Tulisan: Ummu Anas Madani. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: berdasarkan kajian Dr. Mohammed Ali Albar dalam buku Contemporary Topics in Islamic Medicine.
Pendahuluan
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah SAW serta keluarga dan para sahabat baginda sekalian. Telah menjadi sunnatullah ke atas alam ini bahawa generasi manusia akan terus sambung-menyambung bermula daripada Nabi Adam AS sampai kepada kita dan terus sehingga hari kiamat. Islam ialah agama yang menggalakkan umatnya memperbanyakkan zuriat yang soleh dan menurunkan syariat untuk memelihara keturunan manusia agar tidak bercampur aduk, sekali gus memelihara kehormatan diri setiap individu.
Demi menjaga keturunan dan maruah diri, para ulama daripada pelbagai bidang, iaitu ulama syariah (fuqaha’), ahli undang-undang dan ahli perubatan, telah mengambil bahagian masing-masing dalam membincangkan perkara ini. Tulisan ini mencatatkan perbincangan ulama mengenai tempoh kehamilan, minimum dan maksimumnya, berdasarkan kajian al-Fadhil Dr. Mohammed Ali Albar hafizahullah dalam bukunya Contemporary Topics in Islamic Medicine.
Abstrak
Mengikut ilmu perubatan, tempoh kehamilan yang normal ialah 280 hari. Ia dikira bermula dari hari pertama haid yang terakhir (last menstrual period, LMP) atau 266 hari dari hari persenyawaan (fertilization). Tarikh jangkaan bersalin dapat dikira dengan menambah tujuh hari kepada tarikh LMP, kemudian dicampur sembilan bulan (Masihi) atau ditolak tiga bulan daripada tarikh tersebut.
Bagi kiraan bulan Hijrah yang mempunyai 29 atau 30 hari sebulan, tempoh kehamilan normal juga sembilan bulan, iaitu 29.5 × 9 = 265.5 hari. Tarikh jangkaan bersalin pula dapat dikira dengan menambah 14 hari kepada tarikh LMP, kemudian dicampur sembilan bulan (Hijrah) atau ditolak tiga bulan daripada tarikh tersebut.
Sama ada dikira dengan bulan Masihi atau Hijrah, hanya kira-kira 5% kemungkinan kelahiran berlaku tepat pada tarikh tersebut. Peluang ini meningkat kepada 25% jika dikira empat hari sebelum atau selepas tarikh tersebut dan 95% bayi dilahirkan dalam tempoh 14 hari sebelum atau selepas tarikh tersebut.
Tempoh Minimum Kehamilan
Dari segi perubatan, 28 minggu pernah dikira sebagai tempoh minimum bagi kehamilan yang bayinya boleh hidup. Tetapi dengan kemajuan rawatan rapi perubatan hari ini, bayi berusia 22 minggu yang beratnya lebih daripada 500 g telah dapat diselamatkan (dengan izin Allah). Kelahiran sebelum genap 37 minggu kehamilan dikira sebagai kelahiran pramatang (premature) dan bayi tersebut mungkin dapat diselamatkan dengan kemajuan rawatan rapi perubatan.
Fuqaha’ Islam hampir keseluruhannya berijmak menerima enam bulan dari tarikh persetubuhan suami isteri sebagai tempoh minimum kehamilan. Seorang bayi dikira anak yang sah (halal) jika dilahirkan selepas enam bulan dari tarikh tersebut. Bagi mazhab Hanafi pula, enam bulan itu dikira dari tarikh akad nikah. Ibnu Qudamah rahimahullah dalam al-Mughni [7/477] menyebut: “Tempoh minimum kehamilan ialah enam bulan.”
Diriwayatkan bahawa pada zaman Khalifah Umar RA, seorang suami datang mengadu kepada Umar bin al-Khattab RA bahawa isterinya telah melahirkan anak yang sempurna enam bulan selepas berkahwin. Umar menuduh wanita itu telah berhubungan sebelum berkahwin. Ali bin Abi Talib RA membantah tuduhan itu berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa enam bulan ialah tempoh kehamilan yang sah.
- Ayat pertama: {Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun genap, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.} [al-Baqarah: 233]
- Ayat kedua: {Tempoh mengandungnya hingga menyapihnya ialah tiga puluh bulan.} [al-Ahqaf: 15]
Tiga puluh bulan ditolak 24 bulan (dua tahun) tempoh menyusu, berbaki enam bulan sebagai tempoh minimum kehamilan.
Lalu Umar RA membebaskan wanita tersebut. (Kisah yang sama turut diriwayatkan berlaku pada zaman Khalifah Uthman RA dan riwayat inilah yang masyhur dalam al-Muwatta’ Imam Malik.)
