Tulisan: Islah Ismail. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani.
Bismillah, alhamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah…
Catatan ini ditulis oleh Nurul Islah Haji Ismail, peserta rombongan Abu Anas ke Istanbul dan umrah 2013 yang ditugaskan sebagai pencatat perjalanan rehlah. Catatan dan ulasan Abu Anas sendiri diselitkan di tempat-tempat yang berkaitan.
Kembara ilmu mencari reda-Nya di Istanbul, Turki
Bismillah, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Moga Allah reda. Alhamdulillah atas segala nikmat-Mu.
Bermula 26 Mei 2013 sehingga 30 Mei 2013 (4 hari 3 malam), kembaraku bersama keluarga ke bumi al-Fateh, Kota Constantinople.
Sabda Rasulullah SAW: “Kota Constantinople pasti akan dibuka; sebaik-baik amir ialah amirnya dan sebaik-baik tentera ialah tentera itu.”
[Ulasan: Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam al-Musnad daripada ‘Abdullah bin Bisyr al-Khath‘ami, daripada bapanya. Ulama berbeza pendapat tentang kesahihannya: al-Hakim mensahihkannya dan disetujui oleh al-Zahabi, manakala al-Albani (al-Silsilah al-Da‘ifah, no. 878) dan Syu‘aib al-Arna’ut menilainya daif kerana perawi ‘Abdullah bin Bisyr al-Khath‘ami tidak dikenali (majhul). Berita pembukaan Constantinople sendiri thabit dalam hadis-hadis sahih yang lain, tetapi pujian khusus terhadap amir dan tenteranya hanya datang melalui riwayat yang dipertikaikan ini.]
Ahad, 26 Mei 2013: bertolak
Alhamdulillah, pada hari Ahad, 26 Mei 2013, Abu Anas bermusafir ke Qastantiniyyah (Istanbul) melalui Abu Dhabi, kemudian ke al-Madinah dan mengerjakan umrah di Tanah Haram Makkah. Perjalanan bermula dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu ke KLIA dengan MH1397 pada jam 4.05 petang.
Alhamdulillah, selamat tiba di KLIA jam 5 petang. Semua ahli rombongan seramai 40 orang, kebanyakannya dari Kelantan dan Selangor, mengikuti rombongan ini di bawah kelolaan Syarikat Ash-Har Travel Sdn. Bhd. Kami mula berkumpul di KLIA ditemani keluarga masing-masing seawal jam 4 petang. Sambil menunggu penerbangan seterusnya ke Abu Dhabi, kami menikmati jamuan yang dibawa oleh anak Ayah Uji, salah seorang jemaah Ash-Har, jazahumullahu khairan.
Rombongan ini diketuai oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman (Abu Anas Madani), seorang yang kaya dengan ilmu sirah Islam dan dibantu oleh Abang Saiful yang banyak pengalaman dalam dunia pelancongan. Daftar masuk jam 7 malam.
Catatan Abu Anas: Bismillah, pada jam 8.45 malam pesawat EY411 bergerak. Rupanya penerbangan ini bukan sepenuhnya milik Etihad, tetapi dikongsi dengan Virgin Australia; patutlah tiada kedengaran bahasa Arab, hatta doa safar pun tiada. Hidangan arak pula diedarkan dengan meriah; kita mohon perlindungan Allah daripada kemurkaan-Nya. Setelah terbang seketika, ana mula membelek nota yang ada sambil menunggu makanan. Maklumlah kami duduk di tempat duduk belakang; jam 10 lebih baru dapat nasi goreng, alhamdulillah. Selepas itu baru boleh tidur.
Selepas berada dalam pesawat selama 6 jam, alhamdulillah kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada jam 11.05 malam waktu tempatan untuk transit semalaman. Jarak perjalanan yang dilalui hari ini ialah dari KL ke Abu Dhabi 5,047 km ditambah KL–KB 542 km, iaitu 5,589 km. Kami bermalam di Hotel Radisson, Abu Dhabi, sebuah hotel bertaraf 5 bintang yang sangat mewah, dua orang sebilik. Namun sedikit sedih kerana tidak berkelapangan berkunjung ke bandar yang penuh dengan cahaya ini; hanya dari lapangan terbang ke hotel, kemudian kembali ke lapangan terbang semula keesokan paginya. Cantik pemandangannya dari dalam bilik hotel kami. Subhanallah!
Isnin, 27 Mei 2013: hari pertama di Istanbul
Pagi ini jam 9.30 (waktu Emiriah Arab Bersatu), 1.30 petang waktu Malaysia, kami bertolak ke Istanbul, Turki dengan EY97, Etihad Airways. Jarak masa perjalanan dari Abu Dhabi ke Istanbul ialah 4 jam 10 minit. Alhamdulillah, kami selamat tiba di Lapangan Terbang Atatürk, Istanbul pada jam 1.15 petang waktu Turki. Subhanallah, cuaca nampak panas tetapi udaranya sangat nyaman; suhu di Istanbul ketika itu 21 darjah Celsius.
Tiba di Istanbul, rombongan kami disambut oleh seorang pemandu pelancong, Encik Burak. Kami terus dibawa menaiki bas pelancong untuk makan tengah hari. Dalam bas, Burak petah memperkenalkan Istanbul kepada kami.
Fakta: Istanbul bukanlah ibu negara Turki, tetapi Istanbul ialah bandar yang paling membangun dan maju berbanding ibu negaranya, Ankara.
Turki merupakan negara yang istimewa kerana wilayahnya merentasi dua benua, Eropah dan Asia. Bahagian Eropah lebih membangun dengan perniagaan, manakala bahagian Asia lebih kepada penempatan penduduk Turki. Selat Bosphorus menghubungkan Laut Hitam dengan Laut Marmara serta memisahkan dua benua ini.
Semasa pemerintahan Rom dahulu kala, ia dikenali sebagai Kota Constantinople. Selepas ia dibuka oleh al-Fateh, ia kekal dikenali sebagai Qustantiniyyah dalam dokumen rasmi Uthmaniyyah, di samping nama Istanbul. Nama Istanbul berasal daripada ungkapan Yunani eis tin polin (“ke kota”), manakala sebutan “Islambol” (kota yang penuh dengan Islam) ialah permainan kata yang popular pada zaman Uthmaniyyah.
