Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Musafir

Catatan Rehlah Abu Anas ke Qatar 2-5 Jun 2011

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 6 Jun 2011 · 12 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Pendahuluan

Dengan izin Allah SWT ana telah berrehlah ke negara Qatar atas jemputan ikhwah warga Malaysia yang bertugas di sana. Yang menjadi penghubung dalam rehlah ini ialah Saudara Megat Ahmad Rithauddeen, berasal dari Perak dan isterinya orang Terengganu. Beliau telah menetap di Qatar lebih lima tahun dan bertugas di RasGas. Rehlah ini juga diuruskan oleh Sekretariat Haji Malaysia Qatar yang diketuai oleh Akh Wan Harris dan kawan-kawan.

Pengenalan ringkas negara Qatar

Negara Qatar (دولة قطر) — maklumat pada tahun 2011:

  • Ibu negara: Doha (الدوحة).
  • Kerajaan: monarki (sistem beraja dengan gelaran Amir). Amir: Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani. Perdana Menteri: Sheikh Hamad bin Jassim bin Jabr Al Thani.
  • Kemerdekaan: daripada United Kingdom, 3 September 1971.
  • Penduduk: pada 30 April 2010, Qatar Statistics Authority menganggarkan jumlah keseluruhan penduduk Qatar seramai 1,670,389 orang, iaitu 1,270,968 lelaki dan 399,421 perempuan.
  • Mata wang: Riyal Qatar (QAR).
  • Diperintah oleh keluarga Al Thani sejak pertengahan 1800-an.

Negara Qatar (bahasa Arab: قطر) merupakan sebuah amiriah di timur laut Semenanjung Arab. Ibu negaranya, Doha, telah menjadi tuan rumah Sukan Asia 2006 [dan akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022]. [Lihat: Wikipedia: Qatar]

Sejarah Qatar

Qatar telah didiami manusia sejak beribu-ribu tahun.

Sejarah moden: Setelah berada di bawah pengaruh Empayar Uthmaniyyah (1871–1913) dan kemudian United Kingdom, akhirnya Qatar menjadi sebuah negara yang merdeka pada 3 September 1971.

Dahulu, UK menguasai perairan Qatar sebagai laluan kapal dagang menuju India. Qatar kemudian menjadi negeri naungan British melalui perjanjian pada tahun 1916 dan status ini berterusan sehingga tahun 1971.

Setelah Perang Dunia Kedua, Qatar berusaha memperoleh kemerdekaannya, terutama setelah India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947. Qatar semakin bersemangat setelah British memberikan kemerdekaan kepada Kuwait pada tahun 1961. Apabila British mengumumkan pada tahun 1968 bahawa ia akan menamatkan perjanjian naungannya di Teluk, Qatar turut berunding bersama Bahrain dan negeri-negeri Trucial untuk membentuk sebuah persekutuan emiriah Arab Teluk, sebelum akhirnya memilih untuk merdeka sendiri pada tahun 1971. [Lihat: Wikipedia: Sejarah Qatar]

Baladiyah di Qatar

Mengikut pembahagian lama, Qatar dibahagikan kepada 10 baladiyah (perbandaran):

  • Ad-Dawhah (Doha) الدوحة
  • Al-Ghuwairiyah الغويرية
  • Al-Jumailiyah الجميلية
  • Al-Khaur (Khor) الخور
  • Al-Wakrah الوكرة
  • Ar-Rayyan الريان
  • Jariyan al-Batnah جريان الباطنة
  • Asy-Syamal الشمال
  • Umm Salal أم صلال
  • Mesaieed مسيعيد

[Sejak 2004 sebahagian baladiyah ini telah digabungkan menjadi tujuh baladiyah dan sejak 2014 Qatar dibahagikan kepada lapan baladiyah.]

Merebut ‘mutiara’ di Qatar

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib, telah membuat lawatan selama dua hari [14–15 Mei 2011] dan beliau menggesa syarikat-syarikat Malaysia merebut peluang yang terbuka luas di negara berkenaan.

Ini kerana Qatar yang sedang rancak membuat persiapan bagi menjadi tuan rumah bola sepak Piala Dunia 2022 sedang melaksanakan projek pembangunan infrastruktur yang keseluruhannya bernilai RM434 bilion.

Kehadiran Perdana Menteri ke Qatar dilihat membuka peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk terlibat sama dalam projek berkenaan.

