yang tersendiri. Sekiranya perbuatan melanggar etika berpakaian di tempat kerja atau tempat belajar dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib, maka begitulah juga perbuatan melanggar etika berpakaian sebagai seorang muslim atau muslimah di dunia ini adalah berdosa dan akan dikenakan tindakan dan hukuman di akhirat nanti.

Seorang wanita bertudung putih menunduk, dengan terjemahan Surah al-Ahzab ayat 59 tentang perintah melabuhkan pakaian

Allah s.w.t. menyebut di dalam Surah al-Ahzab ayat 36 yang bermaksud:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan — apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara — (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab 33: 36)

Namun begitu, kerap kali kedengaran suara wanita Islam yang tidak berpuas hati dengan kewajipan menutup aurat yang kelihatan jauh lebih berat berbanding lelaki. Harus difahami bahawa keadilan Islam dalam meletakkan batasan aurat yang berbeza antara lelaki dan perempuan sudah tentu ada hikmah tersendiri yang diatur oleh Allah, Pencipta Yang Maha Bijaksana. Ada dalam kalangan masyarakat Islam yang turut menganggap batasan ini sebagai satu pantang larang yang menyekat kebebasan wanita. Mereka terpengaruh dengan agenda musuh Islam yang sentiasa menganjurkan wanita mendedahkan aurat kononnya untuk memberi kebebasan kepada wanita, namun sebenarnya ia adalah untuk memberi kebebasan kepada mereka supaya mudah mendekati lantas merosakkan wanita.

Sesungguhnya bagi kaum muslimah, tujuan penutupan aurat yang agak ketat adalah untuk menjaga kehormatan diri wanita yang tinggi nilainya di sisi Islam. Bagaimana mungkin sesuatu yang berharga dan tinggi nilainya dibiarkan terdedah sehingga boleh dilihat dan dicapai oleh golongan yang tidak berhak?

Wanita juga diwajibkan memenuhi kriteria menutup aurat untuk menjaga ketenteraman awam agar tidak terganggu secara emosi dengan aurat yang terdedah sehingga menjadi punca berlakunya kerosakan dan maksiat. Bahagian tubuh yang didedahkan dan menggoda kerap kali mengganggu ketenteraman jiwa lelaki dan mungkin juga wanita yang melihat sehingga turut mengganggu kerukunan rumah tangga dan masyarakat.

Justeru itu, menutup aurat secara sempurna akan menyelamatkan wanita, lelaki dan seluruh masyarakat daripada begitu banyak kerosakan yang mungkin berlaku. Di dalam Surah al-Ahzab ayat 59 Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu.” (Surah al-Ahzab 33: 59)

Seorang muslimah yang solehah akan berusaha menutup aurat dengan sempurna dan melabuhkan tudungnya agar tidak diganggu kerana dikenali sebagai perempuan yang baik. Lebih penting daripada itu, seorang muslimah juga hendaklah sentiasa menjaga maruah diri, memelihara sifat malu, tidak sewenang-wenangnya menonjolkan diri untuk tatapan ramai, menjaga pergaulan, tutur bicara dan pandangan mata daripada apa yang diharamkan oleh Allah. Sudah tentu tanpa keperibadian muslimah dan akhlak yang baik secara menyeluruh, pakaian yang dilihat menutup aurat sahaja belum mampu menjamin tercapainya tujuan di sebalik penutupan aurat kaum muslimah.

Adakah Berbeza Aurat Wanita di Dalam dan di Luar Solat?

Menjadi fenomena biasa dalam kalangan wanita Islam: walaupun ada antara mereka yang tidak sempurna penutupan auratnya dalam kehidupan seharian, namun mereka masih menitikberatkan kewajipan menutup aurat dalam mengerjakan solat. Masing-masing faham betapa besarnya implikasi jika mengerjakan solat tanpa menutup aurat dengan sempurna kerana menutup aurat itu termasuk dalam syarat sah solat. Lantaran itulah kebanyakan masyarakat Islam, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu, menyediakan telekung solat yang khusus bagi wanita bukan hanya untuk memastikan kebersihan pakaiannya ketika mengerjakan solat tetapi juga untuk memastikan auratnya terjaga dengan lebih sempurna dan sah solatnya.