Istanbul merupakan salah satu bandar yang paling besar dan paling sibuk di benua Eropah. Penduduknya sahaja sudah melebihi 14 juta orang dan lebih 10 juta pelancong asing datang ke bandar ini setiap tahun, termasuklah kami hari ini. Bandar yang penuh dengan sejarah dan sangat cantik, penuh dengan bukit-bukau dan lautan yang indah.
Bas berhenti di pinggir jalan dan kami perlu berjalan kaki menaiki bukit untuk ke restoran. Agak memenatkan, tetapi memang persekitaran bandar Istanbul ini berbukit. Catatan Abu Anas: ia mengingatkan ana kepada kawasan Ajyad yang berbukit di Makkah. Sekelilingnya penuh dengan bangunan-bangunan lama yang kini dijadikan deretan kedai menjual pelbagai cenderamata dan makanan.
Setibanya kami di Restoran Tamara, kami dihidangkan dengan makanan Turki yang berkhasiat. Di Turki, mereka menghidangkan tiga peringkat hidangan: hidangan pertama ala-ala pembuka selera seperti roti, salad atau sup; hidangan kedua makanan berat seperti nasi dan ikan atau daging; dan hidangan ketiga pencuci mulut seperti buah-buahan atau aiskrim.
Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru)
Selepas itu kami terus dibawa melawat ke tempat bersejarah yang pertama, iaitu Masjid Sultan Ahmed atau lebih terkenal dengan panggilan Masjid Biru (Blue Mosque). Catatan Abu Anas: Masjid yang ramai pelawat tetapi tidak ramai yang solat, Allahul musta‘an.

Ia adalah masjid yang paling besar dan indah di Istanbul, juga dikenali sebagai Masjid Sultan Ahmet. Dibina pada tahun 1609–1616, masjid ini mempunyai enam menara. Betapa hebatnya masjid ini pada zaman Sultan Ahmet: di dalam kompleksnya ada sekolah, hospital, Arasta Bazaar, madrasah, makam dan air pancut awam. Namun sayang, hospitalnya telah musnah pada abad ke-19. Bayangkan betapa besarnya masjid ini!
Walaupun sudah banyak masjid dibina di Turki, tetap tidak dapat menandingi kehebatan dan keindahan dekorasi masjid ini. Terdapat lima pintu masuk yang dibuka di halaman luar masjid ini. Di setiap pintu tersebut terdapat rantai yang tergantung. Dikatakan pada zaman dahulu, sultan datang ke masjid ini dengan menunggang kuda dan akan mengikat kudanya di sini, lalu masuk ke masjid bersama-sama dengan orang awam. Betapa tawaduknya seorang khalifah.

Air pancut untuk berwuduk berada di tengah-tengah halaman masjid ini. Terdapat 260 tingkap di dalam masjid ini.
Mengapa masjid ini dinamakan Masjid Biru? Disebabkan oleh jubin dan dekorasi di dalam masjid yang kebanyakannya berwarna biru. Tetapi sekarang lantainya sudah berpermaidani merah.
Istana Topkapi (Topkapı Palace)
Selepas selesai solat Zohor di Masjid Biru, kami meneruskan perjalanan ke tempat bersejarah yang kedua, Istana Topkapi, tempat bersejarah yang paling terkenal di Turki. Ia berada berhampiran Masjid Biru, di belakang Ayasofya; hanya perlu berjalan beberapa meter sahaja.
Catatan Abu Anas: Muzium Topkapi telah menjadi sebutan sejak ana mula belajar di peringkat MA di Universiti Islam Madinah. Nama ini disebut kerana terdapat khazanah 3,500 makhtutat (manuskrip kitab lama) yang sangat berharga tersimpan di sini, di Maktabah Ahmad al-Thalith. Malangnya maktabah ini tidak dibenarkan untuk dilawati.
Istana ini mula dibina pada tahun 1459 atas perintah Sultan Mehmed II (al-Fateh) dan didiami oleh para sultan sehinggalah ia dijadikan muzium atas arahan kerajaan Mustafa Kemal Atatürk pada tahun 1924. Istana ini banyak membantu dalam ketamadunan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah ketika itu. Tempat ini merupakan pusat pemerintahan hampir 400 tahun semasa pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah, salah satu empayar terbesar di dunia. Namun apabila Mustafa Kemal Atatürk menjatuhkan pemerintahan khilafah, tempat ini dijadikan muzium. Hampir 2.5 juta pelancong datang ke sini setiap tahun.

Selepas pembukaan Kota Constantinople oleh Sultan Mehmed al-Fateh pada tahun 1453, tempat ini dibina sebagai pusat pemerintahan. Nama Topkapi (bermaksud ‘Pintu Meriam’) diambil sempena pintu gerbang yang dikawal meriam-meriam besar. Istana ini dikelilingi tembok sepanjang 5 kilometer dengan 28 menara. Luas, bukan? Namun, banyak bangunan istana ini telah musnah dalam kebakaran besar dan gempa bumi pada abad ke-16 dan ke-17.
Tiga pintu utama perlu dimasuki sebelum sampai ke dalam istana. Pintu utama pertama dikenali sebagai Bab-ı Hümayun (Pintu Diraja). Apabila kita memasuki pintu ini, kita dapat melihat kecantikan dan keluasan halaman istana yang sangat indah. Rumput yang menghijau dan bunga-bunga yang cantik menghiasi laman istana.
Kemudian kita akan masuk ke pintu utama yang kedua, Babüsselam (Bab al-Salam), yang dibina oleh Sultan Mehmed II (al-Fateh). Pintu ini juga dikenali sebagai Pintu Tengah (Middle Gate). Bermulalah pengembaraan kita di dalam muzium istana ini.
Menara pertama di sebelah kiri pintu utama merupakan penjara bagi pembesar yang melakukan jenayah semasa zaman Uthmaniyyah. Dikatakan algojo akan membasuh pedangnya di air pancut depan pintu masuk selepas hukuman pancung dijalankan. Selepas kita memasuki pintu Babüsselam, kita akan melihat taman seluas 130 meter.
Apabila sultan berada di dalam istana, adalah dilarang bercakap di halaman kedua istana ini, walaupun halaman ini dibuka kepada orang luar yang mengunjungi dapur istana.

Di sebelah kanan halaman istana terdapat dapur istana (Palace Kitchen). Lebih 800 orang pernah bekerja di dapur ini, menyediakan makanan untuk kira-kira 4,000 penghuni istana setiap hari.