Sebab itulah Najib, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassim bin Jabr Al Thani, meyakinkan kerajaan Qatar mengenai keupayaan syarikat Malaysia untuk terlibat sama dalam projek pembangunan berkenaan.

Beberapa syarikat Malaysia beroperasi di sini dalam bidang pembinaan, kejuruteraan, perkhidmatan dan perdagangan, selain berkhidmat dengan syarikat Qatar Petroleum.

Hakikatnya, berdasarkan prestasi rakyat Malaysia yang kini berjumlah lebih 3,000 orang di Qatar, Malaysia sememangnya mempunyai peluang cerah untuk dipertimbangkan.

Ia berdasarkan sikap masyarakat Qatar yang cukup mengagumi keupayaan rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi di negara Teluk tersebut.

Syarikat-syarikat Malaysia kini sudah terlibat dalam pelbagai projek pembangunan bernilai RM21.7 bilion di Qatar.

[Sumber: Utusan Malaysia, ruangan Rencana, 18 Mei 2011.]

Catatan rehlah Qatar

Setelah menerima jemputan ke Qatar dan berhubung melalui e-mel dengan Akh Megat, maka ditetapkan tarikh 2–5 Jun 2011.

Khamis, 2 Jun 2011

Jam 4.30 dini hari berangkat ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu. Jam 6.45 pagi bertolak dengan MH1427 ke KLIA. Sampai di KLIA, sarapan di Food Garden tingkat 3. Kebetulan berjumpa dengan rombongan Kerajaan Kelantan yang baru pulang dari luar negara; ketuanya Dato’ Husam, Dr. Fadzli dan lain-lain.

Jam 10.20 pagi berlepas dengan Qatar Airways (القطرية) QR621 ke Doha.

Alhamdulillah, selamat sampai di Doha pada jam 1.10 tengah hari (6.10 petang waktu Malaysia; beza 5 jam, sama seperti Arab Saudi), selepas perjalanan selama lebih kurang 7 jam 30 minit. Lapangan terbangnya agak tenang, tidak ramai yang sampai serentak dengan pesawat kami. Keluar dari pesawat kena turun tangga; lapangan terbangnya hanya satu tingkat. Lapangan terbang baharu yang canggih sedang dalam pembinaan. Penumpang yang hendak masuk ke Qatar sahaja tidak ramai; hanya ana dan satu keluarga dari Pahang yang bekerja di sini yang masuk, manakala yang lain dibawa ke terminal transit, termasuk rombongan umrah dari Malaysia yang transit ke Jeddah, ramai juga bilangannya.

Urusan imigresen dan kastam cepat sekali. Ana ada membawa sekotak buku Makkah dan lain-lain yang diminta oleh ikhwah; ia tidak dibuka, alhamdulillah.

Keluar dari bilik pemeriksaan, ana disambut oleh Saudara Megat Ahmad Rithauddeen dan dibawa terus dengan GMC ke rumahnya di al-Khor, kira-kira 50 km jauhnya dari lapangan terbang. Sepanjang perjalanan di jalan raya biasa, hanya kelihatan padang jarak yang berwarna putih tanahnya, bukan pasir, kosong tanpa pokok dan bangunan… Udara pula berjerebu dengan debu-debu berterbangan.

Bandar al-Khor ialah salah sebuah bandar utama di Qatar. Terdapat ramai keluarga rakyat Malaysia yang bertugas dengan RasGas, milik Kerajaan Qatar. Gas merupakan hasil terbesar negara ini.

[Daripada Wikipedia: RasGas Company Limited ialah syarikat pengeluar gas asli cecair (LNG) di Qatar, pengeluar LNG kedua terbesar di dunia selepas Qatargas. RasGas mengendalikan tujuh train LNG di Bandar Perindustrian Ras Laffan.]

Di al-Khor Community (مجمع الخور) terdapat 100 buah keluarga Malaysia, lengkap dengan segala kemudahan: masjid, sekolah dan lain-lain.

Catatan: Setiap kompaun atau penempatan di sini ada masjid dan ini memberi peluang kepada penduduk untuk solat berjemaah. Alhamdulillah, suatu zahirah (fenomena) yang menggembirakan apabila ramai orang bersolat jemaah. Setakat beberapa buah masjid yang sempat ana pergi, memang ramai jemaah, hatta solat Subuh pada jam 3.40 pagi. Pada musim panas (saifi) suhu mencecah 45 darjah Celsius, dengan siang yang panjang dan malam yang pendek: Maghrib jam 6.20 petang dan Subuh jam 3.15 pagi. Fenomena ini turut disertai oleh sebahagian Muslim Melayu yang tinggal di negara ini; mereka tinggal berdekatan dengan masjid. Memang tidak patut bagi seorang yang telah mengaku beriman kepada Allah SWT, bila diajak untuk sama-sama menyahut seruan Allah SWT, buat ‘lembu kenyang’ sahaja.

