Surah Maryam: Ayat 01-06
Kisah Nabi Zakaria, Berdoa Memohon Zuriat & Sebagai Penyambung Dakwah Tauhid

Live Kuliah Pagi Selasa 01/09/2026 – 19 R. Awwal 1448H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani Tafsir Surah Maryam (02) Ayat [01-06]
Muqaddimah
- Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Maryam dengan ayat 01 sehingga ayat 06 dalam juzuk keenam-belas.
- Dalam enam ayat pertama ini Allah s.w.t nyatakan kisah Nabi Zakaria, yang bila dia jaga Maryam dia melihat keajaiban kuasa Allah yang menjadikan Maryam melahirkan anaknya Isa tanpa bapa.
- Lalu dia pun berdoa memohon zuriat walaupun dia sudah tua dan isterinya mandul kerana dia yakin akan kekuasaan Allah yang tidak terbatas.
- Tujuannya inginkan anak itu ialah sebagai penyambung legasi dakwahnya dalam tauhid kepada Allah.
Kita pun berdoalah kepada Allah- dengan niat yang betul insya’ Allah, Allah akan kabulkan doa itu!
- Fakta dalam Tafsir al-Munir- Allah s.w.t menyebut kisah Zakaria di dalam al-Quran sebanyak lapan kali, iaitu dalam ayat-ayat berikut:
i & ii- yang pertama, dalam ayat 37 Surah Ali ‘Imran sebanyak dua kali.
iii- ketiga dalam ayat 38 daripada Surah Ali ‘Imran.
iv- dalam Surah al-An‘am, ayat 85.
v & vi- Surah Maryam, ayat 2
﴿ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ عَبْدَهُ زَكَرِيَّا﴾
dan ayat 7 nanti
﴿يَا زَكَرِيَّا﴾
vii- Surah al-Anbiya’, ayat 89.
Maknanya Allah Taala sebut secara lafaz Zakaria dalam al-Quran tujuh kali.
*Kelapan tu mungkin melalui kisahnya, wallahu a’lam.
Tafsir Ayat
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
كهيعص ﴿١﴾
Ayat 1- { Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad- كٓهيعٓصٓ}
- Surah ini dimulai dengan huruf yang dikenali sebagai huruf al-Muqatto’ah (الحروف المقطعة).
Al-Muqatto’ah adalah huruf yang bersambung tulisannya tetapi dibaca dibaca satu-persatu sebagaimana hurufnya- {كٓهيعٓصٓ} dibaca (Kaf Ha Ya Ain Sood)- iaitu huruf Kaf dibaca kaf, huruf Ha dibaca ha, huruf Ya dibaca ya, huruf ‘Ain dibaca ‘ain dan huruf Sod dibaca sod.
Huruf-huruf sebegini dipanggil huruf-huruf “al-Muqatto’ah”.
- Allah memulai surah ini dengan huruf Muqatto’ah, sebagaimana beberapa surah lain untuk membuktikan kenabian dan wahyu.
Huruf-huruf ini tidak diketahui maknanya dan hanya Allah جل جلاله lebih mengetahui maknanya.
- Ia menunjukkan mukjizat al-Quran yang tidak boleh dilawan dan dicabar oleh manusia & sekelian makhluk samada secara bahasa atau isi kandungan.
Ia juga melemahkan makhluk lain untuk menirunya!
Sedangkan huruf biasa al-Quran pun manusia tidak dapat nak cabar & tirunya apatah lagi huruf-huruf sebegini.
[Penjelasan lanjut boleh baca di nota: (07) pada awal surah al-Baqarah].
- Allah nyatakan ini adalah ayat-ayat al-Quran yang menyatakan kebenaran- Allah sendiri yang bawanya maka pastilah ia sesuatu yang haq & penuh kebenaran. Tiada siapa boleh dakwa bahawa al-Quran ini tidak betul atau sebagainya!
ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ عَبْدَهُ زَكَرِيَّا ﴿٢﴾
Ayat 2- {(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.} [Maryam 19: 2]
- Allah menyatakan kisah tentang hamba-Nya Nabi Zakaria yang mendapat limpahan rahmat Tuhan apabila memperkenankan doanya meminta dikurniakan anak untuk meneruskan legasi dakwahnya.
- Dia adalah seorang tukang kayu (najjar) sebagaimana hadis Nabi s.a.w ini:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “كَانَ زَكَرِيَّا نَجَّارًا”. صَحِيحٌ: رَوَاهُ مُسْلِمٌ (٢٣٧٩).
Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Zakaria merupakan najjar, tukang kayu.” [HR Muslim (2379).]
*Begitulah para nabi a.s itu kebanyakannya mempunyai pekerjaan sendiri, mereka bukan hanya duduk saja menunggu sedekah masuk.
Inilah penting juga para pendakwah mempunyai pendapatan sendiri atau elaun agar tidak teraniaya atau serah tengkuk kepada majikan yang mencekik.
- Nota [785] Dengan ini Allah Ta’ala menceritakan kisah Nabi Zakariya a.s yang telah dikabulkan doanya dan dianugerahkan seorang anak lelaki: Nabi Yahya a.s, walaupun ia telah tua dan isterinya pula mandul.
- Zakaria telah diberi amanah untuk menjaga Maryam yang dinazarkan oleh ibu bapanya untuk berkhidmat di tempat ibadat atau masjid di situ.
Melihat kepada keajaiban yang Allah anugerahkan kepada Maryam dia pun berasa yakin tiada yang mustahil jika Allah kehendaki!
- Sebagaimana firman Allah dalam:
{Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.} [Aal Imran: 38]
Lalu Allah jawab terus dalam ayat berikutnya:
{Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”.} [Aal Imran: 39]
- Apakah rahmat Tuhan yang dia dapat itu? Kita lihat ayat berikutnya.
إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا ﴿٣﴾
Ayat 3- {(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.} [Maryam 19: 3]
- Allah ingatkan sekali lagi peristiwa ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya dengan permohonan yang penuh pengharapan, dia memohon secara perlahan dan sembunyi!
- Panjang ulama’ tadabbur berbincang tentang kenapa dia berdoa {نِدَآءً خَفِيًّۭا} secara perlahan dan diam-diam ini:
i- tidak mahu diketahui oleh kaumnya supaya mereka tidak mencercanya kerana berdoa minta anak walaupun sudah tua!
ii- kerana doa yang perlahan, sembunyikan permohonan lebih hampir kepada ikhlas & jauh daripada riya’.
Kerana orang tak akan tahu apa yang kita doakan!
iii- dia berdoa pada waktu tengah malam ketika dia sedang solat!
*Ini antara tiga sebab kerana Allah sebut Nabi Zakaria berdoa secara perlahan dan tidak bising.
- Begitulah sepatutnya cara berdoa dengan perlahan dan penuh khusyuk; bukan dengan kuat seolah bertempik menimbulkan kebisingan!
قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُن بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا ﴿٤﴾
Ayat 4- {Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.} [Maryam 19: 4]
- Antara isi kandungan doa Nabi Zakaria a.s ialah, dia merayu:
i- menyatakan kelemahannya- Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku yakni kerana tua maka kerana itu dia sangat menginginkan seorang anak.
ii- menyatakan keimanan & keyakinannya- tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.
- Yakni walaupun telah lama berdoa sebelum ini lagi, berdoa sejak dari muda lagi; dia tidak pernah berasa kecewa atau putus-asa kepada Tuhannya untuk terus memohon dan berdoa kerana Allah telah berjanji untuk tunaikan hajatnya!
- Nota [786] Yakni pada masa yang lalu aku tidak pernah hampa bahkan sentiasa merasa bahagia dengan doa permohonanku kepadaMu yang selalu makbul.
Oleh itu, perkenankanlah doa permohonanku ini, wahai Tuhanku!
- Kata Ibnu Kathir rhm: Tujuan Nabi Zakaria menyatakan kelemahannya ini, bahawa dia telah tua, badannya tak kuat lagi- untuk menyatakan betapa dia sangat berhajat dan memerlukan anak!
Untuk menyambung legasi dakwah & kenabiannya. - Ulama’ bersetuju bahawa inilah uslub berdoa & bermunajat yang betul.
