Catatan Rehlah Haji Tahun 1431H – 2010M (3)

Isi Kandungan

Pendahuluan

Catatan siri 3 ini adalah selepas haji.

Setelah selesai melakukan semua amalan haji, jemaah meneruskan aktiviti ibadat mereka dengan bersolat di Masjid Haram, melakukan tawaf, umrah, mengikuti kuliah yang diatur oleh pihak Ash-Har, serta meronda kedai-kedai yang banyak di sekitar Masjid.

Zikir pagi petang dan Zikir selepas solat, yang disusun oleh Abu Anas, dijadikan sebagai bacaan tetap jemaah sepanjang mengerjakan haji. Nampaknya ramai jemaah yang telah meneruskan bacaan/zikir yang diambil dari Rasulullah saw dan sahabat itu. Alhamdulillah, semoga ianya menjadi amalan sepanjang hayat.

Di Makkah, kami sempat membawa para jemaah melawat beberapa tempat bersejarah seperti kaki Bukit Thaur, Jabal Nur, gua Hira’, Ja’ranah, Hudaibiah, Muzium Haramain, minum susu unta, dan lain-lain tempat (ada jemaah yang pergi sebelum wukuf/ada yang selepasnya). Bagi ma’alim (tempat bersejarah) sekitar Masjidil Haram, jemaah dibawa berjalan kaki sahaja. Tempat yang dilawati adalah beberapa tapak tempat bersejarah yang penting. Ianya bertujuan untuk mengenali kawasan lama yang ada kaitan sejarah/sirah.

Antaranya kawasan kediaman Rasulullah saw bersama Sayyidah Khadijah r.anha, tempat kelahiran Nabi saw, rumah Saidina Abu Bakar r.a (lokasi tempat berlakunya peristiwa hijrah yang bersejarah), rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, Masjid Al-Rayah (yang dikenali dengan Masjid Kucing – tempat yang ada kaitan dengan sejarah pembukaan Kota Makkah tahun 8 Hijrah), Masjid Jin, Masjid Syajarah, Perkuburan Ma’la dan sebagainya untuk pengetahuan dan peringatan (tazkirah).

Beberapa peringatan diberikan kepada jemaah agar jangan sekali-kali terikut-ikut dengan perbuatan orang ramai yang menyapu atau menggosok tempat-tempat tersebut atau berdoa ke arahnya.

Tujuan kita bersama-sama dalam ma’alim ini adalah untuk mengenali tempat dan mengetahui sejarah yang penting disebaliknya. Untuk keterangan lanjut berkenaan tempat dan sejarah bumi Makkah, sila dapatkan buku “Makkah Al-Mukarramah, Kelebihan dan Sejarah”, susunan Al-Faqir Abu Anas Madani.

Selasa, 17 Zulhijjah

Alhamdulillah, pagi ini sempat berjaulah bersama Ust Abu Fatih al-Mubaraki dan Dr Haji Zek (Pakar Bedah HRPZ2) dengan kereta Akhi Abdul Rahman al-‘Amudi (Sahabat lama yang menjadi guide rombongan Haji Ekslusif Ash-Har) ke beberapa tempat bersejarah, lama dan baru, antaranya: Tempat jualan air Zamzam di Kudai yang baru dibuka sebulan lalu, cantik dan tersusun, harga SR5 untuk 10 liter.

Ke Jabal Thaur, King Abdullah Medical City (Hospital pakar yang baru setahun dibuka), Masjid Namirah di Arafah (bahagian depan di luar Arafah, sebelah akhir dalam Arafah), Maqbarah (Perkuburan lama) Quraish di Arafah, Al-Mughammas (tempat Abrahah binasa -menurut satu riwayat, yang masyhur Abrahah binasa di Wadi al-Muhassir) dan perkuburan Syara’ie (tempat jemaah haji dikebumikan).