Pintu yang ketiga dikenali sebagai Babüssaade (Bab al-Sa‘adah) atau Pintu Akağalar. Melaluinya kita memasuki halaman ketiga istana. Di sebelah kiri terdapat dewan penerimaan tempat sultan menerima pembesar dan duta-duta dari seluruh negara. Di sebelah kanan halaman pula terdapat sekolah istana, yang sekarang digunakan sebagai pejabat pengurusan muzium.
Di dalam istana ini juga terdapat Perbendaharaan Diraja (Imperial Treasury) yang menempatkan pelbagai khazanah dari seluruh dunia Islam. Terdapat empat bilik di tempat ini. Bilik pertama menempatkan takhta milik Sultan Murad IV, lilin dan bekas air emas, set hidangan emas, senjata yang dihiasi permata, tongkat dihiasi permata berharga pemberian Maharaja Jerman Wilhelm II dan jubah Sultan Mehmed al-Fateh.
Bilik kedua menempatkan takhta Sultan Ahmed I abad ke-17 dan Pisau Topkapi (Topkapi Dagger) yang terkenal, yang telah dihantar oleh Sultan Mahmud I kepada pemerintah Parsi, Nadir Shah. Namun dalam perjalanan, rombongan itu mendapat berita Nadir Shah telah mangkat, lalu hadiah ini dipulangkan ke istana ini semula.
Bilik ketiga pula menempatkan berlian Kaşıkçı atau Spoonmaker’s Diamond (Berlian Tukang Sudu), lilin emas untuk makam Rasulullah dan takhta emas yang dihantar oleh pemerintah Mesir, Ibrahim Pasha, kepada Sultan Murad III pada abad ke-16.
Bilik keempat menempatkan takhta emas yang dihiasi mutiara, yang dihantar kepada Sultan Mahmud I oleh Nadir Shah, serta beberapa khazanah daripada seluruh dunia.
Selain itu, terdapat Holy Relics, iaitu barang-barang peninggalan suci, di dalam istana ini. Selepas Sultan Selim I menguasai Mesir (1517), beliau mendapat gelaran khalifah, iaitu ketua bagi seluruh dunia Islam dan membawa barang-barang peninggalan Rasulullah ke Istanbul. Jadi, kami dapat melihat pedang baginda SAW dan pedang para sahabat seperti Khulafa’ al-Rasyidin, al-Zubair bin al-‘Awwam, Khalid bin al-Walid dan beberapa orang lagi sahabat, kesan tapak kaki Rasulullah SAW, janggut baginda SAW, jubah anak baginda Sayyidatina Fatimah dan cucu baginda SAW Sayyidina Husain. Selain itu ada juga tongkat yang dikatakan milik Nabi Musa a.s. dan serban Nabi Ibrahim a.s. (semuanya dilarang diambil gambar). Satu lagi, ada seorang hafiz sedang mengalunkan bacaan al-Quran. Subhanallah, bacaannya sangat merdu. Pada mulanya kami sangkakan sekadar rakaman, rupa-rupanya bacaan secara langsung.
Selain itu, di dalam istana ini ada sebuah perpustakaan yang menempatkan ribuan manuskrip. Sedihnya kami tidak berpeluang memasukinya kerana sedang dalam pembinaan.
Jam menunjukkan pukul 6.15 petang. Istana ini ditutup jam 6.30 petang, jadi kami antara pengunjung yang paling akhir. Waktu sudah petang tetapi hari masih cerah. Rupa-rupanya Maghrib di sini jam 8.30 malam dan Isyak jam 10 malam, tetapi Subuhnya awal, jam 3.00 pagi. Selepas itu kami pergi makan malam dan pulang ke Hotel Abel untuk berehat selepas sehari suntuk berjalan.
Selasa, 28 Mei 2013: hari kedua
Pagi ini selepas bersarapan bijirin dan buah-buahan, diadakan majlis taaruf sesama ahli rombongan. Kamilah ahli keluarga paling ramai, tujuh orang. Gembira dapat berkenalan dengan semua walaupun masih belum ingat nama semua. Tiada yang sama umur dengan saya. Tidak mengapa, yang penting jauh perjalanan, luas pandangan.

Selepas itu kami dibawa menaiki feri menyusuri Selat Bosphorus yang menghubungkan Laut Hitam dan Laut Marmara tetapi memisahkan dua benua. Hampir dua jam di atas bot menyusuri Selat Bosphorus, melihat dari laut keindahan alam serta kesan peninggalan Rom dan al-Fateh. Hebat, bukan? Betapa cantik ciptaan Allah. Sebab itulah Allah menyuruh kita bermusafir supaya dapat melihat kebesaran-Nya dan meningkatkan lagi keimanan kita. Istanbul ini memang betul-betul sibuk, tidak kira di laut dengan kapal-kapalnya, di udara dengan helikopter dan kapal terbang, juga di daratan yang tidak habis-habis dengan kesesakan.

Selat Bosphorus pernah menjadi kawasan pertahanan penting Sultan Muhammad al-Fateh; di tebingnya beliau membina kubu Rumeli Hisarı bagi menyekat bantuan musuh ke Constantinople dan ia digunakan sebagai sebahagian taktik untuk membuka kota itu. Jambatan Bosphorus merupakan antara jambatan tercantik di Turki dan antara yang terpanjang di dunia, menghubungkan Eropah dan Asia; jika dilihat dari jauh, bentuknya nampak sangat nipis dan unik sekali.
Pasar Rempah (Spice Market)
Seterusnya kami ke Pasar Rempah (Spice Market), juga dikenali sebagai Mısır Çarşısı atau Egyptian Bazaar, tempat menjual kuih-muih (Turkish Delight) dan rempah-ratus. Jom kita beli Turkish Delight! Tidak sangka rakyat Turki sangat kenal Malaysia, Kuala Lumpur; ada yang boleh bercakap Melayu sedikit-sedikit.

Kawasan ini sejak zaman Byzantine merupakan pusat dagangan. Banyak rempah-ratus dari Mesir dijual di sini. Bangunan pasar ini mula dibuka pada tahun 1660. Hampir 80 kedai ada di sini; bentuknya seperti huruf L dan mempunyai enam pintu masuk. Antara yang menarik di sini, ada pelbagai jenis teh: teh diabetes, darah tinggi, sakit perut, bahkan ‘teh cinta’ pun ada! Keju di sini pun besar-besar.
