Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Musafir

Rehlah Haji 1433H (Siri 4)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 13 November 2012 · 38 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Catatan Rehlah Haji 1433H, dalam tiga bahagian yang ditulis di Makkah sepanjang musim haji 1433H (Oktober–November 2012), diakhiri dengan sajak seorang jemaah.

Buku Perjalanan Haji Ash-Har Travel & Tours yang terbuka, memaparkan foto kuliah bersama jemaah

Bahagian 1: Berangkat Menjadi Tetamu Allah

Nikmat Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya tidak terhingga, sebagaimana firman-Nya:

{وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا} [إبراهيم: 34]

Maksudnya: {Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya.} [Surah Ibrahim: 34]

Antara nikmat itu ialah apabila Allah SWT mengizinkan hamba-Nya menuju ke Baitullah al-Haram pada musim haji sebagai tetamu-Nya. Ganjaran yang disediakan bagi mereka yang melakukannya dengan ikhlas serta mengikut Sunnah Rasulullah SAW ialah al-Jannah, syurga yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia.

Kesyukuran itu lebih besar lagi bagi jemaah haji yang dapat pergi pada tahun 1433H, memandangkan pada tahun itu tidak ada kuota tambahan daripada Kerajaan Arab Saudi seramai 10 ribu jemaah sebagaimana yang diminta oleh Kerajaan Malaysia. Ini dengan alasan keadaan di Makkah yang sedang dalam proses pembinaan dan perluasan Masjidil Haram.

Penolakan kuota tambahan ini tidak ada kena-mengena dengan desas-desus kononnya tahun 1433H dijangka "Haji Akbar" (menurut istilah sebahagian orang, iaitu apabila wukuf jatuh pada hari Jumaat) atau dengan isu-isu lain, insya-Allah.

Antara dhuyuf ar-Rahman (tetamu Allah) tahun 1433H ialah al-'Abd al-Faqir Abu Anas Madani (semoga Allah SWT menerima amalan dhaifnya ini).

Dr. Abu Anas Madani dan dua jemaah berihram di sisi sepanduk Selamat Datang Ash-Har Travel

Tiba saat yang ditentukan, pada petang Selasa 30 Zulkaedah 1433H bersamaan 16 Oktober 2012, jam 7.50 malam (jadual asal; berlepas sebenar 8.20 malam), MH1405 bergerak dari landasan Kota Bharu menuju ke KLIA. Cuaca kurang baik, kuat juga kapal terbang bergoyang, tambahan pula hujan turun berhampiran KLIA, namun dengan pertolongan-Nya, alhamdulillah semua selamat.

Dari KLIA kami menaiki kereta Team Dokumentari Kuliah ke Kelana Jaya, disambut oleh Ustaz Abu Fatih, lalu dibawa ke restoran tomyam untuk menjamah sup sayur dan kemudian ke Kompleks Haji Kelana Jaya (KHKJ).

Saya mendaftarkan diri di asrama KHKJ. Rezeki kali ini mendapat bilik bernombor 206 di asrama (biasanya kena duduk di Dewan Jugra), bersama empat orang jemaah lain.

Suasana di KHKJ ini sudah mula mengikut gaya Makkah: ada azan awal pada jam 4.45 pagi. Jemaah bergegas bangun menyangka sudah masuk Subuh, lalu bersiap awal ke masjid. Baguslah dapat pergi awal ke masjid; tidak lama kemudian barulah azan fajar sadiq dilaungkan.

Bagi kami jemaah yang mengikuti rombongan Ash-Har Travel, kaunter sudah dibuka seawal jam 5 pagi untuk menyambut ketibaan jemaah KT102 di KHKJ.

Pada jam 8 pagi proses daftar masuk (check-in) bermula: menyerahkan pasport, imbasan x-ray dan menimbang barang. Selepas itu jemaah naik ke dewan pelepasan, berkumpul dan mendengar taklimat.

Jemaah haji berpakaian ihram berkumpul mendengar taklimat di dewan pelepasan Kompleks Haji Kelana Jaya

Sedikit kelainan pada tahun 1433H ialah pihak Tabung Haji (TH) telah melantik seorang ustaz untuk mengetuai zikir taubat (doa iktiraf) dan doa dalam bahasa Melayu, memohon keselamatan dan haji mabrur, kemudian diakhiri dengan laungan azan seperti biasa. (Lihat catatan haji saya pada tahun-tahun yang lepas.)

Setelah itu semua jemaah menaiki bas lalu berkonvoi dengan iringan polis trafik ke KLIA, terus ke terminal domestik dan dihantar terus ke bilik pelepasan.

Sebaik tiba di terminal, para jemaah akan menyerbu tandas terlebih dahulu. Untuk makluman bakal jemaah, tidak perlu berebut kerana apabila naik ke tingkat atas banyak lagi tandas.

Penerbangan kami dengan MAS, MH8086 bersamaan KT102, dijadualkan pada jam 12.10 tengah hari namun terlewat setengah jam. Masuk kapal terbang mengikut zon A, B hingga E. Saya dalam zon E, masuk dahulu ke bahagian belakang; nombor tempat duduk pula 55H, betul-betul di hadapan dapur tempat hidangan. Bau makanan sudah tercium sejak mula naik, waktu pula sudah hampir Zuhur. Apabila tiba waktu hidangan diedarkan, kami hanya dapat melihat makanan dibawa di depan mata ke tempat lain dahulu dan akhir sekali barulah kami diberi. Masya-Allah, ujian sepanjang jalan: menghidu bau sejak awal naik dan menjadi orang terakhir yang dapat menikmatinya.

Dalam penerbangan sewa khas (chartered) ini, semua pramugari berpakaian sopan dan bertudung. Alangkah moleknya jika kerajaan Malaysia yang telah mengisytiharkan pendekatan Islam Hadhari dan wasathi ini membenarkan (jika pun tidak mahu memaksa) anak kapal muslimah berpakaian seperti ini dalam semua penerbangan! Saya sempat bertanya seorang pramugari tentang isu pakaian ini; mereka sangat suka sekiranya dibenarkan. Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada pemimpin negara ini supaya kembali melaksanakan syariat Allah subhanahu wa ta'ala!

Risalah Panduan Solat Menghormati Waktu Dalam Pesawat yang diedarkan kepada jemaah

Solat "hormat waktu" di dalam pesawat

Mengikut jadual, penerbangan ini akan tiba di Jeddah pada jam 4.30 petang, cukup masa untuk solat Zuhur dan Asar secara jamak ta'khir dengan sempurna dan selesa. Tetapi apabila masuk waktu Zuhur, ramai yang sudah melakukan solat Zuhur "hormat waktu" tanpa wuduk, kiblat dan rukun-rukun lain. Anak kapal pula menambahkan keadaan menjadi lebih keruh apabila membuat pengumuman menyuruh para jemaah solat hormat waktu itu.

Pihak TH perlu cakna tentang hukum solat hormat waktu ini. Haram solat tanpa wuduk sedangkan kita masih ada waktu untuk melakukannya di bumi Jeddah nanti, insya-Allah. Kalau benar-benar tidak sempat pun, keputusan pihak bimbingan TH menyatakan boleh solat hormat waktu dalam waktu jamak ta'khir apabila tiada lagi harapan untuk sampai di darat sebelum tamat waktu jamak itu. Allahul musta'an.

Setengah jam sebelum sampai di ruang udara miqat, pihak penerbangan (kapten yang membawa kami hari itu ialah Dato' Zul) membuat pengumuman dan lima minit sebelum sampai miqat diumumkan sekali lagi. Ketika itu jemaah diminta mula berniat ihram mengikut jenis haji yang dipilih: haji ifrad berniat haji, tamattu' berniat umrah dan qiran berniat kedua-dua ibadat serentak.

Sampai di Jeddah, kapal terbang kami terus dibawa ke balai terminal (amat jarang dapat begini; biasanya kita perlu turun tangga dan menaiki bas ke terminal), alhamdulillah.

Sejurus masuk ke bangunan terminal, saya mengarahkan jemaah Ash-Har supaya melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak ta'khir. Ramai jemaah seperti terkejut: solat apa pula ini? Setelah dijelaskan bahawa solat hormat waktu di atas kapal terbang tadi tidak sah kerana kita sudah berada di darat sedangkan waktu solat masih ada, barulah ada yang mula menyertai solat itu.

Pada jam 5.50 petang sudah masuk waktu Maghrib, maka sempat pula kami melakukan solat Maghrib dan Isyak secara jamak taqdim. Di akhir solat itu kedengaran pengumuman staf TH mengarahkan jemaah yang sudah siap supaya turun ke kaunter imigresen.

Bahagian hadapan Hotel Zuwar Al-Haramain di Makkah

Selepas solat kami mula beratur untuk mengecop pasport, kemudian mengambil barang, mengimbas di hadapan kastam dan keluar dari bilik kastam. Barang-barang diambil oleh petugas untuk dibawa ke tempat perhimpunan jemaah Malaysia. Setiap jemaah pula perlu membawa pasport dan beratur untuk mendapatkan tiket bas yang dilekatkan pada pasport, kemudian keluar ke tempat berkumpul, menunggu semua jemaah, berehat dan solat bagi yang belum sempat di terminal tadi. Kira-kira empat jam diambil dari mula turun pesawat sampai ke tempat berkumpul.

Setelah semua berkumpul, jemaah dibawa menaiki bas. Jemaah Ash-Har menaiki bas nombor tiga. Nasib baik malam itu kami mendapat bas SAPTCO yang agak selesa; barang-barang tidak perlu diangkat ke atas bumbung bas, cukup di ruang bawah sahaja.

Sampai di Makkah sudah lewat jam 11 malam. Jemaah diturunkan di Hotel As-Safwah Towers, Hotel Fal Al-Saha dan Hotel Zuwar Al-Haramain (HZH). Saya ditempatkan di HZH bilik 1005 bersama Ustaz Ahmad Hashimi Che Pa, pembimbing jemaah haji Ash-Har tahun 1433H ini.

Jam 1.00 pagi jemaah dibawa ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf dan saie bagi menyempurnakan umrah, kecuali beberapa orang jemaah yang uzur.

Dr. Abu Anas Madani dan Ustaz Ahmad Hashimi duduk di ruang kuliah hotel di Makkah

Setelah solat Subuh, majoriti jemaah telah selesai melakukan umrah, alhamdulillah.

Kelebihan sepuluh hari awal Zulhijjah

Aktiviti kami bersama jemaah seperti biasa: menyampaikan kuliah, tazkirah dan nasihat supaya menumpukan perhatian kepada ibadat di Tanah Haram pada awal bulan Zulhijjah yang mempunyai kelebihan besar ini:

{وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ} [سورة الحج: 28]

Maksudnya: {Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu.} [Surah al-Hajj: 28]

Kata Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhuma: Maksudnya ialah hari-hari yang sepuluh itu.

Daripada Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

((مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ. فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ)) [رواه أحمد 1968، والترمذي 757 واللفظ له، وأصله في صحيح البخاري 969]

Maksudnya: "Tidak ada hari-hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, walaupun berjihad di jalan Allah?" Baginda bersabda: "Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya, lalu tidak kembali dengan sesuatu pun daripadanya (syahid)." [HR Ahmad dan at-Tirmizi; asalnya dalam Sahih al-Bukhari]

Daripada Ibnu Umar radhiyallahu 'anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

((مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ)) [رواه أحمد 5446، صحيح]

Maksudnya: "Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh-Nya daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid."

Maka jagalah akhlak dan penampilan, tinggalkan tabiat buruk seperti merokok, mengumpat, percakapan yang tidak berfaedah dan sebagainya.

Isu selipar

Selipar merah dan beg Bank Islam yang dibekalkan kepada jemaah haji

Perkara yang menjadi perbincangan hangat pada tahun 1433H ialah selipar yang dibekalkan oleh pihak Bank Islam kepada jemaah haji. Pihak bimbingan haji mengatakan selipar itu tidak boleh dipakai ketika berihram bagi jemaah lelaki dengan alasan tidak terdedah kesemua lima anak jari kaki.

Patutlah semasa di KLIA saya lihat selipar itu bertimbun ditinggalkan di surau, tetapi ketika itu belum tahu sebabnya. Apabila melihat arahan kepada pihak bimbingan supaya menasihati jemaah agar tidak memakai selipar itu ketika ihram, barulah saya perasan. Begitu halus dan teliti pihak bimbingan dalam soal selipar ini, tetapi dalam isu solat hormat waktu di atas kapal terbang nampaknya belum dikemas kini: masuk sahaja waktu Zuhur terus diumumkan dan jemaah pun terangguk-angguk dengan penuh warak menjaga solat hormat waktu.

Penjelasan bagi isu selipar ini boleh dibaca dalam petikan daripada beberapa buah kitab fiqh mazhab Syafie di bawah ini:

Dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar al-Haitami al-Makki:

1. تحفة المحتاج في شرح المنهاج (ج 15 / ص 456، الشاملة): "وَالْمُرَادُ بِالنَّعْلِ هُنَا: مَا يَجُوزُ لُبْسُهُ لِلْمُحْرِمِ مِنْ غَيْرِ الْمُحِيطِ، كَالْمَدَاسِ الْمَعْرُوفِ الْيَوْمَ، وَالتَّاسُومَةِ، وَالْقَبْقَابِ، بِشَرْطِ أَنْ لَا يَسْتُرَا جَمِيعَ أَصَابِعِ الرِّجْلِ، وَإِلَّا حَرُمَا".

"Maksud an-na'l di sini ialah apa yang harus dipakai oleh orang yang berihram daripada yang tidak berjahit melingkungi (kaki), seperti selipar yang dikenali sekarang, tasumah (sejenis capal) dan terompah, dengan syarat kedua-duanya tidak menutup semua anak jari kaki; jika menutup semuanya, haram dipakai."

2. تحفة المحتاج في شرح المنهاج (ج 15 / ص 460): "(قَوْلُهُ: بِشَرْطِ أَنْ لَا يَسْتُرَا جَمِيعَ أَصَابِعِ الرِّجْلِ) يُفِيدُ الْحِلَّ إذَا سَتَرَ بَعْضَ الْأَصَابِعِ فَقَطْ".

"(Kata beliau: dengan syarat kedua-duanya tidak menutup semua anak jari kaki) memberi makna halal memakainya jika hanya menutup sebahagian anak jari sahaja."

  1. نهاية الزين (ج 1 / ص 214): "ويجوز لبس النعل والقبقاب بشرط أن لا يسترا جميع الأصابع وإلا حرما".
  2. حواشي الشرواني والعبادي (ج 4 / ص 163): قوله: (بشرط أن لا يسترا جميع أصابع الرجل) يفيد الحل إذا ستر بعض الأصابع فقط، وقد يشكل بتحريم كيس الأصبع، وقد يفرق بأن كيس الأصبع مختص به بخلاف ما هنا فإنه محيط للجميع، فلا يعد سترا لها الستر الممتنع إلا إن ستر جميعها، والظاهر أن المراد بستر جميعها أن لا يزيد شيء من الأصابع على سير القبقاب أو التاسومة، فلا يضر إمكان رؤية رؤوس الأصابع من قدام، فليتأمل. سم. وقوله: إمكان رؤية رؤوس الأصابع الخ، أي ولو بعض رأس أصبع كما مر عن الرئيس آنفا.

Akhukum,
Abu Anas Madani, Makkah al-Mukarramah.
5 Zulhijjah 1433H.

Bahagian 2: Hari-Hari Haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina

بسم الله الرحمن الرحيم، وبه نستعين

Alhamdulillah, pada saat akhir ada beberapa orang jemaah lagi yang mendapat visa haji dengan istilah "Visa Tabung Haji". Visa dibuat dalam masa dua jam sahaja dengan syarat semua maklumat sudah lengkap. Selepas itu timbul pula masalah mendapatkan penerbangan ke Jeddah: ada yang sampai melalui Dubai, ada yang turun di Madinah dan menaiki bas ke Makkah dan mereka ini tiba di Makkah ketika jemaah sudah berangkat ke Mina pada hari Tarwiyah. Yang agak menyedihkan ialah ada beberapa orang yang sudah mendapat visa tetapi tidak mendapat penerbangan; tidak ada rezeki untuk haji tahun itu. Panggilan haji mereka hanya setakat KLIA sahaja. Allahul musta'an.

Yaum at-Tarwiyah (Rabu 8 Zulhijjah 1433H – 24 Oktober 2012)

Seekor unta minum air di palung, mengingatkan maksud hari Tarwiyah sebagai hari menyediakan bekalan air

Dinamakan "Hari Tarwiyah" kerana pada hari ini para jemaah haji menyediakan bekalan air untuk kegunaan mereka di Arafah dan Mina sepanjang tempoh mengerjakan haji.

Bagi orang yang melakukan haji tamattu' (melakukan umrah terlebih dahulu sewaktu datang ke Makkah), hendaklah berihram (berniat) haji pada hari ini. Kemudian keluar menuju ke Mina sebagaimana Baginda SAW dan para sahabat melakukannya. Baginda berada di Mina dan melakukan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh secara qasar tanpa dijamakkan.

Alhamdulillah, pada tahun 1433H ini jemaah haji Ash-Har Travel yang berada di Maktab 99 dibenarkan pergi ke Mina pada hari Tarwiyah. Malah kami dihantar lebih awal lagi, iaitu pada malam Rabu 7 Zulhijjah 1433H jam 8.00 malam ke Mina (Mu'aisim). Jam 9.30 malam kami selamat sampai di khemah maktab di Mina.

Malam itu kami berehat di Mina dengan selesa kerana khemah masih kosong. Dalam Maktab 99 hanya jemaah Ash-Har dan Yaskin Travel yang ke Mina menghidupkan sunnah hari Tarwiyah.

Selepas solat Subuh saya mula mengajar zikir pagi dan petang serta zikir selepas solat, kemudian diikuti kuliah pagi hingga syuruk dan setelah selesai solat sunat dua rakaat barulah bersurai. Ini untuk meraih kelebihan duduk berzikir selepas solat Subuh hingga naik matahari, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, sabda Rasulullah SAW:

((مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ، ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ، كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ. قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ)) (رواه الترمذي 586، حسن)

Maksudnya: "Sesiapa yang melakukan solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir menyebut nama Allah hingga naik matahari, kemudian melakukan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti haji dan umrah." Anas berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna." [HR at-Tirmizi]

Selepas itu jemaah mengambil sarapan pagi yang disediakan oleh pihak Ash-Har (roti dengan beberapa jenis jem, marjerin dan lain-lain). Ini persediaan bagi jemaah yang datang ke Mina pada hari Tarwiyah kerana kadang-kadang makanan yang disediakan oleh pihak muassasah lambat tiba atau langsung tiada, kerana mereka menumpukan kerja di Arafah untuk majoriti jemaah. Untuk menghidupkan sunnah, adakalanya kita perlu mengorbankan nafsu makan sedap!

Semoga dengan panduan dan ajaran ini para jemaah terbimbing dan selepas hari-hari di Mina mereka dapat berdikari dalam amalan mulia ini sepanjang hayat: memenuhi awal hari dan akhir hari dengan zikir yang diambil daripada Sunnah Nabi SAW atau amalan para sahabat. Demikian juga setiap kali selepas solat fardu mereka dapat berzikir dengan zikir yang ma'thur, tidak hanya terikat dengan apa yang dibaca oleh imam atau terikut-ikut tidak berzikir apabila imam hendak cepat, insya-Allah.

Kemudian setiap kali selepas solat fardu, kuliah disambung lagi.

Silibus kuliah sepanjang hari-hari haji tahun 1433H ialah "Rehlah ke Alam Akhirat" melalui kitab Al-'Alam al-Akhir, tulisan terbaharu Dr. Muhammad al-'Arifi.

Antara yang menarik dalam kitab ini ialah perbincangannya yang ringkas dengan hadis-hadis yang telah ditakhrij dan dinilai oleh ulama, serta tajuknya tersusun mengikut perjalanan manusia ke alam akhirat. Untuk mengikuti kuliah ini, para pembaca boleh melihat siri-siri khutbah saya dengan tajuk yang sama, "Rehlah Abadi ke Alam Akhirat".

Isu "orang perempuan ramai masuk neraka"

Antara isi perbincangan yang menarik juga ialah kata-kata yang masyhur: "Orang perempuan ramai masuk neraka." Apakah kata-kata ini benar secara umum atau ada penjelasan yang sepatutnya difahami?

"Menurut hadis Nabi SAW yang sahih, jelas bahawa orang perempuan lebih ramai masuk syurga daripada kaum lelaki dan begitu juga bilangan mereka yang masuk neraka."

Penjelasan dan jawapan yang tidak dapat dipertikaikan tentang keadaan ini ialah hakikat asal bahawa bilangan wanita di dunia ini lebih ramai daripada bilangan lelaki. Bahkan terdapat hadis Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa pada akhir zaman nanti, bagi setiap 50 orang wanita hanya ada seorang lelaki (yang menguruskan mereka). Fenomena ini pun semakin terbukti secara realiti pada zaman kita ini. Maka apabila kedua-dua golongan ini masuk syurga atau neraka (wal-'iyadzu billah), tentulah bilangan wanita lebih ramai daripada lelaki. Wallahu a'lam.

Kesimpulannya, tidak sepatutnya golongan lelaki mempermainkan dan merendahkan golongan wanita dengan kata-kata tersebut. Juga tidak benar memahami daripada hadis ini bahawa wanita lebih ramai masuk neraka kerana mereka lebih ramai tergelincir ke dalam maksiat. Ini hanyalah kerana hakikat bilangan mereka sendiri semasa di dunia ini.

Nota: Dalam hadis riwayat al-Bukhari (no. 304) dan Muslim (no. 79), Nabi SAW turut menyebut sebab yang perlu dijadikan peringatan, iaitu banyak melaknat dan mengingkari kebaikan suami. Penjelasan tentang faktor bilangan di atas tidak menafikan peringatan tersebut.

Selain majlis kuliah, jemaah juga dianjurkan banyak membaca al-Quran, kalau boleh sekali khatam sepanjang perjalanan haji di al-Masya'ir dan mengambil peluang untuk berkenalan sesama jemaah. Inilah peluang terbaik untuk bertaaruf kerana duduk di tempat yang sama dan terbuka.

Yaum Arafah (Khamis 9 Zulhijjah 1433H – 25 Oktober 2012): wukuf

Hari Arafah ialah hari yang disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan hamba daripada api neraka lebih ramai daripada hari Arafah. Sesungguhnya Dia mendekat, kemudian berbangga-bangga dengan mereka di hadapan para malaikat seraya berfirman: Apakah yang mereka mahukan?" [HR Muslim, no. 1348]

Setelah selesai bersarapan, bas muassasah datang mengambil jemaah Ash-Har untuk dibawa ke Arafah. Alhamdulillah pada jam 8.30 pagi kami selamat tiba di bumi Arafah. Khemah Maktab 99 yang diperuntukkan kepada jemaah kami berada di hujung, bersempadan dengan Maktab 100. Maka seawal pagi lagi kedengaran suara kuliah Duha dan solat Duha berjemaah dari jiran sebelah dengan suara yang terlalu kuat, mengganggu ketenteraman jemaah lain yang ingin berzikir, membaca al-Quran atau mengambil rehat qailulah.

Jemaah lelaki berihram bergambar di hadapan khemah di Arafah

Jiran khemah sebelah dalam maktab yang sama pun menggunakan suara yang kuat juga. Kami yang kecil bilangannya ini tidak dapat mengadakan kuliah; cuba diadakan jam 11 pagi pun masih terganggu oleh laungan takbir atau talbiah. Allahul musta'an.

Sudah puas berbincang dalam mesyuarat bimbingan di TH, tetapi seperti tidak ada faedah. Walaupun TH tidak mengambil tindakan terhadap syarikat, semangat dan adab berjiran perlu dihidupkan. Membaca al-Quran dengan kuat di dalam masjid pun dilarang sekiranya mengganggu orang yang sedang solat, apatah lagi zikir-zikir yang tidak diajar oleh Nabi SAW.

Rasulullah SAW berdoa sepanjang hari Arafah setelah Baginda melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim, namun tidak diriwayatkan apa yang dibaca oleh Baginda dengan suara yang kedengaran. Ini menunjukkan bahawa Baginda menyuruh umatnya berdoa tetapi tidak dengan suara yang kuat sehingga mengganggu orang lain.

Jemaah kami agak sunyi kerana berzikir dan berdoa sendirian, masing-masing dengan hajat dan kehendak sendiri, kecuali pada akhir hari Arafah saya berdoa dan membenarkan jemaah mengaminkannya bagi sesiapa yang mahu.

Isu yang mesti diulang setiap tahun

Jemaah berihram berdiri di pintu masuk kawasan khemah maktab di Arafah

Antara isu yang dibangkitkan oleh Nabi SAW dalam khutbah Hajjatul Wada' ialah kehormatan diri, riba, pesanan supaya berbuat baik kepada wanita, masalah membinkan anak angkat dan lain-lain. (Lihat petikan Khutbah Arafah dalam tulisan saya yang lain: Rehlah Haji 1432H.)

Isu-isu ini sepatutnya diulang setiap tahun di Arafah. Panel khutbah TH perlu mengambil berat poin-poin yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam wasiat itu dan menjadikannya teks tetap, di samping isu-isu semasa yang lain. Biarlah khutbah berkait dengan realiti dan menyentuh isu kehidupan semasa.

Ini berdasarkan respons jemaah: apabila saya menyebutnya dalam khutbah atau kuliah di Masya'ir, ramai jemaah datang meminta penjelasan. Sampai ke Makkah tajuk ini menjadi perbincangan yang hangat dan hidup untuk membetulkan kesalahan yang mereka lakukan, bahkan ada yang siap membawa buku wasiat bapa kepada anak-anak tentang harta, yang memang wasiat itu bermasalah.

Cadangan saya kepada para asatizah di Makkah dan juga di Malaysia supaya menjelaskan isu ini kepada masyarakat kerana sangat ramai yang keliru dan masih melakukan kesalahan ini.

Kami yang duduk di Maktab 99, khemah kami berada di tepi Maktab 100. Khutbah Arafah di sana disampaikan oleh Menteri Agama, Datuk Seri Jamil Khir, dengan penuh semangat dan khusyuk, siap dengan doa khas untuk Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Kami yang duduk di belakang ini menumpang mendengar khutbah, kemudian solat bersama jemaah dalam khemah; hendak mengikut jemaah di hadapan memang terputus saf. Suara sampai melalui pembesar suara yang bergema ke seluruh maktab.

Ke Muzdalifah

Jemaah berihram memegang bendera Malaysia dan panji Ash-Har Travel pada waktu malam

Apabila azan Maghrib berkumandang, ada jemaah yang keluar dari Arafah menuju ke Muzdalifah dengan bas atau berjalan kaki bagi jemaah yang datang sendiri. Tahun itu giliran bas kami jatuh pada trip ke-8; jam 10.30 malam barulah kami sampai di Muzdalifah.

Muzdalifah

Sampai di sini, jemaah melakukan solat jamak ta'khir sebagaimana amalan Rasulullah SAW, kemudian bermalam (mabit) sambil berzikir, mengutip anak batu dan tidur. Tidak ada amalan khusus lain yang dilakukan.

Alhamdulillah, trip ke-8 ini memberi kesempatan kepada kami untuk bermabit penuh dan sempat solat Subuh di al-Masy'ar al-Haram. Selepas solat Subuh tepat tiba giliran kami ke Mina.

Ke Mina

Jam 7 pagi kami selamat tiba di Mina. Khemah di Mina agak padat; pihak muassasah memberi tilam yang tidak cukup bilangannya, terpaksa berkongsi, namun masih boleh menampung walaupun sedikit sempit. Anggaplah ini manifestasi berada di dalam kubur yang sempit. Antara keajaiban Mina ialah ia diumpamakan seperti rahim seorang ibu: mengandung seorang pun boleh, bahkan lapan orang pun boleh. Demikianlah Mina sebagaimana kata ulama.

Lokasi khemah kami tahun itu berada di tepi dapur, dekat dengan pintu utama tetapi agak jauh sedikit dari tandas.

Setelah sampai di Mina, jemaah mengambil kesempatan berehat. Selepas solat Zuhur saya memulakan kuliah tentang amalan yang patut dilakukan pada hari ini.

Jam 2.45 petang kami keluar ke Jamarat untuk melontar, melalui terowong yang baru dibuka pada tahun itu. Dua buah terowong dibina dengan panjang 1.7 km, menjadikan jarak keseluruhan dari khemah di Mu'aisim ke Jamrah tingkat 3 kira-kira 2 km; alhamdulillah, lebih dekat kira-kira 1 km berbanding jalan biasa.

Jemaah Ash-Har berkumpul di dalam terowong baharu menuju ke Jamarat
Jemaah berjalan di dalam terowong Mina menuju ke Jamarat

Setelah selesai melontar, kami kembali ke khemah untuk solat Asar dan mula bercukur. Alhamdulillah, hampir 100% jemaah kami melicinkan kepala seperti hari mereka baru dilahirkan, kecuali seorang dua yang uzur. Tahniah kepada jemaah yang bercukur kerana menerima tawaran Rasulullah SAW yang mendoakan rahmat tiga kali kepada orang yang bercukur (al-muhalliqin).

Jemaah lelaki yang telah bercukur kepala duduk bersama di khemah Mina
Jemaah lelaki berkepala licin selepas bercukur di dalam khemah Mina

Di Mina kami menunaikan solat mengikut waktunya, tanpa jamak, kerana beberapa sebab:

  • Pertama: Rasulullah SAW tidak menjamakkan solat semasa di Mina sepanjang mengerjakan haji.
  • Kedua: Setiap kali selepas solat kami mengadakan kuliah atau membaca zikir pagi dan petang.
  • Ketiga: Memandangkan majoriti jemaah lain sudah menjamakkan solat secara tamam kerana masyaqqah, tandas untuk berwuduk pada waktu yang kedua sudah kurang sesak.
Seorang jemaah warga emas bersama dua ahli rombongan di lobi hotel

Dalam rombongan kami ada seorang jemaah, Hj Ismail Abbas (jemaah VIP Ash-Har 1433H), yang selalu berjalan dan tidak lekat di khemah. Nasib baik tidak hilang; sekejap ada, sekejap tiada, kemudian ada orang yang menghantarnya pulang.

Peringatan buat anak-anak: sebaik-baiknya pergilah menunaikan haji bersama ibu dan bapa, khususnya jika mereka telah tua dan memerlukan bantuan serta penjagaan. Jangan hanya berlepas tangan setelah menghantar mereka dengan pakej kerana ia akan membebankan rombongan yang pergi bersama.

Pada 12 Zulhijjah, beberapa orang jemaah kami melakukan nafar awal, pulang awal ke Makkah kerana faktor kesihatan dan kecemasan untuk segera bertawaf, khususnya para hajah.

Majoriti jemaah berada di Maktab 99 dan ada juga yang mengikut Maktab 100, iaitu jemaah yang mendapat visa tambahan kemudian. Nasib mereka baik kerana dapat duduk di maktab berjiran; apabila ada kuliah dan ceramah mereka datang ke khemah 99, demikian juga apabila hendak keluar melontar, mereka ikut bersama.

Pada 13 Zulhijjah (nafar thani), ada jemaah yang melontar selepas Subuh dan ada juga yang melontar selepas solat Zuhur, mengambil waktu yang afdal dan terbaik serta keluar daripada khilaf ulama.

Sekumpulan jemaah muda bergambar di dalam terowong Mina

Ada juga dalam kalangan jemaah yang masih muda, diketuai oleh Ustaz Hashimi, yang pulang ke Makkah dengan berjalan kaki dari Mina selama satu jam setengah.

Hukum melontar jamrah sebelum zawal (Zuhur)

Penjelasan tentang waktu melontar pada hari nafar ini elok kita lihat dalam perbincangan kitab An-Nawazil fi al-Hajj (asalnya tesis Ph.D di Universiti Imam Muhammad bin Saud, Riyadh) oleh Dr. Ali bin Nasir asy-Syal'an.

Tahrir mahal an-niza' (menentukan titik perselisihan):

  1. Ulama sepakat harus melontar sebelum zawal pada hari raya dan itulah yang afdal.
  2. Ulama sepakat bahawa melontar pada hari-hari tasyrik selepas zawal, sama ada sebelum atau selepas solat Zuhur, adalah yang afdal. Ia juga sunnah yang sabit daripada Nabi SAW.
  3. Ulama berbeza pendapat sama ada melontar selepas terbit fajar (Subuh) dan sebelum zawal pada hari-hari tasyrik harus atau tidak. Terdapat beberapa pendapat:

Pendapat pertama: Tidak harus melontar sebelum zawal pada hari-hari tasyrik sama sekali dan sesiapa yang melontar sebelum zawal perlu melontar semula. Inilah pendapat majoriti ulama salaf dan khalaf. Penulis telah mengemukakan lima dalil berserta munaqasyah dan jawapannya.

Pendapat kedua: Harus melontar sebelum zawal pada setiap hari tasyrik. Ini pandangan yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan Ibnu az-Zubair radhiyallahu 'anhuma, dinukilkan daripada 'Ata', Tawus, Ikrimah, Ibnu Tawus dan Abu Ja'far al-Baqir. Ini juga merupakan pandangan Abu Hanifah yang tidak masyhur, pandangan al-Juwaini, ar-Rafi'i dan al-Isnawi daripada ulama Syafi'iyyah, Ibnu al-Jauzi dan Ibnu az-Zaghuni daripada ulama mazhab Hanbali, serta pendapat ulama semasa seperti Syeikh Abdullah bin Zaid al-Mahmud, Mustafa az-Zarqa' dan Syeikh Abdul Rahman as-Sa'di. Penulis telah mengemukakan 20 dalil bagi kumpulan ini berserta munaqasyah dan jawapannya.

Pendapat ketiga: Membezakan antara hari-hari melontar, iaitu harus sebelum zawal pada hari-hari tertentu:

  • Satu: Harus pada 12 Zulhijjah (nafar awal) bagi mereka yang hendak melakukan nafar awal. Ini diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan lain-lain.
  • Dua: Harus pada 13 Zulhijjah (nafar thani) sahaja.

Tarjih (pendapat yang dipilih) penulis tesis ini:

"Daripada perbincangan yang terperinci tentang pandangan serta dalil yang dikemukakan, jelas bagi saya (wallahu a'lam) bahawa masalah ini termasuk dalam masalah khilafiah yang dalil-dalilnya saling bertentangan; bukanlah khilafnya dhaif ataupun syaz (bertentangan dengan yang lebih kuat).

Sesiapa yang berpandangan sedemikian, dia telah menyalahi apa yang kami kemukakan berupa dalil bagi setiap pandangan. Bahkan khilaf telah berlaku dalam perkara yang lebih besar kesannya daripada masalah ini, seperti waktu mula wukuf di Arafah. Tidak tersembunyi lagi khilaf dalam masalah ini antara jumhur ulama dan ulama mazhab Hanbali: jumhur ulama membatalkan haji mereka yang wukuf (hanya) sebelum zawal, sedangkan mazhab Hanbali mengatakan sah wukufnya.

Demikian juga khilaf ulama tentang hukum tawaf wada' antara yang mengatakan wajib dan sunat, begitu juga khilaf tentang permulaan dan akhir waktu tawaf ifadah. Semua khilaf tersebut diterima pada masa lampau dan sekarang kerana tidak ada dalil nas yang qat'i ats-tsubut (pasti kesabitannya) dan dalil yang sabit. Masalah ini pun termasuk dalam kategori ini, maka kita mesti menerima khilaf dalam isu ini kerana sebab yang telah kami sebutkan."

Kuliah di dalam khemah Mina, jemaah duduk mendengar penceramah

"Kemudian, setelah tetap apa yang kami sebutkan itu, kita mesti meneliti beberapa perkara:

Perkara pertama: Pandangan yang mengatakan tidak harus melontar sebelum zawal ialah pandangan yang kuat dan mempunyai haknya dalam pandangan tersebut kerana beberapa perkara (penulis menyebut lima perkara).

Perkara kedua: Pandangan yang mengatakan harus melontar sebelum zawal juga pandangan yang kuat dan mempunyai haknya dalam pandangan tersebut. Ia sama ada setaraf dengan pandangan jumhur dari sudut kekuatan dalil atau kurang sedikit; kekuatan dalil mereka terkandung dalam beberapa perkara (penulis menyebut empat perkara).

Kesimpulan perbincangan di atas dalam tarjih ialah pendapat yang mengatakan melontar selepas zawal lebih utama diamalkan.

Bagi mereka yang memilih pendapat yang mengharuskan melontar sebelum zawal, hendaklah mengambil kira keperluan dan maslahah.

Sekiranya tidak ada sebarang keperluan, maka mengambil pendapat pertama dan keluar daripada khilaf ulama adalah yang terbaik. Wallahu a'lam." [An-Nawazil fi al-Hajj, hlm. 489–523]

Akhukum,
Abu Anas Madani, Makkah.
21 Zulhijjah 1433H, 6 November 2012.

Bahagian 3: Selepas Haji di Makkah

Beberapa pembaharuan di Makkah dan Masya'ir

Dr. Abu Anas Madani berdiri di hadapan menara Masjidil Haram pada waktu malam

Antara yang dapat dilihat di Arafah dan Muzdalifah ialah binaan tandas baharu dua tingkat yang ketika itu dijangka dapat digunakan pada musim haji tahun berikutnya.

Adapun di Mina, projek tersebut belum kelihatan ketika itu, sedangkan Mina ialah tempat yang lebih mustahak didahulukan kerana para jemaah berada di Mina selama lima hari.

Runtuhan bangunan

Kawasan lapang selepas runtuhan bangunan di sekitar Masjidil Haram

Sudah banyak bangunan yang diruntuhkan, bermula selepas bangunan Masyru' Makkah (terkenal dengan nama Hilton) sampai ke al-Misyal, semuanya telah runtuh.

Dari kawasan Maulid Nabi sampai ke Syi'b 'Amir semuanya telah diruntuhkan. Dari selepas Marwah hingga ke al-Barid (pejabat pos) di sebelah Ma'la juga telah diruntuhkan segala binaan dan kelihatan jentolak sedang bekerja meratakan bukit.

Pembinaan Masjidil Haram baharu

Rajah perluasan Masjidil Haram mengikut era: 1375H, 1409H dan 1429H

Binaan baharu Masjidil Haram, projek di bawah seliaan Raja Abdullah, di sebelah Bab al-Umrah hingga ke asy-Syamiyyah berjalan dengan begitu pesat sekali. Semua tingkat di bahagian hadapannya sudah naik dan telah digunakan secara tidak rasmi ketika jemaah ramai; di bahagian belakangnya masih terus dibina. Alhamdulillah.

Lihat pelan pembesaran di: almisnid.com

Petikan berita

JEDDAH, 22 Ogos 2011: Pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah merasmikan pelancaran projek pembesaran Masjidilharam yang menelan kos AS$10.6 bilion (RM31.8 bilion), Jumaat lalu.

Projek itu bertujuan untuk membolehkan kompleks tersebut menampung kira-kira dua juta jemaah pada satu-satu masa, lapor akhbar Asharq al-Awsat.

Kira-kira 10,000 pekerja sedang bekerja siang dan malam di tapak seluas 400,000 meter persegi itu.

Projek tersebut melibatkan binaan tambahan berbilang tingkat di bahagian utara kompleks berkenaan, serta tangga dan terowong untuk memudahkan laluan jemaah ke masjid itu.

Masjidilharam telah diperbesarkan pada pertengahan 1980-an tetapi bilangan jemaah yang semakin bertambah bermakna satu lagi projek pembesaran diperlukan.

Lewat Jumaat lalu, Raja Abdullah turut merasmikan Menara Jam Diraja Mekah setinggi 601 meter, mercu tanda terbaharu yang membantu jemaah di tempat-tempat suci lain mengenal pasti kedudukan Masjidilharam.

Menara jam itu ialah bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, pencakar langit 828 meter yang dirasmikan di Dubai pada awal tahun lepas. – AFP

Berita palsu

Ketika kami berada di Makkah, tersebar berita di Malaysia yang mengatakan Kerajaan Arab Saudi akan meruntuhkan makam Rasulullah SAW kerana hendak memperluas binaan Masjid Nabi SAW. Berita itu tidak benar; ia hanya desas-desus yang ditimbulkan oleh pihak yang memusuhi kerajaan di sini semata-mata untuk menimbulkan kebencian umat Islam terhadap penjaga al-Haramain. Harapnya umat Islam berhati-hati dalam menerima berita yang disebarkan.

Lihat: Berita projek penghancuran makam Nabi SAW hanya propaganda Iran (al-ahkam.net)

Sebaliknya, cerita bahawa visa umrah akan ditangguhkan pada tahun 2013 pula telah dinafikan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, sebagaimana berita berikut: No plans to halt Umrah visas in 2013 (Arab News).

Bahaya lidah

Adab dan etika ketika menerima berita telah kita pelajari, tetapi ketika hendak melakukan sesuatu kita terlupa akan akhlak tersebut.

Bercakap tidak mengikut fakta atau lebih malang lagi bersikap nammam, iaitu batu api yang melaga-lagakan orang dan menimbulkan kecelaruan dalam kalangan jemaah haji (bagi yang datang haji) atau masyarakat umum.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW: jangan menjadi orang yang muflis di akhirat. Sila baca: Siapakah maksud orang yang muflis di akhirat?

Sekiranya ada perkara yang tidak memuaskan hati tentang pengurusan pakej atau Tabung Haji, haji dan hajah boleh berjumpa pihak pengurusan secara baik, bukan dengan berceramah tidak rasmi di tempat makan atau mencerca secara terbuka sehingga mempengaruhi jemaah lain untuk turut tumpang sekaki. Ia menjadikan mereka lari daripada amalan baik seperti berzikir, membaca al-Quran, pergi ke masjid dan lain-lain, malah sibuk membuka "kelab bual", menghisap rokok dan mengutuk semua perkara: pakej, hotel, polis, orang tua yang datang bersama, Makkah, hatta peminta sedekah dan lain-lain.

Belajarlah mengambil yang baik, comel dan indah untuk dibawa pulang dan jangan sekali-kali menjadi pemungut sampah di Tanah Haram.

Pilih pakej

Para jemaah yang datang dengan pakej swasta atau Pengelola Jemaah Haji (PJH) perlu membaca semua maklumat pakej yang dipilih. Pakej biasa ialah semua perkhidmatan di Masya'ir (Arafah, Muzdalifah dan Mina): bas, khemah serta makan minum disediakan oleh pihak maktab atau muassasah dan ada perbezaan perkhidmatan antara satu maktab dengan maktab yang lain. Bas pula bergantung pada nasib: adakalanya dapat bas baharu, adakalanya bas lama, penghawa dingin pun mati, bahkan bas pun kadang-kadang boleh mati di tengah jalan. Ini pengalaman saya sendiri pada musim haji 1432H: bas yang kami naiki dari Arafah ke Muzdalifah mati di tengah perjalanan dan terpaksa menunggu bas lain datang mengambil.

Khemah pula disediakan oleh muassasah; di Mina setiap khemah untuk 56–60 orang, mungkin dua tilam untuk tiga orang. Memang sangat sempit, tambahan pula bilangan tandas sangat terhad berbanding bilangan jemaah dalam satu maktab yang lebih kurang 2,000–2,400 orang.

Kalau mahukan lebih keselesaan, pilihlah pakej yang menggunakan perkhidmatan khas; bayarannya agak mahal tetapi sepadan dengan khidmat yang diberi, insya-Allah.

Tetapi bagi jemaah yang tidak tenang jiwanya, walaupun duduk di istana atau menjadi tetamu Kerajaan Arab Saudi yang ditanggung sepenuhnya perjalanan, hotel dan makan minum, tetap ada yang tidak kena di matanya dan dia akan terus merungut.

Jika jemaah tidak mendapat maklumat yang jelas, mereka mudah membuat tuduhan terhadap pihak PJH berdasarkan andaian sendiri. Allahul musta'an.

Satu lagi isu yang perlu diingat: kalau jemaah memilih pakej empat orang sebilik, tetapi tiba di Makkah mendapat bilik yang lebih kecil bilangannya, daripada empat menjadi tiga, itu dikira rezeki atau bonus daripada PJH. Atau jika ada orang yang membayar pakej empat orang diletakkan dalam bilik tiga orang, terimalah dia sebagai ahli bilik. Jangan pula iri hati atau mengungkit kerana kawan itu membayar lebih murah tetapi duduk dalam bilik yang sama. Kita perlu bertimbang rasa; pihak pengurusan mungkin terpaksa berbuat demikian kerana bilik yang ada hanya untuk tiga orang atau orang itu sudah tiada kawan lain untuk diberi bilik khas, maka terpaksalah pihak PJH menanggungnya. Bertimbang rasa dan bertoleransi ialah amalan mulia dan termasuk dalam "birr al-hajj", kebajikan dalam melakukan haji, insya-Allah.

Muassasah Haji Asia Tenggara

Muassasah ialah sebuah syarikat yang ditubuhkan bagi menggantikan mutawwif atau syeikh secara peribadi suatu masa dahulu.

Jadi para jemaah perlu faham bahawa Tabung Haji Malaysia dan PJH semuanya terikat dengan peraturan muassasah dari sudut kenderaan, urusan pasport, khemah dan tilam di Masya'ir, juga makan dan minum.

Bukan mudah untuk menentukan sesuatu keputusan atau membuat pilihan sendiri. Kerana itu, sebelum mengeluarkan sebarang komen terbuka, jumpalah ketua PJH anda dan minta penjelasan dengan baik tentang apa sebenarnya di sebalik peristiwa yang berlaku. Semoga tidak terjebak dengan tuduhan palsu atau provokasi yang boleh merosakkan ukhuwah sesama jemaah dan sekali gus merosakkan keperibadian seorang haji atau hajah.

Setelah pulang dari Mina

Setelah pulang dari Mina, jemaah melakukan tawaf ifadah dan saie, kecuali yang uzur dan haid. Dalam pemerhatian kami tentang masalah haid, ada yang menjadi celaru dan ada yang menjadi panjang hingga 15 hari atau lebih, berpunca daripada pengambilan ubat penahan haid. Inilah juga laporan yang kami terima daripada para asatizah Tabung Haji.

Ubat penahan haid

Pelbagai jenis pil ubat dalam papan pek

Nasihat kami kepada bakal hajah: jangan cuba menyekat atau mengganggu perjalanan tabii yang Allah SWT tentukan. Untuk melicinkan perjalanan ibadat haji, pilihlah tarikh yang sesuai dengan tempoh yang sedia ada; jangan mengganggu tarikh kedatangannya.

Kata ulama: haid ini seumpama aliran air. Kalau kita mengganggu atau menyekat perjalanannya, ia akan mengalir ke mana sahaja tempat yang boleh dilaluinya. Demikian juga dengan perjalanan atau kitaran haid.

Apabila ditanya, hajah memberi jawapan bahawa mereka mahu beribadat sepenuhnya di Haramain: solat, tawaf, membaca al-Quran dan lain-lain, kerana di sinilah masa mereka lapang, bebas daripada tanggungjawab rumah dan anak-anak. Namun sebaliknya pula yang terjadi.

Kepada jemaah yang uzur syarie dan uzur fizikal, yang telah berniat untuk melakukan amalan soleh sama ada di Tanah Haram atau di Malaysia tetapi terhalang kerana keuzuran yang tidak dapat dielakkan seperti sakit, mereka tetap mendapat pahala.

Ingatlah hadis Nabi SAW di bawah ini:

Daripada Abu Abdillah, Jabir bin Abdillah al-Ansari RA, katanya: Semasa kami dalam satu peperangan, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya di Madinah ada beberapa orang lelaki yang, ke mana pun kamu berjalan dan lembah mana pun kamu harungi, mereka tetap bersama kamu; mereka terhalang oleh sakit." Menurut satu riwayat lain: "Mereka tetap berkongsi pahala bersama-sama kamu." [HR Muslim, no. 1911]

Huraian hadis

  1. Orang yang tidak keluar berjihad kerana uzur akan diberi ganjaran seperti orang yang keluar berjihad jika benar niat dan keazamannya.
  2. Setiap Muslim mempunyai tanggungjawab dalam berjihad dan sekurang-kurang martabat jihad ialah niat.
  3. Niat mempunyai peranan dan kedudukan yang tinggi dalam sesuatu amal kebajikan.
  4. Orang uzur yang berniat menyertai peperangan tetap mendapat pahala seperti orang yang berperang itu sendiri.

Oleh itu, kepada hajah dan muslimat yang mengalami keuzuran ini, janganlah bersedih; redha dan tenanglah dengan ketentuan dan ketetapan Allah SWT ke atas mereka. Wallahu a'lam.

Aktiviti jemaah Ash-Har: kuliah dan tazkirah

Seperti biasa, setelah dua hari berehat untuk memberi peluang kepada jemaah menyelesaikan tawaf dan saie haji, aktiviti kuliah dan tazkirah disambung semula.

Kami mulakan dengan tajuk: Muhasabah Selepas Haji (rakaman video tiga siri).

Ulang kaji seluruh perjalanan ibadat haji yang dilakukan; mungkin ada kesalahan yang perlu dibayar dam atau fidyah atau ada perkara yang perlu disegerakan dan sebagainya. Semoga semua jemaah dapat menyelesaikan ibadat haji dengan sempurna dan pulang dalam keadaan fail amalan tertutup dengan sempurna.

Juga dengan penuh harapan serta berbaik sangka (husnuzzan) bahawa Allah SWT menerima amalan yang dilakukan itu.

Antara isi kuliah juga ialah mengulang semula intipati khutbah Rasulullah SAW di Arafah.

Perincian isu riba dan saham yang tidak patuh syariah, contohnya ASB, ASN dan lain-lain, boleh dirujuk dalam senarai sekuriti patuh syariah Suruhanjaya Sekuriti dan fatwa Negeri Selangor tentang penilaian semula hukum pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Isu anak angkat, anak tidak sah taraf dan anak susuan juga boleh dirujuk dalam keputusan fatwa kebangsaan dan negeri (portal e-Fatwa JAKIM).

Hukum wasiat harta kepada anak-anak yang menjadi penerima pusaka juga dibincangkan. Banyak kes yang timbul, kecelaruan dan salah faham berpunca daripada banyak iklan ejen syarikat wasiat yang asyik berkempen menyuruh orang membuat wasiat dengan mereka, sedangkan sudah jelas hadis Nabi SAW melarang berwasiat kepada waris.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي خُطْبَتِهِ عَامَ حَجَّةِ الْوَدَاعِ: ((إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى لِكُلِّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ فَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ)) (سنن الترمذي 2120، صحيح)

Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, katanya: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda dalam khutbahnya ketika Hajjatul Wada': "Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak akan haknya, maka tidak ada wasiat bagi waris." [HR at-Tirmizi dan lain-lain]

Lawatan ke tempat bersejarah sekitar Masjidil Haram dan Ma'la

Pada pagi Isnin 5 November 2012, seawal jam 7 pagi, kami mengadakan jaulah berjalan kaki bermula dari Hotel Zuwar Al-Haramain di al-Misyal, Tariq al-Hijrah.

Dr. Abu Anas Madani memberi penerangan kepada jemaah dengan pembesar suara ketika jaulah di sekitar Masjidil Haram

Tujuan lawatan ini untuk menggalakkan jemaah berjalan mencari maklumat dan mengenali tempat atau lokasi yang mungkin sudah dibaca oleh ramai dalam buku Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah catatan Abu Anas. Dengan mengetahui lokasinya, maklumat yang dibaca lebih menampakkan realiti.

Selain memberi maklumat, kami juga ingin menjelaskan kepada jemaah beberapa salah faham sebahagian masyarakat, antaranya yang mengatakan air Ji'ranah lebih hebat daripada zamzam atau berdoa di Maulid Nabi lebih mustajab daripada di Multazam dan lain-lain.

Bayangkanlah ketika kita berjalan di Jalan Hijrah ke rumah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, kemudian ke rumah Rasulullah SAW; biarlah tergambar bagaimana Rasulullah SAW melalui jalan ini ketika berhijrah bersama Abu Bakar RA.

Kita melalui Bukit Safa, tempat terletaknya rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam, pusat dakwah pertama di tengah-tengah penentangan kaum Quraisy.

Dan banyak lagi peristiwa yang boleh menginsafkan dan mengingatkan kita akan perjuangan Rasulullah SAW.

Kita melalui Syi'b Abi Talib, tempat Baginda bersama Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib dikepung dan diboikot selama tiga tahun sehingga terpaksa memakan daun kayu dan kedengaran tangisan anak-anak kelaparan di tengah malam.

Jaulah berakhir di Perkuburan Ma'la yang dipilih oleh Allah SWT menjadi tempat persemadian beberapa jasad yang mulia: Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid RA yang sangat disayangi oleh Rasulullah SAW serta beberapa orang sahabat yang lain.

Setiap inci bumi di sekitar Masjidil Haram ini telah menjadi saksi perjuangan agung Sayyid al-Anbiya' wa al-Mursalin SAW. Berjalanlah dengan tawaduk dan penuh kesedaran; ia akan membuahkan keinsafan tentang apakah sumbangan kita kepada perjuangan Islam yang ditinggalkan oleh Baginda SAW. Untuk keterangan lanjut, sila baca buku kami Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah.

Kembali ke zaman kita ini pula, dalam perjalanan kita akan melalui mercu tanda baharu, menara jam Abraj al-Bait setinggi 601 m yang ketika catatan ini ditulis (2012) dikira bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa (828 m); menara berkembar KLCC ketika itu berada di tempat keenam dan ketujuh. [Lihat Senarai bangunan tertinggi di dunia (Wikipedia).]

Berlumba-lumba membina bangunan tinggi

Walaupun semua ini satu fenomena baharu, inilah mukjizat Rasulullah SAW apabila ditanya oleh Jibril tentang tanda-tanda kiamat: Baginda telah menerangkan dengan tepat dan jelas fenomena yang akan berlaku pada waktu itu dan telah menjadi realiti pada hari ini.

Dalam satu hadis yang panjang tentang iman, Islam dan ihsan yang disampaikan oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW, Jibril turut bertanya tentang petanda dekatnya hari kiamat.

Daripada Umar bin al-Khattab RA: Lelaki itu bertanya lagi: "Terangkan kepadaku tentang kiamat." Baginda bersabda: "Orang yang ditanya tentang kiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya." Lelaki itu berkata: "Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya." Baginda bersabda:

((أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ))

"(Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba meninggikan binaan."

Kemudian lelaki itu berlalu dan aku (Umar) terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: "Wahai Umar, adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?" Aku menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda bersabda: "Sesungguhnya dia ialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu." [HR Muslim, no. 8]

Dan dijelaskan dalam riwayat Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata:

((يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَنْ أَصْحَابُ الشَّاءِ وَالْحُفَاةُ الْجِيَاعُ الْعَالَةُ؟ قَالَ: الْعَرَبُ))

"Wahai Rasulullah, siapakah para pengembala kambing, orang yang berkaki ayam, lapar dan miskin itu?" Baginda menjawab: "Orang Arab." [Musnad Ahmad, no. 2926; kata Ahmad Syakir: sanadnya sahih]

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata: "Makna berlumba-lumba meninggikan bangunan ialah setiap orang yang membina rumah ingin rumahnya lebih tinggi daripada yang lain. Mungkin juga maknanya berbangga-bangga dengan menghias dan memperindahkannya atau makna yang lebih umum daripada itu. Hal ini telah banyak ditemui bahkan semakin meningkat." [Fath al-Bari, 13/88]

Untuk menampakkan lagi petanda tersebut, Allah mentakdirkan antara mercu tanda kiamat itu betul-betul berdiri di hadapan Kaabah sebagai peringatan dan tatapan umat Islam bahawa saat kiamat yang telah dijanjikan oleh Allah melalui malaikat Jibril sangat hampir, dengan terbinanya menara Abraj al-Bait itu.

Menara tersebut merupakan yang kedua tertinggi di dunia ketika catatan ini ditulis (2012), tetapi pembinaannya menandakan era baharu dalam perlumbaan membina pencakar langit sehingga Council on Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH) mengumumkan bermulanya era bangunan "megatall".

Menurut laporan CTBUH, sebanyak 27 daripada 88 bangunan tertinggi di dunia dibina di Timur Tengah, menunjukkan dengan jelas perlumbaan bermegah-megah dengan binaan tinggi oleh kaum badwi padang pasir ini tidak dapat ditandingi oleh kaum lain.

Rajah CTBUH perbandingan ketinggian bangunan tertinggi dunia (anggaran tahun 2020)

Ketika catatan ini ditulis (2012), Kingdom Tower di Jeddah oleh Kingdom Holding Company (KHC) milik Putera al-Waleed bin Talal telah disahkan pembinaannya dengan kos SR4.6 bilion, dirancang menjadi bangunan tertinggi di dunia melepasi 1 km!

Unjuran CTBUH ketika itu: menjelang 2020 akan siap lapan buah bangunan setinggi lebih 600 m yang diklasifikasikan sebagai megatall, termasuk Menara Jam Makkah dan bangunan pencakar awan Kingdom Tower di Jeddah!

Fenomena ini telah dimaklumkan oleh Rasulullah SAW dalam beberapa hadis lain, antaranya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

((لَا تَقُومُ السَّاعَةُ ... حَتَّى يَتَطَاوَلَ النَّاسُ فِي الْبُنْيَانِ))

"Hari kiamat tidak akan berlaku sehinggalah manusia berlumba-lumba meninggikan bangunan." [HR al-Bukhari, no. 7121]

Lawatan ke Hudaibiyah, minum susu unta dan Muzium Haramain

Jemaah Ash-Har bergambar bersama bendera ketika lawatan ke Hudaibiyah

Hudaibiyah terletak kira-kira 24 km dari Masjidil Haram dan 2 km di luar sempadan Tanah Haram Makkah, iaitu di jalan lama Makkah–Jeddah. Namanya diambil daripada nama telaga Hudaibiyah. Ia juga dikenali dengan nama asy-Syumaisi, diambil daripada "Telaga Syumaisi" (Bi'r Syumaisi).

Di Hudaibiyah terdapat sebuah masjid di tempat para sahabat melakukan bai'ah (janji setia) kepada Rasulullah SAW untuk memerangi kafir Quraisy, yang dikenali sebagai "Bai'ah ar-Ridhwan" pada tahun 6H. Masjid ini didirikan sebagai penanda tempat tersebut.

Susu unta

Kami juga melawat sebuah ladang unta dan para jemaah berpeluang membeli serta meminum terus susu unta yang segar di situ. Ini pengalaman baharu bagi yang pertama kali mencubanya.

Cerita unta

Unta ialah salah satu jenis haiwan yang disebut dalam al-Quran. Allah SWT berfirman: {Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?} [Surah al-Ghasyiyah: 17]

Banyak cerita dan pengajaran yang dapat diambil daripada unta jika kita perhatikan. Sila baca: Subhanallah, inilah mukjizat penciptaan unta (Republika).

Apakah daging unta membatalkan wuduk?

Sebenarnya dalam mazhab Syafie hanya lima perkara sahaja yang membatalkan wuduk seseorang, iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada dua jalan (qubul atau dubur).
  2. Hilang akal, sama ada sementara atau kekal.
  3. Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
  4. Menyentuh kemaluan atau pintu dubur dengan tapak tangan.
  5. Tidur, kecuali dalam keadaan duduk yang tetap kedudukannya.

Sesetengahnya menambah bahawa murtad membatalkan wuduk di sisi Syafie.

Mengenai persoalan makan daging unta, ia membatalkan wuduk di sisi mazhab Hanbali berdasarkan hadis Jabir bin Samurah RA, beliau berkata:

"Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Adakah kami perlu berwuduk apabila memakan daging kambing? Jawab Baginda: Jika kamu mahu, berwuduklah; jika tidak, tidak mengapa. Ditanya lagi: Adakah kami perlu berwuduk apabila memakan daging unta? Jawab Baginda: Ya, berwuduklah apabila memakan daging unta. Ditanya lagi: Bolehkah kami solat di kandang kambing? Jawab Baginda: Boleh. Ditanya lagi: Bolehkah kami solat di kandang unta? Jawab Baginda: Tidak." [HR Ahmad dan Muslim, no. 360]

Rumusan

Makan daging unta membatalkan wuduk di sisi Imam Ahmad atau mazhab Hanbali sahaja.

Adapun di sisi mazhab-mazhab lain (Imam Malik, asy-Syafi'i dan Abu Hanifah), makan daging unta tidak membatalkan wuduk. Tentang hadis tadi, mereka menjawab bahawa maksud wuduk di dalam hadis itu ialah membasuh tangan dan mulut untuk tujuan kebersihan. Ini sebagaimana hadis Ibnu Abbas RA yang menceritakan: "Nabi SAW meminum susu, kemudian Baginda meminta air lalu berkumur dan bersabda: Sesungguhnya ia berlemak." [HR al-Bukhari, no. 211 dan Muslim, no. 358]

Nota khilaf: Pendapat yang mewajibkan wuduk selepas makan daging unta juga dipegang oleh Ishaq bin Rahawaih dan sebahagian ulama hadis dan Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menyebut bahawa pendapat ini lebih kuat dalilnya walaupun jumhur ulama berpendapat sebaliknya.

Untuk meneliti perbahasan dalil dan sandaran para ulama, boleh baca: Apakah daging unta membatalkan wuduk?

Muzium al-Haramain

Kerajaan Arab Saudi telah membina sebuah muzium yang dikenali dengan nama Mathaf al-Haramain asy-Syarifain. Ia mula dibuka pada 25 Syawal 1420H dan terletak bersebelahan dengan kilang kiswah (kelambu) Kaabah.

Di muzium ini tersimpan barang-barang lama yang pernah berada di Kaabah seperti pintu, kunci serta tiang Kaabah yang dibina pada tahun 65H dan lain-lain.

Untuk keterangan lanjut sila lawati: Makkah Museum (theartimes.com).

Kitab hadiah

Dalam kemeriahan musim haji di Makkah, alhamdulillah saya telah dihadiahkan sebahagian besar kitab karangan dan tahqiq Syeikh Prof. Dr. Abdul Malik bin Abdullah bin Duhaish.

Potret Syeikh Prof. Dr. Abdul Malik bin Abdullah bin Duhaish
Kulit kitab Al-Haram al-Makki asy-Syarif wa al-A'lam al-Muhitah bihi karya Dr. Abdul Malik bin Duhaish

Syeikh seorang yang sangat mengambil berat tentang Tanah Haram Makkah. Beliau telah mentahqiq kitab Akhbar Makkah tulisan al-Azraqi dan al-Fakihi, bahkan tesis Ph.D beliau adalah tentang sempadan Tanah Haram Makkah (lihat gambar). Beliau juga banyak mentahqiq kitab hadis dan kitab fiqh mazhab Hanbali.

Jazahullahu khairan 'anna wa 'an al-muslimin.

Hadiah di Malaysia

Beberapa agensi telah memberi hadiah kepada jemaah haji seperti sabun tidak berbau, ubat kumur dan lain-lain; terima kasih kepada para penyumbang. Tetapi kami rasa, kalaulah dibekalkan ubat-ubatan yang betul-betul berguna seperti Panadol, ubat selesema, ubat batuk dan lain-lain, tentu lebih bermanfaat bagi jemaah.

Di Makkah kami mendapat banyak hadiah buku dan CD yang diberi secara percuma; cuma pihak penganjur perlu pergi mengambilnya sendiri di pusat-pusat dakwah sekitar Makkah dan Madinah.

Isu hukum yang perlu dikaji dengan lebih teliti

Beberapa isu hukum yang memerlukan kajian lebih teliti dan terbuka berdasarkan pandangan para ulama:

  1. Hukum solat hormat waktu.
  2. Solat jamak tamam di Arafah dan Mina.
  3. Tawaf wada': hukum mengambil gambar dan memberi sedekah di Masjidil Haram selepas tawaf.
  4. Selipar mesti menampakkan kesemua lima anak jari.
  5. Solat berjemaah mengikut imam Masjidil Haram dari atas bangunan berhampiran.
  6. Jemaah nafar awal: selepas melontar Jamrah Aqabah (Kubra) perlu berundur ke belakang, kemudian berniat nafar awal dan berjalan terus keluar.
  7. Dan lain-lain yang difikirkan perlu.

Setelah semua urusan selesai, saya mengikut rombongan Furada (Maktab 100) ke Madinah pada pagi Khamis 1 Muharam 1434H bersamaan 15 November 2012, insya-Allah.

Akhukum,
Abu Anas Madani, Makkah.
28 Zulhijjah 1433H, 13 November 2012.

Lampiran: Gambar kenangan dan sajak "Hajah Dah Pulang" (Haji 1433H)

Tulisan: Azizah Saad (Ukay Bistari, Ampang), jemaah haji rombongan Ash-Har Travel KT 71, 1433H. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani.

Dr. Abu Anas Madani bersama tiga orang jemaah di lobi hotel
Jemaah wanita duduk mendengar kuliah di dalam khemah

Catatan seorang jemaah haji yang bersama rombongan Ash-Har Travel KT 71, 1433H.

6 Oktober tarikh perjalanan
Dalam hati merasa tekanan
Rupa-rupanya doaku diperkenan
Supaya menjadi golongan kanan

Abu Anas Madani guru bimbingan
Penuh dengan segala pengisian
Ya Allah Maha Mengasih lagi Maha Mengasihan
Sebak di dada tertahan-tahan

Tiba masa wukuf di Arafah
Maktab 99 dan 100 datang menyerah
Menyerah diri kepada Allah
Hanya Allah mempermudah
Setelah Arafah bermabit di Muzdalifah
Dapat bersolat mengikut sunnah

Bermalam di Mina saat dinantikan
Inilah saat-saat cubaan
Bagi jemaah inilah ujian
Hanya yang mampu dapat bertahan

Tiba masanya hari melontar
Terasa di hati berkobar-kobar
Bersama jemaah-jemaah Ash-Har
Sambil melontar laungkan Allahu Akbar

Nafar awal nafar thani
Mana satu pilihan hati
AAM menasihati
Terpulanglah pada diri sendiri

Bagi yang tahan terus teguh berani
Bagi yang lemah ingin kembali
Kepada Allah kita mensyukuri
Nikmat diberi tidak terperi

Setelah selesai kembali ke Makkah
Untuk melakukan rukun tawaf ifadah
Selepas saie selesailah sudah
Semua bergelar haji dan hajah

Tiba masa meninggalkan Makkah
Tawaf wada' selesailah sudah
Tiba masa untuk berhijrah
Dari Makkah ke kota Madinah

Maktab 99 meninggalkan Makkah
Menuju terus ke kota Madinah
Untuk bersolat di Masjid Rasulullah
Dalam hati rasa terlalu indah

Ustaz Hashimi terus memberi
Segala ilmu yang dipelajari
Terpulanglah pada diri sendiri
Menilai yang mana harus diteladani

Banyak sejarah di kota Madinah
Hendak dilupai tidaklah mudah
Gembira sungguh melawat tempat bersejarah
Terpahat di hati sebagai pengalaman indah

Di Bukit Uhud AAM berdoa
Semua yang dengar terus terasa
Para syahid pejuang agama
Gugurnya mereka ahli syurga

Sampai di airport terus bersyukur
Semoga mendapat haji mabrur
Dapat beristiqamah hingga ke kubur
Supaya syurga tidak kabur.

Azizah Saad, Ukay Bistari, Ampang.
11 Muharam 1434H.

Siri ini: Siri 1 (1430H) · Siri 2 (1431H) · Siri 3 (1432H) · Siri 4 (1433H) · Siri 5 (1434H) · Siri 6 (1436H)

Sebelum: Rehlah Haji 1432H (Siri 3) | Seterusnya: Rehlah Haji 1434H (Siri 5)

Bacaan berkaitan

Rujukan

22 sumber
  1. Al-Quran, Surah Ibrahim (14): 34.

    Quran.com
  2. Sahih al-Bukhari, no. 1773; Sahih Muslim, no. 1349 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, no. 3244 (hadis qudsi, riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  4. Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 28.

    Quran.com
  5. Jami' at-Tirmizi, no. 757 (riwayat Ibnu Abbas r.a.); juga Musnad Ahmad, no. 1968.

    Sunnah.com
  6. Sahih al-Bukhari, no. 969 (riwayat Ibnu Abbas r.a.).

    Sunnah.com
  7. Musnad Ahmad, no. 5446 (riwayat Ibnu Umar r.a.) – dinilai sahih oleh Syu'aib al-Arna'ut.

    surahquran.com
  8. Jami' at-Tirmizi, no. 586 (riwayat Anas bin Malik r.a.) – kata at-Tirmizi: hasan gharib; dinilai hasan oleh al-Albani.

    Sunnah.com
  9. Sahih Muslim, no. 1218 (hadis Jabir r.a. tentang haji Nabi SAW).

    Sunnah.com
  10. Sahih al-Bukhari, no. 81 (riwayat Anas r.a.).

    Sunnah.com
  11. Sahih al-Bukhari, no. 304 (riwayat Abu Sa'id al-Khudri r.a.).

    Sunnah.com
  12. Sahih Muslim, no. 79 (riwayat Ibnu Umar r.a.).

    Sunnah.com
  13. Sahih Muslim, no. 1348 (riwayat Aisyah r.a.).

    Sunnah.com
  14. Sahih al-Bukhari, no. 1727; Sahih Muslim, no. 1301 (riwayat Ibnu Umar r.a.).

    Sunnah.com
  15. Sahih Muslim, no. 1911 (riwayat Jabir r.a.).

    Sunnah.com
  16. Jami' at-Tirmizi, no. 2120 (riwayat Abu Umamah al-Bahili r.a.).

    Sunnah.com
  17. Sahih Muslim, no. 8 (hadis Jibril, riwayat Umar r.a.).

    Sunnah.com
  18. Sahih al-Bukhari, no. 7121 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  19. Al-Quran, Surah al-Ghasyiyah (88): 17.

    Quran.com
  20. Sahih Muslim, no. 360 (riwayat Jabir bin Samurah r.a.).

    Sunnah.com
  21. Sahih al-Bukhari, no. 211; Sahih Muslim, no. 358 (riwayat Ibnu Abbas r.a.).

    Sunnah.com
  22. IslamQA, no. 7103: Adakah daging unta membatalkan wuduk? (menukil an-Nawawi, Syarh Sahih Muslim 4/49).

    islamqa.info

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Musafir Rehlah Haji 1436H (Siri 6) 2 Okt 2015 Musafir Rehlah Haji 1434H (Siri 5) 9 Nov 2013 Musafir Catatan Rehlah Ke Istanbul dan Umrah 2013 1 Jun 2013 Musafir Rehlah Haji 1432H (Siri 3) 12 Nov 2011