Rentetan daripada itu timbul persoalan: adakah aurat wanita ketika berada di luar solat dan ketika mengerjakan solat mempunyai sempadan dan hukum yang berbeza?

Secara ringkas, ketika berada di luar solat, aurat wanita yang wajib ditutup daripada pandangan sesama wanita dan sesama mahram terdekatnya adalah di antara pusat dengan lutut.2 Seandainya menimbulkan fitnah, maka wajib ditutup apa yang dikhuatiri menimbulkan fitnah tersebut walaupun di antara sesama mahram.

Manakala aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi pula, mengikut pandangan yang muktamad, ialah seluruh tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan sebagaimana yang telah dibincangkan di atas.3

Dalam hal mengerjakan solat pula, sempadan aurat wanita yang wajib ditutup sebagai syarat sah solat adalah sama seperti sempadan aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi. Imam asy-Syafi‘i di dalam kitab al-Umm (jilid 1, hlm. 109) menyebut bahawa seorang perempuan wajib menutup seluruh badannya di dalam solat melainkan muka dan kedua-dua tapak tangannya.

Pakaian Wanita Ketika Mengerjakan Solat

Imam at-Tirmizi (no. 377) meriwayatkan daripada Aisyah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

لا تُقبَلُ صلاةُ الحائضِ إلا بخِمارٍ

“Tidak diterima solat perempuan yang telah baligh melainkan dengan memakai kain yang menutup kepalanya.” (HR at-Tirmizi, no. 377, katanya: hasan; Abu Dawud, no. 641 dan Ibn Majah, no. 655)

Di dalam sebuah hadis yang lain pula, Ummul Mukminin Ummu Salamah r.a. meriwayatkan bahawa beliau bertanya kepada Nabi s.a.w.:

يا رسول الله، أتصلي المرأة في درع وخمار ليس عليها إزار؟

“Adakah seseorang perempuan itu boleh bersolat dalam keadaan memakai baju dan tudung kepala sahaja tanpa memakai kain sarung?”

Rasulullah s.a.w. menjawab:

نعم، إذا كان سابغًا يغطي ظهور قدميها

“Boleh, jika bajunya itu labuh sehingga menutup zahir (bahagian atas) kedua-dua kakinya.” (HR Abu Dawud, no. 640 dan al-Baihaqi, jilid 2, hlm. 232)4

Gambar hitam putih dua wanita bertelekung berdiri bersolat di dalam surau

Terdapat tiga istilah yang disebutkan di dalam hadis-hadis di atas berkenaan pakaian wanita di dalam solat, iaitu dir‘ (baju yang menutupi bahagian tengah tubuh), khimar (tudung yang menutupi kepala) dan izar (kain sarung yang menutupi bahagian bawah badan).

Berdasarkan hadis berkenaan khimar di atas, tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa hukum menutup kepala, iaitu seluruh rambut, telinga dan juga leher, adalah wajib bagi wanita yang telah baligh di dalam solatnya.

Adapun pakaian yang boleh digunakan untuk mengerjakan solat pula ialah apa jua pakaian yang menutup keseluruhan tubuh badan wanita sehingga ke kakinya kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan, sama ada dengan sehelai pakaian atau lebih. Hal ini jelas disebut oleh Ibn al-Munzir berdasarkan hadis Ummu Salamah tadi, di mana baju labuh yang sudah menutupi zahir kedua-dua kaki boleh dipakai untuk bersolat dan tidak perlu lagi memakai kain sarung yang khusus. (Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 1, hlm. 193)