Setelah sampai di al-Khor, ana berehat dan makan tengah hari di rumah Akh Megat. Selepas solat Maghrib, kuliah pertama disampaikan dengan tajuk “Fitnah Akhir Zaman, Bagaimana Menghadapinya?”, diikuti dengan sesi soal jawab dan jamuan makan malam yang disediakan oleh tuan rumah dan para tetamu yang berpakat membawa makanan. Begitulah adat masyarakat di sini bila ada kelas pengajian dan perhimpunan lain.

Rumah ini pula luas sekali, lima bilik dengan bilik tamu yang sama besar dengan surau kecil di kampung, disediakan oleh syarikat RasGas. Kereta pula murah; bayangkan kereta Mitsubishi Grandis baharu berharga QAR70 ribu, sedangkan di Malaysia RM180 ribu. Ikhwah di sini kebanyakannya menikmati kereta mewah atau kenderaan 4WD, ikut gaya Badwi juga.

Mengikut Akh Yusmizar [berasal dari Perlis, enam tahun di Qatar] yang membawa ana ke Doha pada hari Jumaat 3 Jun, pada musim sejuk mereka memajak atau menyewa tanah daripada kerajaan dengan cagaran sebanyak QAR10,000 di tengah sahra’ (padang pasir, 40 km). Di tanah lapang yang tidak berbukit itu mereka memasang khemah tetap selama enam bulan. Setelah khemah dibuka dan kawasan itu dibersihkan, duit cagaran itu boleh diambil semula. Apabila hari cuti [Jumaat–Sabtu] mereka akan ke sana; kawasan perkhemahan itu siap dengan masjid dan beberapa kemudahan…

Di al-Khor juga ana bertemu dengan seorang akh yang nama dan bin sama dengan ana, hatta tarikh lahir pun hampir sama. Kami sama-sama mengakui jarang ada orang yang nama dan bin sama seperti kami. Alhamdulillah, pecah rekod malam ini di Qatar.

Jumaat, 3 Jun 2011

Jam 8.30 pagi bersama Akh Yusmizar ke Doha, jaraknya 50 km. Undang-undang jalan raya di Qatar ini agak ketat. Sesiapa yang melebihi had laju yang ditetapkan akan dirakam dengan kamera serta disaman ekor sebanyak QAR500. Manakala jika melanggar lampu isyarat pula, di jalan besar dendanya ialah QAR10,000 dan di jalan biasa QAR6,000. [QAR1 bersamaan RM0.83.]

Sesampainya di sana, jemaah telah berkumpul di dewan (Party Hall) Al-Bayyan Gardens. Di sini setiap kompaun perumahan ada kemudahan masjid, dewan, kolam, kelab dan lain-lain. Kebanyakan rumah pula mempunyai majlis (tempat duduk khas), iaitu bangunan kecil yang lengkap, dibina berasingan daripada rumah induk, khas untuk tetamu. Bagi mereka yang menjaga batasan pergaulan dan aurat, pengasingan berlainan jantina amat dijaga. Di Malaysia yang tidak mementingkan sangat tentang hukum ini, rumah-rumah juga mempunyai binaan tambahan, tetapi ‘porch’ khas untuk kereta yang tidak kurang mahal kosnya!

Kemudian ceramah khas kepada bakal haji dan hajah 1432H dan sesiapa yang berminat untuk belajar tentang kelebihan, hikmah dan hukum mengerjakan haji, sampai jam 10.30 pagi.

Kebiasaannya jemaah haji dari Qatar akan pergi dengan bas; perjalanan dari Doha ke Makkah mengambil masa lebih kurang 14 jam. Visanya, alhamdulillah, mudah didapati.

Program ini dianjurkan oleh Sekretariat Komuniti Malaysia dan Haji Qatar. Orang kuat kumpulan ini ialah Tuan Haji Mansor, Tuan Haji Wan Harris Amir (Doha), Tuan Haji Ahmad Hasnan, Tuan Haji Abdullah Wahab, Tuan Haji Khairil (Dukhan) dan lain-lain.

