Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Khutbah

Khutbah Musim Haji (Siri 2): Khutbah Arafah 1432H

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 3 November 2011 · 16 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Abu Fatih al-Mubaraki. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: sedutan Khutbah Arafah 1432H Lembaga Tabung Haji, dengan tambahan dan huraian Abu Fatih al-Mubaraki (Makkah, 7 Zulhijjah 1432H).

Teks Khutbah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحَمْدُ للهِ الَّذِي شَرَعَ لِعِبَادِهِ القَادِرِيْنَ حَجَّ بَيْتِهِ الحَرَامِ، وَجَعَلَ الحَجَّ أَحَدَ أَرْكَانِ الإِسْلَامِ، وَغَفَرَ لِمَنْ حَجَّهُ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ جَمِيْعَ الذُّنُوْبِ وَالآثَامِ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ المَلِكُ العَلَّامُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ أَفْضَلُ المُرْسَلِيْنَ وَأَكْمَلُ الإِمَامِ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ البَرَرَةِ الكِرَامِ وَهُدَاةِ الأَنَامِ

أَمَّا بَعْدُ

فَيَا وَفْدَ اللهِ بِالأَرْضِ المُقَدَّسَةِ، اتَّقُوا اللهَ وَاعْمَلُوا الصَّالِحَاتِ وَاجْتَنِبُوا المُنْكَرَاتِ وَاذْكُرُوا اللهَ كَثِيْرًا فِي أَيَّامٍ مَعْلُوْمَاتٍ وَاشْكُرُوْهُ وَأَكْثِرُوا التَّلْبِيَةَ: لَبَّيْكَ اللّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ، لَا شَرِيْكَ لَكَ، حَتَّى تَتَحَلَّلُوْا مِنَ الإِحْرَامِ

مَعَاشِرَ المسلمينَ والمسلماتِ ضُيُوْفَ الرَّحمنِ رَحِمَكُمُ الله – حجاج بيت الله

Khutbah Arafah 1432H kali ini sekali lagi bersuara. Suara yang sentiasa memenuhi jiwa-jiwa yang ingin pulang ke pangkuan Allah Ta‘ala dengan seruan menambah ketakwaan kepada-Nya. Hanya takwa sahajalah nilaian yang diperakui di sisi Rabb al-Jalil.

Pesanan Luqman al-Hakim kepada anakandanya wajar dijadikan perhatian buat semua dengan katanya: “Wahai anakku yang dikasihi. Janganlah sekali-kali kamu menanggalkan pakaian takwa daripada tubuhmu. Sekiranya itu berlaku, maka seolah-olah tiada seurat benang pun yang menutupi tubuhmu.”

Justeru, permukiman kita dalam perkhemahan tarbawiyyah dan ibadah teragung warisan Nabi Ibrahim a.s. dan Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW ini wajib dijadikan peluang yang digunakan sebaik-baiknya untuk menjana iman dan takwa.

Kehadiran kita di bumi Arafah pada hari ini telah ditentukan Allah bagi melaksanakan ibadat haji yang menjadi salah satu rukun Islam, yang wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.

Basahkanlah lidah dengan menyebut sebanyak-banyaknya kalimah talbiah:

لَبَّيْكَ اللّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ، لَا شَرِيْكَ لَكَ

Inilah bahasa dan deretan kalimah tauhid yang subur di bibir setiap jemaah haji. Memurnikan sahutan dan memenuhi panggilan Allah dengan penuh ikhlas dan jujur, mengesakan-Nya dan menafikan segala bentuk pujian, ibadah, kekuasaan, kerajaan, undang-undang serta pemilikan selain daripada Allah ‘Azza wa Jalla. Kalimah inilah yang bergema memenuhi bumi Makkah, Arafah, Muzdalifah dan Mina dengan pengakuan sejati daripada ketulusan jiwa jutaan manusia.

Selain itu, basahkan juga lidah-lidah kita dan lembutkan hati-hati kita dengan selawat kepada Baginda SAW, zikrullah, istighfar, doa, bacaan al-Quran serta amalan soleh yang lain, serta jauhkan diri daripada perbuatan yang boleh membawa kepada dosa.

معاشر الحجاج ضيوف الرحمن رحمكم الله

Ibadah haji menyaksikan perhimpunan agung manusia dari seluruh pelosok dunia. Perhimpunan yang mempunyai satu arah dan tujuan. Perhimpunan yang menyaksikan perbezaan darjat yang selama ini dibanggakan manusia, warna kulit yang suka dibeza-bezakan serta kedudukan dan pangkat yang sentiasa dibanding-bandingkan dan dipuja, semuanya menjadi sama, serupa dan tiada berbeza. Kebersamaan inilah yang lahir atas kepatuhan dan ketundukan kepada Yang Maha Esa, menjadikan manusia terhimpun menjadi satu. Satu akidah, satu iman. Satu kiblat dan satu tujuan, haji yang mabrur menjadi idaman. Menjadi satu umat kepada Nabi akhir zaman. Berpegang teguh dengan satu kitab, al-Quran. Beramal kukuh dengan sunnah Nabi junjungan, sehingga mampu menjadi pegangan yang berkekalan untuk dipersembahkan di hadapan ar-Rahman pada perhimpunan Mahsyar yang agung kelak.

Sudah jelas lagi nyata kepada kita bahawasanya ajaran Islam memberi jaminan keselamatan di dunia dan akhirat. Sebaliknya lebih jelas dan nyata lagi bahawasanya ajaran-ajaran, idealisme-idealisme dan semua yang selain daripada agama Islam akan menempah akibat yang buruk bermula dari dunia lagi, sebelum akibat yang lebih buruk dan tercela di akhirat sana. Kenyataan dan hakikat inilah yang mewajibkan diri kita bertambah yakin dengan Islam, agama yang memacu kebenaran dan keadilan serta menyelamatkan manusia daripada kemurkaan Tuhan.

Firman Allah Ta‘ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 85:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْءَاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَٰسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak termasuk dalam golongan orang yang rugi.”

معاشر الحجاج ضيوف بيت الله رحمكم الله

Dalam kesempatan rehlah imaniyyah (kembara keimanan) yang berkampung di perkampungan maghfirah (keampunan) di bumi Arafah ini, pada saat yang sangat mulia lagi mustajab, dalam keadaan kusut masai lagi berdebu, dalam suasana penuh pengharapan kepada rahmat dan keampunan abadi, saya ingin mengajak diri saya dan khalayak para jemaah sekalian untuk mendengar wasiat terakhir bumi Arafah, Khutbah al-Wada‘ yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW di Wadi ‘Uranah di hadapan lebih seratus ribu jiwa manusia pada hari Jumaat, 9 Zulhijjah tahun kesepuluh Hijrah. Pesanan khutbah ini diulang-ulang dengan suara lantang oleh Rabi‘ah bin Umayyah bin Khalaf di bumi Arafah supaya didengar oleh orang ramai. Dengarlah wahai para hujjaj sekalian, bingkisan daripada khutbah terakhir ini. Dengarlah dengan iman yang memenuhi setiap pelosok nurani. Dengarlah agar jelas olehmu maksudnya dan pengajaran daripadanya. Dengarlah dan hayatilah agar meresap dalam jiwamu yang murni. Dengarlah kini dan murnikan dengan hakikat dan pelaksanaannya, bermula di sini dan hendaknya berkekalan setelah pulang dari kembara haji ini nanti.

Petikan Khutbah Rasulullah SAW di Arafah

Teras khutbah ini diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a. dalam hadis panjang tentang haji Nabi SAW (Sahih Muslim, no. 1218). Sebahagian lafaz lain terdapat dalam riwayat-riwayat lain tentang Haji Wada‘ yang disebut sumbernya di bawah. Nabi SAW bersabda:

1) “Wahai manusia, dengarlah apa yang akan aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu lagi di tempat ini selepas tahun ini selama-lamanya.” (Sirah Ibn Hisyam)

إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

  1. “Sesungguhnya darah kamu dan harta benda kamu adalah haram (terpelihara) ke atas kamu, sebagaimana haramnya hari kamu ini, dalam bulan kamu ini, di negeri kamu ini.” (Dalam riwayat al-Bukhari daripada Abu Bakrah r.a. ditambah: “dan kehormatan kamu”.)
  2. “Sesiapa yang memegang amanah, maka hendaklah dia mengembalikan amanah itu kepada tuannya.” (Sirah Ibn Hisyam)

أَلَا كُلُّ شَيْءٍ مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ تَحْتَ قَدَمَيَّ مَوْضُوعٌ

4) “Ingatlah, segala urusan jahiliah telah berada di bawah tapak kakiku (telah dihapuskan). Tuntutan darah zaman jahiliah (sebelum Islam) telah digugurkan. Tuntutan darah pertama yang aku gugurkan ialah darah Ibn Rabi‘ah bin al-Harith yang disusukan dalam kalangan Bani Sa‘d, lalu dibunuh oleh Huzail.”

Beberapa pesanan ini Nabi SAW sampaikan untuk para pemimpin dan pemegang amanah khasnya, kepada segenap peringkat kepimpinan tidak kira sama ada di peringkat tertinggi, ketua di pejabat atau syarikat, pemimpin dalam kelompok masyarakat atau pemimpin dalam institusi keluarga. Anda adalah tunjang kepada mereka yang dipimpin. Ini kerana kebaikan dan keperibadian mereka yang di bawah jagaan kita mempunyai keterikatan dengan tindak-tanduk kita.

Terdapat kata-kata yang masyhur (ia bukan hadis Nabi SAW dan tidak sabit sebagai ucapan Saidina ‘Umar r.a.):

الناس على دين ملوكهم

“Manusia mengikut agama (cara hidup) pemimpin mereka.”

Justeru, pimpinlah manusia dengan aturan dan panduan daripada Allah ‘Azza wa Jalla.

Ingatlah, kebenaran harus diutamakan walaupun berkaitan dengan darah daging sendiri.

Lihatlah betapa luhurnya Nabi SAW menghapuskan sesuatu yang besar walaupun berkaitan dengan keluarga Baginda sendiri. Keperibadian inilah yang diikuti dan diteladani oleh para khulafa’ zaman kegemilangan Islam, yang melayakkan mereka memperoleh kemenangan dan bantuan Tuhan.

Begitu jugalah dengan segala amalan yang bersifat jahiliah, sama ada datang dalam bentuk perbuatan, perhiasan, pakaian dan apa jua bentuk amalan dan tradisi. Janganlah kita cemari pahala dan keampunan yang telah diperoleh dalam haji ini, terutama pada hari Arafah ini, dengan kembali kepada kejahilan.

Kepada para muslimat: lihatlah wajah anda kini, aurat yang anda tutup pada hari ini kerana Allah. Justeru, inilah juga pakaian dan identiti yang sewajarnya kekal selepas menunaikan ibadah haji, dihiasi pula dengan akhlak yang bersemi dengan bunga-bunga al-haya’ (sifat malu dan tertib) serta keperibadian unggul wanita muslim. Apakah anda masih sanggup digelar jahiliah dalam zaman yang serba canggih dengan perkembangan ilmu? Jika perlembagaan Barat yang dipertuhankan sebagai pilihan dan trend ikutan sumber fesyen, maka sebenarnya kita menzahirkan makna sebuah kebiadaban terhadap agama Allah. Al-Quran telah menjelaskan garis panduan yang cukup jelas tentang etika pakaian muslimah. Mengapa kita masih terperuk dan teruja dengan fesyen-fesyen yang menelanjangi wanita daripada maruahnya yang sebenar? Pakaian yang menjentik nafsu buas jantina lawan akhirnya akan membinasakan kaum hawa itu sendiri. Jika kita menyangka bahawa fesyen terkini itu mencerminkan kemodenan, betulkanlah kembali lensa pandangan dan pemikiran. Hakikatnya fesyen mendedahkan aurat ini kembali semula kepada fesyen kuno manusia zaman batu! Janganlah kita menganggap globalisasi sesuatu yang perlu diserap seluruhnya dan diambil semua intipatinya tanpa disaring dengan tapisan syariat. Benarlah ulasan Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili: “Globalisasi ialah Barat mahu kita makan apa yang mereka makan dan buat segala yang mereka lakukan.”

Harus diingat bahawa tiada kemuliaan yang lebih hebat daripada kemuliaan yang dibawa oleh Islam. Berbangga dengan mengatakan “Ana mu’min / Ana muslim / I’m a Muslim” adalah sesuatu yang mulia (noble) dan mahal nilainya. Namun, jika hanya muslim pada nama tanpa terserlah identitinya, maka akan hilanglah kemuliaannya. Tiada kemuliaan kecuali dengan iman. Kembalilah semula kepada hakikat sebenar seorang yang beriman, kerana dunia seluruhnya amat rugi dengan kemunduran dan kebejatan akhlak umat Islam yang jauh daripada realiti sebenar yang tersimpan kemas dalam al-Quran, namun belum begitu kemas dari aspek penghayatan dalam kehidupan.

Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hajj ayat 32:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى ٱلْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati orang mukmin.”

Begitu juga dengan sifat dendam yang mungkin tersemat dalam hati yang tidak berkesudahan. Siramilah ia dengan air mata keinsafan agar ia terus padam dan digantikan dengan kemaafan dan kemanisan ukhuwah. Firman Allah Ta‘ala dalam surah Fussilat ayat 34:

ٱدْفَعْ بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيْنَكَ وَبَيْنَهُۥ عَدَٰوَةٌ كَأَنَّهُۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ

Maksudnya: “Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang di antaramu dengannya ada permusuhan akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

معاشر الحجاج ضيوف بيت الله رحمكم الله

Seterusnya Nabi Muhammad SAW meneruskan khutbahnya dengan sabda Baginda:

وَرِبَا الْجَاهِلِيَّةِ مَوْضُوعٌ وَأَوَّلُ رِبًا أَضَعُ رِبَانَا رِبَا عَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَإِنَّهُ مَوْضُوعٌ كُلُّهُ

5) “Riba jahiliah telah digugurkan. Riba pertama yang aku gugurkan daripada riba kami ialah riba ‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib. Sesungguhnya ia digugurkan kesemuanya.”

Perhatikan sejenak kenyataan Rasulullah SAW ini. Ingatlah bahawasanya Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 278–279:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَذَرُوا۟ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ۝ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ فَأْذَنُوا۟ بِحَرْبٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَٰلِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba (yang masih dituntut) jika benar kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak melakukannya, maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagi kamu pokok asal harta kamu; kamu tidak menzalimi dan tidak pula dizalimi.”

Nabi SAW juga memberi amaran bahawa dosa riba amat berat: “Riba itu tujuh puluh jenis dosa; yang paling ringan ialah seperti seorang lelaki menikahi ibunya sendiri.” (Riwayat Ibn Majah, no. 2274 daripada Abu Hurairah r.a.; disahihkan oleh al-Albani.) Masalah umat Islam hari ini ialah berasa selesa dengan segala bentuk nikmat dan kekayaan yang diperoleh walaupun mungkin bersalut riba. Perasaan takut, risau dan kurang keyakinan sudah tentu terbit kesan daripada lamanya terlibat dengan sistem riba. Inilah hasil penjajahan Barat terhadap dunia Islam yang masih kekal walaupun umat Islam sudah bebas dan mampu mentadbir dunia mereka sendiri. Mengapa sistem yang direncana Yahudi dan Nasrani itu masih mendominasi ruang pasaran kewangan umat Islam? Umat Islam pernah gemilang dengan pelaksanaan sistem Allah dalam era emas pemerintahan Islam di dunia. Mengapa kita kembali semula ke lembah dan lumpur jijik rekaan Yahudi dan Nasrani, sedangkan kita pernah hidup dalam taman yang indah, dibajai dengan sistem yang bersumberkan wahyu Allah? Namun, peluang untuk kita kembali semula kepada sistem Allah yang menjanjikan kebahagiaan dunia dan keuntungan akhirat masih terbuka luas. Oleh itu, perhatikanlah harta benda dan sumber rezeki kita. Periksa semua jenis harta, simpanan, pelaburan, saham, perniagaan, hartanah dan seumpamanya. Pastikan semuanya bebas daripada riba. Jika belum, setelah pulang nanti pastikan semuanya ditukar dan diuruskan menepati kehendak syariat. Sistem kewangan dan perbankan Islam sentiasa menanti untuk memberi khidmat terbaik yang patuh syariah demi kesejahteraan hidup. Bertaubatlah! Jangan biarkan harta benda kita dijadikan senjata untuk berperang dengan Allah Ta‘ala dan Rasul-Nya kerana masih terikat dengan riba dan sistemnya. Bergembira dan beruntunglah semula dengan keuntungan dan kejayaan, tawaran hebat daripada Allah!

Firman Allah Ta‘ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 130:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوا۟ ٱلرِّبَوٰٓا۟ أَضْعَٰفًا مُّضَٰعَفَةً ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Nabi SAW berpesan lagi dalam khutbahnya:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لَا يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

6) “Bertakwalah kepada Allah dalam urusan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan mereka dihalalkan bagi kamu dengan kalimah Allah. Hak kamu ke atas mereka ialah mereka tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memasuki rumah (tempat tidur) kamu. Jika mereka melakukannya, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Dan hak mereka ke atas kamu ialah kamu memberi mereka nafkah makan dan pakaian dengan cara yang baik.”

“Setiap muslim adalah saudara bagi muslim yang lain. Maka tidak halal bagi seseorang mengambil harta saudaranya kecuali dengan kerelaan hatinya.”

Kepada pemimpin keluarga, hargailah keluargamu yang dikasihi. Kepada para suami, jangan lupa bahawa anda mempunyai isteri dan mungkin juga zuriat yang perlu dijaga dengan amanah Allah. Rawatilah penyakit bersosial tanpa prinsip dengan ubat iman dan kejujuran serta rawatan keinsafan, dengan mengingatkan diri bahawa anda sebenarnya telah berjanji untuk menjaga hati mereka melalui akad atas nama amanah Allah, dengan tarbiah dan bimbingan.

Kepada para isteri juga, ingatlah dan waspadalah. Syaitan sentiasa menggoda manusia untuk menghancurkan ikatan suci yang terbina atas janji kepada Ilahi. Jagalah kehormatan dan akhlak anda yang sudah bergelar isteri. Jangan terperangkap dalam ilusi masa anda masih bergelar “bunga yang belum disunting”; hiduplah dalam realiti yang perlu ditangani dengan kebijaksanaan emosi dan akhlak murni, dihiasi iman yang tinggi seorang serikandi muslimah. Anda adalah wirawati keluarga mithali. Tidak dilupakan, khasnya buat mereka yang masih menunggu masa untuk berumah tangga: jagalah akhlak dan peribadi, awasi tingkah dan gerak langkah. Ingat, wanita juga boleh menjadi salah satu panahan iblis. Janganlah anda menjadi penambah bilangannya.

Kepada semua yang cintakan kekayaan dan harta, awasilah agar harta anda bersih daripada sumber yang bukan haknya dalam semua aspek.

  1. “Janganlah kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, dengan sebahagian kamu memenggal leher sebahagian yang lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  2. Nabi SAW bersabda lagi:

    وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ

    “Aku telah tinggalkan dalam kalangan kamu sesuatu yang kamu tidak akan sesat selepasnya jika kamu berpegang teguh dengannya, iaitu Kitab Allah.” (Sahih Muslim, no. 1218.) Dalam riwayat lain disebut: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selagi berpegang dengan kedua-duanya: Kitab Allah dan sunnahku.” (Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ dan al-Hakim)

  3. “Wahai manusia! Sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku dan tiada lagi umat selepas kamu. Maka sembahlah Allah Tuhan kamu, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah pada bulan Ramadan dan keluarkanlah zakat harta kamu dengan penuh kerelaan. Kerjakanlah juga haji ke Rumah Tuhan kamu, nescaya kamu akan memasuki syurga Tuhan kamu.” (Lafaz yang hampir sama diriwayatkan oleh at-Tirmizi, no. 616 daripada Abu Umamah r.a. tentang Haji Wada‘: “Bertakwalah kepada Allah Tuhan kamu, solatlah lima waktu kamu, berpuasalah pada bulan kamu, tunaikanlah zakat harta kamu dan taatilah pemimpin kamu, nescaya kamu masuk ke syurga Tuhan kamu”; kata at-Tirmizi: hasan sahih.)
  4. “Tuhan kamu satu dan bapa kamu satu; kamu semua berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah. Orang yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah yang paling bertakwa kepada Allah. Tiada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang bukan Arab kecuali dengan takwa.” (Riwayat Ahmad, no. 23489, dengan lafaz yang hampir sama.)
  5. “Allah telah menetapkan hak menerima pusaka kepada setiap waris. Oleh itu, tiada wasiat bagi waris. Sesiapa yang menasabkan dirinya kepada selain bapanya, ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia.” (Riwayat Abu Dawud, no. 2870 dan at-Tirmizi, no. 2120–2121)

Tiada panduan sehebat al-Quran dan as-Sunnah yang mampu menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan mara bahaya. Carilah dan galilah panduan dalam telaga hikmah al-Quran dan as-Sunnah, nescaya akan ditemui jawapan daripada pelbagai penjuru terhadap permasalahan dan kerumitan yang melanda hidup. Sekiranya kita masih ragu-ragu dengan sistem perundangan dan hukuman Allah, ketahuilah bahawa sebenarnya ada masalah dengan iman kita. Mengapa kita masih berdalih dan bertangguh, sedangkan umat sudah parah dan terseksa dengan sistem yang merobek erti keadilan dalam hidup manusia? Fitrah sudah tidak lagi terbela dengan perbuatan manusia menggantikan sistem Allah dengan perundangan manusia yang terbukti lemah. Penuhilah seruan mendirikan solat dengan memelihara rukun, waktu dan kekhusyukannya. Penuhilah tuntutan berzakat kepada yang berhak agar harta yang ditunaikan diterima Allah dan yang tinggal dipelihara-Nya daripada segala bentuk kemusnahan. Tunaikanlah haji dengan niat yang tulus suci mengharapkan reda Ilahi. Kepada pewaris harta, pemiliknya dan pencarinya: dahulukanlah hak Allah dalam setiap yang diperoleh. Jangan terpedaya dengan akal yang lemah dalam merancang harta pusaka. Kembalilah berdaulat kepada hukum Allah Yang Maha Adil dan Saksama. Jauhilah segala bentuk riba yang sentiasa memperdaya. Ingatlah, bukan banyaknya (kuantiti) yang dicari, tetapi keberkatan (kualiti) yang diperoleh itulah matlamat hakiki.

Nabi SAW mengakhiri khutbahnya dengan bersabda: “Kamu akan ditanya tentang diriku, maka apakah yang akan kamu katakan?” Mereka menjawab: “Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan, menunaikan (amanah) dan menasihati.”

Lalu Baginda SAW mengangkat jari telunjuknya ke langit, kemudian menunjukkannya ke arah orang ramai sambil bersabda sebanyak tiga kali: “Ya Allah, saksikanlah.”

Maka pada hari yang penuh iktibar dan sejarah ini, marilah sama-sama kita menyaksikan dengan syahadah yang pasti, agar sekembalinya kita dari permukiman haji kali ini, kita kembali merencana perubahan dalam merealisasikan maksud mabrurnya haji yang ditunaikan.

Tanda Haji Mabrur

Al-Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa antara tanda haji mabrur (yang diterima) ialah, setelah selesai mengerjakan haji dan kembali ke tempatnya, dia menunjukkan perubahan sikap yang lebih baik daripada sebelumnya dan tidak mengulangi perbuatan maksiat. Al-Hasan al-Basri pula berkata: haji mabrur ialah dia pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan cenderung kepada akhirat. Dalam erti kata lain, amalan akhirat bertambah baik dan perlakuan harian tidak lagi disertai dosa.

Pada hari ini syaitan amat kecewa kerana turunnya rahmat Allah yang begitu banyak, di mana dosa-dosa diampunkan. Hari ini juga hari yang paling banyak Allah membebaskan hamba-Nya daripada neraka, sebagaimana sabda Nabi SAW: “Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan hamba daripada neraka berbanding hari Arafah.” (Sahih Muslim, no. 1348)

Justeru, marilah kita bermunajat kepada Allah agar kita tergolong dalam kalangan mereka yang dibebaskan daripada api neraka. Biarkan syaitan terus kecewa melihat perubahan demi perubahan yang kita lakukan, kesan daripada ibadah haji yang diterima Allah.

معاشر الحجاج ضيوف الرحمن رحمكم الله

Wahai hati-hati yang mempunyai iman! Berlarilah memeluk keampunan daripada Tuhan. Jangan biarkan waktu mustajab doa di Arafah ini berlalu pergi tanpa dimanfaatkan. Mengadulah, pohonlah dan bermunajatlah kepada Allah semahu-mahunya dan alirkanlah air mata keinsafan yang datang daripada taubat yang tulus, daripada hati yang mahu kembali kepada fitrahnya, umpama anak yang baru dilahirkan oleh ibunya.

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ۝ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ۝ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ ۝ أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ

Maksudnya (Ali ‘Imran: 133–136): “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya pada masa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa melainkan Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya). Balasan bagi mereka ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan itulah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal.”

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِوَالِدَيَّ وَلِوَالِدِيْكُمْ وَلِمَشَايِخِنَا وَلِمَشَايِخِكُمْ وَلِجَمِيْعِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Sedutan daripada Khutbah Arafah tahun 1432H oleh Lembaga Tabung Haji. Tambahan dan huraian oleh: Abu Fatih al-Mubaraki, pembimbing jemaah haji Ash-Har Travel, Makkah al-Mukarramah. Diteliti oleh: Abu Anas Madani. Makkah al-Mukarramah, Hotel Ummu Hani, 7 Zulhijjah 1432H – 3 November 2011M.

Siri ini: Siri 1 · Siri 2 · Siri 3

Sebelum: Khutbah Musim Haji (Siri 1): Khutbah Arafah 1431H · Seterusnya: Khutbah Musim Haji (Siri 3): Sesudah Haji Tertunai

Bacaan berkaitan

Rujukan

15 sumber
  1. Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 85.

    Quran.com
  2. Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, no. 1218 (hadis panjang Jabir bin 'Abdullah r.a. tentang haji Nabi SAW).

    Sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hajj, no. 1741 (Abu Bakrah r.a.).

    Sunnah.com
  4. Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 32.

    Quran.com
  5. Al-Quran, Surah Fussilat (41): 34.

    Quran.com
  6. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 278–279.

    Quran.com
  7. Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 130.

    Quran.com
  8. Sunan Ibn Majah, no. 2274 (Abu Hurairah r.a.): «الربا سبعون حوبا أيسرها أن ينكح الرجل أمه»; disahihkan al-Albani (Sahih Ibn Majah, no. 1858).

    surahquran.com
  9. Sahih al-Bukhari, no. 1739 (Ibn 'Abbas r.a.); Sahih Muslim, no. 65 (Jarir r.a.).

    Sunnah.com
  10. Jami' at-Tirmizi, no. 616 (Abu Umamah r.a.); kata at-Tirmizi: hasan sahih.

    Sunnah.com
  11. Musnad Ahmad, no. 23489.

    ad-Durar as-Saniyyah
  12. Sunan Abi Dawud, no. 2870; Jami' at-Tirmizi, no. 2120–2121.

    Sunnah.com
  13. Sahih Muslim, no. 1348 ('Aisyah r.a.).

    Sunnah.com
  14. Sahih Muslim, no. 1218.

    Sunnah.com
  15. Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 133–136.

    Quran.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Khutbah Khutbah: Pengajaran Daripada Peristiwa Hijrah Rasulullah ﷺ 23 Jun 2026 Khutbah Tuntutan Mencintai Rasulullah S.A.W & Menghidupkan Sunnah-Nya 7 Sep 2025 Khutbah Tanggungjawab Mengisi & Mempertahankan Kemerdekaan Negara Malaysia 1 Sep 2025 Khutbah Khutbah Musim Haji (Siri 3): Sesudah Haji Tertunai 14 Nov 2011