Imam Ahmad pula berkata: “Kebanyakan ulama bersepakat bahawa yang wajib dipakai ialah baju yang labuh (dir‘ atau jubah) dan tudung kepala (khimar). Namun jika ditambah (kainnya) adalah lebih afdal kerana ia lebih menutupi aurat. Dikira memadai dengan dua helai pakaian itu kerana ia sudah menutup apa yang wajib ditutup.” (Al-Mughni, jilid 2, hlm. 330–331)

Adapun pakaian solat wanita yang lebih digalakkan menurut para ulama ialah tiga helai pakaian, iaitu dir‘ (baju longgar yang menutupi badan hingga ke kaki), khimar (yang menutup kepala dan leher) dan jilbab, iaitu telekung besar yang diletakkan di atas khimar dan melitupi sebahagian besar tubuh supaya tidak menampakkan bentuk tubuh wanita. (Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 1, hlm. 193)

Risalah bergambar enam contoh pemakaian muslimah (A hingga F) yang tidak menepati syarat menutup aurat seperti tudung tidak menutup dada, lengan pendek, pakaian ketat dan kain berbelah
Kesalahan dalam menutup aurat.

Beberapa Isu Berkenaan Pakaian Solat Wanita

Pertama: Jika dilihat sekilas pandang, asas sempadan aurat wanita di dalam solat adalah sama dengan sempadan auratnya di luar solat apabila terdedah kepada pandangan lelaki ajnabi. Namun bagi para ulama yang berpandangan bahawa terdapat perbezaan sempadan aurat di dalam dan di luar solat, kebanyakan mereka menjadikan aurat di luar solat, iaitu di hadapan lelaki ajnabi, lebih ketat daripada aurat wanita ketika mengerjakan solat di tempat yang tidak dapat dilihat oleh lelaki ajnabi. Ini kerana bagi kebanyakan ulama, fitnah di dalam solat adalah lebih ringan berbanding fitnah di luar solat. Justeru itu, tiada khilaf tentang perlunya membuka muka untuk mengerjakan solat tetapi terdapat khilaf tentang wajibnya menutup muka di hadapan lelaki ajnabi di luar solat.

Begitu juga, masih sah solat wanita yang bersolat dengan pakaian yang ketat apabila telah menutup bahagian auratnya kerana tidak ada dalil yang mengatakan sebaliknya. Namun begitu, ada dalam kalangan ulama yang meletakkan hukumnya sebagai makruh. Akan tetapi sekiranya pakaian yang ketat itu dipakai di hadapan lelaki ajnabi, maka hukumnya haram dan berdosa.

Dukacitanya, hukum yang telah dirumuskan oleh para fuqaha berpandukan al-Quran dan as-Sunnah di atas tidak difahami dan tidak dipatuhi oleh sebilangan wanita Islam dewasa ini. Amalan masyarakat yang mengetatkan penutupan aurat di dalam solat kerana khuatir ibadah mereka tidak sah, tetapi pada masa yang sama tidak begitu menitikberatkan penjagaan aurat di luar solat dalam kehidupan seharian, adalah jelas bertentangan dengan hukum berkenaan. Hal ini berlaku mungkin kerana masih terpisahnya aspek ibadah daripada soal kehidupan bagi kebanyakan anggota masyarakat kita. Padahal sebagaimana menutup aurat di dalam solat itu perintah Allah s.w.t., maka menutup aurat di luar solat juga perintah Allah s.w.t. yang wajib dipatuhi dengan sebaiknya.

Kedua: Apa yang dimaksudkan dengan dua tapak tangan yang dibenarkan untuk dibuka ialah bermula dari hujung jari-jemari sehingga ke tulang yang timbul di pergelangan tangan (al-kau‘), termasuk belakang dua tapak tangannya, zahir dan batinnya (Nihayat al-Muhtaj, jilid 2, hlm. 6). Manakala pandangan yang mengatakan bahawa hanya bahagian tapak tangan sahaja yang harus dibuka sedangkan belakang tapak tangan perlu ditutup dengan telekung solat yang labuh atau lengan baju yang panjang adalah tidak mempunyai dalil atau hujah yang kuat. Jumhur fuqaha menegaskan bahawa seluruh tapak tangan wanita (zahir dan batinnya) bukan aurat di dalam solat (Ahkam al-‘Aurah wa an-Nazar, hlm. 234).