Akhirnya berhenti makan Madhghut Hasyi (nasi minyak lauk anak unta) di Aziziah dan solat Zohor di Masjid Sheikh Abdul Aziz Bin Baz rhm. Tunggulah laporan bergambar dalam Majalah Solusi, ruangan Haramain tulisan Ustaz Ahmad Husni… dan insya’Allah akan dimasukkan dalam buku Makkah cetakan akan datang jika sempat…

Perjalanan Ke Madinah

28 Zulhijjah 1431H bersamaan 05 Disember 2010, iaitu selepas dua minggu selesai menunaikan ibadat haji, kami berangkat ke Madinah dengan menaiki bas syarikat Rawahil. Alhamdulillah, dalam perjalanan ke Madinah ini, jemaah Ash-Har agak bernasib baik kerana pihak pengurusan syarikat berjaya mendapatkan bas-bas Mercedes yang baru dan selesa.

Memang agak memenatkan bagi para jemaah haji kerana kebanyakan bas yang disediakan oleh pihak muassasah sepanjang musim haji ini agak lama dan usang, perjalanan pula memakan masa yang panjang. Keadaan ini tidak peliklah kerana bayaran tiket yang dibayar kepada muassasah (Naqabah-Syarikat bas Saudi) oleh pihak kerajaan Malaysia untuk setiap hujjaj kita hanyalah SR347.50 seorang untuk semua perjalanan sepanjang musim haji ini.

Bermula dari airport Jeddah masuk ke Makkah, perjalanan dari Makkah ke Arafah, Mina, Muzdalifah dan balik semula, kemudian ke Madinah serta ke airport Madinah. Jika dari Madinah ke airport Jeddah pula bayaranannya ditambah sedikit kepada SR435.00. Jika dikira pada musim haji, bayaran ini amatlah murah dan berpadanan dengan bas yang disediakan!

Jadi sepanjang perjalanan haji ini banyak terdapat bas-bas jemaah kita yang mati dan rosak di tengah perjalanan. Mereka terpaksa berpenat menunggu bas lain datang ataupun terus berjalan kaki, terutamanya dalam perjalanan balik dari Mina ke Makkah. Hakikat ini memang berlaku pada setiap tahun.

Jadi, besarlah harapan kami agar pihak kerajaan, kementerian haji Malaysia dapat berunding dengan pihak Naqabah/Muassasah Haji Arab Saudi agar khidmat ini dapat dinaik tarafkan, dengan menambah bayaran yang sesuai dengan keselesaan kenderaan yang disediakan.

Di Madinah

Setiba di Madinah, kami ditempatkan di Hotel Diyar Royal, tidak jauh dari Masjid Nabawi. Kedudukannya di sebelah belakang masjid, di tengah-tengah antara Hotel Hilton dan Darul Hijrah, Inter-Continental. Di sini, jemaah kita juga kuat beribadat di Masjid Nabi, berjuang untuk masuk bersolat di Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah saw. Mereka juga dibawa melawat ke tempat-tempat bersejarah di Madinah, Kota Rasulullah saw yang bercahaya ini.

Antara tempat yang dilawati adalah perkuburan Baqi’, yang terdapat didalamnya sahabat-sahabat besar seperti Sayyidina Usman bin ‘Affan ra, para isteri Baginda Ummuhaatul Mukminin seramai 9 orang, puteri-puteri Rasulullah saw 4 orang dan anak lelakinya Ibrahim serta syuhada’ dan auliya’ lain. Mereka juga dibawa ke Bukit Uhud dan di sana Abu Anas membawa mereka menaiki Jabal Rumah, tempat tentera pemanah ditempatkan semasa peperangan Uhud.

Para jemaah diminta membayangkan suasana tragis hari Uhud yang bersejarah itu; dengan tentera muslim yang syahid bergelimpangan seramai lebih 70 orang di kaki bukit, jasad sayyid Syuhada’ Hamzah bin Abdul Mutalib yang terburai perutnya setelah dirosakkan dengan kejam, Rasulullah saw yang cedera dan berlumuran darah di wajahnya, serta para sahabat lain yang cedera dan sebagainya.