Boleh kita bertawasul dengan amalan soleh kita, dengan keadaan kita dan bahawa kita tak pernah rasa jemu & kecewa untuk berdoa kepada Allah!
وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِن وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا ﴿٥﴾
Ayat 5- {Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.} [Maryam 19: 5]
- Kemudian Nabi Zakaria menyatakan lagi kenapa dia sangat inginkan seorang anak sebagai penyambung dakwahnya!
Kerana dia bimbang selepas ketiadaannya nanti kaum kerabatnya akan cuai dan tidak sempurna dalam menyambung tugas-tugas ugama sepeninggalannya.
- Walaupun dia tahu dia telah tua dan isterinya pula seorang yang mandul; tetapi dia tetap dia putus-asa untuk berdoa memohon kepada Allah Tuhan yang maha berkuasa.
- Iaitu dia memohon bermunajat kepada Allah agar dikurniakanlah kepadanya dari sisi Tuhan seorang anak lelaki untuk menyambung dan menyempurnakan tugas dakwahnya sebagai seorang nabi!
- Nota [787] Nabi Zakariya a.s memohon semoga Allah Ta’ala mengurniakannya seorang anak lelaki yang juga berpangkat Nabi untuk memimpin kaumnya – kaum Yahudi Bani Isra’il – sepeninggalannya.
Kerana tiada ada di antara kaum kerabatnya yang dapat diharap menjalankan tugasnya untuk memberi nasihat pengajaran kepada kaumnya yang telah rosak akhlaknya dan sentiasa menderhaka kepada Allah dan rasul-rasulNya.
- Maka kita yang sedang mengharapkan kurniaan zuriat dari Allah ini jangan putus-asa untuk berdoa memohon dan merayu kepada Allah s.w.t yang berkuasa.
- Beberapa doa yang elok untuk meminta zuriat dari Allah:- kita berdoa & bermunajatlah banyak-banyak kepada anak dan nyatakan tujuannya yang baik:
i- رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةًۭ طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ
{Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.} [Aal Imran: 38]
ii- رَبِّ لَا تَذَرْنِى فَرْدًۭا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْوَٰرِثِينَ
{“Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”.} [Al-Anbiyaa’: 89]
*Minta banyak-banyak insya’ Allah jika Tuhan nak beri tiada yang mustahil.
- Ulama’ kata maksudnya perkataan {وَلِيًّۭا} di sini ialah pewaris iaitu anak yang baik yang akan menjadi wali- pengganti atau penjaga ibu bapanya!
يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آلِ يَعْقُوبَ ۖ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا ﴿٦﴾
Ayat 6- {Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”.} [Maryam 19: 6]
- Zuriat yang dipintanya itu ialah seorang anak yang layak mewarisi tugasnya sebagai seorang nabi, juga menyambung legasi keluarganya bermula dari datuknya Nabi Ya’qub a.s bapa para para anbiya’.
*Sebagaimana yang telah kita jelaskan sebelum ini Nabi Ya’qub juga dipangil Israil maka bani Israil adalah cucu keturunannya.
Tetapi bukan Israil yang membunuh di Palestine hari ini itu.
Jika doakan laknat ke atas yahudi bukan kita maksudkan kepada bani Israil keturunan nabi Ya’qub ini!
- Nota [788] Yakni mewarisi jawatan Nabi.
- Dia mahu anak itu menjadi seorang nabi, yang dapat mewarisi ilmunya dan ilmu yang berdakwah kepada Allah, bertindak menegakkan agama.
Juga jadikan anak aku ini seorang yang Engkau redha dan manusia pun suka.
- Seorang anak yang soleh, baik, mulia akhlaknya insya’ Allah! Itulah harapan nabi Zakaria untuk anak yang dipohonnya dari Allah!
Penutup & Faedah
- Ayat 2- {(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.}
ulama’ tadabbur seperti Ibnu Asyur berkata: Surah ini adalah surah Maryam tetapi kenapa Allah mulakan kisah Zakaria dulu bukan dengan kisah Marayam terus??