Ketiga: Berkenaan kaki wanita pula, menurut pandangan yang muktamad daripada mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali, ia merupakan aurat wanita yang wajib ditutup di dalam solat dan di luarnya ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Namun demikian, masih terdapat khilaf di dalam mazhab-mazhab itu sendiri tentang keharusan membuka kaki di dalam solat. Menurut mazhab Hanafi pula, kaki wanita bukan aurat dan tidak perlu ditutup sama ada ketika solat mahupun di luarnya. Namun terdapat satu riwayat lain di dalam mazhab tersebut yang menetapkan bahawa kaki wanita juga aurat di hadapan lelaki ajnabi tetapi bukan aurat yang perlu ditutup di dalam solat. (Ahkam al-‘Aurah wa an-Nazar, hlm. 233)

Pandangan jumhur fuqaha dibuat berdasarkan hadis Ummu Salamah yang disebutkan tadi. Hadis tersebut memberi maksud bahawa baju labuh yang wajib dipakai oleh wanita untuk mengerjakan solat ialah yang menutup kakinya. Ini kerana apabila pakaian solat wanita sudah menutup zahir kedua-dua kakinya ketika berdiri dan rukuk, ia pasti akan menutup tapak kakinya ketika duduk dan sujud disebabkan berhimpunnya anggota-anggota tubuh ketika duduk dan sujud.

Keempat: Berkenaan dagu wanita yang sering kali ditutup dengan telekung solat di negara kita, adakah ia termasuk bahagian yang wajib ditutup ataupun sebagai satu cara untuk lebih berhati-hati (ihtiyat)?

Lukisan seorang kanak-kanak perempuan bertelekung putih duduk di atas sejadah hijau

Perbincangan mengenai sempadan muka boleh didapati di dalam bab bersuci, iaitu ketika membincangkan had muka yang wajib dibasuh sewaktu berwuduk. Secara ringkas, sempadan muka dari segi panjangnya bermula dari tempat tumbuh rambut (bahagian atas) hingga ke bahagian paling bawah dagu manakala dari segi lebarnya dari telinga hingga ke telinga. (Al-Fiqh al-Manhaji, jilid 1, hlm. 60). Namun Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam bukunya Fiqh at-Taharah (hlm. 141) menyebut pandangan beliau bahawa tidak perlu mengehadkan sempadan muka dengan begitu terperinci kerana ia sebagaimana yang diketahui umum, iaitu wajah yang dapat dilihat dari arah hadapan.

Justeru itu, dagu yang wajib dibasuh tanpa khilaf ketika berwuduk masih termasuk dalam sempadan muka yang harus dibuka semasa wanita mengerjakan solat. Bagaimanapun, pandangan yang menganjurkan agar bahagian bawah dagu itu sebaiknya ditutup bersama khimar adalah pandangan yang berdasarkan ihtiyat (lebih berhati-hati).

Kesimpulan

Islam tidak menentukan pakaian yang khusus untuk dipakai oleh wanita ketika bersolat. Yang ditentukan oleh syarak ialah apa yang perlu ditutup dan bukannya apa yang perlu dipakai. Justeru itu, para muslimah tidak perlu terikat dengan pemakaian telekung solat sahaja untuk mengerjakan solat kerana solat wanita boleh dikerjakan dengan apa jua bentuk pakaian asalkan menutupi bahagian auratnya serta tidak terlalu nipis sehingga menampakkan warna kulit. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jilid 1, hlm. 580)

Mungkin apabila berada di rumah, memakai telekung solat yang khusus itu lebih mudah kerana biasanya wanita memakai pakaian yang ringkas dan tidak memakai tudung kepala ketika berada di dalam rumah bersama mahramnya. Namun apabila keluar dari rumah, seorang muslimah sepatutnya telah memastikan bahawa auratnya ditutup dengan sempurna agar tidak dilihat oleh lelaki ajnabi. Justeru itu, solat wanita yang bertudung kepala bersama jubah, baju kurung atau baju labuh dengan seluar panjang yang longgar adalah sah di sisi syarak, setelah dapat dipastikan bahawa lengannya tidak tersingkap dan kakinya juga tertutup dengan sempurna sama ada dengan memakai stoking ataupun kain yang dilabuhkan.

Sekiranya disiplin menutup aurat ini dijaga oleh para muslimah setiap kali keluar dari rumah sebagai memenuhi tuntutan yang diwajibkan oleh Allah s.w.t., sudah tentu ia akan menyelesaikan masalah sebahagian wanita yang menjadikan ketiadaan telekung solat sebagai alasan untuk melewat-lewatkan solat ataupun terus meninggalkan solat apabila keluar dari rumah.

Semoga Allah memudahkan kita semua untuk melaksanakan perintah-Nya sebagaimana yang Dia redai. Semoga kita semua para muslimah terus diberikan pahala oleh Allah s.w.t. setiap saat kita berpakaian menutup aurat dan memelihara kehormatan diri sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat. Wallahu a‘lam.

اللهم إنا نسألك الهدى والتقى والعفاف والغنى

اللهم اجعلنا من الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنه

Rujukan

  • Abdul Karim Zaidan (1994). Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim. Beirut: Muassasah ar-Risalah, cetakan keempat.
  • Abu Malik Kamal bin as-Sayyid Salim. Fiqh as-Sunnah li an-Nisa’. Kaherah: al-Maktabah at-Taufiqiyyah.
  • Musa‘id bin Qasim al-Falih. Ahkam al-‘Aurah wa an-Nazar bi Dalil an-Nass wa an-Nazar. Riyadh: Dar al-Ma‘arif.
  • Ibn Qudamah (1992). Al-Mughni. Kaherah: Hajar li an-Nasyr wa at-Tauzi‘, cetakan kedua.
  • Muhammad Ali al-Hasyimi (2002). Syakhsiyyat al-Mar’ah al-Muslimah. Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, cetakan ketujuh.
  • Wahbah az-Zuhaili (1996). Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Damsyik: Dar al-Fikr, cetakan ketiga.
  • Yusuf al-Qaradawi (2008). Fiqh at-Taharah. Kaherah: Maktabah Wahbah, cetakan keempat.
  • Yusuf al-Qaradawi (1994). Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam. Beirut: al-Maktab al-Islami, cetakan kelima belas.

Ukhtukum: Ummu Afif, pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Rabiulawal 1434H.

Nota kaki

  1. Abu Dawud sendiri menyatakan selepas meriwayatkannya (no. 4104) bahawa hadis ini mursal kerana Khalid bin Duraik tidak pernah bertemu Aisyah r.a. Sanadnya juga melalui Sa‘id bin Basyir yang dinilai lemah. Namun hadis ini mempunyai beberapa syahid (riwayat sokongan), antaranya riwayat mursal Qatadah dan riwayat Asma’ binti ‘Umais r.a. dalam Sunan al-Baihaqi. Kerana itu al-Albani menilainya hasan dengan himpunan jalan-jalannya (Sahih Sunan Abi Dawud dan Jilbab al-Mar’ah al-Muslimah), manakala sebahagian ulama hadis lain kekal menilainya lemah. Hadis ini dijadikan sandaran oleh ulama yang mengecualikan muka dan tapak tangan daripada aurat.
  2. Batas pusat hingga lutut di hadapan mahram ialah pendapat mazhab Syafi‘i. Mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat aurat wanita di hadapan lelaki mahramnya ialah seluruh badan kecuali apa yang biasa zahir seperti muka, kepala, leher, tangan dan kaki, manakala mazhab Hanafi membenarkan mahram melihat kepala, muka, dada, lengan dan betis sahaja. Di hadapan sesama wanita Muslimah, jumhur ulama berpendapat auratnya ialah antara pusat dan lutut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, entri “‘Aurah”.)
  3. Muka dan tapak tangan bukan aurat ialah pendapat jumhur (Hanafi, Maliki dan satu riwayat Hanbali) dan ia juga batas aurat wanita di dalam solat menurut mazhab Syafi‘i. Dari segi hukum lelaki ajnabi melihat wanita pula, pendapat yang dipegang oleh ulama Syafi‘i terkemudian (al-Minhaj oleh an-Nawawi) dan riwayat yang masyhur dalam mazhab Hanbali ialah haram melihat muka dan tapak tangan wanita ajnabiyah walaupun aman daripada fitnah. Perincian khilaf ini dibentangkan dalam Bahagian 2.
  4. Abu Dawud menyatakan bahawa ramai perawi (antaranya Malik bin Anas, Bakr bin Mudar, Hafs bin Ghiyath, Isma‘il bin Ja‘far, Ibn Abi Dzi’b dan Ibn Ishaq) meriwayatkannya daripada Muhammad bin Zaid, daripada ibunya, daripada Ummu Salamah r.a. sebagai kata-kata Ummu Salamah sendiri (mauquf) tanpa menyebut Nabi s.a.w. Kerana itu riwayat marfu‘ ini dinilai lemah oleh ramai ulama hadis (antaranya al-Albani) dan yang sahih ialah riwayat mauquf. Fatwa Ummu Salamah itu tetap dijadikan hujah oleh jumhur fuqaha.

Siri ini: Bahagian 1 (tulisan Ummu Afif) · Bahagian 2 (tulisan Dato’ Dr. Abu Anas Madani)

Seterusnya: Batas-Batas Aurat Dalam Islam (Bahagian 2)

Rujukan

11 sumber
  1. Al-Quran, Surah an-Nur (24): 31.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 36.

    Quran.com
  3. Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 59.

    Quran.com
  4. Sunan Abi Dawud, Kitab al-Libas, no. 4104 (riwayat Aisyah r.a. tentang Asma’) — Abu Dawud: «هذا مرسل، خالد بن دريك لم يدرك عائشة»; al-Albani: hasan dengan syawahid (Sahih Abi Dawud; Jilbab al-Mar’ah al-Muslimah).

    ad-Durar as-Saniyyah
  5. Sahih Muslim, Kitab al-Libas wa az-Zinah, no. 2128 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  6. Jami‘ at-Tirmizi, no. 2786 (hasan sahih); Sunan Abi Dawud, no. 4173; Sunan an-Nasa’i, no. 5126 (riwayat Abu Musa al-Asy‘ari r.a.).

    Sunnah.com
  7. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, no. 5885 (riwayat Ibn ‘Abbas r.a.).

    Sunnah.com
  8. Musnad Ahmad, no. 6875 (riwayat ‘Abdullah bin ‘Amr r.a.) — ada perawi yang tidak dinamakan; dikuatkan oleh syawahid.

    en.tohed.com
  9. Sunan Abi Dawud, no. 4029–4030; Sunan Ibn Majah, no. 3607 (riwayat Ibn ‘Umar r.a.) — dinilai hasan oleh al-Albani.

    Sunnah.com
  10. Jami‘ at-Tirmizi, no. 377 (hasan); Sunan Abi Dawud, no. 641; Sunan Ibn Majah, no. 655 (riwayat Aisyah r.a.).

    Sunnah.com
  11. Sunan Abi Dawud, no. 640 (riwayat Ummu Salamah r.a.) — Abu Dawud menyatakan ramai perawi meriwayatkannya mauquf; marfu‘nya dinilai lemah (al-Albani).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026