Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Doa & Zikir

Doa Pada Hari Arafah: Untuk Jemaah Haji Atau Semua?

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 9 Oktober 2013 · 4 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Doa Hari Arafah

Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah, iaitu pada 9 Zulhijjah. Maksudnya, doa pada hari ini paling cepat diterima atau dimakbulkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Sehinggakan kita dianjurkan untuk bersungguh-sungguh dan mengambil berat ibadah yang satu ini pada hari Arafah.

Lebih-lebih lagi bagi orang yang sedang berwukuf di Arafah.

Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ: مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ؟

Maksudnya: “Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan hamba daripada neraka berbanding hari Arafah. Sesungguhnya Dia mendekat, kemudian Dia membanggakan mereka di hadapan para malaikat lalu berfirman: Apakah yang dikehendaki oleh mereka itu?” [HR Muslim, no. 1348].

Daripada ‘Amr bin Syu‘aib, daripada ayahnya, daripada datuknya, Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta para nabi sebelumku ialah: Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” [HR at-Tirmizi, no. 3585; at-Tirmizi menilainya gharib, manakala al-Albani menilainya hasan kerana sokongan riwayat lain].

Maksudnya, inilah doa yang paling cepat dipenuhi atau dimakbulkan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10: 33).

Persoalan

Persoalannya, adakah keutamaan doa ini hanya khusus bagi mereka yang berwukuf di Arafah? Adakah keistimewaan ini termasuk juga bagi orang yang tidak menunaikan ibadat haji?

Ulama berbeza pandangan dalam masalah ini. Ada ulama yang mengatakan bahawa mustajabnya doa tersebut adalah umum, sama ada bagi yang menunaikan haji mahupun yang tidak. Ini kerana keutamaan yang ada ialah keutamaan hari Arafah itu sendiri.

قال الباجي رحمه الله: قوله: (أفضل الدعاء يوم عرفة) يعني: أكثر الذكر بركة، وأعظمه ثواباً، وأقربه إجابة. ويحتمل أن يريد به الحاج خاصة؛ لأن معنى دعاء يوم عرفة في حقه يصح، وبه يختص، وإن وصف اليوم في الجملة بيوم عرفة فإنه يوصف بفعل الحاج فيه، والله أعلم. انتهى. «المنتقى شرح الموطأ» (1/358).

Al-Baji rahimahullah berkata: Makna hadis “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah” ialah zikir yang paling banyak berkat, paling besar pahala dan paling hampir dengan ijabah (diperkenankan).

Kemungkinan kedua (ihtimal): maksudnya khusus untuk jemaah haji sahaja, kerana makna doa pada hari Arafah benar-benar terlaksana pada hak mereka dan dikhususkan untuk mereka; walaupun hari itu secara umumnya dinamakan Hari Arafah, ia dinamakan demikian kerana perbuatan jemaah haji padanya. Wallahu a‘lam. [Al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 1/358].

Bagi jemaah yang berwukuf, waktu untuk berdoa bermula pada siang hari 9 Zulhijjah selepas matahari tergelincir ke barat (masuk waktu Zuhur) hingga terbenam matahari (Maghrib). Maka bagi mereka yang sedang berada di Arafah, ia bererti menghimpunkan antara kelebihan waktu dan tempat.

Dalil bagi yang mengatakan ia umum untuk semua ialah: doa pada hari Arafah dilihat kerana kemuliaan hari tersebut, bahkan kita dapati sebahagian salaf membenarkan ta‘rif.

Ta‘rif ialah berkumpul di masjid untuk berdoa dan berzikir pada hari Arafah. Antara yang melakukannya ialah sahabat Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma di Basrah, yang mengumpulkan orang ramai pada petang Arafah dan mengajar tafsir al-Quran (bukan berdoa beramai-ramai).

Imam Ahmad juga membenarkannya walaupun beliau sendiri tidak melakukannya. Syaikh Soleh al-Munajjid, semoga Allah memberkati umur beliau, menerangkan: “Hal ini menunjukkan bahawa mereka menilai keutamaan hari Arafah tidaklah khusus bagi orang yang berhaji sahaja. Walaupun berkumpul ramai-ramai seperti ini untuk berzikir dan berdoa pada hari Arafah tidak ada asalnya daripada Nabi SAW.

Oleh kerana itu Imam Ahmad tidak melakukannya. Namun beliau memberi kelonggaran dan tidak melarangnya kerana ada sebahagian sahabat yang melakukannya seperti Ibnu ‘Abbas dan ‘Amr bin Huraith radhiyallahu ‘anhum.”

[Syaikh Soleh al-Munajjid, Al-Islam Sual wa Jawab, fatwa no. 70282: الدعاء يوم عرفة لغير الحاج].

Para salaf dahulu saling ingat-mengingatkan pada hari Arafah supaya menyibukkan diri dengan ibadah dan memperbanyak doa serta tidak banyak bergaul dengan manusia. ‘Ata’ bin Abi Rabah berkata kepada ‘Umar bin al-Warud: “Jika engkau mampu mengasingkan diri pada petang hari Arafah, maka lakukanlah.” [Ahwal as-Salaf fi al-Hajj, hlm. 44].

Kesimpulan

Kesimpulannya, rahmat Allah SWT sangat luas. Perbincangan ulama ini menunjukkan bahawa amalan berzikir dan berdoa pada hari Arafah di luar Arafah ada dilakukan oleh sebahagian ulama. Ada pula sebahagian yang lain melarangnya kerana berkumpul pada hari Arafah hanya dikhususkan bagi jemaah haji yang berada di Arafah.

Maka yang sepatutnya ialah kita menggalakkan masyarakat Islam yang tidak mengerjakan haji supaya berpuasa, menghidupkan sunnah puasa pada hari Arafah sebagaimana sabda Nabi SAW:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya: “Puasa pada hari Arafah, aku mengharapkan daripada Allah agar ia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.” [HR Muslim, no. 1162, daripada Abu Qatadah radhiyallahu ‘anhu].

Doa orang yang berpuasa ketika berbuka juga salah satu waktu mustajab doa.

Semoga Allah memudahkan kita untuk banyak melakukan amal ibadat pada awal bulan Zulhijjah dan menyibukkan diri dengan pelbagai amal kebajikan padanya, insya-Allah.

Akhukum, Abu Anas Madani, Makkah, 4 Zulhijjah 1434H / 9 Oktober 2013M.

Bacaan berkaitan

Rujukan

5 sumber
  1. Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1348 (riwayat 'Aisyah r.a.).

    Sunnah.com
  2. Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Da'awat, no. 3585 (riwayat 'Amr bin Syu'aib daripada ayahnya daripada datuknya); at-Tirmizi: gharib; al-Albani: hasan.

    Sunnah.com
  3. Al-Baji, al-Muntaqa Syarh al-Muwatta', 1/358 (dinukil dalam IslamQA no. 70282).

    islamqa.info
  4. IslamQA (Syaikh Muhammad Soleh al-Munajjid), fatwa no. 70282: الدعاء يوم عرفة لغير الحاج.

    islamqa.info
  5. Sahih Muslim, Kitab as-Siyam, no. 1162 (riwayat Abu Qatadah r.a.).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Doa & Zikir Bacaan Selepas Selesai Solat Witir 8 Mac 2026 Doa & Zikir Hikmah Galakan Memperbanyakkan Selawat Pada Malam & Hari Jumaat 10 Feb 2026 Doa & Zikir 10 Adab Berdoa Agar Dimustajabkan Permohonannya 5 Feb 2026 Doa & Zikir Doa Memohon Hidup/Mati Dalam Kebaikan & Kenikmatan Melihat Allah Di Akhirat 19 Jan 2026