Setelah berehat dan minum, kami bersiap ke Masjid Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab r.a., mudah-mudahan dapat bertemu dengan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, tetapi kami dimaklumkan Sheikh sakit, syafahullah; orang lain yang menjadi khatib dan imam masjid pada hari itu. Waktu Jumaat/Zohor di sini ialah pada jam 11.15 pagi.

Selepas solat, makan tengah hari di rumah Tuan Haji Ismail yang telah bertugas di Qatar Petroleum (QP) selama enam tahun.

Jam 2.30 petang, sambung ceramah hukum haji dan permasalahannya di dewan Colosseum Village sehingga jam 5.30, dengan berhenti rehat seketika untuk solat Asar.

Setelah selesai majlis ceramah dan sesi soal jawab, Saudara Yusri Jusoh (orang Kelantan, juga kakitangan QP) membawa ana ke kedai jubah untuk menempah sehelai jubah Qatar. Sudah menjadi kebiasaan setiap tetamu yang bertandang ke sini akan mendapat sehelai jubah Qatar sebagai kenangan. Syukran kepada Akhi Yusri dan ‘Lajnah Jubah Qatar’…

Kemudian kami pergi berehat dan makan malam di rumah Saudara Nik Aminuddin (orang Kota Bharu) di kompaun al-Bayyan. Kompaun ini merupakan tempat transit bagi pegawai-pegawai yang baru datang sebelum dipindahkan ke tempat posting masing-masing.

Ceramah pada malamnya bertajuk “Mantapkan Akidah, Kuatkan Iman”. Alhamdulillah, sambutan begitu menggalakkan daripada masyarakat Malaysia di sini.

Selesai majlis, bertolak balik semula ke al-Khor dengan Saudara Megat dan bermalam di rumah beliau.

Sabtu, 4 Jun 2011

Sekitar jam 8.00 pagi, sambil bersarapan, datang beberapa orang sahabat berbincang tentang gejala Syiah yang berleluasa sekarang ini dan lain-lain isu semasa.

Jam 12.00 tengah hari bertolak ke Dukhan dengan Saudara Megat dan keluarganya. Ini ialah tempat ketiga yang terdapat orang Malaysia selain Doha dan al-Khor. Ia sebuah kawasan dan bandar minyak; 10 km sebelum memasuki kawasannya sudah terdapat larangan mengambil gambar. Sepanjang perjalanan ke sini, panoramanya berbeza dengan tempat-tempat lain tadi: tiada bukit batu atau pasir, bukan juga seperti padang pasir biasa, tetapi seolah-olah tanah gersang berdebu yang kering lagi kontang. Mengikut maklumatnya, sumber air tawar yang sesuai diminum di sini hanyalah sebuah telaga sahaja di seluruh Qatar, manakala telaga lainnya hanyalah air payau yang hanya sesuai diminum oleh unta.

Di sini kami berkumpul di rumah Saudara Jamil yang menjadi lokasi ceramah pada hari ini. Tajuk ceramah kali ini ialah “12 Sebab untuk Kekal di atas Hidayah”. Kebetulan salah seorang saudara kita di sini, iaitu Haji Daud, baru sahaja selesai mengadakan majlis walimah anaknya. Menantu beliau ialah seorang ustaz dari Johor.

Dari Dukhan kami ke Doha pula, jaraknya 80 km. Di sini kami berehat di rumah Saudara Yusri. Kami juga disambut oleh Haji Mansur, Wan Harris dan Abdullah dari Sekretariat Haji.

Selepas makan malam, Wan Harris dan Abdullah membawa ana meronda bandar Doha, ke pasar warisan Suq Waqif, kemudian minum di restoran Malaysia di situ. Selepas itu ana dibawa ke Hotel Holiday Villa dan menginap di situ untuk malam itu…

Ahad, 5 Jun 2011

Paginya berehat sambil membaca di hotel sahaja. Tengah harinya Abdullah datang untuk membawa makan tengah hari kambing mandi Qatar. Kemudian melawat masjid dan sekitar bandar Doha. Akhirnya ke lapangan terbang untuk berlepas pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, pada jam 8.10 malam (1.10 pagi waktu Malaysia) berlepas dengan Qatar Airways QR620 ke Kuala Lumpur.

