Catatan Rehlah Ke China 2011 (3)

Lanzhou – Linxia dan Xining.

Rabu, 6/4/2011.

Pada jam 8.00am, kami keluar dari hotel sambil terus check-out. Futur dan ronda-ronda bandar Lanzhou. Kemudian kami ke Xi Guan Mosque Of Lanzhou [مسجد جامع شيقوان لانجو], disambut oleh Amin (Pengerusi) dan Imam Masjid dan dibawa melawat kelas pengajian Agama untuk semua peringkat; taman asuhan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Nampak ada kesungguhan mereka belajar al-Quran dalam bilik-bilik darjah yang disediakan.

Imam Masjid dapat bercakap Melayu sedikit, beliau pernah belajar di KUSZA, Terengganu.

Masjid Xi Guan – Lanzhou

Setelah itu kami ke Northway University For Nationalities (NUN), kami disambut pula oleh Prof Osman (yang menyambut kami di airport semalam), seorang muslim yang menjadi pensyarah dan penyelidik di bahagian pengeluaran vaksin, masya’Allah.

Kemudian ke Northway Nationalities Museum, terdapat sejarah suku etnik di China dan penjelasan tentang Islam. Prof Dr Ahmad Latif, menjadi penterjemah kami. Beliau ialah pensyarah di Jabatan Bahasa Arab di NUN tersebut, lulusan Universiti Islam Madinah. Menurut beliau terdapat kira-kira 2000 orang pelajar Cina Muslim yang mengikuti kursus bahasa Arab. 

Untuk pengetahuan pembaca, ana berasa kagum sekali dengan orang Cina Muslim ini. Mereka boleh berbahasa Arab dengan baik, dan nampak lebih ramai yang boleh bercakap Arab berbanding dengan orang Islam di Malaysia. Adakah kerana sistem pengajian mereka yang baik menyebabkan perkara tersebut; atau suasana hidup mereka sebagai golongan minoriti dikalangan majoriti non-muslim?? Perlu dibuat satu kajian untuk menaik tarafkan bahasa Arab dikalangan umat Melayu yang serba boleh ini!

Setelah selesai lawatan di muzium, kami dibawa pula ke Lanzhou National Hyclone Bio-Engin.Co (company Prof Osman) tempat pengeluaran vaksin. Menurut Prof Osman, mereka sekarang sedang berusaha untuk mengeluarkan vaksin halal untuk kegunaan umat Islam, Kita doakan semoga usaha murni beliau bersama sahabatnya berjaya dan diberkati Allah dalam menyelesaikan tuntuan fardhu kifayah ini..

Akhirnya kami ke sebuah restoran halal yang agak mewah pula untuk menikmati hidangan Ghada’ yang dibiayai oleh beliau – jazahullahu khaira. [Lihat Gambar di: http://www.facebook.com/album.php?id=124946954198614&aid=71144 ]

Ke Linxia:

Kemudian kami bertolak dengan bas ke Linxia bersama Prof Osman yang berkereta sendiri mengiringi kami. Tempoh perjalanan ialah 1.30 jam melalui lebuhraya, nampaknya tol juga ada di sini.

Alhamdulillah jam 5.30pm selamat tiba di Linxia. Ianya satu kawasan Islam dalam wilayah Ganzu dan bandar pertanian. Masjid-masjid dapat dilihat sepanjang jalan (dikatakan terdapat lebih 200 buah msjid di wilayah ini, masya’Allah). Sawah-sawah dan ladang pertanian yang subur dan indah juga menghiasi kiri kanan jalan. Sepanjang perjalanan nampak pasangan pak cik dan mak cik (dengan pakaian Islam, berkopiah dan bertudung) sedang mengusahakan sawah-ladang tanaman mereka..

Masjid pula kelihatan dibina dua buah berdekatan, cuma reka bentuk nampak agak sedikit berbeza. Apabila kami bertanya, Sdr Daud menerangkan, sebuah masjid untuk pengikut mazhab Hanafi dan sebuah lagi untuk mazhab Hambali, namun tidak ada yang menimbulkan masalah berhubung dengan perbezaan mazhab ini. Demikian juga ulasan dari beberapa orang ustaz yang sempat ana temuramah, Alhamdulillah, nampaknya mereka bertoleransi dan mengekalkan ukhuwwah sesama umat Islam. Pada pengamatan ana, sebab kenapa masjid lain perlu dibina ialah kerana perbezaan waktu mendirikan solat, sebagaimana contoh lawatan kami ke Masjid Niujie dan lain-lain, khasnya waktu solat subuh dan maghrib, wallahu a’lam.