Ini semua adalah untuk mengembalikan keinsafan dan kesedaran akan sejarah yang berlaku. Ziarah syuhada’ Uhud menjadi amalan Rasulullah saw selain Baqi’ dan Masjid Quba’.

Mereka juga dibawa ke Masjid Quba’ yang mempunyai kelebihan tersendiri; sekali solat dapat pahala umrah. Saqifah Bani Saa’idah tempat perlantikan Sayyidina Abu Bakar menjadi khalifah, jemaah diterangkan kronologi peristiwa tersebut dan menjawab beberapa tuduhan jahat golongan Syiah Rafidhah terhadap As-Siddiq dan sebagainya.

Bukit Magnet

Ramai juga para jemaah haji yang bertanya tentang Bukit Magnet yang sering diperkatakan di Madinah ini. Jawapannya adalah sebagaimana yang didapati daripada Wikipedia, The Free Encyclopedia: “A magnetic hill or gravity hill is a place where the layout of the surrounding land produces the optical illusion that a very slight downhill slope appears to be an uphill slope. Thus, a car left out of gear will appear to be rolling uphill.”

Bukit magnet atau Bukit Graviti yang mana kedudukan/keadaan persekitaran muka buminya akan menghasilkan ilusi optik (logamaya) di mana satu bukit yang sedikit condong ke bawah (menurun) akan kelihatan seperti condong ke atas (menaik). Maka kereta yang dibebaskan gearnya akan kelihatan seolah-olah menggelunsur ke atas bukit.

Memang fakta ini adalah benar dan tepat sekali, berdasarkan pengalaman ana semasa ke sana dulu. Untuk menuruni bukit ini (sebenarnya mendaki), kita perlu menekan minyak sebagaimana kebiasaannya ketika menaiki mana-mana bukit/ketinggian. Manakala ketika menurun yang sebenarnya (walaupun nampak seolah mendaki), kereta pastilah akan bergerak turun dengan sendiri! Bahkan menurut Wikipedia, bukit ini sebenarnya dikenali sebagai Lembah Jin kerana kedudukannya yang sunyi dan terpencil.

Jadi tidak perlulah untuk kita menziarahinya kerana tiada apa-apa kelebihan yang khusus. Utamakan menziarahi Masjid Quba yang mempunyai fadhilat khas dan tempat-tempat sejarah lain yang boleh menambahkan ilmu dan kesedaran tentang perjuangan Rasulullah saw.

Selamat Tinggal Madinah

Setelah 8 hari di Madinah, akhirnya tibalah masa untuk meninggalkan Tanah Haram Madinah, jemaah telah dijelaskan bahawa Ziarah Wada’ adalah satu istilah yang sering disalah fahami oleh sebahagian jemaah, mereka menyangka hukumnya sama seperti Tawaf Wada’ bagi orang yang hendak meninggalkan Makkah wajib melakukannya di saat terakhir nak keluar dari Makkah.

Tawaf Wada’ memang hukumnya mesti diakhirkan. Bahkan ada sebahagian ustaz Travel melekatkan iklan di hotel: “Setelah selesai tawaf mesti terus keluar dari Masjid Haram, tidak boleh tunggu solat lagi walaupun dah dekat dengan azan.” Nampak sangat tak sesuai dan ketat fatwa itu dengan zaman ini.

Bagi pengunjung Kota Madinah tidak disyaratkan sedemikian dan sebenarnya istilah ziarah wada’ tidak sesuai digunakan kerana akan mengelirukan sebahagian jemaah. Jika dapat solat sekali dalam Masjid Nabi atau Raudhah dan menyampaikan salam kepada Rasulullah saw sekali berhadapan dengan maqam Baginda kira sudah terhasil maksud ziarah sebenarnya.

