Kepelbagaian Mazhab Antara Ulama’

Kepelbagaian Mazhab Antara Ulama Memperkayakan Pengetahuan Dan Bersesuaian Dengan Keluasan Syariah.

Yang dihormati Setiausaha Agong Lembaga Ulama Perdana (Kibar Ulama’) Arab Saudi, as-Syeikh Dr. Fahad Bin Saad al-Majid menegaskan bahawa kepelbagaian mazhab anggota Lembaga Ulama Perdana telah menyumbang ke arah perkongsian pengetahuan dan pengalaman di samping kesesuaiannya dengan konsep keluasan syariah. Beliau turut menyatakan bahawa: Kami sebagai anggota lembaga mendokong dan berbangga dengan pendirian Khadim al-Haramain (Raja Arab Saudi) yang menyeru ke arah pembentukan perpaduan di atas satu suara melalui dialog yang terurus dan membina sama ada di peringkat lokal atau global.

Beliau memberitahu akhbar ar-Riyadh ketika kemunculan sulungnya di dalam media bahawa resolusi dan keputusan Lembaga Ulama Perdana disempurnakan melalui suara terbanyak. Sekiranya bilangan suara adalah seri, maka pengerusi akan menentukan pilihan terbaik tanpa mengabaikan pendapat yang tidak terpilih.

Beliau juga menjelaskan bahawa pihak lembaga akan menghubungi pihak-pihak yang berkenaan dalam bidang-bidang tertentu seperti perbankan, kewangan, sains, perubatan dan lain-lain. Pihak-pihak berkenaan juga akan dijemput menghadiri mesyuarat lembaga tanpa dilibatkan dalam pengundian. Beliau turut menerangkan berkenaan rancangan mewujudkan unit khas untuk para penyelidik dan rancangan-rancangan pengembangan lain yang sedang dikaji oleh lujnah-lujnah berkenaan. Berikut ialah wawancara beliau bersama wartawan akhbar al-Riyadh:

Lembaga Ulama Perdana dan Lujnah Tetap Fatwa

al-Riyadh:  Sebagai permulaan, apakah fungsi dan peranan utama Lembaga Ulama Perdana Arab Saudi? Apakah pula perbezaannya dengan Lujnah Tetap Penyelidikan Dan Fatwa Arab Saudi?

al-Majid:  Pertamanya, elok saya ceritakan dahulu sejarah penubuhan Lembaga Ulama Perdana supaya anda dapat meneliti susur galur kemunculan lembaga ini dan seterusnya memahami rangkuman ilmu, pengetahuan dan pengalaman dalam lembaga. Lembaga ini ditubuhkan dengan perintah diraja yang bernombor rujukan A/137 pada 8 Rejab 1391 H. Perintah tersebut telah menetapkan penamaan lembaga ini dengan nama Lembaga Ulama Perdana di samping kenyataan bahawa lembaga adalah dianggotai oleh para ulama besar syariah Islam yang dipilih melalui perintah diraja.

Berkenaan dengan perbezaan di antara lembaga ini dengan Lujnah Tetap Penyelidikan Dan Fatwa, lujnah tersebut merupakan salah satu lujnah di bawah Lembaga Ulama Perdana. Ia merupakan lujnah penumpuan sepenuh masa dan memilih anggotanya di kalangan anggota lembaga. Peranannya ialah menyediakan kajian-kajian untuk dibahaskan oleh lembaga dan mengeluarkan fatwa dalam urusan-urusan individu perseorangan. Lujnah tersebut akan menjawab soalan-soalan anggota masyarakat berkaitan akidah dan pegangan, amal ibadat dan hubungan kemasyarakatan. Ia diberi nama Lujnah Tetap Penyelidikan Dan Fatwa dan turut dianggotai oleh sekumpulan pembantu penyelidikan seperti yang ditetapkan oleh perintah diraja yang dinyatakan tadi.

al-Riyadh:  Adakah lembaga menerima semua persoalan yang dikemukakan oleh rakyat dan mengeluarkan fatwa atau keputusan berkenaannya? Atau lembaga hanya berperanan terhadap isu-isu besar yang dikemukakan dengan perintah diraja sahaja?

Al-Majid: Berkenaan dengan soalan-soalan individu, ia diuruskan oleh Lujnah Tetap Fatwa seperti yang saya sebutkan tadi. Adapun isu-isu semasa dan perkara-perkara yang melibatkan rakyat umum, maka ia akan dikaji oleh Lembaga Ulama Perdana secara menyeluruh melalui mekanisma tertentu.

