Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Hukum Berselawat dan Berzikir dengan Gendang, Muzik dan Tarian

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 25 Januari 2013 · 10 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Pendahuluan

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وأصحابه، والتابعين لهم على الهدى والإسلام إلى يوم الدين، أما بعد

Poster Dar Taibah: Hukum bergendang dalam masjid, fatwa Imam as-Suyuti
Fatwa Imam as-Suyuti tentang bergendang dalam masjid (poster Dar Taibah). Terjemahan ayat an-Nur: 36 yang tepat dinyatakan dalam teks di bawah.

Dalam usaha kita mencari ilmu untuk beribadah menurut apa yang diajar oleh Nabi SAW, masih ramai yang keliru dalam memahami kaedah sebenar sebagai panduan beribadah. Maka lahirlah begitu banyak perselisihan dalam bab ini, sama ada perselisihan dengan golongan ahl al-ahwa’ (golongan yang mengikut hawa nafsu dan mengada-adakan bidaah dalam urusan agama) yang memang tersasar daripada manhaj as-Sunnah, mahupun perselisihan sesama golongan yang berfahaman atau bermanhaj as-Sunnah.

Perbincangan di sini difokuskan kepada isu yang menjadi persoalan dalam masyarakat, apabila ada ahli ilmu atau pencinta ilmu dalam kalangan ahli ibadat dan orang masjid yang melakukannya.

Kita sedar dan faham bahawa perkara yang dibincangkan ini dikatakan perkara khilaf yang menjadi perbezaan pandangan para ulama dahulu dan sekarang. Namun untuk menjelaskan isu ini, eloklah kita merujuk pandangan imam yang besar dan pandangan ulama dalam kalangan pendukung mazhab Syafie yang dekat dengan jiwa kita.

Selawat diiringi muzik

Membaca selawat sambil diiringi rebana, gendang atau seumpamanya (alat muzik).

Perbuatan ini sama seperti membaca qasidah atau syair yang dinyanyikan dan diiringi pukulan kayu, rebana atau seumpamanya, bahkan lebih teruk lagi sambil menggoyang-goyangkan badan, berpusing-pusing dan menari-nari. Ia disebut dengan istilah as-sama‘ atau taghbir (sejenis syair berisi anjuran supaya zuhud terhadap dunia yang dinyanyikan, sementara sebahagian hadirin memukul-mukul kayu pada bantal, kulit atau sebagainya mengikut irama lagunya).

Pandangan ulama Ahli Sunnah

1) Imam asy-Syafie (wafat 204H)

Imam asy-Syafie berkata:

خلفت ببغداد شيئاً أحدثته الزنادقة يسمونه التغبير يصدون به الناس عن القرآن

“Aku tinggalkan di Baghdad (Iraq) sesuatu yang diada-adakan oleh golongan zanadiqah (orang-orang zindiq yang menyimpang), yang mereka namakan taghbir; dengannya mereka memalingkan manusia daripada al-Quran.” [Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi dalam Talbis Iblis; dinukil juga oleh Ibn Taimiyyah dalam Majmu‘ al-Fatawa, 11/569.]

Petikan kata-kata Imam asy-Syafie tentang taghbir daripada Talbis Iblis dan Majmu' al-Fatawa
Mazhab Imam asy-Syafie dalam hal qasidah dan nasyid (Talbis Iblis, hlm. 205; Majmu‘ al-Fatawa, 11/569).

Ulama menjelaskan perkataan Imam asy-Syafie tersebut dengan berkata:

وما ذكره الشافعي - رضي الله عنه - من أنه من إحداث الزنادقة - فهو كلام إمام خبير بأصول الإسلام؛ فإن هذا السماع لم يرغب فيه ويدعو إليه في الأصل إلا من هو متهم بالزندقة ... كما ذكر أبو عبد الرحمن السلمي في مسألة السماع ...

“Apa yang disebutkan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah (bahawa perbuatan tersebut ciptaan golongan zindiq) ialah kata-kata seorang imam yang pakar tentang usul Islam. Kerana pada asalnya, tidak ada yang menggalakkan dan menyeru kepada sama‘ (nyanyian ibadat) ini melainkan orang yang dituduh zindiq … sebagaimana disebut oleh Abu ‘Abd ar-Rahman as-Sulami dalam Mas’alah as-Sama‘ daripada Ibn ar-Rawandi.” [Ibn Taimiyyah, Majmu‘ al-Fatawa, 11/570]

Dalam kitabnya al-Umm, Imam asy-Syafie rahimahullah menegaskan lagi:

(قَالَ الشَّافِعِيُّ - رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى -): "فِي الرَّجُلِ يُغَنِّي فَيَتَّخِذُ الْغِنَاءَ صِنَاعَتَهُ يُؤْتَى عَلَيْهِ وَيَأْتِي لَهُ، وَيَكُونُ مَنْسُوبًا إلَيْهِ مَشْهُورًا بِهِ مَعْرُوفًا، وَالْمَرْأَةُ، لَا تَجُوزُ شَهَادَةُ وَاحِدٍ مِنْهُمَا؛ وَذَلِكَ أَنَّهُ مِنْ اللَّهْوِ الْمَكْرُوهِ الَّذِي يُشْبِهُ الْبَاطِلَ، وَأَنَّ مَنْ صَنَعَ هَذَا كَانَ مَنْسُوبًا إلَى السَّفَهِ وَسُقَاطَةِ الْمُرُوءَةِ، وَمَنْ رَضِيَ بِهَذَا لِنَفْسِهِ كَانَ مُسْتَخِفًّا، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ مُحَرَّمًا بَيِّنَ التَّحْرِيمِ ..." [الأم للشافعي (6/ 226)]

“Tentang lelaki yang menyanyi dan menjadikan nyanyian sebagai pekerjaannya, dia didatangi (untuk menyanyi) dan dia pergi (menyanyi), sehingga dia dikenali dan masyhur dengannya, demikian juga wanita (yang seperti itu): tidak diterima persaksian kedua-duanya. Ini kerana nyanyian termasuk hiburan yang dibenci yang menyerupai kebatilan. Sesiapa yang melakukan perkara ini dinisbahkan kepada kebodohan dan kejatuhan maruah dan sesiapa yang meredai perkara ini untuk dirinya dianggap meremehkan (maruahnya), walaupun ia bukan perkara yang haram dengan pengharaman yang jelas …” [Asy-Syafie, al-Umm, 6/226]

Bagi mazhab asy-Syafie sendiri dinyatakan bahawa: “Diharamkan menggunakan dan mendengar alat-alat muzik yang menjadi syiar peminum arak seperti tanbur, ‘ud (gambus), sanj (dua piring tembaga yang dilagakan untuk menghasilkan bunyi) dan serunai Iraq. Diharamkan juga memukul kubah (gendang panjang yang ramping di bahagian tengahnya). Dibolehkan duff (rebana/kompang) untuk majlis perkahwinan, berkhatan dan seumpamanya. Nyanyian tanpa alat muzik hukumnya makruh dan jika diiringi alat muzik yang haram hukumnya haram.” [Lihat perbahasannya dalam Minhaj ath-Thalibin dan syarahnya Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfazh al-Minhaj, Kitab asy-Syahadat, karya al-Khatib asy-Syarbini.]

2) Imam Ahmad

Apabila ditanya tentang taghbir, beliau menjawab: “Bidaah.” [Riwayat al-Khallal. Dinukil daripada kitab Tahrim Alat ath-Tharb, hlm. 163.]

3) Al-Qadhi Abu ath-Thayyib ath-Thabari (wafat 450H)

Seorang tokoh ulama Syafie, beliau menyatakan: “Golongan yang menyanyi untuk ibadat ini telah menyalahi jemaah Muslimin, kerana mereka menjadikan nyanyian sebagai agama dan ketaatan dan mengiklankannya di masjid-masjid, masjid jamek dan semua tempat yang mulia.” [Mas’alah as-Sama‘, Ibn al-Qayyim]

4) Imam ath-Thurthusyi (wafat 520H)

Tokoh ulama Maliki dari Thurthusyah (Tortosa), Andalus. Beliau pernah ditanya tentang satu kelompok di suatu tempat yang membaca al-Quran, lalu seorang daripada mereka menyanyikan syair, kemudian mereka menari dan bergoyang. Mereka juga memukul rebana dan meniup seruling. Adakah menghadiri majlis mereka halal atau tidak?

Beliau menjawab: “Jalan mereka itu batil dan sesat. Islam itu hanyalah kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya. Adapun menari dan berpura-pura menzahirkan cinta (kepada Allah), maka yang mula-mula mengada-adakannya ialah pengikut Samiri (pada zaman Nabi Musa), iaitu ketika Samiri membuatkan untuk mereka patung anak lembu yang bersuara, lalu mereka datang menari di sekelilingnya dan berpura-pura menzahirkan cinta. Tarian itu agama orang kafir dan para penyembah anak lembu.

Adapun majlis Rasulullah SAW dan para sahabatnya penuh ketenangan, seolah-olah di atas kepala mereka ada burung yang hinggap. Maka seharusnya pemerintah dan wakil-wakilnya melarang mereka daripada hadir ke masjid-masjid dan tempat lainnya (untuk menyanyi dan menari). Bagi orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak halal menghadirinya dan tidak halal membantu mereka melakukan kebatilan. Inilah jalan yang ditempuh oleh (Imam) Malik, asy-Syafie, Abu Hanifah, Ahmad dan imam-imam kaum Muslimin yang lain.” [Tafsir al-Qurthubi, 11/238. Lihat kitab Tahrim Alat ath-Tharb, hlm. 168–169.]

5) Imam al-Hafiz Ibn as-Salah (wafat 643H)

Imam terkenal, penulis kitab Muqaddimah ‘Ulum al-Hadis. Beliau juga ditanya tentang orang-orang yang menghalalkan nyanyian dengan rebana dan seruling, beserta tarian dan tepukan tangan. Mereka menganggapnya halal dan qurbah (perkara yang mendekatkan diri kepada Allah), bahkan (kata mereka) ibadat yang paling utama.

فتاوى ابن الصلاح (2/ 499): مَسْأَلَة أَقوام يَقُولُونَ إِن سَماع الْغناء بالدف ...

Kesimpulan jawapan beliau: “Mereka telah berdusta atas nama Allah Ta‘ala. Dengan pendapat tersebut, mereka menyamai golongan batiniyyah yang mulhid (menyimpang). Mereka juga menyalahi ijmak dan sesiapa yang menyalahi ijmak terkena ancaman firman Allah:

{وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا}

{Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kepadanya petunjuk dan dia mengikut jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan dia bebas melakukan kesesatan yang dipilihnya dan Kami masukkan dia ke dalam neraka Jahanam; dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.} [An-Nisa’: 115]” [Fatawa Ibn as-Salah, 2/499. Lihat kitab Tahrim Alat ath-Tharb, hlm. 170.]

6) Syeikh al-Islam Ahmad bin ‘Abd al-Halim Ibn Taimiyyah

Beliau rahimahullah berkata: “Telah diketahui secara pasti daripada agama Islam bahawa Nabi SAW tidak mensyariatkan kepada orang-orang soleh dan ahli ibadat daripada umat Baginda agar mereka berkumpul dan mendengar bait-bait syair yang dilagukan dengan tepukan tangan, pukulan kayu atau rebana. Sebagaimana Baginda tidak membenarkan sesiapa pun untuk tidak mengikut Baginda atau tidak mengikut apa yang ada dalam al-Kitab dan al-Hikmah (as-Sunnah), sama ada dalam perkara batin atau zahir untuk orang awam atau orang tertentu.” [Majmu‘ al-Fatawa, 11/565. Dinukil daripada kitab Tahrim Alat ath-Tharb, hlm. 165.]

7) Fatwa Imam as-Suyuti rahimahullah (wafat 911H)

"ومن ذلك الرقص، والغناء في المساجد، وضرب الدف أو الرباب، أو غير ذلك من آلات الطرب. فمن فعل ذلك في المسجد، فهو مبتدع، ضال، مستحق للطرد والضرب؛ لأنه استخف بما أمر الله بتعظيمه، قال الله تعالى: (في بيوت أذن الله أن ترفع " أي تعظم " ويذكر فيها اسمه)، أي يتلى فيها كتابه. وبيوت الله هي المساجد؛ وقد أمر الله بتعظيمها، وصيانتها عن الأقذار، والأوساخ، والصبيان، والمخاط، والثوم، والبصل، وإنشاد الشعر فيها، والغناء والرقص؛ فمن غنى فيها أو رقص فهو مبتدع، ضال مضل، مستحق للعقوبة". [الأمر بالاتباع والنهي عن الابتداع، ص 30]

“Termasuk (bidaah) ialah menari dan menyanyi di dalam masjid, memukul rebana atau rebab (sejenis alat muzik bertali seperti biola) atau alat-alat muzik yang lain. Maka sesiapa yang melakukannya di dalam masjid, dia seorang mubtadi‘ (pelaku bidaah) yang sesat, berhak dihalau dan dipukul, kerana dia meremehkan apa yang Allah perintahkan supaya dimuliakan. Allah Ta‘ala berfirman: ‘(Cahaya itu) di rumah-rumah yang Allah izinkan supaya ia diangkat (dimuliakan) dan disebut nama-Nya di dalamnya’ [An-Nur: 36], iaitu dibacakan kitab-Nya di dalamnya.

Rumah-rumah Allah ialah masjid-masjid dan Allah Ta‘ala telah memerintahkan supaya ia dimuliakan dan dipelihara daripada kekotoran, najis, kanak-kanak (yang mengotorkan masjid), hingus, bawang putih dan bawang merah (dimakan sebelum ke masjid), mendendangkan syair, nyanyian dan tarian di dalamnya. Maka sesiapa yang menyanyi atau menari di dalamnya, dia pelaku bidaah, sesat lagi menyesatkan dan berhak dikenakan hukuman.” [Jalaluddin as-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba‘ wa an-Nahy ‘an al-Ibtida‘, hlm. 30]

Fatwa di Malaysia: Majlis Fatwa Negeri Melaka

Sekumpulan lelaki memukul gendang di dalam sebuah masjid

Fatwa Larangan Berzikir Memukul Gendang atau Peralatan Muzik Lain di Dalam Masjid (bidang: ibadat)

Tarikh keputusan: 29 Disember 2010.

Keputusan:

  1. Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alat muzik di dalam masjid atau surau kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam;
  2. Bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa-apa jua jenis alat muzik lain bagi menjalankan aktiviti yang dibenarkan oleh syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid, surau atau madrasah dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan syariat dan akhlak Islam.
  • Status pewartaan: Diwartakan
  • Tarikh diwartakan: 5 Januari 2012
  • Nombor rujukan: JMM/BFB(S)/351/255/02/10; PUNM. 700-02/37 Jld. 2
  • Akta/Enakmen: Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002
  • Negeri: Melaka
  • Sumber: Portal Rasmi Fatwa Malaysia (e-fatwa.gov.my)
Kulit buku Ahkam al-Masajid fi asy-Syari'ah al-Islamiyyah
Rujukan berkaitan: Ahkam al-Masajid fi asy-Syari‘ah al-Islamiyyah, Dr. Ibrahim bin Salih al-Khudairi.

Penutup

Demikianlah penjelasan ringkas tentang masalah ini yang kami nukilkan sebagai maklumat dan penjelasan kepada masyarakat. Lakukanlah amalan yang jelas dalil keharusannya. Mencari yang benar dan tidak ada keraguan dalam beribadat itulah yang selamat, sebagaimana kaedah yang diputuskan oleh para ulama: الخروج من الخلاف مستحب

“Keluar daripada khilaf adalah disukai (mustahab).”

Perintah Nabi SAW:

عن الحسن بن علي بن أبي طالب سبط رسول الله وريحانته رضي الله عنه قال: حفظت من رسول الله صلى الله عليه وسلم: (دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ) رواه الترمذي وقال: حديث حسن صحيح.

“Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu.” [Riwayat at-Tirmizi, no. 2518; kata at-Tirmizi: hasan sahih.]

Perbuatan ini ialah khilaf antara haram dengan harus, bukan antara yang afdal dengan yang kurang baik. Alhamdulillah, jalan ibadat kepada Allah yang sahih itu banyak dan luas; mengapa mencari jalan yang kabur dan tidak jelas? Uslub berdakwah dengan cara yang selamat masih banyak; tidak perlu menggunakan jalan yang diragui keharusan amalnya dan juga kesan kejayaannya.

Nota khilaf (penyunting): Dalam mazhab Syafie sendiri, larangan alat muzik tidak meliputi semua jenis gendang: yang diharamkan secara khusus ialah kubah, manakala duff (rebana) diharuskan untuk perkahwinan, berkhatan dan majlis kegembiraan lain menurut pendapat yang paling sahih (Minhaj ath-Thalibin, Kitab asy-Syahadat). Sebahagian ulama semasa turut mengharuskan rebana dalam nasyid di luar masjid. Fatwa Negeri Melaka di atas juga membezakan antara di dalam masjid (dilarang) dengan aktiviti yang dibenarkan syarak di luar bangunan masjid. Pendirian penulis ialah meninggalkan amalan yang diperselisihkan ini dalam ibadat, khususnya selawat dan zikir.

Dalam ibadat, niat yang baik sahaja tidak memadai tanpa mengikut syariat atau sunnah. Niat yang baik mestilah diiringi cara yang betul. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

{Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.} [Al-Mulk: 2]

Makna “lebih baik amalnya” (أحسن عملا) ialah siapa yang amalannya paling ikhlas dan paling betul (أخلصه وأصوبه), sebagaimana tafsiran al-Fudhail bin ‘Iyadh. Ini kerana sesuatu amalan, jika ikhlas tetapi tidak betul, ia tidak diterima. Begitu juga jika betul tetapi tidak ikhlas, ia juga tidak diterima. Betul di sini merujuk kepada apa yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Insan tanpa panduan al-Quran dan as-Sunnah akan tersesat dalam menentukan cara beribadat kepada Tuhan. Inilah yang berlaku dalam agama-agama palsu. Mereka mencipta cara ibadat menurut akal fikiran mereka tanpa tunjuk ajar wahyu. Mereka tersesat jalan kerana mendakwa itulah kehendak Tuhan dalam ibadat tanpa bukti, sekalipun mungkin mereka ikhlas. Keikhlasan tanpa diikuti cara yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah tidak mendapat tempat.

Maka ibadat mestilah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW, berdalilkan firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

{Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”} [Ali ‘Imran: 31]

Ibadat yang tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh Nabi SAW, sekalipun niat pengamalnya baik, adalah tertolak. Firman Allah SWT:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِيناً فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

{Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi.} [Ali ‘Imran: 85]

Berkata al-Imam Ibn Kathir rahimahullah (wafat 774H) ketika menafsirkan ayat di atas: “Sesiapa yang menempuh jalan selain apa yang disyariatkan oleh Allah, maka sekali-kali tidak akan diterima daripadanya.” [Tafsir Ibn Kathir]

Dalam hal ini Dr. Yusuf al-Qaradawi juga mengingatkan:

“Hendaklah seorang Muslim dalam ibadatnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak memadai sekadar bertujuan mencari keredaan Allah semata-mata, bahkan ibadat itu mesti dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah dengan kaifiat (tatacara) yang diredai-Nya. Janganlah ibadat seorang Muslim itu apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan.” [Al-Qaradawi, al-‘Ibadah fi al-Islam]

Semoga kita mendapat bimbingan dan rahmat dalam beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah. Alhamdulillah Rabbil ‘alamin.

وصلى الله وسلم على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Sumber: al-Maktabah asy-Syamilah; almanhaj.or.id, “Bagaimana Cara Selawat yang Sesuai Sunnah dan Bolehkah Selawat Diiringi dengan Rebana?”

Disusun oleh al-Faqir ilallah, Abu Anas Madani. 13 Rabiulawal 1434H – 25 Januari 2013.

Bacaan berkaitan

Rujukan

14 sumber
  1. Ibn Taimiyyah, Majmu' al-Fatawa, 11/569–570 dan 11/565.

  2. Ibn al-Jauzi, Talbis Iblis, hlm. 205.

  3. Asy-Syafie, al-Umm, 6/226 (Kitab al-Aqdhiyah, persaksian penyanyi).

  4. An-Nawawi, Minhaj ath-Thalibin dan al-Khatib asy-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, Kitab asy-Syahadat.

    fiqh.islamonline.net
  5. Al-Qurthubi, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 11/237–238 (tafsiran Surah Taha, kisah Samiri).

  6. Fatawa Ibn as-Salah, 2/499.

  7. Al-Quran, Surah an-Nisa' (4): 115.

    Quran.com
  8. As-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba' wa an-Nahy 'an al-Ibtida', hlm. 30.

  9. Al-Quran, Surah an-Nur (24): 36.

    Quran.com
  10. Majlis Fatwa Negeri Melaka: Fatwa Larangan Berzikir Memukul Gendang atau Peralatan Muzik Lain di Dalam Masjid (keputusan 29 Dis 2010, diwartakan 5 Jan 2012).

    e-fatwa.gov.my
  11. Sunan at-Tirmizi, no. 2518 (riwayat al-Hasan bin 'Ali r.a.); hasan sahih.

    Sunnah.com
  12. Al-Quran, Surah al-Mulk (67): 2.

    Quran.com
  13. Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 31.

    Quran.com
  14. Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 85.

    Quran.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026