Rabu, 6/4/2011, 5.30pm, Linxia, Ganzu. Snow, snow!

Salji di Linxia

Ketibaan kami di Linxia disambut oleh cuaca dingin dan gerimis bunga-bunga salji yang mulai turun. Setelah check-in dan menyimpan bagasi, pada jam 6.30pm, kami terus keluar ke Masjid Xin Hua.

Solat maghrib & Isya’ Jama’ taqdim. Jemaah yang datang begitu ramai memenuhi ruang solat masjid walaupun cuaca dingin dimusim sejuk mencucuk kulit.

Penggunaan Air.

Ana juga ingin memberi peringatan kepada bakal para pelawat China yang akan datang, negara ini sangat menjaga kepentingan air dan mengelakkan pembazirannya. Air tidak disediakan di dalam tandas, samada di airport, hotel, rumah perseorangan bahkan di masjid sekalipun! Jadi waktu inilah kita harus mengaplikasikan ilmu yang dipelajari selama ini, iaitu bab Istinjak. Jika tidak kita terpaksa membawa botol air sendiri ke mana saja kita pergi untuk kegunaan membasuh hadas! Air hanya ada untuk flush dan berwuduk sahaja. Bagi mereka yang nak buang air besar kena ambil air dengan bekas yang disediakan kemudian bawa ke dalan tandas.

Lepas  solat kami dibawa melawat sekolah Islam dan kelas al-Quran untuk orang dewasa yang terdapat di situ. Menurut sheikh yang menyambut kami tu, sistem belajar membaca al-Quran yang mereka gunakan ialah secara tradisional iaitu dengan laugan suara yang agak kuat, setiap kursus selama 20 jam, insya’Allah boleh mengenal dan membaca al-Quran katanya.

Walaupun cara lama tapi alat bantuan mengajar amat canggih, al-Quran yang dicetak dengan saiz besar, telah dipasang dengan remote control untuk menukar helaian muka surat… sesuai benar jika dibawa balik ke tempat kita untuk solat terawih bagi imam yang tidak hafal al-Quran.

Setelah selesai melawat kelas al-Quran kami ke rumah Dr Ahmad dan akhi Ismail untuk makan malam (asya’), iaitu keluarga kepada Sdr Daud yang menyambut kami di airport tadi. Kami meminta mereka melayan kami dengan cara adat istiadat orang Cina, untuk mengenali budaya mereka.

Fatimah, anak Dr. Ahmad yang sedang belajar di Univ Yala, Thailand boleh bercakap Arab sedikit. Beliau kebetulan balik bercuti ke kampungnya, dapatlah menjadi penterjemah kepada kami.

Sesudah itu, kami kembali ke hotel dan berehat untuk program seterusnya. Masya’allah salji yang turun petang tadi semakin lebat dan memutih pada malam ini.

Khamis. 7/4/11.

Kami keluar seawal jam 5.30 pagi untuk mengerjakan solat subuh di Masjid Shan Jiang Zhuan. Waktu subuh di Lin Xia, Gansu ialah pada jam 5.20 pagi. Di masjid ini juga terdapat sebuah madrasah pengajian kecil, seramai lebih kurang 40 orang pelajar menginap di sini dan mengambil pengajian tahfiz sepenuh masa. Di dalam bahasa Arab, ia digelar sebagai Qaryah Atar.

Perjalanan dari hotel ke masjid berkenaan dengan bas hanya mengambil masa kira-kira lima minit. Kelihatan di jalanan orang ramai mulai keluar menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh walaupun cuaca begitu sejuk di tengah-tengah hujan salji yang semakin lebat. Nampaknya solat berjemaah di masjid tetap menjadi keutamaan. Para jemaah pula terdiri dari pelbagai lapisan umur, orang tua, anak muda dan pelajar-pelajar.

Suasana seperti ini rasanya amat sukar sekali untuk dilihat di Malaysia, lebih-lebih lagi pada waktu Subuh yang dingin dalam hujan lebat! Memang terasa sekali penghayatan Islam di negara kita amat lemah berbanding dengan masyarakat Islam Cina di Lin Xia.

Di Masjid ini, mereka mengamalkan Tarikat Naqsyabandiah. Mazhab fiqhnya pula ialah mazhab Hanafi. Wirid tarekat dialunkan selepas solat subuh dan selesai doa diaminkan. Dengan serban berwarna keemasan melilit kemas di di kepala, jelas ketara perbezaan di antara ahli jemaah yang terdiri daripada orang awam dengan mereka yang merupakan pengamal tarekat. Wirid yang dialunkan agak sukar untuk difahami kerana mereka mengalunkannya mengikut lagu dan irama tertentu.

Kami diberikan sebuah buku wirid yang dialunkan itu, tetapi walaupun ana berkali-kali membelek helaian wirid itu untuk mencari baris dan perenggan yang sedang dibaca, tetapi sukar sekali mengikutunya.

Selesai solat, kami balik ke hotel, sambil menjejak salji yang semakin menebal. Dapatlah bermain salji yang turun memutih dihalaman hotel yang kami tinggal.. [Lihat: http://ahmadfadhli.com.my/2011/04/sedingin-salju-di-lin-xia-2/ ]

Lawatan Ke Kolej Islam.

Selesai futur dalam  jam 9.00am kami check-out dari hotel dan meneruskan program lawatan, kali ini ke Maahad Dirasaat Islamiah, Linxia, Gansu, China. Ianya satu institut pengajian Islam yang bertaraf kolej dan lengkap. Pelajar lelaki dan perempuan diasingkan, dibangunan yang berlainan, satu sistem yang Islamik. Terdapat 600 orang pelajar lelaki dan 600 orang pelajar perempuan. Sepuluh orang daripada tenaga pengajarnya adalah lulusan Universiti Islam Madinah dan beberapa orang pula lulusan Kolej Insaniah, Kedah. Cemburu pula rasanya kerana belum terjumpa graduan dari KIAS tempat ana bertugas… Dato’ Dr. Johari Mat KE KIAS telah diberi penghormatan menyampaikan ceramah ringkas kepada pelajar lelaki dan perempuan di Maahad ini. Dato' Dr Johari Menyampaikan ucapan

Selepas makan tengahari, kami dibawa pula melawat Hospital Islam (swasta), kepunyaan Dr Ahmad. Pelbagai jenis perubatan disediakan di sini, modern, tradisional, alternatif dan sebagainya. Ahli rombongan kami diberi peluang mencuba beberapa jenis rawatan yang ada seperti urutan mesin, jarum panas, mandi wap dan lain-lain. Terimakasih Dr Ahmad.

Petangnya pula sekitar kam 4.00pm, kami meneruskan perjalanan ke ibu negeri Wilayah Qinghai iaitu Xining pula. Jaraknya dari Linxia ialah 350km, terpaksa melalui Lanzhou semula. Dalam perjalanan ini kami singgah melawat di Kilang Gelatin Halal yang bernilai 200juta Yuan kepunyaan Sdra Daud yang turut serta mengiringi kami. Gelatin ini berasal dari tulang, maka begitu banyak tulang-tulang lembu yang disembelih secara halal diseluruh China di situ dikumpulkan untuk diproses. Pasaran utamanya adalah negara China sendiri dan Indonesia.

Semoga terdapat juga pakar-pakar yang berkenaan dari negara kita yang dapat menyelesaikan masalah fardhu kifayah ini untuk umat Islam di Malaysia juga.

Kami makan malam di situ dengan roti-roti ban yang baru dibakar serta mee goreng yang disediakan di dapur kilang tersebut.

Pada jam 11.30pm, alhamdulillah selamat sampai di Qinghai-Tibet Holiday Hotel, Xining. Inilah hotel Islam pertama yang kami jumpa, semua staff perempuannya lengkap bertudung bahkan berjubah. Hotelnya seakan Hotel De Palma, Ampang, lengkap dengan surau dan restoran halal.

Jumaat 8/4/11.

Di Xining, pada hari ini bersuhu 5’C, tetapi tiada salji seperti di Linxia. Kami solat fajar di surau hotel dan tazkirah subuh disampaikan oleh Abu Anas.

Selepas futur juga di hotel, kami dibawa melawat ke kediaman rasmi Ma Bufang (Ma Bufang’s Official Residence) yang kini dijadikan muzium dan dibuka untuk kunjungan ramai.

Mengikut catatan sejarah, beliau lahir pada tahun 1903 dan merupakan anak lelaki kepada Ma Qi, seorang jeneral perang dari kelompok Ma yang terkenal di negara China pada awal abad ke 20. Ma Qi telah membentuk Tentera Ninghai di Qinghai pada tahun 1915 dan telah menjadi wakil Beijing yang mengesahkan kekuasaan beliau di wilayah Qinghai. Sekalipun beliau merupakan seorang muslim, beliau tetap dianggap sebagai wakil sah Beijing pada masa itu memandangkan kepada pengaruh yang dimiliki olehnya.

Ma Qi mendidik anaknya Ma Bufang dengan pendidikan Islam sepenuhnya. Berbeza dengan seorang lagi anaknya Ma Buqing yang diasuh dengan pendidikan tentera, Ma Bufang lebih disediakan untuk menjadi seorang imam. Namun, tuntutan untuk mempertahankan kedaulatan wilayah Qinghai dari komunis pada masa itu menuntut Ma Bufang untuk turut menyertai tentera ketika umurnya 19 tahun. Beliau kemudiannya mengisytiharkan sokongan kepada Chiang Kai Sek di Beijing yang telah memenangi peperangan pada masa itu.

Usaha Ma Bufang mempertahankan Qinhai dari dicerobohi oleh komunis pada masa itu mealui saat-saat getir dan mencemaskan. Beiau menghadapi serangan Dalai Lama dari Tibet dan juga ancaman CCP (Chinese Communist Party) di Beiing. Justeru, sekalipun beliau berpihak kepada kerajaan kebangsaan China di bawah pimpinan Kuomintang , beliau tegas dengan pelaksanaan syariat Islam di wilayah Qinhai yang ditadbir olehnya.

Ma Bufang memenangi pertempuran dengan Dalai Lama di dalam tujuh peperangan bersiri, namun ketulusan hati budinya terbukti dengan dasarnya yang tidak menzalimi tentera Dalai Lama. Di antara polisi yang dilaksanakan ialah mana-mana anggota komunis wanita yang ditawan diambil sebagai isteri yang sah oleh mana-mana tentera Ma Bufang. Berbeza dengan komunis yang kemudiannya menghancurkan masjid-masjid yang ada di Xining, Ma Bufang nyata sekali melaksanakan polisi yang berbeza. Pada tahun 1949, serentak dengan kemenangan Parti Komunis China yang berjaya menguasai seluruh negara China, Ma Bufang juga telah tewas di Xining dan terpaksa menyelamatkan dirinya ke Taiwan. Seterusnya beliau menetap di Arab Saudi sehinggalah kematiannya pada tahun 1979. [Lihat: http://ahmadfadhli.com.my/2011/04/menyelami-perjuangan-ma-bufang-di-xining-china/]

Selepas itu kami kembali ke hotel dan bersiap untuk keluar solat Jumaat di masjid Dongguan. Di  anggarkan 40ribu jemaah menghadiri solat Jumaat pada hari itu. Yang menariknya, 1 jam sebelum  azan, masjid sudah mulai penuh, dengan para jemaah yang memenuhi saf  dengan rapat dan tersusun.

Sebelum masuk waktu, ceramah dalam bahasa mereka (Cina) diberikan kepada para jemaah yang setia menunggu.

Sebelum solat Jumaat juga, mereka melakukkan solat jenazah. Kami yang tidak faham bahasa Cina ni terus berniat solat Jumaat sedangkan solat jenazah, kami sangka dah solat jumaat… solat jenazah tu pula dilakukan dua kali, sekali untuk jenazah lelaki dan sekali lagi untuk perempuan.

Akhirnya azan dikumandangkan, diikuti dengan khutbah yang ringkas dalam bahasa Arab barulah solat Jumaat didirikan.

Pada petangnya acara santai lawatan sekitar bandar Xining dan kedainya. Kali ini kami di bawa oleh sdra Lut, abang kepada sdra Daud. Malam berehat di hotel sambil berbincang sesama ahli rombongan.

Sabtu 9/4/11.

Pada jam 9.00am, lawatan rasmi ke masjid Dongguan [جامع دونغقوان] (tempat solat Jumaat semalam). Di sini terdapat Markaz Latihan Imam, setiap batch dilatih selama tiga tahun. Kompleks masjid ini dikenali sebagai Little Mecca, kerana suasana jemaahnya yang begitu ramai seolah di Makkah. 

Solat Jumaat semalam baru sahaja 40 ribu orang, imamnya menceritakan jika solat hari raya, jemaahnya boleh mencecah sehingga 200 ribu orang!!! Jalan-jalan raya dalam bandar itu akan dipenuhi oleh para jemaah yang keluar dari segenap pelusuk bandar dan kampung sekitarnya.

Indahnya jika diikuti sunnah seperti yang yang diajar oleh Rasulullah saw, di mana solat sunat hari raya disatukan pada satu tempat sahaja. Sedangkan di tempat kita, surau-surau di kampung-kampung yang kecil pun mahu mengerjakan solat hari rayanya sendiri, maka hilanglah sunnah dan kemeriahan yang sepatutnnya!

Sebab yang kedua dinamakan Little Mecca ialah; kursus haji yang lengkap diadakan di kompleks ini, dengan dibuat satu replika besar Masjidil Haram dan Masjid Nabi yang lengkap, juga segala tempat manasik haji seperti Arafah, Mina, tempat melontar dan sebagainya.

Kemudian kami ke masjid Ninaguan yang sedang dalam proses pembesaran. Kami disambut oleh Imam Ustaz Ismail Biao, lulusan Azhar. Beliau nampaknya seorang penceramah yang masyhur di sana, kerana terdapat banyak CD-CD kuliahnya yang dijual sekitar bandar itu.

Kami dibawa lunch di Baick Chicken, rupanya ia adalah francais kepada restoran al-Baik, dari Arab Saudi.

Petang acara bebas, membeli-belah di sekitar Masjid Dongguan. Suasana kedai-kedainya adalah seperti di sekitar Dataran Ilmu di Kota Bharu dengan kedai Ja’afar Rawas dan seumpamanya.

Selepas makan malam, kami wakil-wakil pondok berbincang tentang masa depan pendidikan pondok di negeri Kelantan.  Akhirnya bersiap packing barang-barang untuk pulang…

Hari terakhir. Ahad 10/4/11.

Selepas  solat subuh ucapan penutup oleh YB Dato’ Mohd Amar. Futur (sarapan pagi), kemudian pada jam 8.30am bertolak ke airport Xinning untuk ke Beijing. Flight CA 1208, jam10.40am. kami menyiapkan bekalan makanan seperti roti untuk dimakan di airport nanti kerana kami tidak boleh keluar lagi untuk ke retoran halal.

Selamat tiba di Beijing, solat jemaah jama’ zohor dan asar di dewan berlepas antarabangsa. Kami juga sempat berkelah dengan bekalan roti dan serunding yang dibawa.

Dari Beijing ke KL flight sebenar 16.25pm tetapi telah ditunda selama satu jam. Memandangkan ramai penumpang Islam menaiki flight ini, disediakan makanan halal untuk orang Islam, siap dengan sticker khas. Alhamdulillah, kami menjangka hanya roti tadi penutup dinner kami, rupanya ada lagi rezeki untuk malam ini.

Penerbangan mengambil masa selama 6.30jam, Alhamdulillah selamat tiba di KLIA pada sekitar jam 12.00pm. Baggage claim, kemudian meneruskan perjalanan ke Kelantan dengan bas Mutiara, sewa khas, DBT 1155 dan selamat tiba di PSD pada jam 9.30am, Isnin 11/4/11, Alhamdulillah.

Khatimah:

Terima Kasih – جزاكم الله خيرا كثيرا- kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program rehlah ini; Kerajaan Negeri Kelantan, YB Exco, Jaheaik, Ustaz Saibon dan semua yang bersama dalam safar yang menarik ini. Semoga bertemu lagi dalam rehlah yang akan datang.

Akhukum, Abu Anas Madani, PSD 14 April 2011.

Perhatian: Gambar-gambar lawatan ke China, boleh dilihat di FB: http://www.facebook.com/album.php?id=124946954198614&aid=71164

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *