Hari walimah
Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan kita, Rasulullah SAW.
Hari walimah (majlis kesyukuran dan meraikan pengantin) merupakan saat yang amat penting bagi seorang pengantin Muslim. Hari ini menjadi saksi yang amat bermakna: kesyukuran dizahirkan dengan ikatan dua hati yang saling mencintai dan berkasih sayang, juga untuk mengumumkan ikatan dan penyatuan ini kepada orang ramai.
Rasulullah SAW telah bersabda kepada seorang sahabatnya (Abdul Rahman bin 'Auf r.a.):
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: “Adakanlah walimah (jamuan kenduri) walaupun dengan seekor kambing.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pelaksanaan walimah telah diajar oleh Rasulullah SAW. Ia menjadi syiar kebanggaan umatnya dan salah satu tanda kemuliaan dan keagungan agama Islam.
Ketika kebahagiaan ini sedang diraikan dan disyukuri dengan meriahnya, majlis sebegini juga sering kali dicemari dengan perkara-perkara yang dibenci oleh Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Maka kita perlu saling memperingatkan sesama manusia, sebagaimana firman Allah:
Maksudnya: “Telah dilaknat orang-orang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu kerana mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka tidak saling mencegah perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amat buruk apa yang selalu mereka lakukan itu.” (Surah al-Ma'idah: 78–79)
Peringatan
Di sini diingatkan beberapa ajaran Rasulullah SAW yang perlu diberi perhatian dalam mengendalikan majlis perkahwinan:
Pertama: Bertujuan melaksanakan ibadat kepada Allah SWT
Iaitu dengan niat mencari keredaan Allah dan mengikut sunnah Rasulullah SAW, bukan untuk berbangga-bangga dan menunjuk-nunjuk kemewahan dan kekayaan.
Kedua: Menghindari perbuatan syirik dan khurafat
Di dalam masyarakat kita terdapat beberapa adat dan kebiasaan yang melibatkan perbuatan menyekutukan Allah, na'uzubillah. Semua yang bertentangan dengan syariat Islam hendaklah ditinggalkan. Hindarkan diri daripada bertemu dukun untuk menentukan masa dan hari majlis perkahwinan. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang tilik, lalu dia membenarkan ucapannya, maka dia telah kufur terhadap apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim; sahih. Diriwayatkan juga oleh Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibn Majah dengan lafaz yang hampir sama.)
Ketiga: Mengelak daripada melakukan maksiat
Maksiat ialah penderhakaan terhadap perintah Allah dan Rasul. Mewujudkan suasana yang boleh membawa kepada berlakunya maksiat ialah perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah. Hawa nafsu hendaklah dididik supaya tidak cenderung ke arah penderhakaan.
Keempat: Mengundang golongan yang kurang berada
Bukanlah satu sikap yang mulia apabila tetamu yang bakal hadir dipilih daripada kalangan yang kaya dan ternama sahaja. Melupakan keluarga dan sahabat handai yang miskin dan kurang berada melambangkan kerendahan akhlak dan peribadi. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang diundang kepadanya orang-orang kaya dan ditinggalkan orang-orang miskin.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.)
Kelima: Mengelakkan ikhtilat (percampuran antara lelaki dan perempuan)
Asingkan tempat untuk tetamu lelaki dan wanita. Ini untuk menghindari maksiat seperti zina mata yang seterusnya membawa kepada zina hati. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Kedua-dua mata itu berzina dan zinanya ialah pandangan (kepada yang bukan mahram).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim; lafaz ini hampir dengan riwayat Muslim)
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu ialah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah al-Isra': 32)
Cara terbaik untuk menjauhi zina ialah dengan menyekat jalan-jalan yang boleh membawa ke arahnya. Al-Quran telah banyak menjelaskan hal ini.
Keenam: Menghindari hiburan yang boleh merosakkan nilai ibadat
Kegembiraan yang hakiki bukan terletak pada alunan muzik dan lagu-lagu perkahwinan. Ia ialah ketenangan hati yang dikecapi apabila majlis itu benar-benar melambangkan kesyukuran kepada Allah dan mengingatkan kita kepada kehidupan akhirat. Kegembiraan palsu hanya dirasakan sementara waktu dan akan mendatangkan kesusahan apabila majlis walimah hilang keberkatannya.
Ketujuh: Menghindari pembaziran
Iaitu dengan mengadakan majlis yang melampaui kemampuan sehingga sanggup berhutang semata-mata kerana terlalu berlebih-lebihan. Mari kita renungi majlis perkahwinan insan yang paling mulia di muka bumi ini, Rasulullah SAW. Baginda telah menunjukkan sebaik-baik contoh dan ajaran. Ada kalanya Baginda menyediakan tamar (bersama keju dan minyak sapi), ada kalanya barli dan ada kalanya kambing. Semuanya berdasarkan kemampuan Baginda SAW ketika itu. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “…dan janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra': 26–27)
Kelapan: Mengelakkan perhiasan yang melampau
Sebahagian masyarakat amat gemar mengandam pengantin dan menghias rumah sehingga melampaui batas yang dibenarkan. Sering kali pengantin perempuan dijadikan bahan tontonan dan dipamerkan di khalayak umum yang terdiri daripada kaum lelaki yang bukan mahramnya. Hal ini menggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, apatah lagi jika jurusolek dan jurugambar yang digunakan ialah kaum lelaki (termasuk lelaki yang menyerupai wanita). Kesederhanaan ialah tuntutan dalam semua keadaan. Mengabaikannya sering kali mengundang krisis dalam kehidupan seperti permusuhan akibat dengki, sikap memandang rendah oleh satu pihak, keegoan dan sebagainya. Jadi, janganlah kerana warna-warni, solekan atau kecantikan yang dibuat-buat, wujud pula kehambaran dalam rumah tangga pada masa mendatang.
Kesembilan: Memberikan ucapan selamat serta mendoakan kedua-dua mempelai dan keluarga mereka
Para hadirin jarang sekali mendoakan keberkatan apabila melihat pengantin, bahkan ada yang tidak mengetahui doa tersebut. Ini suatu amalan penting kerana doa yang ikhlas akan dimakbulkan, insya-Allah.
Cuba bayangkan seandainya semua hadirin mendoakan pengantin sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW; alangkah indah dan bahagianya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan memperkenankan doa hamba-Nya. Marilah kita sama-sama mengamalkan ajaran Rasulullah SAW ini. Antara doa yang sering diucapkan oleh Baginda kepada pengantin:
بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ
Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu, mencurahkan keberkatan ke atasmu dan menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibn Majah; kata at-Tirmizi: hasan sahih)
Tidak lupa juga doa untuk keluarga pengantin selaku tuan rumah, seperti doa Rasulullah SAW untuk tuan rumah yang menjamu Baginda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah mereka pada apa yang telah Engkau rezekikan kepada mereka, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka.” (Riwayat Muslim)
Penutup
Demikianlah risalah ini. Mudah-mudahan kita dapat memahaminya dengan fahaman yang benar tanpa disulami keraguan terhadap Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW, bertepatan dengan hadis ini:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: “Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya: Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.” (Riwayat Malik dalam al-Muwatta' secara balagh; diriwayatkan bersanad oleh al-Hakim daripada Abu Hurairah r.a. dengan lafaz “Kitab Allah dan sunnahku”.)
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.
Bacaan berkaitan
- Teguran dan Saranan bagi Majlis Akad Nikah di Masjid
- Adab Menjemput Tetamu, Cerminan Rumah Tangga Bahagia
- Adab Jemputan: Jangan Datang Tanpa Diundang
Abu Anas Madani,
Sungai Durian, 30 Mei 2007
(Diringkaskan daripada risalah “Kewajipan yang Terabai di Saat Kebahagiaan Dua Mempelai”, terbitan PPM Madinah, 2006.)
Rujukan
11 sumber-
Sahih al-Bukhari, Kitab an-Nikah, no. 5167; Sahih Muslim, no. 1427 (riwayat Anas r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Ma'idah (5): 78–79.
Quran.com -
Musnad Ahmad no. 9536; Sunan Abi Dawud no. 3904; Sunan at-Tirmizi no. 135; Sunan Ibn Majah no. 639 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
ad-Durar as-Saniyyah -
Sahih al-Bukhari, Kitab an-Nikah, no. 5177; Sahih Muslim, no. 1432 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 6243; Sahih Muslim, Kitab al-Qadar, no. 2657 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Isra' (17): 32.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Isra' (17): 26–27.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab an-Nikah, no. 5172 (dua mud barli); no. 5168 dan 5170 (walimah Zainab dengan roti dan daging); no. 5159 (walimah Safiyyah dengan tamar, keju dan minyak sapi).
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud no. 2130; Sunan at-Tirmizi no. 1091 (hasan sahih); Sunan Ibn Majah no. 1905 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Asyribah, no. 2042 (riwayat Abdullah bin Busr r.a.).
Sunnah.com -
Al-Muwatta' (riwayat Yahya), Kitab al-Qadar, no. 1594 (balaghan); al-Hakim, al-Mustadrak, no. 319 (riwayat Abu Hurairah r.a.).
ad-Durar as-Saniyyah
