Alhamdulillah bersyukur Kepada Allah, dengan limpah kurnia-Nya, sebuah lagi majalah Islamiah dapat diterbitkan oleh DBP, dibawah editor kanannya yang sangat gigih berusaha iaitu Ustaz Salahuddin.
Dalam keluaran sulung ini tajuk utamanya ialah “Doa Untuk Pemimpin”, Abu Anas telah menulis maqalah bertajuk “Bahana Fitnah”. Semoga kelahiran majalah Dewan Tamadun Islam (TI) ini dapat memenuhi ruang untuk menambahkan lagi pengetahuan masyarakat dalam ilmu agama & maklumat umum.
Tahniah kepada DBP, khasnya sahabat saya Ustaz Din, Barakallahu fiikum..
Di bawah ini catatan mengenai Majalah & Majlis Pelancaran yang ditulis oleh Akhuna Ustaz ZAHIRUDDIN ZABIDI, dari Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Lahirnya Majalah Dewan Tamadun Islam.
Januari 2013 bermula dengan penuh bergaya khususnya bagi Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) apabila Bahagian Majalah DBP menerbitkan sebuah majalah baharu yang diberi nama Dewan Tamadun Islam (TI).
Lama dahulu DBP pernah menerbitkan Dewan Agama dan Falsafah namun akhirnya ditutup atas sebab-sebab yang tertentu. Namun dengan kelahiran majalah Dewan Tamadun Islam ini, ia seakan menebus kembali penamatan majalah Dewan Agama dan Falsafah.
Tidak dapat dinafikan, penerbitan majalah-majalah berunsur Islam begitu rancak beberapa tahun kebelakangan ini, antara puncanya adalah kerana kejayaan majalah Solusi terbitan Telaga Biru menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia.
Rentetan daripada itu, muncul banyak majalah baru di pasaran malah ada juga majalah yang pernah diberhentikan juga dihidupkan kembali (Deperti Majalah DIAN). Tidak kurang juga ada majalah berunsur Islam yang sudah beroperasi lebih 10 tahun diberhentikan kerana tidak lagi mampu bersaing dalam pasaran.
Sisi positifnya adalah, ini menunjukkan sebenarnya umat Islam di Malaysia suka membaca namun penerbit perlu bijaksana dalam seni persembahan majalah terbitan mereka dan penerbit perlu memastikan pembeli berasa berbaloi membayar RM6-10 untuk senaskhah majalah.
TI muncul tepat pada masanya dan sesuai untuk semua peringkat
Editor yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan majalah ini adalah Ustaz Salahuddin Datuk Paduka Muhammad, lulusan Jordan dan juga merupakan seorang peceramah selebriti.
Menurut beliau, setiap bulan pasukan majalah TI akan mengadakan wacana di pelbagai tempat di seluruh negara khususnya di pusat pengajian tinggi dengan menjadikan tajuk fokus majalah sebagai tajuk wacana.
Oleh yang demikian, bersesuaian dengan tajuk fokus isu pertama iaitu “Doa Untuk Pemimpin” telah diadakan wacana sekali gus majlis pelancaran majalah tersebut oleh penasihat agama perdana menteri Malaysia, YB Dato’ Seri Dr. Abdullah Md Zain.
Wacana tersebut telah menampilkan dua orang tokoh akademik dan dakwah tanah air yang tidak asing lagi iaitu Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman, pensyarah kanan Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dan Dr. Abdul Basit Abd Rahman, pensyarah Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Kedua-dua panel telah mengupas tajuk fokus “Doa Untuk Pemimpin” dalam masa satu jam di dewan utama Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), pada 14 Januari yang lalu dan dimudahcarakan oleh Zahiruddin Zabidi. Oleh kerana kesuntukan masa, majlis dihentikan tepat jam 11.00 pagi bagi persediaan majlis perasmian sejurus selepas itu.
Harapan dan peluang
Uniknya majalah TI ini adalah kerana ia tidak mempunyai penulis tetap atau kolumnis namun ia sentiasa membuka ruang kepada para penulis untuk menghantar karya mereka melalui editornya di alamat al-fatih@dbp.com.my.
Selain daripada itu, persembahan majalah juga mendapat pujian daripada pembaca awal kerana didapati sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat sama ada golongan profesional, pelajar dan awam.
Mereka bukan sahaja boleh menjadi pembaca, namun sekali gus menjadi penyumbang sama ada artikel, esei, dan menariknya ruangan untuk cerpen dan puisi juga disediakan.
Hadirnya majalah TI dilihat sangat sesuai dengan suasana kekalutan sumber dan motivasi ilmu Islam yang benar serta berwacana tinggi. Justeru, ia boleh dikatakan antara bacaan yang penting bagi setiap daripada umat Islam khususnya di Malaysia bagi dijadikan rujukan sementelah harganya yang kompetatif dan ekonomik iaitu hanya RM6.50.
ZAHIRUDDIN ZABIDI
Editor / Penulis / Penceramah. 16Jan 2013.
http://kalamkhalifah.com
zahiruddinzabidi@gmail.com