Beberapa pengamatan dan cadangan

  1. Qatar ialah sebuah bumi yang subur untuk perkembangan dakwah, khasnya kepada para profesional kita di luar negara yang ingin berubah ke arah kebaikan. Ini kerana suasana (bi’ah) di sini masih terkawal dan kebudayaan Islamnya masih diamalkan. Walaupun mereka telah moden dan kaya, mereka tidak terbawa-bawa dengan kemewahan dan budaya Barat yang melampau. Para remaja dan wanitanya tidak terlalu bebas dan lepas laku. Komuniti Melayu di sini kuat perpaduannya, sukakan ilmu dan menyambut baik apa sahaja usaha dakwah dan kesatuan. Masjid-masjid di kompaun yang ada orang Malaysia dipenuhi oleh orang kita, alhamdulillah.
  2. Terdapat sebuah pertubuhan dakwah Islam yang mengadakan kelas-kelas pengajian dan kuliah yang lengkap dan percuma dalam bahasa Arab dan Inggeris (Al-Fanar, Qatar Islamic Cultural Center). Kuliah pengajian agama dan al-Quran semuanya dijalankan secara percuma dan terbuka kepada sesiapa sahaja. Jadi ana nasihatkan sahabat-sahabat kita yang berada di Qatar agar memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin, dengan kehidupan yang tenang, jadual harian yang begitu ringan dan masa yang ada berbanding di Malaysia (waktu pejabatnya habis pada jam 2.00 petang). Begitu juga dengan anak-anak kita; adalah satu kerugian yang amat besar jika bertahun-tahun kita berada di bumi Arab, tetapi anak-anak kita langsung tidak tahu berbahasa al-Quran ini. Jadi, di samping persekolahan antarabangsa yang formal, hantarlah juga mereka ke kelas khas bahasa Arab, al-Quran dan juga tahfiz jika berkesempatan.
  3. Di sini juga terdapat Persatuan Warga Malaysia di Qatar yang diiktiraf dan berdaftar dengan kerajaan Malaysia. Ia juga mempunyai badan khas untuk hal ehwal keagamaan dan dakwah.
  4. Satu lagi usaha murni yang dilakukan oleh warga kita ialah mengadakan Kelas Fardu Ain bagi Anak Malaysia di Qatar (KAFA Qatar). Diharap semua ibu bapa mengambil peluang ini untuk menghantar anak-anak mereka. Walaupun ia tidak wajib seperti di sekolah-sekolah di Malaysia, ia adalah satu kewajipan kita sebagai ibu bapa untuk memberikan asas dan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak yang bakal menjadi aset kita di akhirat nanti, insya-Allah.
  5. Merebut ‘mutiara’ di Qatar: Qatar ialah sebuah negara yang kaya dengan minyak dan gas. Walaupun minyak dijumpai di Qatar, rezeki dan kekayaan ini melimpah dan sampai juga kepada orang luar dari pelbagai pelosok dunia, hatta Malaysia. Maka sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri kita, rebutlah peluang ini untuk mencari rezeki pekerjaan dan perniagaan. Tetapi jangan hanya habuan dunia yang dikejar; rebutlah juga peluang-peluang menambahkan kefahaman ilmu agama dan bekalan akhirat di bumi bertuah ini, yang bukan hanya kaya dengan minyak tetapi juga ilmu dan persekitaran yang baik.

Sekian, terima kasih dan jazakumullahu khairan kepada pihak penganjur, khususnya Saudara Megat Ahmad Rithauddeen, Wan Harris, Abdullah Wahab, Rushdan, Khairil, Zamani, Haji Mansur, Yusri, Yusmizar, Nik dan semua yang tidak tersebut di sini… Semoga bertemu lagi dalam majlis yang lain atau di alam siber ini.

Akhukum,

Abu Anas Madani, 6 Jun 2011, Pondok Sungai Durian.

Bacaan berkaitan

Rujukan

3 sumber
  1. Wikipedia: History of Qatar.

    en.wikipedia.org
  2. Wikipedia: Municipalities of Qatar.

    en.wikipedia.org
  3. Wikipedia Bahasa Melayu: Qatar.

    ms.wikipedia.org

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Musafir Rehlah Haji 1436H (Siri 6) 2 Okt 2015 Musafir Rehlah Haji 1434H (Siri 5) 9 Nov 2013 Musafir Catatan Rehlah Ke Istanbul dan Umrah 2013 1 Jun 2013 Musafir Rehlah Haji 1433H (Siri 4) 13 Nov 2012