Kepelbagaian Mazhab

al-Riyadh:  Adakah keputusan-keputusan lembaga yang terdahulu dibina berdasarkan satu mazhab sahaja iaitu mazhab hanbali atau semua mazhab diambilkira? Apakah keistimewaan pembentukan terkini yang dilakukan oleh Lembaga Ulama Perdana sekarang?

al-Majid:  Artikel 1 perlembagaan dasar pemerintahan negara menyatakan bahawa dasar negara ialah kitab Allah dan sunnah utusanNya s.a.w. Ini bermaksud teks-teks al-Quran dan as-Sunnah mengatasi sebarang teks yang lain. Inilah yang ditegaskan juga oleh artikel 7 dalam perlembagaan. Artikel 45 dari perlembagaan yang sama juga menyatakan bahawa sumber fatwa di dalam kerajaan ialah kitab Allah dan sunnah utusanNya s.a.w.

Keistimewaan pembentukan terkini Lembaga Ulama Perdana yang mengandungi jumlah yang besar iaitu dua puluh satu orang anggota yang berbagai pengkhususan dalam pelbagai lapangan  syariah, berbagai pegangan mazhab fekah dan datang dari pelbagai lokasi ini ialah ia akan membantu ke arah perkongsian pengetahuan dan pengalaman. Ini juga bersesuaian dengan keluasan syariah seperti yang diceritakan tentang Ishaq Bin Buhlul al-Anbari, salah seorang penuntut Imam Ahmad Bin Hanbal. Apabila Ishaq mengarang sebuah kitab dan menamakannya: Kitab al-Ikhtilaf (Kitab Perselisihan Ulama), Imam Ahmad mengatakan kepadanya: Namakan ia Kitab as-Saah (Kitab Keluasan Ulama).                            

   Apatah lagi mazhab yang empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali adalah kaya dengan pandangan dan pendapat fekah yang diambil dari sumber syariah dan mampu –dengan izin Allah- menyelesaikan kesukaran dan permasalahan. Dalam hal ini Imam az-Zahabi –semoga dirahmati Allah- mengatakan: Hampir-hampir tidak ditemui kebenaran berada di luar apa yang telah dipersetujui oleh imam ijtihad yang empat. Walaupun kita mengakui bahawa persamaan pendapat imam yang empat dalam sesuatu persoalan bukanlah mewakili ijmak (persepakatan) ummah. Kita juga menjauhkan diri dari menghukum bahawa kebenaran di dalam sesuatu persoalan yang telah dipersetujui oleh imam yang empat adalah sebaliknya.

 Di antara perkara yang membuktikan bahawa mazhab fekah yang empat bersesuaian dengan keluasan syariah ialah mazhab para mujtahid yang lain telah dirangkumi oleh mazhab yang empat atau mempunyai persamaan dengan pendapat-pendapat di dalam mazhab yang empat. Berkenaan hal ini, Ibnu Taimiyah menyatakan bahawa mazhab Ibnu Uyainah telah termasuk di dalam mazhab para penuntutnya iaitu as-Syafie, Ahmad Bin Hanbal dan Ishaq. Mazhab al-Laith Bin Saad yang telah luntur dalam sejarah pula mempunyai persamaan dalam banyak persoalan dengan mazhab Malik atau ath-Thauri. Kebanyakan pilihan pendapat oleh Imam al-Auzaie pula menyamai pendapat Malik atau as-Syafie. Demikian seterusnya.

Hakikatnya, kepelbagaian yang diperlukan dalam melengkapkan pandangan dan menjana buah fikiran tidak terhad kepada kepelbagaian dalam mazhab fekah semata-mata, bahkan ia turut melibatkan kepelbagaian iklim dan tempat tinggal. Di antara perkara yang dibuktikan oleh ilmu kemanusiaan sekarang ialah aktiviti fisiologi dan minda manusia yang dicipta dari tanah ini sangat dipengaruhi oleh suasana geografi sekelilingnya serta tabiat haiwan dan tumbuhan yang dimakan olehnya pada kebiasaannya.

Oleh kerana itu, kami semua mendokong dan berbesar hati dengan pandangan Khadim al-Haramain as-Syarifain (Raja Arab Saudi) -semoga Allah memeliharanya- yang menyeru ke arah pembentukan perpaduan di atas satu suara melalui dialog yang terurus dan membina sama ada di peringkat lokal atau global.

Keputusan Terbanyak Dilaksanakan

al-Riyadh: Bagaimanakah proses pemilihan dilaksanakan di dalam lembaga? Ia berdasarkan undian suara terbanyak atau persepakatan?

al-Majid:  Artikel 3 dalam Undang-undang Perjalanan Lembaga Ulama Perdana menyatakan bahawa lembaga perlu menyediakan keputusan dan resolusinya berdasarkan suara terbanyak. Apabila bilangan suara adalah seri, maka suara pengerusi akan menjadi penentu. Di antara yang menarik di dalam undang-undang ini ialah ia turut menjaga hak pendapat yang tidak mendapat suara terbanyak. Undang-undang ini menyatakan bahawa anggota-anggota yang tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat adalah digalakkan menulis bentuk penolakan, alasan, hujah dan alternatif lain terhadap pendapat yang tidak diterima.

al-Riyadh:  Berapa kali lembaga bersidang setiap tahun? Berapa bilangan anggotanya?

al-Majid:  Undang-undang Perjalanan menegaskan -demikian juga yang biasa dilakukan- iaitu lembaga bersidang dua kali setahun. Namun, ia tidak bermakna persidangan- persidangan tambahan tidak boleh dilakukan khasnya untuk membincangkan isu-isu penting yang tidak boleh ditangguh.

Isu-Isu Yang Telah Diteliti

al-Riyadh:  Berapakah usia lembaga dan berapakah jumlah kes dan topik yang telah diteliti sehingga kini?

al-Majid:  Seperti yang telah saya nyatakan kepada anda di awal wawancara, tarikh penubuhan lembaga ialah pada tahun 1391 H. Ini menjelaskan usia lembaga. Berkenaan dengan keputusan-keputusan , lembaga telah mengeluarkan sebanyak 243 keputusan. Jumlah ini adalah besar jika dilihat dari sudut topik keputusan-keputusan ini yang berkenaan dengan kes-kes umum dan isu-isu fekah kontemporari. Keputusan-keputusan ini telah disebarkan melalui Majalah al-Buhuts al-Ilmiyah dan media yang lain seperti keputusan yang terkini yang dibicarakan dalam akhbar dan majalah tertentu berkaitan bayi tak cukup tempoh. Adapun fatwa dan pesanan-pesanan untk individu, maka ia merupakan tanggungjawab Lujnah Tetap Penyelidikan Dan Fatwa yang merupakan cabang kepada Lembaga Ulama Perdana. Lujnah telah mengeluarkan jumlah fatwa yang sangat besar dan dicetak dalam puluhan jilid.

al-Riyadh: Adakah topik-topik yang dikemukakan dalam persidangan telah diberi penerangan terlebih dahulu berkenaannya kepada anggota melalui edaran kajian-kajian dan penelitian-peneliti an yang berkaitan?

al-Majid:  Berdasarkan keperluan, akan disediakan kajian-kajian sekitar topik yang bakal dikemukakan sama ada yang diusahakan oleh anggota Lujnah Tetap Penyelidikan Dan Fatwa, penyelidik-penyelid ik di Lembaga Ulama Perdana sendiri atau diminta daripada pihak-pihak tertentu yang berkaitan dengan penyelidikan akademik.

Perubahan Ke Arah Yang Lebih Baik

al-Riyadh:  Adakah mekanisma perjalanan dalam lembaga akan mengalami perubahan besar berbanding yang terdahulu?

al-Majid: Lembaga bergerak mengikut rancangan yang telah dikaji dan diteliti menuju ke arah yang lebih baik dan lebih elok -dengan izin Allah-. Sesiapa yang berserah mengikut keadaan semata-mata sudah tentu akan mundur. Di dunia ini tidak ada perkara yang tetap dan tidak berubah dari tempatnya. Sesiapa yang tidak bergerak ke hadapan, maka dia akan ditarik ke belakang. Lantaran itu, apa yang dilakukan oleh lembaga ialah apa yang digerakkan dengan penuh aktif oleh Samahah Ayahanda as-Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah al-Assyeikh iaitu menggunakan semua faktor yang ada untuk meningkatkan tahap kerja dan menambah hasil kerja. Antara yang telah disempurnakan kini ialah penubuhan jabatan khas untuk para penyelidik dan lantikan salah seorang penyelidik besar untuk mengetuainya. Di samping itu, dipilih tenaga kerja yang mahir untuk menguruskan pentadbiran hal ehwal pejabat di bangunan lembaga. Terdapat beberapa cadangan dan idea lain yang sedang diteliti oleh lujnah-lujnah tertentu yang telah dibentuk Samahah Mufti. Mereka akan menelitinya dan mengemukakan kertas resolusi berkenaannya.

