Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Keluarga

Wanita dan Lailatul Qadar (10 Akhir Ramadhan)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 29 Julai 2013 · 9 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Ummu Anas Madani. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani.

Grafik malam berbulan dengan doa Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa‘fu ‘anni dalam tulisan Arab
Doa yang diajarkan Nabi SAW kepada ‘Aisyah RA untuk dibaca pada Lailatul Qadar: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku.” (HR at-Tirmizi; disahihkan oleh al-Albani)

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah yang telah menyampaikan kita kepada bulan Ramadan lalu memberi peluang untuk kita menambah amal kebajikan. Semoga buku amalan kita dipenuhi dengan pahala yang dikaut sepanjang Ramadan, insya-Allah. Selepas hari ke-20, kita memasuki sepuluh malam ketiga atau terakhir bulan Ramadan, hari-hari yang memiliki kelebihan dan kemuliaan yang khas berbanding hari-hari lainnya.

Antara nikmat dan hadiah Allah SWT kepada hamba-Nya, umat Islam akhir zaman ini, ialah dianugerahkan kepada kita satu malam yang mulia dan mempunyai banyak kelebihan, suatu keutamaan yang tidak terdapat pada malam-malam selainnya, iaitu malam Lailatul Qadar. Suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ۝ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ۝ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ ۝ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ ۝ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.” [al-Qadr: 1–5]

Persoalan

Bagaimanakah wanita Muslimah yang uzur kerana haid hendak mendapat Lailatul Qadar?

Jawapan

Ulama menjelaskan bahawa (pahala) amalan pada malam yang berkat itu lebih baik daripada pahala amalan yang dikerjakan selama 1,000 bulan yang lain. Seribu bulan itu sama dengan 83 tahun lebih. Itulah antara keutamaan malam yang mulia tersebut.

Rasulullah SAW pada sepuluh malam terakhir Ramadan meningkatkan amalan ibadah baginda dan berusaha untuk meraihnya. Baginda bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” [HR al-Bukhari no. 1901 dan Muslim no. 760]

Ummul Mukminin ‘Aisyah RA meriwayatkan tentang keadaan Nabi SAW pada sepuluh malam terakhir Ramadan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ، وَأَحْيَا لَيْلَهُ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ. متفق عليه

“Adalah Rasulullah SAW apabila memasuki sepuluh (malam) terakhir Ramadan, baginda mengikat kainnya (yakni bersungguh-sungguh meningkatkan ibadah), menghidupkan malam-malamnya dan membangunkan ahli keluarganya.” [Muttafaq ‘alaih]

Untuk penjelasan lanjut tentang Lailatul Qadar, dengarlah rakaman Tazkirah Jumaat Ramadan 1431H, Bahagian 3: Bab Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani.

Muslimat di Sepuluh Akhir Ramadan

Apa yang ingin dibincangkan dan menjadi persoalan utama di sini, ialah keluhan dan pertanyaan daripada kawan-kawan muslimat:

“Alamak! Esok dah 21 Ramadan, period saya baru mula… terlepaslah Lailatul Qadar tahun ni…”

“Saya dah tiga tahun tinggal puasa ‘cuti’ di akhir Ramadan, bila la nak dapat Lailatul Qadar?”

“Kalau kita ‘uzur’, apa ibadat yang boleh kita buat untuk mendapatkan Lailatul Qadar?”

Serta pelbagai lagi bentuk persoalan. Tetapi isu utamanya ialah: “Bagaimanakah cara wanita yang datang haid (cuti/uzur) beribadat dan berpeluang untuk turut meraih Lailatul Qadar?”

Ini bukan isu kecil, sehingga ada yang sanggup mengambil ubat penahan haid pada bulan Ramadan kerana takut rugi dan terlepas tawaran istimewa yang hanya datang setahun sekali ini.

Sebenarnya kita tidak perlu bertindak sejauh itu. Haid adalah satu tabiat semula jadi (nature) bagi kaum Hawa. Allah Yang Maha Adil, yang mencipta kita dan memberikan sifat itu kepada kita, pasti tidak akan membiarkan kita rugi dan terlepas tawaran yang begitu besar ini.

Orang yang berhadas besar seperti haid hanya tidak boleh melakukan ibadat puasa, solat dan membaca al-Quran (serta semua ibadat yang memerlukan wuduk). (Nota: Larangan membaca al-Quran bagi wanita haid ialah pendapat mazhab Syafie dan jumhur; mazhab Maliki dan sebahagian ulama seperti Ibnu Taimiyyah mengharuskannya membaca al-Quran tanpa menyentuh mushaf.)

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Bukankah wanita itu apabila haid dia tidak solat dan tidak berpuasa? Itulah kekurangan agamanya.” [HR al-Bukhari]

Walaupun Allah memberi kita ‘cuti’ daripada puasa dan solat, ia tidak bererti kita tidak boleh melakukan sebarang amalan atau ibadat yang boleh menambahkan pahala, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang segala amalan dilipatgandakan pahalanya.

Amalan yang Boleh Dilakukan

Banyak lagi amalan yang dicintai oleh Allah SWT serta ibadah sunat lain yang dianjurkan dan dapat dilakukan, antaranya:

Pertama: Menyediakan dan Memberi Iftar (Hidangan Berbuka)

Menyediakan makanan kepada orang yang berpuasa, sama ada ahli keluarga ataupun saudara-saudara seagama. Memberi iftar adalah amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW kerana mengandungi pahala yang besar dan kebaikan yang melimpah.

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

“Sesiapa yang memberi makan (hidangan berbuka) kepada orang yang berpuasa, baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa itu.” [HR at-Tirmizi, katanya: hasan sahih; juga Ibnu Majah dan Ahmad]

Jika tidak mampu dari segi kewangan, tolonglah ibu atau kakak di dapur menyediakan hidangan berbuka bagi keluarga. Juga sumbangkan tenaga di tempat-tempat yang menganjurkan jamuan berbuka puasa seperti di masjid atau surau berdekatan.

Kedua: Menyediakan Makanan Sahur

Menyediakan makanan sahur kepada ahli keluarga ataupun saudara-saudara Islam yang lain juga ibadat yang tidak kurang besar pahala dan faedahnya. Selain memberi makan kepada orang lain, ia juga memberi kita peluang untuk turut menghidupkan waktu sahur. Walaupun tidak dapat bersolat, masih banyak lagi ibadat lain yang dapat kita lakukan.

Sabda Rasulullah SAW:

Ertinya: “Tuhan kita turun ke langit dunia setiap malam ketika tinggal sepertiga malam yang akhir, lalu berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, Aku perkenankan doanya. Sesiapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkan dia.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya pada waktu malam ada satu saat, tidaklah seorang Muslim memohon kepada Allah sesuatu kebaikan dunia dan akhirat pada saat itu melainkan Allah memberikannya.” [HR Muslim]

Bagi kaum ibu yang memang bertugas bangun menyediakan juadah sahur serta mengejutkan keluarga, anak-anak dan suami, ambillah kesempatan itu untuk turut berdoa, beristighfar dan berzikir mengingati Allah.

Anak-anak gadis pun, bangunlah menolong ibu di dapur, lalu memberi peluang kepada mereka yang tidak ‘cuti’ untuk beribadat lebih lama, serta ambillah peluang waktu mustajab itu untuk turut berdoa dan berzikir, bukan hanya meneruskan tidur tanpa apa-apa input yang berfaedah! Bahkan ada yang siap berpesan: “Mak, malam ni tak payah kejut sahur, saya cuti!” Bukankah ini amat merugikan? Korbankanlah masa tidur untuk sepuluh malam terakhir yang entah bila lagi kita sempat melaluinya.

Ketiga: Menjauhi Larangan Agama

Kita hendaklah bijak memanfaatkan setiap detik bulan Ramadan. Walaupun sedang haid dan terhalang daripada berpuasa, kita masih mendapat pahala dengan berusaha menjauhi segala yang dilarang oleh agama dan menjaga lidah daripada kata-kata buruk seperti berdusta, mengumpat dan seumpamanya, bahkan sentiasa membasahinya dengan perkara yang berfaedah dan berpahala.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan zur (dusta dan palsu) dan beramal dengannya, maka Allah tidak berhajat kepada (puasanya) meninggalkan makan dan minumnya.” [HR al-Bukhari]

Janganlah kerana tidak berpuasa, kita bukan sahaja meninggalkan ibadat malah terus leka menonton TV, mendengar lagu-lagu yang tidak elok, melayari internet tanpa manfaat dan seumpamanya. Kita juga harus menjaga mata, telinga dan seluruh anggota yang lain daripada menjadi penyumbang dosa dan pengikis pahala pula!

Keempat: Banyakkan Berdoa dan Berzikir Sepanjang Hari

Berdoa pada bulan Ramadan sangat mustajab dan sangat digalakkan, maka manfaatkanlah waktu dengan sentiasa berdoa dan berzikir.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah suatu kaum duduk berzikir kepada Allah melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi oleh rahmat, diturunkan kepada mereka ketenangan dan Allah menyebut mereka di sisi (malaikat) yang berada di sisi-Nya.” [HR Muslim]

Walaupun tidak solat, kita boleh berdoa pada bila-bila masa sahaja, terutamanya pada waktu mustajab seperti selepas azan dan pada waktu sahur. Kerana itu, bangunlah pada waktu sahur walaupun ‘cuti’.

Kelima: Mengingatkan Ahli Keluarga Kepada Kebaikan

Ingatkanlah suami, anak atau saudara lelaki agar sentiasa solat berjemaah di masjid, juga solat-solat sunat terutamanya solat tarawih, solat sunat dhuha dan solat sunat qiamullail.

Juga berilah peluang kepada ibu, saudara atau kawan yang mempunyai anak kecil dan jarang berpeluang ke masjid untuk bersolat tarawih, dengan menawarkan diri menjaga anak mereka semasa waktu tarawih.

Rasulullah SAW bersabda:

“Dan sekiranya mereka mengetahui (pahala) yang ada pada solat Isyak dan Subuh, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya walaupun dengan merangkak.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

“Berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid dalam kegelapan (malam) dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat.” [HR at-Tirmizi dan Abu Daud]

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah hingga terbit matahari, kemudian solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala haji dan umrah, sempurna, sempurna, sempurna.” [HR at-Tirmizi; dinilai hasan oleh al-Albani]

“Hendaklah kamu mendirikan qiamullail, kerana ia adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu, jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan kamu, penghapus dosa-dosa dan pencegah daripada maksiat.” [HR at-Tirmizi; dinilai hasan oleh al-Albani] (Tambahan “dan penolak penyakit daripada badan” terdapat dalam riwayat lain yang sanadnya lemah.)

Keenam: Menyibukkan Diri Menuntut Ilmu yang Bermanfaat

Kita juga boleh menambah atau menyampaikan ilmu, sama ada dengan menghadiri kuliah, mendengar ceramah agama, membaca buku-buku ilmiah, mendengar bacaan al-Quran atau membaca tafsiran al-Quran dan sebagainya yang dapat menambahkan amal kebajikan dan manfaat diri.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkan baginya jalan menuju syurga.” [HR Muslim]

Ketujuh: Banyak Bersedekah dan Menderma

Tingkatkan amalan kebajikan seperti bersedekah, menderma dan seumpamanya.

Ibnu ‘Abbas RA berkata: “Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah dan baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadan… baginda SAW lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang bertiup.” [HR al-Bukhari]

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Nabi SAW:

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ

Maksudnya: “Peliharalah diri kamu daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar.” [HR al-Bukhari]

Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadan kerana mengikut jejak Rasulullah SAW dan kerana manusia ketika itu berhajat kepada bantuan untuk keperluan mereka, kerana mereka sibuk dengan puasa dan solat (ibadat) daripada pekerjaan masing-masing.”

Kaum wanita yang berkemampuan masih berpeluang menderma dan bersedekah pada waktu ini.

Kesimpulan

Sebenarnya terlalu banyak lagi kebaikan dan ibadat yang dapat kita lakukan; tinggal hendak atau tidak sahaja!