Kami kemudiannya dibawa makan tengah hari di Restoran Neptune Balık, makan ikan bakar di bawah jambatan. Balık dalam bahasa Turki bermaksud ikan.
Kemudian kami solat Zohor dan Asar di Masjid Küçük Ayasofya (Ayasofya Kecil). Catatan Abu Anas: Ana sempat memberi tazkirah ringkas di sini. Tempat kuliah di masjid-masjid Istanbul ini agak unik; ia dibina tinggi dan pengkuliah kena naik tangga.
Ayasofya (Hagia Sophia)
Tiba masanya ke tempat yang dinanti-nantikan, Ayasofya (Hagia Sophia), sebuah bangunan yang menjadi rebutan antara dua agama, iaitu Islam dan Kristian. Ia asalnya sebuah gereja yang dibina pada zaman Byzantine. Sejarahnya cukup unik: ketika al-Fateh berjaya membuka Constantinople, baginda telah menukarkan Ayasofya daripada sebuah gereja kepada sebuah masjid yang cukup agung ketika itu. Namun setelah hampir lima abad, ia dijadikan tempat pelancongan, sebuah muzium; untuk masuk ke dalamnya kita perlu membeli tiket.
Sejarah ringkas Ayasofya: Ayasofya yang bermaksud ‘Kebijaksanaan Suci’ (Holy Wisdom) merupakan gereja dan tempat yang paling suci pada zaman Byzantine. Ayasofya telah menjadi gereja selama 916 tahun sejak pembinaannya pada tahun 537 sehinggalah Istanbul dibuka. Pada tahun 1453, orang Islam yang diketuai oleh al-Fateh menjadikan Ayasofya sebagai masjid dan ia kekal sebagai masjid selama 481 tahun. Namun pada zaman pemerintahan Atatürk, ia diisytiharkan sebagai muzium (dibuka sebagai muzium pada 1 Februari 1935). Moga suatu hari nanti Ayasofya dapat dijadikan masjid semula, amin!
[Nota penyunting: Doa ini termakbul. Pada Julai 2020, Ayasofya dikembalikan sebagai masjid dan solat Jumaat pertama diadakan di dalamnya pada 24 Julai 2020.]
Bangunan yang pertama telah musnah dalam kebakaran akibat rusuhan. Kemudian ia dibina semula, namun perkara yang sama berlaku apabila bangunan itu musnah dalam Rusuhan Nika (532M). Ia dibina sekali lagi dan gereja tersebut kekal sehingga zaman al-Fateh. Beliau menukar gereja ini menjadi masjid pada hari Selasa, hari pembukaan kota dan pada hari Jumaat yang pertama selepasnya (1 Jun 1453) solat Jumaat pertama terus didirikan secara rasmi di masjid ini. Betapa hebat dan beraninya beliau, subhanallah. Masih adakah pemimpin dan pemuda sebegini? Mantap ibadah, mantap iman, mantap kepimpinan. Beliau berjaya membuka Kota Constantinople pada usia 21 tahun.
Apabila Ayasofya dijadikan masjid, semua patung dikeluarkan dan lukisan-lukisan dinding ditutup. Bayangkan sebuah bangunan yang ada nama Allah dan Rasulullah dan pada masa yang sama juga ada lukisan al-Masih yang kini didedahkan semula. Antara yang menarik juga dalam Ayasofya, ada suatu tempat khas sultan beribadat. Ia membuktikan betapa kuatnya hubungan pemerintah seperti Sultan Mehmed al-Fateh dengan Allah. Sebab itu beliau tidak berasa hebat, kerana beliau sedar ada Yang lebih hebat yang menguasainya. Subhanallah.
Selepas keluar dari Ayasofya, sempat kami singgah di kedai aiskrim ‘main-main’ di depan Ayasofya. Main-main betul orang yang menjual aiskrim itu ketika hendak meletakkan aiskrim ke dalam kon. Adoi!
Grand Bazaar dan Golden Horn
Seterusnya kami ke Grand Bazaar (Kapalıçarşı), tempat membeli-belah yang terbesar di Istanbul. Grand Bazaar Istanbul merupakan antara pasar bertutup yang tertua dan terbesar di dunia. Ia merangkumi lebih 4,000 kedai dan dikunjungi antara 250,000 hingga 400,000 orang setiap hari. Cukup mengagumkan! Ribuan gerai di sini menjual pelbagai hiasan, cenderahati, Turkish Delight, pakaian, pashmina, makanan dan pelbagai barangan lagi.
Selepas itu kami ke Restoran Golden Horn untuk makan malam. Golden Horn (Tanduk Emas) ialah teluk tempat tentera al-Fateh membawa kapal-kapal mereka melalui jalan darat menaiki bukit dalam satu malam (22 April 1453). Suatu kerja di luar logik akal kita. Kekuatan dalaman (iman) mereka mempengaruhi kekuatan luaran mereka. Tiada yang mustahil dengan izin Allah.
Rabu, 29 Mei 2013: hari ketiga
Hari ini hari ketiga kami berada di Istanbul, bertepatan dengan tarikh Sultan Muhammad al-Fateh membuka Kota Constantinople, 29 Mei 1453M.
Pengisian daripada Ustaz Dr. Abdul Basit (Abu Anas Madani) sementara menunggu bas tiba di hotel untuk menjemput kami, tentang sejarah pemerintahan Islam dan al-Fateh:
Selepas zaman Khulafa’ al-Rasyidin, pemerintahan Islam diteruskan oleh Kerajaan Umawiyyah yang berpusat di Damsyik, Syria. Kemudian bertukar kepada Kerajaan ‘Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad, Iraq dan kemudian kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul, di Istana Topkapi (tempat yang kami ziarahi kelmarin). Sebagaimana yang kita tahu, sistem khilafah telah dimansuhkan oleh Mustafa Kemal Atatürk pada tahun 1924. Dia merasakan dirinya hebat, namun kuasa Allah jauh lebih hebat dan Maha Hebat.
[Nota penyunting: Cerita yang tersebar bahawa jenazah Atatürk ‘tidak diterima bumi’ tidak mempunyai bukti yang sahih; jenazahnya kini dimakamkan di Anıtkabir, Ankara. Ayat tersebut dibuang daripada catatan asal.]
