Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani
Artikel

Jangan Biarkan Anak Berkeliaran Waktu Senja Di Luar Rumah

Dato’ Dr. Abu Anas Madani27 Oktober 2025 · 2 min bacaan
Kongsi WhatsApp
Saiz tulisan

Adab Ketika Waktu Senja

Rasulullah ﷺ mengajar kita satu adab penting dalam kehidupan seharian khususnya bagi para ibu bapa terhadap anak-anak kecil. Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari, Baginda bersabda:

“Apabila malam telah datang (menjelang senja), tahanlah anak-anak kamu (di dalam rumah), kerana pada waktu itu syaitan bertebaran.”
(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini memberi peringatan bahawa waktu senja, ketika matahari mulai terbenam dan langit berubah warna adalah saat makhluk halus dan syaitan mula berkeliaran. Mereka mencari ruang untuk menggoda dan mengganggu manusia, terutama kanak-kanak yang belum mengerti batas.

Mengapa Perlu Tahan Anak Di Rumah?

Nabi ﷺ mengingatkan bahawa senja bukan waktu bermain, tetapi waktu berlindung dan bersiap untuk ibadah malam. Pada waktu ini, suasana berubah:

  • Cahaya semakin gelap,
  • Angin mulai bertiup kencang,
  • Aktiviti makhluk ghaib meningkat.

Maka sebab itu anak-anak perlu diajar adab waktu Maghrib bukan kerana tahyul, tapi kerana hikmah dan disiplin syarak.

Amalan Sunnah Ketika Masuk Waktu Maghrib

Berikut beberapa amalan yang disarankan oleh para ulama berdasarkan hadis:

  1. Panggil anak-anak masuk ke rumah sebelum azan Maghrib.
  2. Mandikan mereka, pakai pakaian bersih dan sopan.
  3. Hidupkan suasana rumah dengan zikir atau bacaan al-Quran.
  4. Solat berjemaah Maghrib, ajar anak duduk bersama keluarga.
  5. Elakkan keluar tanpa keperluan, terutama di kawasan gelap, sungai, atau hutan.

Realiti Hari Ini

Malangnya, zaman sekarang terbalik. Waktu senja itulah ramai keluar “healing”, beriadah atau lepak tepi jalan.

Sedangkan sunnah mengajar kita, senja adalah waktu mendidik jiwa dan menenangkan rumah dengan ibadah.

Jangan biarkan anak-anak berlari di jalan, bermain di taman atau berbasikal sendirian ketika azan Maghrib berkumandang.

Kesimpulan

Hadis ini bukan sekadar adab, tapi benteng perlindungan rohani. Dengan memelihara waktu Maghrib, kita:

  • Menghidupkan sunnah,
  • Mendidik anak dengan disiplin masa,
  • Menjaga mereka daripada gangguan yang tidak kelihatan.

“Didiklah anakmu dengan adab sebelum ilmu, dengan disiplin sebelum kebebasan.”

Semoga rumah kita sentiasa dilindungi oleh malaikat, bukan dimasuki syaitan kerana kelalaian kita terhadap waktu.

Rujukan

  1. Sahih al-Bukhari, Kitab Bad' al-Khalq, no. 3304 (daripada Jabir bin 'Abdillah RA). sunnah.com ↗
  2. Sahih Muslim, Kitab al-Asyribah, no. 2013a (daripada Jabir RA). sunnah.com ↗

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Artikel Definisi Jiran Tetangga & Kewajipan Berjiran Dalam Islam 21 Jun 2026 Artikel Kenali Tufaili “Lalat Hijau” Yang Datang Ke Kenduri Tanpa Jemputan 10 Jun 2026 Artikel Tidak Tepat Istilah: “Manusia Khalifah Allah Di Muka Bumi” 14 Apr 2026