al-Riyadh:  Sering diperhatikan bahawa lembaga seperti hilang dari media dan masyarakat umum sedangkan lembaga menghimpunkan ilmuwan ummah yang hebat dan anggota terbaik masyarakat. Orang ramai sangat perlu merujuk berkaitan hukum dan fatwa daripada mereka. Adakah perjalanan lembaga akan berubah dan keputusan-keputusan serta fatwa-fatwa akan disebarkan melalui media massa setelah disediakan mengikut kesesuaian dengan masyarakat awam?

al-Majid:  Apa yang anda nyatakan mungkin ada kebenarannya. Namun, pada pandangan saya, yang lebih tepat ialah individu yang merasa kehilangan lembaga ini mungkin tidak mengikuti perkembangan penerbitan-penerbit an yang diedarkan oleh lembaga atau lujnah di bawahnya. Hal ini kerana keputusan-keputusan lembaga diedarkan setiap masa melalui Majalah al-Buhuts al-Islamiah. Demikian juga disebarkan pada waktunya secara ringkas melalui sesetengah akhbar dan majalah seperti contoh tadi iaitu keputusan terkini berkaitan bayi tak cukup tempoh. Majalah al-Buhuts al-Islamiah dianggap sebagai saluran media yang pertama dan terpenting bagi Lembaga Ulama Perdana. Artikel 11 dalam Undang-undang Perjalanan Lembaga Ulama Perdana menyatakan bahawa pihak pentadbiran bertanggungjawab mengurus selia penerbitan majalah berkala untuk mengedarkan kajian-kaijan akademik dan kajian-kajian yang dipersetujui oleh lembaga untuk diedarkan. Demikian juga akan dimasukkan kajian-kajian oleh sesetengah penyelidik luar setelah dipersetujui oleh Setiausaha Agong.

Bantuan Penyelidik Luar

al-Riyadh: Adakah lembaga menggunakan khidmat individu atau pihak luar dalam menjalankan penyelidikan?

al-Majid: Lembaga mengambil manfaat dari kajian-kajian yang telah ditulis dan diterbitkan dalam topik-topik yang bakal dikemukakan. Lembaga juga menjemput pandangan dari institut-institut atau organisasi-organisa si persidangan fekah. Apabila situasi memerlukan seperti kajian dalam lapangan  ekonomi, kemasyarakatan dan undang-undang am yang melibatkan isu-isu perbankan, perdagangan dan kewangan, lembaga akan menjemput golongan dalam pengkhususan terbabit untuk menyertai persidangan tanpa hak dalam pungutan suara.

al-Riyadh:  Adakah setiap anggota mempunyai pembantu rasmi untuk kajian, penelitian, penulisan dan penyediaan teks, serta pejabat peribadi sama ada di bangunan pejabat lembaga atau di bandar tempat kediamannya?

al-Majid:  Adapun mereka yang bekerja sepenuh masa iaitu anggota Lujnah Tetap Fatwa, maka mereka mempunyai pejabat yang lengkap dengan pekerja-pekerja. Adapun anggota bukan sepenuh masa, maka mereka tidak bekerja di Pentadbiran Am Penyelidikan Akademik dan Fatwa memandangkan mereka terikat dengan pihak lain juga.

al-Riyadh: Bilakah persidangan lembaga yang seterusnya dan bagaimanakah jadual kerjanya?

al-Majid:  Ia akan diadakan di Taif pada cuti musim panas nanti dan kerja-kerja penyediaan sedang dijalankan sekarang.

Nasihat Untuk Para Penyoal Fatwa Dan Golongan Pelajar

al-Riyadh:  Di akhir wawancara ini, apakah nasihat anda kepada penyoal fatwa dan golongan pelajar?

al-Majid:  Saya berharap daripada para penyoal fatwa supaya berhati-hati dan jelas jika mahu bertanya tentang urusan agama. Sesungguhnya ini adalah persoalan agama dan tidak boleh kita bermudah-mudah di dalam hal ini. Penyoal adalah noktah permulaan kepada proses fatwa. Apa yang diperhatikan, banyak buku-buku membicarakan tentang mufti, adab dan syaratnya sedangkan penyoal merupakan penggerak pertama dalam proses fatwa. Sudah tentu topik berkaitan penyoal fatwa sangat perlu dibicarakan dan ditulis seperti topik tentang mufti. Bahkan perlu dilebihkan bicara berkenaan penyoal fatwa. Saya mahu menyatakan di sini bahawa di antara kesilapan yang menyebabkan wujudnya kecelaruan fatwa ialah kekeliruan di kalangan masyarakat awam di antara jawatan-jawatan berkaitan fatwa, kehakiman, pengajaran, imam dan khutbah. Tidak semestinya individu yang menjawat mana-mana jawatan berkaitan adalah layak untuk memberi fatwa. Kekeliruan ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan tersebarnya maklumat yang salah. Hal ini kerana orang awam mengambil maklumat berkenaan agama daripada individu yang bukan ahlinya. Ada di antara maklumat tersebut yang berkaitan dengan pemikiran dan menyebabkan munculnya sikap ekstrem, kerenggangan, melampau dalam beragama atau bermudah-mudah dalam tuntutan agama.

Demikian juga saya berharap daripada para penyoal fatwa dan golongan pelajar ilmu syariah khususnya supaya membezakan di antara isu yang berulang dan isu baru. Demikian juga perbezaan di antara mufti isu yang berulang dan mufti isu yang baru berlaku. Hal ini kerana sebahagian pelajar mungkin bertanya atau memohon penjelasan dalam isu-isu baru tertentu daripada golongan penuntut ilmu peringkat pertengahan. Lalu, mereka memberi jawapan yang menyebabkan salah faham dan salah gambaran. Ia menyebabkan kita melihat wujudnya kecacatan cara berfikir di kalangan sesetengah individu. Golongan tersebut belum sampai ke tahap penelitian yang mendalam dalam sesuatu persoalan dan penilaian yang benar terhadap individu. Lembaga Ulama Perdana adalah pihak yang sebenarnya dipertanggungjawabk an oleh pemerintah untuk memberi fatwa berkenaan isu baru dan kes-kes umum. Allah telah berfirman (maksudnya): Dan apabila datang kepada mereka suatu urusan mengandungi keamanan atau ketakutan, mereka akan (riuh) menyebarkannya. Dan kalaulah mereka menyerahkannya kepada Rasul dan pemerintah urusan di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenaran akan dapat mengetahuinya daripada mereka (Rasul dan pemerintah urusan). Kalau bukan kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kalian, tentulah kalian akan mengikuti (jejak) syaitan, kecuali sebahagian kecil sahaja (di antara kalian).

Akhirnya, saya merakamkan penghargaan kepada Khadim al-Haramain as-Syarifain, naib yang pertama dan naib yang kedua atas sokongan dan dokongan sama ada dalam bentuk material atau maknawi kepada bahagian fatwa, anggota, pekerja dan warganya. Saya juga merakamkan penghargaan kepada Samahah Ayahanda Mufti Umum di atas segala usahanya dan tindakannya untuk meningkatkan kemajuan fatwa.

Anggota Lembaga Ulama Perdana Arab Saudi

Pengerusi:

Samahah Mufti Umum, as-Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Muhammad al-Assyeikh

Anggota:

1.     as-Syeikh Soleh Bin Muhammad al-Luhaidan

2.     as-Syeikh Soleh Bin Abdul Rahman al-Husoyyin

3.     as-Syeikh Dr. Soleh Bin Abdullah Bin Humaid

4.     as-Syeikh Dr. Abdullah Bin Abdul Muhsin at-Turkiy

5.     as-Syeikh Abdullah Bin Abdul Rahman al-Ghudaiyan

6.     as-Syeikh Abdullah Bin Sulaiman Bin Mani’

7.     as-Syeikh Dr. Soleh Bin Fauzan al-Fauzan

8.     as-Syeikh Dr. Abdul Wahab Bin Ibrahim Abu Sulaiman

9.     as-Syeikh Dr. Abdullah Bin Muhammad Bin Ibrahim al-Assyeikh

10.  as-Syeikh Dr. Ahmad Sair Mubaraki

11.  as-Syeikh Dr. Abdullah Bin Muhammad al-Mutlaq

12.  as-Syeikh Dr. Yaakub Bin Abdul Wahab Bin Yusuf al-Bahusain

13.  as-Syeikh Dr. Abdul Karim Bin Abdullah Bin Abdul Rahman al-Khudoir

14.  as-Syeikh Dr. Ali Bin Abbas Bin Usman Hakami

15.  as-Syeikh Abdullah Bin Muhammad Bin Saad al-Khonein

16.  as-Syeikh Dr. Muhammad Bin Muhammad al-Mukhtar

17.  as-Syeikh Muhammad Bin Hasan Bin Abdul Rahman Bin Abdul Latif al-Assyeikh

18.  as-Syeikh Dr. Saad Bin Nasir Bin Abdul Aziz ath-Syithriy

19.  as-Syeikh Dr. Qais Bin Muhammad Bin Abdul Latif al-Assyeikh Mubarak

20.  as-Syeikh Dr. Muhammad Bin Abdul Karim Bin Abdul Aziz al-Isa

 
Terjemahan segera: Seorang Penuntut Ilmu, Madinah Munawwarah.
Abu Anas: Syukran kpd mutarjim, barakallahu fiik…

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *