Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Musafir

Rehlah Haji 1432H (Siri 3)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 12 November 2011 · 34 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Bahagian 1: Pendahuluan dan perjalanan dari tanah air

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله القائل: «لتأخذوا مناسككم»، وعلى آله الطاهرين، وصحابته الميامين، ومن تبعهم وترسم خطاهم إلى يوم الدين، أما بعد

Merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada al-Maula ‘Azza wa Jalla atas limpah kurnia-Nya memilih hamba-Nya yang haqir lagi faqir kepada keampunan-Nya ini sebagai dhuyuf-Nya (tetamu-Nya) bagi tahun 1432H.

Alhamdulillah, perjalanan bermula dari PSD (Pondok Sungai Durian) pada jam 8.15 pagi, Ahad, 25 Zulkaedah 1432H bersamaan 23 Oktober 2011. Memandangkan kesihatan lutut kiri agak kurang baik, rehlah kali ini memberi suatu kebimbangan: bagaimana hendak melakukan amalan ibadat haji yang kebanyakannya memerlukan banyak berjalan kaki … Maka doa dipanjatkan ke hadrat Ilahi seperti yang diucapkan oleh al-Khalil (Nabi Ibrahim) ‘alaihissalam:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkanku.” [Asy-Syu’ara’: 80]

Dalam perjalanan, ana singgah sebentar di KIAS untuk menyerahkan kertas jawapan peperiksaan pelajar kursus (maddah) KDS2311. Kemudian rehlah diteruskan ke Matar (Lapangan Terbang Kota Bharu) yang sepatutnya telah dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa, memandangkan kesibukan dan keperluan rakyat Kelantan dan para pengunjung ke Negeri Tok Kenali yang begitu ramai … tetapi apakan daya, ‘asabiyyah kemelayuan hanya untuk sebahagian sahaja. Demikian juga dengan jalan raya: perjalanan dari PSD ke lapangan terbang pada waktu pagi mengambil masa hampir 2 jam, sedangkan jaraknya lebih kurang 75 km sahaja.

Sampai di lapangan terbang, ana bertemu dengan al-Fadhil Prof. Madya Dr. Mohd Radhi Osman yang juga hendak pulang ke Pulau Pinang setelah datang ke Kota Bharu menghadiri persidangan. Kebetulan juga Tuanku Raja Perlis akan tiba di lapangan terbang ketika itu, maka ramailah pembesar negeri yang hadir.

Ramai keluarga dan sahabat datang mengucapkan selamat jalan (wada’) kepada para jemaah. Sahabat setia Dr. Hj. Zaidi Zakaria sanggup meninggalkan wad bedah sebentar untuk bertemu mata di lapangan terbang. Jazahullahu khairan.

Penerbangan dari Kota Bharu jam 11.50 pagi tepat mengikut jadual. Tiba di KLIA, pesawat berhenti di terminal yang paling hujung; cabaran pertama bermula dengan berjalan kaki yang agak jauh, dibantu oleh laluan bergerak.

Kami disambut oleh staf Ash-Har dan Tabung Haji lalu menaiki bas yang disediakan ke Kompleks Haji Kelana Jaya (KHKJ). Sampai di KHKJ sudah jam 3 lebih.

Tentang penempatan tempat rehat: jemaah wanita diberi asrama di tingkat 4 yang setiap biliknya lengkap dengan bilik air, manakala jemaah lelaki seperti biasa di Dewan Seri Jugra (DSJ). Baguslah diasingkan tempat, memandangkan keadaan bilik air di dewan yang sempit, hanya 3 tandas lelaki dan 3 tandas wanita. Jadi semuanya untuk lelaki.

Cadangan

Ana mencadangkan kepada pihak TH agar menyediakan bilik mandi dan tempat menukar pakaian khas berdekatan DSJ, memandangkan DSJ telah digunakan setiap tahun pada musim haji sebagai tempat transit jemaah yang datang dari jauh [ana sendiri sudah kali ketiga menjadi tetamu DSJ]. Jangan hanya berpada dengan bilik air yang disediakan untuk pengguna DSJ ketika ada majlis jamuan atau seminar, kerana dua penggunaan itu sangat berbeza! Jazakumullahu khairan diucapkan kepada pihak TH sekiranya cadangan ini diambil kira.

Ketika menunggu di KHKJ, macam-macam aktiviti para jemaah. Kebanyakannya dikunjungi oleh sanak saudara dan sahabat handai, khususnya yang berada di ibu kota, kebetulan pula hari cuti hujung minggu.

Penyakit biasa umat Islam Melayu ini: walaupun sudah hendak menjadi haji, masih tidak mahu ikut solat berjemaah dengan kawan-kawan yang sedang solat di dalam dewan, sanggup solat bersendirian. Allahul-musta’an!

Insya-Allah, jemaah yang bersama ana akan dibimbing (dalam siri ceramah dan kuliah di Tanah Haram) dengan kefahaman tentang fadilat dan kaifiat solat berjemaah, semoga ada perbezaan antara ketika pergi dan ketika pulang.

Abu Anas diziarahi oleh beberapa orang ahli keluarga dan sahabat. Antara yang datang ialah Ustaz Din DBP bersama keluarganya. Sempatlah berbual-bual dan beliau menghadiahkan sebuah kitab Jawi lama (cetakan 50 tahun lepas) tentang amalan sebahagian masyarakat Melayu. Kitab ini perlu ditahqiq dan diperbaharui bahasanya; mudah-mudahan akan ada ustaz atau thalabatul ‘ilm yang bersedia berkhidmat mentahqiqnya. Ana bersedia menjadi penyelianya, insya-Allah. Syukran, Ustaz Din.

Bersama rombongan Ash-Har KT71 ini ialah al-Fadhil Ustaz Nik Zawawi Saleh, Dr. Lukman bin Tuan Guru Hj. Abdullah (Pondok Lubuk Tapah) serta beberapa orang pensyarah UM yang lain.

Bermula jam 9.30, Ash-Har membuka kaunter operasi di KHKJ untuk memudahkan urusan perjalanan. Alhamdulillah, banyak hadiah diberikan kepada jemaah haji daripada beberapa buah syarikat: CIMB Islamic membekalkan losyen tidak berbau keluaran el-Hajj untuk kegunaan jemaah ketika berihram; MAXIS memberikan kad SIM SAWA bernilai SR25 untuk kegunaan di Arab Saudi; dan seperti biasa hadiah rutin daripada Telekom Malaysia: sebuah beg sandang, botol semburan air untuk berwuduk ketika perlu, tikar untuk digunakan di Arafah dan Mina nanti, vitamin dan ubat-ubatan untuk kesihatan, serta sebuah buku ulang kaji haji yang menghimpunkan maklumat haji, iaitu makalah “Bayan li al-Hajj” yang ditulis oleh pihak bimbingan pada tahun 1430H. Ketika itu sahabat saya, al-Mursyid Dr. Zulkifli al-Bakri, dibawa oleh TH sebagai salah seorang pakar rujuk bersama Dato’ Pengerusi.

Hasil kerja Dr. Zul telah nampak. Orang seperti inilah yang sepatutnya dibawa oleh TH ke Makkah setiap tahun kerana ummah dan hujjaj memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar; khutbah Arafah yang ditulisnya pun ada roh haji. Semoga DZB sentiasa bersama para hujjaj pada musim haji.

Pada jam 1.20 pagi, daftar masuk barang dimulakan dan jemaah berkumpul di dewan berlepas untuk mendengar taklimat ringkas, diikuti bacaan doa oleh seorang jemaah yang dipilih daripada kalangan bakal haji. Pada mulanya ana mengaminkan juga doa itu, tetapi setelah dia tersalah baris yang boleh mengubah maknanya, ana berhenti setakat itu sahaja. Lain kali pilihlah pembaca yang baik. Pihak TH sudah menyediakan teks doa; biarlah dia berlatih dahulu sementara menunggu, kerana “doa itu ibadah”.

Kemudian azan untuk berangkat dilaungkan, juga oleh seorang jemaah. Seingat ana, ketika pergi haji melalui TH pada tahun 1982 dahulu, acara azan ini sudah ada. Apabila jemaah bertanya, “Ustaz, apa dalil azan ketika bermusafir, hendak keluar dari rumah atau dewan?”, ana pun tidak ingat juga; nanti kita cari selepas ini. Biasanya soalan ini ditanya di sini, tetapi apabila pulang haji sudah terlupa.

Pesawat kami dijadualkan berlepas pada jam 5.30 pagi, sedangkan waktu Subuh masuk pada jam 5.45 pagi. Betapa ana mengharapkan berlaku sedikit kelewatan supaya sempat kami solat di lapangan terbang, tetapi masya-Allah, hari ini cepat pula bergerak; jam 5.20 pagi pesawat sudah bergerak.

Memandangkan keadaan sedemikian, ana menasihati jemaah agar berwuduk siap-siap di lapangan terbang dan apabila masuk waktu Subuh terus menunaikannya di dalam pesawat setakat yang mampu: {لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا} “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” [Al-Baqarah: 286]. Ada juga jemaah yang buat tidak tahu sahaja [bukan jemaah kami, Ash-Har] kerana mereka belajar solat hormat waktu yang tidak perlu wuduk.

Para pembimbing jemaah perlu meningkatkan lagi kefahaman jemaah dalam bab ini: setakat mana yang mampu dibuat, tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja. Kaedah fiqh menyebut: {ما لا يدرك كله لا يترك كله} Ma la yudraku kulluhu la yutraku kulluhu – ibadah yang tidak dapat dilakukan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya.

Di dalam pesawat jemaah kepenatan dan ramai yang tidur kerana perjalanan kami “isra’”, iaitu berjalan pada waktu malam. Bagi jemaah yang transit di KL, malam itu sudah tidak berapa boleh tidur: ramai keluarga datang, hendak mengemas barang lagi … Semoga semuanya menerima ganjaran terbaik atas amalan yang baik ini.

Semoga selamat sampai di Jeddah dan Makkah dengan baik …

Abu Anas Madani, di udara, antara langit dan bumi, di atas pesawat Airbus 330 Saudia SV5703 ke Jeddah, 24 Oktober 2011, jam 10.54 pagi waktu Malaysia.

Bahagian 2: Dari Jeddah ke Makkah

Dalam penerbangan SV5703 [KT71], satu jam sebelum tiba di Jeddah, ramai jemaah yang tertanya-tanya bilakah akan sampai di miqat. Ada juga yang runsing: nanti terlepas miqat pula? Pelbagai ragam jemaah ketika itu; Abu Anas yang baru terlelap sedikit pun dikejutkan.

Perhatian: Kebiasaannya (dalam penerbangan haji atau umrah), setengah jam sebelum sampai di ruang udara miqat Qarnul Manazil, kapten akan mengumumkan bahawa pesawat akan melintasi ruang udara miqat. Jemaah yang belum siap berpakaian ihram boleh membuat persiapan.

Sepuluh minit sebelum betul-betul tiba di miqat, sekali lagi anak kapal akan mengumumkan bahawa pesawat akan sampai di miqat. Ketika itu para jemaah bolehlah berniat kerana selepas itu tidak ada lagi pengumuman.

Bagi jemaah yang akan ke Makkah selepas ini, sila ambil perhatian waktu pengumuman ini; jangan sampai terlepas.

Adapun mereka yang akan ke Madinah dahulu setelah turun di Jeddah, jangan berniat di dalam pesawat kerana miqat mereka di Zulhulaifah (Abyar Ali) nanti.

Dalam penerbangan ini Abu Anas sempat meminta izin daripada pramugara untuk bercakap sepatah dua dan alhamdulillah dia membenarkan selama 2 minit. Sempatlah membuat penjelasan tentang niat: kategori haji ada tiga; sesiapa yang hendak melakukan haji ifrad berniat haji sahaja, manakala orang yang hendak melakukan haji tamattu’ berniat umrah sahaja (tiada niat “haji tamattu’”). Alhamdulillah, penjelasan ringkas tetapi insya-Allah ada manfaatnya sebagaimana kata sebahagian jemaah.

Walaupun para pembimbing sentiasa memberi kursus dan penjelasan tentang perkara ini, ana dimaklumkan ada juga [dalam penerbangan lain] berlaku sedikit kecelaruan tentang niat, terutamanya dalam kalangan yang tidak belajar bab haji sebelum datang atau datang kursus tetapi tidak faham. Apabila ustaz bertanya, “Faham semua?”, mereka menjawab, “Faham, ustaz!” Jadi siapa sebenarnya yang faham? Allahul-musta’an.

Sepanjang penerbangan dari KLIA ke Jeddah, jam 5.30 pagi hingga 9.50 pagi [9 jam 20 minit, agak lama daripada biasa], alhamdulillah makanan dihidangkan sebanyak 2 kali: nasi dan spageti.

Pada jam 9.40 pagi (waktu Saudi) kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, turun dari pesawat dan menaiki bas pula, lalu sampai di Terminal Haji jam 10 pagi.

Setelah masuk ke lapangan terbang, kami perlu berehat dahulu menunggu jemaah di hadapan selesai cop pasport; apabila kosong barulah kami dipanggil ke imigresen. Selepas itu kami mengambil barang, membawanya ke kastam untuk diimbas dan membawanya keluar, lalu diambil oleh petugas muassasah dan dibawa ke tempat berkumpul hujjaj Malaysia.

Jemaah sekali lagi perlu beratur untuk mendapatkan tiket bas ke Makkah, Madinah dan masya’ir. Harganya sama dengan harga tahun lepas.

Setelah itu kami dibawa ke tempat berkumpul “hujjaj Maliziya”, ruang di hujung Terminal Haji. Kami solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim, kemudian beratur menaiki bas. Di atas bas barulah diberi makanan, kabsah (nasi minyak berlauk ayam). Sedap pula makan kerana lapar; sudah jam satu lebih selepas Zuhur (jam 6 petang waktu Malaysia).

Semasa di atas bas, macam-macam urusan lagi yang perlu ditunggu: mengira bilangan pasport, sodiq (panggilan kami kepada petugas Bangladesh) mengangkat barang ke atas bumbung bas, ceramah pegawai kesihatan tentang penjagaan kesihatan, haram rokok dan lain-lain. AAM menyokong benar bab haram rokok ini; bimbang orang lain mendapat haji mabrur, si hamba Allah ini pula mendapat “haji Malboro”!

Jam 1.54 petang bas mula bergerak menuju ke Makkah, berhenti sebentar di asy-Syumaisi untuk urusan pasport dan mengambil pemandu arah ke pejabat muassasah di Makkah. Sebuah badan NGO, Badan Kebajikan Memberi Hadiah kepada Jemaah Haji dan Umrah, membahagikan sebotol air zamzam dan biskut kepada setiap jemaah.

Kami sampai di pejabat Muassasah Haji Asia Tenggara Maktab 71 di Ajyad Bir Balila dan berhenti di hadapan Hotel Syuhada’. Kebetulan ketika itu solat Asar di Masjidil Haram sedang berlangsung; walaupun saf tidak bersambung, terputus di tengah jalan, ramai juga orang yang solat di hadapan hotel itu.

Kami sampai di Hotel Ummu Hani* jam 4 petang, alhamdulillah dan mendapat bilik no. 501.

Selepas solat Isyak, jam 9.00 malam jemaah dibawa ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf umrah atau tawaf qudum bagi jemaah yang melakukan haji ifrad dan melakukan saie umrah atau haji.

Abu Anas pula telah “naik taraf VIP” (tetapi tiada pula polis mengawal) apabila terpaksa bertawaf dan bersaie di atas kerusi roda lantaran sakit lutut kiri yang agak kronik, tidak boleh berjalan jauh dan berhimpit. Semoga Allah SWT menyembuhkan penyakit ini dengan kuasa-Nya.

Sedihnya perasaan hamba Allah ini, Tuhan sahaja yang tahu. Dahulu di Rumah ini aku bertawaf berjalan kaki, berlari-lari anak antara Safa dan Marwah, berjalan ke sana ke mari di lorong-lorong di Makkah ini, tempatku berulang-alik pagi dan petang dari rumah nenek Aminah rahimahallah di Jiyad al-Masafi ke Masjidil Haram untuk mengikuti kelas tahfiz al-Quran … Kini ketara sangat usia semakin tua dan kesihatan semakin terhakis, namun semangat dakwah dan jihad tidak pudar.

Benarlah sabda Nabi SAW:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu (rugi) padanya: kesihatan dan masa lapang.” [Riwayat al-Bukhari, no. 6412]

Pagi Selasa, 28 Zulkaedah 1432H (25 Oktober 2011), ana mula bertugas di Hotel Ummu Hani Makkah, memberi khidmat nasihat dan taujihat kepada jemaah.

Solat istisqa’ (solat minta hujan)

Pada Isnin, 4 Zulhijjah bersamaan 31 Oktober 2011, selepas solat Isyak malam itu, imam Masjidil Haram mengisytiharkan bahawa solat minta hujan akan dilakukan esok, memandangkan hujan sudah lama tidak turun, masyarakat yang tinggal di padang pasir kekeringan air dan rumput makanan haiwan ternakan juga kering. Apabila rakyat mengadu kepada raja, baginda akan mengarahkan agar solat istisqa’ dilakukan di seluruh Mamlakah (Kerajaan Arab Saudi).

Selepas solat Subuh, sejurus selepas matahari terbit, solat itu dilakukan di seluruh negara.

[Rakaman solat istisqa’]

Di Masjidil Haram Makkah, imam solat ialah Syeikh Dr. Su’ud asy-Syuraim, imam yang dikenali dan diminati kelunakan suaranya oleh para jemaah haji seluruh dunia termasuk Malaysia. Syeikh Syuraim seorang yang amat mudah sebak ketika berkhutbah dan solat; suaranya sayu meruntun jiwa.

Kebiasaannya solat ini dihadiri oleh pembesar negeri: Amir Makkah, Khalid bin Faisal bin Abdul Aziz Al Su’ud; Ketua Majlis Kehakiman Tertinggi Arab Saudi, Syeikh Dr. Soleh bin Abdullah bin Humaid; Ketua Urusan Dua Masjid Suci; di samping para pegawai kanan Saudi dan ratusan ribu umat Islam.

Antara ungkapan paling menyentuh hati dalam khutbah istisqa’ Syeikh Syuraim ialah petikan kata-kata seorang sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Mas’ud RA, tentang punca hilangnya iman manusia akibat perangai mengampu. Ia suatu perbuatan yang amat dimurkai Allah hingga boleh mengundang bala kepada umat manusia.

Abdullah bin Mas’ud menyatakan tentang orang yang berjumpa pembesar lalu memuji pembesar itu dengan pelbagai bentuk pujian dan ampuan sambil mengharapkan reda dan habuan daripadanya. Kata Ibn Mas’ud, orang itu pulang daripada perjumpaan itu dalam keadaan imannya sudah hilang kerana dia tidak mencari reda Allah, bahkan mengampu untuk mendapatkan reda manusia.

Astaghfirullah! Sungguh sayu sedu tangis Syeikh Syuraim ketika menukilkan peringatan sahabat ini tentang dosa-dosa manusia yang menghapuskan amalan mereka dan mengundang kemurkaan Allah.

Syeikh Syuraim juga mengingatkan bahawa punca bala yang Allah turunkan kepada manusia, selain sifat jahat manusia yang mengutamakan reda manusia hingga membelakangkan reda Allah, ialah sifat tamak haloba yang tiada batasnya. Kata beliau, hari ini ramai yang makan tetapi tidak pernah kenyang, ramai yang mengumpul harta tetapi tidak pernah cukup, ramai yang mengampu tetapi tidak pernah puas. Allah! Ampunilah hamba-hamba-Mu. Astaghfirullah! Sendu tangis Syeikh Syuraim mengundang tangisan para jemaah yang memahami bahasa Arab beliau yang amat mudah lagi menusuk kalbu. Kelihatan sang Amir yang duduk di kaki mimbar, di hadapan khatib, turut mengesat air mata kerana peringatan tentang dosa-dosa dan perlakuan manusia ini.

Pemandangan yang cukup indah: gandingan umara dan ulama yang saling mengingatkan tugas dan tanggungjawab memelihara iman umat.

Inilah yang sepatutnya dikutip oleh para jemaah sewaktu berada di Tanah Suci: saki-baki amalan salaf dan sunnah Nabi SAW yang hampir tidak wujud di tempat kita. Bagaimana mungkin negara boleh kekal dirahmati jika para ulama tidak diberi peluang sebebas-bebasnya menasihati ummah dan menegur perlakuan jahat mereka yang lari daripada agama, dengan sandaran asas agama yang kukuh? Para umara perlu mengkaji hal ini. Bagi pihak ulama pula, sampai bila perlu ada rasa gerun terhadap umara apabila menyampaikan yang hak? Bukankah kebenaran yang disampaikan itu untuk memelihara iman dirinya dan iman umatnya? Bukankah dengan terpeliharanya iman, rahmat Allah akan terus turun mencurah dari langit? Langit dan bumi menjadi saksi perlakuan kita semua. Di akhirat nanti Allah akan membalas dan menilai menurut amalan kita. Umara akan dihisab; ulama juga tidak akan terlepas. Ya Allah, ampunilah kami! Betapa daif dan lemahnya diri ini. Astaghfirullah! Ya Allah! Turunkanlah hujan rahmat-Mu di bumi yang mulia ini. Amin! [Terjemahan ringkasan khutbah dan ulasan oleh Dr. Juanda]

Sepanjang di Makkah, beberapa siri ceramah telah diadakan kepada jemaah haji Ash-Har Travel yang tinggal di tiga buah hotel: Dar Ummu Hani’, Ufuq al-Fateh 2 dan Hotel Safwah Royal Orchid, mengikut jadual hotel masing-masing.

Antara tajuk yang dibincangkan

  1. Anda di Makkah: menjelaskan kedudukan dan kemuliaan Tanah Haram Makkah serta adab-adab berada di Tanah Haram.
  2. Kelebihan sepuluh hari awal bulan Zulhijjah dan amalan yang patut dilakukan.
  3. Memahami istighfar, zikir dan doa. Buku Zikir Pagi dan Petang susunan AAM dijadikan muqarrar (bacaan dan hafalan rasmi) jemaah sepanjang musim haji dan insya-Allah akan menjadi amalan sepanjang hayat.
  4. Beberapa perkara yang membatalkan akidah.
  5. Ulang kaji amalan haji: persiapan ke al-Masya’ir (Arafah, Muzdalifah dan Mina).

Insya-Allah, kuliah dan ceramah akan diteruskan di al-Masya’ir dan disambung lagi selepas pulang darinya.

Jumaat, 8 Zulhijjah 1432H (4 November 2011), hari Tarwiyah, jemaah berangkat ke Mina dan Arafah.

Kenali siapakah Ummu Hani

Beliau bernama Fakhitah, seorang wanita daripada kalangan bangsawan Quraisy, puteri kepada bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Talib bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdu Manaf bin Qusai. Ibunya bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim bin Abdu Manaf. Beliau saudara kandung kepada Sayyidina Ali, Aqil dan Ja’far, putera-putera Abu Talib.

Beliau begitu memahami agungnya hak seorang suami dan juga sangat memahami hak anak-anak yang ditinggalkan suaminya dalam asuhannya. Beliau tidak mensia-siakan satu pun daripada keduanya sehingga mendapat pujian yang begitu mulia: “Sebaik-baik wanita penunggang unta ialah wanita Quraisy, sangat penyayang terhadap anak-anaknya.”

Semasa zaman jahiliah, Rasulullah SAW pernah meminangnya. Pada masa yang sama, seorang pemuda bernama Hubairah bin Abi Wahb al-Makhzumi turut meminangnya. Abu Talib menjatuhkan pilihan kepada Hubairah dan akhirnya mengahwinkan Hubairah dengan puterinya.

Daripada perkahwinan ini lahirlah putera-putera Hubairah, antaranya Ja’dah bin Hubairah yang kemudiannya dilantik oleh Ali bin Abi Talib RA (khalifah ketika itu) sebagai gabenor Khurasan.

Putera-puteranya yang lain ialah ‘Amr (meninggal dunia ketika masih kecil), Hani’ dan Yusuf.

Namun akhirnya Islam memisahkan mereka berdua. Ketika Allah SWT membukakan Kota Makkah kepada Rasul-Nya SAW dan manusia berduyun-duyun memeluk Islam, Ummu Hani RA turut memeluk Islam bersama mereka. Mendengar berita pengislaman Ummu Hani, Hubairah pun melarikan diri ke Najran.

Pada hari pembukaan Kota Makkah itu, dua orang kerabat suami Ummu Hani daripada Bani Makhzum, al-Harith bin Hisyam dan Zuhair bin Abi Umayyah bin al-Mughirah, datang kepada Ummu Hani meminta perlindungan. Ketika itu datang pula Ali bin Abi Talib RA menemui Ummu Hani sambil berkata, “Demi Allah, aku akan membunuh dua orang tadi!” Ummu Hani pun menutup pintu rumahnya dan bergegas menemui Rasulullah SAW.

Ketika itu Rasulullah SAW sedang mandi, dilindungi dengan kain oleh puteri Baginda, Fatimah RA. Ummu Hani mengucapkan salam lalu Rasulullah SAW bertanya, “Siapa itu?” Jawab Ummu Hani, “Saya Ummu Hani, puteri Abu Talib.” Rasulullah SAW menyambutnya dengan berkata, “Marhaban, wahai Ummu Hani!”

Ummu Hani mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kedatangan dua orang kerabat suaminya meminta perlindungan kepadanya, sedangkan Ali RA pula ingin membunuh mereka. Maka Nabi SAW menjawab, “Kami melindungi orang yang engkau lindungi, wahai Ummu Hani dan memberi jaminan keamanan kepada orang yang engkau beri jaminan keamanan.”

Selesai mandi, Rasulullah SAW menunaikan solat lapan rakaat. Waktu itu ialah waktu duha.

Setelah Ummu Hani berpisah dengan suaminya kerana memeluk Islam, Rasulullah SAW datang meminangnya.

Namun Ummu Hani menolak secara halus: “Sesungguhnya aku seorang ibu kepada anak-anak yang memerlukan perhatian dan banyak masa, sedangkan aku mengetahui betapa besarnya hak seorang suami. Aku khuatir tidak mampu menunaikan hak-hak suami.”

Maka Rasulullah SAW membatalkan hasratnya dan bersabda: “Sebaik-baik wanita penunggang unta ialah wanita Quraisy, sangat penyayang terhadap anak-anaknya.”

Ummu Hani RA meriwayatkan hadis-hadis daripada Rasulullah SAW yang termaktub dalam al-Kutub as-Sittah hingga sekarang. Beliau menyebarkan ilmu sehingga akhir hayatnya dan meninggal dunia selepas zaman khilafah saudaranya, Ali bin Abi Talib RA, iaitu sekitar tahun 50H. Itulah Ummu Hani al-Hasyimiyyah, semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala meredainya. Wallahu a’lam.

(Sumber rujukan: al-Bidayah wa an-Nihayah, Ibn Kathir (4/292–293); al-Isabah, Ibn Hajar al-‘Asqalani (7/317); al-Isti’ab, Ibn ‘Abd al-Barr (4/1963–1964); at-Tabaqat al-Kubra, Ibn Sa’d (8/47); Siyar A’lam an-Nubala’, adz-Dzahabi (2/311–314); Tahdzib al-Kamal, al-Mizzi (35/389–390).)

[Sumber: arsipsiroh.wordpress.com; disesuaikan bahasanya oleh Abu Fatih al-Mubaraki dan UAM.]

Akhukum, Abu Anas Madani, malam Tarwiyah 1432H, Dar Ummi Hani’, Makkah al-Mukarramah.

Bahagian 3: Jumaat, 8 Zulhijjah 1432H / 4 November 2011 (Yaum at-Tarwiyah)

Dinamakan “Hari Tarwiyah” kerana pada hari ini para jemaah haji menyediakan air untuk kegunaan mereka di Arafah dan Mina selama tempoh mereka mengerjakan haji.

Amalan hari ini bagi jemaah haji

Bagi orang yang melakukan haji tamattu’ (melakukan umrah dahulu sewaktu datang ke Makkah), hendaklah berihram (berniat) haji pada hari ini, kemudian keluar menuju ke Mina sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW dan para sahabat. Semasa berada di Mina, Baginda melakukan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh secara qasar dan tidak dijamakkan.

Memandangkan hari ini jatuh pada hari Jumaat, pihak Pakar Rujuk Ibadat Haji Tabung Haji dan JAKIM menetapkan agar pergerakan jemaah haji Malaysia yang dibawa terus ke Arafah dari Makkah dimulakan selepas solat Jumaat. Ini kerana kita wajib solat Jumaat dahulu di Makkah sebelum bertolak ke Arafah; kita bukan lagi tergolong dalam kalangan orang yang bermusafir setelah bermukim di Makkah beberapa hari, walaupun kita datang dari Malaysia yang beribu-ribu kilometer jauhnya dari Makkah.

Bagi jemaah yang hendak ke Mina untuk “bertarwiyah”, mereka telah dibawa ke Mina pada malam Jumaat, kecuali beberapa kumpulan kecil yang pergi secara bersendirian pada pagi Jumaat.

Antara sebab pihak muassasah dan TH tidak membawa majoriti jemaah haji Malaysia ke Mina pada hari Tarwiyah ialah – sebagaimana yang telah dijelaskan dalam catatan tahun lepas – kerana dikhuatiri tidak sempat sampai ke Arafah dan terlepas wukuf, menyebabkan jemaah tidak mendapat haji dan lain-lain.

Untuk makluman pembaca, projek kereta api atau tren yang menghubungkan Mina, Muzdalifah dan Arafah telah siap dan digunakan pada musim haji 1431H, namun penggunaannya terhad kepada hujjaj dalam negeri sahaja.

Terdapat juga beberapa jemaah Ash-Har yang berkesempatan mencuba tren ini. Dua orang jemaah yang menaiki kereta dari Makkah hendak ke Mina telah dihantar ke Muzdalifah. Setiba di sana mereka mengadu kepada pihak polis dan akhirnya dibenarkan menaiki tren ke Mina, seterusnya berjalan kaki pulang ke khemah di Mu’aisim. Seorang hajah pula, yang kebetulan suaminya bekerja di Mina sebagai petugas tren, juga mendapat peluang menaiki tren.

Seramai 165 orang tenaga kerja dari Malaysia telah dibawa ke Makkah untuk mengendalikan perjalanan tren ini pada musim haji tahun ini.

Perkhemahan Maktab 97 tahun ini menempatkan kami bersama gergasi PJH Malaysia antaranya Rayhar Travel dan beberapa buah PJH lain: Ash-Har, KSB, Batuta, Citra, Cantumas, D’Mawaddah dan Wira Saujana.

Zikir munajat seperti biasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina terus berkumandang, istimewa lagi apabila ada bersama kami “syeikh munajat” sendiri … Allahul-musta’an. [Baca catatan tahun 1430H; perkara ini sudah diceritakan dengan panjang lebar.]

Sabtu, 9 Zulhijjah 1432H / 5 November 2011 (Yaum Arafah): Wukuf

Hari Arafah ialah suatu hari yang telah disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan lebih ramai hamba-Nya daripada api neraka berbanding hari Arafah. Sesungguhnya Dia mendekat, kemudian berbangga-bangga dengan mereka di hadapan para malaikat seraya berfirman: Apakah yang mereka mahu?” [Riwayat Muslim, no. 1348]

Pagi yang tenang di Arafah dengan udara yang nyaman, namun tidak ada hujan pada tahun ini sepanjang kedatangan kami di Makkah hingga selesai mengerjakan haji, walaupun solat istisqa’ (minta hujan) telah dilakukan sebelum wukuf.

Jemaah haji menikmati hidangan sarapan pagi secara ringkas yang disediakan oleh pihak muassasah.

Waktu duha juga disambut dengan solat sunat duha, bacaan al-Quran dan pelbagai ibadat sunat yang lain termasuk zikir munajat yang kedengaran dari pelbagai sudut perkhemahan Arafah.

Memandangkan TH telah membuat ketetapan awal bahawa khutbah akan dibaca oleh ustaz yang dibawa oleh mereka, ana menetapkan jadual sendiri: jam 10.30 pagi kuliah khas “Huraian dan Penjelasan Khutbah Rasulullah SAW di Arafah” yang sangat penting itu.

Isi kandungan khutbah al-Wada’ (khutbah Rasulullah SAW) yang disampaikan di Wadi ‘Uranah, Arafah, ketika mengerjakan haji terakhir Baginda amat penting dan perlu difahamkan kepada jemaah yang sedang bersemangat untuk berwukuf setiap tahun, biarpun berulang, kerana jemaah yang datang saban tahun majoritinya orang yang berlainan.

Khutbah Arafah Rasulullah SAW

“Wahai manusia! Dengarlah apa yang akan aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi di tempat ini selepas tahun ini.

  1. Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan diri kamu terpelihara (diharamkan) sebagaimana haramnya hari ini, bulan ini dan negeri ini (Makkah dan kawasan sekitarnya).
  2. Sesiapa yang memegang amanah, hendaklah dia mengembalikan amanah tersebut kepada pemiliknya.
  3. Ingatlah! Segala urusan jahiliah telah berada di bawah tapak kakiku (iaitu telah dihapuskan).
  4. Tuntutan darah pada zaman jahiliah (sebelum Islam) telah dibatalkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan ialah darah Ibn Rabi‘ah bin al-Harith yang disusukan dalam kalangan Bani Sa‘ad, lalu dibunuh oleh Huzail.
  5. Riba telah dihapuskan dan riba pertama yang aku hapuskan ialah riba ‘Abbas bin Abdul Muttalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.
  6. Wahai manusia! Bertakwalah kepada Allah SWT dalam urusan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas mereka menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk; jika mereka melakukannya, maka kamu berhak menghukum mereka, tetapi bukan dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu taat dan setia terhadapmu, wajib ke atas kamu memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan baik.
  7. Semua orang mukmin bersaudara, maka tidak halal bagi seseorang Muslim mengambil harta saudaranya kecuali dengan kerelaannya.
  8. Janganlah kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, sebahagian kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan; jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya: Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.
  9. Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT, Tuhan kamu, menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, mengeluarkan zakat harta kamu dengan kerelaan dan mengerjakan haji ke rumah suci Tuhan kamu (Kaabah), nescaya kamu akan masuk syurga Tuhan kamu.
  10. Tuhan kamu satu dan bapa kamu pula satu; kamu semua berasal daripada Adam dan Adam dijadikan daripada tanah. Orang yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah yang paling bertakwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bagi bangsa Arab ke atas bangsa lain kecuali dengan takwa.
  11. Allah SWT telah menetapkan hak pusaka bagi setiap waris, maka tidak boleh berwasiat kepada waris. Sesungguhnya laknat Allah SWT ke atas sesiapa yang mengaku sebagai anak kepada yang bukan bapanya, juga laknat para malaikat dan seluruh manusia.
  12. Kemudian kamu akan ditanya tentang aku; maka apakah yang akan kamu jawab?”

Mereka menjawab: “Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan dan menunaikan (risalah) serta menasihati.”

Baginda SAW lalu mengangkat jarinya ke langit dan menunjukkannya ke arah orang ramai sambil berkata: “Ya Allah, saksikanlah!” Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang semula ucapan Rasulullah SAW dengan suara kuat di Arafah ialah Rabi‘ah bin Umayyah bin Khalaf RA. [Diambil daripada buku Makkah al-Mukarramah: Kelebihan & Sejarah, Telaga Biru, 2008, hlm. 140–142]

Zikir Arafah

Selepas solat Zuhur dan Asar para jemaah mula berzikir; ada yang dipimpin oleh para syeikh dan ada yang bersendirian. Bagi para jemaah Ash-Har, ana memilih kaedah berzikir secara individu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku dan nabi-nabi sebelumku ucapkan ialah:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” [Riwayat at-Tirmizi, no. 3585; dinilai hasan oleh al-Albani]

Waktu paling berharga

Waktu wukuf yang afdal bermula selepas solat Zuhur hari Arafah sehingga terbenam matahari (Maghrib), namun bagi mereka yang terlewat sampai ke Arafah masih boleh melakukan wukuf hingga terbit fajar (Subuh) hari raya.

Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW selepas solat Zuhur terus berwukuf di atas untanya menghadap kiblat sehingga terbenam matahari (Riwayat Muslim). Usamah bin Zaid RA pula meriwayatkan bahawa Baginda mengangkat kedua-dua tangannya berdoa dengan khusyuk, sehingga apabila tali unta terlepas, Baginda mengambilnya dengan sebelah tangan sahaja, sedangkan tangan yang sebelah lagi terus diangkat berdoa (Riwayat an-Nasa’i; sanadnya sahih).

Ini bermakna waktu afdal untuk berdoa pada hari wukuf itu cuma lima jam setengah atau 330 minit sahaja. Tetapi malangnya masih terdapat jemaah haji kita yang tidak mendapat kesedaran dan motivasi yang cukup tentang kelebihan dan fadilat hari yang amat istimewa ini! Mereka masih sanggup melalui saat yang bertuah ini dengan hanya berbual-bual kosong, tidur, bahkan ada yang masih tergamak merokok. Orang lain mencari haji mabrur, dia pula membuat haji Malboro! Padahal hukum haram rokok telah diputuskan oleh majoriti besar ulama Islam. [Lihat: Reformasi Fatwa Rokok]

Semoga Allah kurniakan kita haji yang mabrur.

Buku “Yaum Arafah”

Sebelum wukuf, ana sempat ke Aziziah untuk membeli buku. Antara buku yang dibeli ialah buku Yaum ‘Arafah (يوم عرفة) tulisan Prof. Dr. Falih as-Sughayyir, tahun 1430H. Ketika menyenaraikan amalan hujjaj pada hari Arafah, beliau menyebut tentang doa:

“Disunatkan bagi jemaah haji di tempat wukuf yang besar ini bersungguh-sungguh berzikir kepada Allah SWT dan berdoa kepada-Nya dengan penuh rendah diri dan hina, menzahirkan sikap sangat berhajat dan fakir kepada rahmat dan keampunan-Nya …

Dan hendaklah seseorang itu menitiskan air matanya di masy’ar yang agung ini, kerana ia petanda ijabah (doa dimakbulkan) dan alamat kebahagiaan. Sesiapa yang tidak mampu menangis, hendaklah dia berusaha menangis (mencuba sedaya upaya) dengan merintih dan berdoa kepada Allah SWT …” [hlm. 68–69]

Soalan: Manakah yang lebih afdal: berdoa seorang diri atau seorang imam berdoa kemudian makmum mengaminkannya?

“Asal amalan doa ialah setiap insan berdoa untuk dirinya, kecuali apabila ada orang yang berkumpul di belakangnya mengaminkan doanya, kerana mungkin ada sebahagian jemaah yang lebih khusyuk dan mudah menangis (maka hati orang lain pun mudah tersentuh). Amalan ini tidak mengapa (la ba’sa bihi) mengikut apa yang saya faham dan tidak ada dalil yang melarangnya. Peristiwa seperti ini juga berlaku dalam kalangan para sahabat RA yang meminta Nabi SAW berdoa untuk mereka. Namun saya tidak menemui dalil bahawa Nabi SAW di tempat wukuf Arafah ini berdoa untuk mereka. Kerana itu saya mengatakan: yang paling afdal ialah setiap insan berdoa untuk dirinya, lebih-lebih lagi jika ia membawa kepada zikir atau talbiah secara berjemaah dan seumpamanya.” [hlm. 74–75]

Pada awal pagi Arafah ana memberi nasihat dan bimbingan tentang doa di Arafah seperti yang disebut di atas, namun terdapat kesukaran bagi sesetengah jemaah untuk menitiskan air mata. Maka pada petang Arafah ana membenarkan mereka mengaminkan doa yang dibaca, mudah-mudahan air mata yang sukar ditumpahkan kerana Allah SWT dapat membasahi bumi Arafah dan menyirami hati yang keras itu.

Maka pada petang hari Arafah itu ana meminta jemaah berdoa dan bermunajat bersungguh-sungguh kepada Allah dengan tangisan penuh syahdu agar diampunkan dosa dan diterima haji yang dilakukan, serta memohon kesejahteraan untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan yang berpesan agar didoakan. Mintalah kebaikan di dunia dan di akhirat …

Bahagian 4: Muzdalifah, Hari Raya dan Mina

Ke Muzdalifah

Apabila masuk waktu Maghrib, Rasulullah SAW keluar dari Arafah menuju ke Muzdalifah dan di sana mengerjakan solat Maghrib dan Isyak secara jamak takhir dan qasar. Setelah itu Baginda SAW berehat.

Tidak ada riwayat yang menyebut Rasulullah SAW melakukan ibadat khusus pada malam Muzdalifah tersebut.

Jemaah yang terkena giliran awal diminta bersedia apabila sudah hampir waktu Maghrib untuk dibawa ke Muzdalifah dengan bas yang disediakan.

Setiap maktab disediakan beberapa buah bas ulang-alik yang membawa jemaah haji ke Muzdalifah yang jaraknya lebih kurang 8 km, mengambil masa 10–15 minit sahaja melalui jalan khas yang dipanggil “Jalan Taraddudiyyah”. Jalan ini dikhaskan untuk jemaah haji Asia Tenggara.

Jemaah Ash-Har tahun ini asyik terkena giliran terakhir sahaja (puas Penyelaras Haji Ash-Har berunding tetapi tidak berjaya juga). Biasanya apabila lewat keluar dari Arafah, jalan sudah mula sesak disebabkan bas-bas yang rosak di tengah jalan kerana jalan yang dilalui mendaki bukit. Setelah hampir jam sembilan malam barulah sampai giliran kami. Ana menaiki bas no. 2; setelah dua pertiga perjalanan bas rosak, penghawa dingin mula menjadi panas, pemandu memasukkan gear hadapan tetapi bas bergerak ke belakang pula, Allahul-musta’an. Akhirnya kami terpaksa menukar bas lain dan alhamdulillah kami tiba di Muzdalifah pada jam 11.30 malam, menjadi rombongan Ash-Har yang terakhir tiba.

Sewaktu di Muzdalifah, jemaah haji kita mula mengutip anak-anak batu untuk melontar. Batu yang dikutip seharusnya hanya sebesar ruas jari kelingking atau kacang fol dan jangan melebihi saiz ini sebagaimana pesan Rasulullah SAW ketika menunjukkan saiz batu untuk melontar: “Dengan batu-batu seumpama inilah hendaklah kamu melontar. Dan jauhilah kamu sikap melampau dalam agama” (Riwayat an-Nasa’i dan Ibn Majah; sahih).

Baginda juga tidak mensyaratkan agar batu itu dikutip di Muzdalifah; boleh sahaja dikutip di mana-mana.

Perhatian: Diingatkan di sini bahawa tidak perlulah setiap jemaah haji membawa lampu suluh. Memadailah sebuah untuk satu keluarga atau kumpulan sebagai bekalan kecemasan.

Selepas jam 12 tengah malam jemaah haji Malaysia mula diangkut keluar dari Muzdalifah menuju ke Mina.

Alhamdulillah, dalam susah ada rahmat. Memandangkan giliran jemaah Ash-Har yang terakhir, dapatlah kami bermalam (mabit) penuh di Muzdalifah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Selepas solat Subuh, bas datang membawa kami ke Mina.

Kesedaran seperti ini perlu diajar kepada jemaah, barulah mereka akan tenang apabila terkena giliran terakhir (selepas Subuh).

10 Zulhijjah 1432H (Yaum al-Hajj al-Akbar): Hari Raya

Selepas solat Zuhur, ana mula memberi penjelasan tentang hukum dan amalan haji pada hari ini, cerita tentang Mina dan lain-lain.

Jemaah Ash-Har diarahkan keluar ke Jamarat selepas solat Maghrib.

Selepas melontar dan pulang ke khemah, suasana di dalam khemah nampak ceria dan terang dengan kepala para haji yang licin bersinar.

Alhamdulillah, mereka menyambut tawaran Rasulullah SAW yang mendoakan agar Allah SWT merahmati orang yang bercukur kepalanya sebanyak tiga kali; kemudian setelah dirayu kali keempat barulah Rasulullah SAW mendoakan rahmat untuk mereka yang hanya bergunting.

Alhamdulillah, semua jemaah lelaki Ash-Har yang bersama ana ke Arafah dan Mina 100% bercukur licin pada tahun ini. Terima kasih kerana menerima tawaran besar daripada Rasulullah SAW.

Sedih dan terkilan juga apabila melihat masih ramai hujjaj yang tidak ingin merebut ganjaran pahala yang ditawarkan ini, yang entah bila lagi akan hadir dalam hidup mereka. Mereka masih enggan menggugurkan seluruh rambut di Mina yang berkat ini, lebih sayangkan rambut daripada mengikut sunnah Rasulullah SAW!

Rambut yang dicukur akan tumbuh semula, insya-Allah, tetapi peluang untuk termasuk dalam doa Rasulullah SAW yang diulang sebanyak tiga kali ini tiada siapa yang dapat menjamin akan berulang sekali lagi dalam hidupnya!

Mina 1432H

Di Mina, kebanyakan jemaah haji Malaysia ditempatkan di perkhemahan Mu’aisim yang jaraknya hampir 3 km dari Jamarat (tempat melontar).

Rombongan kami ditempatkan di Maktab 97, Perkhemahan Asia Tenggara. Kebanyakan jemaah haji Malaysia ditempatkan di sekitar ini kecuali mereka yang membayar mahal (pakej VIP) yang ditempatkan dekat dengan Jamarat.

Kami yang tinggal di perkhemahan ini disediakan makanan berbungkus tiga kali sehari: nasi kering tanpa kuah (mungkin untuk mengurangkan keperluan kepada bilik air). Bolehlah untuk menghalau lapar, alhamdulillah. Ramai jemaah membawa bekalan serunding dan lain-lain sebagai lauk tambahan. Makanan paling popular dalam lima hari ini ialah GaGa (mi segera buatan Indonesia); orang yang tidak makan mi segera di Malaysia pun terpaksa makan di sini, sudah jadi jamuan rasmi pula. Pulang melontar, selepas ceramah, masing-masing mencari air panas untuk membuat mi segera.

Lelaki dan perempuan di khemah yang berasingan diberikan sebuah tilam kecil seorang (untuk mendapatkan tilam, Ash-Har perlu membayar tambahan kepada Muassasah). Saiznya seelok-elok muat badan seperti liang lahad, sebagai peringatan kepada kematian. Tilam yang telah disusun dan bantal yang diatur cantik oleh petugas tiba-tiba boleh hilang dan ditemui di khemah lain; hairan juga dengan kawan-kawan petugas ini. Suasana tidaklah begitu sesak kerana ramai jemaah yang berulang-alik pulang ke Makkah untuk menunaikan tawaf dan saie masing-masing, khususnya orang muda dan jemaah wanita yang menjangka haid mereka sudah hampir.

Jemaah yang pulang bertawaf dan bersaie terpaksa berjalan kaki sejauh 8 km apabila hendak kembali semula ke Mina pada hari ke-11. Masya-Allah, sungguh berjihad mereka.

Yang menjadi sedikit masalah dan memerlukan kesabaran serta ketahanan yang amat tinggi ialah bilik air dan tandas. Bilangan tandas amat sedikit berbanding jemaah yang amat ramai: satu maktab yang terdiri daripada lebih 2,400 orang jemaah hanya disediakan 40 buah tandas. Satu tandas pula dikunci, kononnya khas untuk petugas; sampai hati mereka! Selama ana beratur tidak nampak pula kelibat mereka. Alangkah baiknya jika dibuat peraturan bahawa jemaah perlu memberi laluan kepada petugas yang datang dengan tanda nama mereka; itu lebih baik daripada terus mengunci tandas itu.

Purata masa yang diperlukan pada waktu Subuh hampir atau lebih sejam beratur. Lebih-lebih lagi bagi kaum wanita: hendak beratur lagi, perlu menjaga aurat lagi (terdapat juga yang tidak begitu mengambil berat tentang aurat mereka).

Perhatian: Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian dan kesedaran kepada “hujjaj Maliziya” ialah sifat suka mandi tanpa mengira masa dan keadaan. Orang Melayu ini tidak faham-faham; dalam keadaan yang begini terdesak pun masih sentiasa hendak mandi, tidak hanya menyelesaikan hajat yang wajib sahaja! Setelah selesai solat nanti pergilah mandi.

Jemaah haji Malaysia yang berada di Mina diminta solat jamak tamam (tanpa qasar) dengan alasan darurat kerana susah mendapatkan air (apabila dapat air, mereka gunakan untuk mandi pula)! Sedangkan menurut sunnah Nabi SAW, Baginda melakukan solat qasar tanpa jamak, bererti setiap solat dilakukan dalam waktunya sendiri.

Aktiviti ibadat lain bergantung pada kerajinan dan keaktifan ustaz pembimbing masing-masing. Ada yang meriah dengan ceramah dan tazkirah, ada yang senyap sahaja. Alhamdulillah, kami rombongan Ash-Har sentiasa mengadakan tazkirah selepas setiap solat jemaah serta ceramah tentang sejarah Mina dan hikmah bermalam dan melontar setiap hari, begitu juga taklimat dan penerangan bagi setiap aktiviti yang akan dilakukan seperti melontar dan lain-lain.

Ana telah mengarahkan jemaah lelaki dan wanita agar mengadakan kelompok usrah tilawah al-Quran sepanjang perjalanan haji. Alhamdulillah, ramai yang berjaya khatam al-Quran dalam tempoh tersebut.

Perhatian: kelonggaran yang dilonggarkan

Pada 11 Zulhijjah, yang dikenali dalam hari-hari haji sebagai “Yaum al-Qarr”, iaitu hari bertenang kerana pada hari ini jemaah haji bertenang di Mina.

Namun dalam ketenangan ada kegelisahan, kerana ramai jemaah haji dari Malaysia dan lain-lain telah dibawa melontar selepas solat Subuh lagi. Seronoklah jemaah apabila sudah selesai melontar; gembira sahaja nampaknya berbual di tepi tandas. Apabila ditanya mengapa sudah melontar, mereka menjawab: “Pagi kan tenang, tak panas!”

Mereka tidak tahu hakikat sebenarnya bahawa mereka telah keluar daripada amalan majoriti ulama Islam yang terawal (salafussoleh). Apa yang dipegang sebagai sandaran itu ialah pandangan dua orang ulama salaf, iaitu ‘Ata’ dan Tawus. Sedangkan pada hari tersebut tiada sesuatu pun yang perlu dikejarkan; solat pun boleh diqasarkan atau dijamak tamam.

Diminta para pembimbing merujuk kembali kitab-kitab serta pandangan dan perbahasan yang berkaitan. Mintalah jemaah haji melontar pada waktu petang atau malam jika alasannya untuk mencari keselesaan dan ketenangan daripada kesesakan. Berbeza situasinya jika hari tersebut ialah hari nafar, sama ada awal atau thani, kerana kesesakan jalan yang teruk dan ada sebab-sebab munasabah untuk berbuat demikian. Dalam hal ini pandangan ulama juga agak luas dan lebih ramai bilangannya berbanding hanya terhad kepada dua pendapat tadi. Keluar daripada khilaf ulama itu mustahab (dituntut). [Lihat al-Mughni fi Fiqh al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 386]

Pada 12 Zulhijjah, jam 10.30 pagi, kami mengadakan sesi memperkenalkan diri dan meluahkan sedikit pengalaman menunaikan haji.

Alhamdulillah, majlis berjaya. Ada jemaah yang sayu dan sebak ketika menceritakan pengalaman: datang haji kerana dorongan isteri; tidak pernah bercukur kepala seumur hidup selain kali pertama dicukur oleh ibu; tidak pernah menangis kerana takutkan Allah SWT tetapi menangis kerana anak tidak lulus peperiksaan; dan sebagainya.

Jemaah Malaysia diberi arahan oleh Muassasah supaya keluar melontar selepas Maghrib. Kami pun keluar berjalan beramai-ramai ke Jamarat (tempat melontar). Sesiapa yang mahu melontar secara bersendirian pada waktu lain boleh pergi, tetapi tidak dibenarkan membawa bendera negara kerana tidak mahu kelihatan bercanggah dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Muassasah yang bertugas.

Setelah dua malam berada di Mina, ahli rombongan kami diberi pilihan sama ada melakukan nafar awal (pulang dahulu ke Makkah setelah menyelesaikan amalan haji di Mina) ataupun menyempurnakan mabit tiga malam di Mina dan melakukan nafar thani. Sebahagian jemaah melakukan nafar awal, majoriti melakukan nafar thani bersama ustaz. Ini berpandukan hukum kelonggaran yang diberikan oleh Allah Taala dalam firman-Nya:

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ لِمَنِ اتَّقَى وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Maksudnya: “Dan berzikirlah* (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang berbilang. Sesiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan sesiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya daripada dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya.” [Al-Baqarah: 203]

* Maksud zikir di sini ialah membaca takbir, tasbih, tahmid, talbiah dan sebagainya. Beberapa hari yang berbilang ialah tiga hari sesudah Hari Raya Haji, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Hari-hari itu dinamakan hari-hari tasyrik.

Pada hari ketiga belas, semua jemaah haji pulang ke Makkah. Jemaah Ash-Har, seperti sebelumnya, masih mendapat giliran terakhir (apa rahsianya? Wallahu a’lam). Memandangkan keadaan itu, Ustaz Ahmad Syukri mengarahkan bas yang disewa khas (SAPTCO) membawa jemaah dari Mina ke Makkah. Jemaah yang terakhir terpaksa juga menaiki bas muassasah kerana jalan sudah sesak dan bas kita sudah tidak boleh masuk ke Mina lagi. Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

Setelah berehat beberapa ketika, para jemaah yang belum melakukan tawaf dan saie haji menyempurnakan tawaf dan saie mereka. Orang yang uzur syarie terpaksa bersabar sehingga “line clear” dan orang tua yang uzur pun terpaksa menunggu giliran pemandu kerusi roda yang akan menolak mereka ke masjid untuk bertawaf dan bersaie.

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Setelah berehat beberapa hari, kami mula mengadakan ceramah “Muhasabah Selepas Haji” dan tajuk-tajuk lain yang dipilih. Jemaah pula kembali aktif melakukan umrah semula berulang-ulang kali.

Jika ditanya kepada ana tentang masalah ini, susah untuk dijawab kerana ia tidak menjadi amalan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda, juga generasi selepasnya.

Namun permintaan Ummul Mukminin Aisyah RA untuk melakukan umrah selepas haji tidak dilarang oleh Rasulullah SAW, maka ini menjadi asas hukum bahawa ia boleh dilakukan, wallahu a’lam.

Abu Anas Madani, Makkah al-Mukarramah: 16 Zulhijjah 1432H / 12 November 2011.

Siri ini: Siri 1 (1430H) · Siri 2 (1431H) · Siri 3 (1432H) · Siri 4 (1433H) · Siri 5 (1434H) · Siri 6 (1436H)

Sebelum: Rehlah Haji 1431H (Siri 2) | Seterusnya: Rehlah Haji 1433H (Siri 4)

Bacaan berkaitan

Rujukan

16 sumber
  1. Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1297 (riwayat Jabir RA): «لتأخذوا مناسككم».

    Sunnah.com
  2. Al-Quran, Surah asy-Syu'ara' (26): 80.

    Quran.com
  3. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 286.

    Quran.com
  4. Sahih al-Bukhari, Kitab ar-Riqaq, no. 6412 (riwayat Ibn 'Abbas RA).

    Sunnah.com
  5. Sahih al-Bukhari, no. 357; Sahih Muslim, no. 336 (riwayat Ummu Hani RA).

    Sunnah.com
  6. Sahih Muslim, Kitab Fada'il as-Sahabah, no. 2527 (riwayat Abu Hurairah RA).

    Sunnah.com
  7. Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1218 (hadis panjang Jabir RA tentang haji Nabi SAW).

    Sunnah.com
  8. Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Wasaya, no. 2120 (riwayat Abu Umamah RA, khutbah Haji Wada').

    Sunnah.com
  9. Musnad Ahmad, no. 23489.

    ad-Durar as-Saniyyah
  10. Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1348 (riwayat Aisyah RA).

    Sunnah.com
  11. Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Da'awat, no. 3585 (riwayat 'Amr bin Syu'aib daripada bapanya daripada datuknya); dinilai hasan oleh al-Albani (Sahih al-Jami', no. 3274).

    Sunnah.com
  12. Sunan an-Nasa'i, Kitab Manasik al-Hajj, no. 3011 (riwayat Usamah bin Zaid RA); sanad sahih menurut al-Albani; juga Musnad Ahmad, no. 21821.

    ad-Durar as-Saniyyah
  13. Sunan an-Nasa'i, no. 3057; Sunan Ibn Majah, no. 3029 (riwayat Ibn 'Abbas RA); sahih.

    ad-Durar as-Saniyyah
  14. Sahih al-Bukhari, no. 1727; Sahih Muslim, no. 1301 (riwayat Ibn 'Umar RA).

    Sunnah.com
  15. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 203.

    Quran.com
  16. Sahih al-Bukhari, Kitab al-'Umrah, no. 1785 (riwayat Jabir RA tentang umrah Aisyah RA dari Tan'im).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Musafir Rehlah Haji 1436H (Siri 6) 2 Okt 2015 Musafir Rehlah Haji 1434H (Siri 5) 9 Nov 2013 Musafir Catatan Rehlah Ke Istanbul dan Umrah 2013 1 Jun 2013 Musafir Rehlah Haji 1433H (Siri 4) 13 Nov 2012