Ibnu Qutaibah rahimahullah pula meriwayatkan bahawa Khalifah Abdul Malik bin Marwan dilahirkan oleh ibunya selepas enam bulan dalam kandungan. Ibnu al-Qayyim rahimahullah dalam kitabnya at-Tibyan fi Aqsam al-Quran [hlm. 247] menyebut: “Syariat dan fitrah (nature) telah menunjukkan bahawa tempoh minimum kehamilan ialah enam bulan.” Walaupun ulama telah berijmak bahawa tempoh minimum kehamilan ialah enam bulan, sesetengah fuqaha’ mazhab Hanbali hanya mengakui sembilan bulan sebagai tempoh minimum bagi kehamilan normal.
Maka di sisi syariah, bayi yang lahir kurang daripada enam bulan kehamilan (selepas perkahwinan) dikira anak luar nikah. Walaupun begitu, sesetengah fuqaha’ menerima anak itu sebagai sah sekiranya si suami mengakui dan menerima anak itu, dengan syarat dia tidak mengakui bahawa anak itu hasil hubungan sebelum perkahwinan. Anak yang lahir enam bulan atau lebih selepas perkahwinan dikira anak yang sah kecuali jika si suami menafikannya melalui proses li‘an (sumpah laknat). Dalam kes ini, anak itu dinasabkan kepada ibunya.
Undang-undang Sivil dan Negara Islam
Mengikut undang-undang Inggeris (English law) pula, seorang anak secara automatik dikira sah jika dilahirkan dalam ikatan perkahwinan, sehinggalah dibuktikan sebaliknya. Jika si bapa mengakui anak itu, maka ia anak yang sah, tidak kira berapa lama pun tempoh kehamilannya. Undang-undang di India dan Pakistan juga mengira seorang anak itu sah sekiranya dilahirkan dalam ikatan perkahwinan, walaupun perkahwinan itu berlangsung hanya beberapa minggu atau bulan sebelum kelahiran.
Hal ini ditentang oleh Akta Syariah Pakistan yang mahu perkara ini ditentukan oleh undang-undang syariah. Undang-undang Perancis juga mengira enam bulan sebagai tempoh minimum yang sah bagi kehamilan (sama dengan syariat Islam). Undang-undang Mesir pula dikatakan menetapkan sembilan bulan sebagai tempoh minimum kehamilan. Al-Berri dalam kitabnya al-Ahkam al-Asasiyyah lil-Mawarith wal-Wasiyyah berkata: “Undang-undang Mesir telah menentukan bahawa sembilan bulan adalah tempoh kehamilan yang minimum, iaitu 270 hari, bagi mengelakkan perselisihan dalam keputusan mahkamah. Anak yang lahir sebelum tarikh ini tidak berhak mewarisi harta bapanya dan dikira anak tidak sah jika bapanya tidak mengakuinya.” Undang-undang ini bertentangan dengan ijmak para fuqaha’ Islam dan juga menyalahi pendapat ahli perubatan.
Tempoh Maksimum Kehamilan
Pakar perubatan perbidanan (obstetricians) menolak dakwaan kehamilan yang melebihi sebulan selepas tarikh jangkaan bersalin, kecuali dengan salah satu sebab berikut. Sesetengah wanita mempunyai kitaran haid yang panjang; kerana kehamilan biasanya dikira dari hari pertama LMP, ini boleh membawa kepada tempoh hamil yang lebih panjang daripada biasa.
Seseorang wanita juga mungkin mempunyai rahim yang terbelah dua (bicornuate). Secara teori, satu janin boleh mulai hidup di salah satu bahagian rahim lalu mati tanpa gugur; wanita itu kemudiannya hamil pula di bahagian yang lain dan melahirkannya apabila sampai masa yang normal. Ini boleh disangka sebagai satu kehamilan yang panjang. Hal yang sama boleh berlaku kepada sesetengah wanita yang terlalu inginkan kehamilan, lalu menjadi mangsa ‘kehamilan palsu’ yang dikenali sebagai pseudocyesis.
Kitaran haidnya terhenti dan perutnya (abdomen) membesar dengan gas/angin. Wanita ini kemudiannya mungkin benar-benar hamil lalu mengira kehamilannya berlangsung selama beberapa tahun. Pseudocyesis ini fenomena yang biasa dalam kalangan wanita. Janin yang mati juga mungkin mengeras dan kekal di dalam rahim selama beberapa tahun tanpa dikeluarkan.
Undang-undang kanun juga berbeza dari satu negara ke negara yang lain, bahkan dalam satu negara yang sama pun mahkamahnya masih menjatuhkan keputusan yang berlainan. Mahkamah British pernah menerima 331 hari dan 346 hari sebagai tempoh kehamilan yang sah. Di New York pula, mahkamah mengira 355 hari sebagai tempoh sah. Tetapi pakar-pakar perbidanan menyatakan ketidakpercayaan mereka terhadap kehamilan yang begitu panjang. Sir Stanley Clayton, seorang pakar perbidanan terkenal, menganggap keputusan mahkamah yang menerima kehamilan selama 346 hari sebagai sesuatu yang “bercanggah dengan kepercayaan sains”.
Hal ini juga menjadi khilaf yang besar dalam kalangan fuqaha’ Islam dan perselisihan pendapat mereka lebih rumit. Sesetengah fuqaha’ seperti Ibnu Hazm (mazhab Zahiri) dan Syiah Ja‘fari berpendapat satu kehamilan tidak boleh melebihi sembilan bulan. Ulama yang lain pula, seperti Muhammad bin Abdul Hakam dan Ibnu Rusyd (Averroes) yang cenderung kepada pendapatnya, menerima setahun (Hijrah) sebagai had maksimum. Abu Hanifah dan ath-Thauri pula berpendapat dua tahun, al-Laith bin Sa‘ad tiga tahun, manakala asy-Syafie, mazhab Hanbali dan Zaidiyyah mengira empat tahun sebagai tempoh maksimum kehamilan.
Mazhab Maliki pula berpendapat lima tahun, az-Zuhri tujuh tahun, manakala Abu ‘Ubaid tidak meletakkan sebarang had. Tujuan semua perbezaan pendapat dalam menentukan tempoh maksimum kehamilan ini adalah untuk menentukan kejadian sebenar dan mengelakkan si ibu daripada tuduhan zina yang boleh membawa kepada hukuman rejam.
Undang-undang di negara-negara Islam juga berbeza-beza. Arab Saudi yang bermazhab Hanbali menerima tempoh maksimum kehamilan selama empat tahun. Ketua Qadi Makkah, Mustafa bin Abdul Qadir al-Alawi, memutuskan bahawa anak yang dilahirkan oleh Khadijah (seorang wanita yang melahirkan anak empat tahun selepas tarikh perceraiannya) adalah anak yang sah. Berdasarkan hukum syarak, bekas suaminya yang menafikan nasab anak itu terpaksa menerimanya dan membayar nafkah kepada bekas isterinya sepanjang tempoh kehamilan, yang masih dikira dalam ‘iddah. Allahyarham Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Mufti Besar Arab Saudi ketika itu dan Syeikh Bakr Abu Zaid, Timbalan Menteri Kehakiman ketika itu, pula dilaporkan berpendapat bahawa tujuh tahun adalah tempoh maksimum kehamilan [Persidangan Fiqh Islam, Rabitah, Makkah, 16–17 Februari 1990].
Undang-undang Iraq pula tidak menetapkan sebarang had masa dan mahkamah syariahnya mengira dua tahun sebagai tempoh maksimum kehamilan berdasarkan mazhab Hanafi yang diamalkan di negara tersebut. Jordan pula, melalui Undang-undang Keluarga 1976 (perkara 147–148), menetapkan bahawa nasab tidak disabitkan bagi anak yang lahir lebih daripada setahun selepas perceraian atau kematian suami. Di kebanyakan negara Islam yang lain seperti Mesir, Sudan, Syria, Tunisia, Maghribi dan Yaman Selatan, undang-undang baharu telah diseragamkan dengan menetapkan tempoh maksimum kehamilan selama setahun. Di Tanzania dan Nigeria pula, empat tahun masih diterima pakai sebagai tempoh maksimum kehamilan.
Keadaan yang bercelaru ini juga timbul di sesetengah negara (termasuk Malaysia) yang undang-undang keluarga Islamnya (mengikut mazhab Syafie) mengira empat tahun qamariah sebagai tempoh maksimum kehamilan, tetapi pada masa yang sama mengamalkan undang-undang Barat (sivil) dalam bidang jenayah yang tidak mempunyai hukuman terhadap jenayah zina.
Penutup
Suasana undang-undang di seluruh negara Islam hari ini haruslah disatukan atau sekurang-kurangnya bersefahaman antara satu sama lain. Sesetengah negara memerlukan pindaan undang-undang yang serius. Pertentangan atau percanggahan perundangan yang ada hendaklah dibetulkan mengikut kaedah syariat Islam yang sebenar. Para fuqaha’ Islam, pakar perundangan dan pakar perubatan diseru untuk bersatu mengkaji perkara yang rumit ini dan cuba melahirkan satu ketetapan yang tidak lagi bercanggah antara satu sama lain.
Wallahu a’lam bis-sawab.
Oleh: Ummu Anas Madani, Madinah al-Munawwarah, 18 September 1998.
Rujukan
6 sumber-
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 233.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Ahqaf (46): 15.
Quran.com -
Malik, al-Muwatta’, Kitab al-Hudud (kisah wanita yang melahirkan pada enam bulan pada zaman ‘Uthman r.a. dan hujah ‘Ali r.a.).
Sunnah.com -
Mohammed Ali Albar, Contemporary Topics in Islamic Medicine (Jeddah: Saudi Publishing House, 1995).
-
Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 110–111.
-
Undang-undang Keluarga Jordan 1976, perkara 147–148 (salinan Universiti an-Najah).
maqam.najah.edu