Bagi jemaah yang datang dari jauh seperti kita dari Malaysia ini dan lama tinggal di Madinah, bolehlah pergi sekali lagi sehari sebelum pulang atau bila-bila waktu yang sesuai, tidak semestinya pada hari terakhir sebelum keberangkatan pulang.

Kepulangan Jemaah KT82

Pada jam 2 pagi 14hb Disember, kami bersiap untuk berangkat pulang ke tanah air. Jam 4.30 pagi kami keluar dari hotel menuju ke airport. Jam 8 pagi, flight Saudi Airlines SV 5214 menerbangkan kami terus ke KLIA dan tiba di KLIA hampir jam 10 malam.

Solat Hormat Waktu

Dalam perjalanan kami terpaksa menunaikan solat zohor dan asar di atas flight. Jemaah kami melakukan solat jama’ dan qasar secara sempurna. Manakala majoriti penumpang jemaah haji lain hanya melakukan solat hormat waktu sahaja, tanpa wudhuk dan berdiri (qiyam), cuma niat solat sambil duduk di atas kerusi sahaja.

Di KLIA

Setiba di KL, jemaah yang ingin pulang ke Kota Bharu dan Kuala Trengganu terpaksa bermabit di airport pada malam itu untuk menunggu flight keesokan harinya. Ada yang dibawa pulang oleh saudara maranya dan tak kurang juga yang terpaksa mencari tempat dicelah-celah beg dan kerusi yang kosong.

Pengamatan Penting

Pada solat subuh pagi Jumaat itu, Imam Sheikh Dr. Ali Abdul Rahman al-Huzaifi telah membaca surah as-Sajadah. Sepanjang musim haji pada tahun ini, surah ini tidak dibaca di Makkah dan Madinah, kerana takut mengelirukan jemaah haji. Tetapi mungkin apabila beliau melihat jemaah haji sudah agak berkurangan al-Imam pun membacanya.

Solat Istisqa’ dan Tabiat Merokok

Di Madinah juga kami sempat melakukan solat istisqa’ (minta hujan) pada hari Isnin. Sebelum haji kami juga berpeluang melakukannya di Makkah.

Kebiasaan yang sangat susah untuk ditinggalkan bagi orang yang memang tidak mahu meninggalkannya, walaupun sudah berada di Makkah dan Madinah. Mereka terlibat dengan perbuatan merokok, walaupun berada di Tanah Haram.

Pakaian

Alhamdulillah bila tiba di Makkah, para Hajjah mematuhi Syariah dari segi pakaian. Namun, apabila kembali ke Malaysia, pakaian mereka berubah.

Solat Berjemaah

Alhamdulillah semasa di Makkah dan Madinah, jemaah kita cukup rajin ke masjid bahkan awal lagi mereka pergi. Semoga solat jamaah 40 waktu yang dilakukan di Masjid Nabi itu menjadi asas untuk mereka terus beristiqamah melakukannya sekembali ke tanah air.

Makanan

Bab makanan memang menjadi satu isu bagi jemaah haji. Walaupun makanan mungkin berbeza dengan citarasa mereka, seharusnya kita bersyukur atas segala nikmat.

Itulah beberapa pengamatan dan pengalaman ringkas yang dapat dicatatkan di sini, walaupun sebenarnya banyak lagi yang ingin diperkatakan. Cukuplah ianya sebagai satu isyarat kepada yang lain. Semoga Allah menerima semua amalan yang dilakukan, hajjan mabrura wa zanban maghfura, dan ampunkanlah segala kekurangan kami.

Doa memohon agar terus beristiqamah:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari terpesong daripada landasan yang benar setelah mendapat hidayah.”

وصلى الله على نبينا وحبيبنا وقدوتنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

Akhukum, Abu Anas Madani
13 Muharram 1432H / 19 December 2010
Pondok Sungai Durian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *