Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Fiqh & Ibadah

Hukum Stoma Menurut Islam

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 13 Oktober 2009 · 3 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Kaunseling stoma dari aspek agama

Pada hari Selasa, 13 Oktober 2009, Jabatan Bedah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, telah menganjurkan kursus Penjagaan Stoma. Abu Anas diberi tajuk “Kaunseling Stoma dari Aspek Agama” untuk disampaikan kepada paramedik (kakitangan) yang terlibat dengan stoma dan pembedahan.

Apakah stoma?

Stoma ialah lubang buatan yang dibuat oleh doktor apabila penyakit menghalang najis keluar dari jalan asalnya. Doktor membuat jalan lain untuk mengeluarkan najis dengan menebuk lubang pada bahagian badan yang sesuai menurut pendapat doktor, seperti di perut, leher dan lain-lain.

Penghargaan

Terima kasih kepada saudara Dr. Zaidi dan Dr. Ahmad Shanwani, pakar bedah di HRPZ II, yang memberi peluang kepada ana untuk mengenali stoma secara dekat dan berkongsi maklumat tentang hukumnya yang dibincangkan oleh para ulama.

Penerangan

Sewaktu menyediakan bahan yang akan disampaikan, ana teringat satu tajuk yang telah dibahaskan dalam tesis (risalah) MA ana, iaitu tahqiq kitab al-Mathlab al-‘Ali karangan Ibn ar-Rif‘ah. Syeikh (Ibn ar-Rif‘ah) membawa teks kitab al-Wasith karangan Imam al-Ghazali yang disyarahnya.

Imam al-Ghazali (wafat 505H) telah membahaskan tajuk ini (stoma) dalam al-Wasith:

فرع: لو انفتحت ثقبة تحت المعدة وانسد المسلك المعتاد، وخرجت منها النجاسة المعتادة انتقض الطهر؛ لأنه في معنى المنصوص. ولو كان السبيل المعتاد منفتحا، أو كان السبيل منسداً، ولكن الثقبة فوق المعدة، فقولان. منشأهما التردد في أنه [هل هو] في معناه أم لا؟

“Sekiranya terbuka satu lubang di bawah ma‘idah (perut; menurut ulama Syafie maksudnya di bawah pusat), sedangkan jalan biasa tersumbat, lalu keluar najis yang biasa melalui lubang itu, maka batal wuduk, kerana ia sama makna dengan yang disebut dalam nas.

Sekiranya jalan biasa masih terbuka atau jalan biasa tersumbat tetapi lubang itu di atas ma‘idah (pusat), maka ada dua pandangan ulama, berpunca daripada keraguan sama ada ia sama makna dengan yang disebut dalam nas atau tidak.”

  • Pertama: tidak batal wuduk kerana dikiaskan kepada muntah.
  • Kedua: batal memandangkan benda yang keluar itu najis (yang biasa keluar dari jalan hadas).

Muzakarah fatwa

Berhubung isu ini, ulama kita juga tidak ketinggalan membincangkan isu stoma. Pada 6–8 September 2007, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-79 telah membuat keputusan:

[Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit yang Menggunakan Beg Kolostomi]

  1. Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah darurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu mereka tidak perlu mengosongkan atau membersihkan beg itu setiap kali berwuduk atau menunaikan solat.
  2. Wuduk yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadat termasuk menunaikan solat fardu sehingga wuduk tersebut terbatal.

Hujah-hujah

Pertama: Masalah kolostomi berbeza dengan masalah salas al-baul (سلس البول, kencing berterusan) kerana kebersihannya lebih terjamin. Oleh itu dari sudut hukum, ia tidak boleh dikiaskan kepada mereka yang mengalami salas al-baul.

Kedua: Memandangkan pengeluaran najis bagi mereka yang mengalami masalah kolostomi tidak dapat dikawal, mereka dianggap berada dalam keadaan darurat yang tidak terikat dengan taklif syarak dalam beberapa aspek ibadat. Mereka juga tidak dianggap menanggung najis dan boleh melaksanakan semua ibadat.

Ketiga: Pesakit kolostomi dibolehkan mengambil sekali wuduk untuk semua ibadat yang hendak dilaksanakan selagi wuduk tersebut tidak terbatal. Tetapi sekiranya tiada kesukaran bagi mereka untuk memperbaharui wuduk, perbuatan itu disunatkan.

Keempat: Dalam keadaan darurat seperti masalah yang dihadapi oleh pesakit kolostomi, mereka tidak terikat dengan mana-mana mazhab. Kaedah terbaik perlu diputuskan setelah mempertimbangkan semua pandangan mazhab supaya tidak menyusahkan pesakit untuk melaksanakan ibadat.

[Sumber: Kertas kerja yang dibentangkan oleh Yang Berbahagia Dato’ Hj. Wan Mohamad (Ketua Pengarah JAKIM) dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-25, musim haji 1430H, di Persada Johor, 3–5 April 2009.]

Penutup

Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga dilindungi Allah SWT daripada segala bala dan penyakit.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada lenyapnya nikmat-Mu, berubahnya kesihatan (afiat) yang Engkau kurniakan, datangnya bencana-Mu secara tiba-tiba dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.” [Riwayat Muslim, no. 2739, daripada ‘Abdullah bin ‘Umar]

Bacaan berkaitan

Rujukan

3 sumber
  1. Al-Ghazali, al-Wasith fi al-Madzhab, Kitab ath-Thaharah, Bab al-ahdath (far' lubang di bawah/atas al-ma'idah); disyarah oleh Ibn ar-Rif'ah dalam al-Mathlab al-'Ali.

  2. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-79, 6–8 September 2007: Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit yang Menggunakan Beg Kolostomi.

    e-fatwa.gov.my
  3. Sahih Muslim, Kitab ar-Riqaq, no. 2739 (riwayat 'Abdullah bin 'Umar r.a.).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Fiqh & Ibadah Galakan Puasa Sunat 6 Hari Syawal: Ganjaran Seperti Puasa Sepanjang Tahun 6 Apr 2026 Fiqh & Ibadah Nasihat Kepada Imam Baca Qunut Nazilah Agar Betulkan Bacaan 20 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Solat Sunat Gerhana: Kaifiat, Hikmah & Nasihat Khutbah 3 Mac 2026 Fiqh & Ibadah Jangan Sekali-Kali Gugurkan Azan 25 Feb 2026