Jawapan:
Dimulakan kisah Zakaria kerana nabi Zakaria adalah penjaganya di Baitul-Maqdis maka kisah Maryam bermula darinya!
Zakaria telah melihat akan keajaiban, karamah Maryam yang Allah berikan kepadanya.
Maka kerana itulah dia yakin untuk terus berdoa memohon permintaannya kerana tiada yang pelik & mustahil bagi kuasa Allah!
Allah juga sebut Zakaria, senang hamba-Nya Zakaria bukan sebut jawatannya sebagai seorang nabi.
Ini untuk menunjukkan kelebihan dan kedudukannya yang tinggi & mulia sebagai hamba Allah.
Sbagaimana Allah memuliakan Nabi Muhammad s.a.w dalam ayat ini:
{Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad)-
[Isra’: 1].
Allah kata Dia akan ceritakan tentang bagaimana Zakaria berdoa bermunajat, bagaimana Allah kabulkan doanya dan lain-lain- maka kisah ini dimulai dengan kisahnya!
- Ayat 3- {(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.}-
Nabi Zakaria berdoa dengan perlahan dan secara sembunyi.
Inilah kelebihan berdoa dengan perlahan:
i- ia adalah keyakinan & keimanan kita kepada Allah bahawa Allah maha mendengar segala doa kita tak perlu bertempik melaung!
ii- lebih beradab dan lebih mengagungkan Allah s.w.t.
Sebagaimana atas dunia ini kita bercakap dengan orang besar atas dunia ini pastilah dengan penuh hormat dan suara yang rendah.
Apatah lagi Tuhan yang Maha besar dan kuasa.
iii- lebih hampir kepada khusuk dan rendah diri kepada Allah!
iv- hati lebih tenang kerana jika kuat dan melaung-laun itu banyak gangguan.
v- perkara yang itu menjadikan kita tahu terasa Allah itu dekat. Sebagaimana firman Allah: {Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu-
[Al-Baqarah: 186].
Hadis Nabi larang para sahabat dari bertempik dan melaung dalam berzikir & berdoa.
“Dari Abi Musa R.A ia berkata: Kami pernah bersama Rasulullah S.A.W dalam suatu perjalanan, kemudian orang-orang mengeraskan suara takbir mereka, maka Nabi S.A.W bersabda:
Wahai para manusia, kasihanilah dirimu dan rendahkanlah suaramu! Sesungguhnya kamu tidak sedang menyeru Zat yang tuli (pekak) dan tidak juga yang jauh. Sesungguhnya kamu sedang menyeru Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat.” [HR al-Bukhari & Muslim].
vi- jika perlahan kita boleh bermunajat lebih lama & panjang kerana lambat penat.
viii- apabila sembunyikan doa kita tidak perlu fikir akan apa pandangan orang akan doa kita.
ix- antara nikmat yang paling besar apabila Allah buka mulut kita untuk berdoa.
Maka orang yang boleh berdoa ini adalah salah satu tanda Allah sayang kepadanya!
Sebagaimana kata Ibnu Umar r.a:
Sayyidina Umar R.A pernah berkata:
“Aku tidak pernah mengkhawatirkan apakah doaku akan dikabulkan atau tidak, tetapi yang lebih aku khawatirkan adalah aku tidak diberi hidayah untuk terus berdoa.”
Orang yang boleh berdoa itu adalah salah satu tanda Allah sayang kepada dia!
x- Doa itu satu zikir- angkat tangan untuk berdoa itu sudah dapat pahala, tak kira Allah terima atau tidak. Maka tiada kerugian dalam berdoa.
*Sempurnalah 10 perkara yang baik ini!
Kata Imam Syafei rhm: Kerana itulah penting bagi imam-imam untuk belajar & tahu bahawa tidak perlu kuat dan melaung dalam berzikir dan berdoa selepas solat!
Kecuali nak ajar makmum yang baru belajar, baru masuk Islam atau seumpamanya!
- Ayat 3- {(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.}- nabi Zakaria menunjukkan adab berdoa yang baik.
Kata Imam al-Hasan al-Basri : Aku kenal dan dengar orang yang soleh atas dunia ini jika mereka boleh mereka buat amalan mereka secara bersembunyi dan diam-diam saja, mereka akan buat begitu agar tidak diketahui orang lain.
Firman Allah s.w.t:
{Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.} [Al-A’raaf: 55].
Maka sebagai faedah dari kisah Nabi Zakaria ini kita belajar adab berdoa:
i- kena berdoa dengan perlahan untuk menunjukkan kelemahan dan kebergantungan kita kepada Tuhan.
Ini kerana angkat suara kuat menunjukkan orang yang kuat & gagah sedangkan dalam berdoa kena tunjukkan kita lemah & sangat berhajat kepada Allah.
ii- adab berdoa- mula-mula puji Allah, selawat kepada Nabi s.a.w kemudian nyatakan kelemahan kita sebagaimana kata Nabi Zakaria- kepalanya sudah uban, tulangnya sudah lemah.
Yakni kita kena tawassul kepada Allah, bermunajat kepada Allah dengan kelemahan diri kita- barulah kita minta hajat kita itu!
iii- kita kena berdoa minta sesuatu yang berkait dengan agama!
Contoh- nak anak supaya apabila kita mati dia akan menjadi anak soleh yang mendoakan kita.
Sebagai salah satu perkara yang Nabi s.a.w kata tidak putus pahala walaupun kita telah mati
iv- kita kena mulakan doa dengan menyeru Allah- nabi Zakaria menyeru Allah: Wahai Tuhanku {قَالَ رَبِّ}.
- Ayat 4- {… dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.}-
Nabi Zakaria mengatakan bahawa dia tidak pernah kecewa & putus-asa dengan rahmat Allah.
Ini juga salah satu wasilah doa iaitu bertawasul dengan keadaan kita yang tidak oernah kecewa & putus asa dengan Allah!
Walaupun doanya sejak dulu belum dikabulkan dia tetap tidak jemu, kecewa dan putus asa untuk terus berdoa memohon anak kepada Allah!
Kita lihat ayat ini kenapa seolah ada pertembungan – {Apabila dia menyeru Tuhannya – إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥ} dengan seruan yang perlahan {نِدَآءً خَفِيًّۭا}.
Jadi macamna kita nak jamakkan antara seruan dengan secara sembunyi???
Jawapannya:
i- dia minta, seru Tuhan tetapi menggunakan suara yang perlahan.
ii- dia berdoa dalam solat, maka pastilah doanya perlahan.
*Maka tidak ada percanggahan antara menyeru Tuhan {إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥ} ini dengan secara perlahan {نِدَآءً خَفِيًّۭا}- kerana boleh aja kita berdoa seru Tuhan dengan perlahan dan secara sembunyi.
- Ayat 6- {Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub;..} –
Nabi Zakaria menyatakan sebab dia ingin sangat anak itu.
Iaitu untuk menyambung legasi dakwahnya, jika tiada anak siapa nak sambung dakwahnya nanti, maka akan terhentilah dakwahnya jika tiada orang sambung!
Walaupun dia tahu- jika tiada anak mungkin Allah akan hantar orang lain sebagai penyambung tugasnya- tetapi perkara yang baik & mulia jika ada anak kita untuk menyambungnya pastilah lebih dikehendaki!
Kerana itu pentingnya kita didik dan tarbiyah anak-anak kita, latih mereka untuk menyambung kerja-kerja dakwah kita.
Yakni mewarisi di sini bukan harta atau pangkat kedudukan tetapi mewaris legasi dakwah, jihad dan perjuangan seorang nabi itu!
Hadis- harta para nabi tidak menjadi harta pusaka sebagaimana Rasulullah S.A.W telah menyatakan: لاَ نُورَثُ، مَا تَرَكْنَا صَدَقَة
Maksudnya: “Kami (harta) tidak diwarisi. Dan apa yang kami tinggal adalah sedekah.” [HR al-Bukhari (3093) dan Muslim (1759)].
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita secara ringkas untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 01/09/2026 – 19 R. Awwal 1448H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Maryam 2026 (Setakat Yang Ada) boleh dilihat di:
Link: Senarai main YouTube
Link Nota: Facebook
Semoga Bermanfaat!