Kisah al-Fateh
Sebenarnya sudah ramai pemimpin dan khalifah yang cuba mengejar gelaran sebaik-baik pemimpin seperti yang disebut oleh Rasulullah, termasuklah Sultan Murad II, ayah kepada Sultan Mehmed II yang lebih dikenali sebagai al-Fateh. Al-Fateh semasa kecil ialah seorang kanak-kanak yang nakal seperti kanak-kanak lain. Ayahnya berharap agar anaknya ini dapat membuka Kota Constantinople. Jadi, sejak kecil lagi ayahnya menanam semangat tersebut ke dalam diri anaknya.
Sultan Murad II melantik seorang guru untuk mendidik anaknya ini. Pada suatu hari, gurunya merotan al-Fateh tanpa sebab. Beliau tidak puas hati dan berasa marah, lalu cuba membuktikan bahawa dia tidak patut dirotan tanpa sebab. Beliau mula membulatkan tekad untuk merealisasikan hasrat ayahnya, iaitu membuka Kota Constantinople daripada Rom Timur (Byzantine), satu kuasa besar pada zaman itu. Mengapa umat Islam begitu inginkan Kota Constantinople ini? Kerana kota ini merupakan penghubung antara dua benua; jika berjaya dibuka, umat Islam mampu menguasai laluan penting dunia dan menjadi sebuah kuasa besar.
Kota Constantinople mempunyai pertahanan yang kuat, iaitu parit yang dalam dan tembok berlapis, di samping rantai besar yang menghalang kapal memasuki Golden Horn. Al-Fateh mengarahkan semua tenteranya bersama-sama berpuasa untuk memohon pertolongan Allah memecahkan pertahanan tersebut. Hampir dua bulan (6 April hingga 29 Mei 1453) kota ini dikepung, namun masih sukar menembusi pertahanan yang dibina oleh pihak Rom. Betapa kuatnya pertahanan mereka. Setiap malam, semua tentera al-Fateh bermunajat dan bertahajud kepada Allah memohon pertolongan. Bukan mudah untuk menang.
Al-Fateh juga mendapatkan khidmat seorang jurutera yang hebat (Orban) yang dapat membina meriam gergasi untuk memecahkan tembok pihak Rom.
Oleh kerana al-Fateh seorang yang sangat bijak dan berstrategi, beliau mengeluarkan satu idea yang luar biasa. Walaupun idea beliau agak keterlaluan dan sukar diterima akal, itulah idea yang terbaik. Beliau mengarahkan tenteranya mengangkut kapal-kapal mereka menaiki bukit melalui darat untuk masuk ke Golden Horn dan menyerang dari arah yang tidak dijangka. Di sana pihak Rom tidak meletakkan pertahanan yang kuat kerana bagi mereka mustahil tentera Islam akan menyerang dari sana. Namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Mereka berjaya membuka Kota Constantinople dan menewaskan tentera Rom. Dalam peperangan ini ramai tentera Islam yang gugur syahid dan ada yang dibunuh secara kejam oleh tentera Rom bagi melemahkan semangat tentera Islam, namun yang berlaku adalah sebaliknya. Tentera Islam menjadi lebih bersemangat untuk menuntut bela atas sahabat-sahabat mereka yang telah syahid. Tentera Islam tidak takut akan kematian, berbeza dengan tentera kuffar.
Selepas kemenangan, ramai paderi lari bersembunyi di dalam gereja. Mereka takut dan bimbang akan diperlakukan oleh tentera Islam seperti yang mereka lakukan kepada tentera Islam sebelum ini. Namun, hati pemimpin terbaik ini bukanlah jenis yang membalas dendam. Sultan Mehmed II (al-Fateh) mengumumkan jaminan keamanan kepada penganut Kristian, maka ramailah yang keluar, bahkan ada yang mengisytiharkan keislaman mereka. Alhamdulillah. Betapa berhikmahnya al-Fateh, subhanallah.
Al-Fateh bertemu semula dengan gurunya dan bertanya mengapa dia pernah dirotan tanpa sebab. Lalu gurunya menjelaskan alasan yang sebenar: gurunya ingin beliau merasai penderitaan orang yang dizalimi, betapa sakit dan pedihnya seorang yang dizalimi. Barulah al-Fateh faham mengapa gurunya melakukan tindakan tersebut ke atasnya. Jadilah dia seorang pemimpin yang tidak menzalimi rakyatnya dan sentiasa menegakkan yang hak dan adil.
Panjang lebar pengisian ustaz pagi ini. Alhamdulillah, dapat merasai kehebatan seorang pemimpin, sebaik-baik pemimpin seperti yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW.
Catatan Abu Anas: Ana juga pernah menyampaikan khutbah bertajuk “Sejarah Pembukaan Kota Qastantiniyyah oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 29-05-1453M”. Rakamannya boleh ditonton di YouTube.
Masjid al-Fateh dan makam al-Fateh
Kebetulan pagi ini kami menziarahi Masjid al-Fateh, iaitu masjid besar pertama yang dibina oleh beliau selepas kemenangan membuka Kota Constantinople. Tapak masjid ini ialah bekas tapak Gereja Para Rasul (Holy Apostles). Masjid ini antara masjid terbesar di Istanbul. Masjid ini pernah musnah dalam gempa bumi besar pada tahun 1766 dan dibina semula sehingga tahun 1771. Di halaman masjid ini terdapat air pancut untuk berwuduk.

Di sebelah masjid ini terdapat kompleks madrasah al-Fateh (Sahn-ı Seman), iaitu pusat pengajian tinggi pertama yang dibina selepas pembukaan Kota Constantinople. Di dalamnya terdapat banyak madrasah, perpustakaan, sekolah rendah, institusi kebajikan, dapur awam dan hospital. Namun, kami tidak dapat masuk ke dalam kerana sedang dibaik pulih. Jadi, tengok dari luar sahaja.
Seterusnya kami bergerak ke belakang masjid. Rupa-rupanya makam al-Fateh di sini. Kebetulan hari ini merupakan ulang tahun ke-560 pembukaan Kota Constantinople. Ramai betul orang di sini, subhanallah. Mereka berasak-asak berebut hendak masuk ke dalam bangunan kecil ini kerana makam ini terletak di dalam bangunan. Disebabkan terlalu ramai dan terlalu sesak, ketika saya baru hendak masuk, tiba-tiba polis yang menjaga bangunan ini tidak membenarkan kami masuk lagi. Jadi, kami tidak dapat masuk. Sedihnya, sudahlah datang dari jauh. Kami hanya melihat makam al-Fateh dari luar.

Masjid Abu Ayyub al-Ansari
Selepas itu kami menaiki bas menuju ke Masjid Abu Ayyub al-Ansari (Eyüp Sultan), salah seorang sahabat Rasulullah SAW.

Siapakah Abu Ayyub ini? Ingat tak semasa hijrah Nabi SAW ke Madinah, di rumah beliaulah Rasulullah tinggal ketika mula-mula sampai di Madinah. Ketika ramai orang Islam berebut mengajak Rasulullah menginap di rumah mereka, baginda bersabda: “Biarkanlah unta ini, kerana ia diperintahkan.” Unta baginda berhenti dan duduk berhampiran rumah Abu Ayyub, lalu Abu Ayyub segera membawa barang-barang baginda ke rumahnya. Rasulullah bersabda: “Seseorang itu bersama barangnya.” Maka rumah beliaulah yang menjadi tempat Nabi SAW menginap.
Nama sebenar Abu Ayyub al-Ansari ialah Khalid bin Zaid. Beliau seorang yang bercita-cita tinggi untuk membuka Kota Constantinople. Beliau sanggup keluar berjihad dari Madinah ke Constantinople dan akhirnya tiba di sini dalam usia yang sangat lanjut. Betapa bersemangatnya pejuang Islam ini. Beliau wafat ketika ikut serta dalam pengepungan Constantinople (sekitar tahun 52H) dan berwasiat agar jenazahnya dikebumikan sehampir mungkin dengan tembok Kota Constantinople. [Lihat: Islamstory: أبو أيوب الأنصاري]

Semasa peperangan antara tentera Islam dan tentera Rom merebut kota ini, dua hari sebelum serangan besar dilancarkan, semua tentera Islam diarahkan berpuasa. Kekuatan rohani sangat kuat dalam diri mereka, subhanallah. Dalam tempoh ini juga, para khatib di semua masjid dikehendaki menyuntik semangat para mujahidin dengan kisah Abu Ayyub al-Ansari yang mempunyai semangat yang kental, bermusafir dari jauh semata-mata untuk membebaskan kota ini dan ingin menjadi sebahagian daripada pemimpin dan tentera yang terbaik.
Kami solat Zohor dan Asar di sini. Namun sebelum itu kami sempat singgah menziarahi makam beliau berhadapan masjid. Catatan Abu Anas: (kalau benar itu makamnya).


Muzium Tentera dan Dataran Taksim
Kemudian kami terus bertolak ke tempat seterusnya, iaitu Muzium Tentera. Muzium ini dibuka di tempatnya sekarang pada tahun 1959. Di dalamnya terdapat pelbagai jenis senjata, topi besi, pakaian seragam dan peralatan yang digunakan tentera Turki sejak abad ke-12 sehingga Perang Korea. Terdapat juga banyak lukisan yang menggambarkan peperangan yang berlaku suatu ketika dahulu di Turki dan pelbagai jenis bendera, pingat dan senjata yang dirampas daripada pihak musuh mereka.
Sebenarnya niat kami pergi ke muzium ini untuk melihat sejarah sebenar Kota Constantinople, tetapi muzium ini lebih banyak menceritakan tentang pemerintah mereka, iaitu Mustafa Kemal Atatürk. Sehinggakan disediakan satu bilik yang menceritakan sejarah hidupnya, sedangkan untuk al-Fateh sekadar ruangan biasa. Kami melihat kesan-kesan sejarah Turki daripada muzium ini.
Tempat lawatan kami yang terakhir di Istanbul ini ialah Dataran Taksim. Tempat ini terletak di hujung Jalan Istiklal, salah satu pusat membeli-belah yang paling sibuk di Istanbul. Ia dinamakan Taksim sempena nama sebuah bangunan yang mengagihkan air ke beberapa daerah pada masa dahulu.
Di tengah-tengah Dataran Taksim terdapat Monumen Republik setinggi kira-kira 12 meter yang dibina pada tahun 1928 oleh seorang arkitek Itali. Monumen ini menjadi simbol Perang Kemerdekaan dan asas republik ini. Terdapat sebuah bangunan besar di sekitar tempat ini, iaitu Pusat Kebudayaan Atatürk yang dibuka pada tahun 1969; bangunan ini dibina semula selepas kebakaran pada tahun 1970. Terdapat konsert, dewan pameran dan panggung di dalam bangunan ini. Selain itu, terdapat juga sebuah hotel bertaraf 5 bintang, iaitu The Marmara Hotel, di sekitar tempat ini. Ada sebuah taman yang cantik di sebelah dataran ini yang dinamakan Taman Gezi. Di sebelah kiri Jalan Istiklal terdapat Gereja Aya Triada yang dibina pada tahun 1880 dan masih kekal sehingga sekarang. Di sepanjang Jalan Istiklal juga terdapat laluan trem bersejarah dan Tünel, kereta api bawah tanah lama yang menjadi pengangkutan rakyat di sini.
Seperti biasa, rakyat Malaysia sangat dikenali. Ada seorang rakyat Amerika yang pernah belajar di Malaysia menegur kami di tengah-tengah kesibukan Jalan Istiklal.
Catatan Abu Anas (perhatian): Pada masa kami berada di tempat ini, kelihatan banyak trak polis rusuhan Turki yang berkawal. Rupanya itulah permulaan demonstrasi golongan sekular yang menentang pentadbiran Erdoğan. Kami dapat tahu cerita ini setelah berada di Madinah. Alhamdulillah, kami semua selamat.
Jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang dan perut kami pun semakin lapar. Kami dibawa ke sebuah restoran kebab untuk merasai kelazatan kebab Turki.
Malam ini merupakan malam terakhir kami di sini. Sedih, tetapi kami mesti akur kerana jauh lagi perjalanan dan destinasi kami. Kami merancang hendak berjalan-jalan di tepi Laut Marmara di depan hotel untuk menikmati pemandangan malam di Turki, tetapi disebabkan terlalu penat, rancangan itu tidak jadi.
Khamis, 30 Mei 2013: berangkat ke Madinah
Pagi ini kami bersiap awal dan bergerak ke Lapangan Terbang Atatürk pada jam 8.00 pagi menuju ke Jeddah dan seterusnya ke bumi berkat al-Madinah al-Munawwarah.

Selamat tinggal Turki, bumi al-Fateh yang kaya dengan sejarahnya yang tersendiri. Insya-Allah, ada jodoh kami datang bertandang lagi. Wallahu a‘lam. Moga Allah memberkati musafir kami ini.
Sepuluh faedah dan pengajaran daripada ziarah kami di bumi Istanbul
1. Kepentingan didikan yang betul
Didikan yang diberikan guru kepada anak murid membawa impak yang besar dalam hidup murid tersebut. Seperti yang dilakukan oleh guru al-Fateh yang merotannya tanpa sebab, menyebabkan al-Fateh berfikir dan menyimpan hasrat membuktikan dia bukan seorang yang boleh dizalimi. Dia bangkit untuk merealisasikan hasrat ayahnya untuk menjadi sebaik-baik pemimpin seperti yang telah disebut oleh Rasulullah SAW dan membuka Kota Constantinople.
2. Memohon pertolongan Allah adalah perkara yang paling utama
Suatu hari, al-Fateh ingin bertemu dengan gurunya, namun dihalang oleh pengawal kerana pada waktu itu gurunya ingin bersendirian dan tidak dibenarkan sesiapa pun bertemu dengannya. Al-Fateh tidak berpuas hati lalu menghunuskan pedangnya membelah kain khemah gurunya itu. Alangkah terkejutnya al-Fateh apabila melihat gurunya sedang sujud menangis merayu kepada Allah. Apabila kita menjaga hubungan dengan Allah, pasti pertolongan Allah akan kita peroleh. Hari tersebut ialah sehari sebelum al-Fateh melancarkan serangan terakhir ke atas tentera Rom untuk membuka kota tersebut.
3. Ibu bapa mesti menanam azam yang baik ke dalam diri anak-anak dan melihat potensi mereka
Sebagai ibu bapa, tanamlah semangat dan roh Islam ke dalam diri anak-anak supaya mereka bersemangat untuk berjuang mempertahankan Islam. Dalam masa yang sama, lihatlah potensi dan kelebihan yang ada dalam diri anak-anak. Jangan terlalu memaksa anak-anak melakukan sesuatu di luar kemampuannya. Seperti ayah al-Fateh: walaupun anaknya seorang kanak-kanak yang agak nakal, dari kecil lagi al-Fateh sudah ditanam dengan semangat untuk membuka Kota Constantinople dan menjadi seperti yang Rasulullah sebutkan. Selain itu, ayahnya juga dapat melihat jiwa kepahlawanan dalam diri al-Fateh.
4. Strategi yang tersusun sangat penting dalam hidup
Ada kata-kata masyhur yang disandarkan kepada Sayyidina ‘Ali: “Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.” Betapa hebat dan tersusunnya perancangan al-Fateh ketika serangan membuka kota ini sehingga mereka memperoleh kemenangan, di samping pergantungan dan hubungan mereka yang kuat dengan Allah SWT.
5. Kehebatan Sultan al-Fateh
Melihat, memerhati dan memahami kehebatan seorang anak muda berusia 21 tahun yang membuka sebuah kota yang dikuasai oleh satu kuasa besar. Subhanallah. Anak muda zaman kini, pada usia 20 tahun, apa jasamu kepada agama? Fikir-fikirkan dan ayuh bangkit!
6. Melihat impak besar yang dilakukan pemimpin terhadap rakyat
Kini, sejarah al-Fateh tinggal kenangan. Turki moden sudah jauh dipengaruhi oleh kuasa Barat apabila Mustafa Kemal Atatürk, seorang penentang agama, menguasai negara ini. Negara yang dahulunya menjadi rujukan negara-negara Islam seluruh dunia kini tinggal sejarah. Namun alhamdulillah, kehadiran seorang pejuang agama, Ali Adnan Ertekin Menderes, telah banyak membawa Turki kembali kepada Islam. Sedikit kisah mengenai beliau:
- Dilahirkan di Aydın pada tahun 1899.
- Meninggal dunia di Pulau İmralı pada 17 September 1961 (dalam usia 62 tahun).
- Seorang negarawan Turki dan pemimpin kerajaan pertama yang dipilih melalui pilihan raya berbilang parti dalam sejarah Turki. Beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Turki antara tahun 1950 hingga 1960.
- Salah seorang pengasas Parti Demokrat pada tahun 1946.
Diceritakan bahawa pada suatu hari beliau menaiki sebuah pesawat. Semasa di udara, pesawat itu mengalami kecemasan. Menderes bernazar, jika Allah menyelamatkan dirinya, beliau akan mengembalikan kegemilangan Islam di Turki. Akhirnya pesawat itu terhempas dan terbakar, namun beliau antara penumpang yang terselamat. Allahu a‘lam. [Nota penyunting: Nahas pesawat Menderes berlaku pada 17 Februari 1959 berhampiran Lapangan Terbang Gatwick, England; 14 daripada 24 orang di dalamnya terkorban dan Menderes antara yang terselamat. Kisah nazar ini masyhur tetapi tidak dapat disahkan.]
Beliaulah orang yang mengembalikan azan dalam bahasa Arab, setelah sekian lama diubah oleh Kemal Atatürk ke dalam bahasa Turki.
Pada tahun 1950 beliau bertanding dalam pilihan raya Turki mewakili Parti Demokrat. Antara kempen Menderes ialah:
- Azan dikembalikan ke dalam bahasa Arab.
- Ibadah haji diizinkan.
- Pembukaan semula sekolah-sekolah agama dan pengajaran agama di sekolah-sekolah umum.
- Membatalkan dasar yang menyekat pemakaian tudung bagi muslimah.
Hasilnya sangat mengejutkan! Parti Rakyat Republikan (CHP) peninggalan Atatürk hanya memperoleh 69 kerusi, manakala Parti Demokrat meraih 416 kerusi. Adnan Menderes dilantik menjadi Perdana Menteri Turki.
Semenjak dilantik menjadi Perdana Menteri, Menderes memenuhi janji-janji dalam manifestonya. Tidak lama selepas pelantikannya, menjelang awal Ramadan, azan dalam bahasa Arab dibenarkan semula. Beliau juga memberi kebebasan berpakaian kepada muslimah, membenarkan pengajian di masjid-masjid dan membolehkan masjid dimakmurkan semula.
Pada pilihan raya 1954, kerusi parti Atatürk sekali lagi merosot dengan drastik sehingga tinggal 31 kerusi. Menderes juga membenarkan pengajaran bahasa Arab dan al-Quran di sekolah-sekolah, membina banyak masjid dan sekolah Imam Hatip bagi melahirkan khatib, dai dan guru al-Quran. Beliau turut membenarkan penerbitan buku, majalah dan risalah Islam yang menyeru agar kembali berpegang teguh dengan ajaran Islam. Selain itu, Menderes mengaktifkan kembali masjid-masjid yang dijadikan gudang untuk kembali menjadi tempat ibadah dan membuka madrasah-madrasah tahfiz al-Quran.
Menderes juga mula aktif menjalin hubungan dengan dunia Arab. Pada tahun 1956, selepas Krisis Suez, Turki di bawah pentadbirannya menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan Israel dan memanggil pulang wakilnya dari sana.
Arus islamisasi yang begitu deras menyebabkan golongan anti-Islam di Turki kepanasan. Pada 27 Mei 1960, sekumpulan pegawai tentera melakukan rampasan kuasa (kemudian diketuai oleh Jeneral Cemal Gürsel), menangkap Menderes dan membicarakannya di Pulau Yassıada, lalu beliau dihukum gantung.
Sebab-sebab Menderes dihukum gantung pernah ditulis oleh seorang wartawan bernama Sami Kohen: “Penyebab hukuman mati Menderes ialah dasar politiknya yang teramat dekat dengan dunia Islam, sebaliknya dingin dan kaku dengan Israel. Selain itu, kunjungan terakhirnya ke beberapa negara Teluk yang kemudian dilanjutkan dengan ibadah haji menjadi sebab kemarahan pihak tentera Turki.”
Dengan izin Allah, Menderes syahid di tali gantung.
Seorang Adnan Menderes, hanya dalam 10 tahun perjuangannya — sekolah-sekolah Islam yang dibukanya, institusi tahfiz yang digerakkan, masjid-masjid yang dibangunkan dan azan yang dikembalikan ke dalam bahasa Arab — ternyata membuahkan hasil dengan kemunculan Necmettin Erbakan pada tahun 1996 dan seterusnya. Benih-benih dakwah Menderes muncul pada generasi seperti Abdullah Gül dan Recep Tayyip Erdoğan.
Tidak ramai yang mengenali dan pernah mendengar tentang Adnan Menderes di dunia Islam. Mungkin kerana Menderes tidak mengarang buku, hingga tiada yang menggelarnya ‘Allamah Mujtahid Mutlaq Syeikh’. Tetapi pengorbanannya menjadi teladan bagi generasi muda Turki, sejajar dengan Imam Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Raja Faisal dan lain-lain lagi. [Rujukan asal: catatan Facebook Sadiqah Desa.]
7. Melihat kesan kejatuhan Islam kepada pemuda
Semasa ziarah kami di Turki, kebetulan ada sekumpulan anak muda berdemonstrasi menentang kerajaan, antaranya kerana kerajaan akan mengehadkan penjualan arak di negara ini. Ramai daripada mereka merupakan pemuda yang beragama Islam. Lihat! Betapa rosaknya akhlak dan akidah sebahagian pemuda ini, sedangkan pengharaman arak sudah terang lagi bersuluh di dalam al-Quran. Ini semua berpunca daripada fahaman sekular Atatürk yang menghalalkan perkara yang haram di bumi Turki ini. Sampai kini kesannya dapat kita lihat, belum lagi bercakap tentang isu pakaian remaja mereka, lebih kurang sahaja seperti para remaja di Malaysia. Bangkitlah wahai pemuda Islam! Kalau bukan SEKARANG, bila lagi; kalau bukan KITA, siapa lagi?
8. Menikmati makanan mereka yang sangat berkhasiat dan langsung tidak berminyak
Lihatlah apa yang kami makan di sana. Boleh kurus kalau sebulan kami di sana!
9. Menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman
Terdapat ayat al-Quran yang menyuruh kita bermusafir:
قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ ﴿١٣٧﴾ هَٰذَا بَيَانٌ لِّلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِّلْمُتَّقِينَ ﴿١٣٨﴾
Maksudnya: “Sesungguhnya telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah (peraturan Allah terhadap umat-umat yang mendustakan rasul); oleh itu berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul). (Al-Quran) ini ialah penerangan bagi seluruh manusia dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 137–138)
10. Melihat kehebatan Allah mencipta makhluk-Nya yang sangat cantik
أَوَلَمْ يَرَوْا كَيْفَ يُبْدِئُ اللَّهُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ ﴿١٩﴾ قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ بَدَأَ الْخَلْقَ ۚ ثُمَّ اللَّهُ يُنشِئُ النَّشْأَةَ الْآخِرَةَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٢٠﴾
Maksudnya: “Tidakkah mereka memerhatikan bagaimana Allah memulakan ciptaan (makhluk), kemudian Dia mengulanginya (menghidupkannya semula)? Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah. Katakanlah: Berjalanlah kamu di muka bumi, lalu perhatikanlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan (makhluk), kemudian Allah akan menjadikan kejadian yang akhir (kebangkitan di akhirat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-‘Ankabut, 29: 19–20)
Wallahu a‘lam. Segala yang baik datang daripada Allah dan segala yang kurang daripada diri yang banyak kelemahan ini. Moga bermanfaat dan diredai-Nya, amin.
Hamba-Nya yang banyak kelemahan,
Islah Ismail
Bacaan berkaitan
Rujukan
11 sumber-
Al-Quran, Surah Ali ‘Imran (3): 137–138.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-‘Ankabut (29): 19–20.
Quran.com -
Islamweb Markaz al-Fatwa no. 415672: رتبة حديث لتفتحن القسطنطينية.
IslamWeb -
IslamQA (Arab) no. 330117.
islamqa.info -
Ad-Durar as-Saniyyah: riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (Bisyr al-Ghanawi).
ad-Durar as-Saniyyah -
Sahih al-Bukhari, Kitab Manaqib al-Ansar, no. 3911 (riwayat Anas r.a.).
Sunnah.com -
‘Atiyyah Muhammad Salim, Durus al-Hijrah (Maktabah Syamilah).
Maktabah Syamilah -
Wikipedia: Topkapı Palace.
en.wikipedia.org -
Wikipedia: Adnan Menderes.
en.wikipedia.org -
Wikipedia: 1950 Turkish general election.
en.wikipedia.org -
Wikipedia: 1954 Turkish general election.
en.wikipedia.org
