Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani
← Surah Maryam · Nota 3/3 · Ayat 7–11
Saiz

Surah Maryam: Ayat 07-11

Allah Qabulkan Doa Nabi Zakaria, Dapat Anak Yahya & Alamatnya Tak Boleh Bercakap 3 Malam

Live Kuliah Pagi Rabu 02/09/2026 – 20 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Maryam (03) Ayat [07-11]

Muqaddimah

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 07 sehingga ayat 11 dalam juzuk keenam belas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan khabar gembira bahawa Allah qabulkan doa nabi Zakaria untuk minta zuriat.
  3. Iaitu ia akan mendapat seorang anak lelaki bernama Yahya.
    Yakni Allah kurniakan anak yang siap diberi nama oleh Allah.
  4. Mendengar khabar ini Zakaria terkejut dan takjub lalu meminta alamatnya lalu Allah kata tandanya dia tak boleh bercakap dengan orang ramai selama 3 malam, hanya dengan isyarat.
  5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Nabi Zakaria yang berdoa minta dengan Allah untuk diberi zuriat.
Dia berdoa dengan penuh harapan dan dengan adab berdoa yang sempurna.

ii- maka datang ayat ini membawa khabar gembira bahawa Allah kabulkan doanya dan akan dikurniakan seorang anak lelaki.

Tafsir Ayat

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

يَا زَكَرِيَّا إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَامٍ اسْمُهُ يَحْيَىٰ لَمْ نَجْعَل لَّهُ مِن قَبْلُ سَمِيًّا ‎﴿٧﴾‏

Ayat 7- {(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya”.} [Maryam 19:7]

  1. Allah s.w.t menyeru Nabi Zakaria dan menyatakan khabar gembira bahawa doanya diperkenankan Allah s.w.t.

Yakni Allah beri wahyu kepada Zakaria melalui perantaraan malaikat yang memanggilnya ketika dia sedang solat.

*Ada juga ulama’ kata Allah sendiri yang menyerunya itu.

  1. Dalam ayat ini Allah menyeru nama nabi Zakaria {يَـٰزَكَرِيَّآ} sendiri.
    Begitu juga nabi lain ramai yang Allah seru mereka dengan nama mereka.

*Tetapi tidak Nabi Muhammad s.a.w, Allah tidak pernah menyerunya dengan nama (wahai Muhammad) bahkan Baginda diseru Allah dengan jawatan dan pangkatnya iaitu:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ –

Ya Ayyuhan-Nabi – “Wahai Nabi” dan

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ –

Ya Ayyuhar-Rasul – “Wahai Rasul”.

Ini antara kelebihan bentuk panggilan kemuliaan daripada Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W di dalam al-Quran.

  1. Allah nyatakan akan diberikannya seorang anak lelaki yang telah siap diberi nama Yahya. Nama Yahya {يَحْيَىٰ} ini tidak pernah dijadikan lagi sebelum ini kepada manusia lain yang terdahulu.
  2. Nota [789] Allah Ta’ala perkenankan doanya, lalu diwahyukan kepadanya dengan perantaraan malaikat Jibril a.s, bahawa ia dikurniakan seorang anak lelaki, yang telah dinamakan “Yahya”, iaitu nama yang tidak pernah diberikan kepada sesiapapun sebelum itu.
  3. Ayat ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya.} [Al-Anbiya’: 90].
  4. Anak itu adalah seorang yang istimewa, dilahirkan oleh seorang ibu yang mandul, bapa yang tua, anak yang soleh dan siap diberi nama oleh Allah s.w.t.
  5. Allah pilih namanya Yahya yang bermaksud (Hidup) dan dia seorang yang mulia dan istimewa dengan sifat-sifatnya ini:

i- diberi jawatan nabi ketika dia masih bayi lagi! Sedangkan nabi lain apabila telah dewasa iaitu berumur 40thh.

ii- Allah jadikannya seorang yang suci (حصورا), tidak ikut hawa nafsu iaitu tidak memikirkan tentang wanita atau perkahwinan, sibuk dengan berdakwah saja.

*Ingat ini kelebihan khas untuk Nabi Yahya saja, kita umat Nabi Muhammad s.a.w digalakkan untuk berkahwin jika mampu.

iii- dia dilahirkan dari seorang bapa yang sudah tua dan seorang ibu yang mandul.

iv- namanya diberi khas oleh Allah sebelum dia lahir lagi dan nama itu tidak pernah digunakan sebelum ini.

  1. Kata Ibnu Asyur : Ini adalah kelebihan yang Allah berikan kepada Yahya dan bapanya Zakaria.

Ini adalah keistimewaan khas untuk mereka, bukan untuk perbandingan dengan nabi lain apatah lagi Nabi Muhammad s.a.w dan lain-lain Nabi Ulul-Azmi.

قَالَ رَبِّ أَنَّىٰ يَكُونُ لِي غُلَامٌ وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا وَقَدْ بَلَغْتُ مِنَ الْكِبَرِ عِتِيًّا ‎﴿٨﴾

Ayat 8- {Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?”} [Maryam 19:8]

  1. Mendengar khabar gembira itu kerana terlalu teruja dan panik- Nabi Zakaria bertanya kepada Tuhan pula dengan takjub:
  2. Bagaimanala aku akan dapat anak sedangkan isteriku seorang yang mandul dan aku sendiri pula seorang yang sangat tua, yang tak mampu pada adatnya untuk dapat anak lagi!
  3. Kata ulama’: Seolah-olahnya ketika dia berdoa itu dia tidak ingat akan keadaannya yang sudah tidak mampu atau tiada kriteria lagi untuk dapat anak.

Walaupun tadi dia telah menyatakan kelemahanya yang sudah tua & lemah!

  1. Pertanyaan Zakaria ini bukan tidak percaya atau mempertikaikan keputusan Tuhan; tetapi kerana terlalu takjub & mahu kepastian ia akan berlaku!

Apakah ia akan dapat anak dengan isterinya yang mandul & tua itu atau dengan isteri lain yang muda?
Atau Allah akan jadikan mereka berdua kembali muda dengan mukjizatnya?????

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”.} [Aali Imran: 40].

قَالَ كَذَٰلِكَ قَالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِن قَبْلُ وَلَمْ تَكُ شَيْئًا ‎﴿٩﴾‏

Ayat 9- {Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya – janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; “Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun.”} [Maryam 19:9]

  1. Untuk menjawab kemusykilan Zakaria, Allah berfirman kepada malaikat untuk menjawab: Janganlah kamu merasa pelik & hairan.
    Anak kamu itu akan lahir dari kamu yang tua & isteri yang mandul.
  2. Nota [790] Yakni Allah Ta’ala berfirman dengan perantaraan malaikat menjawab kemusykilan Nabi Zakariya itu.

*Ada juga ulama’ seperti ar-Razi yang kata Allah sendiri yang berfirman mewahyukan kepada Zakaria.

**Kita pilih pendapat yang pertama iaitu malaikat yang menjadi perantaraannya!

  1. Memang itu adalah suatu perkara yang mencarik adab, tetapi bagi Allah itu hanya satu perkara yang mudah.

Sedangkan Allah telah mencipta kamu sendiri wahai Zakaria yang tiada sebelum ini kepada ada.

قَالَ رَبِّ اجْعَل لِّي آيَةً ۚ قَالَ آيَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ النَّاسَ ثَلَاثَ لَيَالٍ سَوِيًّا ‎﴿٠١﴾

Ayat 10- {Nabi Zakaria merayu lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung)”, Allah Taala berfirman: ” Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam, sedang engkau dalam keadaan sihat”.} [Maryam 19:10]

  1. Apabila telah dapat menerima berita itu dengan yakin, Nabi Zakaria minta dari Allah s.w.t satu tanda yang menetapkan; supaya hatinya tenang dan berani untuk menceritakan perkara ajaib itu kepada orang ramai!
  2. Lalu Allah berfirman kepada Zakaria: tanda dia akan mendapat anak ialah dia tiba-tiba tidak akan dapat bercakap dengan orang ramai selama 3 malam walaupun dia sihat wal-afiat.

Tiba-tiba tiada suara hanya boleh menggunakan isyarat sahaja- mulut tidak bersuara.

  1. Sebagaimana firman Allah s.w.t juga:
    {Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)”.
    Allah berfirman: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi”.} [Aali Imran: 41].
  2. Kata ulama’: Ini adalah satu mukjizat dan keajaiban yang menunjukkan kekuasaan Allah.

Kerana Zakaria hanya tiada suara untuk bercakap dengan manusia, tetapi dia tidak terhalang untuk berdoa, berzikir dan bermunajat kepada Allah!
Inilah mukjizat yang jelas untuk menunjukkan kuasa Allah.

فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ مِنَ الْمِحْرَابِ فَأَوْحَىٰ إِلَيْهِمْ أَن سَبِّحُوا بُكْرَةً وَعَشِيًّا ‎﴿١١﴾‏

Ayat 11- {Maka dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu ia memberi isyarat kepada mereka: “Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah) pagi dan petang”.} [Maryam 19:11]

  1. Setelah yakin & tenang hatinya, Zakaria pun keluar dari mihrab, tempat solat & ibadatnya berjumpa kaumnya.
    Dia masih berceramah memberi nasihat kepada kaumnya dengan bahasa isyarat.
  2. [791] Yakni pada ketika itu nabi Zakariya a.s, tidak dapat berkata-kata selama tiga hari tiga malam dan terpaksalah ia menggunakan isyarat dengan tangan.

Kejadian ini menunjukkan bahawa isterinya sudah mengandung.

  1. Nabi Zakaria berpesan memberi isyarat kepada kaumnya: “Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah) pagi dan petang”.
  2. Kata ulama’ ini menunjukkan waktu yang baik untuk berzikir ialah pada waktu pagi dan petang iaitu apabila tiada solat sunat yang khas untuk dikerjakan.

Iaitu selepas solat fardhu subuh & asar bacalah zikir pagi petang yang di ajar oleh Nabi s.a.w.

Penutup & Faedah

  1. Ayat 7- {(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya”.}-

Allah nyatakan kepada Zakaria khabar gembira bahawa dia akan dapat anak!

Kata ulama’: Ini menunjukkan bahawa sunat untuk kita memberi tahniah dan sampaikan khabar gembira kepada orang yang mendapat sesuatu yang menggembirakan dan kejayaan atau apa saja yang baik.

Atau tuan berita itu sendiri menyampaikan khabar gembiranya kepada orang ramai seperti mengiklankan perkahwinan, dapat anak, naik pangkat atau apa saja khabar baik.

Ini agar orang dapat mengucapkan tahniah dan berdoa yang baik-baik untuknya.

Jangan buat tak tahu saja apabila mendengar saudara atau kawan kita mendapat kebaikan atau ditimpa ujian jangan lupa ucap tahniah atau takziah, menunjukkan kecaknaan kita!

Kata ulama’: Jika kamu berkawan dengan orang yang tiada respon, membisu seolah tiada perasaan, hanya senyap saja tidak mengucapkan apa-apa lebih baik kamu berkawan dengan orang mati- biar tentu senyap terus!

  1. Ayat 7- {(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya”.}– anak itu diberi nama oleh Allah s.w.t sendiri- bukan mak ayah dia pilih bukan diberi oleh manusia lain.

Namanya Yahya (يَحْيَىٰ), satu nama yang tidak pernah digunakan oleh orang lain sebelum itu. Tak pernah digunakan oleh bani Israil sebelum itu.

Sebagaimana nama Muhammad (Yang Terpuji- محمد) yang Allah berikan kepada Nabi kita juga tidak pernah digunakan oleh orang Arab sebelum itu.

Namanya yang bermakna hidup- iaitu samada:
i- secara hissi (fizikal) dia hidup sebagai seorang yang hidup; maka sempurnalah nikmat Allah s.w.t.

ii- atau hidup secara maknawi iaitu Allah hidupkan hatinya dengan ruh, dengan ilmu, wahyu dan agama.

Kerana itu apabila seseorang itu mempunyai nama yang elok, reangai dan sifatnya juga baik- maka tepat sekali.

Kata-kata hikmah: Nama itu menjadi simbol atau menunjukkan kepada watak yang orang dinamakan!

Contoh namanya Karim-(dengan makna mulia & pemurah) maka apabila diseru sebagai mulia- dia sendiri pula menjadi seorang yang benar-benar pemurah dan melaluinya.

Kadang-kadang nama yang sering dipanggil akan memberi kesan kepada pribadi tuannya.

Kerana itu tidak sesuai kita namakan dengan nama yang berkait dengan agama seperti Iman, Islam dan seumpamanya.

Ini kerana contohnya apabila orang cari dan dia tiada kita akan kata: Tiada Iman, tiada Islam, atau tiada Tauhid di sini!

Carilah nama-nama yang mempunyai makna yang elok untuk anak dalam bahasa Arab agar ia menjadi satu doa.
Serta jangan menyusahkan anak dengan memberi nama yang banyak & panjang.

  1. Ayat 10- {Nabi Zakaria merayu lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung)”,}– apabila mendengar dia akan mendapat anak- nabi Zakaria terkejut dan meminta tanda dari Allah.
    Ini kerana: لَيْسَ الخَبَرُ كالمُعَايَنَةِ
    Mendengar saja tidak akan sama dengan melihat sendiri!

Nabi Zakaria sudah dengar malaikat memberitau bahawa dia akan dapat anak- tetapi dia tetap mahu tanda untuk meyakinkan hatinya dan yakin untuk menceritakan kepada orang ramai bahawa ia adalah khabar yang benar & pasti..

Jadi penting meminta tanda ini sebagai bukti untuk meyakinkan kita!

  1. Ayat 10- {Allah Taala berfirman: ” Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam, sedang engkau dalam keadaan sihat”.}- lalu Allah berfirman kepadanya bahawa akan diberi tanda kepadanya agar hati Zakaria yakin & tenang.

Tandanya ialah dia tidak akan dapat bercakap dengan manusia selama 3 malam, tidak keluar suara hanya dapat guna bahasa isyarat.

Tetapi dia tetap boleh berzikir berdoa kepada Allah, inilah kelebihan mukjizat yang diberi Allah kepadanya.

Cerita yang sangat memberi inspirasi & motivasi:

Di sebuah hospital di Arab Saudi ada seorang tua yang terlantar koma di katil hospital- tak sedar diri, tak boleh bercakap buka mata apa. Tetapi setiap kali masuk waktu solat; akan keluar dari mulutnya lafaz azan seperti jam loceng yang telah ditetapkan – masya Allah.

Para doktor & jururawat bertanya kepada anak & ahli keluarganya apa pekerjaannya dulu- katanya seorang muazzin (tukang azan atau bilal). Inilah kelebihannya.

Maka Nabi Zakaria ini kelebihannya ialah dia tidak boleh bercakap dengan orang tetapi dia boleh bercakap dengan Allah (yakni berzikir & bertasbih).

  1. Ayat 11- {Maka dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu ia memberi isyarat kepada mereka: “Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah) pagi dan petang”.}– walaupun tidak boleh bercakap- nabi Zakaria tetap mengajar menyeru kaumnya untuk berzikir pada setiap hari pada waktu pagi & petang!

Dia berbuat begitu supaya orang tidak salah sangka bahawa diam tidak bercakap tanpa melakukan zikir & doa itu adalah baik!

Diam saja tak buat apa, tak boleh begitu walaupun tak bercakap dengan manusia; kita kena tetap bercakap dengan Allah.

Diam tak bercakap memang lebih baik daripada bercakap mengumpat mengata orang!
Tetapi diam tidak berzikir tidak baik!

Tak bercakap dengan orang tidak mengapa tetapi biarlah lidah kita sentiasa basah berzikir menyebut nama Allah!

Kata ulama’ juga: Sunat kita perbanyakkan zikir selepas solat fardhu yang tiada solat sunat padanya seperti selepas solat Subuh & Asar.

Selepas subuh- sunat & afdhal kita berzikir sehingga naik matahari dan boleh solat sunat dhuha pula bila dah habis waktu larangan!

Manakala selepas asar- afdhal kita berzikir sehingga tenggelam matahari.

Maka kita cuba usahakanlah tak dapat lepas asar boleh baca lagi sehingga mghrib.
Jika tak ingat juga bacalah pada waktu malam pun agar syaitan kecewa kerana orang ni tetap berzikir.

Jangan lupalah membaca zikir pagi & petang harian kita setiap hari!

Istiqomahlah kita untuk membaca zikir pagi petang yang sahih sebagaimana yang diajar dan diamalkan oleh Rasulullah s.a.w ini.

Bukan yang pelik-pelik yang tiada sumber yang sahih.

Maka jangan lupa berzikir pada waktu pagi & petang {بُكْرَةً وَعَشِيًّا}.

Boleh dapatkan buku Zikir Pagi & Petang susunan DDAAM ini di:
dartaibah.com…

Ya Allah jadikan kami
orang yang sentiasa berzikir menyebut nama-Mu- pagi petang siang malam- selagi hayat dikandung badan.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 02/09/2026 – 20 R. Awwal 1448H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Maryam 2026 (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:

Link: Senarai main YouTube

Link Nota: Facebook

Semoga Bermanfaat!

Kongsi nota ini WhatsApp Telegram
Ada soalan tentang ayat ini? Tanya Dr. Abu Anas