Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Keluarga

Sunnah Perkahwinan

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 4 Februari 2009 · 7 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Pendahuluan

Perkahwinan adalah suatu sebutan yang manis di kalangan para syabab dan akhawat, kerana ia adalah sunnatul hayah (ketetapan hidup) yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada anak-anak Adam dan Hawa. Ia menjadi impian setiap pemuda dan pemudi, bahkan mereka yang telah merasai nikmat perkahwinan juga tidak ketinggalan. Tetapi mengapa kita berasa takut dan gerun apabila berbincang tentang perkahwinan atau az-zawaj secara serius, sama ada dengan keluarga atau kawan? Bahkan kita cuba berdalih dengan pelbagai alasan yang dibuat-buat untuk mengelakkan diri daripada alam perkahwinan, sunnah yang diajar oleh penghulu anak Adam 'alaihis shalatu was salam, sedangkan kitalah orang yang paling lantang apabila berbual dengan kawan-kawan tentang perkahwinan.

Penerangan

Para pelajar, sama ada siswa atau siswi dan golongan muda-mudi yang hidup dalam masyarakat yang terbuka serta terdedah kepada maksiat yang boleh didapati dengan mudah – kecuali mereka yang dipelihara oleh Allah – adalah golongan yang suka beralasan dan berdalih untuk melarikan diri daripada sunnah ini.

Antara alasan atau hujah yang mereka berikan ialah takut mengganggu pelajaran, mahu berseronok dahulu semasa muda, tidak mahu menyusahkan diri dengan tanggungjawab dan mas'uliyyah rumah tangga, takut terikat lalu tidak boleh lagi melakukan apa yang dihajati oleh orang-orang muda dan pelbagai lagi alasan yang dicipta untuk melepaskan diri daripada sunnatul hayah yang menjadi tuntutan naluri atau fitrah insaniyyah, fitrah manusia yang sejahtera, bersumberkan wahyu dan tidak dinodai oleh hawa nafsu syaitan.

Pada tahun 1994, satu muktamar antarabangsa telah diadakan di Kaherah, Mesir, iaitu Persidangan Antarabangsa mengenai Penduduk dan Pembangunan (Mu'tamar as-Sukkan wa at-Tanmiyah). Draf dokumen muktamar itu dikritik keras oleh para ulama kerana dilihat menolak fitrah insaniyyah as-salimah, antaranya kerana membuka ruang kepada pengguguran dan hubungan seks bebas di luar nikah. Sebaliknya pula ia mengecam perkahwinan awal atau perkahwinan di usia muda, sedangkan pada usia itulah tuntutan nafsu begitu tinggi dan godaan pula terlalu banyak, lebih-lebih lagi bagi muda-mudi yang berada dalam masyarakat yang terbuka dari segenap sudut serta pergaulan bebas yang tiada batas.

Amat tepat sekali anggapan beberapa orang ulama yang mengatakan muktamar itu sebenarnya muktamar "hayawani" (kebinatangan), bukan insani, apatah lagi Islami, kerana ia secara jelas melanggar fitrah manusia yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Begitu juga dengan gerakan pembebasan wanita (Women's Lib) yang berusaha "membebaskan" wanita daripada fitrah mereka yang dijadikan oleh Allah SWT. Ia bermula dengan mengubah pakaian kaum wanita daripada pakaian yang menutup aurat dengan sempurna dan penuh sopan kepada pakaian yang mendedahkan aurat yang diharamkan oleh Allah SWT, seterusnya menggalakkan perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT. Sehinggakan pada zaman mutakhir ini, di negara kita sendiri, kita tidak lagi dapat membezakan antara Muslimah dengan bukan Muslimah; semuanya terbuka dan terdedah, kecuali apabila merujuk kad pengenalan mereka. Tetapi golongan lelaki pula sebaliknya diajar supaya berpakaian kemas dan lengkap! Golongan ini juga berusaha untuk menyamakan wanita dengan lelaki dengan pelbagai alasan.

Tentunya sebagai pemuda-pemudi Islam yang beriman kepada Allah dan berasulkan Nabi Muhammad SAW, marilah kita kembali kepada fitrah yang diwahyukan kepada Nabi SAW, kerana inilah sahaja jalan yang boleh menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. Ini kerana "al-ma'ashi barid al-kufr", iaitu maksiat ialah jalan yang membawa kepada kekufuran. Sesungguhnya perkahwinan merupakan hishnun atau benteng yang kukuh untuk menyelamatkan kita daripada maksiat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Wahai golongan pemuda, sesiapa di kalangan kamu yang mempunyai kemampuan, hendaklah dia berkahwin, kerana ia lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu menjadi perisai baginya." [HR al-Bukhari, no. 5065 dan Muslim, no. 1400]

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:

"Apabila seorang hamba telah berkahwin, dia telah menyempurnakan separuh agamanya, maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah pada separuh yang lagi." [HR al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman; dinilai hasan dalam Shahih al-Jami']

Terdapat banyak lagi hadis serta taujihat dan irsyadat (bimbingan) daripada Rasulullah SAW kepada umatnya tentang kelebihan berkahwin.

Faedah Berkahwin

Seterusnya, sama-sama kita melihat faedah perkahwinan secara ringkas seperti yang disebutkan oleh para ulama, di antaranya asy-Syeikh Muhammad 'Ali ash-Shabuni dalam kitabnya az-Zawaj al-Islami al-Mubakkir (Perkahwinan Awal secara Islami), hlm. 38:

  1. Mengekalkan keturunan.
  2. Memelihara diri daripada godaan syaitan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku tidak meninggalkan selepasku suatu fitnah yang lebih memudaratkan kaum lelaki daripada fitnah wanita." [HR al-Bukhari, no. 5096 dan Muslim, no. 2740]

    Kata setengah ulama: syaitan berkata kepada perempuan, "Kamu adalah separuh daripada tenteraku; kamu adalah anak panahku yang tidak pernah tersasar."

  3. Mendapat ketenangan dan kerehatan seorang suami apabila berada di samping isteri yang baik, serta thuma'ninah dalam kehidupan berumah tangga.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Mahukah aku khabarkan kepada kamu sebaik-baik perkara yang dimiliki oleh seseorang? Iaitu isteri yang solehah: apabila dia memandangnya, isteri itu menyenangkan hatinya; apabila dia menyuruhnya, isteri itu mematuhinya; dan apabila dia tiada, isteri itu memelihara dirinya." [HR al-Hakim; dinilai daif dalam Dha'if al-Jami']

    Makna yang hampir sama terdapat dalam hadis Abu Hurairah r.a. yang lebih kuat: Rasulullah SAW ditanya, "Wanita manakah yang terbaik?" Baginda menjawab: "Yang menyenangkan hati suaminya apabila dia memandangnya, mentaatinya apabila dia menyuruhnya dan tidak menyalahinya pada diri dan hartanya dengan apa yang dibenci suaminya." [HR an-Nasa'i, no. 3231; hasan sahih]

  4. Melapangkan diri daripada kerja-kerja rumah, yang memberi peluang kepadanya untuk menumpukan kepada kerja-kerja yang lebih besar seperti berjihad, berdakwah dan lain-lainnya.
  5. Mujahadat an-nafs serta melatih diri dengan tanggungjawab terhadap rumah tangga, isteri dan anak-anak, bersabar menanggung kesusahan dan berusaha untuk membentuk dan mendidik mereka ke jalan yang betul. Sayyidina Umar al-Khattab r.a. berkata, maksudnya: "Tidak ada yang menghalang seseorang daripada berkahwin kecuali dia tidak berkemampuan (zahir dan batin) atau dia seorang yang fajir (suka melepaskan nafsu ke tempat-tempat yang haram)."

Perkahwinan dalam Islam adalah suatu ibadat dan qurbah. Seorang mukmin akan diberi pahala dan ganjaran oleh Allah apabila dia mengikhlaskan niat perkahwinannya dengan tujuan memelihara diri daripada perkara yang haram, bukan semata-mata untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja.

Nasihat untuk Para Pelajar

Tetapi sebelum melangkah ke alam perkahwinan, seorang pelajar terlebih dahulu hendaklah mengkaji keadaan atau zhuruf yang sesuai. Sebagai pelajar, perlu diambil kira masa dan tempat belajar agar perkahwinan tidak mengganggu proses pembelajaran dan tahshil al-'ilm yang bermanfaat. Namun jangan pula menjadikannya alasan untuk melarikan diri daripada tanggungjawab seperti mereka yang disebutkan pada awal perbincangan tadi, lebih-lebih lagi jika kita berada dalam masyarakat yang hidup liar dan bebas, kerana sudah pasti perkahwinan merupakan suatu wasilah untuk menyelamatkan diri daripada terjerumus ke lembah maksiat.

Mereka yang telah melaksanakan sunnah ini hendaklah bersabar menghadapi kerenah pasangan masing-masing. Bagi yang hidup berjauhan pula, bersabarlah atas perpisahan yang sementara ini; jangan kerana suami atau isteri, kita mengabaikan dan meninggalkan pelajaran. Seorang pendakwah pula hendaklah lebih gigih lagi dalam kerja dakwahnya; jangan menjadi orang yang gugur (al-mutasaqith) dari medan dakwah kerana sayang untuk meninggalkan isteri.

Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuh bagi kamu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Dan jika kamu memaafkan, tidak memarahi dan mengampunkan (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya harta kamu dan anak-anak kamu hanyalah ujian (fitnah) dan di sisi Allah jualah pahala yang besar." [Surah at-Taghabun: 14–15]

Akhirnya, sentiasalah kita berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah:

﴿رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا﴾

"Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa." [Surah al-Furqan: 74]

Dan doa yang diajar oleh Abdullah bin Mas'ud r.a. kepada para pemuda:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي امْرَأَةً إِذَا نَظَرْتُ إِلَيْهَا سَرَّتْنِي، وَإِذَا أَمَرْتُهَا أَطَاعَتْنِي، وَإِذَا غِبْتُ عَنْهَا حَفِظَتْ غَيْبِي فِي نَفْسِهَا وَمَالِي

Maksudnya: "Ya Allah, kurniakanlah kepadaku isteri yang apabila aku memandangnya, dia menggembirakanku; apabila aku menyuruhnya, dia mentaatiku; dan apabila aku tiada, dia menjaga kehormatan dirinya dan hartaku."

Sekian. Akhukum, Abu Anas Madani. Asal tulisan: majalah Suara Madinah, 1415H/1994; disiarkan semula pada 4 Februari 2009.

Rujukan

10 sumber
  1. Sahih al-Bukhari, no. 5065.

    Sunnah.com
  2. Sahih Muslim, no. 1400.

    Sunnah.com
  3. Al-Baihaqi, Syu'ab al-Iman: «إذا تزوج العبد فقد استكمل نصف الدين فليتق الله في النصف الباقي» — hasan menurut al-Albani (Shahih al-Jami').

    ad-Durar as-Saniyyah
  4. Sahih al-Bukhari, no. 5096.

    Sunnah.com
  5. Sahih Muslim, no. 2740.

    Sunnah.com
  6. Sunan an-Nasa'i, no. 3231.

    Sunnah.com
  7. Al-Quran, Surah at-Taghabun (64): 14.

    Quran.com
  8. Al-Quran, Surah al-Furqan (25): 74.

    Quran.com
  9. Muhammad 'Ali ash-Shabuni, az-Zawaj al-Islami al-Mubakkir, hlm. 38.

  10. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, International Conference on Population and Development (ICPD), Kaherah, 5–13 September 1994.

    un.org

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Keluarga Isteri Minta Cerai Tanpa Sebab Syarie Tidak Dapat Cium Bau Syurga 13 Nov 2025 Keluarga Jangan Biarkan Anak Berkeliaran Waktu Senja Di Luar Rumah 27 Okt 2025 Keluarga Wanita dan Lailatul Qadar (10 Akhir Ramadhan) 29 Jul 2013 Keluarga Beberapa Hukum Berkaitan Kanak-Kanak 16 Jul 2010