Dengan niat yang baik dan keikhlasan untuk beribadat, serta kesungguhan yang telah kita tunjukkan sejak awal Ramadan, iaitu melakukan segala ibadat sebaik mungkin ketika mampu dan boleh melakukannya, insya-Allah kita akan dapat mencapai pahala malam Lailatul Qadar dengan sepenuh dan sebanyak mungkin, sama seperti mereka yang tidak uzur (sama ada uzur syar‘i atau uzur tubuh badan).

Sebagaimana hadis ini:

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزَاةٍ فَقَالَ: إِنَّ أَقْوَامًا بِالْمَدِينَةِ خَلْفَنَا، مَا سَلَكْنَا شِعْبًا وَلَا وَادِيًا إِلَّا وَهُمْ مَعَنَا فِيهِ، حَبَسَهُمُ الْعُذْرُ. صحيح البخاري

Daripada Anas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika dalam satu peperangan (dalam riwayat lain: ketika pulang dari Perang Tabuk): “Sesungguhnya ada beberapa kaum di Madinah yang kita tinggalkan di belakang; tidaklah kita melalui satu lorong bukit atau lembah melainkan mereka bersama kita padanya. Mereka terhalang (daripada ikut serta) oleh keuzuran.” [HR al-Bukhari]

Mudah-mudahan memberi manfaat kepada semua, khususnya para muslimat di luar sana. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kita hidayah dan kekuatan untuk sentiasa istiqamah dalam ibadat dan keredaan-Nya. Amin.

Ukhtukum, Ummu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, 20 Ramadan 1434H.

Bacaan berkaitan

Rujukan

18 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Qadr (97): 1–5.

    Quran.com
  2. Sahih al-Bukhari, no. 1901; Sahih Muslim, no. 760 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, no. 2024; Sahih Muslim, no. 1174 (riwayat ‘Aisyah r.a.).

    Sunnah.com
  4. Sahih al-Bukhari, no. 304 (riwayat Abu Sa‘id al-Khudri r.a.).

    Sunnah.com
  5. Sunan at-Tirmizi, no. 807; Sunan Ibn Majah, no. 1746 (riwayat Zaid bin Khalid r.a.).

    Sunnah.com
  6. Sahih al-Bukhari, no. 1145; Sahih Muslim, no. 758.

    Sunnah.com
  7. Sahih Muslim, no. 757 (riwayat Jabir r.a.).

    Sunnah.com
  8. Sahih al-Bukhari, no. 1903 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  9. Sahih Muslim, no. 2700 (riwayat Abu Hurairah dan Abu Sa‘id r.a.).

    Sunnah.com
  10. Sahih al-Bukhari, no. 615; Sahih Muslim, no. 437.

    Sunnah.com
  11. Sunan at-Tirmizi, no. 223; Sunan Abi Daud, no. 561.

    Sunnah.com
  12. Sunan at-Tirmizi, no. 586 (riwayat Anas r.a.).

    Sunnah.com
  13. Sunan at-Tirmizi, no. 3549 (riwayat Abu Umamah dan Bilal r.a.).

    Sunnah.com
  14. Sahih Muslim, no. 2699 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  15. Sahih al-Bukhari, no. 6; Sahih Muslim, no. 2308 (riwayat Ibn ‘Abbas r.a.).

    Sunnah.com
  16. Sahih al-Bukhari, no. 1417; Sahih Muslim, no. 1016 (riwayat ‘Adi bin Hatim r.a.).

    Sunnah.com
  17. Sahih al-Bukhari, no. 2839 dan 4423 (riwayat Anas r.a.).

    Sunnah.com
  18. Sunan at-Tirmizi, no. 3513 (riwayat ‘Aisyah r.a.).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Keluarga Isteri Minta Cerai Tanpa Sebab Syarie Tidak Dapat Cium Bau Syurga 13 Nov 2025 Keluarga Jangan Biarkan Anak Berkeliaran Waktu Senja Di Luar Rumah 27 Okt 2025 Keluarga Beberapa Hukum Berkaitan Kanak-Kanak 16 Jul 2010 Keluarga Sunnah Perkahwinan 4 Feb 2009